Wednesday, March 08, 2006

Budak Kecil lawan Budak Besar

Dunia industri buku Melayu sekarang mempunyai 7 penerbit kreatif yang dimiliki oleh nama-nama individu:NB Kara - milik Norhayati Berahim
Media Intens - milik Fauziah Ashaari
Karyadia - milik Aina Emir
Citra Kurnia - milik Lim Swee Tin
Khalysa - milik Shamsiah Mohd. Nor
KakiNovel - milik Rizal Abdullah
Wira Bukit - milik Helmy Samad

Gosip mengatakan seorang lagi penulis novel cinta yang terkenal akan menceburkan diri menjadi penerbit karyanya sendiri dan karya penulis-penulis lain.

Penerbit-penerbit itu adalah budak-budak kecil yang harus bersaing dengan 2 budak besar utama iaitu Creative dan Alaf21.

Salah satu falasi (kesilapan pada cara berfikir) budak-budak kecil yang masuk ke dalam pasaran yang sudah didominasi oleh satu ataupun dua budak besar adalah, mereka menyangka dengan melawan budak-budak besar itu mereka baru dapat survive.

Falasi itu mendorong budak-budak kecil dihantui oleh budak-budak besar. Dalam serba-serbi yang mereka fikirkan, dalam minda mereka ada bayang-bayang budak besar. Hendak buat novel macam Creative dan Alaf21. Kalau tidak hendak pun, tidak hendak buat macam novel Creative dan Alaf21!

Realiti dalam dunia bisnes adalah, survival budak-budak kecil tidak ada kaitannya dengan kejatuhan budak-budak besar. Tidak ada jaminan kalau budak besar jatuh, budak-budak kecil boleh naik!

Logik dunia bisnes bukan serupa dengan logik perlawanan bola - kalau satu pihak kalah, pihak yang satu lagi automatik menang.

Dulu ada orang berfikir, disebabkan adanya DBP, penerbit-penerbit kecil susah hendak naik sebab semua penulis yang bagus-agus menjadikan DBP pilihan pertama mereka. Akibatnya, kata mereka, penerbit-penerbit kecil hanya mendapat manuskrip berkualiti rendah, yang sudah ditolak oleh DBP, jadi bagaimana mereka dapat bersaing dengan DBP!

Lalu terdengar gesaan supaya DBP berhenti menerbitkan buku-buku umum, remaja dan kanak-kanak. Kata mereka, buku-buku jenis itu sudah dapat diterbitkan oleh penerbit-penerbit swasta. Mereka yakin dengan cara itu penulis-penulis buku-buku umum, remaja dan kanak-kanak yang bagus-bagus itu akan menghantar manuskrip mereka kepada penerbit-penerbit swasta. Dengan itu dapatlah mereka menaikkan bisnes masing-masing.

Maka DBP pun menutup jabatan yang menerbitkan buku-buku umum, remaja dan kanak-kanak! Kononnya supaya DBP hanya menerbitkan buku-buku akademik sahaja kerana itu yang penerbit swasta tidak berdaya melakukannya.

Terbukti, selepas penswastaan DBP, penerbitan DBP jatuh merudum, tetapi kejatuhan DBP itu tidak pula menyebabkan penerbit-penerbit Melayu yang kecil-kecil tiba-tiba naik.

Apa yang kita ada sekarang? Buku akademik terbitan DBP tidak ada. Buku umum, remaja dan kanak-kanak yang kononnya akan dapat diterbitkan oleh penerbit-penerbit kecil itu pun tidak ada. Pengarang-pengarang yang dulu menulis untuk DBP itu juga berhenti menulis!

Menurut gosip, pada saat DBP diswastakan, nilai jualan buku-buku umum, remaja dan kanak-kanak DBP tahun itu adalah RM28 juta! Saat ini, setiap tahun, berapakah royalti yang diterima oleh DBP daripada DAWAMA?

Penerbit-penerbit kecil dapat belajar daripada Creative dan Alaf21. Kenaikan Creative dan Alaf21 tidak ada kaitannya dengan kejatuhan DBP. Kedua-dua penerbit itu naik sewaktu DBP masih besar, masih menerbitkan sekitar 1000 judul setahun. Kedua-duanya menawarkan produk-produk yang tidak ditawarkan oleh DBP.

Jangan jadikan Creative dan Alaf21 hantu bisnes saudara. Survival saudara, sebagai budak-budak kecil, bergantung kepada keupayaan saudara menerbitkan bahan-bahan bacaan alternatif yang bermutu dan lain daripada apa yang ditawarkan oleh Creative dan Alaf21. Jangan terperangkap dalam pasir jerlus logik Creative dan Alaf21. Saudara perlu mencipta logik sendiri.

Sebagaimana pesan Nabi Yaakub kepada anak-anaknya yang akan pergi ke Kota Mesir, "Masuklah ikut pintu-pintu lain..."

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Novel
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Kelas Menengah Melayu dan Kedai Buku

Kedai-kedai buku rangkaian mempunyai kelab ahli sebagai salah satu cara mereka mempromosi buku-buku yang mereka jual. Beberapa kali setahun mereka menerbitkan majalah kelab yang dihantar kepada ahli-ahli mereka.Ahli-ahli kelab buku ini terdiri daripada golongan kelas menengah bandar-bandar utama. Tidak semua orang yang masuk ke kedai buku mendaftar sebagai ahli kelab. Sebagai contoh, pembeli novel cinta rata-rata tidak menjadi ahli kelab buku.

Individu-individu yang menjadi ahli kelab adalah mereka yang terpelajar, profesional dan mempunyai latar belakang ekonomi yang kukuh.

Sebuah rangkaian kedai buku utama negara ini mempunyai lebih 50 ribu ahli kelab. Sekitar 10 ribu adalah ahli Melayu, dan jumlah ini semakin bertambah.

Saudara sebagai penulis dapat melihat jumlah 10 ribu ini sebagai peluang menghasilkan buku-buku yang diperlukan oleh kelompok kelas menengah Melayu yang menjadi ahli kelab buku seperti itu. Inilah yang dilakukan oleh sebuah penerbit antarabangsa, yang akan menerbitkan novel Geisha versi Melayu.

Gosip-gosip yang kita dengar mengatakan Geisha yang masih lagi dalam proses penerbitan itu sudah pun menerima pesanan awal sekitar 5 ribu naskhah daripada rangkaian kedai-kedai buku utama di Lembah Kelang sahaja.

Satu lagi novel yang diminta supaya diterbitkan versi Melayunya adalah DaVinci Code oleh Dan Brown. Sebuah rangkaian kedai buku berani mengambil 2 ribu naskhah jika novel itu dapat diterbitkan dalam Bahasa Melayu.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Pemasaran Buku
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, March 07, 2006

Dialog dalam Surah Yusuf

Dalam buku-buku panduan menulis novel yang ditulis berdasarkan teori-teori ciptaan manusia, salah satu perkara yang tidak diterangkan adalah panduan menulis dialog. Ini berbeza dengan teori novel Islami berdasarkan mazhab surah Yusuf.



Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 86 ayat adalah ayat dialog, iaitu sekitar 74 peratus. Kisah Nabi Yusuf itu sendiri dibuka dengan menggunakan ayat dialog.



Pada keseluruhannya, dalam 86 ayat dialog itu terdapat 91 potong dialog sebab dalam satu (1) ayat mungkin terdapat dua (2) potong dialog, sebagai contoh dalam ayat 90 terdapat dialog: Kata abang-abang Nabi Yusuf, “Engkau ini Yusufkah?” Jawab Nabi Yusuf, “Ya, saya Yusuf, dan ini abang saya (Bunyamin).”



Disebabkan dialog menjadi alat utama menyampaikan cerita, maka analisis dialog-dialog dalam surah Yusuf menjadi topik penting bagi teori novel Islami.


Salah satu analisis itu adalah hitung kata dalam ayat dialog. Dua jenis hitung kata yang paling asas adalah:





  1. Hitung jumlah ayat dalam sesuatu dialog.




  2. Hitung jumlah perkataan dalam dialog.





Dari sudut jumlah ayat, dialog yang paling pendek dalam surah Yusuf adalah 1 ayat, manakala dialog yang paling panjang terdiri daripada 5 ayat. Berikut adalah pembahagiannya:



Dialog yang terdiri daripada 1 ayat = jumlah 46 (yakni 50%!)


