Sunday, November 26, 2006

Previu Travelogue Tuan Sheikh Alang

CINTA WANITA SUDAN


“Saya dengar ada kisah seorang CEO syarikat dari Kuala Lumpur ditahan di lapangan terbang sebelum penerbangannya berlepas,” kata saya kepada seorang ‘resident engineer’ yang bertugas di projek pembinaan bangunan sebuah syarikat petroleum Malaysia di Khartoum, ibu kota Sudan.


“Itulah risiko tinggi yang saya pernah alami,” jawab jurutera yang saya beru kenali di ruang menunggu penerbangan di dalam lapangan terbang Khartoum itu.


“Saudara pernah mengalami keadaan seperti itukah?” tanya saya.


“Belum pernah. Tetapi ada kes melibatkan seorang pekerja warga Thailand di tapak pembinaan saya.”


“Dia ditahankah? Dia terlibat dengan kes apa?”


“Dia berkawan dengan seorang wanita Sudan. Kemudian dia ditahan polis atas tuduhan mencabuli kehormatan perempuan itu.”


“Dia memang melakukannya?”


“Dia menafikannya, tetapi saya sendiri tiada bukti dia bersalah ataupun sebaliknya. Dia pula mengatakan keluarga si perempuan itu membuat laporan polis sebab mereka tidak suka wanita itu berkawan dengannya.”


“Sudah bicara di mahkamahkah?”


“Tidak sampai bicara pun. Saya sebagai Mudir Kabir (‘Tuan Besar’) di tapak pembinaan itu terpaksa membayar duit ikat jamin sehingga hari perbicaraan. Kalau tidak, dia terpaksa merengkok di dalam tahanan sehingga hari bicara.”


“Bilakah tarikh perbicaraannya?”


“Keluarga perempuan itu sudah tarik balik tuduhan mereka apabila pekerja itu ditahan dalam lokap. Jadi polis bebaskan dia.”


“Mungkin mereka hendak ugut pekerja awak saja?” tanya saya.


“Ada kemungkinan begitu. Nasib baiklah saya akan balik bercuti ke Kuala Lumpur. Dapatlah saya lupakan masalah begini sementara saya bercuti nanti,” kata jurutera kenalan baru saya itu.


“Bilakah akan siap bangunan ibu pejabat syarikat minyak itu, saudara?”


“Itu yang saya sukar hendak beri jawaban tepat. Setakat ini pun sudah terlewat 51 hari dari yang dijadualkan,” terang beliau.


Selama saya di Sudan, selalu saya mendengar kisah kelewatan projek-projek yang berlarutan berbulan-bulan dari tarikh siap yang dijadualkan. Seolah-olah menjadi budaya setempat di mana mereka bekerja sambil lewa serta mengambil mudah jadual projek yang sudah disebutkan di dalam kontrak. Mungkin disebabkan duit pendahuluan sudah dibayar hampir 100 peratus ataupun sekurang-kurangnya 70% maka kontraktor macam sengaja tidak menyiapkan kerja-kerja mengikut kontrak. Nampaknya projek bangunan ibu pejabat syarikat minyak itu juga tidak terkecuali daripada masalah yang sama.



.


.




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, October 27, 2005

Ashadi: “Ustazah Fatimah”

Kasihan Alif. Disebabkan dia tidak mahu menurut kemahuan Zamri, pipinya menjadi sasaran penampar si Zamri. Semua orang, pelajar dan guru, kenal siapa Zamri.


“Baru tingkatan empat sudah hendak berlagak samseng,” Adi pernah mendengar seorang guru berkata.


Walaupun demikian, tiada tindakan tegas yang diambil terhadap Zamri, paling teruk pun, dia dihantar berjumpa dengan guru besar.


“Mungkin Cikgu Hasan akan hukum dia,” seorang lagi guru pernah membuat andaian.


Andaian tinggal andaian. Cikgu Hasan selaku guru besar pun tidak menghukum Zamri. Sebabnya? Ayah Zamri merupakan penderma terbesar pada tabung PIBG sekolah.


