Friday, September 15, 2006

Hakcipta: Isu Persamaan Jalan Cerita

Isu jalan cerita adalah isu yang menarik dalam undang-undang hakcipta.

Dari satu sudut, jalan cerita dilindungi oleh undang-undang. Justeru, sebagai contoh, katakanlah saudara menonton filem Puteri Gunung Ledang yang dilakonkan oleh Tiara Effendi. Kemudian saudara menulis buku cerita tentang puteri itu di mana jalan ceritanya betul-betul serupa 100 peratus dengan jalan cerita dalam filem tersebut. Dalam kes ini, apa yang saudara lakukan itu melanggar hakcipta.

Ambil pula kes ini: Katakanlah saudara membaca novel kisah benar Dari Kepala Batas ke New Haven karya Ashadi Zain. Selepas membaca novel itu saudara menulis novel yang 50 peratus jalan ceritanya mempunyai ciri-ciri macam jalan cerita dalam novel Ashadi Zain itu. Dalam kes ini saudara tidak melanggar hakcipta.

Filem Puteri Gunung Ledang adalah fiksyen. Jalan cerita filem PGL adalah dicipta oleh Tiara. Justeru, hak parenting ke atas jalan cerita filem PGL itu dimiliki oleh Tiara. Dengan demikian jalan cerita filem PGL dilindungi oleh undang-undang.

Namun cerita Puteri Gunung Ledang itu sendiri adalah harta awam. Sesiapa pun boleh menulis buku tentang mitos PGL tanpa melanggar hak cipta milik sesiapa. Tetapi saudara tidak boleh menulis cerita yang meniru jalan cerita PGL dalam filem PGL, tanpa terlebih dahulu meminta izin daripada Tiara.

Dalam kisah-kisah benar, memang banyak jalan cerita manusia mempunyai ciri-ciri persamaan, yakni tidak unik. Apa yang dialami oleh watak Khalili dalam novel Ashadi Zain itu, banyak juga dialami oleh ramai manusia lain, cuma detail pengalaman mereka itu tidak mungkin serupa. Namun jalan cerita utama manusia-manusia itu adalah serupa.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, September 04, 2006

Mendapatkan Semula Hak Penerbitan

Barangkali dahulu saudara pernah menerbitkan buku saudara dengan sebuah penerbit (Penerbit ABC) dan sekarang saudara hendak menyerahkan buku itu kepada penerbit lain (Penerbit XYZ).

1. Adakah saudara menandatangani sebarang dokumen perjanjian penerbitan dengan Penerbit ABC?

(a) Jikalau saudara tidak ada menandatangani apa-apa dokumen dengan
Penerbit ABC, saudara tidak perlu mengambil semula hak penerbitan buku saudara itu. Saudara boleh terus menyerahkan buku itu kepada Penerbit XYZ.

Banyak penerbit kecil-kecilan yang tidak ambil pusing dengan dokumen perjanjian hak penerbitan. Dari segi undang-undang, tanpa dokumen itu saudara sebenarnya tidak pernah menyerahkan hakcipta dan hak penerbitan buku saudara kepada
Penerbit ABC.

Jadi saudara boleh serahkan buku saudara kepada penerbit lain.

(b) Jikalau saudara ada menandatangani dokumen perjanjian penerbitan, maka saudara perlu menulis surat kepada
Penerbit ABC itu dan memberitahu niat saudara hendak mengambil semula hak penerbitan buku itu.

2. Adakah syarikat
Penerbit ABC itu masih ada, masih beroperasi?

(a) Jikalau
Penerbit ABC itu masih hidup, dan saudara ada menandatangani dokumen perjanjian penerbitan, saudara perlu menulis surat kepada penerbit itu.

(b) Jika
Penerbit ABC sudah mati, sudah tidak beroperasi lagi, saudara perlu menulis surat berdaftar kepada alamat lama penerbit itu, dan simpan surat itu apabila ia dikembalikan, sebagai bukti bahawa saudara sudah cuba menghubungi Penerbit ABC.

Selepas saudara menerima semula surat berdaftar yang saudara kirimkan itu, tunggu 14 hari sebelum menyerahkan buku saudara kepada penerbit baru.

Apabila saudara menulis surat mengambil semula hak penerbitan, sentiasa gunakan khidmat pos berdaftar!

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, July 28, 2006

Terjemahan: PTS Menawarkan Sistem Royalti

Royalti adalah bayaran yang saudara terima apabila saudara memegang hakcipta sesuatu karya. PTS FORTUNA menawarkan bayaran royalti bagi setiap judul karya terjemahan dalam projek siri sastera dunia.Apabila karya terjemahan saudara diterbitkan oleh PTS FORTUNA, saudara akan menerima royalti, serupa sebagaimana yang diterima oleh penulis buku-buku karya original terbitan PTS yang lain.Royalti dibayar selepas dikira jumlah naskhah yang terjual bagi sesuatu tahun itu. Apabila karya saudara laku banyak, maka banyaklah royalti yang saudara terima.

 

Apabila karya saudara laku dijual selama 20 tahun, maka tiap-tiap tahun selama 20 tahun saudara akan menerima royalti saudara.

Ini bermakna, PTS FORTUNA tidak mengamalkan sistem bayaran sebagaimana yang diamalkan oleh penerbit lain seperti DBP ataupun ITNM. Maka tidak timbul isu berapa sen upah terjemahan bagi setiap perkataan.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, July 20, 2006

Masuk Sayembara

Apabila saudara hendak masuk apa jua pertandingan mengarang cerpen, drama dan novel, siasat dahulu apakah ada syarat yang memaksa saudara menyerahkan hak penerbitan karya yang menang kepada si penganjur sampai bila-bila..

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, July 13, 2006

Klausa Bercerai dengan Penerbit

Apabila saudara menandatangani perjanjian penerbitan, baca dengan teliti setiap klausa dalam dokumen itu. Setiap klausa itu ada implikasinya ke atas nasib saudara sebagai pemilik harta intelek.Sekarang sudah sah ada sebuah penerbit yang menghendaki pengarang menyerahkan hak penerbitan karyanya kepada penerbit itu selama 15 tahun. Apakah implikasi tempoh 15 tahun itu?

Sebagai penulis, karya saudara adalah harta saudara, serupa seperti rumah, tanah dan kereta saudara. Sebagai pemilik rumah, adalah bodoh jikalau saudara setuju menyewakan rumah saudara kepada mana-mana individu bagi tempoh selama 15 tahun dengan tidak ada klausa yang memberi hak pada bila-bila masa saudara boleh minta si penyewa mengosongkan rumah saudara itu.

Ambil senario ini: Pada suatu hari nanti saudara mungkin hendak memulakan bisnes sendiri sebagai penerbit. Sebagai seorang penulis, saudara tentu hendak menerbitkan karya-karya saudara sendiri.

Contoh strategi ini adalah penerbit WIRA BUKIT milik A. Samad Said, yang hanya menerbitkan karya-karyanya sahaja. (PTS juga memulakan bisnes dengan menerbitkan buku-buku Puan Ainon Mohd. sendiri yang ditarik balik hak penerbitannya dari penerbit UTUSAN.) Memulakan bisnes penerbitan dengan cara ini amat murah!

Jika saudara tidak berminat hendak membuka bisnes sendiri, suami ataupun anak saudara mungkin berminat. Ambil contoh bagaimana besarnya manfaat yang dinikmati oleh WIRA BUKIT, apabila Helmy, anak lelaki A. Samad Said, dapat menjalankan bisnes yang maju dengan menerbitkan buku-buku ayahnya.

Jikalau buku-buku saudara sudah diikat oleh penerbit itu selama 15 tahun, saudara tidak dapat hendak memulakan bisnes dengan memanfaatkan buku-buku saudara yang sudah sedia ada dalam pasaran.

Baca semula klausa-klausa dalam dokumen yang saudara akan tandatangani itu. Jangan menyesal kemudian!

Bagi pihak penerbit pula, walaupun ia mahukan tempoh 15 tahun, tetapi klausa yang membolehkan mana-mana pihak menamatkan perjanjian itu sebelum tamat tempoh 15 tahun, mesti dimasukkan dengan jelas dan terang dalam dokumen tersebut.

Pada akhirnya, perjanjian penerbitan yang menguntungkan kedua-dua belah pihak, baik penerbit mahupun penulis, adalah perjanjian yang terbaik untuk bisnes.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(19) Diskusi Kuliah | Permalink

Promosi: Ingkar Janji Penerbit

Apabila penerbit ingkar janji, saudara boleh menamatkan persetujuan-persetujuan yang terkandung dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani.Cuba saudara baca semula dalam dokumen itu, ada ataupun tidak klausa yang menyatakan dengan jelas bahawa pihak penerbit akan mengambil tanggungjawab mempromosi, mengedar dan menjual karya saudara?Apakah yang dikatakan 'mempromosi'? Antara bukti-bukti bahawa penerbit saudara itu melakukan aktiviti promosi adalah memasukkan buku saudara dalam katalog yang dicetak, katalog internet, mempamerkan buku saudara dalam pesta buku, menghantar buku saudara ke media massa untuk resensi, mengaturkan penampilan saudara di khalayak supaya orang ramai kenal saudara dan buku saudara, mengaturkan sesi yang membincangkan buku saudara dan lain-lain aktiviti dengan tujuan memperkenalkan buku dan penulis.

Jika saudara dapati selepas setahun jualan buku saudara lembap, tidak laku sebagaimana yang sepatutnya, ini bermakna ada kemungkinan penerbit saudara ingkar janji.

Jika saudara tidak puas hati dengan angka jualan buku saudara, ini pun bermakna ada kemungkinan penerbit saudara ingkar janji.

Jika saudara tidak pernah menerima laporan jualan buku saudara, itu adalah perbuatan ingkar janji pada pihak penerbit.

Jika saudara tidak pernah menerima wang royalti, itu juga membuktikan penerbit saudara ingkar janji.

