Thursday, May 03, 2007

Panduan Menyusun Puisi

Katakanlah saudara seorang penyair. Saudara sudah menulis 100 puisi yang mahu diteritkan dalam bentuk buku.

Apabila saudara menyusun puisi-puisi untuk dibukukan, bagaimanakah saudara memilih puisi mana yang hendak saudara letakkan di halaman pertama, kedua, ketiga dan seterusnya, sampailah puisi apa yang hendak diletakkan di halaman terakhir?

Ada beberapa metode yang dapat digunakan, masing-masing metode dengan kelebihan dan kelemahan masing-masing.

(1) Susun ikut tarikh puisi itu ditulis

Banyak penyair menggunakan metode ini. Objektif yang biasa dijadikan alasan oleh sang penyair adalah:

(i) Bagi merekodkan aspek-aspek sejarawi kepengarangnnya, dan

(ii) Dengan cara itu pembaca dapat melihat perkembangan bakat dan mutu karyanya, sejak beliau mula menulis sehingga sekarang.

Dua objektif di atas menyebabkan tarikh dan tempat puisi-puisi itu ditulis dicatatkan di bawah setiap puisi.

Metode ini tidak mengambil kira:

(i) Layout buku itu nanti bakal menjadi cantik ataupun buruk.

(ii) Apakah pembeli buku itu membeli disebabkan dia mahu tahu maklumat sejarawi kepengarangan si penyair, ataupun apa?

(iii) Ia tidak mengambil kira aspek bagaimana buku puisi itu mahu di-position-kan dalam pasaran supaya dapat dijual.

(2) Susun ikut tema puisi

Ada penyair yang menerbitkan karyanya berdasarkan tema. Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh adalah antara penyair yang pernah menulis dan menerbitkan puisinya dengan cara ini. Sebagai contoh karya beliau "Sajak-sajak Sejarah Melayu" (DBP 1981)

(3) Susun supaya buku itu menjadi cantik apabila sudah siap dicetak.

Metode ini mengambil kira layout buku. Sebagai contoh apabila buku dibuka, wajah halaman sebelah kiri mesti sama cantiknya dengan halaman sebelah kanan, bagaikan pinang dibelah dua.

Jangan berlaku di mana, puisi di halaman kiri pendek, cuma 7 baris, manakala puisi di halaman kanan panjang, 20 baris, nanti visual buku itu 'senget' ke kanan.

Begitu juga, puisi itu jangan terlebih panjang 2 baris, sehingga 2 baris itu perlu disambung ke halaman berikutnya! Ini menyebabkan buku itu banyak ruang kosong dan wajah buku itu menjadi buruk!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, May 02, 2007

Memilih Simbol Dalam Puisi

Simbol adalah salah satu sumber keindahan dalam puisi. Tetapi bukan semua simbol dapat mencipta kesan-kesan keindahan.

Ciri utama puisi yang indah adalah sifat komunikatifnya. Justeru simbol-simbol yang dipilih itu semestinya mempunyai ciri komunikatif juga.

Simbol-simbol yang komunikatif adalah simbol-simbol yang dapat dikongsi bersama pengertiannya antara penyair dengan pembaca. Sebagai contoh simbol 'lilin' mempunyai ciri komunikatif. Baik penyair mahupun pembaca sudah mempunyai persetujuan berkenaan apa makna simbol lilin.

Salah satu faktor yang menyebabkan sesebuah puisi itu tidak indah adalah apabila pembaca tidak faham apalah agaknya makna simbol-simbol yang digunakan oleh Sang Penyair.

Simbol yang terlalu peribadi sifatnya menyebabkan puisi itu tidak komunikatif. Sebagai contoh, apabila penyair menggunakan fenomena alam yang hanya terdapat di kutub utara sebagai simbol dalam sajaknya, sedangkan pembacanya tidak pernah melihat dengan mata kepalanya akan fenomena alam itu, maka simbol demikian tidak mencipta kesan keindahan pada otak dan jiwa pembacanya.

Dalam Quran terdapat banyak simbol, semuanya bersifat komunikatif. Simbol 'jalan yang lurus' dan 'keldai yang membawa kitab' adalah contoh simbol-simbol yang komunikatif.

Dalam surah Yusuf, simbol 'matahari, bulan dan sebelas bintang' tunduk kepada Nabi Yusuf adalah komunikatif.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, April 25, 2007

Sukarnya Berniaga dengan Penyair

Dari segi jualan, jualan buku puisi sajak adalah paling corot berbanding dengan jualan genre lain. Menjual buku sastera klasik Melayu pun nampaknya lebih mudah. Rekod jualan Yayasan Karyawan yang menjual set sastera agung Melayu menjadi bukti. Ini suatu perkara yang menghairankan.

Menjual buku koleksi pantun pun nampaknya lebih mudah. Dalam DBP-Dawama dikatakan tidak pandai menjual buku, tetapi buku-buku koleksi pantun DBP semuanya diulangcetak, sedangkan buku itu mahal harganya, maklumlah ia tebal dan terbit dalam edisi kulit tebal juga.

Jika faktor jumlah peminat dijadikan alasan, jumlah peminat sajak adalah lebih besar daripada jumlah peminat kitab sastera klasik.

Banyak orang menulis sajak, meskipun barangkali sajak-sajak mereka tidak disiarkan. Mengapakah orang yang menulis sajak tidak membeli banyak buku sajak?

Jika harga dijadikan alasan, buku sajak lebih murah harganya dibandingkan daripada buku sastera klasik.

Jika sekolah dijadikan alasan, puisi klasik dan moden diajarkan di sekolah-sekolah sejak Tahun 4 di sekolah rendah. Malah dalam sebarang acara pentas di sekolah, pasti ada acara murid sekolah membacakan puisi.

Kita sebagai penerbit mempunyai maklumat berkenaan antologi sajak-sajak yang bagaimana yang dapat dijual, tetapi apabila kita kemukakan idea itu kepada beberapa penyair yang 'ada nama', walaupun tidaklah besar sangat nama mereka, tanpa menimang-nimang dahulu idea kita itu, mereka terus tidak mahu bercakap tentang idea sajak ala kuih-tempah.

Namun syukurlah, ada beberapa orang mentee SifuPTS yang bersikap terbuka dengan idea-idea eksperimental dan lateral, maka eksperimen kita yang pertama jelas menjanjikan kejayaan apabila antologi KOLEKSI TERINDAH PUISI CINTA ISLAMI terbit nanti, insya Allah tahun 2007.

Hmm... (sambil menggaru-garu kepala) ....

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, April 23, 2007

Simbol dalam Puisi dan Logik

Simbol dan puisi tidak dapat dipisahkan. Meskipun demikian, simbol yang tidak selaras dengan pengetahuan manusia tentang alam realiti boleh menurunkan nilai keindahan pada puisi.

Sesuatu yang indah itu semestinya dapat dibuktikan benar boleh berlaku, yakni logik, masuk akal, tidak terkeluar daripada pengalaman manusia biasa di dunia yang fana ini.

Apabila simbol-simbol itu tidak logik, turunlah nilai estatika puisi itu. Meskipun simbol itu luar biasa, tak terfikirkan sebelumnya, hebat bunyinya, tetapi dari sudut makna, puisi itu menjadi 'omong kosong' yang sedap didengar.

Contoh simbol-simbol yang 'kosong' makna, kecuali daripada sudut makna emosinya:

Tujuh lautan sanggup kurenangi
Tujuh benua sanggup kujelajahi
Tujuh gunung sanggup kudaki
Tujuh abad sanggup kunanti
Demi menghirup setitis cintamu...

Ermm... puisi omong kosong!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, April 21, 2007

Ruang Geografis dalam Puisi

Salah satu simbol dalam puisi adalah ruang geografis. Ruang geografis menjadi ruang dalam mana Sang Penyair bergerak.

Apabila ruang geografis itu terlalu luas, kesan keindahan puisi jatuh, disebabkan puisi itu jadi tidak masuk akal.

Contoh puisi di mana ruang geografis terlalu luas:

Kucari dikau dari gunung ke gunung
dari lembah ke lembah
dari desa ke desa
dari rumah ke rumah.

Kucari dikau dari hutan ke hutan
dari bintang ke bintang
di dasar tasik dan lautan
dalam danau dan dalam kolam.

Ermm... memang tidak masuk akal (sambil geleng-geleng kepala).

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, April 20, 2007

Mengapa Puisi Menjadi Tidak Komunikatif

Puisi dan simbol tidak dapat dipisahkan. Simbol memainkan peranan penting bagi mencipta kesan keindahan makna pada puisi.

Salah satu faktor yang menyebabkan puisi tidak komunikatif adalah jumlah simbol yang digunakan.

Apabila dalam sesebuah puisi itu terdapat banyak simbol, makin banyak simbol, makin turun nilai komunikasinya.

Sedangkan hendak memproses makna 1 simbol pun sukar, bagaimana pula apabila terpaksa memproses banyak simbol....

Contoh jumlah simbol yang terlalu banyak:

Malam suci telah menjelma dengan baldu dingin
Pohon-pohon hutan yang agam. Tiang-tiang neon.
Penari-penari sufi yang asyik menari
Zikir-zikir yang merdu menusuk kalbu
Sedang leka melewati titi mimpi dan kenyataan yang bernama kehidupan.
Mendaki puncak ketenangan bersama lilin-lilin
dari kegembiraan seorang kanak-kanak.
Burung-burung pulang ke sarang, ayam kembali ke istananya.
Ikan mencari teman-temannya. Katak-katak memulakan ketukan rebana
memeriahkan diaspora kerohanian seorang remaja.
Di sana pintu-pintu rumah ditutup dan tingkap-tingkap dikatup dan dirapatkan.
Ayat demi ayat puisi di ketepikan, pantun-pantun mulai hilang tingkahnya.

Hmm... apalah agaknya makna dan mesej yang mahu dikomunikasikan oleh penyair ini (sambil garu-garu kepala).

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, April 19, 2007

Buku Puisi: Tiru Bagaimana Lagu Dijual

Cara buku puisi disusun amat mempengaruhi sama ada buku itu laku ataupun tidak laku. Ini serupalah dengan cara album lagu disusun.

Album lagu disusun berdasarkan kategori lagu, kalau dalam sastera, dikatakan 'ikut tema'. Justeru, ada album keroncong sahaja, ada album lagu rock sahaja, ada album lagu kanak-kanak sahaja, ada album lagu nasyid sahaja, dan seterusnya.

Peminat lagu-lagu memang membeli album berdasarkan cita rasa masing-masing. Peminat lagu-lagu keroncong mencari album lagu-lagu keroncong sahaja. Demikian pula peminat lagu ghazal, lagu rap, lagu rock, lagu jaz, lagu klasik.

Mana ada album lagu caca-marba - dalam satu CD ada lagu asli, ada lagu rock, ada lagu nasyid, ada lagu dikir barat....? Peminat lagu keroncong takkan mahu membeli album berharga RM23 yang di dalamnya cuma ada 1 lagu keroncong.

Tetapi buku puisi caca-marba memang banyak, malah yang ada bolehlah dikatakan, semuanya buku puisi caca-marba. Dalam 1 buku ada macam-macam tema puisi.

Pembeli buku puisi mempunyai tingkah-laku serupa dengan pembeli album lagu. Kalau dia peminat puisi cinta, dia mahukan 1 buku puisi yang isinya 100% semua puisi cinta sahaja. Tetapi, dia dipaksa membeli macam-macam puisi, tentulah dia berasa rugi. Dia dipaksa membayar RM18 sedang di dalamnya cuma ada 5 puisi cinta. Dia takkan mahu membeli buku itu.

Sudah sampai masanya penerbitan buku puisi meniru cara kerja penerbit muzik.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, March 28, 2007

Puisi-puisi Penawar Duka

Dimaklumkan kepada anggota tim penyair Islami PTS, mulakanlah menulis puisi-puisi bagi perempuan-perempuan yang sedang dirundung duka, luka, kecewa, putus asa dan melara, supaya terus tabah dan bangun semula....

KE PADANG KEHIDUPAN
Kamal


Selamat datang ke padang kehidupan
Berhati-hatilah ketika melangkah
Di sini, harum kembang dan bisa duri
saling bersilangan.

Perjalananmu baru bermula
Langkah pertama pembuka semangat
Usah diingat rindu yang sarat
Gantunglah ia ketika sempat.

Aku akan melihatmu dari jauh
Jatuh dan bangun pasti kautempuh
Kesatlah air mata yang jatuh
Di padang kehidupan ini
Kau akan menjadi lebih mengerti
Kehidupan ini bukannya mimpi
yang indah tidak akan terus menanti.

DIA LELAKI YANG MEMBUNUH CINTAMU
Kamal


Dia telah membunuh cintamu
dengan pedang dustanya.

Menjaja cinta ke mana jua
Masihkah dia yang kaucinta?

Dia membisikkan sayang dan rindu
buatmu penuh syahdu
lalu kaukunyah dengan melulu.

Yang kauinginkan hanya kasihnya
Yang kauterima hanya derita.

Kuburkan sahaja rasa cinta itu
sebelum perlahan-lahan
dia membunuh jiwa sucimu!

AKU TERLALU TERLUKA MELIHATMU BEGITU
Kamal


Aku terlalu terluka
melihatmu begitu
Seakan telah kauhilangkan
matahari dari hidupmu
Kegelapan di mana-mana
Bagai sebuah kematian sebelum saatnya.

Aku mahu kausenyum kembali
bercerita tentang dirimu dan impian
yang kaulakarkan di kanvas harapan
Palitkan kembali warna keriangan di wajahmu
Tabahlah merentasi segala dugaan.

Aku terlalu terluka
Jika kau terus begitu
Membiarkan waktu berlalu
dan memberikan kemenangan
pada sebuah kegagalan lalu.

ENGKAU AKAN LEBIH BAHAGIA TANPANYA
Kamal


Engkau selalu bertanya
mengapa cinta hadir
andai hanya untuk melukakan?
Bisa kenangan itu meresap
dan menyesakkan perasaanmu,
meluluhkan.

Inilah hakikat, jodoh pertemuan
ketentuan tuhan
Jika terus menyayanginya
hanya menambah lara di jiwa
Engkau perlu bersedia melepaskan
apa yang tidak kaumiliki
dengan rela hati.

Pujuklah hati sendiri,
cinta itu bukanlah abadi
andai tuhan mengkehendaki
jalan hidupmu begini.

Tidak akan tuhan
anugerahkan dugaan
jika dirimu tidak tertanggungkan.

Engkau akan lebih bahagia
tanpanya, sebagaimana dia
lebih berbahagia tanpamu!

SEHARI LAGI WAKTU TELAH BERLALU
Kamal


Jika begitulah pengakhirannya
engkau hanya menyiksakan jiwa
yang kudengari hanya suara kesedihan
yang berlantunan di ruangan hati
saat kuhampiri dirimu
yang kaku penuh keliru.

Hari berlalu dalam senyap
kesunyian di mana-mana
untuk apakah lagi kesedihan itu, sahabat?

Aku ingin memimpinmu kembali
ke jalan asal,
menginsafi segala yang terjadi
bukankah hidup kita harus dalam
redhaNya, sahabat!

Sehari lagi waktu telah berlalu
aku tidak mahu hatimu menjadi
sekeras batu,
menyagat kewarasan dirimu
melupakan tuhan yang satu!

Cahaya di Hujung Gelita
Kamal


Kaunantilah kilau bintang
Mergerdip di hujung malam
Walau guruh di hati
Masih belum reda
Menikam segenap rasa.

Kesetiaan bukan lagi taruhan
Untuk hati melepaskan sayang
Pada rindu yang enggan bertandang
Sesudah kasihnya hilang.

Pasti ada sinar
Di penghujung lara
Memercikkan cahaya bahagia
di gelita jiwa.

LEPASKANLAH JANJI-JANJINYA
Kamal


Lepaskanlah segala janji-janjinya
daripada terus memasung dukamu
Kau harus lebih yakin
Menepis bilah sengsara
tanpa dibayangi sangsi dan ragu
yang meluru di pintu hidupmu.

Segala tangisan dan air mata
adalah kurnia dari-Nya, mendewasakan diri
untuk lebih bersedia mengatur langkah
ke gerbang bahagia yang seharusnya
kaupunyai selama ini.

Seribu hirisan luka semalam
jadikan sejarah diri
untuk lebih dimengerti
yang dinanti tidak akan
kembali lagi.

HARI YANG INDAH UNTUK KAU BERSENDIRIAN
Kamal

Setelah terlalu penat memikul beban
Engkau berdirilah menghadap awan
Yang telah seharian memuntahkan hujan
Burung-burung berkicauan riang
Menyambut hari indah yang menjelang.

