Thursday, October 09, 2008

Tip Survival Ilustrator Buku: Hakcipta Lukisan

Bilakah masanya seseorang pelukis itu lebih baik menyimpan hakcipta lukisannya yang digunakan sebagai ilustrasi buku?

Jikalau ukisan itu adalah untuk buku-buku teks sekolah, lebih baik dijual sahaja, sebab lukisan jenis itu tidak ada nilai jangka masa panjangnya. Silabus sekolah berubah-ubah, oleh itu lukisan tersebut tidak diperlukan lagi apabila silabus baru diperkenalkan. Lukisan dalam buku teks juga tidak mempunyai nilai seni.

Apabila pelukis diminta oleh penerbit supaya melukis ilustrasi buku-buku cerita rakyat dalam 4 warna untuk seluruh buku, lebih baik disimpan hakcipta lukisan itu.

Buku-buku cerita rakyat tidak dapat menjadi buku evergreen tanpa kualiti lukisan yang bernilai seni. Semakin cantik nilai lukisannya, semakin tinggi nilai buku-buku cerita rakyat itu. Maka semakin evergreen buku itu dalam pasaran.

Buku-buku evergreen adalah harta intelek yang tinggi nilainya. Ia diulangcetak bertahun-tahun, tahun demi tahun.

Sebelum mula melukis, tanya penerbit itu, apakah pelukis akan diberi pilihan sama ada menyimpan ataupun menjual hakciptanya.

Risiko pelukis ditipu sentiasa ada, walaupun penerbit itu memberitahu bahawa pelukis dibenarkan menyimpan hakciptanya. Selidiki dahulu rekod penerbit itu, apakah syarikat itu pernah menipu penulis ataupun pelukis-pelukis lain.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Komik & Ilustrasi
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, August 15, 2008

Hakcipta dan Hak Penerbitan: Mari Kita Buat Memorandum kepada DBP

Hakcipta dan Hak Penerbitan adalah dua konsep yang mesti difahami oleh penulis, demi kebaikan penulis sendiri. Banyak penulis mengalami kerugian besar disebabkan mereka tidak memahami kedua-dua konsep ini.

Banyak penulis hanya faham konsep 'hakcipta' sahaja. Malah ada Sasterawan Negara yang tidak faham wujudnya apa yang disebut 'hak penerbitan'. Akibatnya mereka menandatangani perjanjian penerbitan yang amat merugikan penulis.

Apabila saudara menulis buku, secara automatik hakcipta dan hak penerbitan buku itu adalah saudara punya. Sesiapa yang memiliki hakcipta karyanya, dia juga memiliki hak penerbitan karya itu.

Baik hakcipta mahupun hak penerbitan, kedua-dua boleh dipindahkan kepada pihak lain.

Jadi ada penulis yang menjual hakciptanya kepada penerbit. Sebagai contoh, novel Keris Mas Saudagar Besar dari Kuala Lumpur hakciptanya sudah dibeli oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jadi hakcipta karya itu sudah menjadi milik DBP. Hak penerbitannya juga dimiliki oleh DBP.

Implikasinya, jikalau besok novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur itu diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh sebuah penerbit Jepun, dan berjaya dijual 100 ribu naskhah di sana, semua royaltinya diambil oleh DBP. Hakcipta versi terjemahan itu pula dimiliki oleh pihak Jepun. Jika novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Hindi di India, hakcipta versi terjemahan itu dimiliki oleh pihak di India. Royaltinya juga diambil oleh DBP.

Bagi penulis yang tidak menjual hakcipta bukunya kepada DBP, apakah yang mengizinkan DBP menerbitkan buku saudara? Begini. Saudara telah memberikan kepada DBP hak menerbitkan, mencetak, menyimpan, mengedar dan menjual buku saudara. Sebagai imbalan, saudara dibayar sekian-sekian banyak royalti ataupun honorarium.

Isunya sekarang, berapa lama tempoh yang saudara benarkan DBP memegang hak menerbiktan buku saudara itu?

Cuba saudara baca balik klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani dengan DBP. Ada ataupun tidak dinyatakan tempoh hak penerbitan yang saudara berikan kepada DBP - selama 1 tahun, 5 tahun, 20 tahun, ataupun tanpa had waktu, ataupun 'selagi ada bulan dan matahari'?

Dalam tempoh hak penerbitan, walaupun hakcipta buku itu saudara punya, tetapi saudara tidak boleh menukar penerbit saudara. Dalam dokumen perjanjian penerbitan dengan DBP, tidak disebutkan had tempoh hak penerbitan itu. Ini bermakna, saudara menyerahkan hak penerbitan buku saudara itu kepada DBP sampai bila-bila!

Katakanlah, sudah 10 tahun DBP tidak mahu mengulangcetak buku saudara, namun saudara tidak boleh menyerahkan buku saudara itu kepada penerbit lain menerbitkan buku saudara itu. Yang berhak menerbitkan buku saudara adalah DBP sahaja. DBP mahu terbit semulakah, tidak mahu terbit semulakah, itu hak DBPlah. Inilah yang dialami oleh SN Dato' A Samad Said.

Memang hakcipta buku saudara masih saudara punya, tetapi jikalau saudara hendak menjual hakcipta buku itu kepada penerbit lain, penerbit itu tidak boleh menerbitkan buku itu, disebabkan hak penerbitannya masih dipegang oleh DBP.

Semua penulis DBP ambil perhatian perkara ini. Kita perlu berpakat membuat memorandum dan menyerahkannya kepada DBP meminta supaya DBP, sebagai sebuah penerbit milik penuh kerajaan, menyemak semula dokumen perjanjian penerbitan yang digunakannya sekarang, dan diselaraskan dengan hasrat kerajaan menggubal undang-undang harta intelektual, iaitu bagi melindungi harta intelektual rakyat negara ini.

DBP hendaklah membatalkan semua perjanjian penerbitan yang lama, yang tidak menyebut tempoh gunapakai dengan tepat. Mengikut peguam yang kita rujuk, sebarang perjanjian yang tidak menyebut dengan tepat tempoh gunapakai, maka perjanjian seperti itu tidak sah disebabkan ada unsur 'uncertainty' di dalamnya.

Kita perlu menyedarkan DBP bahawa ada klausa-klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan DBP sekarang yang tidak selaras dengan semangat undang-undang harta intelektual yang sudah lama dimaktubkan di negara kita yang tercinta ini.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Khutbah Jumaat PTS: Hakcipta Karya Imam-imam Terdahulu

Banyak buku agama klasik sudah menjadi harta awam disebabkan imam-imam yang mengarang kitab-kitab itu sudah lebih 50 tahun meninggal dunia. Ambil sebagai contoh, kitab Riadhus Solihin karya yang ditulis dalam bahasa Arab oleh Imam Nawawi sudah lama menjadi harta awam. Demikian pula halnya dengan beribu-ribu kitab-kitab klasik lain karya ulamak dahulu kala.

Disebabkan kitab-kitab itu sudah menjadi harta awam, maka:

1. Sesiapa sahaja boleh mencetak dan menjual karya original dalam bahasa Arab itu. Ia tidak melanggar undang-undang hakcipta.

Ingat, yang sudah menjadi harta awam adalah kitab original yang dalam bahasa Arab itu sahaja. Fakta ini sering kali tidak difahami oleh penulis dan penerbit di Malaysia. Jadi mereka mencuri-terbit edisi terjemahan kitab-kitab itu yang dihasilkan oleh ulamak-ulamak Indonesia.

2. Sesiapa sahaja boleh menterjemahkan karya original itu dan menerbitkannya, dan menjualnya.

Ia tidak melanggar undang-undang hakcipta. Ini yang dilakukan oleh 3 buah penerbit di Indonesia ke atas kitab Riadhus Solihin. Masing-masing menterjemah sendiri karya original Imam Nawawi itu lalu menerbitkan dan menjualnya.