Sebenarnya sebagai penulis, saudara berhak menamatkan perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani apabila terdapat bukti-bukti jelas bahawa penerbit tidak melakukan langkah-langkah mempromosi, mengedar dan menjual buku saudara, sebagaimana yang tertulis dalam klausa-klausa perjanjian, sehingga saudara tidak puas hati dengan prestasi jualan buku saudara itu.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, July 12, 2006

Hak Penulis dan Penerbit yang Ingkar Janji

Adakah saudara faham tiap-tiap klausa yang terkandung dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani?


Cuba saudara semak semula, ada ataupun tidak klausa yang menyatakan jikalau selepas 6 bulan pihak penerbit saudara tidak mencetak semula karya saudara, maka secara automatis saudara boleh menamatkan perjanjian penerbitan itu?


Banyak penulis tidak sedar akan adanya klausa seperti itu dalam dokumen yang mereka tandatangani, oleh itu mereka menyangka mereka tidak dapat berbuat apa-apa bagi menyelamatkan karya mereka daripada mati begitu sahaja.


Bagi saudara-saudara yang mempunyai buku dengan DBP, sebagai contoh, sudah berapa lama buku saudara tidak dicetak semula?


Cuba risik-risik dengan penerbit lain yang mungkin berminat menerbitkan karya saudara itu. Jika ada, tulis surat rasmi kepada Ketua Pengarah DBP dan nyatakan hasrat saudara hendak menamatkan perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani itu. Poskan surat itu dengan pos berdaftar.


Tunggu sehingga 30 hari, jika saudara tidak menerima apa-apa jawapan bertulis, tulis surat kedua meng-confirm bahawa saudara benar-benar hendak menamatkan perjanjian itu. Poskan surat itu dengan pos berdaftar.


Tunggu 14 hari, jika saudara masih tidak menerima apa-apa jawapan bertulis, bolehlah saudara teruskan perundingan dengan penerbit baru yang berminat hendak menerbitkan karya saudara itu.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Hakcipta: Teladan dari Han Su Yin

Puan Han Su Yin adalah salah seorang pemenang Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan. Ada sebuah novelnya yang tidak akan dapat dibeli lagi sampai bila-bila di kedai-kedai buku, melainkan pembeli hakcipta itu mengizinkannya. Tajuk novel itu "The Four Faces".Hakcipta dan hak penerbitan karya Han Su Yin itu dibeli oleh penerbit filem 20th Century Fox dengan janji ia akan difilemkan. Berdasarkan cadangan itulah maka Han Su Yin bersetuju menyerahkan hakcipta novelnya itu.Centry Fox kemudian membatalkan rancangannya hendak menerbitkan filem berdasarkan novel tersebut. Pada waktu yang sama ia tidak pula menyerahkan karya itu bagi diterbitkan oleh pihak lain.

Ibrah dari kes ini: Apabila hak penerbitan sesuatu karya itu diserahkan kepada pihak ke-2, baik buat sementara ataupun buat selama-lamanya, dengan tidak ada klausa 'escape route', maka tragedi The Four Faces akan berlaku.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(11) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, July 11, 2006

Bagaimana Penerbit Menjaga Hak Moral Pengarang

Dengan izin, sebagai model amalan yang betul pada pihak editor, diperturunkan di sini kenyataan rasmi penerbit O'reilly, tentang prinsip menghormati hak moral pengarang:



The Grant of Rights


You grant us the exclusive right to print, publish, distribute, and sell copies of the book, and works derived from the book, in printed form and in electronic media such as CD-ROM, and to license others to do so, for the duration of the copyright in the book, in all languages, throughout the world. Your name will appear on the title page of the book as its author, but we'll obtain copyright for the book in our name. We may edit, add to, and delete from the book as we wish; however, we will submit all changes to you for approval, which you won't unreasonably withhold.




And we won't do anything without your knowledge and consent. We regard the relationship between editor and author as one of two people working together to create the best possible product. If the two of you can't agree, we may give the editor the final say because we know our editors are all reasonable people! But this doesn't mean that we'll run roughshod over your material and surprise you in print. Baca.





.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

(36) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, April 30, 2006

IKIM dan Hakcipta Buku IKIM













Lesen penerbitan: 21 hari iddah dan rujuk


Apabila saudara memberikan lesen penerbitan kepada mana-mana penerbit, IKIM umpamanya, klausa begini mesti dimasukkan dalam dokumen perjanjian:


“Jikalau dalam masa (21 hari) selepas tamat tempoh pelesenan, pengarang tidak ada apa-apa bantahan yang disampaikan secara bertulis, maka dengan sendirinya tempoh pelesenan itu disambung untuk tempoh (3) tahun lagi.”


Klausa di atas adalah AMAT PENTING kerana:





  1. Klausa itu menyebabkan pegawai-pegawai syarikat penerbit saudara memberikan layanan lebih sopan kepada saudara, sebab jika saudara tidak puas hati dengan layanan mereka, saudara tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik semua buku-buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain yang lebih sopan melayan saudara.




  2. Klausa itu menyebabkan penerbit saudara takut hendak menipu saudara dalam perkiraan royalti dan pembayaran royalti, sebab kalau saudara rasa ia menipu saudara, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain yang lebih pandai berniaga.




  3. Klausa itu menyebabkan penerbit saudara tidak boleh ambil lewa menjual buku saudara, sebab jika tidak laku, saudara tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain yang lebih pandai berniaga.




  4. Jika buku saudara diedit dengan cara-cara yang saudara tidak setuju, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain.




  5. Pegawai-pegawai syarikat penerbit tidak boleh menzalimi saudara. Bukan tidak ada kes pegawai penerbit bergaduh dengan penulis, lalu dia sengaja tidak mahu mengulangcetak buku-buku penulis itu, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain.




  6. Jika syarikat penerbit menghadapi masalah kewangan dan tidak mampu mengulangcetak buku saudara, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain.




  7. Jika syarikat penerbit itu dijual kepada orang lain, umpamanya ia jual kepada bangsa asing, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain.




  8. Jika syarikat itu dibangkrapkan oleh pemiutang, dan harta-hartanya dilelong, tunggu sahaja tamat tempoh pelesenan itu, dan automatik saudara berhak mengambil balik buku saudara dan serahkan kepada penerbit lain.




Klausa ini adalah baik kepada penerbit dan penulis. Dengan adanya klausa ini penerbit akan menjalankan bisnesnya dengan lebih teratur, sebab, kalau banyak perkara tidak betul, semua penulisnya akan lari!


Banyak penerbit Melayu bungkus sebab mereka tidak takut penulis lari, sebab mereka tahu walau apa kezaliman yang dilakukan ke atas penulis, hakcipta dan hak menerbitkan buku itu sudah menjadi milik penerbit. Ini menyebabkan pegawai-pegawai yang menguruskan syarikat itu melakukan banyak kesilapan dalam pengurusan bisnes. Kesilapan yang paling mudah dilakukan adalah bergaduh dengan penulis.


Tanda-tanda awal bisnes sesebuah syarikat penerbitan itu akan merosot adalah apabila penulis-penulisnya mula lari, lepas seorang, seorang. Faktor paling utama penulis lari adalah kerosakan pada hubungan baik antara penulis dengan pegawai-pegawai dalam syarikat itu dan hilangnya rasa kepercayaan. Apabila syarikat nazak, siapa lagi yang untung kalau bukan printer, kerana hutang penerbit yang paling besar adalah kepada printer-printernya.



********

Hak Penerbitan: Bercerai automatis


Apabila saudara melesenkan hak penerbitan karya saudara kepada penerbit, IKIM sebagai contoh, berapa tahunkah tempoh yang saudara telah berikan? Selagi ada bulan dan matahari?


Tempoh yang paling baik adalah antara 3 hingga 5 tahun sahaja. Jangan lebih!


Dalam masa 1 tahun penerbit sudah tahu sama ada buku itu laku ataupun tidak. Kalau buku itu masih berlambak dalam setor, maknanya buku itu tidak laris. Dalam masa 3 tahun penerbit sempat menjual lelong buku-buku yang tidak laku itu, dan cuba mendapatkan semula mana-mana modal yang masih dapat diselamatkan.


Apabila tempoh itu tamat, secara automatik, saudara dan penerbit saudara bercerai! Saudara mendapat semula hak penerbitan buku itu, dan saudara boleh lakukan apa sahaja kepada harta intelek saudara. Saudara tidak perlu menulis surat ataupun bergaduh-gaduh dengan penerbit saudara sebab saudara hendak menyerahkan buku saudara kepada penerbit lain.


Jika buku itu laku, tempoh itu boleh diperpanjangkan selama 3 tahun lagi, dan begitulah seterusnsya.


Buku saudara mungkin bagus, tetapi penerbit saudara yang tidak pandai menjual buku. Saudara boleh cari penerbit lain. Jika hak penerbitan buku itu sudah diserahkan buat selama-lamanya, apa lagi yang dapat saudara lakukan?


Cuba baca semula dokumen perjanjian yang saudara tandatangani. Ada ataupun tidak dituliskan bila tamat tempoh pelesenan hak penerbitan yang saudara berikan itu?



********


Hakcipta: Sudah jatuh, ditimpa tangga


Apakah implikasinya apabila penulis ataupun penterjemah memindahkan hakcipta karyanya kepada penerbit, waima penerbit milik kerajaan sekalipun?





  1. Sampai bila-bila, saudara sebagai penulis ataupun penterjemah tidak menerima apa-apa bayaran lagi.




  2. Jika syarikat penerbit itu tutup, saudara tidak dapat berbuat apa-apa. Katakanlah, besok lusa IKIM ditutup oleh kerajaan, saudara tidak dapat berbuat apa-apa. Jika buku saudara itu masih diminati ramai, dan ada penerbit lain yang berminat menerbitkan karya itu, saudara tidak berhak menyerahkan karya saudara kepada penerbit berkenaan. Dalam situasi begini hakcipta itu dimiliki oleh sebuah organisasi yang tidak beroperasi lagi. Saudara amat rugi, penerbit lain pun amat rugi, malah lebih rugi adalah masyarakat yang tidak dapat membeli dan membaca karya saudara itu. Ingatlah, kemungkinan kerajaan membuka dan kemudian menutup mana-mana kementerian, agensi ataupun jabatan bukanlah perkara yang jarang berlaku! Maka, hanya karyawan bodoh sahaja mahu menyerahkan hakcipta karyanya kepada agensi kerajaan.




