Monday, August 22, 2005

Memilih Editor

Jika saudara hendak membuka syarikat penerbitan, saudara perlu mencari kakitangan syarikat yang menguruskan hal-hal editorial.


Kualiti editor mempunyai kaitan kuat dengan mutu buku-buku yang saudara terbitkan. Memang ada syarikat penerbitan yang tidak mempunyai editor. Yang amat terkenal mengamalkan kaedah kerja cara ini adalah penerbit-penerbit buku agama tempatan. Mereka ambil bulat-bulat manuskrip yang dihantar oleh penulis dan menerbitkannya. Inilah faktor yang menyebabkan kualiti rendah pada buku-buku agama terbitan tempatan.


Ada sebuah ataupun dua penerbit buku agama tempatan yang mengambil seorang dua staf editorial, tetapi mereka mengambil staf yang tidak mempunyai ijazah, dengan alasan mahu mengawal kos penggajian. Kesannya juga serupa, iaitu kualiti editorial yang rendah.


Jangan saudara menggunakan sikap berjimat pada tempat yang salah. Mutu editorial adalah perkara paling penting dijaga dalam penerbitan buku.


Sikap tidak mahu membayar gaji tinggi kepada staf editorial adalah sikap yang merugikan bisnes sendiri.


Kita dapat saksikan sendiri apa yang diamalkan oleh penerbit-penerbit terbesar di negara kita seperti penerbit Kumpulan Karangkraf, Fajar Bakti, Pelangi, Utusan, Sasbadi dan Rythm. Mereka hanya mengambil pemegang ijazah untuk kerja-kerja editorial.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, August 19, 2005

Tempah Maut

Banyak penerbit baru menyerahkan buku terbitannya kepada sesebuah pengedar dengan persetujuan penerbit itu menjadi pengedar tunggal. Langkah ini tidak bijaksana dalam dunia bisnes, ia langkah 'bunuh diri', tetapi mengapa dilakukan juga?

Apakah ciri-ciri penerbit yang sanggup 'bunuh diri' itu?





  1. Penerbit itu bukan sahaja baru tetapi tetapi tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman tentang dunia bisnes buku.






  1. Penerbit itu mungkin tahu sedikit sebanyak tentang bisnes buku, tetapi dia tidak mempunyai modal cukup untuk membuka syarikat penerbitan yang 'full-fledge', yakni serba-serbi ada. Lazimnya dia 'one man show'.






  1. Dia tidak mempunyai modal bagi mengedarkan sendiri buku terbitannya. Dia tidak mempunyai van dan eksekutif jualan bagi menjalankan tugas-tugas membangunkan rangkaian pengedarnya sendiri.






  1. Si penerbit itu tidak sanggup turun sendiri ke tengah gelanggang bisnes buku, tebalkan muka, pikul buku dari satu pintu ke satu pintu kedai buku, dan buat sendiri kerja-kerja membuka rangkaian kedai-kedai yang sanggup menjual bukunya.





Mengapakah menyerahkan buku saudara kepada pengedar tunggal adalah tindakan bunuh diri?





  1. Ikut logik, saudara tentu melantik pengedar yang besar sebagai pengedar tunggal saudara. Isunya, pengedar besar mengedar beratus-ratus, malah beribu, judul buku. Apa sebab dia mahu berikan layanan istimewa kepada buku saudara? Kepada orang bisnes, duit siapa pun sama nilainya. Mana-mana buku yang dia dapat buat duit, buku itulah yang diedarkannya. Pengedar besar tidak bergantung kepada buku saudara.






  1. Pengedar tunggal mahukan diskaun yang mencekik leher saudara. Di kalangan pengedar, pengedar tunggal buku-buku sekolah rendah paling kuat mencekik penerbit kecil. Jangan terkejut dia minta diskaun sampai 70%. Serahkan buku kepada mereka? Saudara sebenarnya 'bagi makan' mereka sahaja.






  1. Apabila saudara menyerahkan buku kepada pengedar tunggal, dia tahu kedudukan saudara sangat lemah, bak kata orang, saudara dalam keadaan tercungap-cungap. Apa pun syarat yang dikenakannya, saudara tidak upaya menolak.