Hakcipta terjemahan-terjemahan itu masih berkuat-kuasa, yakni belum menjadi harta awam. Justeru karya terjemahan itu semuanya dilindungi oleh undang-undang. Adalah salah apabila ada mana-mana penulis menyalin terjemahan itu dan menggunakanya di dalam bukunya tanpa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu.

3. Sesiapa sahaja boleh menerbitkan semula karya original Imam Nawani itu dalam apa-apa jua bentuk edisi. Ia tidak melanggar undang-undang hakcipta.

Ini yang dilakukan oleh PTS ISLAMIKA apabila kitab itu diterjemahkan semula menggunakan Bahasa Melayu kontemporari dan diterbitkan secara bersiri-siri

Terjemahan yang dilakukan oleh PTS dilakukan oleh sekumpulan penterjemah PTS. Mereka adalah pemilik hakcipta ke atas terjemahan yang mereka hasilkan, dan hak itu dilindungi oleh undang-undang hakcipta negara ini.

Saudara tidak boleh menyalin terjemahan yang dibuat oleh orang-orang lain sebab terjemahan itu dilindungi oleh undang-undang hak cipta.

Justeru, saudara tidak boleh menyalin terjemahan yang dibuat oleh ulamak Indonesia, ataupun menyalin terjemahan terbitan PTS, dan memasukkan salinan tejemahan itu dalam buku saudara, tanpa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pihak yang memiliki hakcipta terjemahan tersebut.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, August 09, 2008

Kontrak dengan Penerbit: Isu Karya Masa Depan

Banyak penulis tidak membaca dengan teliti dokumen perjanjian penerbitan yang mereka tandatangani.

Ada sekurang-kurangnya 2 buah penerbit yang menindas penulis kerana antara klausa-klausa yang terdapat dokumen perjanjian penerbitannya, terdapat suatu klausa yang mempunyai implikasi legal seperti berikut:

(i) Hakcipta karya itu diserahkan kepada si penerbit buat selama-lamanya.

(ii) Apa-apa juga karya lain yang akan ditulis oleh penulis itu pada masa depan, maka karya-karya itu tidak boleh diserahkan kepada penerbit lain, hanya boleh diserahkan kepada si penerbit itu sahaja.

Jika saudara sendiri, sebagai penerbit, bolehkah saudara meniru dasar bisnes seperti itu?

Ada peguam berpendapat, perkara (ii) menyebabkan perjanjian seperti itu dengan sendirinya BATAL dan tidak sah, berdasarkan hujah bahawa sesuatu kontrak itu tidak boleh dibuat ke atas benda-benda yang belum wujud. Justeru karya masa depan adalah benda-benda yang belum wujud.

Dalam kes si penerbit itu, dia juga tidak menetapkan had tempoh kuatkuasa perjanjian itu. Ini bermakna, semua perjanjian penerbitan yang selama ini ditandatangani oleh penerbit itu dengan para penulisnya adalah TIDAK SAH.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, July 25, 2008

Hakcipta Tulisan Khat dan Layout Ayat-ayat Quran

Ayat-ayat Quran adalah harta awam disebabkan ia datang daripada Allah. Oleh itu sesiapa sahaja boleh menuliskan, mencetak, mengedar dan menjual aya-ayat Quran dengan tidak melanggar undang-undang hakcipta.

TETAPI

1. Tulisan khat Quran yang dihasilkan oleh pakar khat adalah karya seni yang dilindungi oleh undang-undang hakcipta.

Saudara tidak boleh men-download, menyalin ataupun meng-scan tulisan khat oleh pakar khat lain dan menggunakannya dalam buku saudara tanpa mendapat izin daripada pemilik hakcipta karya khat itu.

Kita selalu berjumpa dalam sesuatu buku agama, terdapat beberapa ragam tulisan khat. Ini adalah bukti nyata bahawa penulis itu mengambil dan menggunakan tulisan khat daripada sumber-sumber yang berlainan.

Apabila saudara menulis ataupun menerbitkan buku-buku agama, saudara hendaklah menuliskan semula ayat-ayat Quran itu, bukan menyalin daripada CD ataupun internet yang mengandungi karya orang lain.

Ayat-ayat Quran itu hak Allah, tetapi khat itu dicipta oleh manusia, oleh itu ia adalah harta intelek manusia si pencipta khat itu, maka hukumnya ia tidak boleh dicuri.

2. Layout kitab Quran, ataupun kitab Ya-sin, ataupun kitab Muqaddam bukan harta awam.

Layout adalah karya seni oleh manusia, oleh hal yang demikian ia dilindungi oleh undang-undang hakcipta. Saudara tidak boleh menyalin layout yang dibuat oleh orang-orang lain tanpa mendapatkan izinnya terlebih dahulu.

Ayat-ayat Quran itu hak Allah, tetapi sebagaimana dengan seni khat, layout itu dicipta oleh manusia, oleh itu ia adalah harta intelek manusia si pencipta layout itu, maka hukumnya tidak boleh dicuri.

Apabila saudara hendak mencetak surah Ya-sin, maka hendaklah saudara menuliskan sendiri ayat-ayat Ya-sin itu dan membuat layout sendiri.

3. Terjemahan ayat-ayat Quran bukan harta awam.

Walaupun ayat-ayat Quran adalah harta awam, tetapi terjemahannya adalah hasil karya manusia, oleh itu ia dilindungi oleh undang-undang hakcipta.

Justeru saudara tidak boleh menyalin bulat-bulat terjemahan orang lain dan memasukkannya dalam buku saudara tanpa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pemilik hakcipta terjemahan itu.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, July 23, 2008

Hakcipta: Kesalahan Menyalin dan Menyadur

Banyak "penulis" dan "penterjemah" buku-buku agama terbitan Malaysia, melakukan perbuatan memberi gambaran palsu tentang siapa sebenarnya penulis original isi kandungan dalam buku-buku mereka.

Punca perkara ini adalah, dalam buku-buku mereka itu terdapat:

(1) Menyalin bulat-bulat

Ayat-ayat terjemahan al-Quran dan hadith itu disalin bulat-bulat daripada kitab-kitab terjemahan yang dihasilkan oleh orang lain, majoritinya terjemahan ulamak Indonesia. Ini mereka lakukan dengan tidak memberitahu pembaca bahawa terjemahan itu disalin bulat-bulat daripada kitab terjemahan orang lain. Perbuatan ini memberikan gambaran palsu seolah-olah terjemahan itu dilakukan oleh si ustaz Malaysia itu sendiri, sedangkan perkara itu tidak benar.

Cara yang betul apabila hendak menggunakan hasil kerja orang lain adalah dengan menyebut dalam buku itu sumber original terjemahan yang digunakan.

Sebagai contoh, tulis nota seperti berikut pada bahagian awal buku itu: "Semua teks terjemahan al-Quran dan hadith yang saya gunakan dalam buku ini adalah disalin daripada kitab (a) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan (b) Ringkasan Shahih al-Bukhari, terbitan Penerbit Mizan, Bandung, 2006."

(2) Menyadur

Ayat-ayat saduran itu disalin dan disadur daripada kitab-kitab Indonesia, dengan menggantikan perkataan-perkataan Bahasa Indonesia dengan perkataan-perkataan bahasa Melayu Malaysia.

Justeru, buku itu bukan karangan original si ustaz Malaysia itu sendiri, tetapi karangan ulamak Indonesia yang disadur (baca, dicuri).

Dengan meletakkan namanya sendiri pada kulit buku itu sebagai "pengarang" ataupun "penyusun" buku tersebut, si ustaz itu memberi gambaran palsu, dengan kata lain berdusta, kepada pembacanya.

Perbuatan menyalin dan menyadur (baca, mencuri) ayat-ayat karangan penulis lain adalah kesalahan serius di sisi undang-undang hakcipta.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, July 14, 2008

Membeli Hakcipta Novel Secara Kreatif

Penerbit buku-buku agama tradisional lazimnya membeli manuskrip dengan membayar kontan 1 kali sahaja kepada pengarang. Jadi si pengarang dibayar RM2000 ataupun RM3000 sekaligus. Habis di situ. Sampai bila-bila si pengarang tidak akan menerima apa-apa lagi bayaran.