  3. Jika syarikat penerbit itu dijual kepada orang lain, hakcipta itu menjadi harta sesiapa yang membeli syarikat itu. Katakanlah PTS dibeli oleh Karangkraf, maka semua hakcipta yang diserahkan kepada PTS menjadi milik Karangkraf sampai bila-bila. Jika PTS dibeli oleh penerbit besar dari luar negara yang dimiliki oleh Yahudi Amerika, maka karya saudara akan menjadi milik Yahudi Amerika itu!




  4. Syarikat itu boleh berbuat apa sahaja sekehendak hatinya ke atas karya saudara, dan saudara tidak dapat berbuat apa-apa.




Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said pernah ditawarkan oleh sebuah syarikat Singapura sebanyak 1.4 juta ringgit untuk semua hakcipta karyanya. Beliau menolak tawaran itu disebabkan beliau teringat suatu kes yang melibatkan salah sebuah novel Pearl S. Buck, pemenang Nobel Prize. Beliau telah menjual hakcipta salah sebuah novelnya dengan harga yang amat lumayan. Kemudian baru beliau sedar, hakcipta itu dibeli supaya novel yang mengkritik dasar-dasar luar Amerika itu tidak dapat diterbitkan lagi oleh mana-mana pihak!




*******


Cetak dan ulangcetak: Hak penulis


Adalah hak penulis diberitahu berapa jumlah cetakan pertama bukunya. Dan setiap kali buku diulangcetak, penulis hendaklah diberitahu jumlah cetakannya dan juga berapa harga jualannya, jika ada perubahan.


Kedua-dua hak ini hendaklah dituliskan dalam dokumen perjanjian penerbitan. Ini memudahkan proses tindakan mahkamah apabila penerbit ingkar memenuhi klausa berkenaan.


Banyak penerbit menipu penulis dengan berbagai cara, antaranya:





  1. Penerbit diam-diam mengulangcetak buku, langsung tidak memberitahu hal itu kepada penulis. Ini bagi mengelak daripada membayar honorarium ataupun royalti sama sekali. Adakah IKIM, secara sedar ataupun tidak, telah melakukan penipuan jenis ini kepada para penulis dan penterjemah buku-buku IKIM yang sedang dalam urusan diulangcetak dengan kerjasama MPH?




  2. Penerbit mencetak 5 ribu naskhah tetapi memberitahu penulis jumlah itu kononnya cuma 2 ribu naskhah. Dengan cara ini penerbit dapat menipu penulis tentang jumlah sebenar honorarium ataupun royalti yang perlu dibayar.




  3. Penerbit mengatakan buku itu tidak laku, tetapi buku itu diulangcetak berkali-kali dengan cara tidak menuliskan pada inprint buku akan maklumat ulangcetak itu. Setiap kali diulangcetak, yang tertulis tetap Cetakan Pertama 1999, umpamanya, padahal buku itu sudah 5 kali ulangcetak! Degan cara ini penerbit dapat lari daripada membayar honorarium ataupun royalti ulangcetak sama sekali.




  4. Buku itu diulangcetak dengan judul baru, supaya penulis tidak sedar bukunya itu diulangcetak. Dengan cara ini penerbit dapat lari daripada membayar honorarium ataupun royalti.




  5. Buku itu diedit dan ditokok tambah, kemudian dicetak semula dengan diberikan nama pengarang lain, di mana nama itu adalah nama rekaan semata-mata. Dengan cara ini penerbit dapat lari daripada membayar honorarium ataupun royalti.




  6. Penerbit diam-diam menaikkan harga jualan buku ulangcetak. Ini dilakukan dengan tidak mencetak harga jualan itu pada buku. Dengan cara ini penerbit dapat mengurangkan honorarium ataupun royalti penulis.




Penerbit yang tidak bersih etikanya mempunyai pelbagai cara membuat keuntungan dengan mengambil kesempatan atas kebodohan penulis.



*******



Hakcipta subsidiari: Si cerdik hanya dapat memakan si bodoh


Salah satu hakcipta subsidiari adalah hak menerbitkan semula cerita asal dalam bentuk skrip filem. Novel “Ranjau Sepanjang Jalan” oleh Shahnon Ahmad pernah difilemkan. Yang terbaru adalah novel “Main-main Cinta” oleh Meor Shariman.


Jangan serahkan hakcipta edisi skrip filem saudara kepada mana-mana penerbit buku. Umpamanya, jika buku saudara diterbitkan oleh IKIM, hakcipta edisi skrip filemnya jangan serahkan kepada IKIM. IKIM bukan penerbit filem, maka IKIM tidak akan memperdagangkan karya saudara ke pasaran industri filem, oleh itu saudara tidak akan mendapat royalti tambahan daripada usaha pemerdagangan seperti itu.


Begitu juga, jangan serahkan hakcipta edisi komik buku saudara kepada IKIM, kerana IKIM bukan penerbit buku-buku komik!


Apabila penulis tidak mempunyai pengetahuan tentang cara-cara yang betul menguruskan harta inteleknya, mereka melakukan banyak tindakan yang amat merugikan diri mereka sendiri.


Salah satu kebodohan penulis adalah menandatangani dokumen perjanjian penerbitan yang menyerahkan SEMUA 25 kategori hak-hak subsidiari karyanya kepada penerbit bukunya, buat SELAMA-LAMANYA!


Siapakah penulis yang paling teruk ditindas penerbit? Jawabnya, penulis muda yang baru pertama kali hendak menerbitkan karyanya. Sampai hari ini, amalan begini masih berleluasa.


Gosip mengatakan Faisal Tehrani adalah salah seorang yang pernah mengalami penindasan seperti itu. Hakcipta salah sebuah novel beliau dipaksa diserahkan kepada penerbit sebagai syarat jika beliau mahu novelnya diterbitkan. Siapakah penerbit itu? Jawabnya, sebuah penerbit novel yang amat terkenal pada masa ini.



*******


Lesen Hak Penerbitan: Jangan ajar si miskin mengail ikan, nanti dia cuma dapat makan ikan. Ajar si miskin berniaga ikan, nanti baru dia kaya....


Apabila saudara menghasilkan sebuah karya, saudara sudah mencipta suatu harta yang berpontensi menjadikan saudara seorang yang kaya. Hakcipta saudara adalah sesuatu yang perlu saudara perdagangkan, barulah dengan itu ia mencipta sumber-sumber kekayaan.


Katakanlah saudara adalah penterjemah “Perjalanan Ibnu Batutah”. Saudara dapat lakukan sebagaimana berikut:





  1. Serahkan hak menerbitkan edisi kulit keras-mewah sahaja kepada IKIM. Dan beri tempoh 3 tahun sahaja, sebab dalam masa 3 tahun itu dijangkakan IKIM mempunyai masa yang secukupnya membuat keuntungan daripada penjualan edisi kulit keras itu. Edisi kulit keras digemari oleh perpustakaan dan golongan berwang.




  2. Selepas tamat tempoh 3 tahun, saudara boleh serahkan hak menerbitkan edisi kulit lembut kepada IKIM ataupun mana-mana penerbit lain. Kulit lembut akan dijual dengan harga lebih murah untuk pembeli individu.




  3. Selepas 3 tahun, saudara serahkan hak edisi ringkasan kepada IKIM ataupun mana-mana penerbit lain.




  4. Serahkan hak edisi komik kepada IKIM ataupun mana-mana penerbit lain.




  5. Serahkan edisi buku bergambar kepada IKIM ataupun mana-mana penerbit lain.




Setiap kali saudara memberikan hak penerbitan karya saudara kepada mana-mana penerbit, nyatakan dengan jelas hak yang mana yang saudara lesenkan, dan untuk tempoh berapa lama.



*******

Malang Pak Kadok:


Hakcipta dan Hak Penerbitan adalah dua konsep yang mesti difahami oleh penulis, demi kebaikan penulis sendiri. Banyak penulis mengalami kerugian besar disebabkan mereka tidak memahami kedua-dua konsep ini.


Hakcipta dan Hak Penerbitan adalah dua hak yang berasingan. Majoriti penulis hanya faham secara kabur konsep 'hakcipta' sahaja. Malah ada Sasterawan Negara yang tidak faham wujudnya apa yang disebut 'hak penerbitan'. Akibatnya mereka menandatangani perjanjian penerbitan yang amat merugikan penulis.


Apabila saudara menulis buku, secara automatik hakcipta dan hak penerbitan buku itu adalah milik saudara. Sesiapa yang memiliki hakcipta karyanya, dia juga memiliki hak menerbitkan karya itu. Baik hakcipta mahupun hak penerbitan, kedua-dua boleh dipindahkan kepada pihak lain.


Jadi ada penulis yang memindahkan hakciptanya kepada penerbit. Sebagai contoh, novel Keris Mas “Saudagar Besar dari Kuala Lumpur” hakciptanya sudah dibeli oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Jadi hakcipta karya itu sudah menjadi milik DBP. Hak Penerbitannya juga dimiliki oleh DBP.


Kalau besok lusa novel “Saudagar Besar dari Kuala Lumpur” itu diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun oleh sebuah penerbit Jepun, dan berjaya dijual 100 ribu naskhah di sana, semua royaltinya diambil oleh DBP. Hakcipta versi terjemahan itu dimiliki oleh pihak Jepun. Jika novel itu diterjemahkan ke dalam bahasa Hindi di India, hakcipta versi terjemahan itu dimiliki oleh pihak di India. Royaltinya diambil oleh DBP. Jikalau novel itu difilemkan, royaltinya pun 100% dikaut oleh DBP.


Jika saudara tidak mahu menjual hakcipta buku saudara kepada mana-mana penerbit, apakah yang mengizinkan sesebuah penerbit menerbitkan buku saudara?


Begini: Saudara hanya mengizinkan penerbit itu menerbitkan buku saudara sahaja. Jadi, kepada penerbit itu, saudara memberikan hak bagi menerbitkan, mencetak, menyimpan, mengedar dan menjual buku saudara. Sebagai imbalan, saudara akan dibayar sekian-sekian banyak royalti ataupun honorarium.


