Saturday, July 26, 2008

Editor dan Mak Andam

Ada persamaan antara tugas mak andam dengan tugas editor, iaitu mencantikkan wajah pelanggan bagi ditatap dan dinikmati oleh orang ramai. Anak dara yang cantik sekalipun tidak boleh mendakwa dia sudah cukup cantik dan tidak memerlukan khidmat profesional mak andam. Penulis yang terkenal sekalipun tidak boleh mendakwa bukunya tidak perlukan sentuhan editor lagi.

Dengan sentuhan tangan mak andam yang bagus, anak dara yang cantik kelihatan bertambah-tambah cantik. Demikian pula buku yang baik, di tangan editor yang bagus, buku yang elok bertambah elok.

Menurut seorang penulis novel cinta yang popular dan telah lari daripada penerbitnya yang pertama lalu berpindah kepada penerbitnya sekarang, dia mengambil langkah itu disebabkan perasaan tidak puas hati.

“Bukan soal duit,” katanya. “Penerbit itu bagus, dia tidak menipu saya.”

“Habis, mengapa masih tidak puas hati?”

“Editornya.”

“Mengapa dengan editornya?”

“Dia bercerita kepada penulis lain, katanya karya saya yang asal tidak berkualiti, sehingga banyak bahagian dia terpaksa tulis semula,” kata si penulis. “Jatuh maruah saya!”

Mak andam tidak boleh mengumpat pengantin yang disoleknya. Kalau betul sekalipun anak dara itu tidak cantik, etika mak andam tidak membenarkan dia mengumpat pelanggannya sendiri dengan berkata, "Pengantin perempuan itu tidak cantik, matanya sepet sebelah! Kalau saya tidak solek betul-betul, memang tidak ada siapa nak tengok dia bersanding atas pelamin."

Editor tidak boleh mengumpat penulisnya sendiri. Kalau betul sekalipun cerita asalnya lemah di sana sini, etika editor tidak membenarkan dia mengumpat dengan berkata, "Plot asal novel cinta si polan itu bodoh, banyak yang tidak logik. Kalau saya tidak betul-betulkan dan tokok tambah, bukunya takkan laku sampai 100 ribu naskhah."

Majoriti editor teks adalah perempuan. Penulis-penulis novel cinta adalah perempuan. Salah satu ciri personaliti perempuan adalah suka bercerita (baca, mengumpat) sesama perempuan.

Sebagaimana doktor-doktor tidak dibenarkan memberitahu rekod kesihatan pesakitnya kepada pihak lain, dari sudut etika kerja, editor-editor profesional juga tidak diizinkan melakukan perkara yang sama.

Jangan sekali-kali menceritakan kelemahan karya dan rahsia peribadi penulis kepada sesiapa sekalipun! Perbuatan itu melanggar etika profesion editor.

Tugas membedah kekuatan dan kelemahan karya adalah tugas pengkritik sastera dan mereka yang menulis resensi buku. Kelemahan karya adalah cermin kelemahan penulis (dan editornya).

Editor yang melanggar etika profesion ini layak diambil tindakan tatatertib oleh pihak pengurusan, kerana gagal menjaga hubungan baik dengan penulisnya, dan dengan itu dia telah menyebabkan syarikat kehilangan jutaan pendapatan masa hadapan.

Katakanlah, buku-buku penulis yang merajuk itu berupaya mencapai jumlah cetak 60 ribu naskhah setiap judul. Kalau pada masa depan beliau dapat menulis 10 buku dalam masa 10 tahun, ertinya syarikat kehilangan jualan 600 ribu naskhah. Jika satu naskah dijual RM20, berapa juta ringgit nilai jualan yang hilang?

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, January 16, 2008

Pembelian PNM 2007: Siapa Lebih Untung - Penulis ataupun Penerbit

Komuniti penulis sepatutnya berasa gembira apabila Menteri KEKKWa, YB Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim menyokong rancangan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mahu membolehkan para penulis menikmati sedikit wang rakyat pembayar cukai yang dibelanjakan bagi pembelian buku-buku untuk perbekalan perpustakaan awam seluruh negara.

YB Menteri itu sendiri adalah seorang penulis. Malah isterinya juga, Datin Seri Utama Masnah Rais adalah seorang sasterawan, jadi tidak hairanlah apabila beliau faham benar nasib para penulis tanah air kita yang penuh dengan kisah-kisah penindasan dan penipuan yang dilakukan oleh banyak penerbit.

Justeru mulai 2007, PNM memulakan sedikit perubahan pada prosedur pembeliannya, di mana bagi sebahagian judul, PNM terus membuat pesanan kepada penulis, bukan lagi kepada penerbit.

Dengan prosedur baru itu PNM memberi peluang penulis menikmati sedikit keuntungan kerana pembelian itu mengetepikan penerbit ataupun kontraktor sebagai pembekal. Pada sangkaan PNM, margin penerbit dan kontraktor dapat diberikan kepada penulis. 

Namun apa yang diharapkan oleh PNM dan YB Menteri itu tidak berlaku sepenuhnya. Walaupun ada prosedur baru itu, penerbit masih terus dapat menindas penulis kerana hak menerbitkan buku-buku itu sudah diberikan kepada penerbit. Ertinya penulis terpaksa membeli bukunya sendiri daripada penerbit dan kemudian barulah buku itu dapat dibekalkan kepada PNM.

Di situlah lemahnya kedudukan penulis.

Apakah yang dapat dilakukan oleh penulis apabila penerbit sudah memiliki hak penerbitan bukunya? Tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan oleh penulis. Di sisi undang-undang dia tidak boleh mencetak bukunya sendiri dan membekalkannya kepada PNM.

Jadi, banyak penerbit hanya memberi 10% potongan kepada penulis bagi membeli bukunya sendiri! (Kadar 10% adalah kadar yang diberikan oleh kedai buku kepada pembeli buku.)

Sebenarnya, prosedur baru PNM itu semakin menguntungkan penerbit. Dulu, penerbit terpaksa memberi potongan minimum 35% kepada kontraktor. Sekarang dia hanya perlu beri 10% kepada penulis. Memang prosedur PNM itu adalah rezeki durian runtuh buat si penerbit itu!

Kita mengajak para penerbit supaya bersikap menyokong dasar KEKKWA yang mahu membantu para penulis, dan marilah kita laksanakan amanah PNM sebagai agensi pelaksana dasar murni itu.

Mana-mana penerbit yang menindas penulisnya sendiri adalah amat tidak bijaksana kerana:

(1) Komuniti penulis kita amat kecil, mereka sentiasa bercakap sesama sendiri tentang perkara ini dan semua penulis akan tahu siapa buat apa dalam dunia penerbitan buku.

(2) Penulis-penulis itu juga akan bertukar-tukar maklumat berkenaan nama-nama penerbit yang tidak bekerjasama dengan PNM dan KEKKWA. Perbuatan tamak mereka itu pasti akan dilporkan kepada pegawai-pegawai PNM yang mentadbirkan projek pembelian itu. Nama mereka pasti akan disenarai-hitamkan oleh PNM. 

(3) Bukan itu sahaja, malah pada masa depan penulis-penulis yang ditindas itu akan bertukar kepada penerbit lain yang lebih baik hati dalam urusniaganya. Apabila itu berlaku ia tentulah amat merugikan penerbit itu sendiri.

Kata pepatah orang bisnes yang sudah lama dalam dunia perniagaan: Kalau hendak makan lama, jangan makan dengan tamak.... 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, November 07, 2007

Surat Pilihan: Isu Penulis Kahwin Lain


Assalamualaikum Puan Sifu yang saya sayangi dan kasihi. Diharap semua warga kerja PTS, sihat hendaknya.
 
Saya tertarik mengenai entri Apabila Penulis Tidak Sabar Menunggu Giliran, Lalu Kahwin Lain.
 
Saya ingin bertanya, jika saya sudah menghantar sebuah karya siri pertama pada si penerbit lain, adakah saya boleh menghantar siri kedua buku itu pada penebit yang lain, jika saya tidak berpuas hati dengan cara buku saya diterbitkan oleh penerbit yang pertama tadi. Sedangkan kontrak hanya untuk buku pertama sahaja.

Adakah tindakan ini wajar? Demi menjaga nama baik seorang penulis.

FK

Respons Sifu: 

Tuan FK,

Adakah tuan menandatangani sebarang perjanjian di mana tuan bersetuju menulis lebih daripada 1 buku dengan penerbit pertama? Jika tidak, tuan boleh menghantar buku-buku kedua, buku ketiga dan seterusnya kepada penerbit lain. 

Bagi menjaga hubungan baik tuan dengan semua pihak, tuan dinasihati supaya secara terus terang memaklumkan kepada penerbit pertama akan hasrat tuan hendak memilih penerbit lain. Dengan itu penerbit pertama tidak berasa tuan seorang yang mempunyai tabiat suka main kayu tiga.

