
Berapa tahunkah buku saudara dapat dijual? 5 tahun? 10 tahun? 50 tahun?
Ada unsur-unsur yang menyebabkan hayat pasaran buku saudara panjang, amat panjang, ataupun... belum sempat terbit sudah menjadi buku usang, yakni
out-of-date.
Jika saudara menulis buku yang temanya
"Islam Hadhari", kita meramalkan buku saudara itu tidak panjang hayat pasarannya (dengan andaian ia laku dipasarkan
-lah).
Gosip yang kita dengar mengatakan apa-apa yang menggunakan perkataan "hadhari" tidak laku di kedai-kedai buku, ertinya buku itu tidak mempunyai hayat pasaran langsung.
Jika saudara menulis novel remaja yang temanya adalah perjuangan sekumpulan artis menjalani transformasi dalam siri
Akademi Fantasia, itu pun tidak panjang hayat pasarannya. Siri program itu nanti akan diganti dengan siri program baru.
"Islam Hadhari" dan
"Akademi Fantasia" adalah label-label yang
current, yang semasa, oleh itu ia bukan label-label evergreen.

Jika dalam novel remaja saudara itu terdapat mesej-mesej
emel, chat, SMS, Friendster, blog, dan yang serupa itu, ambil ingatan bahawa teknologi telekomunikasi adalah teknologi konsumer yang sangat cepat berubah dan menjadi
absolete, yakni usang.
Jika dalam buku yang saudara sedang tulis itu wataknya masih menggunakan buku
Yellow Pages, mesin
faks ataupun
PC, buku saudara sudah usang.
Banyak teknologi yang pada saat ini sangat baru dan terkini sebenarnya amat singkat usia teknologinya. Belum apa-apa sudah ada
gadget yang lebih baru, yang lebih 'in'.
Banyak tempat-tempat yang "cool" hari ini tidak tahan lama. Justeru apabila nama-nama hotel, disko, butik, resort dan lain-lain yang menjadi simbol status hari ini disebut dalam novel, novel saudara itu cepat usang. Apabila pengurusan hotel itu bertukar tangan, nama hotel itu mungkin ditukar juga.

Manusia pun begitu juga. Hati-hati apabila memilih nama-nama tokoh yang akan disebut dalam buku saudara. Pilih nama-nama yang evergreen sahaja. Contoh nama-nama tokoh evergreen adalah nama-nama ulama, tokoh sejarah, ahli sains terkemuka, pencipta teknologi dan yang seperti itu.
Semasa Tun Dr. Mahathir masih berkuasa, banyak buku-buku motivasi ditulis dengan menggunakan nama beliau sebagai tokoh role-model. Apabila beliau sudah hilang kuasa, tamatlah hayat pasaran buku-buku itu.
Banyak tokoh-tokoh yang amat popular hari ini, besok lusa sudah digantikan dengan tokoh popular terbaru. Akibatnya, buku-buku yang menggunakan nama-nama tokoh itu cepat menjadi buku usang.
Apabila saudara menulis buku-buku motivasi, jangan gunakan contoh daripada:
(i) Individu yang masih hidup: Buku saudara cepat menjadi
out-of-date, sebab dia itu mungkin bertukar jawatan, ataupun terguling daripada jawatannya sekarang, ataupun meninggal dunia. Ulama adalah kekecualian.
(ii) Individu yang usianya masih muda: Kita tidak tahu apa individu itu akan lakukan kemudian, maklumlah dia masih muda. Sebagai contoh, pasangan muda itu mungkin bercerai, ataupun si suami berpoligami. Banyak jutawan muda terbukti kemudian mereka itu bukan jutawan yang tulen, sebaliknya jutawan perasuah, kroni orang politik, dan jutawan penyamun tarbus!
(iii) Individu dari industri entertainment: Individu dari dunia hiburan tidak dianggap oleh orang yang kuat nilai-nilai agamanya sebagai orang yang layak dijadikan teladan, jadi buku saudara tidak sesuai bagi semua orang.
(iv) Individu orang kaya: Orang kaya tidak sesuai dijadikan pecontoh atau
role-model dalam buku-buku motivasi sebab tujuan buku motivasi bukan mendorong orang menjadi kaya. Kedua, orang kaya jarang tidak mempunyai cacat-cela yang serius pada budi pekerti mereka.
Semakin singkat hayat pasaran buku saudara, semakin pendeklah rezeki royalti saudara....
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006