Wednesday, April 25, 2007

Tiru Penulis ini: Mohamad Kholid Hamzah

Sehingga saat ini sebanyak enam buah buku dalam siri Penyiasat Ekstrovert karya Encik Mohamad Kholid Hamzah sudah diterbitkan oleh PTS. Lebih banyak akan terbit kerana siri ini sudah mempunyai penggemarnya sendiri. Sayugia diingat gelagat remaja awal mahukan cerita-cerita bersiri.

En. Mohamad Kholid adalah seorang pegawai pentadbir kanan dalam perkhidmatan kerajaan pusat. Karya-karya beliau dengan PTS adalah dalam siri penyiasatan dan ditargetkan kepada remaja awal.

Siri penyiasatan mempunyai kelompok peminatnya sendiri. Dengan demikian siri ini berunsur evergreen sebagaimana siri-siri penyiasatan oleh Enid Blyton bertahan dalam pasaran lebih 70 tahun.

Siri Penyiasat Ekstrovert ini dipakejkan sebagai no-mik, kombinasi novel dan komik, kerana remaja awal sukakan buku yang berilustrasi gaya komik. En. Mohamad Kholid bekerja dengan komikus Nuriazam Ismail yang melukiskan ilustrasi siri ini.

Mohamad Kholid adalah seorang sasterawan, karya beliau pernah diterbitkan oleh DBP dan cerpen beliau pernah tersiar dalam akhbar-akhbar arus perdana.

Apabila PTS meminta beliau menghasilkan siri penyiasatan untuk remaja awal kerana pasaran sektor itu ada dan belum dieksploitasi, beliau mudah menerima cadangan itu dan bersikap sebagai 'bisnes partner' yang kooperatif.

Dengan PTS, En. Mohamad Kholid Hamzah menekuni siri penyiasatan yang menyelitkan nilai-nilai Islamik.

Adakah saudara mahu hidup sepenuh masa sebagai penulis novel-novel remaja?

Apabila saudara hendak memilih penerbit bagi novel remaja saudara, jangan hanya fikirkan sama ada penerbit itu mahu menerima karya saudara bagi diterbitkan. Nanti buku saudara terbit tetapi hayat pasaran buku saudara mungkin singkat.

Pilih penerbit yang mempunyai banyak maklumat berkenaan tingkah laku dan citarasa pembaca remaja. Dengan demikian penerbit itu dapat menerbitkan novel saudara dengan konsep dan pakejing yang sesuai dengan sektor yang ditargetkan.

Pada masa ini sudah timbul banyak nama-nama penerbit baru dalam pasaran, yang sebelum ini tidak pernah diketahui kewujudannya. Mereka lebih bersedia menerima manuskrip daripada penulis-penulis yang belum terkenal. Lazimnya mereka mahu membeli manuskrip itu buat selama-lamanya.

Saudara perlu fikir panjang sebelum menjual hakcipta saudara kepada mana-mana penerbit. Pastikan dalam sebarang urusan bisnes, kedua-dua belah pihak mesti untung.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, April 21, 2007

PTS: Dulu Cepat, Sekarang Lambat

Semasa PTS masih baru, manuskrip yang dihantar oleh penulis cepat terbit. Ada kalanya 1 bulan, 2 bulan, 3 bulan, sudah terbit.

Sekarang PTS sudah besar, manuskrip makin lambat terbit. Cuma tidak selambat di penerbit lain. Ini menyebabkan penulis yang sudah menyiapkan manuskripnya mula tidak seronok sebab manuskrip mereka lama menanti giliran terbit.
Mengapakah keadaan ini berlaku?

(1) Jumlah manuskrip yang masuk semakin banyak kerana (a) Penulis PTS yang senior terus menulis dengan produktiviti yang tinggi, (b) Penulis junior yang baru mengikuti kursus-kursus PTS sudah mula menghasilkan karya mereka.

(2) Bagi kategori buku ilmu, PTS kini sudah menjadi penerbit pilihan disebabkan (a) Brand PTS sudah mula dikenal ramai, (b) Buku PTS dipamerkan dalam rangkai kedai buku elit, (c) Kredibiliti dan integriti pengurusan PTS semakin menerima kepercayaan para penulis.

(3) Modal pusingan PTS tidak berupaya menerbitkan lebih banyak jumlah judul setiap bulan. Tahun 2007 PTS hanya mampu memperuntukkan RM3.3 juta bagi bajet percetakan.

Diharap saudara bersabar... Chairman PTS sedang berkerja kuat mencari jalan menokok bajet percetakan.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, April 17, 2007

Tip Survival Penerbit: Penulis Biar Sedikit, Judul Biar Banyak

Operasi bisnes penerbitan buku yang ideal adalah di mana jumlah penulis sedikit tetapi jumlah judulnya banyak. Ini bermakna penulis yang sedikit itu menulis jumlah judul yang banyak.

Itu adalah bisnes penerbitan yang ideal, yang semestinya cuba dilaksanakan kerana:

(1) Kos mengurus penulis semakin tinggi apabila jumlah penulis semakin banyak. Banyak orang awam tidak menyangka adanya kos mengurus penulis yang ditanggung oleh penerbit.

(2) Penulis yang mempunyai banyak judul lebih mudah dipromosikan, baik promosi namanya, mahupun promosi buku-bukunya.

(3) Penulis yang sudah menulis banyak judul dapat menjadikan nama mereka 'brand'. Branding amat penting bagi promosi produk.

Itulah sebabnya, penerbit mesti menjaga supaya penulisnya tidak lari ke penerbit lain, apatah lagi apabila penulis itu sudah mempunyai banyak judul.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, April 14, 2007

Bagaimana Keuntungan Dikongsi dalam Industri Penerbitan

Penulis memerlukan penerbit, pencetak, pengedar, pekedai, runner dan kontraktor, sebelum bukunya sampai ke tangan pembeli dan pembaca.

Semua pihak yang terlibat itu adalah ibarat mata rantai, putus satu mata, seluruh rantai tidak dapat berfungsi. Masing-masing pihak mencari untung dengan memberikan nilai tambah kepada buku saudara. Tanpa input daripada mereka, buku tidak dapat diterbitkan, apatah lagi dijual.

Setiap pihak mendapat bahagian masing-masing, seorang sedikit, daripada terjualnya buku-buku saudara, baru semua boleh hidup. Kalau ada mana-mana pihak yang tamak, yang mahu lebih banyak, buku tidak dapat diterbitkan dan dijual, semata-mata kerana kos penerbitan dan penjualannya tidak berbaloi. Akhirnya semua orang tidak mendapat apa-apa. Yang paling rugi tentulah penulis sebab dia sudah mengeluarkan modal daya usaha menulis buku itu.

Apabila tawar-menawar dengan penerbit, jangan hanya melihat kepada angka peratusan royalti yang ditawarkan. Yang lebih penting adalah keupayaan penerbit itu memasarkan buku-buku terbitannya.

Bak kata seorang penulis yang pernah ditawarkan royalti sebesar 12.5% oleh sebuah penerbit yang paling besar di negara ini, pada akhirnya beliau cuma menerima sekali sahaja cek, yang bernilai RM48.85 sen!

Penulis mungkin ditawarkan royalti 7%, tetapi jualan bukunya mencapai 20 ribu naskhah, maka beliau menerima jumlah royalti lebih besar daripada royalti 12.5% tetapi bukunya berlonggok dalam setor penerbit.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Motivasi untuk Pasaran Lelaki

Inilah contoh dua buah buku motivasi yang dibeli oleh lelaki.

Kajian yang kita lakukan menunjukkan lelaki membelibuku-buku panduan bagaimana mereka dapat meningkatkan kejayaan mereka di tempat kerja ataupun yang berkaitan dengan kejayaan mereka dalam profesion.

Kita juga mendapati buku-buku panduan kemahiran sosial yang rapat kaitannya dengan kejayaan profesional banyak dibeli oleh lelaki.

Sebagai contoh, buku-buku panduan berucap, bermesyuarat dan berunding lebih banyak dibeli oleh lelaki.

Lelaki juga banyak membeli buku panduan bagaimana meningkatkan pendapatan mereka.

Tulis buku-buku panduan dan teknik-teknik yang membantu lelaki naik pangkat, buat duit dan berjaya dalam bisnes.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, April 11, 2007

Apa Tugas Editor Perolehan

Dalam syarikat penerbitan kontemporari, ada 2 jawatan editor:

1. Editor Buku
Editor buku menerima manuskrip daripada editor perolehan lalu beliau menguruskan kerja-kerja editorial ke atas manuskrip itu sehingga ia terbit sebagai sebuah buku.

Kebanyakan editor buku adalah perempuan kerana tugas-tugasnya amat leceh dan memerlukan mata yang teliti, dua ciri kerja yang lazimnya lelaki tidak suka.

2. Editor Perolehan
Editor perolehan tidak perlu tahu kerja-kerja yang dilakukan oleh Editor Buku. Jika dia tahu, itu lebih baik, jika tidak, tidak apa-apa.