Isunya sekarang, berapa lama tempoh yang saudara benarkan si penerbit memegang hak menerbiktan buku saudara itu?


Cuba saudara baca balik klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani dengan penerbit itu. Ada ataupun tidak dinyatakan tempoh hak penerbitan yang saudara berikan kepada penerbit itu - selama satu tahun, lima tahun, dua puluh tahun, ataupun 'selagi ada bulan dan matahari'?


Dalam tempoh hak penerbitan, walaupun hakcipta buku itu saudara punya, tetapi saudara tidak boleh menukar penerbit saudara. Katakanlah, penerbit saudara adalah IKIM. Berapa tahun saudara berikan IKIM memegang hak menerbitkan karya saudara?


Jikalau dalam dokumen perjanjian penerbitan dengan IKIM itu, tidak disebutkan had tempoh hak penerbitan itu, ini bermakna, saudara menyerahkan hak penerbitan buku saudara itu itu kepada IKIM sampai bila-bila! Ini umpama saudara membuat rumah, jadi rumah itu adalah milik saudara, tetapi saudara sudah memberikan hak menghuni rumah itu kepada orang lain sampai bila-bila.



Kasihan Pak Kadok, ayamnya menang, kampungnya tergadai....


*****

Berita terkini:


Kita mendengar, karya agung "Pengembaraan Ibnu Batutah" terjemahan Syed Nurul Aqla sedang dicetak oleh MPH Printing Sdn. Bhd. Ia dijadualkan siap cetak minggu hadapan. Selain itu ada 4 lagi tajuk IKIM lain juga akan diulangcetak oleh MPH dengan kerjasama IKIM. Hak pengedaran akan diambil oleh MPH Distributors Sdn. Bhd. yang akan mengedarkan buku-buku secara lebih meluas iaitu kepada semua kedai-kedai buku utama.


Apabila dihubungi, Syed Nurul Aqla memberitahu beliau belum dihubungi oleh IKIM berkenaan karya beliau itu.




*****


Untuk saudara yang baru menjadi pembaca blog ini, kita ulangsiar entri ini yang pernah disiarkan pada 21 Ogos 2005.

Apabila saudara menandatangani perjanjian penerbitan buku dengan syarikat penerbit saudara, berapa hak penerbitan buku itu yang saudara serahkan?


Ambil peringatan bahawa apabila saudara mengarang sebuah buku, saudara bukan lagi mencipta sebuah karya. Saudara sudah mencipta sebuah HARTA. Dalam sebuah karya terkandung banyak potensi eksploitasi harta intelek itu.


Apabila saudara membuka perbincangan dengan mana-mana penerbit tentang karya saudara, saudara sebenarnya sedang menjalankan urusniaga ke atas harta intelek saudara.


Walaupun hakcipta karya saudara itu masih saudara pegang, tetapi hak mengeksploitasi karya saudara itu adalah isu lain. Kepada siapakah saudara berikan lesen menerbitkan senarai hak-hak saudara seperti yang tersenarai di bawah?





  1. Hak menerbitkan edisi kulit keras.






  1. Hak menerbitkan edisi kulit lembut.






  1. Hak menerbitkan edisi paperback.






  1. Hak menerbitkan edisi ringkasan.




  2. Hak menerbitkan edisi bergambar.




  3. Hak menerbitkan edisi E-book.




  4. Hak menerbitkan edisi-edisi terjemahan, dan nyatakan dengan tepat ke dalam bahasa apa.




  5. Hak menerbitkan edisi komik.




  6. Hak menerbitkan edisi 'downloadable' melalui Internet.




  7. Hak menerbitkan edisi audio-book.




  8. Hak menerbitkan edisi braille.




  9. Hak menerbitkan edisi bersiri dalam akhbar ataupun majalah.






  1. Hak menerbitkan beberapa bab dalam Internet sebagai bahan promosi.






  1. Hak menerbitkan edisi buku digital dalam bentuk non-downloadable 'hand-held devices'.






  1. Hak menerbtikan edisi adaptasi menjadi skrip animasi.






  1. Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip filem.






  1. Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip siri televisyen.






  1. Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi skrip teater pentas.






  1. Hak menerbitkan edisi adaptasi menjadi modul latihan.






  1. Hak menerbitkan cerita-cerita 'sequal' atau sambungan yang dihasilkan oleh pengarang lain.






  1. Hak mendaftarkan judul buku ataupun nama-nama watak, ataupun wajah watak-watak dalam buku bagi tujuan pemerdagangan.






  1. Hak menjadikan watak-watak dan jalan cerita sebagai computer games.




  2. Hak merchandising.




  3. Hak watak-watak dalam karya saudara dijadikan duta iklan barangan dan kempen komersial.




  4. Hak menerbitkan semula edisi asal mengikut wilayah pemasaran.




Jangan ambil ringan pengurusan Harta Intelek saudara. Pilih dan nyatakan dengan tepat hak penerbitan mana yang saudara lesenkan kepada sesuatu penerbit itu. DAN nyatakan dengan tepat tempoh lesen yang saudara serahkan itu.


Penerbit tentu mahu supaya saudara menyerahkan semua hak ke atas harta intelek saudara kepadanya dengan tempoh yang tiada hadnya. Tetapi saudara jangan terperangkap sehingga saudara menandatangani dokumen yang amat merugikan diri saudara sendiri disebabkan saudara tidak mahu ambil tahu tentang hak-hak saudara sebagai pengarang. Berurusanlah dengan penerbit yang mengamalkan etika bisnes yang baik sahaja. Baca nota kaki di bawah entri ini.



*****

Ini gosip yang semua penulis perlu ambil perhatian kerana ini ada kaitannya dengan harta intelek para penulis!


Seorang kakitangan sebuah syarikat guaman memberitahu, baru-baru ini ada seorang penulis yang bukunya diterbitkan oleh IKIM datang ke pejabatnya bagi mendapatkan nasihat undang-undang berkenaan hakcipta bukunya itu.


Menurutnya si penulis itu, beliau terdengar khabar angin yang mengatakan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sudah setuju menyerahkan semua buku-buku terbitan IKIM kepada Kumpulan MPH di mana MPH diberi hak menerbitkan semula dan mengedarkan buku-buku itu. Kononnya MPH akan membayar royalti kepada IKIM bagi setiap buku yang akan diterbitkannya itu.


Kebanyakan buku-buku IKIM adalah himpunan kertas kerja pelbagai seminar dan persidangan yang dianjurkannya.


Beberapa orang yang kertas kerjanya ataupun karya terjemahannya diterbitkan oleh IKIM memberitahu, mereka tidak pernah menandatangani sebarang dokumen perjanjian penerbitan dengan IKIM di mana mereka secara bertulis bersetuju memindahkan hakcipta mereka kepada IKIM. Mereka juga tidak ada menandatangani sebarang surat pelepasan hakcipta bagi kertas kerja yang mereka tulis itu.


Melainkan seseorang itu menandatangani surat ataupun dokumen yang dengan jelas menyatakan beliau bersetuju memindahkan hakcipta karyanya kepada IKIM, ini bererti IKIM tiada berhak menyerahkan karyanya itu kepada MPH dan MPH tiada berhak menerbitkan, mengedar dan menjual karyanya itu. Dalam kes ini MPH boleh jadi melakukan kesalahan menerbitkan dan menjual barang curi!


Walaupun IKIM mungkin telah membayar honorarium bagi kertas kerja, ataupun terjemahan, tetapi bayaran itu bukan semestinya bermakna si penulis telah bersetuju memindahkan ataupun melepaskan hakciptanya kepada IKIM. Jika khabar angin ini benar, tindakan IKIM menyerahkan harta yang bukan milik IKIM kepada pihak ketiga adalah menyalahi undang-undang harta intelek dan juga salah di sisi Islam.


IKIM boleh menyerahkan buku-buku itu kepada MPH, tetapi ia hanya boleh dilakukan dengan terlebih dahulu mendapatkan persetujuan bertulis daripada setiap pengarang, penulis kertas kerja ataupun penterjemah yang berkenaan.


Kita berharap khabar angin ini tidak benar.



Nota terkini:Menurut suatu sumber yang dapat dipercayai, gosip tentang deal antara IKIM dan MPH ini bukan khabar angin lagi. Filem-filem sebuah buku terbitan IKIM sudah diserahkan kepada pihak MPH awal minggu lalu!

Pengarang buku itu tidak pernah menandatangani sebarang dokumen pelepasan hakcipta ataupun perjanjian penerbitan dengan IKIM. Hingga saat nota ini ditulis, beliau masih belum dimaklumkan berkenaan deal itu.

Bayangkan jikalau IKIM secara tidak sedar telah bersetuju menyerahkan kepada MPH semua 25 hak-hak subsidiari pada karya itu buat selama-lamanya!

Alangkah untungnya MPH. Rezeki datang menggolek....



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(63) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, April 22, 2006

Hari Hakcipta Sedunia

Hari Ahad 23 April 2006 adalah "HARI HAKCIPTA SEDUNIA".

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, February 08, 2006

Jumlah Cetak: Hak Pengarang Mengetahuinya

Penulis-penulis baru kerap berasa segan dan timid (takut-takut) apabila hendak mengemukakan bermacam-macam pertanyaan kepada penerbit berkenaan bukunya yang bakal diterbitkan. Kalau ada apa-apa yang mereka tidak faham dalam dokumen perjanjian penerbitan pun mereka berat mulut hendak bertanya.


Ingatlah, sebagaimana saudara hendak sangat menjaga hati dan hubungan baik dengan penerbit saudara, mereka pun sangat hendak menjaga hati saudara. Malah penerbit menanggung risiko lebih besar apabila hati pengarang gagal dijaga. Satu orang pengarang yang tidak puas hati, habis seluruh masyarakat penulis akan mendapat tahu perkara itu. Dia akan bercakap kepada pengarang-pengarang lain tentang layanan buruk yang diterimanya daripada penerbitnya. Rosaklah integriti dan nama baik si penerbit.