Pesanan kepada saudara yang baru hendak cuba-cuba menerbitkan buku: Jangan cetak buku dulu kemudian baru hendak cari pengedar. Itu menempah maut namanya.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Stroke Artis

Jikalau saudara hendak menjadi penerbit buku kanak-kanak, saudara memerlukan pelukis buku kanak-kanak yang betul. Mengapa 'yang betul'?


Bukan semua pelukis mempunyai 'stroke' yang sesuai untuk buku kanak-kanak. Sesetengah pelukis, strokenya sesuai untuk buku remaja lelaki, sesetengahnya sesuai untuk buku orang tua, dan begitulah seterusnya.



Yang menjadi isu di sini adalah, bagaimana saudara dapat menilai dengan tepat pelukis mana yang strokenya sesuai dengan kanak-kanak?



Setahu kita, walaupun di negara kita sudah banyak terdapat kolej dan universiti yang mengajar mata pelajaran senilukis, tetapi tidak ada mana-mana institusi yang menawarkan kursus ilustrasi untuk produk kanak-kanak.



Saudara sendiri bukan kanak-kanak lagi, oleh itu apabila saudara menilai stroke pelukis, saudara tidak menilainya sebagaimana kanak-kanak menilainya. Penilaian saudara itu adalah penilaian orang dewasa.



Jikalau pelukis itu memberitahu dia sudah pernah melukis buku kanak-kanak untuk penerbit lain, waima dia sudah pernah menang award sekalipun, itu bukan jaminan dia dapat menghasilkan ilustrasi yang disukai oleh kanak-kanak sasaran bagi buku saudara.




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, August 18, 2005

Buku Hitler: Trendy ataupun Evergreen?


Setiap kategori buku ada peminat-peminatnya sendiri. Apa buku pun ada penggemarnya. Demikianlah dengan buku-buku biografi.



Penerbit biografi yang terkenal di Malaysia adalah Pelanduk Publications. Pelanduk sudah menerbitkan banyak biografi tokoh-tokoh negarawan Malaysia.



Satu kategori dengan biografi adalah buku-buku memoir. Penerbit UKM menerbitkan beberapa memoir tokoh-tokoh kontroversial yang menarik. Memoir yang paling banyak terjual adalah memoir Syed Azahari, khabarnya hampir 5 ribu naskhah. Dewan Bahasa dan Pustaka pun ada menerbitkan biografi dan memoir.



Di Malaysia, pembeli utama biografi dan memoir tokoh-tokoh kita adalah perpustakaan, disebabkan harga buku-buku jenis itu mahal. Kos penerbitan buku-buku itu pun mahal. Jadi buku-buku itu diterbitkan untuk up-market. Dengan harga jualan yang tinggi, penerbit masih dapat membuat keuntungan daripada jumlah jualan yang terbatas.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Tandas

Pernahkah saudara mendengar istilah 'toilet book' atau 'buku tandas'?


Istilah ini digunakan oleh penerbit buku-buku bacaan ringan. Pasaran buku-buku tandas memang ada. Di negara kita belum ada penerbit yang khusus menerbitkan buku-buku toilet sahaja.



Berapa lamakah saudara duduk di tandas? Buku-buku toilet dipakej supaya ia sesuai dibaca selama saudara duduk di tandas, baik daripada segi saiz mahupun isinya. Panjang bab-bab dalam buku itu adalah cukup-cukup bagi membolehkan saudara tamat membacanya sebelum bangun dari duduk.



Buku-buku toilet popular dijual di airport, stesen-stesen LRT, bas dan teksi di mana ia dapat dibaca sementara menunggu kenderaan tiba ataupun semasa dalam perjalanan.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, August 17, 2005

Buku Mawi AF


Apabila kerajaan memperkenalkan Islam versi Hadhari, muncul dua tiga syarikat penerbit baru menerbitkan buku bertemakan Islam Hadhari dengan harapan mereka dapat cash-in (buat duit cara mudah) daripada isu trendy itu.


Jika saudara terfikir hendak menulis ataupun menerbitkan buku yang bertemakan isu-isu trendy, berhati-hati. Ada perkara-perkara trendy yang dapat menghasilkan keuntungan, manakala ada yang menghasilkan kerugian.



Mengapakah tema Islam Hadhari menghasilkan kerugian, baik kepada penulis mahupun penerbit buku?