Pada masa ini para pengarang novel tidaklah se-naif penulis buku-buku agama, sebab ramai pengarang novel memiliki ijazah.

Jadi ada penerbit dapat mengabui mata penulis novel popular dengan menawarkan bayaran pembelian hakcipta karya secara royalti.

Idea yang digunakan oleh penerbit itu adalah kreatif, tetapi ia memberi gambaran palsu kepada si pengarang tentang status sebenar kedudukan hakcipta karyanya.

Banyak penulis tidak peduli hendak membaca dengan hati-hati dokumen perjanjian yang ditandatanganinya. Mereka main percaya bulat-bulat kepada baik hati si penerbit.

Salah satu mitos tentang royalti adalah: Kalau pengarang dibayar royalti, itu bermakna si pengarang kekal memiliki hakcipta bukunya. Tidak, tidak semestinya begitu.

Ada sebuah penerbit novel, yang dalam salah satu klausa pada dokumen perjanjian penerbitannya, membawa implikasi legal seperti di bawah:

(i) Pengarang bersetuju memindahkan (baca, menjual) hakmilik novelnya kepada si penerbit, dan penerbit setuju membayar royalti kepada si pengarang.

(ii) Pengarang setuju dia tidak boleh menarik balik novelnya daripada penerbit itu dan menyerahkannya kepada penerbit lain, buat selama-lamanya.

Soal jual-beli hakcipta dan modus pembayaran jual-beli itu adalah 2 perkara yang berbeza. Dalam kes penerbit di atas, dia sudah membeli hakcipta si pengarang novel-novel yang diterbitkannya itu, cuma cara dia membayar pembelian itu adalah dengan royalti.

Apabila hakcipta sesebuah buku itu sudah dibeli, maka penulis tidak mempunyai apa-apa hak lagi ke atas bukunya, melainkan hak moral sahaja. 

Jika bukunya dijadikan skrip filem, dia tidak berhak menerima royalti ataupun honorarium lagi. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, July 11, 2008

Membayar Royalti adalah Bisnes Yang Mahal

Apabila saudara hendak menjadi penerbit buku, saudara terpaksa membuat pilihan:

(1) Membeli hakcipta

Apabila saudara membeli hakcipta, saudara perlu membayar tunai harga yang ditawarkan oleh penulis. Saudara hanya membayar sekali sahaja. Sampai bila-bila saudara tidak perlu membayar apa-apa lagi kepada penulis manuskrip yang saudara beli itu.

Para penerbit buku agama (baca, penerbit Mamak) di negara kita mengamalkan cara ini. Cara ini amat popular disebabkan modal berniaga cara ini adalah lebih murah, manakala margin keuntungannya lebih tinggi.

(2) Tidak membeli hakcipta

Apabila saudara tidak membeli hakcipta, saudara perlu membayar royalti buku itu setiap tahun, selama buku itu masih saudara jual.

Cara ini hanya diamalkan oleh penerbit-penerbit besar yang kredibel, yang mengamalkan budaya pengurusan gaya korporat, dan yang menghormati harta intelek para penulisnya.

Bisnes penerbitan dengan cara membayar royalti kepada penulis adalah lebih mahal. Sebagai contoh, bagi tahun 2008, PTS membayar royalti lebih RM1,013,848.43 en kepada penulis-penulisnya.

Bagi tahun yang sama, kita menganggarkan, penerbit agama yang sama besar nilai jualannya dengan PTS membelanjakan tidak sampai RM100 ribu bagi membeli hakcipta.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, March 07, 2008

Khutbah Jumaat PTS: Buku Agama dan Kedudukan Malaysia sebagai Pengimpot Terbesar Harta Intelek Curi

Nabi Muhammad (salam dan selawat buat beliau, anggota keluarga beliau, dan sahabat-sahabat beliau) pernah berkata bahawa sekiranya anak bongsu kesayangannya, Fatimah, mencuri, maka beliau sendiri akan memotong tangannya.

Pada suatu masa dahulu, semua penerbit buku-buku agama di Indonesia tidak peduli hendak mendapatkan lesen menterjemah dan menerbitkan buku-buku agama dalam bahasa Arab yang diterbitkan di Timur Tengah. Jelas sekali perbuatan itu melanggar undang-undang harta intelek, dan apa yang dilakukan itu adalah jenayah pencurian.

Tetapi sejak Indonesia ikut menandatangani dokumen Konvensyen Berne di Bangsa-Bangsa Bersatu, kesedaran tentang undang-undang harta intelek di kalangan penerbit buku di Indonesia mulai bertambah baik.

Pada masa ini penerbit-penerbit yang besar dan sudah berpuluh tahun bertapak, seperti MIZAN dan Gramedia, mereka itu mematuhi undang-undang hakcipta.

Namun banyak penerbit di negara itu masih dengan cara lama mereka. Malah banyak penerbit yang baru muncul di Jakarta, yang kualiti fizikal buku-bukunya amat tinggi, masih tidak mengamalkan etika bisnes penerbitan yang betul. Mereka melakukan cetakrompak, tetapi disebabkan buku terbitan mereka begitu elok dan cantik penampilannya, maka kita sangka buku-buku itu diterbitkan dengan mendapatkan lesen, rupa-rupanya tidak.

Buku-buku curi cetakrompak itu banyak diimpot ke Malaysia oleh pengedar buku-buku agama dan dijual di merata kedai buku. Perbuatan membeli, mengimpot dan menjual buku-buku yang dicetakrompak oleh penerbit di Indonesia tetap salah, dan ia adalah jenayah perdagangan.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, February 10, 2008

Menulis Banyak ‘buku’ tetapi Tiada Memiliki ‘harta intelek’

Sifu mengambil kesempatan ini mengingatkan mentee-mentee supaya beri perhatian pada aspek merancang kejayaan buku saudara dalam pasaran.

Jangan sibuk hendak menulis dan menyiapkan buku saudara sahaja, sebab buku yang ditulis dengan tidak mengambil kira aspek pemasarannya akan menyebabkan saudara setakat berjaya menghasilkan manuskrip buku. Belum tentu ada penerbit yang mahu menerbitkan manuskrip itu. Manakala, jika ada penerbit yang mahu menerbitkannya, belum tentu buku itu laku dijual. 

Banyak penulis yang berjaya menulis banyak buku, tetapi sebuah pun tidak berjaya menjadi buku yang diulangcetak tahun demi tahun. Seorang kenalan Sifu berjaya menulis 26 buah buku yang diterbitkannya dengan lebih 10 penerbit. Kecuali satu judul, buku-bukunya tidak diulangcetak. 

Apabila buku saudara sudah terbit ia mungkin setakat menjadi "buku" sahaja, yakni tidak menjadi "harta intelek". 

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, December 31, 2007

Surat Pilihan: Isu Harta Intelek

Assalamu’alaykum wbh,

Moga Allah merahmati Puan Ainon yang sudi berkongsi ilmu dan isu hakcipta di universiti percuma PTS ini.

Hakikatnya ramai lagi di kalangan masyarakat yang keliru atau tidak memahami berkenaan harta intelek.  Sudahnya, mereka menciplak karya-karya orang lain secara gaya bebas.  Tanpa segan silu.

Mereka ingat dan menganggap ianya sekadar termaktub dalam perundangan sivil dan tiada mengena dengan hukum syarak.  Sekaligus tiada kesan pahala dan dosa pada pelakunya. 

Bagus juga kalau ada pakar undang-undang harta intelek mengupas isu ini secara mendalam dari sudut perundangan sivil dan persepsi syariat.  Moga-moga lebih ramai yang faham dan berhati-hati dengannya.  Boleh juga rujuk di perpustakaan Universiti Malaya tesis berikut:

1.  Nor Liza Mohamad: Hakcipta dari aspek teori harta intelek menurut perspektif Islam. Disertasi (Sarjana Syariah) Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

2.  Rosmaniza Abdul Rahman: Undang-undang harta intelek di Malaysia menurut perspektif syariah. Disertasi (Sarjana Syariah) Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2004.