Majoriti editor perolehan adalah lelaki disebabkan kerjanya banyak memerlukan dia berada di luar pejabat, bertemu dan berunding dengan penulis, dan mengadakan majlis-majlis taklimat.

Prestasi editor perolehan diukur dengan mengira jumlah manuksrip yang berjaya dibinanya bersama penulis.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, April 10, 2007

Buku Motivasi untuk Pasaran Perempuan

Kalau tidak ada perempuan, penerbit buku susah hidupnya!

Perempuan adalah pembeli dan pembaca buku terbesar. Malah statistik di USA sekalipun menunjukkan bahawa 80% pembeli buku-buku fiksyen, termasuklah buku sastera berat, adalah perempuan.

Inilah contoh topik motivasi yang khusus ditujukan kepada perempuan.

Tulislah buku-buku motivasi untuk pembeli dan pembaca perempuan. Salah satu area motivasi yang banyak dibaca perempuan adalah panduan kasih sayang dan hidup bahagia.

Kita dapati perempuan yang memilih dan membeli sendiri buku di dalam kedai adalah antara 16¬ - 36 tahun. Jadi, nampaknya, secara purata perempuan 'tua' tidak masuk kedai buku.

Justeru, jangan tulis buku-buku yang khusus topik perempuan tua, seperti panduan menghadapi menopaus dan seumpamanya disebabkan jumlah perempuan tua yang masuk kedai buku adalah amat kecil.

Jika perlu menulis tentang menopaus, masukkan topik itu sebagai salah satu bab dalam buku kesihatan wanita yang lebih umum.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, April 09, 2007

Tip Survival Penerbit: Menuai Apa yang Disemai

Kata pepatah, apa yang ditanam, itulah yang dituai.

Di kalangan peminat buku-buku terbitan sesebuah syarikat, akan ada peminat yang bakal menjadi penulis pada masa depan. Ramai peminat buku-buku PTS, Alaf21 ataupun CESB bercita-cita mahu menerbitkan karya mereka dengan penerbit kegemaran masing-masing.

Ini bermakna, setiap kali penerbit menerbitkan bukunya, si penerbit sedang menghantar bahan-bahan bacaan yang melatih bakal-bakal penulisnya sendiri bagaimana 'cara betul' menulis buku mengikut acuan penerbit itu.

Apabila penerbit menerbitkan novel cinta yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, ia sedang melatih pembaca novel itu bagaimana cara menulis novel menggunakan BMT.

Demikian pula apabila penerbit menerbitkan novel cinta yang di dalam tidak terdapat babak-babak asmara, ia sedang melatih pembacanya bagaimana menulis novel cinta seperti itu.

Manusia belajar menggunakan proses yang disebut 'social modelling', yakni belajar dengan meniru apa yang diperhatikannya, lalu dijadikan contoh.

Dalam isu penulisan, penulis terpengaruh oleh buku-buku yang dibacanya. Pembaca novel-novel remaja PTS cenderung setia kepada PTS, dan cenderung menghasilkan karya yang serasi dengan acuan PTS, dan cenderung bercita-cita mahu menjadi penulis PTS. Begitulah juga halnya dengan peminat buku-buku terbitan syarikat-syarikat lain.

Justeru, penerbit perlu menjadi visionari bagi masa depan penerbitannya. Pandang jauh ke hadapan akan kesan jangka masa panjang kualiti buku-buku yang diterbitkan sekarang.

Apa jenis buku yang dikeluarkan oleh jabatan editorial hari ini, jenis manuskrip seperti itulah besok yang akan diterimanya daripada penulisnya.

Apa yang ditanam hari ini, itulah yang dituai hari esok....

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, April 05, 2007

Menulis dan Menerbitkan Buku Motivasi Untuk Lelaki

Apabila membeli buku-buku motivasi, pembaca lelaki dan perempuan mempunyai pilihan yang tidak semestinya serupa.

Lelaki memilih buku-buku panduan bagaimana mereka boleh naik lebih tinggi di tempat kerjanya, ataupun dalam profesion yang mereka gulati.

Itulah sebabnya buku panduan naik pangkat ini menggunakan ikon lelaki! Disebabkan memang buku motivasi jenis ini lebih banyak dibeli oleh lelaki.

Kita sedang mencari lebih banyak penulis yang dapat menghasilkan buku-buku motivasi bagi golongan lelaki profesional.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, April 04, 2007

Buku Tak Laku: Sudah Rugi Bertambah Rugi

Jangan cetak buku banyak-banyak apabila judul buku itu 'baru', orang lain tidak pernah buat, ataupun pengarang buku itu belum terkenal.

Katakanlah judul itu adalah PANDUAN MEMBUAT TEMPE KOMERSIAL. Saudara tidak tahu apakah buku seperti itu banyak pembelinya ataupun tidak. Pengarangnya pula entah siapa, tidak ada siapa yang kenal dalam industri tempe, namanya pula pelik, Kang Kingkong.

Jangan cetak buku seperti itu lebih daripada 2,000 naskhah. Lebih baik, cetak 1,500 naskhah sahaja, ataupun kurang daripada itu.

Jika buku itu cuma laku 500 naskhah, ini bererti ada 1,500 naskhah berlonggok dalam setor. Sudahlah saudara rugi kerana buku tidak dapat dijual, oleh itu modal pun hangus. Sudah jatuh, ditimpa tangga...

Daripada segi akaunting pula, buku dalam setor adalah aset syarikat, oleh itu ia dikenakan cukai oleh LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri). Memang tidak masuk akal. Patutkah buku tak laku dikenakan cukai pendapatan! Tetapi itulah realiti.

Pening.... Pening....

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, March 14, 2007

PTS: Manuskrip Sudah Mula Diedit, Mengapa Perjanjian Penerbitan Belum Ditandatangani

Cara yang paling baik menguruskan proses penerbitan sesebuah manuskrip adalah:

Manuskrip diterima daripada penulis, dibaca, dinilai, disetujui akan diterbitkan, maklumkan hal itu kepada penulis, hantar dokumen perjanjian penerbitan kepada penulis, tunggu penulis tandatangani, barulah manskrip itu mula diedit, dan seterusnya diproses hingga dicetak dan masuk setor buku syarikat.

Tetapi di PTS, apa yang berlaku seringkali tidak seperti di atas tetapi begini:

Manuskrip diterima daripada penulis, dibaca, dinilai, disetujui akan diterbitkan, penulis dimaklumkan akan hal itu, manuskrip diedit, dilayout, kemudian barulah dokumen perjanjian penerbitan dihantar kepada penulis supaya ditandatangani.

Mengapa begitu lambat?

Jawapannya, kadang-kadang, jabatan editorial tidak dapat membuat keputusan muktamad apa judul yang akan digunakan bagi buku itu, sampai terpaksa meminta idea dan pandangan daripada Pengurus Pemasaran, malah meminta idea Ketua Eksekutif PTS, ada masanya sampai Presiden PTS sendiri ikut membantu editor mencari tajuk itu (judul novel jibunsyi KAWAN dicipta leh Presiden PTS).

Selagi judul buku itu tidak ditetapkan, bagaimana pula dokumen perjanjian itu hendak ditandatangni!

Hmm... susahnya mencari judul!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, February 28, 2007

Panduan Menerbitkan Buku Sastera Remaja Awal (1)

Statistik jualan buku sastera remaja yang ada pada kita menunjukkan sektor in sedang berkembang dengan pesat. Kita mengajak rakan-rakan penerbit supaya masuk sektor ini sekarang, sementara trend sedang menaik.

Setiap genre buku mempunyai logik angkanya sendiri. Penerbit baru perlu sentiasa ingat fakta ini.

Bisnes menerbitkan dan menjual buku sastera dewasa tidak serupa dengan menerbitkan dan menjual buku sastera remaja awal. Remaja awal adalah antara 8 - 12 tahun.

(1) Sebagaimana dengan buku kanak-kanak, buku remaja awal dibeli oleh ibu bapa, dan dibaca oleh anak-anak. Jadi, yang membeli orang lain, yang membaca orang lain. Buku sastera dewasa dibeli dan dibaca oleh orang yang sama.

(2) Orang yang paling penting membuat keputusan ke atas buku untuk bacaan remaja awal adalah ibu, bukan bapa. Ibu-ibu lebih besar peranannya memilih buku-buku apa yang anak-anak mereka boleh baca dan tidak boleh baca.

(3) Isi kandungan buku-buku itu mesti mengambil kira apa yang ibu-ibu mahu.

(4) Wajah kulit buku-buku itu juga perlu mengambil kira bias dan citarasa ibu-ibu. Kulit yang 'brutal' tidak disukai oleh ibu-ibu. Jadi, kulit buku remaja awal mesti disukai oleh ibu-ibu dan juga si anak remaja awal.