Dialog yang terdiri daripada 2 ayat = jumlah 31


Dialog yang terdiri daripada 3 ayat = jumlah 9


Dialog yang terdiri daripada 4 ayat = jumlah 4


Dialog yang terdiri daripada 5 ayat = jumlah 1 (surah Yusuf, ayat 100, iaitu dialog Nabi Yusuf yang menutup ceritanya.)



Jelaslah, sudut pandang teori sastera Islam mazhab surah Yusuf menganggap penggunaan banyak dialog yang panjang-panjang adalah unsur kecacatan pada keindahan gaya bahasa. Analisis ini memberikan panduan bahawa dalam seluruh novel Islami, 50% dialog hendaklah jenis dalam 1 dialog hanya ada 1 ayat sahaja.



Demikian juga penggunaan banyak ayat dialog yang panjang-panjang adalah unsur kecacatan, bukan unsur keindahan. Purata ayat dialog dalam surah Yusuf terdiri kurang daripada 10 perkataan.



Mengapakah 50% dialog dalam sebuah kisah yang indah itu terdiri daripada dialog satu ayat? Tuhanlah yang lebih mengetahui.





 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, March 06, 2006

Jumlah Cetakan dan Strategi Promosi

Salah satu strategi promosi yang dahulu digunakan oleh penerbit muzik, iaitu strategi menguar-uarkan jumlah unit CD dan kaset yang terjual, kini strategi itu sudah mula ditiru oleh penerbit buku.



Barangkali saudara perasan, kolum hiburan dalam akhbar-akhbar Melayu dan majalah-majalah hiburan Melayu, kerap menyiarkan sudah berapa ratus ribu, ataupun puluh ribu unit kaset dan CD penyanyi popular seperti Mawi dan Siti Nurhaliza dicetak dan dijual.



Gosip-gosip mengatakan jumlah yang diuar-uarkan oleh penerbit CD dan kaset muzik itu tidak tepat. Angka jualan itu dibesar-besarkan. Kalau laku 50 ribu, dikatakan laku 150 ribu. Ia adalah trik yang digunakan dalam kempen jualan semata-mata bagi melariskan lagi CD dan kaset artis-artis itu.




TETAPI jumlah 100 ataupun 200 ribu itu ditulis oleh wartawan dengan tidak menyebutkan sumber maklumatnya, yakni kita tidak diberitahu maklumat itu datang daripada mulut siapa.



Mengapakah wartawan-wartawan hiburan tidak menulis dari mana mereka mendapat statistik tersebut? Bukankah akan bertambah tinggi kredibiliti berita itu apabila disebutkan bahawa angka itu diperoleh daripada GM syarikat itu sendiri, misalnya.



SEBAB pihak syarikat penerbit muzik sudah memberitahu wartawan supaya jangan sekali-kali memetik mana-mana nama pegawai syarikat berkenaan sebagai pihak yang memberi statistik itu. Itu sebabnya dalam berita-berita yang disiarkan itu tidak disebut sumber rujukan angka itu!



Mengapa tidak boleh? Sebab jumlah angka jualan CD, kaset ataupun buku adalah RAHSIA perniagaan syarikat dan RAHSIA harta kekayaan artis dan penulis. Ya, rahsia!



Jika angka itu dibocorkan oleh wartawan, itu urusan wartawan dan akhbarnya, bukan urusan syarikat penerbit. Pandai-pandai si wartawanlah mencari bahan berita. Membocorkan rahsia syarikat lain bukan kesalahan. Yang salah adalah membocorkan rahsia perniagaan syarikat sendiri.



Etika bisnes yang menjadi pegangan penerbit buku dan penerbit muzik mempunyai persamaan dalam kes rekod jualan penyanyi dan pengarang. Mana-mana pegawai syarikat yang membocorkan rahsia perniagaan syarikatnya dan rahsia pendapatan artis dan penulisnya adalah dianggap sudah melakukan kesalahan yang serius.



Sebagai penulis, maklumat tentang jualan karya saudara adalah rahsia peribadi saudara. Hanya saudara satu orang, dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang berhak tahu berapa sebenarnya nilai jualan buku dan royalti yang saudara terima daripada penerbit saudara. Mana-mana pihak yang hendak mendapatkan maklumat pendapatan saudara daripada penerbit buku-buku saudara, maka dia perlu mendapatkan arahan mahkamah terlebih dahulu!



Jikalau syarikat penerbit muzik tidak boleh memecahkan rahsia statistik jualan CD dan kaset penyanyinya, mengapakah penyanyi seperti Mawi dan Siti Nurhaliza diam sahaja, tidak membantah, sedangkan akibat tersebarnya statistik itu hidup mereka menjadi terganggu. Mereka diburu oleh banyak pihak, bukan hanya diburu LHDN, tetapi segala macam manusia jahat cuba mengambil kesempatan menipu mereka.



Mawi dan Siti Nurhaliza tidak dapat berbuat apa-apa sebab, mereka tidak tahu dari mana wartawan itu mendapat maklumat tersebut. Mereka berdua tidak boleh menuduh syarikat penerbit yang membocorkannya. Maklumat umum dapat diperoleh daripada cakap-cakap pekerja di syarikat pencetak, pengedar, pekedai, pengangkutan, budak setor dan banyak sumber tidak rasmi. Wartawan adalah pakar mengorek maklumat!



Jika saudara hendak menceburkan diri sebagai penerbit buku, jangan sekali-kali membocorkan rahsia kewangan penulis-penulis saudara, walaupun kononnya atas niat baik, iaitu hendak mempromosikan lagi karya penulis-penulis itu, sebab perbuatan itu menyalahi tatacara perniagaan. Gunakan cara-cara promosi lain.



Jika saudara rasa saudara tetap hendak menggunakan strategi itu, saudara wajib mendapatkan persetujuan penulis-penulis berkenaan secara bertulis terlebih dahulu.





 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Pemasaran Buku
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Prinsip Menulis Dialog: Teori Surah Yusuf

Dalam buku-buku panduan menulis novel yang ditulis berdasarkan teori-teori ciptaan manusia, salah satu perkara yang tidak diterangkan adalah panduan menulis dialog. Ini berbeza dengan teori novel Islami berdasarkan mazhab surah Yusuf.


Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 86 ayat adalah ayat dialog, iaitu sekitar 74 peratus. Kisah Nabi Yusuf itu sendiri dibuka dengan menggunakan ayat dialog.


Dalam satu (1) ayat mungkin terdapat dua (2) potong dialog, sebagai contoh dalam ayat 90 terdapat dialog: Kata abang-abang Nabi Yusuf, “Engkau ini Yusufkah?” Jawab Nabi Yusuf, “Ya, saya Yusuf, dan ini abang saya (Bunyamin).”


Pada keseluruhannya, daripada 111 ayat surah Yusuf, 86 ayat mengandungi dialog. Dalam 86 ayat itu terdapat 91 potong dialog.


Disebabkan dialog menjadi alat utama menyampaikan cerita, maka analisis dialog-dialog dalam surah Yusuf menjadi topik penting bagi teori novel Islami.


Salah satu analisis itu adalah hitung kata dalam ayat dialog. Dua jenis hitung kata yang paling asas adalah:


  1. Hitung jumlah ayat dalam sesuatu dialog.

  2. Hitung jumlah perkataan dalam dialog.


Dari sudut jumlah ayat, dialog yang paling pendek dalam surah Yusuf adalah 1 ayat, manakala dialog yang paling panjang terdiri daripada 5 ayat. Berikut adalah pembahagiannya:


Dialog yang terdiri daripada 1 ayat = jumlah 46 (bersamaan dengan 50%)

Dialog yang terdiri daripada 2 ayat = jumlah 31

Dialog yang terdiri daripada 3 ayat = jumlah 9

Dialog yang terdiri daripada 4 ayat = jumlah 4

Dialog yang terdiri daripada 5 ayat = jumlah 1 (surah Yusuf, ayat 100, iaitu dialog Nabi Yusuf yang menutup ceritnya.)


Jelaslah, sudut pandang teori sastera Islam mazhab surah Yusuf menganggap penggunaan banyak dialog yang panjang-panjang adalah unsur kecacatan pada keindahan gaya bahasa. Analisis ini memberikan panduan bahawa dalam seluruh novel Islami, 50% dialog hendaklah jenis 1 dialog 1 ayat sahaja.


Demikian juga penggunaan banyak ayat dialog yang panjang-panjang adalah unsur kecacatan, bukan unsur keindahan. Purata ayat dialog dalam surah Yusuf terdiri kurang daripada 10 perkataan.