3.  Rozaini Tukimin: Pencurian harta intelek: Analisis menurut perspektif hukum hudud. Disertasi (Sarjana Syariah) Jabatan Fiqh dan Usul, Bahagian Pengajian Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 2003.

Dr. Muhammad ‘Uthman Sybir di dalam bukunya al-Mu’amalat al-Maaliyyah al-Mu’aashirah fi Fi al-Fiqh al-Islamiy (Ekonomi Semasa menurut Persepsi Islam) memetik pandangan pakar syariah kontemporari berhubung hakcipta penulis.  Pakar tersebut ialah Dr. Muhammad Fathi al-Durayni, Prof. Mustafa al-Zarqa’, Dr. Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti dan Dr. Wahbah al-Zuhayli.  Mereka memperakui hakcipta penulisan berlandaskan hujjah syarak.  Rujuk halaman 57-60 buku berkenaan bagi mereka yang memahami bahasa Arab ataupun terjemahannya, kiranya ada.

Saya pernah menghantar sebuah artikel ke sebuah akhbar mingguan tempatan dengan nama pena Ummu Abbas.  Sebaliknya, ia diterbitkan satu halaman penuh dengan nama pena seorang lelaki! 

Oleh kerana akhbar tersebut dikenali sebagai akhbar yang bermaruah, saya bersangka baik terlebih dahulu.  Saya merujuk terus kepada editor yang menerima artikel saya tersebut.  Rupa-rupanya, editor tersebut terlupa nama pena saya dan meletakkan nama pena seorang penulis yang sering menghantar artikel kepada beliau.  Editor berkenaan memohon maaf dan menyatakan terlalu banyak email yang diterima sehingga tidak menemui email saya yang asal.  Kemudian saya tanya suami saya apakah perlu saya menuntut honorarium.  Jawab suami saya, "Sedekahkan sahaja!"  Saya akur dan tidak kisah fasal bayaran tersebut kerana suami saya merestuinya.

WAN NOR AINON 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, December 29, 2007

Akhbar UTUSAN MALAYSIA Menerbitkan Artikel yang Diplagiat daripada Blog Peribadi

Sekali lagi! Sebelum ini artikel Tuan Jonos diplagiat dan diterbitkan oleh UTUSAN MALAYSIA.  

Baca blog Sdr Abu Saif, klik di sini.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, December 28, 2007

Bahan Bagus Tentang Apa Patut Dilakukan Apabila Karya Saudara Diciplak

Baca di sini.

Nota: Terima kasih kepada Tuan Zamri Mohamed atas maklumat ini. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, December 24, 2007

Isu Penerbit Majalah Menzalimi Penulis

Baca tulisan Zamri Mohamed tentang penerbit majalah yang merompak penulisnya sendiri dan tentang undang-undang hakcipta di Utusan Malaysia hari ini di sini.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, December 19, 2007

Surat Pilihan: Berita Buruk buat Penerbit Penipu!

Assalamualaikum, puan,

Izinkan saya memberi komentar sedikit berkaitan isu ini.

Dalam undang-undang kontrak, secara umumnya, pihak-pihak di dalam kontrak bebas menentukan apa-apa sahaja isi kandungan perjanjian mereka. Bermaksud, mahkamah tidak akan masuk campur. Masukkanlah apa-apa sahaja klausa, mahkamah akan tetap kuat-kuasakan. Tetapi itu hanyalah secara umumnya sahaja.

Terdapat beberapa pengecualian pada peraturan umum tersebut. Dan ini boleh kita lihat dalam Seksyen 28 Akta Kontrak yang menyatakan (maaf, saya copy paste langsung dalam bahasa Inggeris sebab malas hendak terjemah).

“Every agreement by which anyone is restrained from exercising a lawful profession, trade, or business of any kind is to that extent void.”

Pada kiraan saya, kes yang menimpa si penulis ustaz tersebut boleh dikategorikan sebagai termasuk dalam pengecualian yang diperuntukkan dalam Seksyen 28 yang disebut tadi.

Dan untuk lebih mengukuhkan lagi pendapat ini, kita harus melihat kepada kes yang pernah diputuskan mahkamah berkaitan hal ini, iaitu kes Polygram Records Sdn Bhd lawan The Search. Dalam kes ini, salah satu klausa perjanjian mereka adalah untuk tidak membenarkan The Search melakukan sebarang recording dengan syarikat rakaman lain, tanpa kebenaran bertulis dari syarikat rakaman asal, selama tempoh dua tahun.

Mahkamah telah memutuskan dalam kes ini, bahawa klausa tersebut adalah TIDAK SAH, berdasarkan Seksyen 28 Akta Kontrak (yang disebutkan di atas).

Oleh hal yang demikian, melihatkan kepada Seksyen 28 Akta Kontrak, ditambah lagi dengan contoh dalam kes Polygram Records Sdn Bhd v The Search, adalah jelas, bahawa apa-apa sahaja klausa yang melarang seseorang penulis itu dari menulis untuk syarikat penerbitan lain adalah tidak sah di sisi undang-undang. Kalau penulis dibawa ke mahkamah pun, besar kemungkinan si penulis akan menang.

IDEAL

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Update! Taktik Terbaru Penerbit “Menipu” Penulisnya Sendiri

Seorang ustaz-TV dan penulis buku agama, baru-baru ini mengadu kepada pegawai PTS akan nasib malang yang menimpa dirinya.

Malang itu berlaku akibat dia terlampau percaya akan kejujuran seorang penerbit yang juga Pak Haji. (Ah! Mengapakah dalam filem-filem dan novel-novel Melayu watak Pak Haji selalu digambarkan sebagai penipu, ataupun bakhil, ataupun tidak boleh tengok dahi perempuan licin?)

Pada suatu waktu, ustaz itu amat gembira kerana bukunya telah diterbitkan oleh sebuah penerbit, yang konon namanya Tinta Baru Ent. Apatah lagi, bukunya itu dipamerkan dalam stesen-stesen minyak. Memang beliau seronok sungguh!

Tetapi keseronokannya itu tidak lama. Inilah yang berlaku....

Pada suatu hari, tawkay syarikat penerbit itu menyerahkan dokumen perjanjian penerbitan supaya ditandatangani oleh sang ustaz, lalu tanpa membaca dahulu biji butir yang tertulis dalam dokumen itu, sang ustaz terus menurunkan tanda tangannya, maklumlah ustaz-ustaz menyangka orang lain baik-baik belaka, sebagaimana dirinya.

Beberapa lama kemudian, barulah sang ustaz tersedar, rupa-rupanya salah satu klausa dalam dokumen itu menyebut dengan jelas bahawa dia bersetuju selama 5 tahun dia tidak akan menulis untuk mana-mana penerbit lain! (Hmmm.... Macam bunyi kontrak antara penyanyi dengan syarikat rakaman lagu pula!)

Sang ustaz bertanya kepada kita, apakah penulis boleh dipaksa supaya mengikat kontrak macam penyanyi mengikat kontrak dengan penerbit muzik? (Barangkali Puan Nisah Haron dapat memberikan pencerahan akan isu ini.)

Dalam hukum Islam, kontrak yang mengandungi unsur penipuan adalah tidak sah.

Apakah tujuan Pak Haji itu memasukkan klausa di mana selama 5 tahun sang ustaz tidak boleh menulis untuk penerbit lain? Klausa seperti itu bukan amalan lazim dalam perjanjian antara penerbit buku dan penulis.

Sebagai penerbit, Pak Haji itu sepatutnya menerangkan kepada ustaz itu terma-terma yang penting dalam dokumen itu, yang dapat merugikan sang ustaz, sewaktu meminta tandatangan si ustaz. Perbuatan si Pak Haji yang sengaja diam, tidak mahu memberitahu kewujudan klausa itu, dapat dikatakan sebagai berniat jahat, yakni mahu menipu si ustaz.