Jadi, saudara jangan segan ataupun timid kepada penerbit saudara. Sebagai pengarang saudara berhak mengetahui pelbagai maklumat berkenaan buku saudara yang akan diterbitkan itu. Penerbit dengan senang hati akan menerangkannya. Isunya, saudara tidak bertanya.


Salah satu maklumat yang saudara patut tahu adalah jumlah cetak. Berapa ribu naskhah bakal dicetak buku saudara itu, maklumat itu saudara berhak tahu. Seribu, dua ribu, ataupun lima ribu?


Begitu juga jumlah royalti yang saudara bakal terima, saudara berhak tahu. Berapa peratus, 5%, 7.5%, 12%? Dan berapa peratus daripada apa? Daripada harga jualan tercetak, ataupun daripada harga jualan selepas ditolak diskaun, ataupun daripada harga dalam invois?


Jikalau saudara mendapati penerbit saudara itu keberatan hendak memberitahu maklumat-maklumat itu, saudara patut berasa curiga mengapa itu harus terjadi. Sebagai pengarang, maklumat itu adalah menjadi hak saudara mengetahuinya.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, January 09, 2006

Penulis, Penerbit dan Buku: Isu Harta Sepencarian

Pada saat ini para pejuang hak-hak wanita Islam sedang hangat mengadakan pelbagai kempen berkenaan isu pindaan undang-undang keluarga Islam yang dipertikaikan sekarang.



Saudara sebagai penulis buku perlu faham sedikit sebanyak konsep HARTA SEPENCARIAN sebab isu ini ada kaitan lansung kepada saudara, dan isu ini menjadi punca rasa tidak puas hati yang amat sangat di kalangan para pejuang hak-hak wanita itu.



Di bawah undang-undang keluarga Islam Malaysia, harta yang dicipta ataupun perolehi semasa saudara berkahwin dengan isteri ataupun suami saudara, adalah HARTA SEPENCARIAN.



Buku-buku yang saudara tulis adalah harta intelektual. Harta intelektual termasuk dalam HARTA SEPENCARIAN, serupa seperti tanah, rumah, saham, kereta dan lain-lain harta tradisional. Semua HARTA SEPENCARIAN boleh dibahagi-bahagikan antara bekas suami dan bekas isteri apabila berlaku perceraian.



Sebagai penulis, di bawah konsep HARTA SEPENCARIAN, apabila berlaku perceraian, baik bekas suami mahupun bekas isteri saudara, mereka berhak menuntut sebahagian daripada royalti buku-buku karangan saudara. Justeru, jikalau saudara penulis perempuan, suami saudara memiliki sebahagaian daripada royalti buku saudara, sampai tamat tempoh hakcipta karya saudara itu – sebagaimana jika saudara pengarang lelaki, isteri saudara juga memiliki sebahagian daripada royalti buku saudara.



Konsep HARTA SEPENCARIAN tidak ada dalam Quran ataupun sunah. Ia adalah konsep yang diambil daripada adat orang Melayu, khususnya adat masyarakat Melayu di Negeri Sembilan. Aturan adat Melayu Negeri Sembilan itu kemudian dijadikan undang-undang keluarga Islam di negara kita.



Konsep HARTA SEPENCARIAN dianggap dapat menjaga kepentingan pihak bekas-bekas isteri, justeru isu ini diperjuangan oleh golongan pejuang hak-hak wanita. Sekarang pejuang-pejuang itu mahu supaya jikalau suami mahu berpoligami, sebahagian HARTA SEPENCARIAN hendaklah diserahkan lebih dahulu kepada isteri yang sudah ada sebelum dibenarkan bernikah baru.



Isu HARTA SEPENCARIAN ini boleh membabitkan para penerbit sebab penerbit mengeluarkan cek-cek royalti bagi buku-buku saudara. Jikalau bekas suami saudara membawa ke mahkamah judul-judul buku saudara dan beliau berjaya meminta mahkamah mengarahkan sebahagian royalti itu dibayar kepada beliau, isu ini tentu memeningkan penerbit. Begitu juga jikalau bekas isteri saudara berjaya melakukan yang sama.



Jikalau buku-buku saudara tidak laku, bekas suami ataupun bekas isteri saudara mungkin tidak berminat menuntut hak HARTA SEPENCARIAN ke atas buku-buku saudara. Tetapi bagaimana jikalau jumlah jualan buku-buku saudara itu adalah satu kategori dengan novel-novel cinta Norhayati Berahim, Fauziah Ashari, Aina Emir dan lain-lain yang dapat membawa pulangan ratusan ribu ringgit?



Jikalau saudara menjadi penerbit, ataupun saudara memiliki saham dalam syarikat penerbitan, syarikat dan saham saudara itu adalah HARTA SEPENCARIAN, oleh itu bekas suami ataupun bekas isteri saudara berhak ke atas sebahagian saham saudara itu.



Jikalau syarikat penerbitan milik saudara kecil dan menanggung banyak hutang, barangkali bekas suami ataupun bekas isteri saudara tidak berminat menuntut haknya, tetapi bagaimana jikalau syarikat saudara itu besar dan banyak membuat keuntungan?



Di bawah konsep HARTA SEPENCARIAN, baik bekas suami mahupun bekas isteri, kedua-dua pihak berhak membuat tuntutan ke atas apa-apa harta yang diperolehi semasa mereka masih berkahwin, tanpa mengira atas nama siapa harta itu didaftarkan, baik atas nama suami mahupun nama isteri.



Dari satu segi, tujuan asal konsep HARTA SEPENCARIAN ini diperkenalkan adalah bagi menjaga kepentingan pihak bekas isteri, yang lazimnya tidak mempunyai harta sebanyak pihak bekas suami. Tetapi dalam sesetengah situasi, konsep ini boleh mencipta kesan gergagi dua mata, ke kiri makan, ke kanan pun makan, sebab ia boleh lebih menguntungkan bekas isteri, ia juga boleh lebih menguntungkan bekas suami.



Kesan gergaji dua mata ini dapat berlaku apabila ditinjau dari sudut perebutan harta benda. Konsep HARTA SEPENCARIAN ini boleh lebih merugikan mana-mana pihak yang lebih kaya daripada bekas suami ataupun bekas isterinya.



Peraturan adat HARTA SEPENCARIAN ini boleh menguntungkan segolongan bekas isteri sahaja, iaitu mereka yang tidak banyak harta. Bagi golongan bekas isteri yang lebih kaya daripada bekas suami mereka, adat ini lebih menguntungkan bekas suami mereka.



Jikalau saudara seorang penulis wanita, dan jualan buku-buku saudara menjadikan saudara lebih kaya daripada bekas suami saudara, undang-undang HARTA SEPENCARIAN ini lebih menguntungkan bekas suami saudara. Begitu juga jikalau saudara seorang penerbit wanita yang kaya-raya, konsep HARTA SEPENCARIAN ini juga lebih menguntungkan bekas suami saudara.



Lazimnya lelaki mempunyai pendapatan yang lebih banyak daripada perempuan, oleh itu banyak harta didaftarkan di bawah nama mereka. Undang-undang HARTA SEPENCARIAN memberi hak yang sama kepada lelaki dan perempuan ke atas harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan.



Disebabkan undang-undang HARTA SEPENCARIAN mengizinkan bekas isteri menuntut sebahagian daripada harta yang didaftarkan di bawah nama suami, maka itulah sebabnya para pejuang hak-hak wanita melihat undang-undang ini selaras dengan matlamat melindungi kepentingan bekas-bekas isteri.



Quran dan sunah mengizinkan baik penulis perempuan, mahupun penerbit perempuan, menulis dan membuat sebanyak-banyak harta, dan menyimpan hartanya itu bagi dirinya, baik sebelum mahupun selepas berlaku perceraian. Suami ataupun bekas suami tidak boleh menuntut isteri ataupun bekas isteri menyerahkan apa yang menjadi hartanya kepada suami ataupun bekas suaminya.



Sekarang di Malaysia, ada undang-undang lain, yang berasal daripada amalan adat HARTA SEPENCARIAN masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, yang mengizinkan bekas-bekas suami menuntut sebahagian daripada royalti buku-buku, ataupun saham syarikat penerbitan milik bekas isteri mereka, yang diperolehi dalam tempoh perkahwinannya.



Bagaimana jikalau saudara seorang penulis perempuan, ataupun penerbit perempuan, dan saudara lebih kuat berkerja daripada bekas suami saudara, dan saudara juga lebih pandai mencipta harta kekayaan daripada bekas suami saudara, pelaksanaan undang-undang HARTA SEPENCARIAN ini, yang tidak ada dalam Quran dan sunah, yang memberi hak kepada bekas suami saudara menuntut sebahagian royalti buku-buku saudara, ataupun sebahagian saham syarikat penerbitan saudara, adakah saudara akan menerima konsep ini dengan dada lapang?



Mengapakah barangkali, baik Quran mahupun sunah, kedua-duanya tidak memperkenalkan hukum yang menyerupai konsep adat HARTA SEPENCARIAN bagi melindungi kebajikan bekas-bekas isteri - masakan Allah dan Nabi Muhammad SAW terlupa. Allah-lah yang lebih tahu.




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, December 22, 2005

Selepas Kontrak Nama, Kontrak Apa?

Apabila nama komersial pengarang novel-novel cinta dianggap amat berharga dan penting bagi bisnes penerbit, isu yang sebenar di sebalik langkah itu adalah masalah pengurusan bakat penulis dalam menghadapi persaingan daripada kemunculan pemain-pemain baru dalam industri novel cinta.


Langkah mana-mana penerbit menyekat para penulisnya daripada menggunakan nama komersial yang sama apabila menerbitkan karyanya dengan penerbit lain dapat dilihat sebagai usaha menghalang penulis daripada meninggalkan penerbit itu dan lari ke penerbit lain.


Klausa sekatan ke atas nama komersial tidak dapat menyekat penulis daripada menggunakan nama komersial yang sama apabila menerbitkan karya barunya dengan mana-mana penerbit lain. Hanya dengan menambah ataupun menukar SATU HURUF sahaja pada nama komersial itu penulis sudah dapat melepaskan dirinya daripada belenggu klausa tersebut.