Buku-buku trendy yang menghasilkan keuntungan mempunyai ciri-ciri berikut:





  1. Buku itu dikaitkan dengan personaliti yang mempunyai amat banyak peminat. Jadi, buku tentang Puteri Diana laku dijual di seluruh dunia disebabkan peminat beliau ada di seluruh dunia. Buku perkahwinan Yusri-Erra laku ratusan ribu naskhah disebabkan pasangan itu mempunyai ratusan ribu peminat. Jadi, jangan tersalah pilih tema isu trendy. Hanya kerana isu trendy itu dimulakan oleh seorang tokoh terkenal, maka saudara yakin saudara dapat cash-in, nanti dulu! Ada tokoh yang terkenal dan mempunyai banyak peminat. Ada tokoh yang terkenal tetapi tidak banyak peminat, contohnya Mona Fendy!






  1. Buku itu dikaitkan dengan trend bisnes yang populist (merakyat) sifatnya. Jadi, apabila perniagaan gaya MLM (multi-level-marketing) mula masuk ke negara ini, buku-buku motivasi dan panduan bagaimana saudara dapat berjaya sebagai agen MLM karangan Dr. Azman, laku berpuluh ribu naskhah dalam pasaran, sebab beratus ribu orang rakyat biasa memasuki skim-skim MLM, masing-masing mengejar impian dapat menjadi jutawan macam Dr. Azman.






  1. Buku trendy itu adalah karangan tokoh yang mempunyai banyak peminat. Jika saudara berpeluang menerbitkan karya jenis ini, memang rezeki baik. Sudahlah pengarangnya banyak peminat, isi bukunya pula trendy. Buku jenis itu belum dikarang, para penerbit sudah berebut-rebut meminta hak penerbitannya. Mahukah Mawi AF menuliskan bukunya tentang rahsia-rahsia dalam dunia fantasi AF yang hanya pelajar-pelajar AF sahaja tahu? Gosip-gosip AF ditulis oleh idola AF! Mahukah saudara menjadi penulis hantu (ghost writer) Mawi? Ini peluang cash-in. Mawi amat sibuk, takkan sempat menulis bukunya sendiri. Buku itu mesti terbit sekarang, sementara Mawi masih top. Ia akan jadi produk terhangat di pasaran. Masa cash-in amat singkat. Musim AF 2006 akan tiba tak lama lagi.




Apabila saudara hendak menulis ataupun menerbitkan buku-buku trendy, rezeki saudara singkat tempohnya. Apabila Mawi jatuh, apa-apa yang mempunyai kaitan dengan Mawi, insyaAllah ikut jatuh. Namanya pun buku trendy.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, August 13, 2005

Benarkah Orang Melayu Tak Baca Buku?

“Saya sedang menulis buku,” kata seorang bekas pengarah jabatan cawangan khas dalam pasukan Polis Diraja Malaysia. “Tapi dalam bahasa Inggeris.”

“Kenapa dalam bahasa Inggeris?” tanya si editor.

“Kalau saya tulis dalam bahasa Melayu, tak laku,” katanya.

“Mana tahu tak laku?”

“Orang Melayu tak baca buku,” katanya.

Benarkah orang Melayu tak membaca buku? Mari kita lihat apa yang sedang berlaku dalam kedai-kedai buku:

  1. Kedai buku Borders yang baru membuka cawangannya di Kuala Lumpur memperuntukkan 10 ribu kaki persegi untuk menempatkan buku-buku Melayu. Ruang yang sama besar diperuntukkan bagi buku-buku Cina. Borders adalah rangkaian kedai buku terbesar di dunia.



  1. Rangkaian MPH semakin banyak memperuntukkan rak bagi mempamerkan buku-buku Melayu. Malah rak-rak buku Melayu sudah diletakkan di sisi pintu masuknya.



  1. Rangkaian kedai buku Popular yang menjadi benteng buku-buku Cina sudah mula membuka ruang untuk mempamerkan buku-buku Melayu.



  1. Statistik daripada sebuah rangkaian kedai buku menunjukkan, di semua kedainya, 8 daripada 10 buku terlaris adalah judul-judul Melayu.