Tuhan lebih mengetahui.




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, March 05, 2006

Koma dalam Dialog

Entri ini ditujukan kepada mentee-editor dan mentee-penulis SifuPTS.



Salah satu peraturan tanda bacaan yang susah dikuasai oleh editor dan penulis baru adalah penggunaan tanda koma (,) dalam dialog.



Apakah perbezaan makna pada ayat-ayat di bawah?



(a) Mamat bertanya kepada Timah, “Apa khabar Mak Long?”


(b) Mamat bertanya kepada Timah, “Apa khabar, Mak Long?”



Inilah bezanya:



Dalam ayat (a) Timah dan Mak Long adalah 2 individu yang berlainan.


Dalam ayat (b) Timah dan Mak Along itu individu yang sama.



Jadi, gunakan koma supaya makna ayat itu betul sebagaimana yang dimaksudkan!





 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Bahasa
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, March 04, 2006

RM 150 Ribu untuk Buku Hadiah

Gosip mengatakan pejabat Ketua Menteri Melaka memperuntukkan RM150 ribu kepada syarikat Wira Bukit bagi membekalkan buku-buku karya Sasterawan Negara A. Samad Said. Buku-buku itu dijadikan hadiah kenangan dan cenderamata rasmi dari pejabat KM Melaka itu kepada semua pelawat.SN A. Samad Said adalah anak kelahiran Melaka, tetapi dibesarkan dan dewasa di Singapura.

Patutlah buku-buku A. Samad Said yang diterbitkan oleh Wira Bukit dicetak dengan menggunakan kertas bermutu tinggi, manakala wajah kulit dan layoutnya juga cantik. Rupa-rupanya buku-buku itu dibekalkan ke pejabat KM Melaka, selebihnya baru dijual di kedai.

Sehingga hari ini penerbit Wira Bukit hanya menerbitkan buku-buku sasterawan negara itu sahaja.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Pemasaran Buku
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Satu Lagi Penulis Terkenal Menjadi Penerbit

Penulis buku-buku sastera serius mempunyai satu lagi penerbit pilihan. Nama terbaru dalam komuniti penerbit buku-buku novel Melayu adalah Citra Kurnia Enterprise yang beralamat di Sri Kembangan, Selangor.


Penerbit ini belum mempunyai laman web sendiri. Gosip mengatakan Citra Kurnia dimiliki oleh seorang tokoh dunia sastera Melayu. Nampaknya seorang lagi penulis menceburi dunia penerbitan novel Melayu, sebaris dengan Aina Emir, Norhayati Berahim dan Fauziah Ashari.


Citra Kurnia menerbitkan karya Fatimah Busu "The Missing Piece" dalam 2 jilid setebal 1751 halaman (RM60 setiap jilid).


Walaupun TMP menggunakan judul Inggeris, novel cinta ini adalah novel Melayu. Kita sudah membaca TMP. Inilah yang dapat kita katakan - luar luar biasa keberanian Fatimah Busu berterus terang dalam karya agungnya yang ini.


Dapat dibeli dari ujanailmu.com.my


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Gosip industri
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Promosi Buku Sdr dalam Internet

Anjuran kepada semua penulis.
Bantu penerbit saudara mempromosi buku-buku saudara.Ikut apa yang Sifu Fuad Latip lakukan bagi mempromosi buku beliau yang masih dalam proses penerbitan. Buku belum terbit, promosi sudah dilancarkan oleh penulisnya sendiri.

Belajar daripada laman ini www.myorionet.com

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Logik Waktu dalam Struktur Ayat-ayat Surah Yusuf

Bagi menerangkan istilah "logik waktu" kita lihat contoh-contoh berikut:


Dalam ayat “Dia memakai stokin, kemudian memakai kasutnya.” terdapat 2 peristiwa, iaitu (P1) = memakai stokin, dan (P2) = memakai kasut.


Ayat di atas dapat juga ditulis begini: (a) “Dia memakai kasut selepas memakai stokin.” ataupun begini: (b) Sebelum memakai kasut, dia memakai stokin.”


Ayat (a) dan (b) ditulis dengan cara yang menyalahi urutan peristiwa sebagaimana ia sebenarnya terjadi dalam dunia sebenar. Peristiwa P1 dan P2 diterbalikkan, di mana peristiwa yang berlaku lebih awal disebut kemudian.


Contoh struktur ayat yang mematuhi logik peristiwa adalah: P1, P2, P3, P4, P5, P6, P7.


Contoh struktur yang tidak mematuhi logik peristiwa adalah: P4, P5, P6, P7, P1, P2, P3.


Dalam surah Yusuf, urutan peristiwa ditulis dengan mematuhi logik waktu. Lihat petikan di bawah:


Kedua-duanya berlari ke pintu, lalu perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang, hingga terkoyak. Apabila tiba di depan pintu, mereka terserempak dengan al-Aziz, lalu kata perempuan itu, “Kekanda, apakah hukuman ke atas orang yang hendak berbuat serong kepada isterimu, melainkan disiksa dengan siksaan yang pedih.” Kata Yusuf, “Dialah yang mengajak saya.” (Yusuf, ayat 25 & 26)


Dalam ayat di atas terdapat 6 peristiwa yang ditulis dengan mematuhi logik waktu:


(P1) Kedua-duanya berlari ke pintu,


(P2) lalu perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang,


(P3) hingga terkoyak.


(P4) Apabila tiba di depan pintu,


(P5) mereka terserempak dengan al-Aziz,


(P5) lalu kata perempuan itu, “Kekanda, apakah hukuman ke atas orang yang hendak berbuat serong kepada isterimu, melainkan disiksa dengan siksaan yang pedih.”


(P6) Kata Yusuf, “Dialah yang mengajak saya.”


Dalam teori sastera ciptaan manusia, terdapat istilah 'flashback'. Teknik flashback ini tidak digunakan dalam surah Yusuf. Ayat-ayat flashback adalah contoh bagaimana logik waktu ditunggang-terbalikkan dalam wacana, di mana urutan peristiwa tidak diceritakan dengan mematuhi urutan kejadian sebenar.


Dalam surah Yusuf, peristiwa yang berlaku awal disebut awal, peristiwa yang berlaku kemudian disebut kemudian. Seluruh plot kisah Nabi Yusuf disampaikan dengan mematuhi logik waktu.


Justeru, dari sudut pandang teori sastera Islam mazhab surah Yusuf, ayat-ayat yang tidak mematuhi logik waktu adalah unsur kecacatan, bukan unsur keindahan. Tuhanlah yang lebih mengetahui.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, March 03, 2006

Surah Yusuf dan Teknik Flashback

Bagi menerangkan istilah "logik waktu" kita lihat contoh-contoh berikut:

Dalam ayat “Dia memakai stokin, kemudian memakai kasutnya.” terdapat 2 peristiwa, iaitu (P1) = memakai stokin, dan (P2) = memakai kasut.

Ayat di atas dapat juga ditulis begini: (a) “Dia memakai kasut selepas memakai stokin.” ataupun begini: (b) Sebelum memakai kasut, dia memakai stokin.”

Ayat (a) dan (b) ditulis dengan cara yang menyalahi urutan peristiwa sebagaimana ia sebenarnya terjadi dalam dunia sebenar. Peristiwa P1 dan P2 diterbalikkan, di mana peristiwa yang berlaku lebih awal disebut kemudian.

Contoh struktur ayat yang mematuhi logik peristiwa adalah: P1, P2, P3, P4, P5, P6, P7.

Contoh struktur yang tidak mematuhi logik peristiwa adalah: P4, P5, P6, P7, P1, P2, P3.

Dalam surah Yusuf, peristiwa ditulis dengan mematuhi logik waktu.

Kedua-duanya berlari ke pintu, lalu perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang, hingga terkoyak. Apabila tiba di depan pintu, mereka terserempak dengan al-Aziz, lalu kata perempuan itu, “Kekanda, apakah hukuman ke atas orang yang hendak berbuat serong kepada isterimu, melainkan disiksa dengan siksaan yang pedih.” Kata Yusuf, “Dialah yang mengajak saya.”

Dalam ayat di atas terdapat 6 peristiwa yang ditulis dengan mematuhi logik waktu:

(P1) Kedua-duanya berlari ke pintu,

(P2) lalu perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang,

(P3) hingga terkoyak.