(5) Remaja awal pergi ke kedai buku ditemani oleh ibu bapa mereka, oleh itu proses pembelian buku-buku bacaan remaja awal amat dipengaruhi oleh sikap ibu bapa terhadap buku yang dipilih oleh anak mereka.

(6) Budaya membawa anak-anak masuk kedai buku adalah budaya kelas menengah di bandar-bandar utama. Hanya ibu bapa yang berpelajaran mempunyai budaya membelikan buku-buku sastera remaja untuk anak-anak remaja mereka. Inilah faktor yang menyebabkan buku remaja laku di bandar-bandar utama, manakala ia sukar dijual di luar bandar utama.

(7) Citarasa kelas menengah di bandar-bandar utama tentang wajah kulit buku tidak serupa dengan citarasa kelas rendah. Wajah kulit buku untuk mereka perlu lebih cantik, lebih urban, lebih tinggi taraf seninya.

Masuklah sektor ini sekarang. Kata pepatah orang bisnes: Ketuklah besi sementara ia masih panas.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, February 24, 2007

Menentukan Jumlah Cetakan Pertama

Nota: Entri ini ditulis bagi menjawab pertanyaan MBA-san.

Apabila saudara hendak menerbitkan buku-buku untuk jualan dalam kedai-kedai buku, berikut adalah panduan umum, tetapi tidak termasuk novel cinta popular.

(a) 1500 naskhah
Jumlah ini sesuai bagi buku-buku semi-akademik dan profesional yang dijual pada harga lebih RM20.

(b) 2000 naskhah
Jumlah ini sesuai bagi buku-buku bacaan umum yang dijual antara RM16 - RM19.

(c) 3000 naskhah
Jumlah ini sesuai bagi cetakan pertama buku karangan penulis yang sudah terbukti buku-bukunya mudah dijual sebab beliau mempunyai peminat yang ramai. Termasuk dalam kategori ini adalah buku sastera remaja.

Cetakan pertama adalah ujian bagi mengetahui apakah judul itu laku dijual. Jikalau terbukti laku, tiada masalah mengulangcetak judul itu. Jikalau tidak berapa laku, jumlah yang kecil itu adalah cara menguruskan risiko.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, February 23, 2007

Pasaran Buku Sastera Remaja Awal dan Remaja Sedang Mengalami Permulaan Boom!

Kita pernah menyaksikan peristiwa ini:

Dua orang suami isteri dari Sarawak berdiri dalam sebuah kedai buku elit, di depan rak sastera remaja PTS. Si ayah memilih buku-buku, manakala isterinya bercakap dalam telefon (kita yakin beliau bercakap dengan anaknya).

Si suami menunjukkan lepas satu buku, satu buku kepada isterinya.

Si isteri membacakan judul-judul buku itu ke dalam telefon. "Matahara," baca si isteri.

"Sudah ada, bang," kata si isteri kepada suaminya. Si suami menunjukkan buku lain pula.

"Irfan," baca si isteri ke dalam telefon.

"Sudah ada, bang," kata si isteri kepada suaminya. Si suami menunjukkan buku lain pula.

"Cili Padi," baca si isteri ke dalam telefon.

"Belum ada, bang," kata si isteri kepada suaminya. Si suami menunjukkan buku lain pula.

Begitulah kedua-dua ibu bapa dari Sarawak itu membelikan buku-buku sastera remaja untuk anaknya yang tidak ikut datang ke Kuala Lumpur.

Kita mengajak penerbit dan penulis buku-buku Melayu supaya masuk ke dalam sektor buku bacaan remaja awal dan remaja.

Sektor ini sedang mengalami 'boom' sebagaimana yang belum pernah kita lihat sebelum ini.

Nota: Adalah sungguh menghairankan, dalam masa kedai buku mengeluh judul sastera remaja tidak cukup banyak, buku-buku remaja DBP sedang dilelong...

Hairan... Hairan...

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Mengapa Buku Saudara Wajib Diulangcetak

Ada penerbit yang tidak ambil peduli apakah buku-bukunya diulangcetak ataupun tidak. Penerbit jabatan kerajaan, seperti DBP, adalah contoh penerbit yang mampu mempunyai sikap begitu disebabkan gaji mereka tidak ada kaitan dengan nasib buku yang mereka terbitkan.


Justeru, bagi penerbit yang diuruskan oleh pegawai-pegawai kerajaan, kalau buku saudara diulangcetak, itu luar biasa. Kalau buku saudara akhirnya dijual lelong, itu normal.


Bagi penerbit swasta, mereka tidak mahu menerbitkan buku saudara yang belum tentu apakah ia dapat diulangcetak ataupun tidak. Mereka hanya mahukan buku yang dapat diulangcetak, bukan sekali, tetapi berkali-kali.


Setiap judul baru adalah risiko. Penerbit tidak tahu apa nasib buku itu di dalam kedai buku, entah dibeli orang entah tidak.


Kos menerbitkan buku adalah paling tinggi bagi cetakan pertama. Kos-kos yang ditanggung oleh penerbit adalah:


(a) kos perolehan manuskrip
(b) kos mengedit
(c) kos layout
(d) kos ilustrasi
(e) kos desain kulit
(f) kos semakan pruf
(g) kos filem
(h) kos mencetak

Kos-kos ini menyebabkan risiko kerugian adalah amat tinggi bagi setiap cetakan pertama, manakala margin keuntungan pula amat kecil bagi cetakan pertama itu, malah mungkin 'cukup makan' sahaja.

Kecuali kos mencetak, semua 8 jenis kos di atas tidak ditanggung lagi apabila buku itu diulangcetak. Ini bermakna, margin keuntungan adalah lebih lebar bagi buku-buku ulangcetak.


Bagi setiap 10 judul yang saudara diterbitkan, 7 judul mesti dapat diulangcetak. Jika lebih rendah daripada itu, cash-flow syarikat akan tercekik, akibatnya syarikat akan tutup!


Inilah faktor mengapa PTS menjadi penerbit kuih tempah. Kita menjalankan kajian pasaran terlebih dahulu bagi mengurus risiko tersalah memilih judul buku yang hendak diterbitkan.


.


.


 


 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, February 22, 2007

Kerenah Menerbitkan Ayat Quran

Mana-mana penerbit yang menerbitkan kitab Quran amat beruntung.


Ciri utama buku 'evergreen' adalah fakta yang terkandung di dalamnya tidak berubah. Contoh buku evergreen yang paling sempurna di dunia ini adalah kitab Quran. Kandungannya tidak mengalami perubahan sama sekali.


Walau bagaimanapun, kerajaan Malaysia mengenakan lesen khas bagi menerbitkan dan mencetak Quran. Lesen itu dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ada bahagian khas yang bertanggungjawab menguruskan perkara ini.


Jika saudara tidak mempunyai lesen itu, saudara tidak boleh menerbitkan Quran, walaupun saudara seorang hafiz dan penulis khat yang pakar.


Jika menerbitkan Quran yang lengkap memerlukan lesen khas, menerbitkan buku-buku yang di dalamnya terkandung ayat-ayat Quran pun tidak kurang kerenahnya.


Saudara tidak boleh menerbitkan mana-mana surah dalam Quran tanpa mendapat kelulusan daripada KDN terlebih dahulu. Jadi, saudara tidak boleh menerbitkan Surah Yasin, ataupun kitab muqadam, tanpa kelulusan KDN.


Saudara mesti menghantar kopi pruf buku itu ke KDN bagi diperiksa dan diluluskan.


Berapa lama KDN mengambil masa memeriksa pruf yang saudara hantar itu, ermm.... (faham-fahamlah sahaja).


.


.


 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, February 18, 2007

Penerbit Buku Baru

Jika saudara hendak masuk dunia penerbitan buku, buku apakah yang sebaiknya saudara terbitkan pada peringkat awal bisnes saudara?


Pada fasa awal, masuklah ke dalam sektor yang sedang berkembang. Masuklah sektor buku yang mempunyai tanda-tanda ia sudah mula berkembang baik dan sudah banyak buku jenis itu diterbitkan oleh penerbit lain.


Contoh yang baik adalah sektor buku sastera remaja. Sektor ini sedang berkembang dengan baiknya. Masuklah sektor ini. Di kedai-kedai buku sudah ada rak-rak khusus yang mempamerkan buku sastera remaja, namun jumlahnya belum cukup banyak. Masih ada ruang bagi judul-judul baru.


Jangan terbitkan buku yang sektornya belum ada, ataupun sudah ada tetapi masih amat kecil. Maksudnya, buku jenis itu belum ada ataupun baru ada 1 ataupun 2 judul sahaja.


Contoh sektor yang belum wujud adalah sektor novel grafik Melayu. Belum ada rak yang dibuka khusus bagi mempamerkan novel-novel grafik sahaja dalam mana-mana kedai buku.


Kalau saudara masuk sektor novel grafik, buku saudara tidak ada tempat khusus bagi mempamerkannya, akibatnya buku saudara itu 'tidak berkawan'. Ia akan diletakkan entah di mana-mana, ikut suka hati pembantu kedai yang menyusunnya.