Namun, di sisi undang-undang sivil, sang ustaz sudah menandatangani dokumen itu dengan sukarela. Kalau dia tidak membaca lebih dahulu dokumen itu, itu salahnya sendiri. Kalau dia tidak meminta Pak Haji itu menerangkan perkara-perkara penting dalam dokumen itu sebelum dia menurunkan tandatangannya, itu pun salahnya sendiri.

Terlajak perahu, boleh berpatah balik. Terlajak menurunkan tandatangan, inilah padahnya....

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, December 18, 2007

Surat Pilihan: Isu Penerbit Majalah Merompak Harta Intelek Penulisnya Sendiri

Tuan-tuan yang budiman,

Seperti kata Puan Ainon, ini ialah suatu jenayah. Mengapa kita haruskan jenayah begini berleluasa. Undang-undang hak cipta di Malaysia tidak berkembang juga kerana ramai penulis yang ada peluang tetapi tidak mengambil tindakan. Buat masa ini, usah fikirkan bahawa ‘tak mengapalah, kerana mereka sudah bayar artikel saya’ ataupun ‘ini tidak terlalu menjejaskan saya’  -  tetapi fikirkanlah masa depan penulis lain ataupun calon penulis yang bakal diperkotak-katikkan syarikat-syarikat besar ini semata-mata kerana mereka punya wang dan kuasa.

Tiada dalam undang-undang hak cipta yang membenarkan sesiapa pun merampas hak pengarang sedemikian rupa dan dengan sesuka hati menerbitkan dalam bentuk lain tanpa izin pengarang.

Saya percaya mereka di syarikat penerbitan ini benar-benar buta hak cipta ataupun membutakan matanya (buat-buat tak faham) demi mengaut untung tanpa memberi sebarang kredit pun kepada pengarang.

Saya sungguh marah dengan sikap syarikat KK itu!

NISAH HARON

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Surat Pilihan: Sama Senasib dengan Dr. Tengku Asmadi

Assalamualaikum wbt,

Puan Ainon dan Dr. Tengku Asmadi,

Saya pun menghadapi perkara yang hampir sama. Bezanya ialah, mereka tidak menghubungi saya pun. Tahu-tahu, himpunan artikel saya yang terbit seminggu sekali itu dibukukan dengan begitu comel sekali (tetapi menyakitkan hati!).

Setakat ini saya tidak terfikir untuk mengambil apa-apa tindakan.

Terima kasih.
http://www.FadzliYusof.com

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, December 17, 2007

Bagaimana Buku Arab Diterjemahkan dengan Begitu Cepat

Majoriti buku-buku agama yang dijual di Malaysia adalah buku-buku terjemahan pengarang-pengarang Arab. Buku-buku itu diterjemahkan oleh ustaz-ustaz Indonesia dan diterbitkan di Indonesia, lalu diimpot ke negara ini.

Banyak pelajar Indonesia belajar di Kaherah. Disebabkan mereka berada di sana, jadi mereka paling tahu apa buku terbaru yang sedang meletup di sana. Merekalah yang paling aktif menterjemah untuk penerbit-penerbit buku agama di Jakarta, Bandung, Surabaya dan lain-lain kota besar di Indonesia. 

Pelajar-pelajar Indonesia itu menterjemah bagi menampung perbelanjaan mereka di sana, oleh itu mereka dapat cepat menyelesaikan kerja-kerja terjemahan itu. Dalam novel "Ayat-ayat Cinta" heronya melakukan kerja-kerja menterjemah buku agama untuk penerbit di Jakarta.

Merekalah yang memberi maklumat kepada penerbit Indonesia berkenaan buku-buku terbaru yang masuk ke dalam pasaran di Mesir. Dengan adanya teknologi HP dan SMS, proses itu menjadi sepantas kilat.

Buku-buku itu mereka terjemah dengan tidak mendapatkan lesen hakciptanya terlebih dahulu. Penerbit buku-buku agama di Indonesia pula tidak peduli hendak mendapatkan lesen terjemahannya.

Boleh dikatakan hampir semua buku terjemahan Arab-Indonesia yang ada dalam pasaran adalah buku cetak rompak. Ini pun menjadi salah satu faktor mengapa buku-buku terjemahan itu cepat terbit di Indonesia.

Hanya semenjak tahun 2000, penerbit besar seperti MIZAN mula menghantar pegawainya pergi ke Kaherah dan bertemu mata-dengan-mata dengan penerbit-penerbit utama di Mesir bagi menjalin hubungan bisnes yang terbuka dan mendapatkan lesen hakcipta secara sah bagi buku-buku yang diterjemahkannya.

Isu lesen hakcipta inilah yang menjadi faktor mengapa buat masa ini PTS belum menerbitkan terjemahan karya-karya Arab yang hayat hakciptanya belum tamat tempoh. Buku-buku agama Indonesia yang diterbitkan sebagai edisi Malaysia oleh PTS semuanya adalah karya pengarang kelahiran Indonesia, oleh itu mudah bagi kita mendapatkan lesen hakciptanya.

Di Jakarta sekarang ada beberapa penerbit baru yang menerbitkan buku-buku terjemahan judul-judul kontemporari, yang sangat bagus kualiti fizikalnya, macam buku terbitan Amerika. Buku-buku itu kulit tebal dan kertasnya bermutu tinggi. Harganya pun mahal.

Pegawai PTS yang kita hantar ke Jakarta bagi merisik maklumat berkenaan status hakcipta buku-buku premium dan mahal terbitan penerbit-penerbit baru muncul di Jakarta, mendapati buku-buku yang sekali pandang kita sangka tentu diterbitkan secara legal, seperti buku Karen Amstrong, rupa-rupanya masih tetap buku yang "dibajak".

Jadi bagi saudara yang sedang berfikir mahu melesen buku-buku agama terjemahan dari penerbit Indonesia, kita menasihatkan supaya berhati-hati, supaya tidak terlibat dengan perdagangan harta intelek curi, baik di sisi undang-undang sekular, apatah lagi dari sudut hukum agama.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, December 16, 2007

Surat Pilihan: Penerbit Curi Hakcipta

Assalamualaikum Sifu,

Baru-baru ini sebuah syarikat penerbitan, Syarikat KK, yang mana saya telah menjadi penulis panel untuk salah sebuah majalahnya memaklumkan hasrat mereka untuk membukukan koleksi-koleksi artikel saya itu.  Katanya, buku itu akan diterbitkan oleh sebuah anak syarikatnya iaitu BP.  Dia meminta persetujuan dari saya.  Tetapi katanya, saya tidak akan menerima sebarang royalti daripada jualan buku ini kerana setiap artikel telah dibayar oleh itu hakcipta kini adalah milik mereka.

Soalan saya: Adakah betul apa yang mereka katakan tentang isu hakcipta itu?  Sebab saya tidak pernah menandatangani sebarang kontrak.

Apakah betul cara mereka menerbitkan buku itu dan saya tidak menerima sebarang royalti?  Sebenarnya saya tidak pernah memikirkan soal royalti ini, cuma rasa macam pelik pula apabila hasil perahan otak kita diniagakan dengan begitu mudah.

TENGKU ASMADI

...................................

Respons Sifu:

Tuan Dr. Tengku Asmadi,

Apa yang dilakukan oleh penerbit itu adalah tidak beretika. Mereka melakukan jenayah mencuri harta intelek Tuan dan memperdagangkan harta curian itu.

Tuan boleh buat laporan polis. Fotokopi laporan itu dan kirimkan kepada pengarah urusan syarikat tersebut, dengan amaran, jika mereka masih mahu menerbitkan artikel-artikel tuan itu tanpa izin Tuan, maka Tuan akan meminta pihak polis mengambil tindakan atas laporan yang sudah dibuat itu.

Nota: Tindakan membuat laporan polis dan menulis surat ancaman itu patut dilakukan apabila pada perkiraan Tuan, hubungan bisnes dengan syarikat itu sudah tidak berharga lagi.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, December 14, 2007

Penerbit Majalah Paksa Pengarang Serahkan Hakcipta

Bolehkah sesebuah penerbit majalah memaksa pengarang artikel yang dihantar kepadanya supaya menyerahkan hakcipta artikel itu kepada si penerbit? Sifu banyak kali menerima pertanyaan seperti ini.