(P4) Apabila tiba di depan pintu,

(P5) mereka terserempak dengan al-Aziz,

(P5) lalu kata perempuan itu, “Kekanda, apakah hukuman ke atas orang yang hendak berbuat serong kepada isterimu, melainkan disiksa dengan siksaan yang pedih.”

(P6) Kata Yusuf, “Dialah yang mengajak saya.”

Dalam teori sastera ciptaan manusia, terdapat istilah 'flashback'. Teknik flashback ini tidak digunakan dalam surah Yusuf. Ayat-ayat flashback adalah contoh bagaimana logik waktu ditunggang-terbalikkan dalam wacana, di mana urutan peristiwa tidak diceritakan dengan mematuhi urutan kejadian sebenar.

Dalam surah Yusuf, peristiwa yang berlaku awal disebut awal, peristiwa yang berlaku kemudian disebut kemudian. Seluruh plot kisah Nabi Yusuf disampaikan dengan mematuhi logik waktu.

Justeru, dari sudut pandang teori sastera Islam mazhab surah Yusuf, ayat-ayat yang tidak mematuhi logik waktu adalah unsur kecacatan, bukan unsur keindahan. Tuhanlah yang lebih mengetahui.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Jurang Emosi antara Editor dan Penulis

Sekiranya saudara seorang penerbit buku-buku yang banyak dihasilkan oleh penulis perempuan, saudara perlu membantu staf editorial saudara memahirkan diri dalam seni menjalin dan mengekalkan persahabatan dengan penulis-penulis perempuan.



Suatu ironi adalah, hanya disebabkan seseorang editor itu adalah perempuan, adakah dia secara fitrah pandai menjalin dan mengekalkan hubungan profesional sesama perempuan? Belum tentu!



Buku-buku yang banyak ditulis oleh perempuan adalah buku-buku bacaan perempuan, golongan remaja, dan buku kanak-kanak. Jadi, novel-novel cinta termasuk dalam kategori ini.



Salah satu faktor yang menyebabkan seseorang penulis perempuan lari daripada penerbitnya adalah apa yang disebut “jurang emosi”. Faktor jurang emosi adalah lebih penting bagi penulis-penulis perempuan dibandingkan dengan lelaki.



Salah satu ciri psikologi perempuan yang berbeza daripada psikologi lelaki adalah, perempuan meletakkan nilai tinggi ke atas komunikasi interpersonal.



Bagi perempuan, persahabatan dan hubungan baik adalah sumber kepuasan yang sangat bernilai. Itulah sebabnya, bagi perempuan, apabila kualiti hubungan interpersonal rosak, seluruh hubungan ikut rosak, termasuk hubungan profesional dan juga hubungan bisnes.



Bagi penulis perempuan, isu suka ataupun tidak suka kepada seseorang editor itu adalah sangat penting. Mereka tidak mengasingkan antara syarikat dengan petugas syarikat.



Isu jurang emosi adalah faktor utama yang mendorong apa yang sedang kita saksikan sekarang, iaitu fenomena penulis-penulis wanita terkenal lari meninggalkan penerbit mereka hanya disebabkan mereka tidak puas hati dengan hubungan interpersonal dengan editor masing-masing.



Psikologi penulis lelaki dapat membezakan syarikat daripada pekerja syarikat. Faktor inilah yang membolehkan penulis lelaki, meskipun dia membenci editornya, tetapi pada waktu yang sama dia terus menghantar karyanya kepada editor itu kerana dia suka gaya pengurusan syarikat itu. Bagi penulis lelaki, asal sahaja dia mendapat cek-cek royaltinya mengikut jadual, isu emosi tidak penting.



Perempuan tidak!



Penulis perempuan tidak akan berkata, “Saya benci tengok muka editornya, tetapi saya suka syarikatnya, oleh itu saya akan terus setia kepada penerbit itu.”





 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Novel Cinta Melayu Terbaik

Fatimah Busu adalah novelis perempuan Melayu terbaik dalam sejarah Sastera Melayu moden.


Karya beliau yang terbaru adalah terbitan Citra Kurnia Ent. berjudul "The Missing Piece" dapat dibeli on-line dari ujanailmu.com.my


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Novel
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

MABOPA Bergolak

Pada September 2005, Presiden MABOPA (Malaysian Book Publishers Association) meletakkan jawatan apabila beliau menjual semua saham dalam syarikat miliknya, PELANDUK Publications, bagi menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dalam kumpulan MPH.


Gosip terbaru adalah, setiausaha MABOPA, Puan Zainora, yang juga GM Cerdik Publications sudah menghantar surat perletakkan jawatannya.


Anggota MABOPA terdiri daripada penerbit buku Bumiputera dan bukan Bumiputera. Ia sebuah persatuan yang terurus baik dan mempunyai kedudukan kewangan yang amat kuat.


PTS adalah anggota MABOPA. Wakil rasmi PTS dalam persatuan itu adalah En. Arief bin Rahmat, Presiden Kumpulan PTS, dan tugas beliau adalah menjaga aktiviti latihan bagi anggota MABOPA.


Dalam MABOPA, kedudukan PTS adalah sebagai syarikat Bumiputera yang dihormati kerana PTS benar-benar hidup dengan menerbitkan buku berkualiti untuk pasaran terbuka dan tidak menggunakan kaitan politik sama sekali.


Kita berdukacita dengan pergolakan yang berlaku selepas Dato' Ng Tieh Chuan meletakkan jawatan yang dipegangnya selama berbelas tahun. Beliau seorang yang profesional dalam gaya pengurusannya dan pandangan beliau dihormati oleh semua pihak.


Puan Zainora adalah setiausaha yang profesional dan cekap menguruskan tugas-tugasnya dalam MABOPA dan disegani oleh anggota. Kehilangan Puan Zainora adalah ibarat MABOPA sudah jatuh ditimpa tangga.


Kita rasa Puan Zainora mungkin meletakkan jawatan disebabkan beliau mempunyai rancangan peribadi yang menyebabkan beliau tidak boleh lagi memegang jawatan dalam MABOPA kerana setiap anggota MABOPA mestilah wakil rasmi syarikat anggota.


Ini menyebabkan kita bertanya-tanya adakah Puan Zainora akan memulakan hidup baru di luar dunia korporat?


.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Isu Semasa
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, March 02, 2006

Iklan!  Iklan!

Dicari: Lulusan universiti Indonesia

PTS mencari editor freelance yang pernah bersekolah di mana-mana universiti Indonesia.

Hubungi kami segera!

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Iklan & Notis
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Kos Sosial Menjadi Penerbit

Adakah saudara seorang pengarang terkenal dan sedang berfikir-fikir hendak menerbitkan karya saudara sendiri?



Dalam hidup ini, menjadi apa sekalipun ada kosnya. Tidak menjadi apa-apa pun ada kosnya, malah lebih besar kosnya. Oleh itu, kita pilihlah kos apa yang kita sanggup tanggung dan kos apa yang kita tidak sanggup tanggung.



Jika saudara terus menghantar karya saudara kepada penerbit, ada kosnya, yakni saudara membantu orang lain membuat keuntungan dengan memperdagangkan karya-karya saudara. Ertinya saudara terpaksa berkongsi keuntungan, dan saudara tidak dapat mengaut semua keuntungan itu untuk diri sendiri.



Jika saudara terbitkan sendiri, saudara lebih banyak buat duit sebab saudara mendapat royalti dan saudara juga mendapat margin keuntungan antara kos pengeluaran dan harga jualan.



Tetapi ingat, jika saudara terbitkan sendiri buku-buku saudara itu, ada kosnya. Salah satu kos itu adalah 'kos sosial'.



Kos sosial adalah kerugian yang tidak melibatkan ringgit dan sen. Jadi, daripada segi bisnes saudara mungkin lebih untung dengan menerbitkan sendiri buku-buku saudara, tetapi daripada segi sosial saudara rugi.



Jika saudara bukan orang yang ternama, menjadi penerbit dapat mencipta nama bagi diri saudara. Tetapi jika saudara adalah seorang yang sangat terkenal, dengan menjadi penerbit kepada buku-buku saudara sendiri, ia boleh menyebabkan saudara mengalami apa yang disebut 'kecederaan sosial'.



Kecederaan sosial melibatkan perkara-perkara seperti imej, status dan maruah saudara pada mata orang lain. Inilah salah satu fenomena yang sedang diperbualkan oleh komuniti industri buku sekarang.