.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, February 17, 2007

Fenomena Digital-Devide dan Kesannya ke atas Nasib Penulis

Pada hari ini, apa yang disebut 'digital devide' terbukti bukan omong kosong lagi.


Jurang yang memisahkan antara mereka yang 'pandai IT' dengan mereka yang 'bodoh IT' bukan hantu momok ciptaan syarikat-syarikat gergasi yang menjual peralatan IT.


Paling bawah, akibat digital-devide, penulis yang tidak pandai menggunakan emel tercicir daripada persaingan mendapatkan penerbit yang baik.


Pada masa ini golongan penulis yang teruk terpukul adalah penulis-penulis generasi 'tua' yang tidak mengambil langkah belajar menggunakan internet.


Sebagai contoh, kolum sastera di akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia sudah beberapa kali menerbitkan artikel tentang isu editor muda lebih suka menerbitkan karya penulis-penulis muda sahaja.


Jika saudara berkesempatan pergi ke pejabat editor syarikat penerbit yang mesra IT, saudara tidak akan nampak lagi adanya manuskrip yang tebal-tebal di atas ataupun di bawah meja kecil editor itu. Yang ada hanyalah laptop.


Komunikasi profesional antara editor dengan penulis 100% menggunakan emel. Bagi penulis yang tidak mempunyai alamat emel, yang tidak mahu belajar masuk kafe internet, dengan sendirinya mereka terkucil ke tepi.


.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(17) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, February 14, 2007

Kesan daripada Perubahan Wajah Buku Remaja PTS

Apabila desain wajah buku-buku sastera remaja PTS ditukar daripada motif konvensional kepada motif 'urban', maka didapati jualan buku-buku itu dalam kedai-kedai buku elitis di kawasan urban telah melonjak.

Ia adalah bukti bahawa buku-buku sastera remaja terbitan PTS dibeli oleh anak-anak kelas menengah Melayu di bandar-bandar utama negara ini.

Ini juga membuktikan apabila pakejing sesuatu buku itu betul dengan selera dan citarasa audiens yang ditargetkan, maka buku Melayu itu dapat diterima oleh masyarakat Melayu urban yang mempunyai wang dan daya beli tinggi.

Sebelum ini anak-anak kelas menengah Melayu yang pandai membaca dalam bahasa Inggeris tidak mahu membaca buku-buku Melayu. Mereka mempunyai prejudis bahawa cerita-cerita dalam buku-buku Melayu tidak menarik.

Terbukti persepsi negatif mereka terhadap buku Melayu dapat diubah dengan menukar motif pada desain kulit buku.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(12) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, January 29, 2007

Kesan Harry Potter ke atas Rupa Bentuk Fizikal Buku Sastera Remaja

Buku-buku siri Harry Potter mengubah industri buku remaja dengan cara yang di luar dugaan.

Sebelum Harry Potter, buku remaja diterbitkan dalam bentuk nipis-nipis. Tetapi semenjak tercetusnya kegilaan pada buku Harry Potter, remaja tidak mahu lagi membaca buku yang nipis-nipis.

Remaja yang sudah membaca siri Harry Potter kini mahukan buku yang tebal dan mahal-mahal. Malah mereka mahukan buku mereka dalam bentuk kulit keras.

Dengan perkembangan ini, PTS sudah mengambil langkah menebalkan buku-buku sastera remajanya daripada sekitar 150 halaman menjadi lebih 200 halaman. Ketebalan ini akan terus dinaikkan secara berfasa-fasa sehingga mecapai lebih 400 halaman.

Trend buku sastera remaja yang tebal dan mahal diramalkan akan berkekalan.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, January 25, 2007

Panduan Mengenalpasti Pembaca Sasaran

Apabila saudara sudah yakin saudara mahu hidup sebagai penulis sepenuh masa, salah satu kemahiran yang saudara perlu pelajari adalah mengenalpasti siapa yang perlukan buku saudara.

Katakanlah, saudara menulis buku dengan tajuk ‚ÄúPendidikan Akhlak untuk Remaja‚ÄĚ. Jawab pertanyaan berikut:

1. Siapa yang berminat membeli buku saudara itu? Antaranya adalah pustakawan dan guru pusat sumber sekolah. Mereka membeli sahaja, tetapi tidak membacanya. Dalam kerjaya mereka, mereka itu tidak perlu membaca buku tentang pendidikan akhlak untuk remaja. Jumlah pustakawan dan guru pusat sumber adalah amat kecil di negara ini.

2. Siapa yang memerlukan isi kandungan buku saudara itu? Antaranya adalah ibu bapa, mereka yang menganjurkan kem-kem motivasi, kaunselor sekolah, dan pakar pendidikan. Walaupun isi kandungan buku saudara mungkin berguna kepada mereka, tetapi mereka mungkin tidak membelinya dan tidak membacanya. Pakar pendidikan yang bercakap Inggeris memandang rendah pada pakar-pakar tempatan, oleh itu mereka tidak membaca buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu. Ibu bapa yang mempunyai anak-anak remaja bermasalah tidak pergi ke kedai buku.

3. Siapa yang mahu membaca buku saudara itu? Sudah tentu remaja tidak mahu membaca buku tentang pendidikan akhlak untuk mereka.

Kemahiran mengenalpasti siapa yang mahu membeli dan siapa yang mahu membaca buku saudara dapat membantu saudara mengelakkan kesilapan memilih tema buku yang saudara tulis.

Semua buku ramai yang memerlukannya, tetapi orang yang memerlukannya belum tentu membelinya. Buku ‚ÄúHidup Sihat Tanpa Dadah‚ÄĚ diperlukan oleh semua orang. Tetapi orang yang sihat tidak membelinya. Penagih dadah pun tidak mahu membelinya! Kalau saudara menulis buku ini, jangan harapkan royalti yang banyak.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, January 23, 2007

Ilustrator Buku Filipina Dapat Kontrak Malaysia

Internet melanggar semua aturan urus niaga tradisional.

Pada masa ini, orang-orang Cina yang menjadi penerbit buku kanak-kanak di Kuala Lumpur dan Singapura sudah mula menggunakan khidmat pelukis-pelukis Filipina!

Mutu lukisan pelukis-pelukis Filipina adalah tinggi manakala yuran yang mereka kenakan adalah amat berpatutan. Disney USA juga sudah banyak menggunakan khidmat mereka.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(20) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, January 13, 2007

Buku Motivasi

Sejak 3 tahun yang lalu, masyarakat mula menikmati banyak buku-buku motivasi dan pembangunan diri dipamerkan di kedai-kedai buku.

Trend membaca buku-buku motivasi muncul selepas nama Dato' Dr. Fadhillah Kamsah menjadi popular melalui siaran radio dan televisyen. Trend itu terus meningkat apabila beliau mula menjadi lebih popular dengan menyampaikan ceramah-ceramah secara 'live' di berbagai jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta.

Ramai penulis buku motivasi ikut memasuki pasaran tetapi ramai juga yang bukunya tidak laris dijual. Puncanya adalah disebabkan mereka menulis dengan menggunakan gaya orang berceramah di mana dia banyak mengemukakan kritikan dan marah-marah kepada pembacanya. Lebih kurang gaya itu membawa maksud "orang lain semua tidak betul, dia satu orang yang betul".

Jika saudara hendak menjadi penulis buku-buku motivasi, saudara perlu menggunakan format seperti yang digunakan oleh Sdr. Ahmad Fadzli Yusof dengan siri Resipi Kejayaannya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Nasib Industri Penerbitan Buku

Pada masa ini industri penerbitan tidak didukung oleh dasar-dasar kerajaan. Ambil sebagai contoh kes SMIDEC (Perbadanan Kemajuan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia).


Kita pernah pergi ke SMIDEC bagi mengetahui apakah SMIDEC menawarkan sebarang bentuk sokongan dan dukungan kepada syarikat penerbitan seperti PTS. Tiga orang pegawai muda SMIDEC melayani kami.


Kami tunjukkan katalog buku-buku PTS dan mereka kelihatan sangat impres ada penerbit Melayu yang begitu genuin bisnesnya.


Mereka pun menyemak senarai jenis-jenis industri yang layak menerima dukungan SMIDEC.


Hasil semakan itu, ilek! Sah: Penerbitan buku tidak termasuk dalam senarai industri yang didukung oleh SMIDEC.


Pegawai itu kemudian memberitahu, selagi Bahagian Dasar di SMIDEC tidak memasukkan penerbitan buku ke dalam senarai itu, maka sampai bila-bila pun penerbit buku ilmu seperti PTS tidak layak menerima apa jua dukungan kerajaan.


Sungguh luar biasa, kilang-kilang yang membekalkan kerusi meja ke sekolah layak menerima dukungan SMIDEC. Penerbit buku yang membekalkan buku-buku ilmu ke perpustakaan sekolah tidak layak!