“Takkan awak semua tidak tahu, pagar sekolah kita yang baru diganti itu pun dibiayai sepenuhnya oleh bapa Zamri,” Cikgu Hasan pernah memberitahu dalam mesyuarat guru-guru. Semua guru sudah bosan dengan kerenah Zamri.


“Biarlah budak itu lingkup. Kalau ditegur, nanti dia mengadu kepada ayahnya. Yang penting, gaji aku jalan,” fikir Cikgu Shamala, salah seorang guru di sekolah itu.


Begitulah juga jalur pemikiran guru-guru yang lain, sudah tidak ‘kuasa’ lagi hendak menasihati Zamri, kecuali Ustazah Fatimah.


Ustazah Fatimah masih lagi menyimpan harapan terhadap Zamri. Dia yakin bahawa Zamri boleh dibentuk.


Pada suatu hari, Ustazah Fatimah seperti biasa masuk ke dalam kelas 4 Sains Kuning untuk mengajar subjek Pendidikan Islam.


“Awak semua pernah dengar tentang konsep wasathiah?” Ustazah Fatimah bertanya.


“Pernah, cikgu. Kami belajar tahun lepas,” jawab salah seorang pelajar 4 Sains Kuning, Amli.


“Jadi, awak semua mesti tahu bahawa kita mesti bersederhana, bukan?” Ustazah Fatimah berjalan ke tengah kelas.


Semua pelajar menganggukkan kepala kecuali Zamri yang sedang tidur... berdengkur pula tu!


“Fairos, tolong kejutkan Zamri,” kata Ustazah Fatimah kepada Fairos yang duduk di sebelah Zamri.


“Mengapa awak kacau saya!” Zamri menepis tangan Fairos.


“Ustazah yang suruh saya kejutkan awak.”


“Kenapa awak tidur dalam kelas saya?” soal Ustazah Fatimah.


Seluruh kelas menantikan jawapan daripada Zamri yang dijangka akan ‘berbau’ kurang ajar.


“Ustazah ni kecohlah! Ikut suka sayalah saya hendak tidurkah, hendak apakah, kenapa awak sibuk!” suara Zamri memenuhi ruang kelas 4 Sains Kuning.


“Apa? Dia panggil Ustazah Fatimah ‘awak’?” Adi terkejut dengan jawapan yang keluar dari mulut Zamri.


Ustazah Fatimah masih cuba berlembut, “Zamri, awak tidak sayang pada ibu bapa awakkah?”


“Ustazah jangan babitkan mak ayah saya!” jawapan Zamri boleh membuatkan sesiapa sahaja naik darah.


“Bukan begitu. Mak dan ayah awak mengharapkan awak menjaga mereka apabila mereka tua nanti. Kalau awak terus bersikap begini, bagaimana awak hendak menjaga mak ayah awak nanti?” nasihat Ustazah Fatimah memang tepat pada masanya.


“Sudahlah! Saya tidak mahu dengar lagi leteran ustazah!” Zamri ingin kembali tidur.


“Kalau awak tidak mahu belajar, tolong keluar dari kelas saya!” Ustazah Fatimah mula berkeras.


“Tidak! Saya tidak akan keluar dari kelas! Siapa ustazah, hendak paksa saya keluar kelas? Sedarlah sedikit, ayah saya yang bayar gaji ustazah!” keceluparan Zamri makin menjadi-jadi.


Ustazah Fatimah terdiam, terkejut, tidak sangka Zamri mengeluarkan kata-kata nista yang sebegitu rupa. Ustazah Fatimah tunduk dan kemudian keluar dari kelas 4 Sains Kuning.


“Padan muka! Dia suruh kita keluar, dia yang keluar dahulu. Sekarang kita tahu siapa yang lagi hebat!” Zamri bermegah.


Seminggu lamanya Ustazah Fatimah tidak masuk mengajar kelas 4 Sains Kuning. Dia kemudiannya diganti oleh Ustaz Mahmud.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, October 25, 2005

Mas Hasifah: “Cikgu Zuki”



“Murid-murid, kita perlu bertolak sekarang. Sila letak beg masing-masing di dalam bonet kereta saya,” Cikgu Zuki memberi arahan.