  1. Di sebuah rangkaian kedai lagi, stok buku Melayu yang berjumlah 20%, ia mendatangkan 40% perolehan syarikat itu.



  1. Dalam sebuah rangakaian lain, jualan fiksyen Inggeris adalah sekitar 600-700 naskhah sebulan, tetapi jualan fiksyen Melayu melebihi 5000 naskhah sebulan.



  1. Rangkaian kedai buku yang paling pesat berkembang dengan membuka cawangan-cawangan baru adalah rangkaian milik penuh rakyat Malaysia dan mereka memfokuskan pasaran pada buku-buku Melayu, iaitu rangkaian kedai buku Rythm, Muda Osman dan Seri Intan.


Jika saudara penulis baru, jangan mudah menelan mentah-mentah cakap-cakap orang yang tidak tahu menahu tentang dunia perbukuan negara ini.Kalau didengar cakap-cakap mereka, saudara boleh hilang semangat hendak menulis dalam bahasa Melayu.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, August 09, 2005

Kulit Novel Cinta

Jika saudara baru hendak belajar menerbitkan buku, saudara lazimnya mempunyai satu syarat sahaja berkenaan ciri kulit buku yang baik: kulit buku mesti cantik.

Syarat CANTIK tidak cukup. Cantik di mata siapa?

Perempuan mementingkan kulit buku yang cantik. Inilah faktor yang menyebabkan penerbit-penerbit seperti Alaf21 dan Creative melaburkan wang yang banyak bagi mendapatkan lukisan-lukisan yang cantik untuk kulit novel-novel terbitan mereka. Lukisan-lukisan itu dipilih daripada karya pelukis-pelukis luar yang membekalkan karya-karya mereka kepada penerbit-penerbit novel.

Empat buah penerbit utama novel adalah Creative, Alaf21, Utusan dan Rythm. Kemudian muncul penerbit kecil yang tertarik menceburi penerbitan novel disebabkan mendengar cerita-cerita berkenaan larisnya novel-novel cinta. Kita dapat lihat kualiti dan perwajahan terbitan mereka mirip-mirip wajah terbitan 4 pemain utama itu disebabkan mereka menggunakan pelukis-pelukis yang sama.

Barangkali amalan ini adalah strategi bisnes penerbit-penerbit baru yang cuba memasuki pasaran Alaf21 dan Creative. Dengan menggunakan wajah kulit yang serupa, mereka mengharapkan mereka dapat menarik perhatian pembeli yang sama.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, August 08, 2005

Seni Melukis Kulit Buku

Penulis baru lazimnya mempunyai angan-angan sendiri tentang rupa wajah kulit buku yang bagaimana yang dia mahu. Sebagai contoh seorang penulis yang menulis novel remaja tentang kisah Orang Asli mahukan lukisan kulit bukunya menggunakan wajah Orang Asli.


“Ini lukisan Orang Asli yang kawan baik saya sudah lukiskan untuk kulit buku saya,” kata penulis baru itu, sambil menyerahkan lukisan itu kepada editor. Lukisan itu menunjukkan Orang Asli sedang menyumpit.



“Cantik lukisan ini,” kata editor, “tapi tak dapat gunakan untuk kulit novel encik.”



“Kalau cantik, kenapa tak boleh gunakan?” berkerut kening penulis itu.



“Wajah Orang Asli tidak dapat menjual buku,” kata editor.



Dalam sesebuah rumah penerbitan, siapakah yang akhirnya dipertanggungjawabkan memilih konsep kulit buku saudara? Editor. Ya, editor!



Sebelum konsep kulit buku diterangkan kepada artis yang akan mencipta design kulit buku itu, editor memberi taklimat pendek kepadanya tentang maklumat latar belakang buku saudara. Maklumat itu termasuklah:




  1. Buku itu buku apa? Katakanlah, buku itu novel. Artis kulit buku mempunyai bakat yang berbeza-beza. Bukan semua artis di jabatan grafik mempunyai bakat menghasilkan kulit buku kreatif.