Penerbit baru tuan pun tidak mempunyai persepsi negatif bahawa tuan seorang yang tidak boleh diramalkan bagaimana tingkah laku tuan pada masa akan datang, sebab tuan seorang yang suka lari sana lari sini...

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, November 06, 2007

Apabila Penulis Tidak Sabar Menunggu Giliran, Lalu Kahwin Lain

Sebelum ini sudah beberapa kali Sifu menulis entri berkenaan isu dan risiko penulis-kahwin-banyak-penerbit.

Salah seorang penulis Top-20 PTS telah menyerahkan sebuah manuskripnya kepada sebuah penerbit kecil, yang juga sahabatnya sendiri. PTS pula memang kenal peribadi penerbit itu kerana salah seorang pengarah syarikat itu adalah bekas pegawai DBP. 

Punca mengapa penulis itu hendak berkahwin dengan penerbit lain adalah disebabkan beliau tidak sabar hendak menunggu giliran di PTS. Beliau mahu bukunya terbit cepat, manakala di PTS, jadual penerbitan 2008 sudah penuh. (Buku chairman PTS pun dapat giliran November 2008!)

Maka sang penulis pun memberitahu PTS akan hasratnya yang mahu menyerahkan manuskripnya kepada sahabatnya itu, walaupun hati PTS berat hendak melepaskannya. PTS meminta beliau bersabar menunggu giliran, tetapi beliau tidak sabar.

Bagi PTS, buku beliau tidak boleh diberi layanan istimewa dengan mempercepatkan tarikh terbit bukunya. Jika PTS lakukan itu, bermakna PTS munafik, yakni mungkir janji, kerana semua penulis sudah diberitahu jadual terbit karya mereka. Jadi tidak bolehlan PTS anjakkan jadual orang lain semata-mata kerana hendak memberi laluan kepada buku penulis lain. 

Apabila bukunya itu diterbitkan oleh isteri barunya, terbukti buku itu amat laku kerana isinya baik, namanya pun sudah terkenal di kalangan peminat buku. Buku itu akan diulangcetak kerana permintaan masih ada.

Mesipun bukunya itu laku, sang penulis tidak puas hati dengan wajah bukunya itu yang katanya, tidak cantik, dibandingkan dengan buku-bukunya yang dterbitkan oleh PTS. Jadi beliau hendak menarik balik bukunya itu dan menyerahkannya kepada PTS.

Keadaan ini menyusahkan PTS. Memang benar, sang penulis sendiri yang tidak puas hati dan mahu menarik balik bukunya.

Tetapi, disebabkan PTS sudah besar, orang takkan percaya bahawa sang penulis sendiri yang sengaja menarik balik bukunya itu dan menyerahkannya kepada PTS.  Orang tetap akan mengatakan PTS yang mendorong penulis itu berbuat begitu disebabkan buku itu laku.

Jika PTS terima bukunya itu, imej PTS sebagai 'budak baik' tetap akan rosak. PTS akan dilihat sebagai budak tamak, walaupun sudah besar tetapi masih sanggup potong rezeki penerbit kecil.

Jadi, PTS mengajak para penulis berfikir dalam-dalam sebelum mencari isteri baru. Bukan hanya penulis susah, isteri tua pun susah. Ditelan mati emak, diluah mati bapa....

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, November 05, 2007

Kontrak PNM: Pesan Buat Penulis VIP

Pada saat ini jantung komuniti industri buku, baik penulis, penerbit, apatah lagi kontraktor, sedang berdebar-debar, dag-dig-dug, dag-dig-dug...

Daripada desas-desus yang kita dengar, mulai tahun 2007 ini, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mempunyai peruntukan khas yang digunakan bagi membeli buku-buku terus daripada pengarangnya.

Tujuan PNM ini adalah mahu menolong pengarang, terutama pengarang terkenal, yang selama ini sering kali menjadi mangsa penerbit yang tidak beretika. Dengan cara PNM membeli terus daripada pengarang, maka pengarang mendapat untung lebih.

Jika tuan seorang Sasterawan Negara ataupun sasterawan terkenal, buku tuan mungkin dipilih oleh PNM bagi pembelian istimewa ini.

Ini adalah pesan Sifu:

(1) Jika buku tuan itu sudah diterbitkan oleh mana-mana penerbit, umpamanya oleh DBP, tuan tidak boleh terus mencetak sendiri buku tuan itu dan dibekalkan kepada PNM. Baca dahulu dokumen perjanjian penerbitan yang tuan tandatangani dengan DBP.

Meskipun hakcipta buku itu milik tuan, tetapi hak menerbitkan dan hak memperdadangkan buku tuan itu sudah tuan serahkan kepada DBP. Jadi, hanya DBP yang boleh mencetak buku itu, dan membekalkannya kepada PNM.

(b) Hakcipta lukisan kulit buku, layout buku dan ilustrasi buku adalah hakcipta penerbit DBP, jadi tuan tidak boleh mencetak semula buku tuan menggunakan kulit, layout dan ilustrasi DBP. Tuan mesti buat lukisan cover, layout semula dan lukis ilustrasi sendiri.

(c) Hakcipta bahagian-bahagian yang sudah diedit oleh DBP dalam buku tuan adalah hak DBP, jadi tuan tidak boleh mencetak buku tuan menggunakan versi yang sudah diedit oleh DBP.  Tuan hanya boleh mencetak versi mentah yang betul-betul tuan tulis original dahulu, yang masih banyak kesalahan ejaan dan tatabahasanya.

Demikianlah juga halnya jikalau buku tuan yang dipesan oleh PNM itu diterbitkan oleh mana-mana penerbit selain DBP. Baca dahulu perjanjian yang tuan tandatangani supaya tidak berlaku saman-menyaman antara penerbit dengan penulis.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, September 18, 2007

Penulis PTS Paling Setia

Inilah wajah penulis PTS yang paling setia. Beliau bersama PTS sejak tahun pertama PTS ditubuhkan.

Dalam saat belum ada pengedar dan kedai buku yang kenal nama "PTS", beliau adalah nama besar pertama yang tawakal menyerahkan karyanya kepada PTS.

Sebelum berkahwin dengan PTS beliau tidak bahagia dengan penerbit pertamanya. Pada awal perkahwinan dengan PTS, banyak isu-isu teknikal menimbulkan perbezaan pendapat dan cita rasa, tetapi akhirnya terbukti kesetiaan amat membantu mengatasi krisis rumahtangga antara penulis dan penerbit.

Berkat kesetiaan, buku-buku Tuan Dr. Danial Zainal Abidin sudah dilesen oleh Jakarta sejak 2005. Kini beliau dan Tuan Ahmad Fadli Yusof adalah 2 orang top-earners PTS.

Kesetiaan kaum penulis tidak datang menggolek kepada penerbit. Pertama-tama syarat mendapatkan kesetiaan penulis adalah modal karekter dan nilai-nilai peribadi pegawai-pegawai dalam syarikat penerbitan itu. Selagi penulis dapat menaruh kepercayaan kepada etika bisnes yang menjadi pegangan mereka, selagi itu mereka setia.

Bagi saudara yang baru menceburi bisnes penerbitan buku, penulis adalah modal utama sesebuah rumah penerbitan. Disebabkan penulis adalah modal utamanya, rumah-rumah penerbitan menyediakan pelbagai program setia atau loyalty programs, bagi mengurangkan risiko penulis lari kepada penerbit lain. Lebih banyak loyalty programs yang saudara sediakan, lebih baik.

Program setia untuk penulis di PTS termasuklah:

(1) Mengadakan pelbagai program promosi:

a. Promosi buku dengan menerbitkan kit pemasaran seperti katalog buku, poster dan bunting.

b. Promosi buku dalam media TV, radio, akhbar dan majalah.

c. Promosi buku dalam internet.

d. Promosi buku dalam pesta-pesta buku di luar negara bagi tujuan pelesenan, dan dalam negara pada peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

e. Promosi buku dengan mengadakan majlis pelancaran buku dan majlis diskusi buku.

f. Promosi pengarang dalam media Internet, TV, radio, akhbar dan majalah.

g. Promosi pengarang dalam majlis-majlis pengarang-bertemu-peminat.

(2) Memberikan diskaun istimewa kepada pengarang. Dalam kes PTS semua pengarang PTS boleh membeli semua judul terbitan PTS pada diskaun pengedar!

(3) Memberikan kursus penulisan percuma kepada pengarang dan bakal pengarang PTS.

(4) Menawarkan skim perkongsian keuntungan melalui kadar royalti progresif kepada pengarang. Dalam kes PTS, semakin banyak buku pengarang terjual, semakin tinggi kadar royalti yang diterima.