“Kamu semua sudah makan?” tanya Cikgu Zuki.

“Sudah,” jawab mereka serentak.


Bala, Kumar, Arun dan Suresh adalah murid tahun 5 yang mewakili sekolah mereka dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah. Mereka mengambil bahagian dalam acara balapan 100 meter dan 200 meter.


Di padang, masing-masing sudah bersedia untuk memulakan larian. Bala dan Kumar yang menyertai acara larian 100 meter sudah bersedia di garisan permulaan.


“Satu! Dua!!” dengan kuat pegawai pelepas mengira sebelum membuat tembakan ke udara.


“BANG!”


Semua peserta berlari dengan pantas untuk sampai di garisan penamat.


Selepas selesai menamatkan larian, Bala dan Kumar pergi bertemu Cikgu Zuki.


“Tahniah, Bala. Awak mengharumkan nama sekolah,” kata Cikgu Zuki.


“Kumar, awak jangan bersedih. Tahun hadapan awak boleh mencuba lagi,” kata Cikgu Zuki kepada Kumar pula. Kumar hanya menganggukkan kepala.


“Kumar, mengapa seluar awak basah?” tanya Cikgu Zuki apabila terpandang seluar Kumar yang basah.


“Sa… sa… saya terkencing,” jawab Kumar tergagap-gagap. “Saya terkencing sewaktu berlari tadi. Maafkan saya,” sambungnya lagi.


Cikgu Zuki hanya menggeleng-gelengkan kepala.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, October 23, 2005

Nabilah: Petikan dari Buku “Taman Orang Baik-Baik” karya Imam Nawawi

Inilah contoh teks agama yang ditulis semula oleh peserta bengkel agama ISLAMICA yang baru lepas.


19.2 Abu Aswad melaporkan, katanya, “Pada satu ketika saya datang ke kota Madinah. Waktu itu Madinah diserang wabak penyakit. Semasa saya duduk bersama Khalifah Umar bin Khattab, satu jenazah dibawa melalui orang ramai. Mereka memuji-muji jenazah itu.


Umar pun berkata, “Sudah pasti.”


Kemudian jenazah lain pula dibawa. Orang ramai memuji-muji lagi jenazah yang kedua itu.


Umar berkata lagi, “Sudah pasti.”


Selepas itu ada jenazah yang ketiga dibawa melalui mereka. Orang ramai menyebut-nyebut tentang kejahatannya.


Umar berkata, “Sudah pasti.”


Saya pun bertanya kepada Khalifah Umar, ‘Wahai ketua orang-orang yang beriman. Apa maknanya sudah pasti?’


Umar menjawab, ‘Saya sebut apa yang disebut oleh Nabi Muhammad iaitu, ‘Setiap orang Islam yang diakui oleh empat orang bahawa dia adalah orang yang baik, Allah akan masukkan dia ke dalam syurga.’


Umar berkata lagi, ‘Kami sahabat-sahabat beliau pun bertanya kepada beliau, ‘Bagaimana kalau diakui oleh tiga orang sahaja?’


Nabi menjawab, ‘Tiga orang pun begitu juga.’


Kami terus bertanya, ‘Kalau dua orang sahaja?’


Nabi menjawab, ‘Dua orang pun begitu juga.’


Kata Khalifah Umar lagi, ‘Selepas itu kami tidak bertanya lagi bagaimana jika seorang sahaja yang mengakuinya.”


Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, October 21, 2005

Aminah: “Cikgu Din”


“Kamu semua ingin berkongsi kegembiraan saya pada hari ini? Hari ini saya mahu senyum sehingga habis masa saya dalam kelas ini,” kata Cikgu Din sebaik sahaja dia masuk ke Tingkatan 1 Malinja.


“Maafkan saya, Selamat Petang, semua!” kata Cikgu Din masih tersenyum


“Selamat petang, cikgu.”


“Apabila saya panggil, sila ke depan dan ambil kertas kamu,” Cikgu Din memberi arahan.