Pertanyaan ini ditimbulkan oleh sebab ada sebuah penerbit majalah di negara ini yang menulis pada halaman imprint majalah-majalahnya ayat yang lebih kurang begini bunyinya: "Semua hakcipta artikel yang terbit dalam majalah ini dimiliki oleh TST Sdn. Bhd." iaitu nama syarikat penerbitan itu.

Ayat itu menyebabkan mereka yang bertanya itu takut-takut hendak menghantarkan karya mereka kepada majalah-majalah terbitan syarikat itu. Ini adalah salah satu akibat yang merugikan penerbit majalah itu sendiri.

Seorang penulis artikel yang produktif memberitahu bahawa dia hanya berani menghantarkan artikel-artikel yang kurang bermutu tinggi kepada penerbit majalah itu.

Seorang penulis lain memberitahu bahawa dia hanya menghantar kepada penerbit itu artikel-artikel  yang tidak sesuai dibukukan.

Sifu sudah bertanyakan isu ini kepada seorang peguam kontrak yang berpengalaman.

Menurut peguam itu, perjanjian hakcipta adalah tertakluk di bawah undang-undang kontrak.

Perkataan-perkataan yang berbunyi "Semua hakcipta artikel yang terbit dalam majalah ini dimiliki oleh TST Sdn. Bhd." tidak memenuhi ciri-ciri suatu perjanjian kontrak kerana ia disetujui oleh satu pihak sahaja, yakni penerbit. Kontrak mesti disetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Menurut beliau lagi, selagi penulis tidak pernah menandatangani sebarang dokumen di mana dia bersetuju menyerahkan hakcipta karyanya kepada mana-mana pihak, maka bermakna hakcipta karyanya masih menjadi miliknya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Hakcipta Karya yang Terbit dalam Media

Banyak penulis tidak tahu aspek legal bagi karya mereka yang tersiar dalam akhbar dan majalah.

Apabila sajak ataupun cerpen, ataupun artikel saudara terbit dalam akhbar, ataupun majalah, hakcipta karya itu tetap saudara punya. Saudara berhak melakukan apa sahaja ke atas karya saudara itu. Sebagai contoh, saudara boleh bukukan dan terbitkan dengan mana-mana penerbit yang saudara pilih.

Semasa saudara menghantar karya saudara ke akhbar ataupun  majalah, saudara hanya memberikan lesen hak menerbitkan karya itu kepada penerbit akhbar ataupun majalah itu. Tempoh lesen hak penerbitan yang saudara berikan itu adalah selama usia penerbitan akhbar ataupun majalah itu.

Bagi akhbar yang terbit tiap-tiap hari, maka lesen hak penerbitan itu adalah selama 1 hari sahaja. Maknanya, selama 1 hari itu sahaja saudara tidak boleh menerbitkan karya itu di tempat lain.

Bagi majalah yang terbit tiap-tiap minggu, maka lesen hak penerbitan itu adalah selama 1 minggu sahaja. Maknanya, selama 1 minggu itu sahaja saudara tidak boleh menerbitkan karya itu di tempat lain.

Bagi majalah yang terbit tiap-tiap bulan, maka lesen hak penerbitan itu adalah selama 1 bulan sahaja. Maknanya, selama 1 bulan itu sahaja saudara tidak boleh menerbitkan karya itu di tempat lain.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, December 01, 2007

Nasib Seorang Penterjemah

Ini bukan gosip!

Dalam Persidangan  Penterjemahan Antarabangsa ke-11 yang baru lalu, seorang pensyarah dari sebuah universiti di Terengganu membentangkan kertas kerjanya tentang pengalaman beliau menterjemahkan sebuah buku penting yang bertajuk "Atlas al-Quran" daripada bahasa Arab. 

Menurut beliau, manuskripnya sudah diserahkan lebih 1 tahun lalu kepada sebuah yayasan Islam, tetapi masih belum terbit. Apabila Sifu bertanya bagaimana dengan urusan hakcipta, beliau menjawab hal itu akan diuruskan oleh yayasan.

PTS sendiri pernah cuba mendapatkan lesen hakcipta buku itu, tetapi diberitahu lesen itu sudah diberikan kepada sebuah penerbit buku-buku agama di Kuala Lumpur, iaitu Penerbit DF. Nampaknya PTS terlambat. Habislah peluang PTS!

Barangkali inilah faktor yang menyebabkan yayasan Islam itu masih belum dapat menerbitkan terjemahan pensyarah itu. Jika benar, penatlah sahaja pensyarah itu bekerja dengan susah payah, hasilnya tidak dapat diterbitkan oleh yayasan Islam itu.

Dalam kes ini, pensyarah tersebut telah menterjemah buku itu dengan tidak mendapatkan lesen hakciptanya terlebih dahulu.  

Jadi, kepada saudara yang jatuh cinta pada mana-mana buku, jangan terus menterjemahkan buku itu. Dapatkan lesen hakciptanya dahulu, selepas itu baru menterjemah.

Di PTS sendiri, kita selalu menerima manuskrip terjemahan dari ustaz-ustaz, di mana mereka menterjemah tanpa izin daripada pemegang hakcipta karya itu, baik pengarang ataupun penerbit. PTS tidak boleh terbitkan manuskrip seperti itu selagi urusan lesen hakciptanya tidak diselesaikan.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, November 28, 2007

Heboh Isu Hakcipta “Rasa Sayang Hey!”

Baru-baru ini heboh diperkatakan tentang bantahan rakyat Indonesia apabila kempen pelancongan Malaysia menggunakan lagu "Rasa Sayang Hey!" Mereka mendakwa lagu itu dicipta oleh rakyat Indonesia Sulawesi, maka oleh itu hakciptanya dimiliki oleh rakyat Indonesia.

Salah satu isu yang menarik dalam kes ini adalah tidak ada sesiapa yang dapat membuktikan siapa individu yang mencipta lagu itu. 

Jika demikian halnya, maka hakcipta lagu itu berstatus public domain, atau "hak awam". Maka statusnya serupa dengan hakcipta lagu-lagu tradisional lain seperti "Seri Mersing" dan "Enjit-Enjit Semut". 

Apa jua karya seni yang sudah menjadi public domain, ia dapat digunakan oleh sesiapa sahaja di seluruh antero dunia tanpa perlu mendapatkan sebarang izin daripada sesiapa sahaja. 

Apabila PTS menerbitkan siri penyiasatan Sherlock Holmes karya Sir Arthur Conan Doyle, PTS tidak perlu mendapatkan izin bagi menterjemahkan karya-karya itu. PTS juga tidak perlu membayar royalti kepada waris Doyle. Ini disebabkan siri Sherlock Holmes sudah menjadi harta awam.

Katakanlah siri Sherlock Holmes itu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, PTS hanya membayar royalti terjemahan kepada penterjemahnya seorang, waris Doyle tidak menerima satu sen pun royalti itu.

Apakah makna semua ini?

1. Hanya karya asal Sherlock Holmes, yang ditulis sendiri oleh mendiang Doyle, yang sudah bertaraf 'harta awam'. Karya original itu sahaja yang boleh diterbitkan semula oleh sesiapa tanpa meminta izin dan tanpa membayar royalti.

2. Ada penerbit di England yang menerbitkan siri Sherlock Holmes edisi pelajar, maka hakcipta SH edisi pelajar itu bukan harta awam lagi. Maka jangan menterjemah Sherlock Holmes ke dalam Bahasa Melayu berdasarkan edisi pelajar itu tanpa izin kerana perbuatan itu melanggar hakcipta.