Seindah ini warna alam
telah kaulepaskan daripada pandangan
sedang mata asyik tertikam
sisa-sisa duka semalam.

Lukiskanlah corak terindah di hatimu
Senyumlah, menghadapi hari esok
walau telah terpeta jejak duka
di tubir nasib dan bahagia entah
bila akan menjelma.

Hari ini amat indah untuk kau bersendirian
Bukalah pintu-pintu bahagia
Yang telah sekian lama kauhilangkan kuncinya
Pada kelmarin yang sengsara.

Kembalilah mengatur langkah
Menghapus gundah
Untuk hari esok yang lebih indah.

BUAT LELAKI YANG MELUKAKAN HATIMU
Kamal


Genderang musim bunga
Berlantunan di danau hati
Kini telah pergi membawa
Segala mimpi.

Buat lelaki yang melukakan
hatimu, terimalah salam kemaafan itu
agar hatimu lebih tenang
menatang kasih baru yang datang

Gendang semusim cinta
Biarkanlah ianya berlalu
Walau getarnya masih terasa
Di sudut memori pilu.

Pasti akan kautemui nanti
Seorang lelaki, lebih memahami
Dan kasihnya seharum wangian di syurga
Milikmu berdua.

KAU HARUS KEMBALI MENJADI BERANI
Kamal


Tangan-tangan hitam itu
menutup mulutmu menjadi bisu
sehingga engkau tidak mampu
memilih antara bahagia
atau berterusan di rantai sengsara.

Telah sekian lama
kauusung derita itu
menjadi api yang membakar diri
Kini kau harus bersuara
dan melangkah pergi
meninggalkan ruang derita.

Marilah ke pantai bahagia
biar ombak membilas segala derita
Pasti siulan camar
mampu membuatmu terlena
dari memikirkan sejuta kesakitan
yang membelit jiwa.

Kau harus bersuara
dan kembali menjadi berani
melangkah, tanpa memandang kembali
detik-detik kelam yang memenjarakan diri
selama ini kerana sayangmu padanya
tiada ertinya lagi.

USAH BERHENTI MENYINTAI DIRIMU
Kamal


Sesekali dalam hidupmu
Pasti akan kautemui
Mendung duka
Melintasi jendela hidupmu.

Lalu kau tersentak, keliru
dan meluru ke pintu sendu
Menghitung nasib, tercari-cari
di mana silapnya segala derita.

Redhalah dengan ketentuan-Nya
Pasti akan kautemui nikmat melimpah
Sesudah gerimis duka datang mencurah.

Walau di mana dikau melangkah
Teguhkan keimanan, paculah ikhtiar
Pasti kautemui jalan keluar.

Usah berhenti menyintai dirimu
Walau dirimu diduga selalu!

DIA TIDAK SEMESTINYA MENANG
Kamal


Hatimu terhempas lagi
ke lantai duka
setelah kautatang segalanya
tanpa syarat.

Namun perpisahan
tidak perlu punya sebab.

Kini kau harus menarik
satu persatu selumbar pilu
yang tertanam di sudut hati.

Usah menggigil menghadapi
hari baru tanpanya.

Dia tidak semestinya menang
untuk segala tindakan.

Engkau tidak selamanya malang
di hari mendatang.

Cantumkan kembali serpihan harapan
yang bertaburan di laman usia
kau mampu menjulang kembali
sebuah kebahagiaan hakiki!

MEMORI YANG PEDIH
Kamal

Lingkaran memori gelap
mengepung ruang diri
bagai tunggul-tunggul kebencian
menikam perasaan
kekesalan sebuah kehilangan
adalah kesunyian yang maha
pedih.

Setiap titis kepiluan
jadikanlah pedoman
dunia akan terus bergerak
meninggalkanmu.

Hadapilah kenyataan
pengalaman suka dan duka
memberi ketabahan
hanya tuhanlah yang berkuasa
ke atas segala-galanya.

Lenyapkanlah memori sunyi
yang pedih itu,
singkirkan rindu yang sarat
moga dirimu tidak terus terjerat!

MANIS BERGANTI PEDIH
Kamal

Akhirnya musim kepiluan itu muncul
di celah hari-hari indah
yang tak mahu kaulepaskan.

Kini, apa yang kaumiliki
tidak kaupunyai lagi.

Dia hanya lintasan kasih
yang memberimu sedetik bahagia
dan kepedihan sepanjang nyawa.

Kau hanya memerlukan sedikit
kegagahan seorang srikandi
untuk bangun kembali dan menyatakan:
“Aku harus meneruskan kehidupan,
dan memberikan yang terbaik untuk bahagia
di dunia dan akhirat!”

INI JALAN YANG KAUPILIH
Kamal


Suaramu tidak mampu
memecahkan segala sangsi diri
atau membangkitkan hasrat,
yang bergema hanyalah
getar nafasmu di dinding
penyesalan.

Pantas sahaja suara-suara
yang tidak kedengaran itu
memaksamu membuat pilihan.

Ini jalan yang kaupilih
dalam segala kepayahan
dalam segala kesakitan
kaucantumkan kembali
perca kehidupan yang robek
diusap bayu alpa.

“Selimutkan daku dengan
doamu bonda,” bisikmu.

Kini kaukembali
mengutip harga diri
bukan simpati!

PABILA KAU TIDAK DIPERLUKAN
Nzshima


Madah katanya memercikkan duka
kasih setiamu dipersiakan
kalung janjinya bersalut pura
kaukini sedar kau tak diperlukan.

Kauizinkan madah katanya
kekal sebagai percikan
kaulapangkan dada menerima ujian
akur syukur nikmat Tuhan.

Dalam setiap kesusahan ada kelapangan
kauyakin pada Qada’ dan Qadar
tidak kauanggap sebagai beban
cinta hakiki semakin mekar.

USAH DIKUTIP MANIK DUSTA ITU
Nzshima


Usah kaubiarkan duka terus bertamu
Bila manik-manik dusta bertaburan satu-persatu

Walau nafasmu seakan terhenti
Hidupmu bagai tiada erti
Kesetiaanmu dikhianati

Laramu itu usah dijadikan hidangan
Jadikan solatmu sebagai santapan
Taubat dan doa sebagai minuman
Selawat atas Nabi sebagai kudapan
Zikir dan Istighfar sebagai manisan

Dengan izinNya kau terus bernafas
Hidupmu indah terbentang luas

Usah kaukutip manik-manik dusta itu lagi
Untuk kaukalungkan semula di hati.

BUKAN IMPIAN
Nzshima


Hembusan udara rayunya
Mengocak tenang tasik rasamu

Kilauan permata katanya
Menyilau mata hatimu

Langkah segaknya
Menggoncang jiwamu

Kauhimpun semula mutiara
yang dahulunya bertaburan
setelah sekian lama
kau sepi merawat rawan

Berat sungguh dugaan Tuhan
Setelah hati tertawan
Si dia pula sudah berteman
Mutiara kembali tersimpan

Jernih fikirmu terus terkaku
Tekad menjadi pilihan pertama
Hasrat murnimu dirantai kembali
Kau tak rela melukakannya

KuasaNya jua mengatasi
walau kutahu
bukan ini jadi impianmu.

SAPULAH TANGISMU
Mya Marja


Saat dikau terlontar
dari jangkauan kasih
sepi dikau di tepian hati
sendiri melayan rasa
meresap hiba.

Sapulah tangismu
yang mengalir membasah mesra
dan harga diri seorang gadis
ditinggal pergi.

Hirup sedalamnya nafas iman
yang bersemilir hadir di ruang masa
yang masih tersisa untukmu.

Pada nafas iman
tegakkan panji sakti
bertunjang kasih
dari pemberi kasih nan abadi
kembalikan harga dirimu
dikau akan temui
kekasihmu lagi.

RELAKAN PERPISAHAN ITU
Mya Marja


Saat perpisahan mengundang
hati dicengkam kesakitan
perih menahan perasaan
manis kenangan terbenam
ke lubuk hitam dendam.

Amat payah menahan
kenangan yang bertukar dendam.

Relakan.
Relakan.

Relakan perpisahan itu
sejauh mana sakit dendammu
ingin kaubawa.

Di sini wangi bunga
masih mententeramkan
masih mendamaikan
jiwa nan gelora.

Pada biru langit
dan hijau bumi
berjuta harapan dan kenangan baru
menanti untuk kaujalin mesrakan.

KEMBALI MEMUGAR HARAPAN
Mya Marja


Setelah sendirian berdiri
pada semusim kering
mengulit derita mimpi
merawat luka ditinggalkan
langkahkan kakimu
kembali menyeri musim nan baru
memugar semula seribu tekun
kausungguhi perkebunan hidup
yang meluas hijau untukmu.

Buka matamu seluas pandang
burung-burung tetap berkicau nyanyi
mentari tetap setia menghulur cahaya
dan udara maya masih berhembus
mengirim sejahtera seisi alam.

Benamkan sahaja dukamu
di tanah kenangan
aturkan gagah kakimu
ke tanah harapan.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(70) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, March 22, 2007

Sajak-sajak Cinta Mya Marja

ENGKAUKAH YANG MEMANGGIL NAMAKU
Mya Marja


Engkaukah yang melaung
memanggil namaku di gurun sepi
yang dengungnya menerjah
dan menggetarkan sukma

Atau akukah yang keliru
terdengar-dengar jeritan hati sendiri
setelah kauterbang jauh
bersayap emas setinggi awan
membawa cinta
mengukir bahagia bersama si dia

DAKUKAH YANG DIKAU DAMBA
Mya Marja


Dakukah yang dikau damba
seorang lelaki pengutip kata berharga
pengatur langkah yang cuba mencapai harga diri
dan belajar terbang dengan sayap angan
bagi mencapai bintang nan bersinar terang

Andai daku yang dikau damba
hembusi daku dengan kata suci saktimu
agar segera daku berdiri
agar segera daku berlari
agar segera daku datang

Akan kubawa dikau bersama
ke puncak bahagia menuju redhaNya.

KUINGIN BERTEDUH DENGANMU
Mya Marja


Kuingin berteduh denganmu
di bawah teduhan iman
bersama mekar zaman
kita jalinkan mesra ikatan
dengan hati bersih
mereda segala rintih.

Di bawah teduhan itu
kita segarkan semerbak kasih
bertaut pada Yang Maha Kasih
dengan putih kata nan mengalir redha
dan kalimah fatanah menggema jiwa
mematang tindak
menggetar rasa syahdu rindu
kepada pemberi segala syahdu.

Kunantikan saatnya berteduh bersamamu
bersyurga jiwa di taman bahagia.

APABILA KENANGAN DATANG
Mya Marja


Saat kenangan silam menyerang
aku tertikam bilah rindu dan kasih
yang berpusar-pusar di lubuk hati
bersama butir zikir dan tasbih
yang pernah kauhadiahkan.

Masa lalu itu adalah manis madu
saat kenangan datang
yang kuhirup cuma sakarnya
kerana dirimu telah pergi jauh
meninggalkan aku dengan kenangan.

MIMPI RINDU
Mya Marja


Rinduku tergantung
di langit malam sampai dinihari

Semalam dikau berpesan:
Carilah daku di langit itu
kala gelap semakin pekat
dan dingin menggigit
ke tulang!

Mungkinkah daku bermimpi kala jagaku
merindui dikau dalam mimpi rindu.

RINDU SEPI
Mya Marja

Tika rindu menerpa
berbisiklah dengan lafaz alunan kalimah
kata suci
ayat demi ayat
surah demi surah.

Tika sepi menyerang
bersunyilah menyendiri hingga terbit air mata
keinsafan
kerinduan nan dalam
pada rindu yang abadi.

Kekasih,
kata keramatmu itu abadi kuhayati.

(kr) SENTUHANMU
Mya Marja


Sentuhi daku dengan kasihmu
beralaskan selendang warisan iman
yang harum berzaman.

Sentuhi daku dengan makrifat
bahasa suci tenang bergema
tika sepi menerjah ke hati.

Sentuhilah daku
dengan lembut tanganmu
pabila dikau sah menjadi milikku.

RINDU SUNYI
Mya Marja


Sunyi bergetaran
di pelosok hati nan dalam
jauh terkenang
cinta semalam

dalam debar
dalam fikir
dalam tafsir
betapa sunyi yang dianugerahkan
memberi ruang akalku kembali
kepada Yang Maha Satu

saat langkah semakin jauh
dirimu entah di mana
sendirian aku membaca takdir
sujud berserah mengadu rindu
pada Kau Yang Maha Satu.

SAAT DIKAU KUABAIKAN
Mya Marja

Saat dikau kuabaikan
betapa akal budi seakan mati
mengejar alunan fatamorgana
akhirnya kakiku longlai
hati merana

Maafkan daku kekasih
kerana meninggalkanmu

Kembalilah padaku kekasih
mengalun lagu syahdu
dalam irama fikir dan zikir
memuji-muji keagunganNya
bersama kita alunkan zikir rindu
mengharap kasih dan redhaNya

Usah diturut rasa hati
yang terluka kerana cinta
yang pernah kutinggalkan.

TERIMA KASIH MEMBERIKAN AKU CINTA
Mya Marja


Terima kasih
kerana pernah memberikan aku cinta
dalam sejalur waktu yang kelam
kausuluh terang segala suram.

Terima kasih
kerana cintamu adalah kata berjiwa
yang kauatur sopan tanpa bujukan
tanpa bicara berdepan mata
hanya terutus di angin lalu
mesra menyapa hati yang beku
menyubur rasa yang lama layu.

Terima kasih
kerana cintamu telah reput dalam ingatan
setelah sekian lama kautinggalkan.

INI JALAN YANG KUPILIH
Mya Marja


Aku tidak mahu merintih
mengharap lagi belas kasih
daripada hatimu yang sentiasa memberi
kerana aku tahu cinta bukan meminta
tetapi memberi.

Ini jalan yang kupilih.

Pabila engkau meminta aku melupakanmu
inilah saatnya aku memberi
suatu kerelaan dalam paksa
bagai memberi seluruh nafasku
dan aku tercungap kelemasan
saat engkau kulepaskan
dari hati dan dari bibir
sendiri aku mendakap takdir.

RATIB SEDIH
Mya Marja


Kata akhirmu itu
adalah ratib sedih
yang bertahun kauhimpun

gemanya menggetarkan jantung dan hati
aku yang mencari jati diri dan akar berumbi
untuk ku terus berdiri dengan nama sendiri
pada medan harum yang kita susuri bersama

Itulah sebaris kenangan
yang kautinggalkan
hanyalah wangi
selendang suteramu
kusimpan dalam kalbu.

MAHLIGAI DAMAI DI KOTA KETENANGAN
Mya Marja


Telah kusiapkan mahligai damai
di kota ketenangan ini
untukmu dambaan hati
yang pernah menyapaku lalu pergi
tanpa kata ataupun salam akhir
kubaca redha sekalian takdir
dan kunanti dikau hadir.

Di mahligai damai ini
daku hiasi cahaya indah
gemerlap kota ketenangan
yang kubina dengan keringat sabar
bersama penantian pada makna takdir
menanti dikau datang lagi
bersama kita ratibkan rindu kepadaNya.

SEKUNTUM SENYUM KEPADA KENANGAN
Mya Marja


Senyum ini makin menguntum
pada kenangan yang kusimpan
dalam diam menyubur pohon diri
yang dahulu layu tidak bersiram.

Kasihmu itu bagai embun pagi
segar dinginnya memberiku damai
dan semangat makin bernyawa
lalu kuhembus nafas derita
dan kuhirup hikmah katamu
mencari diriku semula.

Senyum ini masih menguntum
kerana sekali engkau memberi cinta
tetap tersemat harumnya
walaupun kini aku terluka
kautinggalkan.

GADIS UNGGUL
Mya Marja


Engkau masih unggul
dalam berdiri berbudi
santun sopanmu masih kejap beradab
biarpun luka masih berbisa.

Engkau terus unggul
dalam duduk tawaduk
bermanis muka berlurus akal
erat tersemat
dalam bicaramu terpancar ilmu
biarpun dalam berduka.

Engkau gadis tabah
tenang meski dalam susah
setiap keluh kesah
engkau mengadu kepada Allah.

SELEMBAR TAKDIR KASIH
Mya Marja


Dapatkah dibaca cerita kasih suci
dan onak cinta berduri
pada selembar takdir
yang kejap menjadi rahsia.

Kita pelakon cerita cuma
memegang watak tersedia
dan bertukar rupa menurut akal
berpentas kita mencari bekal.

