Friday, September 02, 2005

Tema dan Subtema Novel Islami

Adakah isi kandungan novel Islami berbeza daripada kandungan novel-novel bukan Islami? Apakah novel Islami hanya boleh bercerita tentang tema-tema ketuhanan?


Persoalan ini dapat dijawab dengan mengemukakan persoalan apakah tema-tema, perkara dan isu-isu yang menjadi bahan cerita dalam surah Yusuf?




  1. Nabi Yusuf, ayahnya Nabi Yaakub, dan abangnya Nabi Bunyamin, serta Raja Mesir adalah watak-watak yang mewakili tema-tema ketuhanan dan kebaikan.




  2. Abang-abang Nabi Yusuf, Siti Zulaikha, dan suaminya Menteri Aziz adalah watak-watak yang mewakili tema-tema kejahatan.




Apakah jenis-jenis kejahatan yang dijadikan bahan cerita dalam surah Yusuf?




  1. Anak-anak durhaka.




  2. Cemburu adik-beradik.




  3. Pembunuhan adik beradik.




  4. Cinta terlarang.




  5. Isteri curang.




  6. Suami dayus.




  7. Pendustaan, tipu helah.




Dalam novel Islami, tema dan watak-watak jahat berfungsi sebagai bukti-bukti kepada sifat-sifat baik yang ada pada watak-watak baik. Nabi Yusuf terbukti seorang yang baik disebabkan terdapatnya watak-watak jahat seperti abang-abangnya, Siti Zulaikha dan suaminya, yang melakukan pelbagai kejahatan ke atas dirinya.


Nabi Yaakub terbukti baik disebabkan terdapatnya watak anak-anaknya yang jahat, yang sanggup membunuh adik bongsu mereka, Nabi Yusuf, tetapi Nabi Yaakub bersabar sehingga matanya buta disebabkan selalu menangisi perihal anak-anaknya.


Menteri Aziz seorang yang baik kerana mengambil Nabi Yusuf dari dalam telaga buruk lalu dijadikan anak angkat, tetapi dia kemudian terbukti jahat disebabkan walaupun dia sudah melihat sendiri bukti kejahatan Siti Zulaikha, tetapi bagi menjaga maruahnya sendiri sebagai suami, di hadapan raja dia memfitnah Nabi Yusuf sehingga Nabi Yusuf dipenjarakan.


Analisis ini membuktikan, novel Islami menggunakan tema-tema kebaikan dan kejahatan secara serentak bagi menghasilkan sebuah kisah yang indah.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Gaya Bahasa dalam Novel Islami

Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab tinggi dan bernilai sastera. Demikianlah ciri gaya bahasa pada surah Yusuf.

Ini membayangkan novel Islami dalam bahasa Melayu hendaklah ditulis menggunakan bahasa Melayu tinggi dan bernilai sastera.

Dalam surah Yusuf, penggunaan bahasa tinggi ini adalah tanpa kekecualian:

1. Seluruh teks naratif dalam surah Yusuf menggunakan bahasa Arab tinggi.

2. Semua dialog watak-watak dalam surah Yusuf menggunakan bahasa Arab tinggi.

3. Tanpa kekecualian, semua watak bercakap menggunakan bahasa Arab tinggi, sehingga apabila seorang bayi bercakap, bayi itu pun menggunakan bahasa Arab tinggi. Demikian pula, sewaktu Nabi Yusuf kecil, beliau bercakap kepada ayahnya dengan menggunakan bahasa Arab tinggi, dan begitu juga ayahnya, Nabi Yaakub.

Ini menggambarkan, dalam teori penulisan novel Islami, karya yang indah adalah karya yang dituliskan dalam bahasa tinggi. Prinsip ini menolak sudut pandangan aliran sastera realisme, yang mahu supaya karya sastera menggambarkan secara realistik apa yang sebenarnya berlaku dalam alam real.

Penggunaan bahasa tinggi sebagaimana yang ditunjukkan dalam surah Yusuf mempunyai kelebihannya:

1. Bahasa tinggi adalah lebih stabil. Perbendaharaan kata, makna dan nahunya tidak berubah-ubah. Ini menyebabkan karya yang ditulis menggunakan bahasa tinggi mempunyai hayat panjang. Bandingkan ini dengan gaya bahasa rendah, yakni bahasa basahan yang cepat berubah-ubah sehingga gaya yang kontemporari hari ini sudah terasa basi dalam tempoh dua tiga tahun kemudian. Ini menjadikan sesuatu karya itu dapat difahami dan dinikmati oleh beberapa generasi sebelum gaya bahasa itu dianggap klasik.

2. Bahasa tinggi difahami oleh penutur dalam wilayah yang lebih luas. Bahasa Melayu tinggi dan Bahasa Indonesia tinggi dapat difahami di seluruh wilayah nusantara. Bandingkan ini dengan bahasa Indonesia dialek Jakarta mahupun bahasa Melayu dialek Kuala Lumpur yang tidak dapat difahami oleh rakyat kedua-dua negara. Karya-karya yang ditulis dalam bahasa tinggi dapat dipasarkan dalam wilayah yang lebih luas.