“Tahniah kerana berjaya mendapatkan keputusan yang begitu buruk! Tolong beri kepada saya satu alasan mengapa kamu gagal,” sambung Cikgu Din.


Kelas serta-mert sunyi sepi. Cikgu Din terus tersenyum.


“Berdiri di sisi meja kamu. Pelajar perempuan di sebelah kanan. Pelajar lelaki di sebelah kiri,” katanya.


“Pelajar perempuan bergerak ke belakang kelas! Pelajar lelaki ke hadapan kelas!” kata Cikgu Din lagi, sambil terus tersenyum.


“Saya mahu awak ingat saya sampai bila-bila. Saya juga mahu awak lulus sampai bila-bila. Ingat!” sambung Cikgu Din.


“Cikgu mahu rotan kamikah?” tanya Akma.


“Tidaklah, saya tidak mahu tangan saya sakit. Nanti saya tidak boleh menulis, semua orang akan susah,” kata Cikgu Din. Dia terus senyum.


“Kira berapa jumlah kesalahan kamu, kemudian kamu darab dengan sepuluh. Selepas itu cari pasangan masing-masing. Saya beri kamu 1 minit dari sekarang!” Cikgu Din memberi arahan.


“Ingat! Jika kamu salah mengira, kamu akan dikenakan denda yang lain. Kita mulakan sekarang,” kata Cikgu Din lagi.


“Kamu semua lihat ke arah padang. Adakah kamu kasihan dengan Pakcik tukang kebun itu?” tanya Cikgu Din.


“Kasihan, cikgu. Mesin pemotong rumput itu berat,” kedengaran satu suara menyahut.


“Bagus! Kamu memang budak baik. Mari kita bantu Pakcik itu,” kata Cikgu Din. “Beratur seorang demi seorang. Kita bergerak ke padang!” arah Cikgu Din.


Cikgu Din kemudian meminta Pakcik tukang kebun itu berehat di tepi padang.


“Kamu semua masih ingat jumlah kiraan kamu tadi?”


“Ingat!”


“Setiap orang petik daun rumput dan susun. Satu susunan sepuluh helai sehingga cukup jumlah kiraan kamu. Ingat, jika kamu silap, jumlah itu akan menjadi dua kali ganda,” kata Cikgu Din.


Murid-murid Tingkatan 1 Malinja segera mencabut daun rumput di padang sepanjang pagi itu. Cikgu Din terus tersenyum.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, October 20, 2005

Siti Norida: “Cikgu Kalsom”


“Syyy! Cikgu datang! Cikgu datang!” suara ketua kelas memberi amaran.

Semua pelajar meluru ke tempat duduk masing-masing. Tiada suara yang kedengaran lagi.



“Berdiri kelas, Assalamualaikum Puan Kalsom,” suara Amran ketua kelas 4 Tekun lantang kedengaran. Kemudian diikuti oleh rakan sekelasnya.



“Walaikum salam,” jawab Cikgu Kalsom ringkas.



Seperti biasa setiap kali masuk ke kelas Cikgu Kalsom memastikan kelas tersusun rapi dan tiada sampah bertaburan.



“Yam, cuba kamu tengok baju Puan Kalsom, saya rasa macam ada yang tidak kena sahaja,” Rosmah mencuit bahu kawan di sebelahnya, Mariam.



“Eh! Betullah, saya rasa pun macam itu juga,” jawab Mariam.



Puan Kalsom menghadap ke papan hitam sambil menulis tajuk karangan hari itu. Telinganya masih kedengaran beberapa suara di belakang. Suara itu hilang bila beliau memalingkan mukanya ke belakang. Bukan Rosmah dan Mariam sahaja yang perasan perkara itu, ada beberapa pelajar lain juga. Terutamanya pelajar perempuan.



“Rosmah, mengapa kamu tersenyum-senyum?” sergah Cikgu Klasom.



“Tidak… tidak ada apa-apa, cikgu,” jawab Rosmah agak gugup.



“Apa yang tidak kena agaknya, hari ini lain macam betul budak-budak ini,” bisik hati kecil Cikgu Kalsom. Berkerut dahi Cikgu Kalsom berfikir.