Mengapa harus berduka
pada selembar takdir kasih
yang menyimpang dari jiwa
dan menusuk seribu luka.

Kita ini pelakon cerita
hayati watak diberi
menuju haluan dengan pedoman
berpandu akal dan iman.

BUKAN SEMUDAHNYA KULAFAZKAN CINTA
Mya Marja


Andai hati tidak terpegun
dan tersentuh
melihat teguh kasihmu kepada Ilahi
bukan semudah itu kulafazkan cinta.

Bukan kata berbenang dusta
yang kusulamkan untukmu
tetapi sentuhan hati pada hamparan harap
kusulam corak bunga kasih
putih bersih kusiapkan untukmu.

Pada rela sebuah kerelaan
adalah izin pasti kunantikan
membuka rahsia dalam rahsia
tegakkan semula teguh percayamu
pada cinta yang kulafazkan
lambang hati melaut kasih
kepadamu.

KUSUSUN KATA INDAHMU
Mya Marja


Kata indahmu
mesra meruap hati
mengalir ke jiwa
menambat rasa
segala luka pun hilang.

Kata indahmu itu
menjadi nasyid syahdu
memekar murni hasrat
berbaur sesuci kasih
menghalau dendam pedih
teralun semerbak mendamai lara
teman perjalanan mengharap syurgaNya.

Kususun kata indahmu
menjadi puisi cinta
berbingkai dua jiwa
memukim sejahtera.

DI SATU SUDUT HATI
Mya Marja


Di sudut hati ini
kusediakan taman buatmu
untuk kauhiasi
dengan seni kasih dan harum kalimah
bermunajat seribu restu Yang Maha Satu.

Di sudut hati ini
yang singgah bayu sepi cuma
dan dingin rindu tanpa sapaan
gema suaramu tidak juga hadir
mengusir sepi bersarang bertahun.

Daku mencari tafsir
pada bahasa diammu
yang kaukirim di angin lalu
menitip pesan akhir:
Kau dan aku tidak mungkin bersatu
berdua dalam selembar takdir!

ALUNKAN CINTAMU
Mya Marja


Kala gelora cinta menghempas
di tepian duga
tanpa kenal luhur murni hati
tidak bertepi kepada setia
menggoyahkan yakin.

Alunkan semula cintamu
mengharap restu Yang Maha Satu
meneguh janji abadi
pada destinasi pasti
nantikan gamitan sinar
memberi cinta sebenar.

Kembanglah dikau
semekar bunga pagi
dielus segar bayu
menghembus taman indah
taman jiwamu.

LUKA RINDUKU SEMAKIN DALAM
Mya Marja


Semakin aku menghindar kenangan
dan harum mawar yang kautinggalkan
di kotak akal di ruang fikir
semakin ia hadir
bagai deru air membuih
menyapa pantai hati sepi
bersama desir zikir
perlahan menghembus
berlagu seperti yang dahulu
pernah kaudendangkan.

Kutinggalkan sepantai kenangan
dan mendaki memburu erti
pada sebuah ketetapan
sembunyi dan zahir di mata fikir
yang kutemui cuma wajahmu
tunduk suci bagai dahulu
berterbangan bersama kenangan.

Di puncak sepi ini
wajah kenangan dan harum mawar
hadir silih berganti
walau sekian lama kaupergi
terkapai aku diulit persoalan
dan luka rindu semakin mendalam.

USAH DIKAU MENANGIS LAGI
Mya Marja


Aku tidak ingin
melihat dikau menangis
dihujani kata puji janji
namun dusta kauterima
dilontari kata keji
lalu ditinggal pergi.

Usah dikau menangis lagi
berendam air mata
membasuh luka sendirian
dek hujan dan lontaran kata
si dia pendusta.

Sapulah air mata
usah biar mengalir
atur langkah gagah
namun penuh hemah.

Dikaulah gadis tabah
usirlah segala keji tohmah
yang hadir bertujah-tujah.

DUYUNG SAKTI
Mya Marja


Andai engkau duyung
berenanglah
ke laut luas
indah pandangnya
banyak mimpinya.

Usah engkau renangi
sungai gelora
nan deras airnya
terkadang hanyir baunya.

Renangi laut luasmu
kerana gelombang laut
lebih memujuk
hati nan rajuk.

MEMUKIM SEJAHTERA
Mya Marja


Kata indahmu
mesra meruap hati
mengalir ke jiwa
menambat rasa
segala luka pun hilang.

Kata indahmu itu
menjadi nasyid syahdu
memekar murni hasrat
berbaur sesuci kasih
menghalau dendam pedih
teralun semerbak mendamai lara
teman perjalanan mengharap syurgaNya.

Kususun kata indahmu
menjadi puisi cinta
berbingkai dua jiwa
memukim sejahtera.

PADAMKAN API CEMBURUMU
Mya Marja


Usah kaubakar
mahligai bahagia
dengan api cemburumu
yang meranap segala.

Cemburu kerana Allah
meningkat ketakwaan
amalan kian berkesan
namun cemburu butamu
tidak kausandar di tiang iman
hanya mendengar bisikan hitam
kauwarnakan dengan hati kelam.

Padamkan api itu
sebelum membakar haluan
kembali kita beriring jalan.

DAKU PASRAH MENANTI JANJI
Mya Marja


Tinggalkan aku sendiri
pada detik seketika
kerana kuingin menghitung janji
yang engkau lafaz dahulu
menjadi janji rindu
yang kudakap rela
kepada rindu nan abadi.

Pada detik nan seketika
kupilinkan janji rindu
dengan setia bicara iman
yang bernur di lubuk hati
perkasa jiwa kerananya.

Pada detik ini
pasrah kunanti janji
ke hadrat Ilahi
dalam sujud berserah diri.

KULIHAT TAMAN FIRDAUSI PADA WAJAHMU
Mya Marja


Wajahmu yang berseri
mengalun rinduku
pada sujud dinihari
pada takbir tahmid memuji Ilahi.

Dari sorotan matamu
pesona dirimu dipandang
bagai ada taman firdausi di dalamnya
yang terbentang hijau
beraliran sungai jernih dan dingin
menyegarkan.

Dalam mekar senyummu terukir di bibir
tidak lupa pada ucap zikir diam dan zahir.

Semanis senyum kaulempar
menyubur hati nan rawan
tenang kembali jiwa nan bergelora
menggamit kembali rasa rindu kasihNya.

Dalam gerak batin dan zahir
tersusun indah lenggok imanmu
wangian syurga jua yang kaurindui
mataku asyik menari-nari
pesona melihat kau masih berdiri
dalam ruang istiqomah puji dan puja
mengabdi diri kepadaNya.

SELEMPANGKAN SELENDANG SUTERAMU
Mya Marja


Sehelai selendang sutera
wangi harumnya tidak hilang
walau ditelan zaman

Lembutmu sutera
menjadi temanmu wanita
yang tunduk pandangnya
yang tawaduk pekertinya
yang luhur budinya
yang molek tuturnya

Alun suara puji-pujian yang terdendang
bersama sehelai suteramu
masih wangi
malam dan siang
pujian pada Yang Maha Memberi

Wangimu sutera terus semerbak
walau dek panas mentari
dan hujan menimpa bumi

Kepadamu wanita
pemilik selendang sutera
selempangkan selendangmu
hingga nafas ditutup bumi.

TEGAKKAN KEMBALI HARGA DIRIMU
Mya Marja


Pada pasrah kali ini
perlukah dikau menangis lagi
setelah ribuan tangis
kaukumpul di lorong hidupmu
bersama serpihan kasih
yang tidak berbaki
kau merintih sendiri.

Pada pasrah kali ini
tegakkan kembali harga dirimu
yang diinjak janji kosong
hanya bersulam harapan palsu
bertopeng indah.

Pasrahkan jiwamu
dalam berkasih
kepada Pemberi
segala bahagia.

HENTIKAN TANGISMU ITU
Mya Marja


Rindu yang kaukepung
memercik tangis di wajah
jalur harap bertukar angan
bahagia idaman tinggal kenangan
saat wangi kasih
jauh menyisih.

Hentikan tangismu
sebelum menjadi sungai gelora
dan melimpah ke tebing
memusnah sebendang sabar
dan batas tawakal.

Rawat dukamu
dengan jalinan mimpi baru
dengan wangi kasih tuhan
nan segar dingin
bersama pedoman iman
teguh yakin.

KUBERIKAN CINTAKU
Mya Marja


Kuberikan cintaku
sewaktu dikau ditinggal derita
bilah tajam masih menusuk
di jiwa bersendu lara.

Langkahkan kakimu
tanpa goyah dan sangsi
depani realiti
tanpa bujukan mimpi
kaumampu berdiri
menongkah badai derita
mencipta bahagia.

Kuberikan cintaku
sewaktu derita kian menjauh
pada langkah keduamu
kaususun percaya
menanti setiaku
di hujung doa.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(14) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, March 20, 2007

Puisi Komunikatif

Apakah maksud apabila sesuatu itu dikatakan bersifat 'komunikatif'? Maksudnya, mesej yang disampaikan dalam puisi itu terang dan jelas, sehingga orang biasa-biasa pun faham.

Jika sesebuah puisi itu sukar difahami, sehingga pembaca cuma dapat meneka-neka apa agaknya yang cuba disampaikan oleh pengarang, maka puisi seperti itu tidak komunikatif.

Barangkali, salah satu faktor yang menyebabkan buku-buku puisi Melayu sukar dijual adalah ciri puisi-puisi Melayu yang kurang komunikatif, menyebabkan puisi-puisi itu sukar difahami.

Hmmm... Siapa pula yang mahu membayar RM20 bagi menyusahkan otaknya...

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, March 19, 2007

Arahan bagi Tim Projek Antologi Puisi Cinta Islami

Jumlah puisi yang menggebu-gebu dengan emosi sudah cukup! Tidak perlu ditambah lagi.

Sekarang tuliskan daku puisi yang objeknya adalah benda-benda konkrit pula. Saya suka puisi "SEPASANG SEPATU BUAT HANTARAN KEKASIHKU" oleh Penyair KSI.

Tuliskan juga daku puisi yang menggunakan simbolisme karektor dalam al-Quran dan sirah nabi-nabi, seperti Adam, Hawa, Mariyam, Yusuf, Aishah, Khadijah, Fatimah dan banyak lagi....

Dan lambang-lambang dalam kehidupan dan percintaan di Syurga....

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(22) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, March 18, 2007

Sajak-Sajak Cinta Kamal

DIKAULAH MUTIARA KASIHKU
Kamal


Kupilihmu kekasih,
dari ribuan tiram
sedikit berkilau dari yang lain.

Seringkali hatiku terluka
tertusuk karang,
saat kubuka cengkerang
yang tertanam di lumpur hitam.

Kubiarkan sahaja ombak membilas kesakitan
Penuh daya kuanyamkan harapan
Moga terjalinlah ikatan tulus suci
di rantai indah perkahwinan ini.

Dikaulah,
Mutiara kasih terindah
yang kunanti penuh erti
di sanggul setia seorang isteri.

SEBELUM BERTEMUMU
Kamal


Sebelum bertemumu
aku tidak tahu
apa yang aku tidak ada.

Sendirian aku berjalan
merenungi sepi
yang bersimpang-siur
dalam sunyi hati.

Lalu kauajari aku makna
sebuah kehidupan
dan perkongsian sekeping hati
bukan sekadar memiliki.

Sebelum bertemumu
aku tidak tahu
erti bahagia itu.

DIKAULAH YANG KUCARI
Kamal


Mungkin benar katamu
Yang indah belum menjelma lagi
Dan aku harus terus menanti
Kudup cinta itu mekar di taman hati.

Saat kutemui dirimu
Aku seakan pasti dikaulah yang kucari
Selama ini.

CINTA INI ANUGERAH TUHAN
Kamal


Begitu berat hati menafikan
Betapa kesunyian ini adalah
sebuah kerinduan, seorang Adam
tanpa Hawanya.

Juga sebuah pelayaran suci
mengisi sepi di ruangan hati
yang kontang tak terisi
cinta suci seorang isteri.

Engkau hadir dalam hidup ini
dengan segala kepasrahan hati
menyambut huluran salam
untuk bersamaku memikul nikmatnya
Berdua melebur duka
janji setia untuk bersama
menempuh segala gelora.

Tuhan telah menganugerahkan
kau kepadaku, untuk memberi harapan
Sejalur cinta yang kudambakan.

DI MANA-MANA DALAM DIAMMU
Kamal


Bicaramu tiba-tiba menghilang
Bagai telah kaurangkul
Seluruh sunyi menemani diri.

Malam berbintang
Lenyap daripada pandangan
Kau masih terdiam
Bagai enggan melepaskan keresahan itu
Daripada terus membaluti wajah sucimu
Lantas menikam-nikam sanubariku.

Di mana-mana dalam diammu, kekasih
yang terhukum adalah aku.

NOKTAH RINDU
Kamal

Di hujung ayat itu
ternoktah segala rindu
dan yang terhukum adalah aku
tanpa jemu menantimu.

Di penghujung ayat itu
engkau memberi segala restu
atau sengaja menghiris kalbuku.

BAGAIMANA HARUS AKU NYATAKAN
Kamal


Kelu lidahku
saat kau berada di depanku
terasa diri ini bukan diriku
dan dirimu hanyalah bayanganmu
yang melintas di depanku.

Bagaimana harus kunyatakan kepadamu
yang diri ini terlalu kasih
namun lidahku kelu bagi menyatakan
betapa sayang itu bukannya palsu.

Mungkinkah berdiam diri
lebih baik begitu, biar masa menentukan
jika berterus terang bisa membunuh perasaan
andai jawapan tidak semanis impian yang dikarang.

Bagaimana harus kunyatakan kepadamu?
jika lidah terus membisu
namun debar hatiku kian menggunungkan rindu.

CINTA DALAM SEPOTONG MIMPI
Kamal

Perjalanan panjang itu telah berakhir
Aku pernah menghadirkan diri
Dalam ruang kosong mengisi sunyi
Dan bersama berlari mengejar sepi.

Di sini bukan perhentian
Dan harapan sekeping hati
telah mati digenangi ratusan janji
Tiada apa yang tinggal kini
Mengunyah duka lara seorang diri.

Rupa-rupanya, segalanya hanya sementara
Cintamu hadir dalam sepotong mimpi
Yang enak untuk kunikmati
Namun bukan untuk kumiliki.

TEDUHAN
Kamal


Kuberikan ruang di hati
untukmu berteduh
daripada bahang kepuraan insani
dan kukenali makna sayang ini

namun,
rupa-rupanya kasihku hanyalah teduhan
untuk kautinggal-tinggalkan
setelah reda segala bimbang
dan langkahmu semakin panjang.

SAAT RINDUMU PERGI
Kamal


Di sebalik selendang biru
Hadiah buatmu itu
Engkau menyembunyikan segala pilu
Dan aku berdiri penuh keliru
Inikah sebenarnya yang kau mahu.

Kataku kepadamu di akhir pertemuan itu:
“Telah kuserahkan sekeping hati
untuk kauhargai tanpa sangsi
Andai rindumu telah lama mati
untuk apa lagi aku berada di sini.”

Saat rindumu pergi, aku mengerti
kau tidak akan kembali ke sisi.

(kr) RINDU YANG KAUKIRIM
Kamal

Rindu yang kaukirim
Menyelinap dalam diam
Tidak upaya aku menahannya.

Hanya padaMu
Kalimah cinta itu bergetaran
Memberi nafas dalam jiwa.

Kekasih
Dikaulah mimpi-mimpi sedih
yang kutinggalkan.

SEKUDUP MAWAR INGATAN
Kamal


Kitalah sepasang angan itu
yang telah mengepakkan sayap
bertebaran di serata alam
hingga kadang kita terlupa
kudup-kudup mimpi disirami janji
yang pernah kita tinggalkan
di taman permainan.

Seindah puisi cinta yang kulagukan
engkau tetap kuingati kekasih,
seharum mawar terselit di sanggulmu
aku mengenangmu saban waktu.

Sekudup mawar ingatan ini
kuutuskan buatmu di sana
agar nanti kau tetap mengenangku
moga harum baunya tetap seperti dulu
mewangi hingga ke hujung hidup.

(kn) IZINKAN AKU MERINDU
Kamal

Pergilah segala rindu
yang tersekat dalam kalbu
biar kukeringkan air mata
yang melimpah dalam jiwa

Terima kasih perempuan,
kerana menghadiahkan aku sengsara
Terima kasih, kerana memberiku derita.

Walau sedingin mana hatimu
Izinkan aku merindu
Kerana Desember ini
segalanya tidak lagi seperti dulu!