3. Berpuluh-puluh negara sudah menterjemahkan siri Sherlock Holmes edisi pelajar ke dalam bahasa masing-masing, maka hakcipta terjemahan itu belum menjadi harta awam lagi. Maka jangan menterjemah Sherlock Holmes berdasaran edisi terjemahan itu tanpa izin. Kalau mahu, buatlah siri Sherlock Holmes edisi pelajar sendiri.

4. Katakanlah Tuan Rastom menterjemahkan siri Sherlock Holmes ke dalam Bahasa Melayu, maka beliau mesti menterjemah dengan menggunakan edisi original. Hakcipta terjemahan adalah dimiliki oleh Tuan Rastom. Hanya selepas 50 tahun beliau meninggal dunia barulah terjemahannya itu menjadi harta awam.

5. Katakanlah ada penerbit ABC hendak menterjemah siri Sherlock Holmes juga ke dalam Bahasa Melayu, silakan, tiada apa-apa halangan. Bagi edisi terjemahan itu hakciptanya dimiliki oleh pihak yang berkaitan. PTS mahupun penterjemah edisi PTS tidak berhak menghalang mana-mana pihak lain menerbitkan terjemahan Bahasa Melayu mereka sendiri.

Bagi tiap-tiap terjemahan, hakciptanya adalah milik si penterjemah itu. Ini bermakna, jika ada 10 orang penterjemah lain hendak menterjemahkan dan menerbitkan siri Sherlock Holmes, maka akan ada 10 hakcipta terjemahan itu. Masing-masing hakcipta terjemahan dipegang oleh masing-masing penterjemah.

Sebagaimana undang-undang hakcipta melindungi karya asal, undang-undang itu melindungi karya terjemahan sebagai karya asal juga.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, November 20, 2007

Hak Penulis Memasuki Setor Penerbit

Seorang pensyarah universiti yang bukunya diterbitkan oleh PTS menulis surat emel yang memberitahu beliau mahukan PTS menghantar kepadanya laporan jualan bukunya tiap-tiap bulan.

Dari sudut teknikalnya, PTS memang tidak tahu jualan buku bagi mana-mana satu bulan. Buku yang keluar dari setor PTS pada bulan Jun 2007 dan dihantar ke kedai-kedai buku, belum tentu buku-buku itu dapat dijual oleh kedai buku. Jika tidak laku dalam tempoh 3 bulan, pada bulan September 2007 buku itu dipulangkan ke PTS sebagai buku "return". 

Dalam dokumen perjanjian penerbitan PTS, adalah dipersetujui bahawa PTS wajib menghantar laporan jualan buku kepada pengarang setahun sekali, bukan tiap-tiap bulan.

Juga dipersetujui bahawa pengarang berhak masuk ke dalam setor PTS dan membuat pemeriksaan mengejut bagi mendapatkan gambaran sebenar kedudukan stok bukunya dalam setor itu. Ini dibenarkan apabila pengarang berasa pihak PTS tidak memberikan laporan yang tepat, yakni PTS menipu pengarang. 

Apabila saudara hendak membuat pemeriksaan mengejut itu, datanglah ke pejabat pengurus pemasaran dan maklumkan baik-baik kepada beliau bahawa saudara hendak melihat baki stok buku saudara yang ada dalam setor. Beliau akan menghormati hasrat saudara itu kerana ia termaktub dalam perjanjian penerbitan. Beliau akan membawa saudara masuk setor dan menunjukkan di mana stok buku saudara disimpan.

Bagi penerbit seperti ALAF21 dan Creative (CESB) yang menjual buku-buku mereka berdasarkan "firm order",  mereka tidak mengalami apa yang berlaku di PTS. Semua pengedar dan kedai buku membeli buku-buku Alaf21 dan CESB secara tunai. Laku ataupun tidak laku, itu adalah risiko yang mereka tanggung sendiri. Justeru, dalam sistem Alaf21 dan CESB, tidak ada istilah buku "return".

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, November 08, 2007

Artikel dalam BBC Berkenaan Undang-undang Hakcipta Karya Public Domain

Bagi saudara yang berminat dengan isu-isu dalam undang-undang hakcipta, artikel ini perlu dibaca.

Dalam kes ini, undang-undang hakcipta Kanada adalah 50 tahun selepas kematian pencipta karya, baik karya sastera mahupun muzik. Di Malaysia pun tempohnya adalah serupa.

Di Eropah, tempoh itu adalah 70 tahun.  

Jadi dalam kes ini ia melibatkan sebuah laman web yang menerbitkan semua karya muzik yang sudah public domain. Sesiapa pun boleh memuat-turun muzik-muzik dari laman web itu.

Laman web itu hendak disaman oleh sebuah syarikat atas alasan muzik yang diterbitkan oleh laman itu masih belum public domain di Eropah. 

Baca lebih lanjut di sini. 

Nota: Terima kasih kepada Sdr. Firdaus Arif kerana memaklumkan perkara ini kepada UNIKA. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, November 05, 2007

Surat Pilihan: Buat Laporan Polis Apabila Skrip TV Saudara Diplagiat Penerbit

Salam Puan,

Entri puan (kes kontraktor menipu KEMAS) mengingatkan saya kepada perbualan dengan seorang penulis skrip di ASWARA semalam.

Beliau telah menceritakan bagaimana beliau menyelesaikan masalah karyanya diplagiat oleh penerbit drama atau dokumentari.

Beliau menasihatkan, apabila kita mendapati karya kita, dalam hal ini, skrip, ditayangkan di televisyen tetapi telah ditukar nama penulisnya, buat laporan polis.

Setelah itu, buat salinan laporan polis dan hantar ke RTM (bahagian yang menguruskan pembelian rancangan). RTM akan menghubungi penerbit dan kita akan terima bayaran daripada penerbit.

SITI HAJAR BAHARUDDIN 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, November 01, 2007

Hakcipta: Apabila Ulamak Berkata, “Saya waqafkan ilmu saya.”

Banyak individu yang aktif merompak harta intelek teks ucapan dan kuliah ulamak popular seperti Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi Awang mempertahankan apa yang mereka lakukan itu dengan mengemukakan hujah bahawa kedua-dua tuan guru itu sudah 'mewaqafkan' ilmu yang mereka sampaikan dalam ucapan dan kuliah mereka.

Di sisi undang-undang hakcipta, 'ilmu' yang terkandung dalam teks ucapan dan kuliah itu disebut dengan istilah 'idea'.

Undang-undang hakcipta tidak melindungi 'idea', justeru 'ilmu' dalam teks ucapan ulamak-ulamak itu memanglah tidak dilindungi. Sesiapa sahaja boleh menyebar-luaskan ilmu-ilmu ulamak itu tanpa perlu meminta izin daripada mereka.

Apa yang dilindungi oleh undang-undang hakcipta adalah ayat-ayat yang dilafazkan oleh kedua-dua orang ulamak itu sewaktu mereka berucap ataupun menyampaikan kuliah.

Sesiapa yang mahu menjual ilmu-ilmu yang diajarkan oleh Tuan Guru Nik Aziz dan Hadi Awang, dia mesti menerangkan ilmu-ilmu itu dengan menggunakan ayat-ayatnya sendiri. Jadi, dia mesti menulis bukunya sendiri, di mana dalam buku itu dia menerangkan ilmu-ilmu kedua-dua ulamak itu. Kemudian dia juallah buku tulisannya itu, dan ambillah semua keuntungan daripadanya.

Jangan pula dia salin ayat-ayat dalam ucapan dan kuliah mereka, lalu dicetak menjadi buku, lalu dijual. Ayat-ayat itu adalah harta intelek hakmilik tuan-tuan guru itu, maka perbuatan menyalin dan menjual ayat-ayat mereka itu adalah perbuatan mencetak-rompak harta mereka berdua.

Banyak orang tidak faham perbezaan antara 2 konsep asas dalam undang-undang hakcipta, yakni konsep 'idea' dan konsep 'penzahiran idea'.

Undang-undang hakcipta tidak melindungi 'idea'. Yang dilindungi adalah bentuk-bentuk 'penzahiran idea'.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Ucapan dan Kuliah adalah Harta Intelek

Salah seorang tokoh tempatan yang paling banyak harta inteleknya dicuri orang adalah Tuan Guru Nik Aziz. Seorang lagi tokoh yang mengalami nasib serupa adalah Tuan Guru Abd. Hadi Awang.