Dalam konteks penggunaan bahasa tinggi, sekarang dapatlah kita fahami faktor yang menyebabkan filem-filem P.Ramlee yang diterbitkan 40 tahun dahulu masih dapat difahami dan dinikmati sehingga hari ini.

Walaupun banyak faktor lain pada filem-filem itu sudah ketinggalan zaman, tetapi disebabkan dialog dalam filem-filem P.Ramlee menggunakan bahasa Melayu tinggi, cerita dalam filem-filem itu masih terus berkomunikasi kepada penontonnya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, September 01, 2005

Watak dalam Novel Islami

Apabila saudara menulis novel Islami dengan menggunakan surah Yusuf sebagai panduan tentang apa yang dianjurkan dan apa yang tidak dianjurkankan, berikut adalah formula menghasilkan kisah yang indah daripada sudut watak-watak:




  1. Watak utama dalam surah Yusuf adalah Nabi Yusuf. Ini bermakna, watak utama novel Islami yang indah adalah seorang lelaki yang ideal. Seluruh surah Yusuf menceritakan perjalanan hidup Nabi Yusuf, sejak kecil sehingga dewasa.




  2. Watak utama kedua adalah Siti Zulaikha, seorang perempuan yang jelita, pintar, kaya, sudah berkahwin dan mempunyai kelemahan pada peribadinya, dalam kes Siti Zulaikha dia seorang isteri yang curang.




  3. Jumlah watak dalam surah Yusuf amat banyak dan terdiri daripada semua golongan – daripada bayi sehingga orang tua, daripada hamba sehingga raja, daripada orang baik sehingga orang jahat, baik lelaki mahupun perempuan.




  4. Jumlah watak jahat adalah lebih banyak daripada watak baik. Dalam kisah Nabi Yusuf watak-watak jahat termasuklah abang-abangnya yang mencemburuinya, cuba membunuhnya, juga merupakan anak-anak derhaka; Siti Zulaikha, seorang isteri curang, penggoda, pendusta dan pemfitnah terhadap Nabi Yusuf; Menteri Aziz, seorang lelaki yang baik hati tetapi bagi menjaga nama baik keluarganya dia mengambil keputusan berdusta kepada raja sehingga Nabi Yusuf dipenjarakan; wanita-wanita sahabat Siti Zulaikha dan lain-lain.




  5. Jumlah watak-watak baik dalam kisah Nabi Yusuf tidak ramai, iaitu beliau sendiri, abangnya Nabi Bunyamin, ibu bapanya dan Raja Mesir.




Dalam sejarah sastera Melayu, hanya Hikayat Hang Tuah yang mempunyai semua ciri-ciri seperti di atas, meskipun Hang Tuah bukanlah watak seideal Nabi Yusuf. Maka tidak hairanlah prestasi Hikayat Hang Tuah sebagai sebuah karya sastera mengatasi prestasi karya-karya lain.


Implikasi daripada analisis watak-watak dalam surah Yusuf membayangkan novel Islami tidak menerima watak-watak non-ideal, seperti anak derhaka, pelacur, penjudi, penghibur, perompak, pengkhianat, individu yang putus asa, dan lain-lain jenis manusia non-ideal dijadikan watak utama.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Teori ‘Apa itu Novel Islami’

Menulis cerita panjang, istilah sekarang 'novel', ada sunnahnya, baik dalam Quran mahupun hadith. Jadi menulis cerita adalah suatu aktiviti yang bernilai ibadah.Kitab Quran itu penuh dengan pelbagai cerita, daripada cerita yang ringkas-ringkas kepada cerita yang panjang. Ini bermakna cerita menjadi alat penting bagi menyampaikan mesej.

Nabi Muhammad, walaupun beliau tidak menulis cerita, tetapi beliau banyak menggunakan cerita bagi menyampaikan mesej sebagaimana yang terdapat dalam hadith-hadith beliau.

Cerita yang paling panjang dalam Quran adalah cerita Nabi Yusuf. Ada beberapa keistimewaan yang terdapat pada surah Yusuf. Puan Ainon Mohd. dan En. Faris Hasbullah pernah membuat kajian ke atas surah Yusuf dan berikut adalah beberapa penemuan mereka:

1.Jumlah ayat dalam surah Yusuf adalah 111 ayat. Dengan jumlah itu, dibandingkan dengan nabi-nabi lain, Nabi Yusuf adalah nabi yang paling banyak ayat berkenaan kisah hidupnya. Kisah Nabi Yusuf adalah kisah yang paling lengkap berkenaan sejarah hidup seorang nabi dalam Quran, di mana ia bermula semenjak Nabi Yusuf kecil sehinggalah beliau dewasa. Semua ayat berkenaan kisah hidup Nabi Yusuf terkumpul dalam satu surah khas, yakni surah Yusuf. Ini berbeza dengan ayat-ayat berkenaan kisah nabi-nabi lain yang tidak terkumpul dalam surah yang dinamai sempena nama masing-masing.