(kn) AKULAH RINDU YANG KAUMAHU
Kamal


Tinggallah segalanya
Sebuah rindu yang tertunda
Sebuah sayang yang menerpa.

Saat itu, detik terindah kita
Wangi baumu di pangkuanku
Sebuah ikatan maha suci
Dalam lafaz penuh erti.

Akulah, segala rindu yang
kau mahu!

SELAMAT TINGGAL
Kamal


Aku sentiasa mengenangmu
dalam doa dan sujudku
walau kau hanya mengenangku
umpama debu-debu yang singgah
di sepatumu.

Mata hati jiwa,
Lihatlah dia yang pergi
Usah diingatkan lagi
Jejak-jejakmu yang membekas
di hati.

TELAH KUBERIKAN SEGALANYA
Kamal


Telah kuberikan segalanya
Yang termampu kulakukan
Namun masih, dalam diam
Kaulontarkan sesalan
Memujukku untuk melepaskan.

Mungkinkah aku bukan yang terbaik
Untuk kauberikan sayang
Setelah dia datang
Menatang kembali cinta yang hilang.

Dirimu, kusayangi sepenuh hati
Namun kesabaranku kian merekah
Membilurkan luka, kembali membarah.

LAKONANMU TELAH BERAKHIR
Kamal


Airmata menitis membasahi kesabaran
yang semakin kontang kaurejami
seribu lakonan dan khayalan
sebuah ceritera kasih yang panjang.

Lakonanmu telah berakhir
Aku tidak mampu menyaksikan
Ini pembohongan, cintaku kau
Persendakan.

Saat membilur lukaku
Aku kembali menjadi diriku
Melihat kau berlalu meninggalkanku.

AKU ADALAH MASA LALUMU
Kamal

Aku tak upaya menyayangimu
kerana kau bukan lagi milikku.

Segunung rindu yang tersergam di depanku
adalah racun, bukan lagi madu.

Berikan sayang itu kepadanya, kekasihmu.
Usah kaukenang lagi aku.

Aku adalah masa lalumu
yang tercampak dari rasa bersalah itu.

Kekesalan melepaskanmu
bukan lagi palsu.

Andai Tuhan memberiku waktu
ingin sekali aku terus bersamamu

Kekasih
namamu sering tersekat di halkumku.

PINTU SEPI KUBUKA KEMBALI
Kamal


Luka-luka di hati telah lama kering
Walau seringkali mimpi-mimpiku
direjam pekikkan dari lorong sesal,
aku tidak pernah menyesali
kehadiranmu dulu.

Kini pintu sepi itu kubuka kembali
Aneh, kutemui pelbagai watak
yang dengan rela menggegar rasa
simpati dan kasihan bertaburan
di sepanjang pencarian.

Lalu kutemuimu kekasih
bersembunyi di sebalik jilbab ungu
tertunduk malu ketika matamu menikam
keresahanku yang tiba-tiba muncul,
setelah kehilangan.

MENJARING MATA HATI
Kamal


Lihatlah kekasih
aku hadir di depanmu
merawat tusukan karang yang
membisa di kalbumu.

Itulah aku kekasih
menghantar rindu di setiap
pelabuhan resahmu
ketika sang camar lelah menyisipkan
benci di setiap sayap waktu
buatku.

Itulah engkau kekasihku
yang dengan setia kujaring resahnya
dengan tabah kutadahkan doa
agar mimpi-mimpi kita menjadi seindah
karangan di lautan
bukan lagi luka yang membinasakan.

MENGERTILAH KEKASIHKU
Kamal


Andai aku terlelap di sini
Kejutkanlah aku dari mimpi-mimpi
yang menyelimuti diri
Sekeping hati seorang lelaki.

Lupakanlah aku sementara waktu
Moga esok kita akan bertemu
Dengan iltizam dan keyakinan baru
Dan rasa itu masih begitu.

Lupakanlah aku sementara waktu
Kerana diri tak upaya bersama selalu
Seribu godaan menggebu di setiap penjuru
Menuntut kewarasanku mengasihimu.

Lalu, lupakanlah aku buat sementara waktu
Untuk kupersiapkan mahligai ragaku
Dengan keimanan dan ilmu yang padu
Agar segalanya tidak dipersia begitu
dan cinta ini mampu menyatu.

SEINDAH AURORA BOREALIS
Kamal


(i)
Yang aku ingati adalah dikau
saat jaluran cahaya itu
menari-nari di dada langit,
menyinari dingin malam Alaska.

Malam di pergunungan sepi ini
tidak mampu membekukan hatiku
daripada terus merasakan wujudmu
di mana-mana dalam diriku.

(ii)
Bukan jaluran cahaya utara itu
yang kunanti penuh debar di sini.

Andai kautahu saat ini
segunung sepi membeku di jiwaku.

Sehari lagi tanpa cintamu
tak terdaya aku melangkah sendiri
merenung jaluran itu membenamkan
rinduku di hati.

(iii)
Dalam dingin beku itu
Cahaya hijau terliuk-liuk
Memancarkan sinar pada lanskap malam
Di tengah pancaran cahaya
serba ungu kemerahan
Tersedar aku tentang sesuatu
Hanya bersamamulah yang aku mahu.

(kr) RINDUKU TIADA LAGI
Kamal

(i)
Tanpa bicara aku memaklumi
Yang kurindu tiada lagi
Untuk kusayangi.

Tanpa bicara aku mengerti
Sebuah cinta telah lama mati.

(ii)
Perasaan,
menjadi sedingin malam diperbukitan
Kelam di segenap ruang
Gema suara melantun dalam diri
Kemesraan pudar,
mereput di dedaunan kering.

Cinta ini,
Terlalu sukar untukku pertahankan.

PERGILAH KAU, KENANGAN
Kamal


Kupilih suatu pagi
Berjalan dalam sunyi
Lalu aku ingin sekali menari-nari
Di sebuah lorong sepi
Dalam hati tak henti
Membilang hari

Pergilah kau, kenangan
jangan hampiri sunyi ini.

KAU DATANG BAGAI PELANGI
Kamal


Jalur warnamu yang indah
muncul tiba-tiba
selepas hujan menyimbahi hati.

Sesaat itu juga kau menghilang
belum sempat kuucapkan salam
walau hatiku telah kautawan.

TIDAK INGIN BERPALING
Kamal


Akulah,
sebutir cinta yang tercicir
daripada saku hatimu
dan kini, ingin kaukutip kembali
menjadi cahaya menemani hati.

Akulah,
sebutir cinta yang tercicir itu
tidak ingin ku berpaling lagi
kerana hati telah terisi
oleh cinta suci seorang isteri.

MAAFKAN AKU KEKASIH
Kama
l

Aku bangkit lagi
menggenggam sisa cinta
dalam diam kupendamkan
segala rasa.

Kekasih,
Masih kuingat saat kau berlalu
Kauhamburkan kata-kata itu
Bagai sejuta kaca menghiris hatiku
Daripadamu yang punya segalanya itu.

Namun,
Maafkan aku kekasih,
Jika nanti dendam itu pecah
melukai hatimu sendiri.

DI MANAKAH KAU, RINDU
Kamal


Sepantas itu kau berpaling
Saat mata bertentang
Melontar sesalan
Di wajah silam
Yang kelam.

Masa lalu
Terbias duka lara dan
kenangan merobek rasa

Di manakah kau, rindu
Yang hadir penuh restu, dulu.

KAU PASTI KUTEMUI
Kamal


Kepedihan hati ini pasti berlalu
dan waktu memberiku
segala kemaafan
untuk terus berdiri dan berlari
mengutip kembali keyakinan diri.

Perlukah aku menyatakan kepadamu
sepedih mana hatiku dahulu
aku tidak pernah melupakanmu
walau dalam lelahku,
hanya padamulah yang kurindu.

Di daerah ini
kau pasti kutemui lagi
untuk kumiliki sekeping hati
yang pernah menyayangi.

WAJAH YANG TAK MAMPU KULUPA
Kamal


Aku melihatmu
dari pintu kaca yang berdebu
saat kau berlalu, menjinjing sendu
di suatu waktu itu.

Segalanya seakan mengelirukan
Aku berdiri menghadap matahari
yang rakus membakar sesal
dan kilaunya menggilap
kelam perasaan.

Pasti kaunanti titis gerimis
membilas duka lara di sebalik manis rupa
pada wajah yang tak mampu kulupa.

KAULAH SURI YANG KUNANTI
Kamal


Warkah yang kuterima
Kubaca berulang kali
Mencari titik makna sebuah kata
Jawapan yang dinanti.

Selembut angin memujuk hati
Aku harus membalas warkahmu kekasih,
lalu kata-kata ini kutulis buatmu:
“Wanita ibarat matahari
yang tidak pernah terbenam.
Ia cantik bagaikan permata.
Jadilah wanita yang cantik dan budiman
disebut dikenang suami dan taulan.”

Mengertilah kekasih,
Kaulah suri yang kunanti
dan bersamalah kita menggapai rahmat Ilahi.

PAKUKAN HATIMU DI DINDING TAQWA
Kamal


Di sini,
Kudirikan mahligai indah
Bersamamu penuh tabah
Mengharungi panas dan
dingin kehidupan
merentasi segala godaan.

Kumohon padamu kekasih
Hiasilah hati sepimu dengan zikir
Meredakan kegelisahan di malam kelam.
Saat langkahmu kian goyang.

Aku di sisimu kekasih
Memimpin tanganmu
Di saat kita tersesat di rimba hidup
Kembalikan sekuntum senyumanmu
Penuh ikhlas, meniti takdir hidup
Bersamaku.

Pakukan hatimu kekasih
di dinding taqwa
pada rumah barumu
bernama perkahwinan.

HARI YANG INDAH UNTUK BERSENDIRIAN
Kamal


Setelah terlalu penat memikul beban
Engkau berdirilah menghadap awam
Yang telah seharian memuntahkan hujan
Burung-burung berkicauan riang
Menyambut hari indah yang menjelang.

Seindah ini warna alam
telah kaulepaskan daripada pandangan
sedang mata asyik tertikam
sisa-sisa duka semalam.

Lukiskanlah corak terindah di hatimu
Senyumlah, menghadapi hari esok
walau telah terpeta jejak duka
di tubir nasib dan bahagia entah
bila akan menjelma.

Hari ini amat indah untuk bersendirian
Kaubukalah pintu-pintu bahagia
Yang telah sekian lama kauhilangkan kuncinya
Pada kelmarin yang sengsara.

Kembalilah mengatur langkah
Menghapus gundah
Untuk hari esok yang lebih indah.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(22) Diskusi Kuliah | Permalink

Sajak-Sajak Cinta KS Ilmar

(kn) MAHAR BUAT KEKASIH
KS Ilmar


Inilah mahar buatmu, kekasih
bukti lafaz menjadi saksi
sepotong hati setia suci
yang tidak ingin meminta
kecuali memberi
selagi nafas tiada henti

Tiada bertimbun zahir benda
tetapi serimbun maksud dan erti
bersama wujud diri
walau dihadang api dan duri
berpaling tidak menjauh pergi

Inilah mahar buatmu, kekasih
selaut penuh setia
segunung menimbun tekad
setelah berabad kupendam hasrat

kusunting dikau bersama Solat
di kamar restu menghadap Kiblat.

(kr) AKU MELAMARMU
KS Ilmar

Kini aku melamarmu
dengan tulus hati
kerana kasihmu telah teruji
oleh setia dan pasti
menjadi bukti
penyatu janji

Aku melamarmu
dengan tulus lafaz
kerana kuingin kita bersatu
dalam izin syahdu
melempar segala ragu
ayah dan ibu

Aku melamarmu
dengan tulus hasrat
kerana kau adalah jiwa
dan jantung pengiring denyut
nafas abadi
Cinta Kita

Aku melamarmu.

(kn) ITU CINCIN DI JARI MANISMU
KS Ilmar


Itulah cincin
bersanding erat di jari
manismu

kuserah dengan raga dan jiwa
bukti setia cinta
aduhai, kekasih.

Jika di dalam sunyi
dikau memandang
tunggulah nanti hadirku
disandingkan bersama restu.

Jika di dalam resah
sepimu tidak berteman
ingatlah selalu daku hadir
dengan gumam doa
sejahtera cinta kita.

Walau di dalam diam
dan wajah tidak kelihatan
kenanglah daku ketika memandang
cincin hadiahku
di pelamin jari manismu.

(kr) BIMBINGI DAKU
KS Ilmar

Kupinta, kekasih
bimbinglah mulus jiwaku
melewati gerbang duga
di mahligai cinta kasih kita

Kerana aku hanyalah sebuah jasad
yang kaupinjam dengan lafaz
dan kuterima hadirmu dengan rela
kerana janji dan takdir cinta kita

Jika daku sekali terkhilaf
jangan pantas melempar hukum
kerana aku isteri
ingin dewasa di bawah rimbun mengerti
seorang lelaki
bergelar suami.

(kn) SEPASANG SEPATU BUAT HANTARAN KEKASIHKU
KS Ilmar


Terimalah ini
Sepasang sepatu buatmu
Kuserah dengan hati putih

Biru warnanya kupilih
sebagai lambang setia kasih
dariku seorang kekasih
yang ingin berterima kasih

Bukti segala setia
murni cinta antara kita
betapa segala duga
rela kautempuh bersama.

Terimalah ini
sepasang sepatu buatmu
dan nanti
selepas kita disandingkan dengan restu
sarungkan ia ke kaki mulusmu
kerana ingin kuajak dikau bersama melangkah
menuju kiblat yang satu
menjadi tuju.

(kr) JIKA HATI KITA BERSATU
KS Ilmar

Hatiku bagaikan sebuah hutan
yang lebat dan bermukim dalam
gelisah tubuh milikku.

Sesekali kudengar ungas berdendang
dan sesekali kudengar ngauman
buas haiwan. Aku membenci diri milikku yang
tidak kufahami. Sehingga aku menjadi si resah yang
parah dan sesekali menjadi si takut yang
kehilangan arah.

Hatimu adalah sungai yang sabar berkelok
merentasi segala curam dan kelok
bening menghilirkan jernih air
meski perlahan dan senyap
kau tetap berkiblatkan muara.

Dan jika hati kita bersatu
tidak lain kerana menyatu dua erti
kelam mencari cahaya
meredam gelisah hati yang lara.

(kn) DI HARI PERSANDINGAN KITA
KS Ilmar

Kupinta nanti, kekasih
di hari persandingan kita ini
jangan dikau ajak daku
ke pelamin mimpi
ataupun terawang terbang
di antara pelangi

berilah daku
setia janji
betapa hati lelakimu
selalu sedia
menjadi rimbun payung
peneduh lara jiwa
seorang isteri

kerana daku takut terbakar
seperti kelkatu
yang tertipu
oleh cahaya lampu.

(kr) DAKU GEMENTAR MENYAPAMU
KS Ilmar

Hati gementarku menyapamu dengan bahasa sipu
dan tangan hasrat kuhulur
membuktikan hendak
mencari makna sahabat.

Terima kasih kerana memberi segaris waktu
milikmu
dan membuai daku dalam cumbu
kata yang syahdu.

Namun kita tetap tahu
di mana mula dan titik henti
agar tidak menjadi terlalu
sehingga ditundukkan oleh nafsu.

Kerana tidak kuburu segala rayu
ataupun wangi tubuhmu
tetapi tulus kata
dari umbi jiwa
bersama kita menyelongkar segala makna
Wujud dan Tiada.

(kn) AKULAH LELAKI YANG MELAMARMU
KS Ilmar

Inilah diriku, kekasih
bergelar sepotong jasad
bersama jiwa dan resah hasrat

Dikau akan kulamar dengan tulus niat
Kerana kuingin bersama
mengajakmu menghadap Kiblat
atau jika aku sesekali lama terlelap
bimbinglah daku agar kembali ke dalam Solat

Inilah diriku, kekasih
sepotong jasad lelaki
menagih kilau kasih
dari bening hati
pengucap tasbih

Akan kulamar dikau, kekasih
kerana wujudmu adalah jiwa
yang selalu bersama hadir
di dalam khusyuk doa
seorang pengembara
mencari hujung perhentian.

(kr) KUPILIH MU, ADINDA
KS Ilmar

Kupilih mu, adinda
bertakhta di persada jiwa
kerana terpana aku
pada sopan bicara
dan malumu yang diam
selalu mengalahkan
jutaan godaan

di mata batiniku kau adalah si perawan
menewaskan segala indah warna dan kata

di puncak fikirku kau adalah teman
pencari hujah erti segala makna

diammu selalu menggoda
dan sanggup kuberikan jiwa
demi suci cintamu

moga bersama kita
menghuni Syorga
dengan izinNya.