“Semua berdiri!” kata Cikgu Kalsum dengan suara yang agak tinggi.



Pelajar-pelajar lelaki saling pandang memandang antara satu sama lain. Hakim, Idris dan Hisyam terpinga-pinga tidak tahu apa-apa.



“Mengapa awak tersengih-sengih?” Cikgu Kalsom mendekati Nabila.



Nabila tidak bersuara. Lidahnya agak kelu untuk berkata-kata. Cikgu Kalsom terus mendesak. Nabila terpaksa cakap walaupun dia takut, dia tidak suka Cikgu Kalsom memaksanya begitu.



“Itu! Itu! Baju!...” jawab Nabila dengan suara yang agak perlahan, jarinya menuding ke arah baju Cikgu Kalsom.



“Mengapa dengan baju aku?” bisik hati kecil Cikgu Kalsom.



Cikgu Kalsom tunduk memerhatikan baju yang dipakainya. Baju batik lukis kurung Johor yang dipakainya terlupa hendak diterbalikkan. Pelajar-pelajar melindung senyuman mereka dengan menutup mulut.



Merah padam muka Cikgu Kalsom.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, October 14, 2005

Razali Samad: “Cikgu Sharif”

“Apa kamu berdua buat di sini?” sergah Cikgu Sharif.


Kepala Hassan dan Hasnah terpaling ke kiri dan mata masing-masing memandang ke arah orang yang menyergah mereka.


“Ohh…. Cikgu!” Hassan dan Hasnah serentak bersuara.


“Sudah lama saya perhatikan kamu berdua,” sambung Cikgu Sharif. “Semasa rehat, kamu selalu menuju ke rimbunan pokok pisang di hujung padang ini,” kata Cikgu Sharif sambil memandang Hassan dan Hasnah. “Mengapa kamu berdua makan dicelah-celah pokok pisang ini?” tanya Cikgu Sharif. “Mengapa kamu berdua tidak makan di kantin?” tanya Cikgu Sharif lagi tanpa menunggu jawapan daripada Hassan dan Hasnah.


“Kami…. Kami…,” kata Hassan dan Hasnah serentak tanpa dirancang.


“Apa yang kamu makan?” Cikgu Sharif terus mendesak.


“Beri saya lihat,” tambah Cikgu Sharif sambil tangannya mencapai bungkusan daun pisang di hadapan Hassan dan Hasnah.


“Jangan, cikgu! Nanti emak marah,” Hassan terus bersuara.


“Apa makanan yang kamu bungkus dalam daun pisang ini?” suara Cikgu Sharif terus meninggi.


“Jangan! Jangan!” jerit Hassan dan Hasnah serentak sambil tangan mereka menekap makanan berbungkus daun pisang.


“Alihkan tangan kamu,” arah Cikgu Sharif.


“Tolonglah, cikgu. Nanti emak saya marah,” suara Hassan terketar-ketar. Air matanya mula bergenangan.


“Kalau kamu berdua tidak benarkan saya tengok, saya bawa kamu berdua jumpa guru besar,” gertak Cikgu Sharif


Mendengar ugutan itu, tengan Hassan dan Hasnah terlerai daripada menekap bungkusan makanan daun pisang.


“Apa ini?” suara Cikgu Sharif agak terkejut apabila membuka bungkusan daun pisang di hadapan Hassan dan Hasnah. “Ini makanan jenis apa?” Soal Cikgu Sharif.


“Em.. Emak bekalkan kami nasi putih sahaja, kemudian kami campurkan dengan minyak masak dan garam, cikgu,” kata Hassan.


Hasnah masih tunduk malu.


“Kamu makan makanan begini setiap harikah?” tanya Cikgu Sharif lagi.


“Itu sahaja yang emak kami mampu bekalkan,” Hasnah mula bersuara.


“Kami berdua makan jauh-jauh di celah pokok pisang ini kerana kami malu rakan-rakan kami nampak makanan yang kami bawa,” kata Hasnah sambil tersedu.