Kedua-dua ulamak ini banyak berucap di depan khalayak. Mereka juga banyak menyampaikan kuliah di masjid. Jadi, apa yang berlaku adalah, banyak pihak memasang pita rakaman dan kamera video, dan merakam ceramah dan kuliah-kuliah mereka, lalu kemudian dijadikan 2 produk komersial iaitu:

(1) CD dan VCD ucapan yang dijual.

(2) Disalin dan kemudian dijadikan buku yang dijual. 

Ucapan adalah salah satu jenis harta intelek. Ucapan, baik yang ditulis dan dibacakan, mahupun yang disampaikan secara spontan adalah dilindungi oleh undang-undang hakcipta.

Perbuatan menjual salinan ucapan, baik dalam bentuk kaset, CD, VCD, mahupun diterbitkan dalam bentuk tulisan, tanpa mendapatkan izin bertulis daripada orang yang berucap itu, maka ia adalah salah di sisi undang-undang harta intelek.

Bukan hanya harta intelek dua orang ulamak ini dirompak dengan berleluasa, individu-individu yang memperdagangkan harta intelek kedua-dua ulamak itu tidak memberi sebarang saguhati kepada mereka. Semua keuntungan dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Hakcipta: Apakah Unsur-unsur yang Dilindungi dalam Teks Bertulis

Dalam surat aduan Tuan jOnOs, beliau meminta penjelasan berkenaan apa unsur-unsur yang dilindungi dalam sesebuah teks yang ditulis. Barangkali banyak penulis lain juga memerlukan maklumat ini.

Pertama-tama, apa-apa sahaja ayat yang saudara tulis, secara automatik dilindungi, ertinya orang lain tidak diizinkan menyalin ayat saudara itu.

Sebarang ayat yang saudara tulis dalam tesis akademik, dalam tugasan sekolah, dalam surat-surat peribadi, dalam emel, dalam blog, dalam diari, dalam catatan mesyuarat, dalam SMS, dalam senikata lagu, dalam puisi, dalam lukisan, pada T-shirt, pada kad undangan, pada skrip ucapan, pada kain rentang, pada iklan, pada tin dan bungkusan produk, pada poster, pada brosur, pada skrin TV, waima yang ditulis pada batang pokok, pada tembok... semuanya dilindungi.

Berikut adalah unsur-unsur dalam teks yang dilindungi oleh undang-undang:

1. Walaupun saudara hanya menuliskan 1 potong ayat, maka ayat itu tetap dilindungi.

Kalau saudara menulis sebuah novel, orang tidak boleh menyalin walaupun cuma 1 potong ayat saudara. Kalau saudara menulis puisi, orang tidak boleh menyalin walaupun hanya satu baris puisi saudara.

2. Susunan perkataan-perkataan dalam ayat adalah dilindungi.

3. Susunan idea-idea dalam ayat adalah dilindungi.

4. Susunan ayat-ayat dalam perenggan adalah dilindungi.

5. Susunan perenggan-perenggan dalam bab adalah dilindungi.

6. Susunan bab-bab dalam buku adalah dilindungi. 

Dalam kes Tuan jOnOs, jika terdapat 1 potong ayat yang sama dalam artikel Mohd. Khuzairi Ismail dengan entri dalam blog Tuan jOnOs, itu adalah bukti bahawa Mohd. Khuzairi Ismail mencuri harta intelek Tuan jOnOs.

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, October 31, 2007

Isu Hakcipta Dicuri: Nasihat kepada Tn. jOnOs

Tuan jOnOs,

Pertama-tama UNIKA merakamkan rasa simpati kepada tuan atas apa yang berlaku. UNIKA merakamkan rasa amarah terhadap penulis yang menggunakan nama Mohd. Khuzairi Ismail yang tuan imply telah mencuri harta intelek tuan.

Diminta para pengunjung UNIKA supaya mewar-warkan nama ini dalam blog masing-masing supaya perkara ini diketahui oleh orang ramai, supaya orang ramai berhati-hati dengan nama ini. 

Tuan perlu menulis surat kepada Ketua Pengarang akhbar Utusan Malaysia dan melaporkan perkara itu, supaya pihak pengurusan akhbar itu mengetahui kedudukan perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menjaga kredibiliti akhbar tersebut. 

Sekiranya tuan tahu di mana Mohd. Khuzairi Ismail ini bekerja, tuan dinasihati menulis surat kepada ketuanya dan laporkan perkara ini, supaya dengan itu pihak majikannya mengetahui bahawa salah seorang pekerjanya dikatakan melanggar undang-undang harta intelek dan hakcipta, dan jika terbukti benar, tindakan dapat diambil ke atas pekerjanya itu.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Aduan: Pencuri Hakcipta

Assalamualaikum...

"Dengan nama Allah yang maha pengasih dan maha pemurah. Didoakan semoga puan sihat dan sentiasa berada dalam ketenangan dan kekuatan iman".

Puan,

Terlebih dahulu saya meminta maaf kerana mengambil sedikit masa puan membaca emel saya ini. Saya yang tidak berpengetahuan luas berkenaan hak cipta ini ingin memohon nasihat dan pendapat puan berkenaan penulisan saya di blog.

Entri berjudul 'Animasi Pertama Dan Penciptanya' telah saya tulis sekitar awal bulan May 2007 dan telah saya siarkan di blog www.jonos.blogspot.com pada 16 May 2007. Entri itu ditulis setelah saya membuat beberapa rujukan dan berpandukan pengalaman ketika mendapat didikan ilmu animasi di tempat saya bekerja dahulu.

Seorang penulis (Mohd. Khuzairi Ismail - Sifu) sebuah majalah sisipan dari sebuah akhbar (Utusan Malaysia - Sifu) telah menulis artikel yang sama judulnya iaitu 'Animasi Pertama Dan Penciptanya' dan diterbitkan pada hari Rabu, 31 Oktober 2007.

Apabila saya baca, saya merasakan seperti pernah membaca karangan ayat yang terdapat dalam penulisan artikel itu. Setelah menelitinya barulah saya perasan bahawa tulisan itu pernah saya baca di blog saya sendiri.

Menyedari akan persamaan itu lalu saya menyemaknya di blog. Ternyata ianya dipetik dari salah satu entri blog saya dan hanya beberapa patah perkataan sahaja yang berbeza. Seingat saya, tidak pernah saya membenarkan secara bertulis kepada mana-mana pihak menerbitkan entri itu dalam bentuk media cetak. Artikel dalam majalah sisipan itu juga menggunakan nama si penulis itu tanpa sebarang kredit sumber artikel itu diambil.

Ada beberapa artikel lain berkenaan animasi tempatan yang ditulisnya di naskah sisipan itu. Saya lihat ianya juga dirujuk dari blog saya, tetapi menggunakan ayat karangannya sendiri. Setahu saya jika si penulis itu menulis dengan ayat yang dikarangnya sendiri tidak menjadi masalah apa-apa walau dari mana ianya dirujuk.

Dengan kejadian ini, ingin saya meminta nasihat puan, apakah yang perlu saya lakukan? Adakah penulisan saya di blog boleh diterbitkan oleh mana-mana pihak dengan menambah, memotong dan menukar hanya beberapa patah perkataan sahaja lalu diterbitkan dalam apa bentuk sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari saya sebagai pengendali blog.

Saya lampirkan di sini (attach file) keratan muka surat artikel berkenaan di majalah sisipan itu dan link kepada entri tulisan saya di blog. Ribuan terima kasih dari saya kerana puan sudi meluangkan masa membaca emel ini.

jOnOs 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, October 18, 2007

Hak Menentukan Judul Buku

Apabila saudara menandatangani dokumen perjanjian penerbitan PTS, salah satu perkara yang saudara persetujui adalah PTS berhak menentukan apa judul buku saudara.