(kn)PILIHLAH DAKU
KS Ilmar


Pilihlah daku
dengan ikhlas hati
dan bukan kerana
di kawah jiwa membara api

Aku kekasih pemberi setia
buat jiwa yang sudi menerima
mencari air penyejuk segala lara

Pilihlah daku
kerana sudi yang murni
dan bukan kerana
dendam gelora mencengkam diri

Aku kekasih pemberi rela
buat insan dihimpit sunyi
mencari kata penyuluh gulita

Pilihlah daku
kerana dikau pencari
makna hakiki

Aku kekasih tetap menanti
menemani insan pencari
walau hingga ke hujung nanti

Pilihlah daku dengan izin dan doa
menyandingkan restu dua jiwa
kita bersama

Pilihlah daku.

(kr) AKU INGIN MENGENALMU
KS Ilmar

Aku ingin belajar mengenalmu seperti
matahari yang perlahan hampir terbenam
dan malam yang menjelang

seketika engkau menjelma menjadi sungai
bening dan jernih

setetes warna di wajahmu
selalu menyembunyikan rahsia

perlahan, kucuba memanggil namamu
dengan bahasa hujan

dalam lirih aku menjadi kelkatu
bagaikan terawang di bawah cahaya lampu

dan sinar matamu
mencairkan jasad lelakiku.

(kn)IZINKAN DAKU HADIR
KS Ilmar

Jika masih bersisa ruang di hati
kupinta izinkan, daku hadir
bersama kata zikir
menghitung tasbih
buatmu, wahai kekasih

dan di dalam wirid panjangku
selalu kusenandungkan
puji dan puja
kepada Pencipta
bersama harap bersama doa

kerana
kuingin bersamamu
menghuni syorga
setelah kunikahi dikau
dengan lafaz yang rela
di samudera syahdu
semesta bersama

abadi cinta kita.

(kr)HADIRMU SELALU KUTUNGGU
KS Ilmar


Hadirmu
seperti gumpalan awan
yang melebarkan sayap redupnya
di tengah bahang.

Di situ aku berteduh
menumpang rimbun
melepaskan jerih
di jauh perjalanan
mencari kepastian.

Hadirmu selalu kutunggu
kerana kutahu
setelah kauanugerahkan hujan
dari cempera gumpalan awan
terubatlah jiwaku yang kontang
terlonta mencari kedamaian.

(kn) TAK INGIN KUBIARKAN KAU SENDIRIAN
KS Ilmar


Tak ingin kubiarkan
dikau sendirian
berlari di padang dugaan
mengejar laron tak pasti tujuan
atau lemas berenang di laut godaan

kerana dikau
adalah bidadari
yang selalu bermukim di dalam hati

Tetapi rindu, malu kulafazkan
kerana ku takut menjadi igauan
atau sangkaan di balik jelingan

Kupinta, aduhai
intailah daku hanya
di dalam liris doa

Dan namamu, selalu dibibir
kusebut semanis qasidah
menjadi satu di dalam wirid
syahdu dan panjang.

(kr) KEPADA PERMAISURI
KS Ilmar


segala terjadi
memang bukan pintaan
tetapi kenapa mesti
kaukorbankan perasaan
melakarkan suram di sisa ingatan?

(kn) PILIHLAH DAKU
KS Ilmar


Pilihlah daku
dengan ikhlas hati
kerana dikau pencari
makna hakiki

Pilihlah daku dengan izin dan doa
menyandingkan restu dua jiwa kita

Aku tetap menanti
Pilihlah daku.

(kr) KAU KUTUNGGU
KS Ilmar


Aduhai
semalaman kutunggui hadirmu
dengan puisi dan qasidah manis
memuji
maha luas langit
yang menjadi saksi

atau sebaris ayat-ayat suci
dari bibir manismu
penyejuk lara hati
insan pencari hakikat diri

(kn) SOLEHAH
KS Ilmar

Ku ingin mengenalmu sebagai Solehah
ku ingin menyayangimu sebagai Solehah
dan jika kau sudi
ku ingin nikahimu sebagai Solehah

kerana daku
sering kecundang
di jalan
ditipu bayangan
hitam.

(kr)JANGAN DIKAU CEMBURU
KS Ilmar


Jangan dikau cemburu
Jika sekali renung kualih
Dari wajahmu
Kerana di dalam diam
Kau tetap kurindu.

Jangan kaucemburu
Jika tiba-tiba berkali kusebut
Sebuah nama
Dengan aksara misteri

Kerana kau tetap bermukim di hati
Dan selalu bertakhta ketika sepi
Menjadi mimpi di dalam lena
Menjadi igau ketika jaga.

Tiada sebarang nama selalu kupuja
Tiada sebarang wajah selalu kudamba
Kupinta hadir di dalam jaga
Atau mengulit lelapku di dalam lena.

(kn)DIKAU YANG SELALU KUDAMBA
KS Ilmar


Jangan kaucemburu
Kerana diamku
Atau jarak yang membisu
Menjadi pemisah.

Aku bukan penjual kata
Yang ingin melebur malumu
Kerana kutahu
Kau adalah ratu
Yang selalu kudamba dengan setia.

Tanpa kata kuucapkan segala
Dan kepada angin
kupinta menyimpan segala rahsia.

Betapa malam yang merimaskan
Lebih tahu segala resah hatiku
Lemas mendambakan rindu
Ketika dipisahkan oleh waktu
Menanti hadirmu selalu.

(kr)NANTILAH HADIRKU
KS Ilmar


Kutahu erti renungmu
Ketika sekali daku beralih tenung
Dari wajahmu.

Jangan dikau cemburu
Kerana kutahu betapa diammu
Mengirim gelora maksud
Meminta segera kusambut

Tetapi ruang dan waktu
Yang selalu cemburu
Merenggut segala inginku
Dan aku gementar menjadi penunggu.

Jangan kaucemburu
Kerana kuingin kita berkasih
Dengan syahdu
Tetapi selalu dipermainkan oleh waktu.

Nantilah hadirku
Bila kaumahu
Walau hanya
Di dalam mimpimu.

(kn)KUAJAK KAU DEWASA
KS Ilmar


Aku benci kepada perayu
ataupun kekasih yang terlalu memburu

hari ini, ingin kuajak kau
menjadi lebih dewasa
kembali belajar menyelongkar makna
di jutaan kamus bernama cinta

kerana aku sudah bosan
melihatmu tewas dan menjadi hamba,
aduhai dinda.

(kr) JIKA DAKU INGIN BERCINTA
KS Ilmar


Jika daku ingin bercinta
yang kucari adalah dikau
pemberi air penyejuk jiwa
dan bukan api menggelegak
pemusnah raga

juga tidak kupinta
senyum dan kata
betapa pun nikmatnya
kerana kutahu betapa sementara
segala yang fana

juga tidak kupinta
janji
kerana yang pasti hanyalah
sesuatu yang azali

(kn)KAU MENGAJAK AKU PULANG
KS Ilmar

Mengenalmu seperti cuba kujejakkan
kecil jasadku ke sebuah negeri
negeri yang penuh berisi pesona.

Namun daku tak ingin menjadi penjaja kata
mengajakmu berenang di sungai bahasa
sehingga kita lemas berdua.

Terima kasih
kerana jika sekali aku terlajak
kau mengajak aku pulang
ke titik permulaan.

(kr)MAAFKAN AKU BERTANYA
KS Ilmar


Maafkan, aku bertanya
siapa yang berahsia
di sebalik ucap dan kata

kerana aku
tidak mahu menjadi
si cemburu yang bisu
atau penggemar
rindu yang kelabu

tidak juga aku ingin
menghilang seperti kabus
selepas mengucap
salam perkenalan

kerana di dalam tidur dan jaga
tetap selalu kusebut nama
nama yang selalu
menjadikan aku si pelupa
segala batas, sempadan dan ruang

pemisah dua jiwa
di antara kita.

(kn)SAPALAH NAMAKU
KS Ilmar


Mari bersama
kita berjalan di taman
menatap indahnya
segala ciptaan

dikau, akan daku sapa
dengan sebaik kata
hormatmu, akan daku pelihara
semulia letaknya

Di sini, segala yang datang
adalah teman

dan jika ingin menyapa
namaku
sapalah
tanpa hias dan indah gelaran

kerana kutakuti
terlepas waspada
membiar sanubari menjadi leka
memburu agung yang sia-sia

kerana kutahu
setelah kembali
jasadaku menjadi
humas juga.

(kr)JANGAN DIKAU MEMBENCI DAKU
KS Ilmar


Dikau membenci daku?

jangan kerana kata-kataku
yang kuzahirkan dari tulus sanubari

jangan kerana tidak kuizin dikau
terus bersendiri
menari di padang berduri

atau kerana kuajak dikau
bersama
membuang cemburu yang rugi
tatkala silau tatapan
diterjah kata hasutan

jangan dikau membenci daku
aduhai.

(kn) TERIMA KASIH, PEREMPUAN
KS Ilmar

Terimakasih, perempuan
pinggan yang kauberikan
kini berladung air mata

kerana kasih yang kauputuskan
bagai merenggut
tali pengikat jiwa

dan hatiku yang lara
menerawang ke daerah
tidak bernama.

MENANTI PASTI
KS Ilmar


Masih jua kunanti
menjadi pulau dan henti

ketika kata berterbangan
dan menerawang
di antara kenang
yang semakin suram

dan aku
tetap sendiri
di kamar hati sendiri
mendakap sunyi
menanti pasti
sebuah janji.

(kn) TERIMALAH DAKU JADI SUAMIMU
KS Ilmar


Sudah terlalu larut malam, dewiku
Kuucapkan salam beradu

Jika kau bermimpi, kumohon
Sudikanlah mimpikan daku
Mengimamimu dalam Solah
Mengajak pulang jika dikau berbuat khilaf

Kerana daku
Ingin menjadi suamimu yang Sah

(kr) KAU INGIN KUSIMPAN
KS Ilmar


Biarlah daku menjadi si bisu
yang berkaca di dalam diamnya

Kerana ingin selalu
kusimpan dikau
di hatiku

Mengiringi sepi perindu
seorang pencari makna diri
aduhai.

KAU TETAP PERMAISURIKU
KS Ilmar


Memang segalanya sudah menjadi kenangan
dan perlahan-lahan kausemadikan
ke dalam silam

namun kau tetap permaisuri
yang pernah bertakhta di hati
lelaki

walau kini berkelana sendiri.

KASIH
KS Ilmar


Bertaut tali ikhlas
menyatu dalam senafas
redha dan pasrah
mendamba hidayah.

HARI SUDAH LARUT MALAM
KS Ilmar


(i)
Sudah terlalu larut malam, buah hatiku
Kuucapkan salam beradu

Dan jika kau bermimpi, kumohon
Sudikanlah mimpikan daku.

(ii)
Bila kau bermimpi, kumohon
Sudikanlah mimpikan daku

Sedang berpakaian seluruh putih

Meski dekat namun tidak bersentuh
Meski hampir namun tidak berdamping

Membimbing dikau
Menuju masjid.

(iii)
Bila kau bermimpi, kumohon
Sudikanlah mimpikan daku

Sedang membimbing dikau
Juga berpakaian seluruh putih

Membimbing dikau
Menuju masjid

Meski berbeza ruang dan saf
Tetapi di situ kita bersolat dan sama
Berdoa

Ya, Tuhan
Rahmati cinta Daku

Ya, Tuhan
Rahmati cinta Kami.

KUTANGGUHKAN DENGAN DIAM
KS Ilmar

Walau kusebut segala
Tetapi maknanya kutangguhkan dengan diam
Bahasa wirid dan doa
Kerana kuingin kita tetap menjadi rama-rama
yang bebas terbang

dan bukan seperti ghairah sang kelkatu
mengejar cahaya lampu

ku tak ingin
kita hangus terbakar

kerana cumbu
ataupun diri yang tiba-tiba berubah
menjadi si liar haiwan
yang ditunggangi nafsu.

KUPILIH, KAU
KS Ilmar

Kupilih, kau
kerana aku lelaki
mencari si cantik hakiki
yang tidak terlalu ingin
mendahulukan impi
menjadi bidadari.

Kupilih, kau
bukan kerana si manis membujuk
atau perayu manja
meluluhkan keras jiwa
Tetapi kerana aku lelaki
mencari si pengenal batas
gerak dan tindak
dan pengajak aku pulang
jika sekali tersesat.

Kupilih, kau
bukan dengan kata
tetapi dengan jiwa
yang selalu membakar
unggun setia.

Moga di laut restumu
akan kurenangi dengan lafaz
abadi cinta.

NANTIKANLAH HADIRKU
KS Ilmar

Nantikanlah hadirku
Walau hanya
Di dalam mimpimu

Kerana kutahu
Betapa syahdu kasih kita
Selalu berlumba dengan waktu
Dan aku selalu digelisahkan
Oleh cemburu.

Nantikanlah hadirku
Walau hanya
Seperti angin berlalu

Kerana kutahu
Di jauh jarak
Kita menjadi lebih mengerti
Makna penantian ini.

JANJIMU SEPERTI KUNANG-KUNANG
KS Ilmar


Seperti kunang-kunang
janjimu berterbangan
menerawang di gelap malam
hinggap dan singgah
di ranting hati yang kasmaran
mencari perhentian
sepi dalam pelarian.

Tetapi daku tidak mudah terpesona
walau seisi dunia
kaujadikan mahar
ataupun selaut bahasa
kaujadikan tunjang
segala makna kata

kerana kutahu janjimu
akan sirna bersama benderang cahaya
melupus segala palsu
dari bibir perayu
dan aku tidak mudah tertipu.

JANGAN MERAYUI DAKU
KS Ilmar


Jangan terlalu kau merayui daku
Kerana sekali hatiku terluka
Berabad kucari pengubat lara

Aku rela terus menjadi pengembara
Walau hingga ke hujung dunia

Jangan terlalu kau merayui daku
Kerana hati ini semakin jemu
Mendengar ribuan kata
Terlontar dari lidah si perayu

Aku tak ingin mendengar bujuk dan rayu
Meski berhias irama dan lagu
Biarkan hatiku membeku
Biarkan segala berlalu

Jangan terlalu kau merayui daku
Sehingga jiwaku menjadi semakin keliru

Kerana kutakut kehilangan
Mulus cintamu.

JANGAN KAUSEBUT LAGI NAMAKU
KS Ilmar


Jangan kausebut namaku lagi
walau hanya dalam doamu
kerana aku tidak ingin berbagi
resah hati sendiri di kamar jiwaku
yang sunyi

Biarlah aku terus memburu erti
bersama lara hati
berjalan sendiri di tanah berduri
kerana kutakut menghimpun dosa
menyintaimu dalam diam
ketika sudah sah dalam genggam
lelaki pilihan

Jangan kausebut namaku lagi
kerana aku tidak layak membuat pilihan
meski dengan sejuta indah makna kata
namun segala tetap sia-sia

Kau dan aku
di dalam kamar berbeza
yang tidak memungkinkan apa-apa

DI KOLAM NAN DIAM
KS Ilmar


Kusimpan segala rawan
dan luka perasaan
di kolam nan diam
kerana kini daku kembali
ingin menyendiri
membawa lara hati
selepas berkali dikhianati
dengan keji
oleh dikau yang tidak sudi mengerti

setelah segala percaya
kuserah dengan rela
masih berkali kata berbisa
dijadikan tuba
memarakkan ini lara jiwa

Namun kusimpan segala rawan
di kolam nan diam
kerana aku tidak ingin tewas dan lemas
oleh kabur prasangka
hatimu nan kelam.

JANGAN KAUAJAK AKU MENJADI PENDOSA
KS Ilmar


Jangan kauajak aku menjadi pendosa
setelah termeterai segala lafaz
antara kita

aku ingin kau menjadi isteri
mengenal had serta batasan
dan jika kauingin mengucapkan sanjung
ucapkanlah dengan bahasa ikhlas
penyanjungku yang setia

biarkan jarak menjadi pemisah
tetapi di resah hati kita saling bersapa
biarkan di angin berlalu
kita saling merindu
dan mengimpikan hanya manis saat bertemu
yang tidak mungkin menjadi satu

biarkan di ruang berbeza kita berpisah
dan sekadar saling mengucap rindu
kerana kutahu
kau yang sering kurindu
kini bukan milikku.