Salah satu gosip yang sedang berpindah dari satu mulut ke mulut lain adalah bagaimana suami kepada salah seorang pengarang terkenal sekarang menjadi “pengutip hutang sahaja” bagi buku-buku isterinya.



Di sini, siapakah yang mengalami kecederaan sosial itu – si pengarang terkenal itu ataukah suaminya, ataupun mereka berdua?



Bagaimanakah caranya saudara dapat menerbitkan sendiri buku-buku saudara dengan tidak mecacatkan imej saudara sebagai pengarang terkenal, serta imej pasangan saudara?



Jadilah penerbit yang full-fledge.



Ambil kakitangan profesional bagi menjalankan tugas-tugas dalam syarikat penerbitan saudara itu. Jangan takut membayar gaji pekerja profesional. Jangan berjimat tidak kena pada tempatnya.



Sesetengah tugas, apabila saudara sendiri yang melaksanakannya, ia mencacatkan imej saudara, manakala sesetengah tugas akan menaikkan lagi imej saudara.



Kenal pasti kerja-kerja yang melibatkan kos sosial, dan ambil pegawai khas bagi menjalankan tugas-tugas itu. Jangan hantar suami ataupun isteri saudara menjadi pengutip hutang, ataupun menjadi drebar saudara ke sana sini membuat kerja-kerja yang mencederakan imej saudara sebagai pengarang terkenal.





 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Baru ataupun Buku Ulangcetak?

Entri ini membincangkan bisnes buku-buku umum, bukan novel cinta!



Jika saudara menjadi penerbit kecil, modal operasi saudara juga kecil. Lazimnya cetakan pertama saudara adalah antara 1500 hingga 3000 naskhah, bergantung kepada jenis buku. Apabila stok sudah habis, saudara akan ulangcetak buku itu dari waktu ke waktu.



Salah satu dilema yang saudara akan alami adalah membuat keputusan tentang judul mana yang harus dicetak dahulu – buku judul baru ataupun buku judul ulangcetak?



Jika saudara cetak judul baru, saudara belum pasti bagaimana sambutan pembeli kepada judul itu. Mungkin laku banyak, mungkin tidak. Mungkin untung banyak, mungkin rugi banyak.



Jika judul baru itu laku, buku itu laju keluar dari setor saudara. Dalam tempoh 6 bulan saudara dapat menjual semua 3000 naskhah yang dicetak. Aliran tunai saudara terjaga. Kakitangan bahagian editorial seronok sebab prestasi mereka naik, yakni buku yang mereka edit terbit.



Jika judul baru itu tidak laku, selepas 2 tahun saudara mungkin masih mempunyai 2000 naskhah tidak terjual dalam setor saudara. Apa juga judul, kalau selepas 2 tahun masih tersangkut dalam setor, ertinya buku itu tidak dapat dijual lagi.



Jika saudara ulangcetak judul yang pernah terbit, saudara tahu memang permintaan bagi buku itu masih ada sebab agen-agen dan kedai-kedai buku masih membuat pesanan. Kakitangan bahagian jualan seronok apabila saudara mengulangcetak judul itu disebabkan jumlah jualan mereka naik dan pelanggan mereka puas hati buku yang dipesan dapat dibekalkan.



Mengapakah ada kalanya penerbit tidak mengulang cetak buku yang sudah tidak ada dalam pasaran, walaupun permintaan masih ada?



Sebuah penerbit besar yang sudah berusia 37 tahun, cuma mengulang cetak judul-judul yang menerima pesanan dari kedai-kedai buku lebih daripada 400 unit. Jika kurang daripada itu, judul tersebut tidak diulangcetak. Mengapa?



Jumlah 400 itu adalah indikator populariti sesuatu judul buku. Judul-judul yang sudah habis dalam stok tetapi masih menerima pesanan lebih daripada 400 unit bermakna judul itu popular dan boleh diulangcetak sebanyak 2000 naskhah lagi dan semuanya dapat dijual dalam tempoh 2 tahun.



Jika pesanan kurang daripada 400, permintaan bagi judul itu masih ada, tetapi berisiko jumlah permintaan yang sebenar adalah kurang daripada 2000 naskhah. Jika saudara cetak juga judul itu, saudara tidak akan dapat menjual semua 2000 unit itu dan saudara tersangkut dengan masalah stok tidak laku. Dari sudut akaunting, stok yang tidak laku adalah ASET syarikat, oleh itu dikenakan cukai! Sudahlah buku tidak laku, saudara kena bayar cukai lagi!



Judul-judul ulangcetak yang popular sekalipun, ia bergerak keluar setor lebih perlahan, oleh itu dari sudut pusingan modal, buku-buku ulangcetak tidak berapa menguntungkan, malah berisiko. Kalau memang saudara tidak mempunyai judul baru yang hendak dicetak, bolehlah saudara mengulang cetak judul lama, daripada tidak ada langsung.



Bagi judul-judul baru, lazimnya 2000 unit dapat dihabiskan dalam tempoh 6 bulan hingga 1 tahun. Bagi judul ulangcetak, ia mungkin mengambil masa 3 tahun.



Jadi, jika di atas meja saudara ada senarai judul-judul yang hendak dihantar ke pencetak, yang manakah yang akan saudara hantar – judul baru ataupun judul ulangcetak?



Dengan modal operasi yang kecil, keputusan saudara memilih judul yang akan dihantar ke pencetak adalah keputusan yang kritikal.



Banyak penerbit kecil tutup kedai dalam tempoh 3 tahun selepas memulakan bisnes disebabkan stok yang tidak bergerak dalam setor. Stok itu mungkin stok judul baru yang tidak laku, ataupun stok ulangcetak yang terlebih cetak.





 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Penerbitan Buku
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, March 01, 2006

Cinta al-Aziz kepada Zulaikha

Suatu persoalan yang bagaikan tidak masuk akal adalah peristiwa cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf.


Peristiwa itu berlaku di Mesir, beribu-ribu tahun dahulu, pada zaman sewaktu pembesar-pembesar raja mempunyai ramai isteri dan gundik, dan kedudukan perempuan teramat rendah.


Maka, apakah faktor-faktor yang menyebabkan al-Aziz, suami Zulaikha, sebagai seorang lelaki dan seorang pembesar dalam istana Raja Mesir, melakukan apa yang dilakukannya apabila berdepan dengan masalah rumahtangganya itu?


Zulaikha jatuh cinta kepada Nabi Yusuf. Dia cuba memerangkap Nabi Yusuf supaya masuk ke dalam kamarnya. Apabila terserempak dengan suaminya, dia berdusta. Katanya, “Kekanda, apakah balasan bagi orang yang cuba berbuat serong dengan isteri kekanda?”


Kemudian Zulaikha mengapi-apikan emosi marah dan cemburu suaminya dengan berkata lagi, “Tidak ada lain, kecuali dia dipenjarakan ataupun disiksa dengan siksaan yang pedih.”


Sebagai seorang lelaki, apabila al-Aziz melihat dengan matanya sendiri baju Nabi Yusuf koyak di belakang, yang membuktikan isterinya yang mengajak Nabi Yusuf berbuat serong di dalam kamar tidurnya, apakah yang dilakukan oleh al-Aziz?


Seperti tidak masuk akal, si pembesar raja Mesir itu hanya memarahi isterinya dengan berkata kepadanya, “Ini semua tipu daya kamu! Sesungguhnya tipu daya kamu itu amat berbahaya.”

Kemudian suami Zulaikha meminta Nabi Yusuf supaya melupakan peristiwa itu. Kata al-Aziz, “Yusuf, lupakanlah peristiwa ini.”


Selepas itu al-Aziz menyuruh Zuklaikha bertaubat, katanya, “Kamu minta ampun atas dosa kamu itu. Sesungguhnya kamu orang yang bersalah.”


Selepas kejadian itu, Siti Zulaikha terus menggilai Nabi Yusuf, perkara ini tentu disedari oleh suaminya. Bagaikan tidak masuk akal, al-Aziz tidak menghalau Nabi Yusuf keluar dari rumahnya, sebaliknya, lelaki yang digilai oleh isterinya itu dibenarkan terus tinggal di dalam rumahnya.


Apakah al-Aziz mahu menutup skandal isterinya itu demi menjaga maruahnya sendiri?