Dalam industri muzik, kontrak yang menjadi amalan standard adalah kontrak tempoh, bukan kontrak nama. Dalam industri itu penyanyi dikenakan sekatan tidak boleh merakamkan lagu dengan mana-mana penerbit lain selama tempoh 2 ataupun 3 tahun ataupun lebih. Opsyen kontrak tempoh sudah difikir-fikirkan oleh kalangan penerbit novel-novel cinta.


Satu lagi opsyen adalah kontrak produk di mana penulis disekat daripada menerbitkan buku yang serupa, yang dapat menyaingi bukunya dengan penerbit itu. Kontrak ini memang amalan standard dalam industri buku, apa jenis buku sekalipun. Saudara semak sahaja klausa-klausa dalam dokumen perjanjian penerbitan saudara sekarang, di mana sekatan itu dinyatakan dengan jelas sekali.


Kontrak produk yang digunakan pada masa ini perlu ditafsirkan dan diuji di sisi-sisi undang-undang. Apabila penulis novel cinta menulis novel “Panah Cintamu” untuk satu penerbit, kemudian dia menulis novel “Kolam Cintamu” untuk penerbit lain, apakah dia melakukan pelanggaran klausa kontrak produknya dengan penerbit pertama? Isu ini perlu dirujukkan kepada peguam yang pakar dalam bidang ini.


Jika klausa sekatan produk ini perlu diperketatkan, penerbit boleh menyatakan dalam dokumen perjanjian penerbitannya dengan menggunakan perkataan-perkataan yang lebih spesifik, ciri-ciri novel cinta daripada pengarang yang sama yang disekat daripada diterbitkan oleh penerbit lain.


Dari satu sudut lain, langkah memperketatkan klausa-klausa sekatan dalam dokumen perjanjian penerbitan hanya mengancam objektif asal perjanjian itu, yakni menjaga kepentingan bisnes penerbit. Penulis yang pintar tidak akan mahu menerbitkan karyanya dengan penerbit yang mengenakan pelbagai sekatan ke atas kreativitinya.


Kita balik kepada isu pengurusan bakat. Aset penerbit yang paling bernilai adalah bakat-bakat penulis yang karyanya diterbitkan. Sebarang tindakan yang dapat mendorong para penulis terus setia kepada penerbit adalah sebaik-baik strategi dalam pengurusan bakat penulis.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, December 21, 2005

Milik Siapa Nama Komersial?

Adakah saudara baru belajar menulis? Sebagai penulis baru, saudara perlu tahu hak-hak saudara ke atas harta intelektual yang saudara cipta, yakni buku saudara.


Katakanlah, dalam kad pengenalan saudara, nama saudara sekarang dieja AB. GANI BIN ABD. LATIP suatu ejaan yang dianggap berbau 'nama kampung'. Penerbit saudara mengubah ejaan nama saudara itu menjadi ABD. GHANI LATIFF yang dianggap lebih moden dan lebih sesuai bagi tujuan komersial.


Bolehkah penerbit saudara memaksa saudara menandatangani perjanjian penerbitan yang menyekat saudara daripada menggunakan ejaan ABD. GHANI LATIFF pada buku-buku saudara yang diterbitkan oleh penerbit lain?


Katakanlah, saudara dipaksa menggunakan nama komersial yang dicipta oleh penerbit itu, umpamanya nama komersial yang dicipta untuk saudara adalah ABDULLAH JONES. Siapakah pemilik nama komersial saudara itu, saudara ataupun penerbit?


Isu siapa yang memiliki hak penggunaan nama-nama komersial pengarang kini menjadi isu hangat di kalangan penulis-penulis novel cinta tanah air kita. Puncanya begini, baru-baru ini sebuah penerbit tempatan memasukkan klausa baru dalam dokumen perjanjian penerbitan yang menyekat pengarang daripada menggunakan nama komersialnya pada buku-bukunya yang diterbitkan oleh penerbit lain selepas menandatangani perjanjian itu.


Dari satu sudut, langkah itu adalah usaha penerbit bagi menjaga kepentingan bisnesnya. Dengan meletakkan klausa sekatan itu, diharapkan pengarang tidak akan lari ke penerbit lain. Tetapi dari satu sudut lain, klausa itu boleh menyebabkan pengarang yang sudah terkenal tidak mahu menerbitkan karyanya dengan penerbit itu lagi.


Nama komersial adalah nama samaran. Nama samaran adalah suatu amalan lazim dalam semua sektor penerbitan, baik penerbitan buku, muzik, ataupun filem. Nama P. RAMLEE, SALOMA, KRU, dan MAWI adalah nama-nama samaran. Syarikat-syarikat penerbit muzik dan filem tidak pernah menyekat artis mereka daripada menggunakan nama samaran yang sama apabila menyanyi ataupun berlakon di bawah label penerbit lain.


Di PTS, ada pengarang yang menggunakan ejaan nama yang berbeza daripada ejaan nama mereka pada kad pengenalan. Ada juga yang menggunakan nama samaran. PTS tidak meletakkan klausa sekatan penggunaan nama-nama itu dalam perjanjian penerbitannya.


Strategi PTS bukanlah menjadikan pengarang takut hendak lari ke penerbit lain, sebaliknya adalah dengan cara-cara yang menjadikan pengarang-pengarang PTS tidak mahu lari ke penerbit lain.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, September 14, 2005

Poligami dan Penulis

Berita panas hari ini: Suami yang hendak berpoligami diwajibkan terlebih dahulu menyerahkan hak harta sepencarian kepada isteri yang ada sebelum diizinkan mengambil isteri kedua.


Sebagai penulis, royalti karya saudara adalah termasuk dalam harta sepencarian. Jadi isu ini ada kaitannya dengan saudara.


Apakah pandangan kita berkenaan pindaan undang-undang yang terbaru ini bagi menyekat poligami?


Kita berpandangan, jikalau sesuatu peraturan itu baik bagi manusia, tentulah Quran dan Nabi Muhammad SAW sudah menetapkannya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, August 24, 2005

Pencetak Merompak Penerbit

Salah satu risiko apabila buku saudara meletup-letup dalam pasaran adalah ia dicetak rompak. Dalam sejarah industri buku negara kita, pertama, buku yang paling banyak menjadi mangsa cetak rompak adalah buku Shahnon Ahmad “SHIT” dan kedua buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri.”


“SHIT” dirompak dengan bantuan pencetak buku dan dijual di pasaran terbuka, manakala “50 DALIL” dicetak menggunakan mesin fotokopi dan dijual dalam pasar gelap.


Buku-buku yang dicetak rompak adalah buku-buku yang permintaannya amat tinggi. Para pencetak buku memainkan peranan penting membolehkan perkara ini berlaku. Lebih penting lagi adalah terdapatnya pengedar, kedai buku dan individu-individu yang mahu menjual buku-buku cetak rompak itu.


Pada masa ini buku-buku cetak rompak yang paling banyak terjual dalam pasaran tempatan adalah buku-buku Cina dari Hong Kong dan Taiwan yang dicetak rompak di negara ini dan dijual secara terbuka dengan harga yang amat berpatutan berbanding dengan harga buku original yang diimpot.


Bagi merahsiakan kelarisan sesuatu buku, sesetengah penerbit sengaja tidak melancarkan buku-bukunya disebabkan mereka tidak mahu para perompak tahu bahawa buku itu laris di pasaran.


Berikut adalah beberapa panduan bagi mengurangkan risiko pencetak buku-buku saudara sendiri daripada mencetak-rompak buku saudara.





  1. Ambil semua filem dan plat daripada penerbit dan simpan sendiri. Jangan benarkan penerbit menyimpan barang-barang itu.




  2. Lantik pencetak yang rekodnya terkenal bersih. Siasat dahulu latar belakang mana-mana pencetak yang hendak saudara lantik.




  3. Lantik pencetak yang hanya membuat kerja-kerja mencetak sahaja. Dia tidak mempunyai syarikat lain. Ingat: Ada pencetak yang mempunyai anak syarikat membuat filem, anak syarikat penerbitan, dan juga anak syarikat pengedaran buku. Ini amat berbahaya. Dia dapat diam-diam mencetak buku saudara, dan dia dapat mengedarkan buku saudara!




Barangkali saudara ingin tahu mengapa novel-novel cinta remaja Alaf21 yang laku beratus ribu naskhah itu tidak dicetak rompak. Beginilah penerangannya:





  1. Alaf21 mencetak sendiri novel-novelnya.




  2. Tidak ada pengedar dan pekedai yang berani menjual buku cetak rompak Alaf21 disebabkan Karangkraf mempunyai senapang besar yang dapat diacukan ke kepala mereka. Karangkraf boleh ugut mereka lebih kurang begini, “Kalau kami dapat tahu kamu jual novel kami yang dicetak rompak, kamu takkan dapat bekalan 34 buah akhbar dan majalah kami yang lain!”




Buku-buku Cina dari Taiwan dan Hong Kong dicetak rompak dengan meleluasa di sini disebabkan penerbit asal tidak berupaya menghalang perkara itu daripada berlaku.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, August 23, 2005

Surat Peguam Bekas Suami Penulis

Apabila saudara menjadi penerbit, macam-macam perkara akan saudara alami. Hati-hati sebelum melaksanakan sebarang keputusan dan tindakan. Ambil contoh kes di bawah:

En. Salimon adalah seorang akauntan yang mempunyai syarikat sendiri. Beliau berkahwin dengan seorang guru sekolah rendah yang kemudian menjadi novel yang terkenal, Puan Zulikhah. Novelis itu mempunyai 7 buah novel yang masing-masing amat laris dalam pasaran, diterbitkan oleh penerbit ABC.

Pasangan itu kemudian bercerai.

Peguam Puan Zulikhah menyenaraikan harta-harta sepencarian pasangan itu sebagai tuntutan supaya dibahagi dua, iaitu sebuah rumah banglo kediaman mereka sebelum bercerai, sebuah ruang pejabat, 2 buah pangsapuri yang disewakan, sebuah rumah kedai yang masih dalam pembinaan, 3 keping tanah dan dua buah kereta mewah. Semua harta itu dibeli oleh En. Salimon.