Syarikat-syarikat percetakan, layak. Penerbit buku macam PTS yang memberi kerja cetak-mencetak kepada pencetak, tidak layak!


.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 12, 2007

Ada-ada Saja: Editor Universiti Minta Royalti

Dalam Persidangan Penerbitan Ilmiah di Johor Bharu, seorang pembentang kertas kerja yang pernah mengedit buku rakan sejawatnya di sebuah universiti mengemukakan idea supaya:

(a) Nama editor dicetak pada kulit buku.

(b) Supaya penulis berkongsi royalti dengan editor bukunya.

Nota: Adalah menjadi amalan biasa bagi penulis yang benar-benar menghargai sumbangan editornya menuliskan penghargaannya itu dalam ruang 'Daripada Pengarang' bukunya.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 05, 2007

‘Printed Price’ dan Penipuan Penerbit

Istilah 'printed price' atau 'harga tercetak' adalah harga buku yang tercetak pada buku itu. Bukan harga yang ditulis tangan pada buku ataupun ditulis atas stiker dan ditampalkan pada buku.

Sebagai penulis saudara harus tahu implikasi sistem harga tercetak sebab ia ada kaitan dengan bagaimana royalti saudara dikira.

Semua harga buku PTS dicetak pada kulit belakang buku. Royalti saudara mungkin 7% daripada harga cetak. Jika harga cetak buku saudara adalah RM20, maka royalti saudara adalah RM1.40 setiap naskhah terjual.

Ada penerbit tidak mahu menggunakan sistem harga tercetak. Jadi saudara takkan tahu berapa harga buku saudara yang sebenar. Penerbit seperti itu boleh berdusta tentang kiraan royalti saudara.

Dia boleh kata royalti saudara 10%. Tetapi 10% daripada berapa RM? Bagaimana saudara hendak tahu berapa harga buku saudara dijualnya?

Kedai-kedai buku indie tidak suka apabila PTS mencetak harga buku terbitannya, sebab mereka tidak dapat hendak 'mark-up' atau naikkan harga buku itu kepada pembeli.

Kontraktor yang membekalkan buku kepada kerajaan pun tidak suka penerbit menggunakan sistem printed price sebab dia pun tidak dapat hendak mark-up harga buku-buku yang dibekalkan kepada kerajaan.

Yang paling suka dengan sistem harga tercetak adalah penulis!

Sistem harga tercetak boleh 'merugikan' penerbit dalam kes kontrak kerajaan. Buku yang dipilih mungkin terbitan 2005 (biasalah kerajaan lambat membuat keputusan). Buku itu edisi pertama, harganya RM20. Kontrak keluar pada tahun 2007. Buku itu sudah diulangcetak, edisi kedua, lebih tebal, oleh itu harga barunya RM22.

Tapi kontrak kerajaan hendak membeli edisi pertama. Buku itu sudah tidak ada dalam setor lagi! PTS terpaksa bekalkan buku edisi kedua dengan harga RM20 juga! Rugi RM2 setiap naskhah. Royalti penulis tetap dikira berdasarkan harga RM22! Dua kali rugi.

Meskipun banyak pihak tidak suka sistem harga tercetak, mengapakah PTS tetap memilih sistem itu?

Sebab PTS mahu mengamalkan amalan-amalan bisnes penerbitan buku yang digunapakai pada peringkat antarabangsa supaya para penulis berasa selamat menyerahkan karya mereka kepada PTS.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Menjual Buku Self-published

Adakah saudara bercadang menerbitkan sendiri buku saudara?

Berdasarkan apa yang kita perhatikan, hanya mereka yang terlibat dalam aktiviti berceramah kepada orang awam, ataupun mengajar agama, yang dapat menjual buku yang mereka tulis dan terbitkan sendiri.

Mereka menjual buku mereka kepada orang ramai yang datang mendengar ceramah mereka, ataupun kepada murid mereka.

Jika saudara bukan penceramah ataupun guru agama, jangan terbitkan buku saudara menggunakan teknologi konvensional. Cetak buku saudara menggunakan teknologi POD (publishing ondemand).

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(17) Diskusi Kuliah | Permalink

Pepatah Tamil: Satu Batang Pokok Getah Takkan Jadi Sebuah Estet

Pokok getah dan buku ada persamaan. Kedua-duanya adalah harta bernilai. Kedua-duanya mempunyai potensi menjadikan pemiliknya orang kaya.

Tetapi kalau saudara cuma ada satu batang pokok getah, saudara takkan jadi kaya. Begitu juga kalau saudara cuma menulis ataupun menerbitkan satu buku, saudara takkan jadi kaya.

Di PTS, kita tidak berminat dengan penulis yang cuma mahu menulis SATU buah buku. Dengan menyumbangkan SATU buah buku, saudara takkan dapat memperkayakan kepustakaan Melayu, ataupun mengkayakan PTS, apatah lagi mengkayakan diri saudara sendiri.

Tanamlah banyak-banyak pokok getah, barulah saudara menjadi towkay estet.

Tulislah banyak-banyak buku, barulah jumlah royalti terkumpul tahunan saudara menghasilkan cek besar!
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, January 03, 2007

Pasaran Fiksyen

Di seluruh dunia, 60% judul yang terjual adalah judul-judul fiksyen. Jadi, inilah sebabnya para penerbit berprestij pun melabur ke dalam pasaran ini dengan menubuhkan anak syarikat khusus supaya prestij syarikat induk kekal tidak tercalar.

Daripada 100% fiksyen yang terjual, 80% dibeli oleh pembaca perempuan.

Sumbangan wang perempuan kepada pasaran fiksyen menyebabkan para penerbit menggunakan cover novel yang ala-ala feminin, meskipun novel itu adalah untuk lelaki dan perempuan.

Sumber kita memberitahu 80% pembeli DaVinci Code di Malaysia adalah perempuan.

.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Memahami Pasaran Buku

Sudah natural, akan ada orang yang suka mendapatkan ilmu pengetahuan dengan membaca dan yang tidak suka membaca, sebaliknya suka belajar dengan cara menonton, ataupun mendengar ceramah ataupun berbincang.

Jadi, disebabkan memang akan sentiasa ada manusia yang suka membaca, maka pasaran buku akan sentiasa ada.

Dalam pasaran kelompok itu akan ada pelbagai sub-kelompok. Ada yang cuma suka membaca cerita sahaja, manakala buku-buku lain tidak disukainya. Ada yang cuma suka membaca buku ilmu sahaja, tidak suka membaca novel.

Dalam sub-kelompok, ada pula sub-sub-kelompok. Dalam sub-kelompok pembaca novel, mereka bukan membaca "semua jenis novel" sebaliknya mereka hanya suka membaca novel jenis tertentu sahaja, sebagai contoh, ada kelompok yang suka membaca novel cinta sahaja, ataupun novel sastera sahaja, ataupun novel perang, sains, thriller, sejarah dan lain-lain.

Sebagai penulis, jangan menulis untuk "semua orang" disebabkan bukan semua orang meminati "semua buku". Memang akan sentiasa ada orang yang tidak suka membaca buku. Di kalangan yang suka membaca, mereka bukan suka membaca semua jenis buku.

Kenal pasti sub-sub-kelompok yang saudara targetkan bagi buku saudara, dan tulislah buku untuk target itu sahaja.

Bak kata pepatah: Burung suka makan ulat. Saudara suka makan epal. Jangan beri epal kepada burung itu, dia mahukan ulat.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Novel Fantasi yang Baik

Apabila saudara menulis buku-buku cerita fantasi untuk bacaan remaja dan kanak-kanak, ambil kira perkara-perkara di bawah dengan serius:

(1) Cerita dan watak-watak dalam buku itu dapat diterbitkan bersiri-siri sebab kanak-kanak dan awal remaja mahukan buku-buku yang terbit bersiri-siri.

(2) Cerita itu sesuai diterbitkan semula dalam bentuk buku ataupun majalah komik. Komik mesti terbit bersiri-siri.

(3) Cerita itu sesuai dianimasikan. Siri kartun TV mesti terbit bersiri-siri.

(4) Cerita itu sesuai dijadikan game komputer.

Dengan rancangan teliti seperti itu barulah sumber royalti saudara menjadi besar, banyak dan berpanjangan.

Ini juga menghendaki saudara memilih penerbit yang mempunyai komitmen bagi menerbitkan seluruh siri karya saudara itu dan juga pandai mempelbagaikan penerbitan versi karya saudara.

Sebelum memilih penerbit, tanya penerbit itu:

(a) Jika saudara menulis 50 siri cerita fantasi, adakah dia akan menerbitkan semuanya.

(b) Adakah penerbit itu akan menerbitkan edisi komik ataupun animasi ataupun game bagi siri saudara itu?

Ingat pesanan Sifu: Jangan fikir buku. Fikirkan kejayaan buku!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Novel untuk Drama TV

Novel yang sesuai difilemkan dan novel yang sesuai untuk drama TV adalah berbeza.