  2. Apa isi utama novel itu? Maklumat tentang isi buku digunakan oleh artis yang bertugas sebagai “visualiser”. Lazimnya tugas ini dijalankan oleh Pengarah Kreatif. Katakanlah, cerita cinta terhalang antara seorang pemuda Orang Asli suku Temuan dengan gadis Melayu di Kinaboi, Kuala Pilah, yang akhirnya menjadi asal-usul nama kampung Janda Baik di Bentong, Pahang. Visualiser akan mencipta konsep kulit buku itu dahulu, kemudian diterangkan konsep itu kepada artis yang ditugaskan untuk melahirkan konsep itu dalam bentuk design.




  3. Siapa pembeli sasaran buku itu? Katakanlah, guru pusat sumber sekolah.




  4. Siapa pembaca sasarannya? Katakanlah, pelajar sekolah menengah.




  5. Pelajar lelaki ataupun perempuan? Katakanlah lelaki perempuan, sebab perempuan suka membaca novel yang terdapat di dalamnya unsur cinta terhalang.




  6. Bagaimana buku itu akan dipasarkan? Katakanlah buku itu dimasukkan dalam set “Siri Pendididkan Satera” bernilai RM230 untuk perpustakaan sekolah-sekolah menengah, dan akan dijual ke sekolah oleh syarikat jualan langsung.Ataupun adakah ia akan dijual melalui kedai-kedai buku? Kulit yang laku di sekolah belum tentu laku di kedai buku, begitu juga sebaliknya. Sebagai contoh, kulit novel cinta laku dikedai buku tetapi tidak di sekolah, dalam erti kata guru pusat sumber tidak membeli novel yang kulitnya menunjukkan unsur cinta. Itulah sebabnya maklumat ini amat penting kepada artis kulit buku.






  1. Berapa tebal buku itu? Apa saiznya? Bila buku itu mesti dihantar ke percetakan? Bila kulit buku mesti ditunjukkan kepada Pengurus Pemasaran untuk mendapatkan maklum balas apakah kulit cadangan itu mudah dijual?




Ciri pertama apabila mencipta design kulit buku adalah, kulit itu mesti dapat menjual buku itu. Banyak buku yang baik isinya tidak laku dijual kerana kulit buku itu tersalah konsep. Penerbit terus menyuruh artis mencipta design kulit buku tanpa memberikan taklimat tentang latar belakang yang penting berkenaan bagaimana buku itu akan dipasarkan.



Ingat! Fungsi design kulit buku adalah MENJUAL buku itu, bukan menerangkan isi buku. Buku kisah cinta pemuda Asli tidak perlu menggunakan wajah Orang Asli. Gunakan ikon lain yang dapat menjual buku itu. Yang penting buku itu dibeli orang.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, August 06, 2005

Belajar Jadi Penerbit

Jika saudara berangan-angan hendak menerbitkan buku saudara sendiri, jalan fikir saudara lazimnya begini:


1. Cari orang yang boleh mengedit dan membuat layout buku saudara itu dan bayar dia. Lazimnya saudara mencari kenalan yang bekerja sebagai editor ataupun artis layout di mana-mana syarikat penerbitan untuk membuat layout buku saudara.


2. Cari pelukis kulit buku dan minta dia mencipta kulit buku itu, dan bayar dia. Lazimnya editor itu dapat mencarikan artis tersebut di kalangan rakan sekerjanya. Minta pelukis ataupun editor itu tolong uruskan pembuatan filem buku itu dan bayar pembuat filem.


3. Hantar filem kepada pencetak dan runding harga percetakannya. Arahkan pencetak supaya menghantar buku yang sudah siap dicetak ke pejabat saudara, kalau ada ruang di situ, kalau tidak, hantar ke rumah saudara.


Eureka! Saudara sudah memulakan perniagaan saudara dalam dunia penerbitan buku.



Kemudian apa saudara hendak buat, garaj kereta saudara sudah penuh dengan bungkusan buku? Saudara mencari pengedar buku dengan sangkaan pengedar akan mengambil semua buku itu dan disimpan di stor pengedar sementara menunggu buku-buku itu habis dihantar ke kedai-kedai di seluruh negara.


Saudara pun pergi ke pengedar dengan membawa naskhah contoh bagi ditunjukkan kepadanya.


“You hantarlah 10 naskhah,” kata pengedar.


“Apa?” kata hati saudara, macam tak percaya. “10 naskhah! Aku ada 3 ribu naskhah berlonggok di depan pintu rumah!”