(5) Menawarkan potensi buku pengarang diterbitkan dalam lebih daripada 1 edisi, yakni sesebuah judul mungkin diterbitkan dalam bentuk kulit lembut, paperback, dan kulit keras.

(6) Meneroka pasaran ekspot pelesenan judul-judul PTS ke negara lain seperti sekarang ke Indonesia, pada masa hadapan ke Vietnam, Thailand, Filipina, seterusnya ke Cina, Iran, Timur Tengah, dan lain-lain.

(7) Merancang supaya karya yang ditulis pengarang dijamin terbit dengan meluluskan projek penulisan itu sebelum buku ditulis.

(8) Menggalakkan pengarang PTS supaya menulis dan menerbitkan banyak judul dengan PTS.

(9) Mengadakan sistem mentor-mentee antara editor PTS dengan calon penulis baru.

(10) Menggalakkan penulis menulis pelbagai genre untuk penerbitan PTS.

(11) Menggalakkan penulis menulis untuk penerbitan semua anak-anak syarikat PTS.

(12) Memupuk bakat-bakat yang dimiliki penulis, selain bakat mengarang, supaya para penulis PTS dapat mencipta lebih banyak harta intelek.

(13) Menggalakkan penulis-penulis PTS bergerak sebagai suatu komuniti dan tim supaya mereka saling berkenalan dan saling dorong-mendorong.

(14) Melesenkan karya penulis kepada syarikat-syarikat media alternatif supaya dapat dipasarkan melalui pelbagai saluran media seperti konten mobile, buku elektronik dan lain-lain, dengan demikian mempelbagaikan sumber royalti penulis.

(15) Melesenkan karya penulis supaya dapat diterbitkan sebagai filem, siri animasi dan drama TV, dengan demikian mempelbagaikan sumber royalti penulis.

(16) Mengadakan skim latihan percuma bagi memupuk bakat penulis menjadi penceramah dan trainer.

(17) Menjaga hak moral para penulis dengan memastikan mereka dapat membaca dan menyemak pruf terakhir buku mereka, dan diberi peluang melihat cover terakhir buku mereka sebelum dihantar ke pencetak.

(17) Mengadakan program "Penulis Masuk Studio". Saat ini PTS sedang melabur dan menggerakkan kerja-kerja tapak bagi menerbitkan WEB-TV PTS, di mana "wartawan-wartawan" PTS akan mempunyai studio yang membolehkan mereka menerbitkan program TV dengan para penulis PTS. Tiga orang kuat WEB-TV PTS adalah En. Hisham Salmin (Pengarah Kreatif PTS), Rn. Wan Zu dan En. Mat Jan.

Ada apa-apa lagi saudara mahu dari PTS?

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, September 06, 2007

Klausa dalam Perjanjian: Hati-hati Apabila Penulis Mahu Berpoligami dengan Penerbit

Seorang penulis mula-mula menulis sinopsis bukunya dan dihantar kepada Penerbit A. Kemudian Penerbit B mahukan buku itu. Bolehkah dia menulis buku yang serupa dalam 2 versi?

Boleh. Tetapi kedua-dua versi diserahkan kepada penerbit yang sama.

Dalam dokumen perjanjian hak penerbitan, semua penerbit memasukkan klausa yang dengan jelas mengatakan penulis tidak boleh menulis buku lain untuk penerbit lain yang akan bersaing dengan bukunya dengan penerbit yang asal.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Apabila Saudara Dilamar Penerbit Lain

Di mulut naga lagikan direbut, inikan pula di tangan orang (baca: penerbit)....

Demikianlah kisah bagaimana perempuan jelita (dan penulis berbakat) menjadi rebutan! Memang begitulah adat dunia.

Minggu ini Sifu menerima sepucuk lagi emel yang diterima oleh seorang salah penulis PTS daripada penerbit lain yang melamar beliau supaya menulis untuk penerbit itu. Dengan emel terbaru ini Sifu sudah menerima sekitar 9 ataupun 10 emel forward seperti itu, tidak termasuk apa yang dilaporkan oleh penulis secara lisan sahaja.

Seperti penulis itu, baik dengan penerbit mana saudara sekarang berkahwin, suatu hari nanti, percayalah, sebagai penulis berbakat, saudara akan menerima emel daripada penerbit lain yang melamar saudara supaya menghantar karya saudara kepadanya pula.

Apabila saudara menerima surat seperti itu, apakah yang sebaiknya saudara lakukan?

(a) Jikalau saudara puas hati dengan etika bisnes dan cara kerja penerbit saudara sekarang, forwardkan surat itu kepada editor saudara sekarang. Editor saudara perlu tahu penerbit mana yang sedang cuba melarikan saudara. Dengan itu dia akan memperbaiki lagi hubungan kerjanya dengan saudara.

(b) Jikalau saudara TIDAK puas hati dengan penerbit saudara sekarang, lakukan yang serupa, yakni forwardkan surat itu kepada editor saudara sekarang, supaya dia memperbaiki cara kerjanya sekarang.

(c) Siasat prestasi dan etika kerja penerbit yang melamar saudara itu. Bertanya kepada penulis-penulis lain dan dapatkan maklumat.

Bersikap telus adalah amat penting bagi (i) menjaga hubungan baik yang sedia ada antara saudara dengan penerbit sekarang, dan (ii) menjaga nama baik saudara sebagai penulis.

Dunia penerbitan di negara kita ini amatlah kecil. Ia macam lidi sebatang. Saudara takkan dapat bersembunyi di sebalik lidi sebatang. Saudara takkan dapat menyembunyikan apa yang saudara lakukan daripada diketahui oleh penerbit saudara.

Demikian juga halnya dengan penerbit. Penerbit yang tidak baik etika bisnesnya takkan dapat bersembunyi daripada diketahui oleh komuniti penulis.

Sebagai mana penerbit berhak memilih karya penulis mana yang mahu diterbitkannya, penulis berhak memilih penerbit mana yang mereka mahu serahkan karyanya.

Sentiasa beritahu apa yang saudara sedang fikirkan sekarang kepada editor saudara supaya beliau kekal menaruh kepercayaan yang tinggi ke atas etika bisnes saudara.

Dalam kes PTS yang mempunyai 5 anak syarikat penerbitan, katakanlah saudara sudah lama menulis untuk PTS ONE, apabila saudara mahu menulis untuk anak syarikat lain pun, maklumkan perkara itu kepada editor saudara di PTS ONE.

Dengan cara kerja yang telus itu saudara membantu meningkatkan lagi (i) hubungan kerja yang baik dan (ii) sangka baik, antara editor-editor dalam kumpulan PTS.

Jika saudara hendak masuk sebarang pertandingan menulis sekalipun, maklumkan hasrat saudara itu kepada editor saudara.

Isu penulis lari kepada penerbit lain adalah amat sensitif kepada editor. Ia ditafsirkan sebagai saudara menjatuhkan talak kepada editor saudara. Ia amat memalukan kerana ia ditafsirkan sebagai kegagalannya menjaga jodoh profesional yang berpanjangan dengan penulisnya.

Penerbit yang baik mengutamakan kepercayaan para penulisnya, kerana mereka tahu bahawa penulis adalah modal utama perniagaan sesebuah rumah penerbitan. Justeru para penerbit mencipta pelbagai program kesetiaan atau loyalti programs supaya penulis mereka tidak lari kepada penerbit-penerbit lain.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(15) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, August 01, 2007

Tip-tip Poligami

Bukan! Bukan poligami yang konvensional itu.

Ini kita bercakap tentang poligami penulis dengan penerbit.

Sifu menerima surat bertanyakan apa perlunya setia kepada sebuah penerbit? Apa pula ruginya?

Setiap sesuatu ada baiknya dan buruknya. Begitulah fitrah ciptaan Tuhan yang maha bijaksana.

Apabila saudara sudah mempunyai penerbit yang baik, itu tidak bermakna saudara terpaksa menyerahkan semua karya saudara kepada penerbit itu sahaja.

Ada waktunya buku baru saudara itu tidak temasuk dalam sektor penerbit itu, maka elok sekali saudara menerbitkannya dengan penerbit lain.

Cara yang betul adalah dengan menulis emel kepada editor saudara dan memaklumkan kepada beliau bahawa saudara sedang menulis buku terbaru saudara. Tanyakan kepada editor saudara apakah beliau berminat dengan karya itu, jika tidak, maklumkan bahawa saudara berniat mencari penerbit lain.

Komunikasi yang terbuka seperti itu mengekalkan hubungan baik dan rasa saling percaya mempercayai antara saudara dengan penerbit saudara.

Di bumi Malaysia yang tercinta ini, jumlah penerbit yang baik tidak banyak. Jadi menjaga supaya hubungan baik dengan penerbit berkekalan adalah sangat penting.

Pendek kata, saudara boleh kahwin banyak penerbit, tetapi lakukan secara terbuka, beritahu isteri yang ada niat saudara hendak berpoligami. InsyaAllah, tidak ada risiko bercerai-berai....