Peguam En. Salimon menyenaraikan harta atas nama Puan Zulikhah yang diperoleh selama mereka berkahwin iaitu saham bernilai RM2 juta dalam sebuah hotel, simpanan wang tunai di ASN bernilai RM230 ribu, simpanan tetap di bank bernilai RM200 ribu, 3 buah kereta, dan semua tujuh judul novel Puan Zulikhah, dalam tuntutan balasnya.

Peguam En. Salimon menulis surat kepada penerbit ABC untuk mendapatkan laporan nilai royalti yang dibayar kepada Puan Zulikhah bagi setiap judul novelnya.

Jika saudara menjadi pengurus syarikat penerbit ABC, saudara tidak perlu menjawab surat peguam En. Salimon itu. Rekod-rekod perniagaan sesebuah syarikat adalah rahsia syarikat itu. Saudara hanya wajib menjawab surat tersebut apabila surat itu disertai dengan dokumen perintah mahkamah.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, August 22, 2005

Perjanjian Penerbitan

Adakah saudara merancang menjadi penerbit?



Salah satu perkara yang saudara perlu sediakan adalah dokumen perjanjian penerbitan. Jangan menerbitkan sebarang buku sebelum mendapatkan tandatangan penulis.



Di Malaysia, baru ada dua kes hakcipta. Satu adalah kes Sasterawan Negara Dato' Syed Alwi lawan Dewan Bahasa dan Pustaka di mana plaintif menang. Satu lagi adalah kes yang melibatkna filem “Dia Ibuku” di mana defendan menang.



Kes SN Syed Alwi begini: Syed Alwi menyerahkan manuskrip buku drama kepada DBP untuk diterbitkan. DBP mencetak dan menerbitkan manuskrip itu menjadi buku sebelum Syed Alwi menandatangani perjanjian penerbitan dengan DBP. Ertinya DBP menerbitkan buku itu tanpa persetujuan Syed Alwi. DBP kalah dan diarahkan membayar gantirugi kepada Syed Alwi.



Dalam kes “Dia Ibuku” pula, seorang penulis mendakwa penerbit filem itu mencuri hakciptanya. Si penulis menunjukkan sebuah manuskrip yang jalan ceritanya mempunyai banyak persamaan dengan jalan cerita “Dia Ibuku”. Mahkamah berpendapat hujah 'banyak persamaan dalam jalan cerita' bukan bukti kukuh bahawa idea dalam filem itu dicuri daripada karya si penulis itu.



Jikalau saudara menerbitkan buku saudara sendiri sekalipun, saudara perlu menandatangani perjanjian itu antara saudara sebagai pengarang dengan syarikat penerbit, yang kebetulan saudara adalah pemegang saham utamanya.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Melantik Peguam Peribadi

Siapakah yang lebih layak menguruskan perundingan antara saudara sebagai pengarang buku dengan penerbit buku? Adakah lebih baik saudara melantik peguam bagi mewakili saudara?



Saudara boleh melantik peguam, TETAPI peguam itu hendaklah seorang yang mengetahui undang-undang Harta Intelek.



Benar, dokumen perjanjian penerbitan adalah dokumen kontrak. Tetapi ia bukan kontrak jual beli kereta, rumah, kedai ataupun saham syarikat dan lain-lain harta. Yang pasti saudara sudah mengarang sebuah buku. Harta Intelek adalah harta yang tak konkrit, yang mungkin ada dan mungkin tiada.



Buku yang saudara karang itu mungkin tak laris jualannya, barangkali hanya laku 1000 naskhah. Tetapi apabila ia difilemkan, filem itu berjaya menjadi box-office.



Kos melantik peguam bukan murah. Kalau saudara melantik peguam, belum tentu peguam itu tahu selok-belok harta intelek. Jangan-jangan dia belum pernah membaca dokumen perjanjian penerbitan. Apabila dia bukan pakar harta intelek, dia tidak faham jargon penerbitan dalam dokumen perjanjian itu.



Ini kisah benar. Seorang penulis yang amat terkenal melantik seorang peguam sebagai pengurus bagi menjaga kepentingannya.


Pada suatu masa si penulis menghantar manuskripnya kepada penerbit ABC. Apabila pengurus penerbit ABC mengemukakan dokumen perjanjian penerbitan, si penulis menyerahkan dokumen itu kepada peguamnya supaya disemak isi kandungannya.


Si peguam meminta supaya kos setem dibayar oleh penerbit. Lazimnya ia dibayar oleh penulis. Permintaan itu diterima oleh penerbit (sebab kos setem itu cuma RM10!)


Kemudian si peguam meminta persen royalti serupa dengan yang dinikmati oleh penulis itu daripada DBP. Permintaan itu ditolak oleh penerbit ABC disebabkan semua penulis diberi layanan serupa oleh penerbit itu, tanpa kekecualian, waima penulis itu adalah ahli lembaga pengarah syarikat itu sendiri. Akibatnya si penulis menarik balik keputusannya mahu menerbitkan bukunya dengan penerbit ABC.


Si penulis kemudian menghantarkan karyanya ke DBP. Tiga tahun sudah berlalu, buku itu masih belum terbit. Jikalau buku itu diterbitkan oleh penerbit ABC, royalti daripada jualan dalam tempo 3 tahun itu sudah dapat dinikmatinya. Kalau setahun dia boleh menerima royalti RM2 ribu daripada penerbit ABC, ertinya kos melepasnya adalah RM6 ribu. Bagaimana kalau lebih?


Ingatlah, peguam yang saudara lantik itu memang betul seorang peguam. Tetapi dia mungkin tidak mempunyai cara berfikir seorang bisnes. Dia mungkin lulus kelas satu di universiti, tetapi apabila saudara membuat hubungan dengan sebarang penerbit, saudara sudah masuk ke alam bisnes. Peguam pilihan saudara itu mempunyai IQ bisnes ataupun dia itu peguam totok?


Penerbit saudara adalah rakan niaga saudara. Hati-hati memilih penerbit. Pertama, cari penerbit yang etika bisnesnya dapat saudara percayai. Kedua, cari penerbit yang dapat menerbitkan karya saudara dengan cepat.


Ingat, masa yang terbuang adalah wang yang hilang. Makin lambat buku saudara terbit, makin banyak saudara menanggung kerugian.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, August 21, 2005

RM2 Ribu untuk Sebuah Sinopsis Cerita?

Ya! RM 2 ribu adalah bayaran yang dibuat oleh sebuah penerbit untuk sebuah sinopsis jalan cerita khayalan tentang siapa sebenarnya yang menerbangkan pesawat-pesawat yang menyerang bangunan World Trade Centre dalam peristiwa September 11.



Sekali pandang, nampaknya pencipta sinopsis itu amat beruntung. Dia berjaya menjual sebuah sinopsis cerita yang ditaip atas tiga helai kertas, pada harga yang begitu baik.



Cerita lengkap sinopsis itu belum mula ditulisnya disebabkan dia sibuk dengan projek lain. Hanya ringkasan cerita sahaja yang siap ditulis. Baru sinopsis pun penerbit sudah sanggup membelinya pada harga RM 2 ribu.



Katakanlah saudara mencipta sebuah cerita, kemudian saudara menuliskan jalan cerita itu dalam bentuk sinopsis. Kemudian saudara menjual sinopsis itu kepada penerbit ABC. Apakah implikasinya?





  1. Disebabkan saudara sudah menjual hakcipta cerita itu kepada penerbit ABC, ini bermakna, saudara tidak lagi mempunyai apa-apa hak lagi ke atas cerita itu. Senang cakap: Cerita itu bukan lagi saudara punya.







  1. Penerbit ABC berhak melakukan apa sahaja kepada cerita itu. Sebagai contoh ia boleh menjual cerita itu kepada penerbit lain dengan harga RM10 ribu.






  1. Penerbit ABC boleh mencari pengarang lain bagi menuliskan cerita lengkap dan menerbitkannya.






  1. Penerbit ABC boleh melarang saudara daripada menulis apa-apa karya berdasarkan cerita itu dan menerbitkannya dengan penerbit lain.






  1. Penerbit ABC boleh menghasilkan produk lengkap seperti buku, komik, animasi, filem, drama dan apa-apa produk derivatif daripada cerita itu. Satu sen pun saudara tidak akan dapat daripada penjualan produk-produk itu.




Apa yang hendak dihairankan apabila penerbit sanggup membayar RM 2 bagi tiga keping kertas yang di atasnya tertulis sebuah jalan cerita yang mempunyai ciri-ciri yang kemudian dapat dieksploitasi dengan pelbagai cara dan di mana setiap cara itu adalah sumber keuntungan.


Pernahkah saudara membaca cerita Pak Pandir dengan tiket kereta api?


Pada suatu hari Pak Pandir hendak ke Singapura dengan menaiki kereta api. Dia pun pergi ke stesen dan membeli tiket perjalanan jam 10 pagi. Kerana lambat, kereta api bertolak tanpa menunggunya. Melihat kereta api pergi, sambil memegang tiketnya, Pak Pandir berkata, "Engkau tinggal aku! Tak apalah, tiketnya ada pada aku!"


Hati-hati apabila saudara menjual sebarang karya ciptaan saudara kepada mana-mana pihak. Ramai penulis tidak faham implikasi jual-beli hasil ciptaan mereka dengan penerbit.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, August 18, 2005

Penulis akan Dipaksa Ikat Kontrak dengan Penerbit?

Gosip terbaru dalam dunia penerbitan buku bunyinya begini: Ada sebuah penerbit besar yang berura-ura hendak mengenakan syarat kepada penulis yang mahu menerbitkan karyanya dengan penerbit itu supaya menandatangani kontrak eksklusif.


Senang cakap beginilah: Kalau saudara hendak menerbitkan novel saudara dengan Penerbit ABC, saudara hendaklah menandatangani perjanjian di mana selama 5 tahun saudara tidak boleh menerbitkan karya saudara dengan mana-mana penerbit lain.