BIARKAN AKU BERSUNYI
KS Ilmar


Kuingin bersunyi
di dalam lara ini
menghitung segala khilaf
mencari insaf diri

Meski berkali setiaku
dikhianati
namun sedikit tidak
kusimpan dendam di hati

Walau hadirku
disambut dengan pura
namun kuubat segala luka
dengan tekad membara

Walau di dalam sunyi
kuingin terus sendiri.

KINI DAKU MENGERTI
KS Ilmar


Kini daku mengerti
makna segala puji
yang kauucap dengan
indah bahasa puja
memukau daku dengan pesona

segala percaya
kuserahkan menjadi penjara
di bawah silau cahaya

daku menjadi pelupa
segala hakiki makna

kini daku mengerti
betapa indah segala kata
hanyalah tuba bersalut bisa
melemaskan daku di luas
muslihatnya.

BIARKAN DAKU BERSAMA LARA
KS Ilmar

Biarkan daku bersama lara
membawa luka di gaung jiwa
meski hingga ke hujung dunia

aku sudah bosan dipermainkan pura
oleh lembut segala kata
dari bibirmu penuh berbisa

biarkan daku bersama lara
merenangi kecewa di laut rasa
meski tidak kutemui pantainya

aku sudah benci ditipu puja
manis kata di lidah pendusta
memesong janji sekelip mata

JADILAH DIRIMU, KEKASIH
KS Ilmar


Jadilah dirimu, kekasih
dengan tulus hati
sebagai bukti pengukuh lafaz dan janji
membawa daku menikmati pasti
mahligai penyatu setia abadi
yang telah kejap terpatri

kerana aku isteri tak ingin berbagi
jasad dan jiwa
di mahligai cinta setia kita
dengan lelaki penakut
ataupun si lemah penurut
yang mudah meminjam kata
daripada pemalsu makna dan penyerah hiba
kepada petualang bahasa
sehingga lenyap wajah dan rupa

Jadilah dirimu, kekasih
kerana yang ingin kucintai adalah dikau
dengan segala bentuk dan rupa percaya
miliknya

dan bukan lelaki yang mudah terkulai
digoda kata dan suara
yang berdengung di luar kamar
tidak kukenal siapa pemiliknya.

BOSAN HATIKU
KS Ilmar


Bosan hatiku mendengar segala lagu
merayu mendayu bagaikan siul jiwa
perindu mencari henti
tidak pasti

hari ini aku ingin menjadi si pemarah
membakar jiwamu dengan henyak
kata dan bahasa
menukar lemah makna menjadi gelegak bara.

SIAPA PENDUSTA
KS Ilmar


Siapa pendusta, di antara kita

Ketika kuberikan kata
tanpa rahsia
dan kubuka seluruh jiwa
tanpa menyembunyikan rimba
dan sungai yang berkeluk
di wilayahnya.

Tetapi dikau meminta daku
menjadi penyetuju yang bisu
mendesak dengan ragumu
tetapi kedekut menghulur sedia
menerima dan meminta
tanpa prasangka.

Siapa pendusta, di antara kita

Ketika daku tidak ingin
terlalu menjadi pemilih
tetapi dikau si bijak
pencipta jutaan dalih.

SIAPA BERMUSLIHAT DI ANTARA KITA
KS Ilmar


Siapa bermuslihat
di antara kita
setelah kuberi segala milik jiwa
tanpa pura
dan dikau kupinta
menerima hanya patinya.

Tetapi kini kauungkit segala kembali
seakan daku insan pemusnah hati suci
melontar sangka kelam ke resah jiwa

Ketika di tanganmu
masih kaugenggam
warkah perasaan
yang kukirim di angin malam

Siapa bermuslihat di antara kita
ketika benang kasih dulu
putihnya menjadi saksi
kini telah kauhitamkan
dengan dendam?

JANGAN SANGKA AKU BERDUSTA
KS Ilmar

Jangan sangka daku berdusta
bila setiap kata
kulontar dari tulus jiwa
menghadirkan duri dan luka.

Segala kuucap
dengan penuh rela dan sedia
walau kedekut aku memberi puji
ataupun menyebut puja

Kerana kutahu
dikau pemilik hati lara
yang mudah teruja oleh leka.

Jangan sangka aku berdusta
dan usah dikau terlalu pemurah dengan duga
hingga menjadi pelencong sangka
apabila setiap kata
kuucap segala maknanya
tanpa hias dan renda.

Maaf, aku bukan si pemurah melontar cumbu
berpura dengan rayu
kerana tak ingin daku
membuai dikau di angin berlalu.

INILAH PRASANGKA
KS Ilmar


Inilah prasangka
hadirnya tidak berupa
berkata tanpa suara
berumah di lemah jiwa
pemilik lara dan sangka durja.

Dalam sekejap
tasik nan diam berkeluk tenang
berkocak dicebur kerikil dendam
dilempar curiga si hati hitam.

Inilah prasangka
tangan hitam perasaan
tidak kelihatan
kuku irinya yang tajam.

Kerananya
segala ikhlas menjadi mainan
dan tulus dinoda
oleh serong percaya
di antara kita.

Walau sedikit diuji.

DIKAU SENGAJA TIDAK MENGERTI
KS Ilmar


Dikau sengaja tidak mengerti
betapa segala janji
yang pernah kuucap dengan tulus hati
tidak sekali akan kukhianati.

Dikau sengaja tidak mengerti
betapa segala duga
dan jutaan uji
telah kulewati dengan kejap setia
seorang lelaki
walau hadir seribu bidadari
namun dikau kekasih
tetap bertakhta di persada jiwa ini.

Tetapi kenapa berkali juga
dikau hadir dengan seribu pinta
dan jutaan tanya
mendesak duga
kuhurai kembali segala makna
setia cinta antara kita?

JANJIMU NAN PALSU
KS Ilmar


Seperti debu
janjimu nan palsu

pernah kaulafaz
dengan indah kata
sehinga daku terpesona
oleh pukau cahaya yakinnya

tetapi seperti debu
janjimu nan palsu
sirna di angin berlalu
dan oleh gilir waktu
ditimbus menjadi jemu

manisnya terdengar
kata kauucap pernah
namun sebelum maknanya kuresap hayat
kau berlalu tanpa jejak.

DIKAU PENDUGA YANG PALSU
KS Ilmar


Dikau penduga yang palsu
si pemurah melontar cumbu
mudah berpura dengan rayu
melontar puji di angin berlalu.

Dunia kecilmu
hanyalah puja dan ampu
dan hati basahmu mudah berubah
menjadi sungai resah dan lara
jika sekali kupinta
dikau bercermin dengan kata.

Bukan aku pembenci duga
tetapi kuingin hanya
membaca setia dan rela
kauucap dengan tulus jiwa

Agar kau tidak lemas di laut puji
Atau terjerat sendiri
oleh palsu kata ampumu.

TIADA DUSTA ANTARA KITA
KS Ilmar

Tiada dusta
antara kita

dan aku tidak mudah tergoda
oleh segala hasut
yang ingin memarakkan bara prasangka
di antara kita

kerana kutahu
cinta bukan semata meminta
tetapi adalah menerima segala
dengan rela

aku tidak akan lagi
meminta pasti
untuk segala janji

kerana kutahu
jauh jarak penduga setia
meski di ruang berbeza
cinta kita membara sentiasa.

JANGAN DIKAU MERAYU
KS Ilmar


Simpanlah segala rayu
dalam kamus katamu
dan jangan dikau merayu
ketika kini kau dan aku
tidak lagi di haluan yang satu

kerana kutahu
siapa diriku di mata sayangmu
tidak lagi insan dahulu
yang pernah kautakhtakan menjadi ratu
di istana cinta hatimu.

Kini tidak kupercaya
walau berjuta rayu
setelah tulus cinta milikku
kaucemarkan dengan debu
dari pura dan palsu
janjimu dulu.

BIARKAN DAKU SENDIRI
KS Ilmar


Biarkan daku sendiri kembali
menulusur ke sunyi negeri bernama diri
dengan resah dan rela hati

kerana daku tidak ingin terlalu lama lemas
di tengah segala bujuk dan pura
dunia yang semakin disendati benda
sehingga tubuhku kuyup disimbahi noda

walau pulangku dengan kaki bertatih
dan bertalu dihenyak letih
namun daku tidak akan menjadi jerih
atau mudah mencipta dalih
kerana kutahu ini jalan yang kupilih

Biarkan daku sendiri kembali
menulusur ke sunyi negeri bernama diri
dengan resah dan rela hati

dan jika sudi, nantikanlah daku pulang
bersama sehelai kain jiwa yang lebih putih
kerana kutahu dikau kekasih
selalu setia dengan doa dan tasbih.

BUKAN KHILAFKU
KS Ilmar


Bukan khilafku
jika dikau mudah terleka
sehingga terlena alpa
setelah kuucapkan sebaris kata
melontar ikhlas puji dan puja.

Mengapa serapuh itu
hati milikmu
tatkala kautahu
kita di ruang selalu berbeza
yang tidak memungkinkan segala pinta?

Kini kaulontar
sebongkah kata penuh bara
melumur wajahku dengan nista
konon muslihatku membawa alpa.

Tetapi bukankah di angin berlalu
selalu kaukirimkan rindu
walaupun tidak pernah kurestu?

Sehingga aku selalu didebar resah
tidak ingin menjadi pendosa
segala yang tidak pernah kupinta.

INILAH DUNIA
KS Ilmar


Inilah dunia.

Di antara keji dan pura
kaulihat
berbondong pengejar puji
dan berebut peminta puja

di lorong hidup yang sementara
mereka berlari ke pasar masa
tetapi memilih hanya sia-sia

Walau tetap kau sua
hati putih pencari hakiki
namun riuh suara pemburu laba
selalu menganggu sepi dan lena

Tetapi kau tidak ingin menjadi pemimpi
di tengah dunia yang bising
ketika berjalan dengan waspada

KUBAWA HATI KE KAMAR SENDIRI
KS Ilmar


Setelah kuubat segala luka
di umbi jiwa
kini kubawa hati
ke kamar sendiri

tetapi jangan dikau menyimpan duga
jika ini kupilih lara
kerana sedikit tiada
daku memberi ruang
benci di hati
untuk dikau bernama kekasih

biarkan hatiku di sini
bersendirian di kamar sendiri
kerana daku ingin menjadi penyepi
menghitung khilaf sendiri

sebelum tiba penentuan Abadi.

BUKAN AKU TIDAK BERSUNGGUH
KS Ilmar


Bukan aku tidak bersungguh
sehingga engkau terlonta menanti
pasti segala janji
selepas kuucap segala puji
di dalam puisi.

Bukan aku tidak bersungguh
ingin menyulam kasih
selepas mengucap kata sayang
atau mengirim rindu
menerpa bertalu ke kalbu resahmu.

Tetapi aku ingin lebih waspada
selepas berkali kauduga dengan curiga
dan cemburumu yang membara
selalu cuba melemaskan aku
di luas lautmu
yang penuh dengan prasangka.

DAKU BUKAN BATU LONCATAN
KS Ilmar


Daku bukan batu loncatan
tempat mula kakimu berpijak
ketika pertama mengintai
haluan dan jejak

jika daku hadir
atau sedikit melorongkan ruang
bukan kerana hatiku
dirapuhkan oleh bujuk dan cumbu
kata bermadumu

tetapi kerana kuingin
dikau menjadi pengenal jiwa
membezakan lara dan ria
dengan mulia hasrat

agar segala kauterima
menjadi berkat
dan kita bersama memadukan hasrat
dengan ikhlas niat.

RELA KULUPAKAN SEGALA
KS Ilmar


Rela kulupakan segala
kata, nama dan rupa
setelah berjuta kali sabarku diduga
dengan tuba keji dan hina.

Walau kenang selalu mendera
melontar segala indah
di kamar sendiri
menjadi mimpi ngeri di sudut sepi.

Rela kulupakan segala.

Kerana telah kuserahkan
raga dan jiwa dengan percaya
demi persandingan kita
tetapi kaukhianati tiba-tiba
dengan pura
dan palsu janjimu
memesong segala ikhlas niat
di antara kita.

TIADA LAGI PEDIH DI HATI
KS Ilmar


Tiada lagi pedih di hati
setelah berjuta kali kata berbisa
menjadi tuba
kerana daku semakin menjadi dewasa
dan belajar menjadi si tegar jiwa
di depan segala duga
setia cinta antara kita.

Datang dan hadirlah segala
sedikit tidak akan beralih
segala hasrat
kerana setia cintaku
menunjang di paksi yakin
menanti hadirmu
menemani daku di pelamin sanding
cinta syahdu di dingin air restu.

Walau sekali
kauucap kata berbisa
tiada lagi pedih di hati
kerana segala telah kumengerti.

DIKAU TETAP KUCINTA
KS Ilmar


Walau dikau ular yang melingkar
dan bukan merah mawar
penawan sukma

Walau dikau si liar helang dengan ganas cakar
dan bukan si lembut lidah
mengucapkan tembang pembujuk lara

Dikau tetap kucinta

kerana yang kudamba bukan manis kata
dan rayu pembujuk sukma
sehingga aku menjadi lelaki pelupa

tetapi setia jiwa kekasih tega berkongsi lara
meredah laut gelora merentas jauh duga
bersama mencari erti dan makna
di tengah segala pura dunia

kerana kau kekasih adalah dirimu
dan bukan diriku.

IZINKAN KUSEBUT NAMAMU
KS Ilmar


Izinkan kusebut namamu
dengan lembut kata
dari lidah kelu pendamba

kerana daku insan kembara
pemburu makna
yang tidak ingin berpura
dengan bahasa dan kata

izinkan kusebut namamu
dengan tulus hasrat
dan jutaan rela
walau diriku berjuta kali terluka

kerana ingin kuajak dikau bersama
melupakan segala muslihat dunia

bersatu di dalam asyik
solat dan doa
mensuci segala dosa

KERANA LUKA DI HATI
KS Ilmar


Kupilih kembali
menjadi penyendiri
Setelah berabad
setiaku dikhianati

Aku rela terus begini
Merajuk di dalam lara
Untuk menghapus segala luka

Kerana kutahu betapa
Hadirku kausambut dengan pura
Dan manis katamu
Hanyalah madu berbisa

BUKAN AKU YANG BERTANGGUH
KS Ilmar


Bukan aku yang bertangguh
atau hanya tahu mengucap janji
membiarkan dikau terlonta menanti
pasti.

Kuharap dikau mengerti

Kerana aku bukan lelaki
yang mudah berjanji
jika tidak kuyakin dengan pasti
atau hanya pemain kata
ingin meracun sebuah hati.

Kuharap kau mengerti.

Berjuta kali kau meminta
dan menghulur duga
telah segala kuterima
dengan rela

Tetapi mengapa
dikau masih berenang di laut curiga
dan aku dikau lemaskan
dengan prasangka?

KAUKATAKAN JANGAN
KS Ilmar


Kuberi dikau bunga
Kau katakan, jangan

Kuberi dikau madu
Kau katakan, jangan

Kuberi dikau rindu
Kau katakan, jangan

Kuberi dikau sepi
Kau katakan, jangan

Kuberi dikau nyanyi
Kau katakan, jangan

Tetapi kuberi dikau dusta
Kau katakan, silakan! silakan!

AKU MASIH SENDIRI
KS Ilmar


Hanya kata berterbangan
bagaikan kunang-kunang
menerawang di gelap malam
mencari pasti

Dan aku
masih sendiri
berenang di laut erti
mencari pulau dan henti

ketika sebuah janji
kini menjadi mimpi
yang tiada pasti.

KUINGIN BERKASIH
Hazira M


Kuingin berkasih
denganmu lelaki berwajah bersih
yang tidak mudah mengenal jerih
walau berkali jiwaku merintih

Kuingin berkasih
denganmu lelaki berhati putih
yang tidak mudah menggelegakkan didih
jika sesekali sabarmu beralih
kerana hasut yang tidak memilih

Kuingin berkasih
denganmu lelaki pengucap tasbih
kerana tidak kuingin segala lebih
jika sekadar menjadi buih

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, March 16, 2007

Buku Teaser untuk Promosi Pra-terbit Buku Antologi “Koleksi Terindah Puisi Cinta”

Sempena Pesta Buku Antarabangsa KL (26 April - 6 Mei 2007), PTS FORTUNA akan menerbitkan 'buku teaser' sebagai bahan promosi pra-terbit buku Koleksi Terindah Puisi Cinta yang kini sedang diusahakan.

Istilah 'teaser' ini datang daripada kata akar 'tease' yang lebih kurang bermakna 'orat' ataupun 'mengorat' atupun 'main mata' dalam BM Rendah.