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, July 14, 2007

Sifu Tidak Jawab Emel

Setiap hari Sifu menerima banyak emel dan fail-fail attachment.

Fail-fail itu di-download, bagi dibaca kemudian, ikut giliran.

Ada yang menghantar fail dengan tidak menuliskan apa-apa maklumat dalam fail attachment itu siapa yang menghantarnya.

Ada yang tidak menulis nama pengirim sebagai nama fail. Memang irritating pada emosi. Tulis nama fail begini: "najib sinopsis novel pro" supaya Sifu tahu fail itu siapa hantar, apa isinya.

Kata Tuhan, "Permudahkan urusan mereka..."
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, June 24, 2007

Bisnes adalah Reputasi

Kata orang putih: Business is raputation. Maknanya: Bisnes adalah nama baik.

Dalam dunia bisnes, penulis adalah orang bisnes. Bisnes penulis adalah membekalkan kepada penerbit manuskrip-manuskrip yang berpotensi laku di pasaran.

Penerbit dan penulis adalah rakan niaga. Selagi reputasi sesebuah penerbit itu kekal baik, selagi itu penulis mahu membekalkan manuskrip kepadanya.

Demikianlah halnya dengan penulis. Selagi reputasinya baik, selagi itu penerbitnya mahu menerima manuskrip yang dibekalkan oleh penulis.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, June 20, 2007

Kahwin Cerai Dengan Penerbit

Kahwin cerai antara penulis dengan penerbit adalah amalan lazim dalam dunia bisnes buku di negara kita. Hampir tidak ada penulis yang buku-bukunya hanya diterbitkan oleh satu penerbit.

Ini berbeza sekali dengan amalan antara para penyanyi dengan penerbit album mereka. Jikalau ada mana-mana penyanyi popular yang menamatkan kontrak dengan penerbit mereka, peristiwa itu menjadi berita besar dalam ruangan gosip artis.

Kahwin banyak antara satu orang penulis dengan beberapa penerbit merugikan baik penulis, mahupun penerbit.

Kata pepatah Melayu, "Kahwin banyak, ada anak tak dapat disuruh."

Penulis yang kahwin banyak penerbit mempunyai banyak buku, tetapi satu buku di sini, satu buku di sana. Ini menyebabkan buku-buku penulis itu tidak dipasarkan dengan bersungguh-sungguh oleh mana-mana penerbit.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, June 18, 2007

Surat Editor: Tak Dapat Telinga, Tanduk Dipulas

Seorang SN menulis surat kepada sebuah Penerbit (kita-semua-tahu-siapa) dengan ayat-ayat yang halus dan sopan santun berkenaan hasratnya mahu mendapatkan semula hak menerbitkan sendiri karya-karyanya yang ada pada Penerbit (kita-semua-tahu-siapa) itu.

Sang SN itu kemudian menerima surat jawapan daripada pegawai Penerbit (kita-semua-tahu-siapa) itu, di mana banyak ayat-ayat dalam suratnya itu dicetak dengan huruf-huruf tebal. Bagai belum cukup dia melukai perasaan SN tua itu, ayat-ayat bold itu digaris-bawahi lagi!

Sakitnya hati Sang SN membaca surat biadab itu (patutkah seorang pegawai memarahi seorang SN dan mengata SN itu macam bodoh sangat, tak faham duduk perkara) langsung beliau memikirkan hasrat membawa Penerbit (kita-semua-tahu-siapa) ke mahkamah - bukan atas surat biadab itu - tetapi atas isu Penerbit (kita-semua-tahu-siapa) itu yang telah mencetak sebuah karyanya sebelum beliau menandatangani dokumen perjanjian penerbitan.

Disebabkan kebodohan si pegawai akan perihal cara-cara betul menggunakan huraf besar dan huruf tebal dalam surat menyurat rasmi dan bisnes, majikannya yang akan ditarik ke mahkamah.

Orang yang sakit hati akan mencari sebab sahaja bagi membolehkan dia membalas sakit hatinya. Kata pepatah Melayu, tak dapat hendak memulas telinganya, maka dipulas tanduknya.

Tak dapat hendak membalas sakit hati kepada si orang kecil, maka dibalaskan sakit hatinya kepada orang atasan.

Wahai para editor, beli dan baca buku panduan menulis surat menyurat rasmi dan bisnes.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Surat Editor: Huruf Besar, Huruf Tebal

Wahai para editor,

Beli dan baca buku panduan surat menyurat rasmi dan bisnes. Ada topik khusus yang memberitahu apa maknanya apabila seseorang itu menulis surat seperti contoh begini:

Surat (a)

Encik Kamal Shah,
Sekiranya anda TIDAK SABAR MENUNGGU GILIRAN NOVEL ANDA DITERBITKAN, ANDA DINASIHATKAN MENGHANTAR MANUSKRIP ANDA KE PENERBIT LAIN. Kami dengan sukacita boleh memulangkan manuskrip anda.
Sekian, diucapkan terima kasih.

Menurut pakar-pakar konumikasi, penggunaan huruf-huruf besar seperti di atas itu bermakna: Sang Editor itu memarahi saudara dengan menjerit-jerit ke muka saudara.

Surat (b)

Encik Kamal Shah,
Kami ingin memaklumkan kepada anda bahawa dalam perjanjian penerbitan yang anda tandatangani pada tahun 2002, anda telah bersetuju menjual hakcipta novel anda kepada kami, dan pihak kami sudah membayar nilainya iaitu sebanyak RM750.00 tunai. Dengan hal yang demikian pihak kami tidak perlu membayar royalti lagi kepada anda.
Sekian, diucapkan terima kasih.

Menurut pakar komunikasi, penggunaan huruf-huruf tebal seperti di atas itu bermakna: Sang Editor itu memarahi saudara dan mengatakan saudara seorang yang bodoh, tidak faham kedudukan perkara yang sebenar.

Wahai para editor, baca buku panduan menulis surat menyurat rasmi dan bisnes.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Wahai Para Editor, Baca Surat Penulis Ini

Puan Sifu yang dihormati,

Saya sebenarnya tengah bersedih kerana mendapat emel ancaman dari editor sebuah syarikat penerbitan (nama penerbit dirahsiakan - Sifu) yang mengemel saya menggunakan 'HURUF-HURUF BESAR' - dia menjerit-jerit.

Dia kata, kalau saya tidak sabar menunggu, hantar sahaja manuskrip saya ke penerbit lain. Sedangkan kawan saya yang bertanya tentang manuskrip tersebut, bukannya saya. Saya jadi mangsa keadaan.

Saya rasa malu teramat diperlakukan sebegitu. Adakah penulis tiada hak mengetahui nasib manuskrip yang dihantar ke syarikat penerbitan?

Katakan jika penulis baru jangka hayat manuskrip untuk diterbitkan adalah 2 tahun beritahu begitu secara bertulis, setelah manuskrip layak untuk diterbitkan. Bukankah begitu lebih mudah tanpa 'menjerit' dan menghantar emel yang sebegitu.

Itulah sahaja luahan pankreas saya.

Saya kagum dengan puan, puan ada ramai mantee tapi tetap mengekalkan tahap profesional yang tinggi bila berurusan.

Salam hormat.
KMS

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, May 23, 2007

Jangan Buat Begini! (2)

Sifu mempunyai ramai mentee yang masing-masing menghantar fail attachment tugas.

Bagi setiap mentee saya bukakan folder dengan nama masing-masing. Di situlah saya simpan fail-fail setiap mantee.

Bayangkan apabila nama fail attachment yang En. Budin kirimkan itu adalah "sinopsis" sahaja? Ataupun "bab 10" sahaja. Di mana saya hendak simpan fail itu? Saya tidak tahu siapa yang menghantarnya.

Besok lusa apabila saya hendak SEARCH kerja-kerja "Budin", enjin search pun tidak berjumpa fail si Budin!

Sentiasa tulis "Budin" diikuti dengan nama projek sperti "jibunsyi". Jadi saya tahu siapa yang menghantar fail itu, apa projeknya, supaya saya tahu dalam folder mana saya perlu simpan fail itu.

(1) Fail-fail digital adalah serupa dengan fail kertas! Nama fail mesti ditulis dengan nama saudara dulu. Kemudian tulis nama projek saudara. Contoh "Budin jibunsyi".

(2) Di bahagian dalam fail itu saudara mesti tulis rekod maklumat saudara: Nama + judul projek + alamat emel + hp. Rekod ini penting untuk komunikasi sebab apabila projek saudara sudah siap ditulis, fail saudara itu akan saya hantar kepada editor yang menguruskan penerbitan buku saudara nanti. Editor itu perlukan maklumat tersebut bagi menghubungi saudara.

Contoh maklumat peribadi dalam fail projek.