Maka bermulalah pelajaran pertama bagi saudara sebagai seorang yang baru pertama kali menerbitkan buku.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, August 05, 2005

Seni Mencipta Judul Buku

Apabila saudara sudah siap menuliskan buku saudara, tibalah masanya memilih judul bagi buku saudara itu. Judul yang baik akan diterima oleh editor saudara.


Judul mesti kena terus kepada pembeli sasaran. Mula-mula ingat kepada siapa buku itu ditujukan. Katakanlah buku itu adalah berkenaan komunikasi interpersonal. Tetapi siapakah yang akan menggunakan buku itu: Guru? Ibu bapa? Isteri? Pekerja Pejabat? Ketua? Remaja?



Tajuk “KOMUNIKASI INTERPERSONAL” adalah terlalu am. Tajuk ini sesuai untuk buku teks. Ia tidak sesuai untuk tradebook, yakni buku yang dijual di kedai. Jikalau buku itu ditujukan kepada guru-guru, tajuk “KOMUNIKASI INTERPERSONAL UNTUK GURU” adalah lebih tepat. Jika buku itu ditujukan kepada remaja, tajuk yang sesuai adalah “KOMUNIKASI INTERPERSONAL UNTUK REMAJA”.



Tajuk tidak boleh menggunakan perkataan yang membawa makna negatif. Tajuk yang berbunyi “PANDUAN MENGATASI MASALAH RUMAH TANGGA” menggunakan perkataan negatif iaitu 'masalah'. Tajuk yang positif adalah “PANDUAN MENGEKALKAN KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA”.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Melayu Compang-Camping

Sejak penubuhannya, Dewan Bahasa dan Pustaka masih belum berjaya memasarkan buku-buku terbitannya dengan berkesan.


Kata pegawai DBP, “Orang tak beli buku Melayu.” Mereka menyalahkan pembeli.



En. Jaafar Taib pernah berkata, “Bagaimana buku Melayu nak laku, kulit bukunya pun compang-camping.” Itu adalah penilaian seorang pelukis.Beliau berkata begitu di sebuah seminar penerbitan buku di PWTC sempena Pesta Buku Kuala Lumpur 2000.



En. Jaafar Taib adalah pengerusi penerbit Creative Enterprise. Jasa beliau kepada dunia sastera adalah luar biasa.



Beliau secara berseorangan sahaja, telah membuktikan bahawa karya sastera Melayu tidak berdosa, dan pembeli buku-buku Melayu tidak berdosa jika buku-buku Melayu tidak dibeli orang. Yang berdosa adalah penerbit buku-buku Melayu, yang menjalankan tugas-tugas mereka tanpa 'passion', tanpa menggunakan jiwa raga mereka. Kulit buku-buku DBP sehingga hari ini masih compang-camping. Jika gaji pegawai-pegawai DBP tidak dibayar menggunakan dana kerajaan, sebaliknya dibayar dengan wang daripada hasil jualan buku-buku terbitannya, sudah lama mereka tidak menerima gaji.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tulang Belakang Buku

Tulang belakang buku adalah bahagian di mana kertas buku digamkan dan dijahit. Bahagian ini penting diberi wajah yang menarik.


Di dalam kedai buku, tulang belakang adalah ruang yang memainkan peranan penting bagi mengiklankan buku itu kepada bakal pembeli.Begitu pula di dalam perpustakaan di mana bakal pembaca memilih buku mana yang mahu dicapainya berdasarkan tulisan-tulisan yang dapat diimbas pada tulang-tulang belakang buku.



Apabila buku di susun berdiri tegak di rak pengguna hanya nampak judul buku yang tertulis pada tulang belakang.



Dua maklumat yang mesti ada pada tulang belakang adalah NAMA BUKU dan JUDUL BUKU. Gunakan kontras warna yang terang supaya huruf-huruf itu timbul dan dapat dibaca dari jauh.



Apabila buku nipis, tulang belakang menjadi terlalu sempit dan padanya tidak dapat dituliskan maklumat tentang nama pengarang dan judul buku. Jadi tulang belakang buku itu kosong.