Mengapakah al-Aziz tidak membebaskan sahaja Nabi Yusuf yang pada waktu itu Nabi Yusuf adalah hambanya, pada hal, pada zaman dahulu, hamba yang menyebabkan masalah kepada tuannya layak dihukum bunuh. Sebaliknya dia membenarkan Nabi Yusuf terus tinggal di dalam rumahnya,


Skandal itu tidak dapat dirahsiakan sehingga menjadi perbualan dan umpat keji di kalangan isteri-isteri pembesar Raja Mesir.


Disebabkan sakit hatinya oleh umpat keji itu, Zulaikha mengundang perempuan-perempuan itu datang menjamu selera di rumahnya, supaya dia dapat memulangkan paku buah keras mereka.


Apabila perempuan-perempuan itu tercengang-cengang melihat sendiri penampilan Nabi Yusuf, mereka yang pada saat itu sedang memegang pisau buah-buahan, tanpa disedari mereka terpotong jari masing-masing.


Kemudian Zulaika memulangkan paku buah kerasnya kepada mereka dengan berkata, “Dialah lelaki yang kamu umpat aku kerana aku tergoda olehnya.”


Kemudian seperti tidak masuk akal, di depan semua perempuan-perempuan itu, dan di depan Nabi Yusuf, Zulaikha dengan berani mengemukakan suatu pengakuan, katanya, “Memang aku yang menggodanya, tetapi dia menolak.”


Apakah faktor yang mengizinkan Zulaikha begitu berani dan yakin bahawa dengan pengakuannya itu suaminya tidak akan mengapa-apakan dirinya?


Kemudian, disaksikan oleh semua yang ada dalam majlis itu, Zulaikha mengancam Nabi Yusuf, katanya, “Percayalah, jika dia menolak hasratku, dia akan dipenjarakan, sehingga dia menjadi orang yang hina!”


Di hadapan semua perempuan-perempuan itu, Nabi Yusuf menjawab acaman Zulaikha dengan berkata, “Aku lebih sukakan penjara daripada apa yang ditawarkan kepadaku.”


Selepas peristiwa itu, Zulaikha terus menggilai Nabi Yusuf, tetapi Nabi Yusuf terus menolak. Apabila tingkah laku Zulaikha tetap tidak berubah, akhirnya Nabi Yusuf dihadapkan ke pengadilan dan beliau dihukum penjara.


Siapakah yang mengambil langkah membuat aduan kepada Raja Mesir bagi memenjarakan Nabi Yusuf? Adakah Zulaikha? Dia pernah bersumpah di depan perempuan-perempuan Mesir itu jika Nabi Yusuf masih enggan membalas cintanya dia akan mengambil tindakan supaya Nabi Yusuf dipenjarakan.


Kita berpendapat, bukan Zulaikha yang membuat aduan itu, disebabkan semua perempuan yang hadir dalam majlis jamuan itu akan bersumpah bahawa mereka sendiri mendengar Zulaikha mengakui bahawa Nabi Yusuf tidak bersalah.


Kita berpendapat, al-Aziz, suami Zulaikha yang mengambil langkah memenjarakan Nabi Yusuf. Tetapi mengapa?

Apakah al-Aziz membuat aduan itu sebagai usaha bagi memisahkan isterinya daripada terus mendapat peluang mendekati Nabi Yusuf selagi Nabi Yusuf masih berada di dalam rumahnya.


Di depan pengadilan, sebagaimana yang dikatakannya bahawa penjara adalah lebih disukainya, Nabi Yusuf tidak membela dirinya dengan memanggil saksi-saksi yang begitu ramai, termasuk saksi yang nampak bahawa bukti bajunya yang terkoyak di belakang. Dia memilih penjara supaya Zulaikha tidak dapat mengganggunya lagi.


Selepas Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara, Zulaikha tetap dengan statusnya sebagai isteri al-Aziz.


Akhirnya, bertahun-tahun kemudian, selepas Nabi Yusuf membacakan taabir mimpi Raja Mesir, barulah kesnya didengar semula. Di depan Raja Mesir Zulaikha membuat pengakuan bahawa Nabi yusuf tidak bersalah.


Inilah materi yang menjadikan kisah cinta Nabi Yusuf ini kisah cinta yang paling indah.


Cinta siapakah yang lebih mendalam – cinta Zulaikha kepada Nabi Yusuf, ataukah cinta al-Aziz kepada Zulaikha?


Mungkinkah al-Aziz amat mencintai Zulaikha, dan mengapakah demikian sekali cintanya?


Ataukah ada faktor-faktor lain yang memaksanya bersabar sahaja dengan tingkah laku isterinya itu?


Mungkinkah al-Aziz mempunyai kepentingan lain yang amat dicintainya, di mana kunci kepada kecintaannya itu berada dalam genggaman Zulaikha.


Jika ini benar, siapakah Zulaikha, sehingga al-Aziz sanggup menjadi lelaki dayus.


Mungkinkah al-Aziz yang membawa Nabi Yusuf ke muka pengadilan Raja Mesir dan mengemukakan tuduhan fitnah ke atas Nabi Yusuf, supaya dia dijatuhi hukuman penjara, dan dengan itu maruahnya sebagai lelaki terjaga.


Bukankah al-Aziz sedar bahawa Nabi Yusuf dapat dengan mudah mengemukakan bukti dan saksi-saksi yang ramai bahawa Zulaikhalah yang mengajaknya berbuat serong. Jika ini berlaku, tidakkah akan terbuka skandal isterinya kepada pengetahuan raja?


Apabila dibawa ke pengadilan, Nabi Yusuf tidak memanggil saksi-saksi dan tidak mengemukakan bajunya sebagai bukti, sehingga Raja Mesir menjatuhkan hukuman penjara ke atasnya. Dan memang Nabi Yusuf sudah pun mengatakan bahawa dia lebih cintakan penjara daripada memenuhi kehendak Zulaikha.


Tetapi siapa yang membawakan kes itu ke pengadilan Raja Mesir?


Mungkinkah al-Aziz dan Nabi Yusuf mempunyai persefahaman awal dalam episod pemenjaraan Nabi Yusuf itu?



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, February 28, 2006

Sinopsis yang Diluluskan

Tahniah!Berikut adalah nama mentee-mentee yang projek CR mereka diluluskan:

1. Normah Mohd. Sir
2. Ir. Ahmad Jais Alias
3. Aishah Mahmood
4. Engku Zainun Engku Abd Rahman
5. Imaduddin Zainal Arifin
6. Noor Halilah Mohd. Halim
7. Mas Hasifah Hamin
8. Nabilah Hassan
9. Zamri Mohamad
10. Abd Malek Othman
11. Najib Awang Hassan
12. Umi Kalthum Ngah
13. Saridah Hamid
14. Zalimatunura Isa
15. Faizah Mohd Shafawi
16. Ahmad Roslan Abd Yazid
17. Mohamad Kholid Hamzah
18. Saripah Bakar
19. Azman Che Mat
20. Ida Munira Abu Bakar
21. Siti Rafidah Hassan Basri
22. Khairul Ashraf Basul Hak
23. Norziati Mohd. Rosman
24. Hazrul Hafizi Mohd. Noh

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Novel
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Dewan Industri Buku Melayu Malaysia

Kita mendengar gosip ini, iaitu pada hari Jumaat 3hb Mac, Timbalan Perdana Menteri akan merasmikan penubuhan Dewan Industri Buku Melayu Malaysia (DIBMM), di Hotel Legend. Penaungnya adalah Dato' Rais Yatim.


Kita bertanya-tanya, bukankah kita sudah ada Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK) yang urusetianya diletakkan di Kementerian Pelajaran, dan pengerusinya adalah Menteri Pelajaran sendiri? MKBK inilah yang menjadi urusetia acara tahunan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.


Kita tidak tahu menahu tentang penubuhan MIBMM, top-top akan dirasmikan oleh TPM. Sehingga hari ini kita belum menerima undangan ke majlis pelancaran itu.


Nampaknya buku Melayu mempunyai dua bapa angkat sekarang, menteri pelajaran dan menteri warisan.


Hidup Buku Melayu!


Nota 1 Mac: Maklumat terkini yang kita tahu, organisasi ini adalah Dewan (bukan majlis). Disebabkan ia adalah sebuah "dewan industri" maka ia overlap dengan banyak organisasi yang sedia ada seperti persatuan-persatuan penerbit, pencetak, pengimpot, dan kontraktor.


Kita juga baru terima kad undangan majlis pelancarannya di Legend, Jumaat 3Mac jam 3 ptg.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Gosip industri
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tanda Tanya dalam Kisah Indah

Dalam novel SALINA oleh A Samad Said, Salina adalah seorang perempuan “P” di kota Singapura pada zaman pendudukan Jepun sewaktu Perang Dunia II.