Kontrak eksklusif ini menyerupai kontrak yang diamalkan oleh penerbit-penerbit muzik.



Sebagai penulis, apa pendapat saudara?


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, August 09, 2005

Karyawan Makan Sekali, Penerbit Makan Berkali-kali

Setiap bulan wartawan daripada sebuah akhbar gaya hidup menelefon seorang penggubah hantaran pengantin. “Ada tempahan bulan ini?” tanya si wartawan.

“Ada,” jawab si penggubah dengan gembira.

“Ok, nanti saya datang dengan jurufoto,” kata wartawan itu.

Seperti yang dijanjikan, apabila semua gubahan sudah siap, wartawan dan jurufoto itu pun datang dan mengambil gambar-gambar gubahan dengan cara-cara yang profesional bagi disiarkan dalam akhbar itu dalam kolum “Gubahan Minggu Ini”.

Setiap bulan si penggubah menerima cek bayaran daripada akhbar itu kerana gambar gubahannya disiarkan. Bagi setiap gambar gubahan yang disiarkan dia dibayar RM100. Ia adalah pendapatan tambahan selain bayaran yang diterima daripada keluarga pengantin yang menempah gubahannya.

Keadaan ini berterusan selama lebih 2 tahun.

Pada suatu masa si penggubah pergi ke kedai majalah dan ternampak buku cantik dengan tajuk “Sirih dan Pinang Untuk Pengantin” yang sangat cantik kulitnya, dijual dengan harga RM32 senaskhah. Dalam buku itu terdapat bermacam-macam gubahan sirih pinang buat hantaran pengantin.

Sebagai seorang penggubah hantaran, dia terus mengambil buku itu dengan niat membelinya untuk rujukan dan sumber ilham apabila dia sendiri membuat gubahan untuk pelanggan-pelangganya. Buku itu diterbitkan oleh penerbit akhbar gaya hidup yang selalu menyiarkan gambar gubahannya.

Daun-daun halaman buku itu diselak, diselak dan diselaknya. Hampir 50% gambar-gambar yang disiarkan di dalam buku itu adalah gambar-gambar gubahannya yang dulu pernah disiarkan dalam kolum akhbar. Berderau darahnya!

Bulan demi bulan berlalu, dia menunggu jikalau ada cek datang dari penerbit itu. Cek yang ditunggu-tunggu tidak juga datang. Dia berasa dirinya sudah tertipu sebab penerbit telah membuat banyak keuntungan daripada gubahannya, manakala dia tidak dibayar apa-apa lagi.

Wajarkah si penggubah berasa dirinya ditipu oleh si penerbit? Wajarkah penerbit membayar sekali sahaja kepada si penggubah, tetapi menggunakan gubahannya itu berkali-kali untuk mengaut lebih banyak keuntungan?

Bolehkah si penggubah membawa kesnya ke mahkamah?

Siapakah yang memiliki harta intelektual ke atas karya gubahan hantaran pengantin? Adakah ia milik si penggubah?

Apabila penerbit membayar RM100 bagi setiap gubahannya yang diterbitkan, di mana gambar-gambar itu diambil oleh jurufoto yang bertugas dengan penerbit, adakah harta intelektual ke atas gambar-gambar itu milik si penerbit?

Dalam kes ini, bahan-bahan yang digubah adalah milik keluarga pengantin. Upah membuat gubahan itu sudah dibayar oleh keluarga pengantin.

Bolehkah si penggubah membenarkan mana-mana penerbit mengambil gambar-gambar gubahannya itu dan menerbitkannya, dan pada waktu yang sama si penggubah sendiri menerima bayaran atas gubahan itu daripada penerbit?

Kisah benar di atas berlaku disebabkan para penyumbang bahan penerbitan tidak mempunyai pengetahuan berkenaan undang-undang harta intelektual dan bagaimana cara-cara yang betul apabila berurusan dengan pihak yang menerbitkan harta intelektual mereka.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, August 06, 2005

Ustaz Mencuri Hakcipta

Cuba saudara baca buku-buku agama yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit tempatan. Ada dua perkara yang mudah saudara perasan:



1. Buku itu kecil-kecil, isinya berkenaan topik-topik konvensional dalam agama, seperti panduan-panduan beribadat dan cerita-cerita sirah. Ia dijual pada harga yang tidak lebih daripada RM20.


2. Gaya bahasanya ketinggalan zaman, gaya bahasa klasik, berbelit-belit, banyak mengandungi pengaruh bahasa Arab DAN terdapat kosa kata INDONESIA! Tapi nama pengarangnya nama orang Melayu Malaysia.


Penulis-penulis buku agama di Malaysia ini mempunyai beberapa ciri yang unik bagi masyarkat penulis:


1. Penulis buku-buku agama Malaysia adalah suatu komuniti yang paling aktif mencuri hakcipta penulis-penulis lain. Bukan semua mencuri, tetapi nisbah pencuri di kalangan mereka amat tinggi.


3. Sesetengah buku agama itu tidak mencetak nama pengarangnya. Jikalau buku itu sesungguhnya karya asli, sipengarang tentu mahu supaya namanya dicetak pada kulit buku-bukunya. Kesanggupan mengizinkan penerbit tidak mencetak nama pengarang adalah unik di kalangan komuniti penulis buku agama sahaja.


4. Sesetengah buku agama menyebutkan bahawa nama penulis itu adalah sebagai 'penyusun'. Dari mana dia mengumpulkan bahan-bahan yang disusun menjadi bukunya itu, kalau bukan bahan-bahan yang dihasilkan oleh orang lain?


5. Mereka paling suka menjual hakcipta kepada penerbit buku-buku agama. Jangan hairan jikalau ada ustaz pergi berjumpa penerbit dengan membawa 4 atau 5 manuskrip buku agama dengan tujuan menjual hakcipta mereka kepada penerbit itu.


6. Mereka adalah golongan penulis yang paling ramai ditipu penerbit.


Seorang penulis datang membawa 7 manuskrip bukunya kepada sebuah penerbit. "RM2 ribu untuk satu buku pun, cukuplah," katanya kepada editor yang ditemuinya.


"Kami tidak membeli manuskrip, ustaz. Semua penulis kami menerima royalti," editor itu menerangkan dengan rasa bangga akan dasar penerbitan syarikatnya. Muka ustaz itu menunjukkan emosi kecewa.


Dari segi psikologi, seseorang yang sangat tinggi dorongannya hendak menjual hartanya adalah disebabkan dia tidak meletakkan nilai yang tinggi kepada hartanya. Mengapakah penulis-penulis buku agama sangat hendak menjual manuskrip-manuskrip mereka? Sebab, manuskrip-manuskrip mereka itu bukan sebenar-benarnya sesuatu yang mereka hasilkan dengan penat lelah yang lazimnya dilalui oleh penulis-penulis tulen.


Buku-buku agama konvensional yang ditulis oleh penulis-penulis tempatan mengandungi unsur-unsur bahasa Indonesia disebabkan banyak bahagian di dalam buku mereka berasal daripada bahan-bahan yang dicuri daripada buku-buku agama hasil karangan ataupun terjemahan yang dilakukan di Indonesia.


Salah satu faktor yang menyebabkan penulis-penulis agama tidak berasa berdosa melakukan perbuatan mencuri itu datang daripada salah anggapan di kalangan kita yang menyangka buku-buku agama adalah berbeza daripada buku-buku bukan agama.


Kita selalu mendengar ustaz-ustaz bercakap dalam ceramah bahawa segala sesuatu dilakukan oleh orang-orang mukmin dengan tujuan semata-mata kerana Allah. Jadi tidak mengapa jikalau karya-karya orang mukmin itu kita anggap sahaja sudah diwaqafkan kepada semua Islam, oleh itu bolehlah dipergunakan oleh orang-orang lain untuk mengaut keuntungan peribadi.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, August 02, 2005

Penulis Bangkit!

Pernahkah saudara mengikuti kursus berkenaan harta intelek yang disampaikan oleh peguam yang pakar dalam bidang itu?

Ada beberapa perkara di mana kita semua sebagai penulis mesti bangkit dan berjuang bagi mempertahan hak-hak kita.

Cuba saudara baca hati-hati setiap klausa yang tercetak dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani dengan penerbit saudara. Semak perkara-perkara di bawah:

1. Adakah hakcipta karya saudara dipindahkan kepada penerbit, ertinya bukan saudara punya lagi? Kalau ya, adakah saudara menyetujui perkara itu sejak awal lagi? Ertinya saudara hanya dibayar sekali sahaja.

2. Jika hakcipta masih milik saudara, itu bermakna saudara hanya menyerahkan HAK MENERBITKAN karya saudara sahaja yang saudara berikan kepada penerbit. Ertinya saudara dibayar royalti. Tiba di sini saudara mesti baca dokumen itu dengan hati-hati! Berapa lama tempoh penyerahan hak menerbitkan itu yang disebutkan dalam perjanjian saudara? 3 tahun? 5 tahun? selama-lamanya?

Sepanjang yang saya tahu, adalah menjadi kelaziman di kalangan penerbit Malaysia mengambil hak menerbitkan karya penulis buat selama-lamanya, termasuk penerbit-penerbit yang besar-besar. Saya mungkin salah, tetapi saudara periksalah sendiri apakah maklumat saya ini betul.

Ertinya kalau penerbit itu tidak pandai menjual buku saudara sekalipun, ataupun dia tidak mahu mengulangcetak buku saudara, saudara tidak boleh menyerahkan buku saudara kepada penerbit lain, meskipun hakcipta karya itu adalah milik saudara.

Kita para penulis mesti bangkit dan mempertahankan hak-hak kita. Kita mesti meletakkan syarat bahawa tempoh hak penerbitan itu adalah 3 tahun sahaja. Selepas tamat tempoh 3 tahun, jikalau kita berpuas hati dengan prestasi jualan buku kita, tempoh itu secara automatik disambung 3 tahun lagi. Jika kita tidak puas hati, kita boleh menulis surat mengatakan kita tidak mahu menyambung tempoh itu, dan secara automatik tempoh itu tamat di situ dan kita boleh mencari penerbit lain.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 4 of 4 pages « First  <  2 3 4