Sewaktu Perdana Menteri mengumumkan PIPP (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan), sekali lagi beliau mengulang kata-katanya bahawa rakyat Malaysia perlu berfikir di luar kotak. Maka beliau mahukan dengan adanya PIPP itu kerajaan dapat menjadikan pelajar-pelajar Malaysia berfikir di luar kotak.
Setiap bidang kepakaran mencipta 'kotak-kotak'-nya sendiri. Jurutera mempunyai kotak-kotak dalam profesion mereka. Arkitek mempunyai kotak-kotak mereka sendiri. Penerbit buku mempunyai kotak-kotak mereka sendiri.
Apabila kita diajar "cara yang betul" membuat lasagna, maka apa yang kita pelajari itu menjadi 'kotak' kita. Kalau kita tidak pernah tahu apa itu lasagna dan bagaimana cara yang betul membuatnya maka kita tidak ada kotak lasagna dalam kepala kita. Oleh itu kita tidak akan dapat mencipta resipi membuat lasagna cara baru.
Kotak-kotak dalam kepala kita ini tercipta daripada pengetahuan yang kita pelajari. Kalau kita belajar ilmu kujuruteraan maka kita akan mempunyai kotak-kotak dalam bidang itu. Seorang doktor tidak akan terperangkap dalam kotak jurutera.
Kita tidak dapat menyuruh orang berfikir di luar kotak melainkan orang itu mempunyai ilmu dan maklumat dalam sesuatu bidang yang berkaitan kotak itu. Kalau kita mahu bangsa Melayu mencipta idea-idea saintifik, pertama-tama orang Melayu yang disuruh mencipta idea-idea sains itu mestilah seorang saintis.
Jika kita mahukan idea-idea baru dalam bidang kejuruteraan, hanya orang yang memiliki maklumat dalam bidang kejuruteraan sahaja yang dapat mencipta idea-idea baru itu.
Jika PIPP mahukan melahirkan saintis-saintis yang pandai berfikir di luar kotak, yang pandai mencipta idea-idea baru, langkah pertama adalah melahirkan saintis-saintis itu dahulu.
Pakar-pakar psikologi sudah bersetuju bahawa apa yang dikatakan 'general kreativiti' itu tidak wujud. Kreativiti sentiasa berlaku dalam bidang-bidang spesifik. Hanya ahli muzik yang dapat mencipta idea-idea kreatif dalam bidang muzik. Hanya ahli komputer yang pandai mencipta komputer jenis baru.
Perlukah budak-budak sekolah diajarkan teknik-teknik berfikir keluar kotak? Mereka mahu diajar keluar daripada kotak apa?
Sekolah mengajarkan ilmu sains, dengan itu ia melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai pengetahuan sains. Selepas seseorang itu menjadi saintis barulah dia dapat berfikir di luar kotak-kotak sains yang ada.
Sistem pendidikan kita mesti melahirkan jumlah saintis Melayu yang ramai supaya mereka dapat mencipta idea-idea saintifik baru.
Ilmu pengetahuan sains adalah tepung yang akan diuli bagi menghasilkan pelbagai kuih-muih sains oleh si saintis. Kalau otak orang Melayu kosong sains, tepung apa yang mahu diulinya?
Pada fasa persekolahan, yang penting dimasukkan ke dalam otak budak-budak Melayu adalah ilmu-ilmu sains. Ilmu-ilmu sains itulah yang membolehkan mereka menjadi saintis yang kreatif, yang dapat dilatih berfikir di luar kotak-kotak sains yang ada.
Di seluruh dunia, statistik menunjukkan 95% pelajar sekolah luar bandar tidak dapat menguasai bahasa asing, oleh itu mereka tidak dapat membaca bahan-bahan sains yang tertulis dalam bahasa asing.
Jadi, demi membantu budak-budak Melayu luar bandar, kita mesti menerbitkan banyak bahan-bahan sains dalam Bahasa Melayu. Kalau maklumat sains tersimpan dalam buku Inggeris, nanti tinggallah Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi bahan-bahan yang membahayakan otak orang Melayu.
Tanpa buku-buku sains dalam Bahasa Melayu, yang ada bagi bacaan budak-budak Melayu adalah sampah sarap, umpamanya cerita-cerita tahyul, maka mereka akan menjadi ahli tahyul yang kreatif, yakni mereka akan pandai mencipta lebih banyak idea-idea tahyul.
Kita mesti sumbat otak budak-budak Melayu sampai penuh sesak dengan ilmu-ilmu sains. Dengan izin Tuhan, apabila mereka sudah pakar ilmu sains, kita dapat mengajar saintis-saintis Melayu kita itu teknik-teknik berfikir di luar kotak. Kursus 1 hari pun sudah memadai.
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006