Judul Jibunsyi: Dari Mata Turun ke Hati.
Penulis: Budin bin Bulat.
Alamat: Sekolah Kebangsaan Sg. Lembing, Kuala Lipis, Poskod 2212, Pahang.
Emel:
Hp: 012 3456789.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tolong Jangan Buat Begini! (1)

Sifu menerima beratus-ratus surat dan perlu membalas beratus-ratus surat.

Bagaimanakah Sifu hendak ingat "siapa" saudara kalau "nama" saudara tidak ada dalam KOTAK alamat emel Sifu?

Dalam fail attachment sinopsis yang saudara hantar kepada saya, tertulis nama saudara "Budin bin Bulat". Saya cari dalam KOTAK emel saya, yang mengandungi lebih 500 alamat, tetapi tidak ada nama "Budin".

Puncanya, untuk emel, saudara gunakan nama samaran yang tidak ada ikatan langsung dengan nama rasmi saudara, contoh: ibnualim>harimaubelang@yahoo.com Mana dia nama "Budin"?

Nama samaran adalah "topeng". Adalah salah besar apabila saudara membuat urusan rasmi dan profesional dengan memakai topeng.

Topeng samaran saudara mungkin "cantik". Tetapi apa gunanya "topeng cantik" jika ia menyebabkan Sifu irritated, buang masa tercari-cari nama dalam KOTAK, tidak jumpa nama itu, langsung Sifu hilang mood hendak meneruskan niat menulis surat kepada saudara?

Kesan psikologi yang tercipta apabila saudara menulis emel urusan rasmi adalah serupa dengan perbuatan saudara pergi ke pejabat orang.

Apa kesannya ke atas psikologi pegawai itu apabila ada orang datang ke pejabatnya dengan memakai topeng?

Arahan kepada semua yang mahu menjalin hubungan rasmi dan profesional dengan sesama profesional: Beli dan baca buku panduan komunikasi profesional menggunakan internet.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, May 21, 2007

Menjalin Hubungan Profesional dengan Penerbit Melalui Emel

Entri ini ditulis khusus untuk saudara-saudara yang belum belajar adab-adab yang betul menggunakan teknologi emel bagi berkomunikasi dengan editor saudara.

Editor adalah orang yang sangat besar pengaruhnya ke atas kejayaan saudara dalam bidang penulisan. Saudara mesti menjalin dan mengekalkan hubungan yang baik dengan editor saudara, supaya buku-buku saudara dilayan dengan baik oleh editor saudara.

Emel yang saudara tulis adalah duta peribadi saudara. Jika saudara menulis emel dengan mematuhi adab-adab komunikasi yang baik, maka editor saudara akan mendapat gambaran saudara seorang yang beradab. Persepsi ini mendorong editor saudara melayan saudara dengan layanan yang baik, seperti mahu menjawab emel saudara dan lain-lain layanan yang menguntungkan saudara.

Jangan tulis emel seolah-olah saudara menulis skrip perbualan. Saya menerima emel daripada entah siapa yang bernama si polan, betul-betul satu ayat berbunyi begini "sifu, sy masih blh mendaftar utk bengkel surah Yusuf lagi ker..." Salam pun tidak ada.

Sentiasa tulis emel dengan menggunakan format surat, lengkap dengan sistem sapaan yang betul dan beradab, yakni lengkap dengan salam. Jika ditambah dengan doa, itu lebih beradab. Tutup emel saudara dengan ucapan penutup.

Editor saudara menerima banyak emel setiap hari. Mereka bekerja dengan tekanan kerja. Saudara bertanding dengan emel-emel yang dihantar oleh orang-orang lain. Semua emel minta layanan sang editor. Mengapakah editor itu hendak melayan emel saudara yang kurang halus adabnya, sedangkan emel-emel yang lain lebih menyukakan hati si editor membacanya.

Emel adalah surat. Tulis surat emel dengan mematuhi adab-adab menulis surat. Jadikan setiap emel saudara bahan bacaan yang menyukakan hati editor saudara.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, May 14, 2007

Pesta Buku: Strategi ‘Orang Panggil Orang’

Dalam ilmu psikologi, ada sub-bidang yang disebut 'psikologi sosial'. Bidang ini mengkaji tingkah laku manusia apabila dia berada dalam kelompok. Dari sudut lain, ia mengkaji pengaruh orang lain ke atas tingkah laku seseorang.Salah satu dapatan dalam bidang ini adalah: Seseorang itu terdorong melakukan apa yang dia lihat orang-orang lain sedang lakukan.

"Monkey-see-monkey-do." Itulah tip dan pepatah orang bisnes.

Jadi, sebagai contoh, apabila kita terpandang orang ramai mengerumumi tukang jual ubat di kaki lima, kita terdorong hendak tahu apa yang dikerumuni, lalu kita pun ikut masuk kumpulan orang-orang yang berkerumun itu.

Para penjual ubat kaki lima pun tahu fenomena ini. Bagi menggalakkan orang membeli ubatnya, mereka 'memasang' 3 ataupun 4 orang orang supaya berlakon membeli ubatnya. Ini mendorong orang-orang lain turut membeli ubatnya! (Ini contoh apa yang disebut kesan 'Monkey-see-monkey-do'.)

Dapatan ini digunakan dengan meluasnya dalam bidang strategi pemasaran dan jualan. Supermarket akan menurunkan harga sesuatu barang popular dengan gila-gila supaya ramai orang datang. Apabila orang nampak banyak orang di supermarket itu membeli-belah, mereka terdorong ikut membeli-belah. Strategi ini dipanggil 'orang panggil orang'.

Fenomena ini mudah dilihat dalam deretan kedai makan. Gerai yang ramai orang semakin ramai didatangani orang, manakala gerai yang sunyi orang, makin tidak didatangni orang.

Semasa pesta buku, banyak booth cuba memanggil orang dengan memasang macam-macam CD dan VCD dengan kuatnya sehingga mengganggu keselesaan pengunjung dan booth jiran sebelah-menyebelah. Tetapi dalam booth itu tidak banyak diletakkan petugas. Ini tidak berkesan. Kebisingan (noise) bukan pemanggil yang berkesan.

Bagi pempamer dalam pesta buku, adalah penting supaya di booth kita kelihatan ramai orang. Nanti baru tercipta fenomena 'orang panggil orang'.

Inilah sebabnya pempamer perlu meletakkan ramai orang-orangnya dalam booth. Sebagai penerbit, jangan hanya staf jabatan jualan sahaja yang ditugaskan menjaga booth. Libatkan staf editorial dan staf jabatan pentadbiran sebagai penjaga booth.

Lebih penting lagi libatkan para penulis. Dengan kehadiran banyak penulis, barulah booth kita banyak orang. Barulah tercipta faktor 'orang panggil orang'.

Sesetengah penulis amat pemalu, manakala sesetengah penulis seronok berkempen dalam booth. Kehadiran penulis yang pemalu tetap mencipta kesan yang baik pada faktor 'orang panggil orang'. Manakala penulis yang seronok berkempen, meninggalkan kesan yang lebih baik.

Adalah silap apabila kita tidak membenarkan penulis yang sama selalu datang dan berada dalam booth bagi membuat promosi buku-bukunya dan buku-buku penulis lain, atas alasan "Kalau penulis itu asyik ada dalam booth nanti buku penulis-penulis lain tidak laku."

Logik, "Kalau orang tidak membeli buku penulis A, maka tentu orang akan membeli buku penulis B" adalah logik yang tidak saintifik. Logik ini berbahaya kerana ia merosakkan kesan 'orang panggil orang'.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, April 14, 2007

Teknik Mengemukakan Komplen kepada Editor

Apabila saudara tidak puas hati dengan beberapa perkara yang terdapat pada buku saudara yang sudah terbit, tulis emel kepada editor saudara supaya beliau tahu perkara-perkara itu, dan supaya perkara-perkara itu dapat dibaiki.

Di bawah adalah format menulis emel komplen:

1. Mula-mula beri salam dan tuliskan doa yang baik bagi Sang Editor.

Sebagai contoh: Asalamualaikum, Cik Siti Zulikha. Didoakan Cikpuan yang saya hormati selalu dalam keadaan sihat dan sentiasa diberkati Allah.

2. Ucapkan terima kasih atas budi baik editor yang sudah bersusah-payah menerbitkan buku saudara.

Sebagai contoh: Saya baru sahaja menerima 10 naskhah buku saya "Mari Belajar Sembahyang" yang dikirimkan oleh Jabatan Pemasaran PTS. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Cikpuan yang telah bersusah-payah menerbitkan buku saya itu dalam keadaan yang cantik dan menarik.


3. Puji mana-mana aspek pada buku itu yang saudara suka, mungkin desain kulitnya, mungkin wajah halaman, mungkin ilustrasinya.