Salina adalah "P" yang juga disimpan oleh seorang lelaki jahat bernama Abdul Fakar. Sepanjang membaca SALINA, kita tertanya-tanya mengapakah Salina sanggup disimpan oleh seorang lelaki jahat yang kejam terhadapnya itu.


Akhirnya kita diberitahu bahawa rupa-rupanya Abdul Fakar mempunyai ira-iras wajah arwah kekasih pertama Salina. Noktah. Tidak ada lagi tanda tanya.


Dalam teori novel Islami mazhab surah Yusuf, kahadiran persoalan yang tiada disertai jawapannya adalah unsur keindahan. Maksudnya, dalam sebuah kisah yang indah perlu ada tanda tanya yang tidak diberikan jawapannya oleh pengarang.


Ini adalah berdasarkan banyaknya maklumat yang tidak diberikan dalam kisah Nabi Yusuf, sehingga sudah lebih 1400 tahun kemudian kita masih tertanya-tanya, mengapa, mengapa, mengapa?


Dari sudut pandang teori novel Islami, apabila semua persoalan diterangkan jawapannya, maka jawapan-jawapan itu menjadi unsur kecacatan.


Justeru, kisah yang indah adalah kisah yang meninggalkan dalam minda pembacanya pelbagai tanda tanya.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Sifu Fuad Latip

Saudara baca laman ini www.myorionet.com


Sdr. Fuad Latip lebih dikenali dengan nama blognya manmoncang. Beliau adalah pensyarah di UiTM.


Kita turut memuji sikap beliau yang menyampaikan ilmu IT-nya dalam bahasa Melayu dengan percuma. Pembaca-pembacanya memuji-muji beliau yang membuka laman dengan sikap demikian.


Tuhanku, perbanyakkanlah lagi cendekiawan Melayu seperti Sifu Fuad Latip! Amin!


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Iklan & Notis
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Dr. Haidar Bagir di Kuala Lumpur

Dr. Haidar Bagir adalah Chairman Mizan Group Jakarta, penerbit kedua terbesar di Indonesia, selepas PT Gramedia. PhD beliau adalah dari Havard. Beliau menubuhkan Mizan pada usia 25 tahun, sejurus lulus universiti. Kini Mizan Group terdiri daripada 16 anak-anak syarikat yang menerbitkan lebih 1000 judul setahun.


Hari ini Dr. Haidar dan isteri berada di Kuala Lumpur selama 5 hari, dalam perjalanan ke London. Mengapa 5 hari?


Beliau sedang dalam rangka menjalankan tinjauan bisnes bagi mengembangkan sayap Mizan di negara ini.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Buku Indonesia
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, February 27, 2006

Perempuan Nombor Dua

Perempuan adalah salah satu unsur keindahan dalam novel Islami. Ertinya, karya yang tidak mengemukakan perempuan dalam barisan watak-watak utamanya tidak akan mencapai kualiti yang lebih indah.


Jadi, demi keindahan karya, watak perempuan perlu ada, dan perlu diberikan peranan penting, barulah sesuatu kisah itu menjadi indah. Justeru, ketiadaan watak perempuan adalah unsur kecacatan dalam teori novel Islami.


Berdasarkan teori sastera Islami mazhab surah Yusuf, dalam sebuah kisah yang indah, kedudukan perempuan adalah sebagai watak pembantu utama, bukan sebagai watak utama. Ini adalah berdasarkan kedudukan Zulaikha dalam kisah Nabi Yusuf.


Dengan menganalisis peranan watak Zulaikha, unsur meletakkan watak perempuan sebagai watak utama adalah unsur kecacatan pada keindahan cerita. Sudut pandang ini tentu sekali tidak dapat diterima oleh gerakan pembebasan wanita!


Apakah kelebihannya apabila lelaki menjadi watak utama?


1. Cerita di mana lelaki menjadi heronya dapat digemari oleh pembaca lelaki dan perempuan, dengan itu pasarannya lebih besar, dan daya pengaruhnya juga lebih meluas.


2. Cerita di mana heronya adalah perempuan hanya digemari oleh perempuan, dengan itu pasarannya lebih kecil, dan wilayah pengaruhnya lebih sempit.


Di sini timbul isu, bagaimana jikalau novel itu memang kisah seorang perempuan? Bagaimanakah cara menuliskannya tanpa menjadikan perempuan sebagai watak utama? Dalam surah Yusuf, kisah Zulaikha menjadi sebahagian daripada kisah Nabi Yusuf. Tuhanlah yang lebih tahu.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, February 26, 2006

Cerita yang Membahayakan Psyche Melayu

Apa yang 'Melayu' belum tentu baik. Ada yang baik, ada yang tidak baik.



Salah satu perkara 'Melayu' yang mengandungi mesej negatif dan berbahaya kepada psyche orang Melayu adalah cerita-cerita rakyat yang amat terkenal kerana cerita-cerita itu dibukukan dan dijual ke perpustakaan sekolah-sekolah.



Kementerian Pelajaran hendaklah mengharamkan buku-buku berbahaya seperti itu daripada dibeli oleh sekolah-sekolah. Guru-guru hendaklah ditegah daripada menggunakan cerita-cerita seperti itu sebagai contoh apabila bercakap kepada murid-murid.



Berikut adalah senarai cerita-cerita yang mensabotaj psyche Melayu:



1. Cerita Si Tanggang yang tidak sempat bertaubat dan ibu yang sanggup menyumpah anaknya menjadi batu. Dalam Islam, ibu-ibu dikehendaki supaya mengampunkan dosa anak-anak mereka. Hukuman anak derhaka bukan menjadi batu.



2. Cerita Lebai Malang yang menghina orang alim dan kaum agama.



3. Cerita Batu Belah Batu Bertangkup, kisah perempuan bunuh diri.



4. Cerita Bawang Putih Bawang Merah, kisah ibu dan saudara tiri yang jahat. Nabi Muhammad adalah seorang ayah tiri, manakala Aishah adalah ibu tiri.



5. Cerita Si Badang yang memakan muntah hantu, benda haram.



6. Cerita hantu Kelembai yang mempunyai kuasa menyamai kuasa Tuhan.



7. Cerita kebodohan Si Luncai, Pak Belalang, Pak Pandir dan Pak Kadok yang menghina otak orang Melayu.



8. Cerita Mat Jenin yang menakut-nakutkan orang Melayu supaya jangan berani mempunyai cita-cita tinggi.




Kita perlu menggantikan cerita-cerita rakyat yang ada itu dengan yang baru, cerita-cerita yang meninggalkan pengaruh positif ke atas psyche orang Melayu.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Novel
(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, February 25, 2006

Kartun Cina

BBC semalam, 24 Feb, menyiarkan berita yang menggemparkan industri kartun seluruh dunia.Beijing sudah mengambil langkah supaya kartun dan animasi dari luar negara itu tidak disiarkan lagi di saluran-saluran TV negara itu. Langkah tersebut adalah bagi melindungi dan menggalakkan pertumbuhan industri animasi dan kartun dalam negara.

Siri animasi Tele Bubble adalah terbitan BBC dan sedang ditayangkan di Cina.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Komik & Ilustrasi
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, February 23, 2006

Perempuan dalam Teori Novel Islami

Perempuan adalah salah satu unsur keindahan dalam novel Islami. Ertinya, karya yang tidak mengemukakan perempuan dalam barisan watak-watak utamanya tidak akan mencapai kualiti yang lebih indah.

Jadi, demi keindahan karya, watak perempuan perlu ada, dan perlu diberikan peranan penting, barulah sesuatu kisah itu menjadi indah. Justeru, ketiadaan watak perempuan adalah unsur kecacatan dalam teori novel Islami.

Berdasarkan teori sastera Islami mazhab surah Yusuf, dalam sebuah kisah yang indah, kedudukan perempuan adalah sebagai watak pembantu utama, bukan sebagai watak utama. Ini adalah berdasarkan kedudukan Zulaikha dalam kisah Nabi Yusuf.

Dengan menganalisis peranan watak Zulaikha, unsur meletakkan watak perempuan sebagai watak utama adalah unsur kecacatan pada keindahan cerita. Sudut pandang ini tentu sekali tidak dapat diterima oleh gerakan pembebasan wanita!

Apakah kelebihannya apabila lelaki menjadi watak utama?