TV adalah hiburan sekeluarga. Ini lebih-lebih lagi bagi golongan yang hanya mampu membeli sebuah TV untuk seisi rumah.

Drama TV yang popular adalah drama TV yang ceritanya dapat dikongsi oleh seisi keluarga. Ertinya dalam drama itu ada watak yang sesuai dengan anak-anak dan juga ibu bapa.

Novel-novel jibunsyi tidak sesuai difilemkan tetapi sesuai dijadikan drama TV kerana cerita-ceritanya adalah bertemakan kehidupan keluarga.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, January 02, 2007

Buku Tahan Lama dan Buku Evergreen

Para penerbit sentiasa mencari judul-judul buku yang mempunyai ciri tahan lama dalam pasaran dan buku-buku evergreen. Buku-buku jenis ini paling menguntungkan penerbit dan penulis.Kos menerbitkan buku adalah paling tinggi bagi cetakan pertama. Kos-kos yang ditanggung oleh penerbit adalah kos pracetak yang terdiri daripada (a) kos perolehan manuskrip, (b) kos mengedit, (c) kos layout, (d) kos ilustrasi, (e) kos desain kulit, (f) kos semakan pruf, dan (g) kos filem.


Kos-kos ini menyebabkan risiko kerugian adalah tinggi manakala margin keuntungan amat kecil bagi cetakan pertama. Semua kos ini tidak ditanggung lagi apabila buku itu diulangcetak.Ciri utama buku evergreen adalah fakta yang terkandung di dalamnya tidak berubah. Contoh buku evergreen yang paling sempurna adalah kitab Quran. Ia tidak mengalami perubahan sama sekali. Mana-mana penerbit yang menerbitkan Quran amat beruntung. Walau bagaimanapun, kerajaan mengenakan lesen khas bagi menerbitkan dan mencetak Quran.


Buku-buku agama adalah termasuk dalam senarai evergreen. Kitab-kitab karangan Imam Ghazali, Imam Shafie, Imam Malek, Syed Qutub, Hassan al-Bana, Hamka dan lain-lain masih dicetak dan diulangcetak sehingga hari ini.

Selain daripada buku-buku agama, buku-buku falsafah, sejarah, buku-buku cerita dan sastera juga termasuk dalam buku evergreen.

Sesetengah judul, walaupun bukan evergreen, tetapi ia dapat bertahan dalam pasaran selama bertahun-tahun sebelum buku itu dianggap 'out-of-date' atau 'ketinggalan zaman'.

Kamus-kamus termasuk dalam senarai buku tahan lama. Lazimnya kamus diulangcetak dengan tambahan-tambahan baru, setiap 5 tahun. Ini bermakna jikalau saudara mempunyai kamus, selama 5 tahun saudara terus menikmati royalti daripada kamus asal yang saudara susun itu. Setiap 5 tahun saudara perlu melakukan semakan bagi memastikan kamus itu mengandungi perkataan-perkataan yang baru dicipta ataupun perubahan makna yang berlaku pada perkataan-perkataan sedia ada.

Disebabkan kamus-kamus amat menguntungkan penerbit itulah sebabnya saudara dapat lihat semua penerbit cuba menerbitkan kamus masing-masing. Mereka sanggup membayar beribu-ribu ringgit kepada individu yang sanggup menyusun kamus bagi mereka. Kebanyakan daripada penyusun itu adalah individu-individu yang tidak pernah mendapat latihan dalam bidang perkamusan. Apa yang mereka lakukan adalah membeli beberapa buah kamus yang ada dalam pasaran dan menciplak kamus-kamus itu!

Buku-buku bidang ilmu di mana prinsip-prinsipnya bertahan lama juga termasuk dalam kategori ini. Ia dapat bertahan sehingga 10 ataupun 15 tahun. Buku-buku komunikasi, pengurusan, pemasaran, kejurujualan, psikologi, pendidikan kanak-kanak, kreativiti dan motivasi adalah termasuk dalam ketegori ini.

Buku-buku evergreen dan buku-buku tahan lama adalah sumber royalti yang berpanjangan bagi penulis, oleh sebab itu, jikalau saudara hendak hidup dengan menjadi penulis sepenuh masa, saudara perlu mempunyai judul-judul evergreen dalam senarai karya saudara. Judul-judul evergreen hanya ditulis sekali, kemudian ia diulangcetak berkali-kali, malah bertahun-tahun.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, December 31, 2006

Teknologi POD untuk Pengarang Self-published

Apabila saudara mahu menerbitkan sendiri buku saudara disebabkan memang tidak ada penerbit yang mahu menerbitkannya, apakah yang sebaiknya saudara lakukan?

Pada masa ini teknologi POD (publishing-on-demand) sudah ada, oleh itu gunakan teknologi POD bagi buku yang amat terhad pasarannya, seperti buku puisi ataupun buku kreatif eksperimental.

Contoh buku POD adalah karya Sdr. Si Naga-Naga. Puan Nisah Haron juga menerbitkan buku puisinya menggunakan teknologi POD.

Dengan teknologi POD saudara dapat mencetak minimum 1 unit sahaja, ataupun 10 ataupun 20 unit. Wajah buku POD hampir 100% seperti buku konvensional. Hanya mata pakar buku yang dapat membezakan buku POD daripada buku konvensional.

Buat layout buku saudara, lengkap dengan cover bukunya. Pergi ke kedai cawangan DOCUPLAN ataupun mana-mana kedai fotokopi profesional yang ada dan mereka akan cetak buku saudara itu.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, December 28, 2006

Pakatan Bijak dalam Program Mentor-Mentee SifuPTS

Istilah "pakatan bijak" ini dipinjam daripada Tuan Rastom.


Masuklah program mentor-mentee SifuPTS. Banyak manfaatnya kepada kedua-dua belah pihak, baik mentor mahupun mentee.


Semua bengkel dan kursus yang saudara ikuti diberi PERCUMA! Bukan itu sahaja, saudara tidak dikehendaki menandatangani kontrak tidak boleh menulis untuk penerbit lain. Kalau selepas kursus saudara hendak menulis untuk penerbit lain, boleh, tidak ada sekatan.


Bagi pihak PTS, melalui program mentor-mentee ini, kita mendapat manuskrip yang betul-betul macam yang dimahukan oleh PTS sebab dalam program ini mentee-mentee dilatih menulis buku yang mudah diedit dan dipasarkan. Jadi tidak timbul masalah beban editing yang berat ataupun buku tidak laku dijual. Kualiti juga lebih terjamin.


Bagi pihak mentee, apa yang ditulis sudah tentu (dengan izin Allah) diterbitkan oleh PTS. Tidak timbul isu buku sudah siap saudara tulis tetapi tidak diterima oleh penerbit.


Macam ini punya baik program, jangan saudara lepaskan!


.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, December 27, 2006

Mencari Penulis Novel Cinta Edisi 2.0

Apabila saudara mahu menulis novel cinta, perlukah saudara membaca banyak novel-novel cinta edisi 1.0 yang ada dalam pasaran, terutamanya karya ratu-ratu novel cinta seperti Fauziah Ashari dan Norhayati Berahim?

Puluhan novelis cinta angkatan terbaru hari ini gagal melahirkan novel-novel cinta edisi 2.0 disebabkan mereka terlalu banyak membaca karya edisi 1.0 yang menyebabkan plot cerita dan gaya bahasanya dipengaruhi oleh karya yang mereka baca.

Bagi mendapatkan novel cinta 2.0, ada 4 strategi yang dapat dilakukan:

(1) Dapatkan penulis lelaki bagi menghasilkan novel cinta sub-genre war-romance, historical-romance, thriller-romance dan yang seumpama itu. Penulis lelaki cenderung dapat menghasilkan sub-genre ini.

(2) Dapatkan penulis perempuan yang mempunyai ciri (a) Tidak pernah membaca novel cinta sebelumnya, dan (b) Usianya sudah lebih 30 tahun.

(3) Gubal "piagam ISO in-house" bagi novel cinta yang dicari supaya dijadikan panduan oleh penulis.

Ketiga-tiga strategi di atas digunakan oleh PTS.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(15) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, December 26, 2006

Bagaimana PTS akan Memasarkan Novel Jibunsyi ke TV

Sasaran PTS adalah menerbitkan 50 novel jibunsyi dalam tempoh 2 tahun. Mengapa?


(1) Jibunsyi PTS ditulis dengan mengambil kira ciri-ciri yang semestinya ada pada novel yang mudah diadaptasikan menjadi drama TV.


(2) PTS akan mengambil tanggungjawab bagi pihak penulis jibunsyi, mempromosikan novel-novel itu supaya diadaptasikan menjadi siri TV.