Setiap ruang pada kulit buku hendaklah digunakan secara optimum bagi mengiklankan buku itu. Ada buku yang tebal, oleh itu tulang belakangnya luas, tetapi huruf-huruf yang dicetak padanya bersaiz kecil oleh itu sukar dibaca dari jauh. Di sini berlaku pembaziran ruang yang amat berharga.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Nasib Penerbit Kecil

Menjadi penulis baru adalah pengalaman yang penuh dengan cerita duka! Punca paling utama kedukaan itu adalah disebabkan buku-buku penulis baru banyak yang gagal diterima oleh penerbit-penerbit besar. Akibatnya mereka terpaksa menyerahkan manuskrip mereka kepada penerbit kecil. Sembilan puluh tiga peratus (93%) penerbit kecil tutup dalam tempoh 3 tahun selepas memulakan operasinya. Kata pepatah Melayu, “Mati ayam, matilah kutu.”


Jika begitu banyak penerbit kecil mati, mengapakah ada segelintir yang hidup? Faktor-faktor yang membolehkan beberapa penerbit buku-buku Melayu terus aktif dalam pasaran adalah:



  1. Mamak yang mula sebagai pengedar buku menjadi penerbit buku: Penerbit Al- Hidayah bermula sebagai pengedar buku-buku agama. Kini ia sudah mula menceburi bidang penerbitan buku agama. Jadi Al-Hidayah mengedarkan sendiri buku-bukunya.






  1. Penerbit anak syarikat besar: Penerbit Utusan Publications adalah milik penuh syarikat Kumpulan Utusan. Penerbit Alaf 21 adalah anak syarikat milik penuh Kumpulan Karangkraf.






  1. Penerbit kecil yang dapat 'rezeki terduduk': Penerbit Cerdik mendapat lesen menerbitkan kertas soalan peperiksaan dari Kementerian Pelajaran selama 10 tahun. Keuntungan projek itu membolehkan Cerdik membina kekuatan kewangan bagi aktiviti penerbitan buku-bukunya. Penerbit Arus Intelek pula menerima kontrak membekalkan buku-buku teks Kementerian Pendidikan.




Barangkali saudara fikir saudara hendak menubuhkan syarikat penerbitan dengan harapan saudara boleh masuk tender skim pinjaman buku teks. Salah satu syarat mendaftar dengan kementerian adalah modal berbayar saudara hendaklah minimum RM100 ribu.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, August 03, 2005

Mahu Jadi Penerbit Buku?

Adakah saudara dapat mencari modal sekitar RM250 ribu. Itulah jumlah paling kecil yang saudara perlukan bagi memulakan sebuah syarikat penerbitan.


Jika modal saudara kurang daripada itu 'nafas' saudara tidak cukup panjang dan perniagaan saudara akan tercekik selepas menerbitkan buku ke-5.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, August 02, 2005

Buku Soft Cover

Orang buku kerap menggunakan istilah-istilah berikut:


1. Buku 'hard cover' atau buku kulit keras.

Penulis yang mempunyai buku kulit keras dianggap mempunyai martabat kecendekiaan lebih tinggi daripada mereka yang tidak.


2. Buku 'soft cover' atau buku kulit lembut.

Buku-buku 'trade books' iaitu buku-buku yang dijual di kedai-kedai buku dan memenuhi kriteria buku perpustakaan sentiasa terbit sekurang-kurangnya dalam edisi kulit lembut.


3. Buku 'paperback'.

Buku-buku kulit lembut yang laris di kedai, selepas beberapa tahun, sudah boleh diterbitkan dalam edisi 'paperback' atau edisi murah. Edisi paperback diterbitkan dengan margin keuntungan yang amat tipis bagi membolehkan buku-buku itu dijual murah supaya golongan pendapatan rendah mampu membelinya.


Data jualan di PTS mendapati edisi hardcover paling maksimum 400 naskhah sahaja yang dapat dijual dengan harga RM15 - RM25 lebih mahal daripada edisi kulit lembut. Golongan yang membeli edisi hard cover adalah perpustakaan.


Di Amerika dan Eropah, penulis lazimnya melesenkan hak menerbitkan edisi kulit keras kepada satu penerbit, manakala hak menerbitkan edisi kulit lembut kepada penerbit lain, dan hak menerbitkan edisi paperback kepada penerbit lain lagi.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 5 of 5 pages « First  <  3 4 5