2.Cerita berkenaan Nabi Yusuf dimulakan dengan ayat prolog yang bermaksud, “Kami sampaikan kepadamu, wahai Muhammad, sebuah kisah yang paling indah.” Ayat ini membayangkan bahawa sebuah cerita yang indah itu mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang terdapat pada jalan cerita, perwatakan, gaya penceritaan dan gaya bahasa yang digunakan dalam surah Yusuf. Ayat ini juga membayangkan, apa yang ditunjukkan dalam surah Yusuf adalah dibenarkan dalam teori novel Islami, dan begitu pula sebaliknya, apa yang tidak ditunjukkan dalam surah Yusuf adalah tidak diterima sebagai unsur novel Islami.

3.Kisah indah Nabi Yusuf diturunkan kepada Nabi Muhammad sewaktu beliau masih berada di Mekah, yakni sebelum beliau berpindah ke Madinah. Sebagaimana yang diketahui, mesej dalam ayat-ayat Quran yang diturunkan di Mekah hanyalah berkenaan asas-asas sistem kepercayaan dalam Islam. Fakta bahawa surah Yusuf diturunkan di Mekah membayangkan bahawa dalam Islam, fungsi kisah-kisah indah, yakni fungsi novel Islami, adalah sebagai alat bagi mendorong pembaca ataupun pendengar supaya mengubah sistem kepercayaan dan keyakinan mereka.

Ringkasnya begini, apabila kita mahu seseorang itu mengubah sistem keyakinannya, ceritakan kepadabya sebuah kisah yang indah, yang relevan dengan konteks orang itu. Umpamanya, apabila kita mahu mendorong seseorang supaya jangan berputus asa, maka ceritakan kepadanya sebuah kisah yang relevan dengan dirinya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, June 02, 2005

Sastera Islami Menolak Hukum Karma

Hukum Karma adalah sebahagian daripada kepercayaan agama Hindu. Perkataan 'karma' bermakna 'tuhan'. Hukum karma adalah kepercayaan bahawa yang baik dibalas baik, yang jahat dibalas jahat, semasa seseorang itu masih hidup di dunia ini. Cerita Si Tanggang adalah contoh klasik pengaruh Hindu dalam sastera rakyat Melayu pra-Islam.


Ramai orang menyangka Hukum Karma serasi dengan Islam. Malah ramai orang yakin Hukum Karma adalah hukum yang memang wujud dan ia adalah hukum semula jadi ciptaan Allah.


Tema Hukum Karma popular dalam cerita-cerita, baik cerita-cerita yang diterbitkan dalam bentuk buku, bangsawan, drama TV, filem dan lain-lain. Malah, jikalau watak jahat tidak menerima hukuman jahat, ia dianggap tidak cocok dengan ajaran Islam.


Dalam surah Yusuf terdapat banyak watak jahat, namun tidak seorang pun daripada watak-watak jahat itu menerima hukuman atas kejahatan yang mereka lakukan. Malah Nabi Yusuf sendiri sebagai watak yang baik ditimpa banyak penderitaan.


Kisah Nabi Yusuf membayangkan bahawa dalam novel Islami, kejahatan tidak dianjurkan supaya dibayar dengan kejahatan juga. Malah dianjurkan supaya watak utama yang ideal itu harus mengalami pelbagai penderitaan yang berat.


Hukum Karma berbeza daripada ajaran Islam kerana bagi penganut Hindu, Hukum Karma itu hukum yang berlaku di atas dunia ini. Maka setiap musibah yang menimpa seseorang di dunia ini diyakini adalah balasan kepada kejahatan yang telah dilakukannya.


Mengikut fahaman Hindu, musibah adalah hukuman daripada Sang Karma (tuhan) disebabkan seseorang itu melakukan dosa.


Hukum Karma tidak serasi dengan konsep 'dugaan' dalam Islam. Dalam Islam salah satu fungsi musibah adalah sebagai dugaan, makanya orang-orang yang baik, malah nabi-nabi sekalipun ditimpa musibah. Tidak mungkin penderitaan yang dialami oleh nabi-nabi adalah hukuman dari Sang Karma.


Orang Islam menganut konsep 'dugaan', makanya kita dapat menerima realiti yang menunjukkan banyaknya orang-orang jahat tidak menerima sebarang hukuman di dunia ini, manakala kita menyaksikan banyaknya orang-orang baik ditimpa malang yang berat-berat.


Dalam Surah Yusuf, watak-watak jahat semuanya sedar akan dosa yang telah mereka lakukan dan insaf. Di atas segala apa yang telah mereka lakukan kepada Nabi Yusuf dan ayahnya, tidak seorang pun yang tidak dimaafkan. Ini membayangkan dalam novel Islami tidak ada unsur balas dendam oleh watak utama dan tidak ada unsur karma.


.


.


 


 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(6) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 5 of 5 pages « First  <  3 4 5