(3) Dalam 1 tahun ada 52 minggu. Kalau 1 minggu 1 drama, penerbit memerlukan 52 skrip jibunsyi, tetapi ada musim-musim tertentu di mana drama yang disiarkan oleh stesen TV adalah sesuai dengan tema bermusim, seperti minggu hari raya aidilfitri, minggu hari raya aidil adha, minggu hari merdeka, minggu hari pahlawan dan lain-lain. Ini bermakna jumlah skrip drama umum yang diperlukan tidak sampai 52 jumlahnya. Jumlah 50 jibunsyi itu mengambil kira mungkin ada jibunsyi yang tidak terpilih.


Dengan target seperti inilah maka penulisan novel jibunsyi PTS dilakukan dengan menggunakan formula dan format yang tersendiri, supaya semua jibunsyi PTS akhirnya dapat meyakinkan penerbit drama di stesen TV bahawa novel-novel itu dapat menjadi siri kegemaran penonton.


.


.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, December 23, 2006

Buku Terbitan PTS Professional Sdn. Bhd. Diiktiraf oleh Universiti

Menerbitkan buku amat 'mudah'. Itulah sebabnya setiap tahun banyak penerbit baru muncul dalam pasaran. Orang yang tidak tahu menahu tentang bisnes buku pun boleh jadi penerbit buku.

Apabila saudara menerbitkan sendiri buku saudara, istilahnya 'self-publish author'. Dalam bahasa baisa 'pengarang terbit-sendiri'.

Banyak pensyarah universiti menjadi penerbit buku sendiri dengan tujuan menjual-paksa buku mereka kepada student masing-masing. Lazimnya pensyarah dapat untung sebab mereka mempunyai pasaran terjamin!

Tujuan kedua adalah bagi mengisi borang naik pangkat, sebab jika tidak ada buku, amat susah hendak naik pangkat di universiti. Disebabkan buku mereka tidak dapat diterbitkan dengan penerbit universiti ataupun penerbit profesional, maka jalan singkatnya adalah menerbitkannya sendiri.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempunyai peraturan hanya buku yang diterbitkan oleh penerbit kredibel sahaja layak dipertimbangkan bagi tujuan naik pangkat. Syukur, PTS Professional Sdn. Bhd. termasuk dalam senarai penerbit kredibel itu.

Banyak pensyarah dapat naik menjadi pensyarah kanan, ataupun seterusnya menjadi profesor madya, malah beberapa orang menjadi profesor penuh, berkat mereka mempunyai buku yang diterbitkan oleh PTS.

Jika saudara bukan pensyarah universiti, saudara tidak mempunyai pasaran terjamin. Oleh itu, fikir banyak kali sebelum mengeluarkan duit beribu-ribu ringgit bagi mencetak buku saudara dan menjadi pengarang self-publish sebab kita belum berjumpa dengan pengarang self-publish yang dapat balik modalnya.

Banyak yang mengaku buku mereka laku sekian ribu, sekian ribu. Tapi itu cerita dari yang empunya buku, bukan dari kedai buku.

.
.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, December 22, 2006

Orang Baru: Belajar Berkawan, Jangan Belajar Bersaing

Saudara hendak menerbitkan siri buku komik cerita agama untuk bacaan kanak-kanak yang dapat dijual dengan harga RM1.90sen.

Setakat yang saudara tahu, buku seperti itu banyak dalam pasaran tetapi kualiti lukisannya tidak bagus. Jadi saudara hendak menerbitkan buku-buku seperti itu dengan lukisan yang lebih bagus.

Ya tak ya, ada penulis dan pelukis yang datang membawa manuskrip seperti yang saudara mahu. Memang cerita dan lukisannya bagus.

Saudara pun segera membayar tunai RM7 ribu bagi membeli hakcipta 7 siri itu. Memang murah.

Dua tahun kemudian siri itu masih tidak dapat saudara terbitkan. Mengapa? Sebab saudara tidak cukup modal bagi mencetak 10 ribu naskhah bagi setiap siri (10,000 X 7 siri = 70 ribu naskhah semuanya). Kalau tidak dicetak sebanyak itu, kos cetaknya naik, oleh itu tidak dapat hendak dijual pada harga RM1.90 sen satu.

Maklumat adalah penting dalam bisnes. Dapatkan maklumat yang betul sebelum membuat keputusan.

Dari manakah saudara boleh mendapatkan maklumat bisnes? Tentulah daripada orang-orang bisnes.

Orang baru tidak mempunyai banyak maklumat. Orang lama banyak maklumat. Belajar merendah diri kepada orang lama. Selalu tabik-tabik. Ke mana pergi, banyakkan menanam budi. Dalam bisnes, kawan tolong kawan.

Belajar berkawan. Jangan bersaing.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, December 21, 2006

BMBP: Idea Baru + Cerita Lama + Teknik Lama

Kejatuhan pesat angka jualan novel-novel cinta saat ini (2006: 33%) dikaitkan dengan rasa bosan pembaca yang sudah kenyang dengan 'isi cerita yang serupa'.

Pada saat yang sama, siri TV yang dikatakan 'bodoh lagi membodohkan' berjudul BAWANG MERAH BAWANG PUTIH (BMBP) menerima sambutan panas.

Dua fenomena ini membuktikan peri pentingnya penerbit mencipta idea-idea baru dari masa ke masa.

Ada 3 unsur penting yang ada dalam sesebuah karya, baik siri TV mahupun buku, iaitu IDEA, CERITA, dan TEKNIK.

Siri BMBP menawarkan IDEA baru. Inilah X-factor yang mencipta kejayaan siri 'bodoh' itu.

Idea baru yang dikemukakan oleh BMBP adalah hantu yang cantik, ibu tiri yang cantik, saudara tiri yang cantik, rumah yang cantik, persekitaran yang cantik.

Selain idea, tidak ada apa-apa yang baru dalam BMBP. Tidak ada.

Tema BMBP adalah tema lama, yakni 'baik lawan jahat'. Judulnya pun judul lama! Cerita BMBP itu sendiri cerita lama. Teknik penceritaan yang digunakan pun adalah teknik-teknik lama.

Kemeruduman pasaran novel cinta hari ini menandakan sudah sampai masanya penerbit sastera popular mencipta IDEA baru.

Bagi industri novel cinta, lupakan buku baru, lupakan cerita baru, lupakan penulis baru. Kata pepatah orang putih, jangan ditendang lagi kuda mati itu, ia tidak akan mahu bangun!

Yang amat diperlukan oleh sektor sastera popular saat ini adalah IDEA baru. Kuda baru.

Bagi mendapatkan idea-idea baru, mungkin juga diperlukan pemain-pemain baru dalam sektor novel popular Melayu. Termasuk dalam 'pemain baru' adalah penerbit, para pengurus dan para penulis baru.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, December 20, 2006

Pasaran Buku Budak Lelaki

Banyak orang percaya budak lelaki tidak suka membaca buku sebab mereka lebih berminat dengan TV, VCD dan PS. Pendapat seperti ini adalah pendapat mereka yang tidak terlibat secara aktif dalam industri penerbitan buku.

Dalam dunia ini, memang ada orang yang suka membaca buku, dan memang ada orang yang suka melakukan aktiviti-aktiviti lain, seperti menonton, main bola, panjat gunung dan banyak lagi.

Orang yang suka membaca buku akan tetap suka membaca buku, walaupun ada aktiviti-aktiviti lain. Orang-orang yang beginilah yang menjadi target penerbit buku.

Jadi jangan khuatir! Tulislah buku-buku untuk pasaran budak lelaki. Kita bukan bersaing dengan TV, VCD ataupun PS.

Isunya sekarang, buku Melayu untuk budak lelaki memang boleh dikatakan 'tidak ada'. Itulah sebabnya PTS akan masuk sektor buku fiksyen fantasi.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, November 29, 2006

Wakil PTS ke Bangkok

Pagi ini PTS menghantar 2 orang pegawai tingginya, En. Arief Rahmad (Presiden PTS) dan En Nazrul Samsudin (Pengurus PTS Pro merangkap pegawai undang-undang PTS), ke Bangkok, bagi mengadakan perbincangan pelesenan hakcipta dengan Tuttle Mori.


Cawangan Tuttle Mori (Bangkok) adalah agen foreign rights terbesar di Asia bagi buku kanak-kanak.


Nota: Kota Bangkok adalah hub foreign rights bagi rantau ASEAN. Justeru penerbit Malaysia yang berminat mengekspot lesen buku-bukunya ke pasaran global sebaiknya melalui Bangkok.

.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(15) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, October 24, 2006

Sukarnya Mengubah Persepsi Orang Kedai Buku

Selepas 6 tahun bermain di pasaran, PTS yang mula dengan menerbitkan buku-buku motivasi sekarang sudah menerbitkan banyak kategori buku, tetapi sehingga hari ini PTS masih dianggap sebagai penerbit buku-buku motivasi.

Jika saudara baru hendak menceburkan diri ke dalam bisnes penerbitan buku, barangkali ada manfaatnya saudara membuat ketetapan apakah saudara hendak fokus kepada 1 kategori buku sahaja sewaktu memulakan bisnes saudara, ataupun saudara mahu menerbitkan pelbagai kategori buku sejak dari awal lagi.