Buku teaser ini nanti dihadiahkan percuma kepada semua gadis pengunjung pesta yang singgah di gerai pameran PTS, supaya dengan membaca puisi-puisi dalam buku teaser itu mereka akan tergoda membeli buku yang real.

Disebabkan buku teaser ini adalah bahan promosi pra-terbit, maka bajet penerbitannya datang daripada bajet promosi PTS, dengan demikian ia adalah kos yang ditanggung sepenuhnya oleh PTS.

Juga, disebabkan buku teaser ini diberikan percuma, maka puisi-puisi yang terpilih bagi dicetak dalam buku ini tidak dibayar royalti.

Royalti adalah perkongsian keuntungan antara penerbit-penulis. Buku teaser ini adalah kos semata-mata, justeru tidak ada keuntungan yang dapat diperkongsikan. Kepada penyair yang puisinya dipilih oleh Cik Syikin, harap maklum akan perkara ini.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, March 08, 2007

Penyair dan Pengurusan Bakat

Kita melihat bagaimana dalam kelompok manusia-manusia yang diberikan bakat menulis, kelompok penyair merupakan mereka yang paling corot jumlah pendapatan daripada karya yang mereka hasilkan. Penyair juga adalah golongan penulis yang paling banyak terpaksa menerbitkan sendiri karya mereka.

Bakat menulis puisi adalah bakat yang istimewa dan jarang dimiliki orang. Bakat adalah modal hidup yang dibekalkan Tuhan kepada hambanya yang amat terpilih.

Salah satu isu yang perlu diberi perhatian adalah pengurusan bakat. Inilah aspek yang tidak diberikan perhatian oleh para penyair, yakni bagaimana mereka mempergunakan dan menguruskan bakat yang Tuhan beri bagi memperoleh sumber pendapatan yang selesa.

Suatu perkataan yang patut dipelajari oleh penyair adalah 'eksploitasi' bakat. Mungkin istilah lain yang lebih lembut adalah 'pemanfaatan' bakat. Suatu perkataan lain yang patut dimengerti oleh penyair adalah 'pasaran'.

Banyak orang sebenarnya timid hendak berurusan dengan penyair sebab rata-rata mereka adalah personaliti yang sukar dibawa berunding dalam hal-hal yang melibatkan karya mereka.

Apabila bercakap tentang karya mereka, penyair mudah emosional, tidak rasional, dan mereka juga tidak mempunyai kemahiran mendengar yang tinggi.

Dalam mempertahankan karya mereka, rata-rata penyair mempunyai sikap zero-sum-game. Kalau mahu, ya ambil semua, terima saja seadanya. Kalau tidak mahu ambil semua seadanya, ya sudah!

Gimana sih mau bisnis...

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, March 01, 2007

Puisi Auditorium

Rupa-rupanya ada apa yang diistilahkan 'puisi auditorium'.

Kita baru mendengar istilah itu dalam bengkel penulisan puisi cinta Islami anjuran PTS, beberapa waktu yang lalu, di bawah bimbingan penyair terkenal Marsli NO.

Puisi auditorium ditulis khusus bagi dibacakan di atas pentas di depan khalayak besar. Dengan demikian puisi itu memiliki ciri-ciri skrip teater.

Hmm... patutlah kita kerap bosan mendengar puisi yang dibacakan di atas pentas. Sekarang baru kita faham, puisi yang ditulis bagi bacaan diam-diam tidak sesuai dibacakan di atas pentas.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, February 25, 2007

Memikirkan Apa Cara Memasarkan Buku Puisi

Sektor buku sastera yang nampaknya paling corot berkembang adalah buku puisi. Kita pun sudah lama memikirkan bagaimanakah caranya hendak membangunkan sektor ini.

Tentang mengapa sektor ini tidak berkembang, jawapannya tidak sukar. Seperti biasa, tangan-tangan akan menuding, dulu-dulu ke DBP, sekarang ke Dawama.

Buku sastera sektor apa pun, jika DBP yang menerbitkannya dan Dawama yang menjual, pasti buku itu gagal meletup dalam pasaran.

Bayangkan dalam situasi lain, di mana buku puisi itu diterbitkan dan diedarkan oleh PTS, bagaimanakah barangkali buku puisi dapat dipromosi dengan efektif supaya jualannya baik.

Tulis pandangan dan cadangan idea saudara di sini, mudah-mudahan kita dapat mencari jalan keluar daripada lingkaran yang membingungkan ini.

Hidup buku puisi Melayu!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(15) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, February 15, 2007

Koleksi Terindah Puisi Cinta Islami

SURAT CINTA UNTUK USTAZAH
Alang Kelana


Pada saat hujan dinihari
aku berdoa di sepertiga malam
memohon kebaikan untukmu
serta diubati rinduku.

Puas sudah ku meneliti
bicara sekeping hati
meminati ketenangan wajahmu
jernih bersih dek air wudhu.

Aduhai
berilah peluang bagiku mendekatimu
izinkan kunikmati suaramu bertadarrus
sungguh jiwaku tenteram
mendengar bisikan wirid dan zikirmu.

Setelah Bermusim Terpisah
Alang Kelana


Hujan semalam
membawa kesyahduan
kisah kasih kita
setelah bermusim terpisah
ia belum berakhir jua

Rindu ini
biarlah kita bawa bersama
untuk esok lusa dan akhir masa
kerana kita masih bercita-cita
membina mahligai
di atas keredhaanNya.

ERTI SEBUAH CINTA
Alang Kelana


Rabiatul Adawiyah pernah berdoa:
Ya Allah
Kau berikanlah neraka
Kepada hamba-hambamu yang kafir,
Dan kau anugerahkanlah syurga
Untuk hamba-hambamu yang mukmin,
Tetapi
Untukku kau anugerahkanlah cintamu.

EPILOG CINTA
Alang Kelana

Kekasih
semalam kaupergi jua
dengan rinduku
kaubawa bersama

Hari ini aku mencari
sebuah kesempurnaan
dalam khusyu dan zouq
zikir dan wirid

Kembalilah sebelum esok
agar rinduku terubat
dan kita sama-sama
bersolat dan tadarrus
mencari keredhaanNya.

RINDU DATANG LAGI
Alang Kelana

Rindu datang lagi
bersama angin malam
meniupkan kehangatan
ke daerah derita ini.

Lautan perpisahan tetap kuharungi
biarpun ia dalam
dan tidak bertepi.

Aduhai
biarlah kubelai harapan
kasih abadi
walaupun daku harus menanti
beberapa musim lagi.

DALAM HATIKU DIKAU BERSEMI
Alang Kelana

Duhai kekasih
semusim berlalu
aku masih mencarimu
bersama desiran ombak
di sebalik pepasir
nan putih bertabur

sudah sebegitu lama
aku mencarimu
di sebalik awan
dalam gelap malam

kini kutemui dikau
di sini
dalam hati ini
ia bersemi.

CATATAN RINDU
Alang Kelana

Aduhai kekasihku
rindu kelmarin
kubawa berlari
merentasi desa kesunyian
dalam gelap malam
menjejaki kasihmu yang telah hilang.

Rindu semusim ini
biar kusimpan dalam hati
selama aku terus mencarimu, kekasihku
dalam sepi.

HUJAN SEMALAM
Alang Kelana

Semalam rinduku merintih
bersama titis-titis hujan
membuat aku
di sudut terpaku

Hujan semalam
membawa ketenangan
dalam keresahan

Rindu ini masih di sini
mencengkam diri
di puncak sepi.

DI BAWAH PAYUNG AISHAH
Alang Kelana


Wahai kekasih
aku tahu hasratmu
menumpang teduh
di bawah payung ini.

Dia juga rela
mengambilmu sebagai teman
ikhlas sepernaungan
bersama meredah hujan
dan panas mentari.

Semoga kita tabah
menempuh ribut nista
dan gelombang tempelak
demi mengharap keredhaanNya.

DI HATIKU MASIH ADA RINDU
Alang Kelana


Telah bermusim sudah
kaupergi meninggalkanku
keringkah sudah tasik hatimu
sedangkan di hatiku masih ada rindu?

Aduhai
di terang siang
ku mencarimu
di kelam malam
kau kukenang

Kembalilah sayang
usah diucapkan selamat tinggal
kerna di hatiku
masih ada rindu.

MIMPI
Panaharjuna


Semalam
kutawan cinta seorang dewi
saat sayapnya terlekat
pada perdu mimpiku.

Kelmarin
selembar suci selendang pari-pari
terjatuh ke wajahku
sedang ketawa manja
masih bertalun kukuh
dalam igauanku.

Semalam
seorang bidadari mengajakku mandi
dalam lautan cinta
dan aku terjaga
dalam gigil yang tak kumengerti.

Kutanyakan pada guru
erti mimpi-mimpiku itu
lalu guru pun menyuruhku
menitipkan wasiat
sebelum aku kemedan jihad.

TERIMALAH KEKANDA SEADANYA
Panaharjuna


Duhai adinda,
andai mampu kusulam
awan-awan jernih dan ombak silih berganti
akan kusulam hatiku
dan hatimu
menjadi satu

Duhai adinda
andai mampu kucairkan
salji damai di Puncak Fuji
akan kukepal bebola putih
buat menemami masa senggangmu
selama tahun rahmat
yang penuh bahagia

Namun
kekanda hanyalah musafir
yang tidur berlangitkan keredhaan
dan ranjangku bumi berselimutkan kesyukuran
hidup penuh ikrar dan janji
menghampirkan diri kepada Ilahi

Jika janji itu ada
amanahlah adinda kepadanya
jika takdir itu jelas
redholah adinda pada petunjuknya
dan jika jodoh itu pasti
terimalah kekanda seadanya.

KOTA MUSIM DERITA
Panaharjuna


Daku nakhoda tanpa bahtera
raja tanpa takhta
dalam kota musim derita
penghulu segala sepi
tika bayangmu menjauhi
kampung bahagiaku di sini

Daku
tanpa dewi
tanpa cahaya
tanpa kau jadi suri
kamar hatiku sepi

Beribu musim sujud
rentas masa berzikir
sedih luka kutanggung
siksa cinta kubendung

Kini daku lebih mengerti
rasa hati seorang pedusi

Jiwaku pasrah
di pintu mihrab kumelihat
jasad adinda sebagai bukti
Allah itu maha sakti.

GADISKU
Panaharjuna


Gadisku,
kau kupilih
daripada ribuan bunga yang mekar di taman
kerana harummu itu jelmaan
nafas bidadari.

Kulihat kau di jalanan tuhan
kini lebih aman
langkahmu srikandi
biar suaramu lembut manja
tetap waspada.

Bicaramu penuh erti
teguranmu berani
jiwa lelakiku sedar
daku masih jauh
dari kebenaran langit.

Kau menyuluhi daku
dengan cintamu
yang semahal pualam
di mulut naga geni.

Tuhan
kumohon redhamu
berkatilah pelayaran ini
bahtera kehidupanku
masih baru
berkongsi kemudi.

BIBIR INDAH
Panaharjuna


Aku cinta bibir itu
lembut tersenyum
ranum
hanya tutur yang harum
lewat ke Jiwaku

Terkuntum indah
dari hati yang pasrah
dari bibir yang basah
dengan kalimah-kalimahNya
mendidikku jadi asyiq
pada yang satu.

(kr) PABILA GELORA DAMAI SEMULA
Panaharjuna


Ketika ombak marah
Memecah benteng sabar
Kau pun segera hanyut
Terarus
Dibawa pergi

Musim semi yang bertahun
Kini tiada erti
Bila badai tanpa izin
Rempuh datang, bawa pergi
Benih setia kasih suci
Cinta tewas jadi benci

Kumohon pada Ilahi
Apabila geloramu jadi damai
Pagar-pagar ragu
Terlerai jadi sedar
Bahawa dikau dan aku
Masih saling setuju
Pada hatimu yang percaya
Aku masih teruna
Pada janji pertama.

(kr) AKU CINTA BIBIRMU
Panaharjuna


Aku cinta bibir itu
lembut tersenyum
ranum
hanya tutur yang harum
lewat ke Jiwaku

Terkuntum indah
dari hati yang pasrah
dari bibir yang basah
dengan kalimah-kalimahNya
mendidikku jadi asyiq
pada yang satu.

KEMAAFAN YANG TERLEWAT
Panaharjuna


Aku bukan lelaki asing
yang mencuri hati pengasihmu
Aku bukan lelaki jauh
datang meruntuh tugu percayamu.

Bicara yang iri kautanam di hatimu
telah subur menjadi benci
Segala bukti tak lagi bererti
kaupinta perpisahan ditebus janji.

Setelah kuleraikan sumpah keramat
setelah jauh terusirnya diri
Barulah datang segala mengerti
bahawa aku lelaki yang benar.

Percuma hatimu merintih lirih
sedar dan insafmu bererti yang nihil
Undangan Ilahi di pintu menanti
Izrail hadir menjemputku pergi.

ADA MARAH DI MATAMU
Panaharjuna


Ada marah di matamu
terbendung dalam sabar
Ada rindu di hatimu
kaupendam tanpa sedar.

Aku lelaki dari kota jahil
ajarkan daku bahasa rajukmu
agar mampu ku mentafsir rasa
membaca lakumu yang sunyi bicara.

Biar daku karam di lautan geram
tenggelam dalam badai rindu
Namun akhirnya kita berdamai
Kau dan aku di pantai setuju.

MAAFKAN DAKU
Zamri Mohamad

Maafkan daku
kini potret mesra kita
tidak henti-henti memarahiku

Maafkan daku
aku malu dengan istilah peluang
lalu kutinggalkan harapan
di hadapan pintu rumahmu
dengan kesal tanpa penghujung

Maafkan daku
setiap anggotaku longlai hilang kekuatan
oleh kesilapan yang kujadikan permainan
akulah juara yang kalah dalam perhubungan.

Maafkan daku
Maafkan daku
Maafkanlah daku

Aku tidak akan membuang dadu
di atas papan mainan ini lagi.

KURNIA
Zamri Mohamad


Kurnia semalam
hadiah istimewa al Khaliq
buat daku diami syurga dunia
sebelum jambatan abadi kulintasi.

Terima kasih atas cintamu
bakal jadi redha Ilahi yang menyatu
wangian firdausi sudah mula menyelubungi kita berdua
berkat doa berbalas rahmat.

AMIN BUAT KEINDAHAN
Zamri Mohamad


Makna nyata indah Tuhan
dicipta hidup berdua
hidup dengan kerelaan
tunduk dengan indah syurgawi

Ikatan dengan janji
abadikan kesempurnaan makhluk
biar lama dilihat makin cantik menawan
hukum Ilahi buat pemuja alunan kasih

Sudah dipanggil hukum fitrah
mata ditawan dengan cahaya bidadari
solek warna di bibirnya mengucap agung Tuhan
Setiap keagungan yang terpamer dengan syukur

Terima kasih Ilahi
Hari ini sempurna bertemu pecahan hati
Terjalin dan kembang kembali dengan harapan
alam cinta naunganmu.

BERIKAN AKU SYURGA DUNIA
Zamri Mohamad


Berikan aku syurga dunia
buat pemanis bibir yang dirindu
petiklah buah harapan dari pohon janji
hidangkan buat santapan hati.

Cinta itu janji
lafaz si ikhlas buat yang dicari
janji meronta minta termakbul cerita
wayang berdua kita lakonkan bersama

Cinta jambatan syurgawi dua dunia
istimewa untuk yang mencari redha
bauan bunga-bunga syurga meresap kalbu pecinta
terus kita titi jambatan syurga duniawi menuju cahaya Ilahi.

HIKMAT BICARA SUFIMU
Zalisa


Apabila bicara sufimu kaucurahi
hati-hati hitam, putih berkilauan
lalu
cahaya tawadhuk
terpancar di pandangan.

Apabila bicara sufimu kaualuni
silir bayu terhenti dan kelu
detik waktu diam membeku
asyik dan syahdu
bersama memuja Tuhan yang Satu.

Apabila bicara sufimu kauhembusi
daku terlupa letak diri
lantaran asyik mengagungkanNya
Tuan pemilik ini diri.

Aduhai jejaka idaman hamba.

PUISI BUAT KEKASIH
Zalisa


Aku ingin terbang bersamamu kekasih
Tapi sayapku hanya satu
Saat kau memeluk daku
Dan membisikkan kata syahdu
Air hangat menitis laju
Namun kupendam dalam kalbu
Agar kau tidak sayu
Tika melafaz cinta pada yang Satu

Tuhan
Tidak mengapa dia lupa kepadaku
Waktu ingatannya teguh kepadaMu
Biarlah aku tercampak di sudut hatinya
Saat dia menumpahkan rindu padaMu

Harapanku
Dia tidak lupa mendoakanku
Tidak lupa juga merayu untukku
Agar kekal bertaqwa kepadaMu

Tuhan
Cuma itu pintaku.