“Kami malu makan di kantin, sebab itu kami tidak pernah membeli makanan di kantin. Kami pun hanya meminum air paip di tandas,” sambung Hassan.


“Petang ini cikgu akan ke rumah kamu, beritahu ibu bapa kamu,” pesan Cikgu Sharif.


“Jangan, cikgu. Cikgu jangan datang ke rumah saya, nanti ayah saya marah dan akan memukul saya,” kata Hassan sambil menangis.


“Ayah saya berpesan, saya tidak boleh meminta pertolongan orang lain walaupun kami sangat susah,” sambung Hassan.


“Kamu berdua jangan risau, nanti cikgu uruskannya,” tegas Cikgu Sharif.


Petang itu Cikgu Sharif ke rumah Hassan dan Hasnah dengan membawa pelbagai keperluan dapur dan persekolahan.


“Terima kasih, cikgu. Inilah kali pertama kami dapat memakai kasut dan pakaian sekolah yang baru,” kata Hassan.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, October 09, 2005

Halilah: “Cikgu Yusof”

“Tiada seorang pun yang dapat menjawab soalan ini!” jerkah Cikgu Yusof.


Murid-murid di Tahun 4 Usaha yang terletak di tingkat dua itu, semuanya menundukkan muka masing-masing.


“Semua berdiri di atas kerusi!” jerkah Cikgu Yusof lagi.


Murid-murid itu semuanya menurut. Seorang demi seorang naik ke atas kerusi.


“Siapa yang dapat jawab soalan seterusnya, barulah boleh duduk,” kata Cikgu Yusof sambil menulis soalan lain yang lebih mudah di papan hitam.


Abu Samah mengangkat tangan. Dia mara ke hadapan untuk menyelesaikan soalan matematik itu. Cikgu Yusof sedia memerhati jawapan yang ditulis oleh Abu Samah.


“Betul. Kamu boleh duduk,” kata Cikgu Yusof kepada Abu Samah.


Dengan dada yang sengaja dikembangkan, Abu Samah duduk di tempatnya. Sengaja dia mendongak memandang teman-temannya yang masih berdiri, sambil mempamerkan giginya yang tidak cukup sebatang.


“Siapa pula yang boleh selesaikan soalan ini?” Cikgu Yusof bersuara sambil menulis beberapa soalan lain.


Kali ini Rashidah, Asiah, Alif dan Adam pula yang mengangkat tangan. Seorang demi seorang berjaya menyelesaikan soalan-soalan yang ditulis di papan hitam


Lama-kelamaan, hanya tinggal Sarip seorang sahaja yang masih berdiri di atas kerusi. Terkebil-kebil matanya memandang ke kiri dan ke kanan. Teman-teman yang lain semuanya tersengih-sengih memandangnya.


“Sarip!” Cikgu Yusof sengaja menjerkah Sarip yang sedang mengelamun walaupun sedang berdiri di atas kerusi.


Sarip, murid ‘teristimewa’ di kelas itu. Di kala usianya menjangkau sepuluh tahun pun, Sarip masih belum dapat menghafal ABC. Inikan pula hendak membaca....


“Kalau kamu tidak dapat menyelesaikan soalan ini, terjun bangunan sahajalah!” jerkah Cikgu Yusof.


Sarip cuma tersengih-sengih. Dia memang biasa dijerkah begitu. Tiada satu hari pun yang mengecualikannya daripada tidak dijerkah oleh Cikgu Yusof.


“Selesaikan soalan ini!” laung Cikgu Yusof walaupun Sarip berada hanya beberapa inci sahaja di hadapannya.


Sarip mara ke hadapan. Selpas beberapa lama, dia masih juga terkial-kial di hadapan papan hitam. Soalan tiga perpuluhan kosong-kosong darab kosong, terlalu sukar dirasakannya. Soalan itu memang khas untuk Sarip.


“Soalan begini pun kamu tidak dapat jawab!” jerkah Cikgu Yusof sekali lagi. Sarip cuma tersengih-sengih seperti selalu.


“Pergi keluar! Terjun ke bawah!” sekali lagi Cikgu Yusof menjerkah.


