Hakcipta dan Hak Penerbitan adalah dua konsep yang mesti difahami oleh penulis, demi kebaikan penulis sendiri. Banyak penulis mengalami kerugian besar disebabkan mereka tidak memahami kedua-dua konsep ini.
Banyak penulis hanya faham konsep 'hakcipta' sahaja. Malah ada Sasterawan Negara yang tidak faham wujudnya apa yang disebut 'hak penerbitan'. Akibatnya mereka menandatangani perjanjian penerbitan yang amat merugikan penulis.
Apabila saudara menulis buku, secara automatik hakcipta dan hak penerbitan buku itu adalah saudara punya. Sesiapa yang memiliki hakcipta karyanya, dia juga memiliki hak penerbitan karya itu.
Baik hakcipta mahupun hak penerbitan, kedua-dua boleh dipindahkan kepada pihak lain.
Jadi ada penulis yang menjual hakciptanya kepada penerbit. Sebagai contoh, novel Keris Mas Saudagar Besar dari Kuala Lumpur hakciptanya sudah dibeli oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jadi hakcipta karya itu sudah menjadi milik DBP. Hak penerbitannya juga dimiliki oleh DBP.
Implikasinya, jikalau besok novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur itu diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh sebuah penerbit Jepun, dan berjaya dijual 100 ribu naskhah di sana, semua royaltinya diambil oleh DBP. Hakcipta versi terjemahan itu pula dimiliki oleh pihak Jepun. Jika novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Hindi di India, hakcipta versi terjemahan itu dimiliki oleh pihak di India. Royaltinya juga diambil oleh DBP.
Bagi penulis yang tidak menjual hakcipta bukunya kepada DBP, apakah yang mengizinkan DBP menerbitkan buku saudara? Begini. Saudara telah memberikan kepada DBP hak menerbitkan, mencetak, menyimpan, mengedar dan menjual buku saudara. Sebagai imbalan, saudara dibayar sekian-sekian banyak royalti ataupun honorarium.
Isunya sekarang, berapa lama tempoh yang saudara benarkan DBP memegang hak menerbiktan buku saudara itu?
Cuba saudara baca balik klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani dengan DBP. Ada ataupun tidak dinyatakan tempoh hak penerbitan yang saudara berikan kepada DBP - selama 1 tahun, 5 tahun, 20 tahun, ataupun tanpa had waktu, ataupun 'selagi ada bulan dan matahari'?
Dalam tempoh hak penerbitan, walaupun hakcipta buku itu saudara punya, tetapi saudara tidak boleh menukar penerbit saudara. Dalam dokumen perjanjian penerbitan dengan DBP, tidak disebutkan had tempoh hak penerbitan itu. Ini bermakna, saudara menyerahkan hak penerbitan buku saudara itu kepada DBP sampai bila-bila!
Katakanlah, sudah 10 tahun DBP tidak mahu mengulangcetak buku saudara, namun saudara tidak boleh menyerahkan buku saudara itu kepada penerbit lain menerbitkan buku saudara itu. Yang berhak menerbitkan buku saudara adalah DBP sahaja. DBP mahu terbit semulakah, tidak mahu terbit semulakah, itu hak DBPlah. Inilah yang dialami oleh SN Dato' A Samad Said.
Memang hakcipta buku saudara masih saudara punya, tetapi jikalau saudara hendak menjual hakcipta buku itu kepada penerbit lain, penerbit itu tidak boleh menerbitkan buku itu, disebabkan hak penerbitannya masih dipegang oleh DBP.
Semua penulis DBP ambil perhatian perkara ini. Kita perlu berpakat membuat memorandum dan menyerahkannya kepada DBP meminta supaya DBP, sebagai sebuah penerbit milik penuh kerajaan, menyemak semula dokumen perjanjian penerbitan yang digunakannya sekarang, dan diselaraskan dengan hasrat kerajaan menggubal undang-undang harta intelektual, iaitu bagi melindungi harta intelektual rakyat negara ini.
DBP hendaklah membatalkan semua perjanjian penerbitan yang lama, yang tidak menyebut tempoh gunapakai dengan tepat. Mengikut peguam yang kita rujuk, sebarang perjanjian yang tidak menyebut dengan tepat tempoh gunapakai, maka perjanjian seperti itu tidak sah disebabkan ada unsur 'uncertainty' di dalamnya.
Kita perlu menyedarkan DBP bahawa ada klausa-klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan DBP sekarang yang tidak selaras dengan semangat undang-undang harta intelektual yang sudah lama dimaktubkan di negara kita yang tercinta ini.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
Subhanallah, Sifu. Sabar
Ok untuk sejukkan hati, saya umumkan bahawa saya membeli dua buah buku untuk anak saya; Di Bawah Naungan Cahaya Mu dan Srikandi Perisai Nabi, dua hari lepas.
Satu pertanyaan, mengapa bab-bab novel sai-fi Transgenesis terlalu panjang? Tidak bolehkah dipecah-pecahkan jadi bab-bab yang pendek?