Pengalaman PTS mungkin ada manfaatnya kepada saudara yang baru menceburi bidang penerbitan.

PTS memulakan bisnes dengan menerbitkan lebih 40 judul pelbagai buku motivasi dan pembangunan diri. Kemudian PTS mula menerbitkan kategori-kategori baru, yakni kategori buku-buku akademik dan profesional, kemudian kategori buku kanak-kanak dan fiksyen remaja.

Sehingga 3 bulan lalu, kejutan demi kejutan masih dialami oleh pegawai-pegawai pemasaran PTS. Hampir di semua kedai buku, baik kedai buku elit mahupun kedai buku indie, baik di Lembah Kelang mahupun di negeri-negeri, staf kedai-kedai itu tidak tahu bahawa PTS sudah menerbitkan buku kanak-kanak dan fiksyen remaja!

Situasi ini mendorong pengurusan PTS mengambil langkah membeli beg-beg begasi beroda saiz kabin pesawat. Beg-beg itu diisi dengan buku-buku remaja dan kanak-kanak yang sudah diterbitkan oleh PTS. Maka sendatlah beg-beg itu oleh banyaknya judul yang sudah diterbitkan.

Kemudian, setiap pegawai pemasaran PTS diberikan beg berat itu seorang 1 beg. Mereka pun mengheret beg masing-masing pergi berjumpa dengan pengurus kedai-kedai itu lalu dibuka dan ditunjukkan isinya.

Pengurus kedai-kedai itu terkejut, barulah mereka tersedar rupa-rupanya sudah begitu banyak buku kanak-kanak dan fiksyen remaja yang diterbitkan oleh PTS.

Justeru, salah satu setback apabila saudara memulakan bisnes dengan menerbitkan 1 kategori buku sahaja adalah isu 'label'. Apabila saudara sudah dilabel sebagai 'penerbit buku motivasi' maka label itu sukar diubah.

Jika staf kedai buku tidak tahu PTS sudah menerbitkan buku-buku kategori baru, implikasinya amat serius:

(1) Disebabkan mereka tidak tahu PTS menerbitkan buku kanak-kanak dan fiksyen remaja, maka mereka tidak akan meng-order buku-buku itu. Ini menyebabkan di sesetengah kedai buku yang menjual buku PTS, tetapi tidak ada buku kanak-kanak dan fiksyen remaja PTS dijual di situ.

(2) Disebabkan staf yang bertugas menyusun buku dalam kedai itu tidak tahu kategori apa buku yang disusunnya, maka dia letakkan buku-buku itu ikut suka-suka hatinya sahaja. Di sesetengah kedai, fiksyen remaja PTS diletakkan di rak kanak-kanak bersama-sama buku-buku belajar ABC!

Bayangkanlah, PTS ONE sudah 2 tahun menerbitkan buku kanak-kanak dan fiksyen remaja. PTS juga menerbitkan katalog 3 kali setahun dan katalog itu dihantar ke semua kedai yang mempunyai akaun bisnes dengan PTS. PTS juga mempunyai katalog on-line. Namun, staf kedai-kedai elit pun tidak perasan kewujudan kategori itu. Mereka masih menganggap PTS hanya menerbikan buku motivasi.

Mulai bulan Julai 2006 lalu PTS telah meluncurkan 2 kategori baru lagi, iaitu produk ISLAMIKA dan produk FORTUNA. Pada tahun 2007 PTS akan meluncurkan 1 lagi produk baru iaitu produk LITERA.

Bagaimanakah nasib produk-produk baru itu nanti? Berapa tahun pula sebelum orang kedai perasan kewujudannya?

Pelajaran daripada pengalaman ini adalah: Menerbitkan buku adalah kerja mudah berbanding dengan kerja memasarkan dan menjual buku. (Tetapi, sebenarnya, lebih susah daripada itu semua adalah kerja mengutip hutang daripada kedai-kedai buku!)
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, October 16, 2006

Buku Melayu dan Segmentasi Pelanggan Stesen TV

Adakah buku-buku Melayu dibeli dan dibaca oleh Melayu dan bukan Melayu?

Dapatkah industri buku belajar dan mencontohi bagaimana stesen TV mengkategorikan penonton sasarannya?

Ambil sebagai contoh, Media Prima, syarikat induk yang memiliki 4 stesen TV, yakni TV3, TV9, V8 dan TV7 mengkhususkan kandungan siarannya berdasarkan kategori penonton seperti berikut:

(a) Kandungan TV3 adalah ditujukan untuk golongan Melayu urban yang nilai-nilai Melayu-Islamnyanya sudah cair.

(b) Kandungan siaran TV9 adalah ditujukan untuk Melayu urban yang nilai-nilai Melayu-Islamnyanya masih kuat.

(c) TV8 ditargetkan kepada golongan yang "very urban", tanpa mengira Melayu ataupun bukan Melayu. Justeru kita dapat melihat adanya program-program yang setanding dengan negara-negara maju daripada sudut citra moralnya.

(d) Kandungan NTV7 pula dikhususnya kepada isu-isu global.

Dalam industri buku Melayu, para penerbit tidak berfikir seperti syarikat TV. Ambil dalam kes memilih desain kulit buku: penerbit tidak membuat kajian perbezaan citarasa warna antara pelbagai kelompok pembeli buku.

Sesetengah warna dan desain hanya digemari oleh sesuatu kelompok tetapi tidak oleh kelompok lain. Ambil sebagai contoh, perempuan Cina tidak memakai baju yang diperbuat daripada kain bercorak bunga-bungaan, ataupun bahan yang kilat-milat, sedangkan perempuan Melayu amat menyukainya.

Perempuan Melayu kampung dan golongan pendapatan rendah di bandar suka bahan pakaian yang menggunakan warna-warna yang garang dan terang benderang, manakala wanita Melayu urban dan profesional tidak menyukainya.

Perempuan Melayu, baik yang urban, profesional ataupun kelas bawah, semua suka frill pada pakaian mereka, seperti sulaman ataupun labuci. Ini sama sekali tidak disukai oleh perempuan Cina.

Perempuan Cina suka kain yang menggunakan warna plain, kosong, tidak kilat, yakni lebih menyerupai warna kain pakaian lelaki. Hanya perempuan Cina tua yang memakai kain bunga-bunga, itu pun dalam warna kelam dan bunganya kecil-kecil!

Lelaki Melayu 'sanggup' memakai warna-warna perempuan: merah, kuning, biru, hijau yang terang dan garang, tetapi hanya apabila mereka memakai baju Melayu ataupun batik. Lelaki Cina tidak akan melakukan ini. (Cuba lihat towkay-towkay Cina yang memakai batik apabila naik ke Genting bagi masuk kasino, mereka memakai batik Indonesia!)

Bagaimanakah maklumat warna seperti ini dapat dimanfaatkan apabila penerbit hendak memilih pakeging buku-buku Melayu?

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(13) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, October 12, 2006

Pelancaran Buku Yang Sia-sia

Sebagai penerbit, patutkah saudara mengadakan majlis pelancaran buku yang saudara terbitkan?

Ambil kira perkara-perkara berikut:

1. Kalau majlis pelancaran itu serupa macam yang selalu diadakan, tidak ada bukti pelancaran seperti itu dapat menaikkan jualan buku.

2. Kalau saudara panggil menteri, ramai pemberita datang, tetapi yang keluar dalam media adalah cakap-cakap menteri berkenaan hal-hal politik si menteri. Berita itu cuma memberi satu ayat untuk saudara, lebih kurang begini bunyinya: "Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku bertajuk ....... di ibu negara malam tadi....."

3. Kos pelancaran sangat tinggi. Semakin besar VIP yang melancarkan buku itu, semakin besar perbelanjaannya.

4. Saudara fikir saudara hendak menumpang nama VIP itu dan menjadikan VIP itu duta buku saudara. Sebaliknya VIP itu yang 'hijack' majlis saudara dengan menjadikannya peluang dia mendapat liputan percuma dalam media!

Perkara (1) itu amat penting difikirkan. Tidak ada bukti bahawa pelancaran buku menaikkan jualan buku yang dilancarkan.

Kalau begitu mengapa PTS melancarkan buku-bukunya sekali ataupun 2 kali setahun?

PTS melancarkan buku-bukunya dengan kos yang amat rendah. Sebagai contoh, PTS menumpang kempen membaca yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, ataupun sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, dan lain-lain majlis yang dianjurkan oleh pihak lain.

Objektif PTS melancarkan bukunya bukanlah bagi menaikkan jualan buku itu secara khususnya, melainkan bagi memperkenalkan "PTS" sebagai suatu brand. Dalam erti kata lain, majlis pelancaran buku PTS adalah aktiviti branding.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(11) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 2 of 5 pages  <  1 2 3 4 >  Last »