Air mata Sarip tiba-tiba sahaja bergenang.


“Terjun bangunan lagi bagus!” tengking Cikgu Yusof lagi. Sebenarnya, bukanlah niatnya hendak menyuruh Sarip terjun bangunan. Cikgu Yusof sekadar menggertaknya sahaja.


Tanpa diduga, Sarip meluru keluar sambil membawa bersama kerusinya. Cikgu Yusof terpaku seketika melihat perlakuan Sarip. Murid-murid lain juga begitu.


Sarip menangis teresak-esak sambil berusaha memanjat tembok. Dia benar-benar hendak terjun!


“Sarip! Sarip! Jangan terjun!” Cikgu Yusof meluru keluar mendapatkan Sarip.


“Sarip hendak bunuh diri! Sarip hendak bunuh diri!” Kelas Tahun 4 Usaha gempar.


“Jangan terjun, Sarip!” Cikgu Yusof menarik tangan Sarip yang masih berpaut pada tembok.


“Saya mahu terjun juga,” kata Sarip sambil teresak-esak. Barangkali dia kesal kerana dilahirkan dengan otak yang bebal. Barangkali benar juga kata-kata Cikgu Yusof, lebih baik dia terjun bangunan sahaja.


“Janganlah, Sarip...,” pujuk Cikgu Yusof. Dia tidak lagi menengking Sarip seperti sebelumnya.


“Sudah... sudah... mari masuk,” Cikgu Yusof menarik tangan Sarip masuk ke dalam kelas. Sarip kembali duduk di tempatnya. Cikgu Yusof menurut dada sambil menarik nafas kelegaan.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, October 08, 2005

Nura: “Cikgu Zaleha”

“Cikgu sudah sampai?” tanya Ruzaihan kepada rakan sekelasnya, suaranya antara dengar dengan tidak.


“Belum,” balas Khairul Anuar.


Ruzaihan mencari sesuatu di dalam begnya. Sebuah buku diletakkan di atas meja. Nanti apabila masuk sahaja cikgu yang mengajar mata pelajaran kimia itu dia mahu menggunakan buku itu sebagai perisai.


“Hari ini kita dapat cikgu kimia baru,” bisik Khairul Anuar.


“Ya? Walau siapa pun cikgu itu, saya tetap benci dengan pelajaran kimia!” Ruzaihan menceceh sambil menggosok-gosok matanya yang berair kerana baharu lepas menguap. Kimia, adalah satu-satunya mata pelajaran yang paling dimusuhinya.


“Jangan hendak berlagak. Awak belum pernah melihat dia,” giat Khairul Anuar sambil tersengih. “Sekali awak sudah lihat dia...” sengaja Khairul Anuar tidak menghabiskan ayatnya. Biar kawannya itu tertanya-tanya. Hakikat yang sebenarnya dia sendiri pun belum pernah melihat wajah guru barunya itu.


“Apa yang istimewa sangat?” malas sahaja nada suara Ruzaihan. Kepalanya telah lama terlentok di atas meja. Hanya kelopak mata sahaja yang belum terkatup.


“Nanti awak tengoklah sendiri.”


Ruzaihan memanjangkan leher ke luar kelas apabila telinganya menangkap bunyi keletup, keletap sepatu Cikgu Kamaluddin yang terkenal itu.


“Bangun!” ketua kelas memberi arahan agar warga kelas tingkatan 5 itu memberi penghormatan kepada Cikgu Kamaluddin yang baru masuk. “Selamat tengah hari, cikgu.”


“Selamat tengah hari, cikgu,” serentak semua pelajar-pelajar tingkatan 5 itu menyambut.


“Tengah hari,” balas Cikgu Kamaluddin ringkas. “Hari ini saya tidak mengajar, saya hanya mahu memperkenalkan kamu dengan cikgu baru. Sebentar lagi dia akan sampai,” tokoknya lagi.


Kepala Ruzaihan tegak. Kebiasaannya sebaik sahaja cikgu yang terkenal dengan gelaran Kamaluddin Tomoi itu mula membuka mulut dia pasti akan menegakkan bukunya di betul-betul di depan mukanya sebagai perisai bagi menyembunyikan kepalanya yang sedang terjelepak di atas meja!