Sebagai contoh: Saya sangat suka wajah kulit buku saya itu. Saya juga puas hati dengan kualiti ilustrasi yang digunakan. Diharap Cikpuan dapat sampaikan ucapan salam dan terima kasih saya kepada desainer kulit buku dan juga ilustrator buku saya itu.


4. Jika banyak sekalipun kesilapan itu, sebut 1 atau 2 sudah cukup. Jangan senaraikan semuanya sampai surat komplen itu menjadi lebih daripada 1 halaman. Yang penting adalah mengemukakan langkah penyelesaian yang saudara mahukan.

Sebagai contoh, tulis: Saya ada terjumpa beberapa kesilapan ejaan dan sedikit kesilapan tatabahasa. Cukup.

5. Kemukakan permintaan saudara, sebagai contoh:

(a) Untuk buku saya yang akan datang, bolehkah saya diberi editor lain, supaya saya dapat berkerjasama dengan lebih lancar.

Ataupun,

(b) Apabila buku saya hendak diulang cetak nanti, ada beberapa pembetulan yang saya ingin lakukan. Mohon saya diberitahu jadual ulangcetak buku saya supaya saya dapat hantarkan pembetulan itu lebih awal.

6. Apabila mengakhiri surat, sekali lagi rakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sang Editor.

Tulis begini: Sekali lagi saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas kerjasama Cikpuan. Saya sangat berbangga dan bertuah kerana diterima menjadi salah seorang penulis PTS. Budi baik Cikpuan dan PTS tidak akan saya lupakan.

Nota: Jangan tulis surat komplen semasa hati saudara sedang emosional.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, March 23, 2007

DBP dan Adab Menulis Surat Rasmi: Sakitnya Hati Seorang Sasterawan Tua

Seorang pengarang tua mengadu kepada kita akan perihal sakitnya hati tuanya apabila pada suatu waktu beliau menulis surat kepada seorang pegawai DBP berkenaan karyanya, lalu kemudian beliau menerima surat balasan daripada pegawai itu.

Dalam surat jawapan DBP itu, banyak ayat-ayatnya yang di-bold-bold-kan, dan ada perkataan-perkataan umum dalam surat itu yang ditulis menggunakan HURUF-HURUF BESAR belaka.

Nota Sifu: Sebagai topik perbincangan kuliah kita hari ini: Mengapakah agaknya sasterawan tua itu jauh hati menerima surat demikian?
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, March 15, 2007

Risiko Menulis Surat Komplen Panjang

Apabila saudara menulis surat komplen kepada editor disebabkan dalam buku saudara terdapat kesilapan, tulis surat yang santun dan pendek.

Surat yang panjang mencipta risiko kesan-kesan negatif seperti berikut:

(a) Si Editor berasa saudara memarahi dirinya.

(b) Surat panjang adalah bukti saudara lebih mengutamakan perasaan saudara daripada menjaga perasaan Si Editor.

(c) Pada mulanya hanya saudara satu pihak tidak puas hati. Selepas menerima dan membaca surat komplen yang panjang daripada saudara, Si Editor itu menjadi tidak puas hati. Sekarang kedua-dua pihak tidak puas hati.

(d) Orang yang tidak puas hati tidak duduk diam-diam tutup mulut. Sang Editor itu akan bercerita dengan rakan sekerjanya tentang rasa tidak puas hatinya terhadap diri dan sikap saudara.

Kesilapan teknikal mudah diperbaiki. Hubungan baik yang rosak sukar dipulihkan.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, January 18, 2007

Motivasi Penulis: Mesej Pragmatika dalam Tulisan SMS

Dalam proses interaksi orang-dengan-orang, maka diri kita sendiri adalah duta kita. Justeru kita menjaga penampilan dan tutur kata apabila berinteraksi dengan individu-individu yang penting ke atas profesion kita sebagai penulis.

Sebagai contoh, penulis akan memakai pakaian yang elok, kemas, dan baru apabila pergi ke pejabat penerbit. Pakaian itu memainkan fungsi diplomatik: (a) sebagai bukti penulis adalah seorang yang elok karektor dan budi bahasanya, (b) sebagai tanda dia menghormati penerbitnya.

Apabila urusan itu menggunakan SMS dan emel, maka SMS dan emel itulah menjadi duta si pengirim.

Penerima SMS dan emel mengukur karektor, sikap dan nilai si pengirim dengan "membaca" mesej-mesej terselindung di sebalik unsur-unsur pragmatika yang mengiringi huruf-huruf yang ditaipkan dalam SMS dan emel.

Unsur-unsur pragmatika itu adalah:

(1) Ucapan salutasi: Sebagai contoh, adakah mesej SMS itu dimulai dengan "Hi!" ataupun "Asalamualaikum" ataupun tanpa apa-apa salutasi.

Jika salutasi ditulis "Asalamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh" kita membaca itu sebagai "orang ini baik agamanya".

Jika salutasinya adalah "Hi!" ataupun "Hello!" dan yang seumpamanya, kita membaca itu sebagai "orang ini lemah agamanya" ataupun "orang ini kurang halus adabnya".

Kalau salutasinya dieja "Semekom!" kita membaca itu sebagai "orang ini tidak tahu agama" ataupun "orang ini biadab".

Kalau salutasi itu ditulis "salam", "slm" ataupun "akum", kita membaca itu sebagai "orang ini cuma basa-basi, tidak ikhlas".

(2) Bahasa: Sebagai contoh, adakah mesej itu ditulis menggunakan Bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris.

Jika mesej itu ditulis dalam Bahasa Melayu, maka kita membacanya sebagai "mesej ini datang dari hati sanubarinya". Kalau ditulis dalam bahasa inggeris, kita akan membacanya sebagai "ini mesej biasa-biasa saja".

Jika mesej itu ditulis menggunakan bahasa campur aduk, kita membaca itu sebagai "orang ini bahasanya buruk".

(3) Ejaan: Sebagai contoh, adakah mesej itu ditulis menggunakan ejaan sempurna ataupun ejaan slanga seperti "xleh", "kr", "wat", "mekasih" dan "aje"?

Apabila mesej itu ditulis menggunakan ejaan slanga, kita membaca itu sebagai "orang ini kurang adab" ataupun "orang ini fikir aku macam dia".

(4) Kata gantinama: Sebagai contoh, adakah pengirim membahasakan penerima dengan kata gantinama rasmi ataupun bukan rasmi.

Sebagai contoh, kalau penulis membahasakan editornya "you", si editor mungkin membaca itu sebagai "orang ini kurang adabnya" sebab kata pinjam "you" serupa makna emotif dan makna konotasinya dengan "kamu", "engkau" dan "awak".

(5) Huruf besar: Sebagai contoh adakah huruf besar digunakan dengan teliti.

Sebagai contoh, apabila selepas noktah huruf yang digunakan adalah huruf kecil, kita membaca itu sebagai "orang ini Bahasa Melayunya buruk" ataupun "orang ini tidak teliti kerjanya" ataupun "orang ini bukan penulis yang baik".

(6) Ejaan panggilan mulia: Sebagai contoh, dalam SMS adakah pangkat "Dato'" ataupun "Prof" sentiasa ditulis dengan huruf besar ataupun tidak.

Sebagai contoh apabila mesej itu ditulis, "...semoga dato sudi hadir..." si Dato' itu mungkin membaca itu sebagai "orang ini tidak menghormati pangkatku."

(7) Jumlah perkataan: Adakah mesej yang ditulis terlalu pendek, tanpa salutasi, tanpa apa-apa.

Jumlah perkataan mengandungi maksud. Perkataan yang sedikit adalah pola wacana arahan, teguran, cabaran, ugutan dan amaran.

Jadi ayat "Mari kita makan!" (3 perkataan - ayat ajakan) berbeza kesannya dengan ayat "Makan!" (1 perkataan - ayat arahan).

Sebagai contoh, mesej SMS penulis kepada editor bukunya yang ditulis cuma satu ayat: "Bila buku saya nak terbit?"

Si editor yang menerima mesej pendek itu mungkin membacanya sebagai "orang ini tak sedar diri, apa dia fikir dia bayar gajiku".

Editor adalah orang yang sangat berkuasa disebabkan dia boleh membuat keputusan menerima ataupun menolak karya berdasarkan emosinya semata-mata.

Justeru, gunakan komputer, hp dan PDA kita dengan hati-hati supaya si editor itu, meskipun baru kali pertama menerima emel ataupun SMS, tetapi dia sudah menyukai karektor, sikap dan nilai si penulis.

Kesan persepsi yang tercipta hasil sentuhan pertama adalah berkekalan, apatah lagi bagi jiwa perempuan. Majoriti editor di syarikat penerbitan buku dan majalah adalah perempuan.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 12, 2007

Kahwin Cerai dengan Penerbit

Kahwin cerai antara penulis dengan penerbit adalah amalan lazim dalam dunia perbukuan negara kita. Perkara ini merugikan baik penulis, mahupun penerbit.