KAUKAH ITU
Zalisa


Sekilas kerlingmu
aku terpempan
dan kerlingan itu terus memburu

dalam tidur
dalam jaga
daku jadi tak keruan

Dikaukah itu
yang pernah menghulur salam
lalu hilang dalam kabus malam.

MANTERA KASIH
Zalisa


Bicaramu penawar lara
namun muslihat dapat kuterka

kerana mentera kasihmu
daku terlena
alpa
kepada Sang Cinta.

Janjimu dulu
cinta kita, cinta Dia
tetapi tidak kutemui
dalam pujuk
dalam rayu
yang iramanya palsu cuma.

Jangan dikau memujaku, kekasih
kerana bicara yang dikau sulam
warna benangnya masih
hitam.

KUKUTIP PUING CINTAMU
Zalisa


Lenaku berbantal maaf
namun aneh
lagu-lagu benci masih
beralun dalam mimpi.

Tanpa iman
tidak mampu kukutip puing cintamu
biarpun kalbu berdarah diunggis rindu.

Duhai penyejuk jiwa
usah dikau cantas pohon-pohon kasih
yang mendinginkan panas prasangka
tatkala membahang
mencabar setia.

KEJUTKAN DAKU
Zalisa


Perwiraku
usah biar kuhanyut
dalam arus sungai rayu
yang empangnya kaubuka saban waktu.

Cambuklah daku
dengan hikmah bicara
agar bangkit dari lena
yang dibuai irama pura dunia
dan kalimah tauhid
kembali bergema di jiwa.

Lupakah kau pada sumpah
tiap kata adalah semangat
kerana perjuangan belum sudah
agar Islam kembali menyerlah.

AKU DAN BAYANGAN LALU
Abd. Razak Adam

Daku pernah lewat mencurahkan isi hati
lalu diriku tak dihargai
dan aku terlewat menuturkan kata
melafaz cinta
lalu aku tersiksa

Aku kesempitan mencari ruang waktu
memperkatakan hak
lalu aku keliru

Aku mengidamkan wajah ayumu
yang sering menjadi mainan mimpiku
dan pernah bertakhta di hatiku

Kudoakan dikau
bekas permaisuriku
yang pernah menderitakanku
berbahagia selalu.

HANYA KALBU
Mohamad Kholid Hamzah


Sesekali ia hadir dan begitu mengganggu
Pada angin yang berhembus
Embun yang menitis dan kabus yang menghijabkan
Seolah suatu kisah yang tidak terluah
Atau gelora yang hanya muncul
Menjelang tiba di gigi hari

Apabila melihat ke dalam diri
Barulah dapat mengetahui rasa hati
Sedang ia terpendam sedalam mungkin
Hanya kalbu yang mengesan – itukah cinta?

AMBILLAH MELATI INI
Raja Nur Qurshiyah Raja Hirdan


Ambillah sekuntum melati ini
sematkan dalam hatimu
biar di hatimu kekal ia di situ

Melati ini jangan diselitkan di telinga
jangan disematkan pada busana sutera
jangan dibiar menjadi perhiasan mata

Jangan dibiar dia menghirup harumnya
dia bukan mendekati bunga
tetapi menghirup harumanmu

Jika dalam hatinya berbunga cinta
bukan kerana si bunga
tetapi oleh hatimu nan kembang segar dan suci
biarpun kelubung hitam menutupi telinga dan dadamu

Ambillah sekuntum bunga Melati ini
untuk hiasan di meja.

PESONA
Banir


Wajahmu yang berseri
mengalun rinduku
pada sujud dinihari
pada takbir tahmid memuji Ilahi.

Dari sorotan matamu
pesona dirimu dipandang
bagai ada taman firdausi di dalamnya
yang terbentang hijau
beraliran sungai jernih dan dingin
menyegarkan.

Dalam mekar senyummu terukir di bibir
tidak lupa pada ucap zikir diam dan zahir.

Semanis senyum kaulempar
menyubur hati nan rawan
tenang kembali jiwa nan bergelora
menggamit kembali rasa rindu kasihNya.

Dalam gerak batin dan zahir
tersusun indah lenggok imanmu
wangian syurga jua yang kaurindui
mataku asyik menari-nari
pesona melihat kau masih berdiri
dalam ruang istiqomah puji dan puja
mengabdi diri kepadaNya.

SELENDANG SUTERAMU
Putih


Sehelai selendang sutera
wangi harumnya tidak hilang
walau ditelan zaman

Lembutmu sutera
menjadi temanmu wanita
yang tunduk pandangnya
yang tawaduk pekertinya
yang luhur budinya
yang molek tuturnya

Alun suara puji-pujian yang terdendang
bersama sehelai suteramu
masih wangi
malam dan siang
pujian pada Yang Maha Memberi

Wangimu sutera terus semerbak
walau dek panas mentari
dan hujan menimpa bumi

Kepadamu wanita
pemilik selendang sutera
selempangkan selendangmu
hingga nafas ditutup bumi.

SEPERTIGA MALAM
Engku Zainon

Kurenung dada langit
cahaya malam
bulan tanpa bintang
menyimbahi wajahku

aku termangu
rindu kepada kekasih
membisikkan rasa
mencurah rindu
mengatur bahasa

bahagia kita
dalam sujud sepertiga malam
membina cita.

KUINGIN BERKASIH
Hazira M


Kuingin berkasih
denganmu lelaki berwajah bersih
yang tidak mudah mengenal jerih
walau berkali jiwaku merintih

Kuingin berkasih
denganmu lelaki berhati putih
yang tidak mudah menggelegakkan didih
jika sesekali sabarmu beralih
kerana hasut yang tidak memilih

Kuingin berkasih
denganmu lelaki pengucap tasbih
kerana tidak kuingin segala lebih
jika sekadar menjadi buih

CINTA HAKIKI
Nzshima

Lukaku disirami kata madahmu
Tak terasa dek pelali silamku
Penawarnya dengan menyebut namaMu
Kerana kutahu kau cinta hakikiku.

Kuingin cinta hadir dengan redaMu
Tidak diselangi racun bertalu
Andainya dia baik untukku
Tunjuklah tanda, bukalah hatiku.

EMPANGAN RASA CINTA
Nzshima


Yang kuempang itu
bukan lahar marah
tidak juga nanah duka
jauh sekali lumpur benci.

Empangan rasaku
menakung
air cinta suci
riak kasih sejati
tembok kebal setia
deruan kolam bahagia.

Akan kualirkan semua
khusus untukmu
sebagai Raja hatiku
andai namamu tercatat
di Loh Mahfuz itu.

JENDELA YAKINKU TERBUKA
Nzshima


Jendela yakinku
Kini terbuka jua
Lamaranmu dititip lewat warkah.

Tabir cemasku
Mereda akhirnya
Sungguhnya dikau terbukti sudah.

Pintu kagumku
Terbuka perlahan
Kesetiaanku tidak dipersiakan.

Tangga bahagia
Tersusun indah
Dengan izinNya, bersama melangkah.

KAU TAK SUNGGUH-SUNGGUH
Siti Hajar

Lancar jemarimu menulis puisi
memilin janji
menyulam kasih
doa dan zikir kaujadikan hantaran

Merdu suaramu menuturkan sayang
menebar rindu
menggamit cinta
menyalut anganku dengan qasidah

Tetapi
kau tak sungguh-sungguh

Kau ada rasa
mungkin ada gerak
tapi tak berbuat.

...hantar lagi puisi tuan-tuan dan puan-puan!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(438) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, January 28, 2007

Harta Intelek: Hakcipta Mesej SMS

Penyair KS Ilmar pernah berutus surat melalui SMS dengan seorang peminat bernama Z. Seperti seorang penyair tegar, di mana-mana pun beliau dapat mencipta dan menulis puisi.

Kali ini, surat SMSnya itu ditulis dalam bentuk puisi, sewaktu beliau sedang dalam bas ekspres Kuantan-KL.

Dua hari kemudian beliau menerima mesej SMS daripada seorang kenalannya. Mesej itu adalah puisi SMSnya yang dihantar kepada Z!

Selepas ditanya, si kenalan tadi memberitahu dia menerima puisi itu daripada orang lain, tanpa mengetahui perkara sebenar, dia menghantarkannya pula kepada KS Ilmar!

Puisi SMS itu telah kembali kepada tuannya.

Daripada sudut undang-undang harta intelek, setiap mesej SMS adalah dilindungi hakcipta penulisnya. Mesej SMS adalah serupa dengan surat-surat konvensional. Hakciptanya ada pada penulis surat itu bukan pada si penerima.

Perbuatan Z men-forward-kan puisi SMS karya Penyair KS Ilmar itu kepada orang lain tanpa izin bertulis, adalah menyalahi undang-udang hakcipta negara ini.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Ode buat Penyair KS Ilmar

Pawang Puisi berbaju hitam itu
keluar dari gua pertapaannya
menggalas berat ambung
sarat dengan kitab petua dan sihir-sihir
yang telah dihimpun
dan diasap bertahun lamanya.

Di perguruan kecil ini
semut-semut merah belum tumbuh bisa
mengutipi setiap patah kata jampi dan serapah
yang diucapkan Pawang Puisi
bagaikan mendapat geliga sakti.

@ Ainon Mohd.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, January 27, 2007

Pesan Penyair KS Ilmar kepada Peserta Bengkel Puisi Cinta Islami

1. Pertama-tama tentukan kiblat puisi cinta itu. Apa tujuan puisi itu - apakah bagi menerangkan emosi yang dirasai, apakah bagi menyampaikan emosi itu kepada yang menjadi objek, apakah bagi menyampaikan pesan, ataupun apa.

2. Sebaiknya satu puisi, satu cerita. Jangan banyak-banyak cerita dalam satu puisi sebab puisi cinta yang panjang-panjang tidak disukai oleh pembaca remaja.

3. Gunakan perkataan-perkataan konkrit kerana ia mudah dikembangkan.

4. Bagi mengembangkan puisi, gunakan perkataan-perkataan yang berfungsi sebagai tautan. Gunakan formula 4W 1H.

5. Apabila menulis puisi cinta, jangan tujukan puisi itu kepada SATU orang, sebaliknya bukakan puisi itu kepada banyak orang.

6. Pilih perkataan-perkataan yang mempunyai pelbagai makna.

7. Cipta frasa-frasa baru yang belum pernah digunakan sebelumnya. Simpan dan bawa ke mana-mana buku kecil tempat mencatat frasa-frasa baru yang melintas dalam kepala.

8. Pastikan ada ketiga-tiga unsur keindahan dalam puisi itu (a) keindahan bahasa (b) keindahan makna dan (c) keindahan moral.

9. Logik idea dalam puisi tidak boleh menyalahi logik alam sebenar. Apabila ini berlaku puisi itu menjadi 'karya tak matang' dan menyebabkan pembaca mendapat kesan 'penyairnya belum matang'.

10. Jangan terlalu banyak 'hiasan' sehingga puisi menjadi 'mabuk bahasa'.

11. Elok tuliskan judul puisi sebelum menuliskan puisi, kerana judul itu membantu saudara memfokuskan fikiran saudara sepanjang proses menghasilkan puisi itu.

Pesanan Penyair KS Ilmar pada hujung bengkel: Biarpun saudara cuma mahu menjadi penyair selama 3 jam, dalam tempoh singkat itu, tulislah puisi yang kekal indah sepanjang zaman.

Nota Sifu: Peserta pulang dengan saku yang penuh. Terima kasih tidak terhingga kepada Sang Pencinta Agung!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(15) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, January 24, 2007

Puisi Indah buat Si Jelita

Tulis puisi cinta yang memuja Si Jelita cara Islami di sini:

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(19) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, January 23, 2007

Mencipta Pengalaman Linguistik dalam Puisi (1)

Puisi yang indah mencipta apa yang disebut nilai pengalaman baru, ertinya apabila kita membaca puisi itu, kita dapat mengalami sesuatu kesan kejiwaan yang indah, yang belum pernah dialami sebelumnya.

Apabila kita mendengar lagu "Getaran Jiwa" oleh P. Ramlee, kita mengalami kesan keindahan jiwa, tetapi itu bukan kesan baru, sebaliknya ia kesan indah yang berulang kali dialami.

Perkataan dan susunan perkataan dapat menciptakan kesan kejiwaan, bukan pada makna, sebab maknanya bukan baru, sebaliknya pada susunan perkataannya yang baru. Ertinya susunan itu belum pernah dilakukan begitu sebelumnya.

Kata-kata yang digunakan oleh penyair adalah kata-kata lama. Yang baru adalah pada susunan kata-kata itu. Susunan baru itulah yang mencipta nilai pengalaman baru.

Dan pengalaman itu disebut pengalaman linguistik atau pengalaman bahasa.

Baca bait ciptaan KS Ilmar di bawah:

kuingin bersamamu
menghuni syorga
setelah kunikahi dikau
dengan lafaz yang rela


Bait setelah kunikahi dikau dengan lafaz yang rela itu adalah kata-kata lama yang disusun secara baru, maka ia mencipta pengalaman linguistik yang belum dialami sebelumnya.

Jangan menulis dari otak dan memori sebab ayat-ayat yang tersimpan dalam memori adalah susunan ayat-ayat yang pernah dibaca ataupun didengar, justeru ayat lama, ayat klise, ayat basi.

Susunan lama tidak dapat mencipta pengalaman linguistik baru.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, January 22, 2007

Lagi-lagi Puisi Cinta Islami

Tuliskan puisi-puisi cinta Islami dengan tema:

Sakitnya hati apabila cintamu tidak berbalas!

Derita cemburu melihat dia bahagia dengan orang baru!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(23) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, January 21, 2007

Lagi Puisi Cinta Islami

Tulis lebih banyak puisi cinta saudara di sini.

Tema-tema yang masih belum disentuh:

Puisi merayu supaya, selepas terputus cinta, cinta saudara dapat diterimanya semula.

Puisi merayu supaya dia yang berjauh hati sudi kembali kepada saudara.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(36) Diskusi Kuliah | Permalink

Projek Antologi Puisi Cinta Islami

Kita sedang mengumpulkan puisi-puisi cinta bernada Islami bagi diterbitkan sebagai buku antologi.

Puisi-puisi yang layak dipilih adalah puisi yang memberi asuhan ke atas sanubari gadis-gadis remaja supaya menghargai percintaan cara Islami.

Tuliskan puisi saudara di sini. Tulis nama dan emel bagi setiap puisi, supaya kita ada rekod hakcipta setiap puisi. Jangan sampai puisi saudara terbit tetapi royalti dihantar kepada orang lain!

Nota: Puisi jangan panjang sangat supaya satu puisi cukup dicetak atas satu muka surat sahaja!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(133) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 19, 2007

Hakcipta Surat Cinta

Siapakah yang memiliki hakcipta surat-surat cinta? Adakah si penulis surat cinta itu, ataupun si penerima surat cinta itu?

Jawapannya: Si penulis surat cinta itu.

Ini sangat penting saudara ingat apabila saudara mahu menerbitkan surat-surat cinta yang saudara terima!

Saudara tidak boleh menerbitkan surat-surat cinta yang ada dalam simpanan saudara jika surat cinta itu bukan hasil tulisan saudara sendiri.

Setiap potong ayat dalam surat-surat cinta itu adalah dilindungi oleh undang-undang hakcipta negara ini.

Yang jadi isu sekarang adalah, apa jadi jika surat cinta saudara diterbitkan oleh orang lain tanpa izin saudara.

Bagaimanakah caranya saudara dapat membuktikan di mahkamah bahawa surat cinta yang diterbitkan oleh (bekas kekasih/tunang/suami/isteri saudara) itu adalah surat cinta yang saudara telah tulis dan kirimkan kepada si fulan itu?

Salah seorang mentee SifuPTS adalah seorang Pencinta Agung! Beliau dan bekas kekasihnya dahulu sama-sama bersetuju masing-masing akan memfotokopi setiap warkah cinta yang ditulis sebelum diposkan.

Jadi, dalam kes Pencinta Agung ini.... beliau tidak dapat menerbitkan surat-surat cinta bekas kekasihnya itu, tanpa mendapatkan izin bertulis, sebab si bekas kekasihnya ada menyimpan fotokopi surat-surat cintanya sebagai bukti dia adalah penulis dan pemilik hakcipta surat-surat tersebut....

Hmmmmm..... rugilah kita tidak dapat membaca surat-surat cinta bekas kekasih Pencinta Agung ini!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(116) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 1 of 1 pages