1. Cerita di mana lelaki menjadi heronya dapat digemari oleh pembaca lelaki dan perempuan, dengan itu pasarannya lebih besar, dan daya pengaruhnya juga lebih meluas.

2. Cerita di mana heronya adalah perempuan hanya digemari oleh perempuan, dengan itu pasarannya lebih kecil, dan wilayah pengaruhnya lebih sempit.

Di sini timbul isu, bagaimana jikalau novel itu memang kisah seorang perempuan? Bagaimanakah cara menuliskannya tanpa menjadikan perempuan sebagai watak utama? Dalam surah Yusuf, kisah Zulaikha menjadi sebahagian daripada kisah Nabi Yusuf. Tuhanlah yang lebih tahu.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Surah Yusuf: Nasib Malang sebagai Unsur Keindahan

Nasib malang adalah unsur keindahan dalam sastera Islami. Ertinya, kisah yang tidak mengandungi unsur nasib malang tidak akan lebih tinggi nilai keindahannya.


Berdasarkan teori novel Islami mazhab surah Yusuf, watak utama perlu mengalami rentetan nasib malang. Berapa kalikah watak utama perlu menempuh nasib malang dalam sebuah kisah yang indah?


Lima kali.


Ya, hero dalam novel Islami menempuh malang sebanyak 5 kali. Ini adalah berdasarkan apa yang dialami oleh Nabi Yusuf:


1. Nabi Yusuf dicemburui oleh abang-abangnya sendiri sehingga mereka cuba membunuhnya dengan mencampakkannya ke dalam telaga.


2. Nabi Yusuf dijual sebagai hamba oleh saudagar dengan harga yang amat murah.


3. Beliau difitnah oleh isteri majikannya yang gagal menggodanya.


4. Beliau dimasukkan ke dalam penjara meskipun suami majikannya tahu isterinyalah yang menggoda beliau.


5. Sewaktu di dalam penjara, rakan banduan yang diberi pesan supaya berusha membantu beliau dibebaskan, terlupa, sehingga Nabi Yusuf merengkok lebih lama dalam penjara itu.


Mengapakah dalam kisah Nabi Yusuf yang indah itu, watak utama menempuh 5 kali nasib malang? Mengapa tidak sekali, ataupun 4 kali, ataupun 10 kali? Tuhanlah yang lebih mengetahui.


.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tewasnya Budak Besar Komik Melayu

Topik hangat yang dibincangkan dalam bengkel komik Sdr Zunar pada 19hb Februari lalu adalah kejatuhan majalah komik Gila-Gila daripada tahtanya sebagai majalah humor paling popular pada suatu masa dahulu.

Faktor paling utama yang berjaya menjatuhkan Gila-Gila adalah banyaknya majalah-majalah komik yang kecil-kecil, yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit independent, yang menawarkan genre humor yang serupa dengan apa yang ditawarkan oleh Gila-Gila.

Pelukis-pelukis komik yang diketengahkan oleh Gila-Gila telah keluar satu demi satu, meninggalkan majalah humor itu, dan menjadi penerbit independent. Begitu banyaknya komik humor independent masuk ke dalam pasaran, sehingga akhirnya semua pihak gagal dan menanggung kerugian.

Walaupun waktu itu Gila-Gila sudah besar, namun ia tidak berupaya melawan komik-komik kecil yang begitu banyak. Komik-komik kecil itupun akhirnya mati disebabkan mereka bukan hanya perlu berlawan dengan Gila-Gila, malah mereka perlu berlawan sama sendiri. (Baca blog Kalamtimur untuk sejarah ringkas kebangkitan dan kejatuhan komik Melayu.)

Trend yang sedang berlaku sekarang dalam pasaran novel cinta ada persamaannya dengan apa yang pernah berlaku kepada Gila-Gila.

Fenomena penulis-penulis novel cinta, yang menjadi popular kerana diketengahkan oleh Creative dan Alaf21, keluar dan menjadi penerbit independent sedang menyebabkan berulangnya pengalaman Gila-Gila ke atas Creative dan Alaf. Maklumat pasaran menunjukkan kehadiran mereka sudah pun dapat menyebabkan turunnya jumlah cetakan pertama novel-novel Creative, Alaf21, Utusan, Rythm dan Times.

Dalam dunia penerbitan lokal, gosip sedang tersebar bahawa seorang lagi nama besar dalam novel cinta akan menjadi penerbit independent. Dikatakan sekumpulan penulis lain daripada sebuah penerbit besar sudah menyerahkan novel-novel baru mereka kepada nama besar itu.

Dalam menghadapi senario seperti ini, apakah yang sebaiknya dilakukan oleh NB Kara, Media Intens, KakiNovel dan KarnaDya? Mereka berempat bukan hanya perlu berlawan dengan Creative dan Alaf21, mereka perlu berlawan dengan Utusan, Rythm, Times dan lain-lain penerbit kecil.

Kejatuhan Gila-Gila menyebabkan tidak ada lagi Budak Besar yang mampu memimpin industri komik Melayu. Akibatnya, pintu industri komik Malaysia terbuka luas kepada kemasukan komik-komik impot. Kini komik-komik Melayu bukan hanya berlawan sesama sendiri, mereka harus berlawan dengan komik-komik impot.

Walaupun kita masih dapat membaca komik-komik tempatan, namun gaya persembahan komik-komik itu meniru bulat-bulat komik impot, suatu fenomena yang tidak menawarkan keuntungan kepada nilai-nilai kebudayaan Melayu. Kita menanggung dua kekalahan sekarang, kalah bisnes dan kalah budaya.

Demi kepentingan ekonomi dan budaya nasional, industri buku Melayu memerlukan kewujudan Budak-budak Besar bagi tiap-tiap kategori produk. Tanpa kehadiran Budak Besar, tidak ada pihak yang mempunyai kekuatan menentang dan menepis serangan budak-budak lari luar negara.

Kebangkitan Creative dan Alaf21 dalam pasaran sastera popular dan novel cinta remaja telah berjaya menyekat serangan novel-novel cinta terjemahan dari Barat, yang mengandungi unsur-unsur budaya Barat yang dapat mempengaruhi secara negatif akhlak pembaca.

Para penerbit Melayu yang sudah besar perlu berfikir dengan menggunakan Jiwa Besar, jika tidak kita akan dibunuh oleh budak-budak kita sendiri. Mereka pun belum tentu dapat menjadi Budak Besar yang mampu memimpin industri penerbitan Melayu.

Apakah faktor yang mendorong pelukis-pelukis komik Melayu dan penulis-penulis novel cinta lari daripada Creative dan Alaf21, lalu menubuhkan syarikat sendiri? Trend ini mesti dibendung, kerana trend beginilah yang telah membunuh Gila-Gila.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sains Penulisan
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, February 22, 2006

Surah Yusuf: Nasib Malang sebagai Unsur Keindahan

Nasib malang adalah unsur keindahan dalam sastera Islami. Ertinya, kisah yang tidak mengandungi unsur nasib malang tidak akan lebih tinggi nilai keindahannya.


Berdasarkan teori novel Islami mazhab surah Yusuf, watak utama perlu mengalami rentetan nasib malang. Berapa kalikah watak utama perlu menempuh nasib malang dalam sebuah kisah yang indah?


Lima kali.


Ya, hero dalam novel Islami menempuh malang sebanyak 5 kali. Ini adalah berdasarkan apa yang dialami oleh Nabi Yusuf:


1. Nabi Yusuf dicemburui oleh abang-abangnya sendiri sehingga mereka cuba membunuhnya dengan mencampakkannya ke dalam telaga.


2. Nabi Yusuf dijual sebagai hamba oleh saudagar dengan harga yang amat murah.


3. Beliau difitnah oleh isteri majikannya yang gagal menggodanya.


4. Beliau dimasukkan ke dalam penjara meskipun suami majikannya tahu isterinyalah yang menggoda beliau.


5. Sewaktu di dalam penjara, rakan banduan yang diberi pesan supaya berusha membantu beliau dibebaskan, terlupa, sehingga Nabi Yusuf merengkok lebih lama dalam penjara itu.


Mengapakah dalam kisah Nabi Yusuf yang indah itu, watak utama menempuh 5 kali nasib malang? Mengapa tidak sekali, ataupun 4 kali, ataupun 10 kali? Tuhanlah yang lebih mengetahui.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Komik & Ilustrasi
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 114 of 125 pages « First  <  112 113 114 115 116 >  Last »