Ini berbeza sekali dengan amalan antara para penyanyi dengan penerbit mereka. Jikalau ada mana-mana penyanyi popular yang menamatkan kontrak dengan penerbit mereka, peristiwa itu menjadi berita besar dalam ruangan gosip artis.

Perceraian penulis-penerbit paling sensasi adalah perceraian Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Perceraian itu didahului oleh "mogok sastera" oleh SN itu disebabkan perasaan tidak puas hati beliau terhadap layanan yang diterimanya daripada DBP. Menurut beliau, DBP lambat serba-serbi, lambat menerbitkan karya-karyanya dan lambat membayar royaltinya.

Pergaduhan antara SN itu dengan DBP disiarkan dalam media massa. DBP membela dirinya dengan mengatakan DBP sudah membayar jumlah royalti sekitar RM200 ribu kepada beliau! "Apa lagi yang SN itu tidak puas hati?" tanya DBP.

"DBP tidak menerangkan kepada media massa bahawa jumlah itu dibayar kepada saya dalam masa lebih kurang 20 tahun!" kata SN itu.

Kahwin banyak antara seorang penulis dengan beberapa penerbit juga perkara amat lazim, manakala hal seperti itu mustahil boleh berlaku dengan penyanyi. Satu orang penulis boleh jadi menerbitkan bukunya dengan dua, tiga, malah tujuh buah penerbit pun ada.

Kata pepatah Melayu, "Kahwin banyak, ada anak tak dapat disuruh."

Saudara banyak buku, tetapi satu buku di sini, satu buku di sana. Itulah sebabnya buku-buku saudara tidak dipasarkan dengan bersungguh-sungguh oleh mana-mana penerbit itu.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, January 09, 2007

Penulis Jangan Tamak

Orang tamak ada di mana-mana. Di kalangan penulis pun ada yang tamak.

Dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan bersama, jangan tamak. Sebagai penulis, saudara memerlukan penerbit, pencetak, pengedar, pekedai, runner dan kontraktor, pembeli dan pembaca buku. Mereka mencari makan dengan memberikan nilai tambah kepada buku saudara.

Tanpa input daripada mereka, buku saudara tidak dapat diterbitkan, apatah lagi dijual. Kata orang bisnes, "Cari makan sama-sama, makan pun mau sama-sama."

Setiap orang daripada mereka mendapat bahagian masing-masing, seorang sedikit, daripada terjualnya buku-buku saudara, baru semua boleh hidup.

Kalau ada mana-mana pihak yang tamak, yang mahu lebih banyak, buku saudara tidak dapat diterbitkan dan dijual, semata-mata kerana kos penerbitan dan penjualannya tidak berbaloi. Akhirnya semua orang tidak dapat apa-apa.

Yang paling rugi tentulah penulis sebab dia sudah mengeluarkan modal daya usaha menulis buku itu.

Apabila saudara tawar-menawar dengan penerbit, jangan hanya melihat kepada peratus royalti yang ditawarkan. Yang lebih penting adalah keupayaan penerbit itu memasarkan buku saudara.

Bak kata seorang penulis yang pernah ditawarkan royalti sebesar 12.5%, pada akhirnya dia cuma menerima sekali sahaja cek, bernilai RM48.85 sen.

Saudara mungkin ditawarkan royalti 5%, tetapi jika jualan buku saudara itu mencapai 20 ribu naskhah, akhirnya saudara menerima wang yang lebih banyak daripada royalti 12.5% tetapi buku saudara berlonggok dalam setor penerbit.

Penerbit-penerbit yang kredibel dapat bertahan lama dalam dunia bisnes yang sengit persaingannya disebabkan banyak pihak menaruh kepercayaan kepada kredibiliti mereka. Tidak ada mana-mana pihak yang berasa mereka rugi apabila berurusan dengan penerbit seperti itu.

Jikalau saudara menerima tawaran dari penerbit yang kredibel bagi menerbitkan buku saudara, jangan tolak dan jangan sekali-kali bersikap tamak.

Penerbit kredibel tidak banyak dalam pasaran. Ingatlah, penerbit mempunyai pilihan banyak penulis yang kredibel. Tetapi penulis di negara ini tidak mempunyai pilihan banyak penerbit yang kredibel.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, January 02, 2007

Panduan Memilih Penerbit

Apabila saudara sudah siap menulis buku, kepada penerbit manakah hendak saudara kirimkan manuskrip saudara?

Berikut adalah beberapa tip memilih penerbit:

1. Setiap penerbit menerbitkan jenis-jenis buku tertentu sahaja.

Pilih penerbit yang aktif menerbitkan buku sejenis dengan karya saudara itu. Sebagai contoh, kalau saudara menulis buku motivasi menjadi jutawan, saudara boleh cuba penerbit Al-Ameen. Kalau saudara menulis novel kisah masyarakat, saudara boleh cuba penerbit Creative.

2. Bagi mengelakkan saudara menjadi mangsa penerbit, hubungi penulis-penulis lain.

Tanya mereka bagi mendapatkan maklumat berkenaan tingkah laku sesuatu penerbit itu. Mereka mungkin tahu gosip-gosip tentang penerbit yang kredible dan tidak kredible. Itulah sebabnya saudara patut masuk mana-mana persatuan penulis sebab dalam persatuan itu ada penulis-penulis yang sudah lama berpengalaman dan banyak kenalan. Mereka adalah sumber gosip yang berguna apabila saudara hendak mencari maklumat tentang sepak terajang penerbit-penerbit buku. Dalam pelbagai acara perhimpunan penulis, saudara berpeluang berkenalan dengan mereka. Jangan segan, tanya sahaja, dengan senang hati mereka akan memberikan maklumat yang mereka tahu.

3. Hantar manuskrip saudara kepada penerbit yang terkenal dahulu, jika ditolak baru hantar kepada penerbit yang kurang terkenal.

Jika ditolak juga, baru hantar kepada mana-mana penerbit yang sudi menerima manuskrip saudara untuk diterbitkan. Semakin tidak terkenal sesuatu penerbit itu semakin tinggi risiko yang saudara ambil.

Di PTS, mereka hanya menerbitkan buku-buku yang memenuhi kriteria PTS. Jadi saudara mesti masuk kursus penulisan PTS sebelum menuliskan buku saudara bagi diterbitkan oleh penerbit itu.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, December 22, 2006

Bestseller Kekal Bestseller

Hasil kajian pasaran buku yang kita lakukan di kedai-kedai elit sekitar Lembah Kelang menunjukkan suatu pola menarik.

Apabila sesebuah judul itu naik sebagai bestseller, judul itu kekal lama berada dalam carta TOP 10. Sebagai contoh, buku DaVinci Code sudah hampir 2 tahun berada dalam carta.

Ini berlaku bukan hanya pada judul Inggeris tetapi judul Melayu juga. Rekod jualan judul-judul PTS juga menunjukkan trend yang serupa. Buku TOP 10 PTS cenderung lama berada dalam carta itu.

Dalam rekod PTS, judul 55 PETUA ORANG BERJAYA oleh Ahmad Fadzli Yusof sudah 4 tahun berada dalam carta. Buku ini juga sudah diterbitkan di Indonesia oleh MIZAN.

Trend begini mempunyai implikasi penting:

1. Bagi penulis, apabila judul buku saudara berjaya masuk dalam carta TOP 10, itu adalah antara tanda-tanda awal buku itu berpeluang menjadi evergreen.

Kita meramalkan buku 55 PETUA akan menjadi evergreen dalam pasaran minimum 10 tahun lagi, ataupun mungkin lebih lama. Ia mungkin menjadi buku klasik seperti How To Win Friends and Influence People oleh Dale Carnegie.

2. Buku yang masuk dalam carta menjadikan nama penulis terkenal, dan ini mendorong jualan judul-judul lain oleh penulis yang sama. Apabila ada judul saudara masuk carta, jaga kualiti setiap buku saudara yang berikutnya.

Ada penulis novel cinta yang melakukan kesilapan di mana apabila bukunya masuk carta, dia mula menulis judul-judul baru dengan prolifik sekali, sehingga dia menerbitkan 3 judul baru dalam tempoh setahun, dengan sangkaan jualan setiap judul barunya akan serupa dengan jualan judul dalam carta.

Pada hari ini, judul-judul barunya gagal masuk carta, malah nama baiknya sudah cedera kerana judul-judul barunya tidak bermutu tinggi.

3. Bagi penerbit, isu yang penting adalah bagaimana hendak mempromosi judul-judul terbitannya sampai masuk carta. Judul-judul yang masuk carta adalah lombong emas penerbit.

Apabila ada pengarang saudara yang bukunya masuk carta, jaga hubungan baik dengan pengarang itu ibarat menatang minyak yang penuh, jangan sampai pengarang itu lari ke penerbit lain, ataupun merajuk lalu menerbitkan karyanya sendiri.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, August 26, 2006

Pengarang Selebriti, Perangai Selebriti

Seorang senior editor di sebuah penerbit novel cinta yang terkenal memberitahu, sejak akhir-akhir ini sudah timbul fenomena tingkah laku ala-ala selebriti di kalangan segelintir penulis novel cinta baru muncul, yang melihat dirinya sebagai pengarang selebriti.Mereka tidak puas hati dengan layanan yang diterima daripada penerbit dengan membandingkan layanan yang pernah diberikan kepada pengarang-pengarang yang lebih senior.Ada pula yang komplain kerana sewaktu Pesta Buku Kuala Lumpur, kehadiran mereka di gerai penerbit tidak diiringi sambutan dan gimik-gimik istimewa.Teringat pula kita, di gerai PTS, bukan seorang dua penulis PTS yang tidak dapat hendak duduk pun di meja penulis sebab gerai sesak sangat. Mereka pun berdiri-diri sahaja dicelah-celah orang ramai yang bersesak-sesak di luar gerai sambil senyum-senyum memerhatikan buku mereka dibeli pengunjung.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, August 22, 2006

Penulis Pandai Jual Buku

Seorang penulis pernah mencetak sendiri buku motivasinya dan berjaya menjual sendiri semua 10 ribu naskhah dalam tempoh kurang setahun dengan cara menemui individu-individu seperti wakil rakyatnya sendiri supaya membeli 4 ribu naskah untuk diedarkan percuma, pergi dari sekolah ke sekolah memberi ceramah motivasi sambil mempromosikan bukunya, dan lain-lain inisiatif.Jadi apabila bukunya itu diterbitkan oleh penerbit profesional, dan dia mendapati bukunya hanya terjual 1,800 naskhah bagi tahun pertama, beliau amat kecewa dengan jumlah royalti yang diterimanya lalu menelefon dan memarahi staf bahagian kewangan yang kebetulan menerima panggilan itu. Beliau mengatakan penerbitnya itu bodoh, tidak pandai menjual bukunya.Prosedur menerbitkan dan menjual 600 judul buku setahun dengan menggunakan sistem pengedaran seluruh negara (termasuk juga Singapura, Brunei dan Indonesia) tidak serupa dengan prosedur menjual 1 judul terbitan sendiri.

Bagi mengelakkan risiko kerugian, beberapa SOP (Standard Operating Procedure) dilaksanakan dengan ketatnya oleh Jabatan Kewangan:

(a) Bagi mengelakkan duit tunai lesap, staf bahagian pemasaran tidak dibenarkan sama sekali memegang wang tunai syarikat. Peraturan ini menyebabkan staf jabatan pemasaran tidak dapat menjual buku secara tunai, semuanya mesti melalui prosedur PO (purchasing order).

(b) Bagi mengelakkan kena tipu, buku tidak boleh dibekalkan kepada mana-mana individu kecuali pembekalan itu mematuhi SOP. Ini bermakna kalau pun ada mana-mana wakil rakyat yang memesan 4 ribu naskhah, buku itu tidak akan dihantar kepadanya melainkan pesanan itu dibuat dengan mematuhi SOP.

(c) Bagi mengelakkan ejen-ejen sah tidak membayar hutang, walaupun ada ejen yang membuat pesanan 4 ribu naskhah, sebelum buku itu dihantar, agen itu mesti membayar dahulu hutang lamanya. Selagi hutang lama tidak dibayar, biar buku tidak laku, itu lebih selamat.

Prosedur menjual aiskrim 1 kotak dengan menaiki motosikal tidak serupa dengan prosedur kilang aiskrim menjual 3 juta kotak aiskrim setahun. Begitu juga, penulis yang pandai menjual buku yang ditulis dan diterbitkannya sendiri, dia belum tentu pandai menjual 600 judul buku yang ditulis oleh lebih 200 orang penulis lain.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, May 13, 2006

Editor dan Rasuah

Seorang penulis novel pernah meminta nasihat apakah beliau perlu membeli buah tangan untuk diberikan kepada editor novelnya. Persoalan itu timbul disebabkan pada hari beliau pergi ke pejabat penerbit bagi mengambil cek royaltinya, si editor berkata, “Takkan tak ada apa-apa!â€


Penulis tidak boleh memberi sebarang buah tangan kepada editornya, biar sebanyak mana sekalipun sumbangan editor itu kepada kejayaan bukunya dalam pasaran. Editor memang dibayar oleh syarikat bagi memastikan buku-buku yang dieditnya berjaya dalam pasaran.


Pengurusan syarikat hendaklah memastikan para editornya bersih daripada amalan menerima sebarang bentuk buah tangan daripada penulis. Tindakan tatatertib hendaklah diambil apabila terbukti seseorang editor itu menerima buah tangan daripada penulisnya.


Amalan penulis memberi buah tangan kepada editor bukunya adalah membahayakan kepentingan syarikat disebabkan faktor-faktor berikut:





  1. Pada prinsipnya, apabila editor menerima buah tangan, itu adalah amalan RASUAH. Editor yang rasuah amat berbahaya kepada syarikat.




  2. Buah tangan menyebabkan editor berasa serba salah apabila menerima manuskrip baru daripada penulis yang sama. Sekiranya manuskrip itu tidak layak diterbitkan, si editor malu alah hendak menolak manuskrip itu sebab dia sudah pernah menerima pemberian si penulis. Akibatnya, si editor akan meluluskan manuskrip yang tidak berkualiti.




  3. Pemberian buah tangan merosakkan hubungan baik yang sihat antara editor dengan editor-editor lain. Buah tangan menyebabkan sesama editor saling cemburu mencemburui. Sesama editor menjadi saling curiga-mencurigai, umpat-mengumpat, dan dengki-mendengki. Akibatnya sesama editor tidak mahu tolong-menolong dan tidak mahu memberikan kerjasama kepada penulis yang berada di bawah jagaan editor-editor lain.




  4. Pemberian buah tangan dari penulis menyebabkan masing-masing editor mengamalkan pilih kasih ke atas penulis-penulisnya. Mereka memberikan layanan istimewa kepada penulis yang memberi buah tangan yang mahal-mahal.




  5. Amalan memberi buah tangan menyebabkan editor berasa tidak puas hati dengan penulis masing-masing yang tidak memberi buah tangan mahal, meskipun karya penulis itu laris di pasaran. Malah, sebenarnya, semakin laris karya si penulis, semakin editornya tidak puas hati mengapa buah tangan yang diterimanya tidak mahal.




  6. Amalan itu menyebabkan timbul perasaan tidak puas hati di kalangan para penulis. Orang yang tidak puas hati tidak tutup mulut. Mereka bercakap kepada orang-orang lain, dan ini merosakkan imej syarikat.




Para penulis tidak patut berasa bersalah apabila mereka tidak memberi sebarang bentuk buah tangan kepada editornya setiap kali tiba musim pembayaran royalti.


Bagi mengelakkan rasuah, semua cek royalti hendaklah dihantar oleh Jabatan Kewangan terus kepada penulis, bukan diserahkan kepada editor supaya diambil sendiri oleh penulis dari tangan si editor. Amalan ini membuka pintu kepada pelbagai salah urus dan salah guna kuasa.


Bukanlah kerja staf Jabatan Editorial memegang dan menyimpan cek-cek penulis. Membenarkan amalan penulis datang sendiri dan mengambil cek daripada tangan editor bukunya adalah kesalahan kerja pada pihak Jabatan Kewangan.



Buah tangan adalah suatu jenis RASUAH. Orang yang memberi dan orang yang menerima RASUAH sama-sama membahayakan kepentingan syarikat, dan kehadiran mereka tidak diperlukan dalam syarikat.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(54) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, May 11, 2006

Penulis Lwn Penerbit:

Kes Abu Naim lwn Penerbit DELTA. Baca dalam komen.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, April 03, 2006

Sasterawan Nisah Haron dan Pesta Buku

Pada masa nilai novel-novel cinta terjual sekitar RM500 ribu sepanjang Pesta Buku PBAKL yang lalu, bagaimanakah nasib sasterawan Melayu dan karya mereka? Baca catatan Puan Nisah Haron Di manakah Pengarah Jabatan Pengembangan Sastera DBP menyorok?

Sasterawan Negara Dato A. Samad Said memilih booth PTS meskipun PTS hanya pengedar karya-karya beliau yang diterbitkan oleh WiraBukit.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Hubungan penulis-penerbit
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, April 01, 2006

Gaya Kerja In-house

Entri ini ditulis untuk penulis-penulis baru.



Apa itu 'gaya kerja in-house'? Setiap syarikat penerbitan mempunyai cara masing-masing menjalankan bisnes mereka. Sebagai penulis, saudara perlu mencari