“Assalamualaikum,” satu suara halus memberi salam di muka pintu. Serentak dengan itu sebuah wajah tersembul bersama sebuah senyuman.


“Waalaikummussalam,” semua yang berada di dalam kelas itu membalas salam itu. Setiap biji mata merenung yang empunya suara.


“Hmm...” gumam Ruzaihan. Bulat matanya merenung wajah tinggi lampai itu.


“Sudahlah!” Khairul Anuar menyiku rakannya itu. “Macam hendak terkeluar biji mata awak!” dia menyakat sambil mengulum senyum.


Mata yang tadi hampir terkatup serta-merta terbuka luas. Ruzaihan terpaku seketika menikmati wajah putih bersih itu. “Cantiknya!” kalbunya berbisik.


“Cikgu Zaleha adalah guru baru kamu dalam mata pelajaran kimia. Saya harap kamu semua memberikan kerjasama kepada beliau,” kata Cikgu Kamaluddin.


“Sekarang saya serahkan kelas ini kepada cikgu,” kata Cikgu Kamaluddin kepada guru baru itu lalu melangkah keluar.


“Saya fikir, lebih baik dalam kelas pertama saya ini, saya mulakan dengan sesi berkenalan terlebih dahulu. Saya mulakan dengan diri saya. Nama saya Zaleha binti Jamal. Saya baru keluar maktab, oleh kerana saya baru dan banyak yang saya tidak tahu, saya harap kamu semua tidak keberatan membantu saya. Sama-sama kita belajar, boleh?” kata Cikgu Zaleha.


“Boleh,” sahut pelajar-pelajarnya.


“Baiklah, saya mahu awak kenalkan diri awak,” Cikgu Zaleha tersenyum memandang Ruzaihan.


“N... n... nama saya Ruzaihan. Pelajaran yang paling saya minat adalah... k... k... kimia!” tergagap-gagap Ruzaihan bercakap.


Mendengar apa ayang dikatakan oleh Ruhaizan, tiba-tiba kelas itu menjadi riuh-rendah.


“Bagus! Saya harap awak akan berjaya dalam pelajaran kimia,” puji Cikgu Zaleha dan menyuruhnya duduk.


Sesi berkenalan terus berjalan dengan lancar. Dalam pada itu Khairul Anuar tersenyum-senyum melihat Ruzaihan yang tidak jemu-jemu memandang wajah Cikgu Zaleha.


“Bila pula awak menjadi peminat pelajaran kimia? Markah awak yang paling tinggi pun cuma 25%,” Khairul Anuar mencebik.


“Saya memang minat dengan pelajaran kimialah,” kata Ruzaihan. Walaupun dia bercakap kepada Khairul Anuar, tetapi muka dan matanya terus memandang cikgu barunya itu. “Aduhai! Cantiknya!” hatinya berkata.


“Ehem!” kata Khairul Anuar.


“Syyy! Cikgu nampak kita bercakaplah,” kara Ruzaihan. Jari telunjuknya ditegakkan di bibirnya, dia cuma memperdayakan rakannya itu supaya berhentii mengusiknya.


“Saya hendak lihat awak dapat ‘A’ periksa hujung bulan ini nanti,” cabar Khairul Anuar sambil tersengih-sengih.


Ruzaihan senyap sahaja.


“Ruzaihan!” Cikgu Zaleha tiba-tiba memanggil.


“Ya, cikgu!” cepat Ruzaihan bangkit.


Cikgu Zaleha tersenyum. “Saya hendak berjumpa dengan awak waktu rehat nanti. Boleh kita berjumpa di kantin?”


“Boleh, cikgu,” berdebar-debar jantung Ruzaihan. “Uh! seronoknya. Cikgu hendak berjumpa dengan aku!” hatinya berkata.


Ruzaihan berasa seolah waktu berjalan terlalu lambat. “Cepatlah wahai masa! Aku hendak berjumpa dengan cikgu!”


“Saya sudah baca semua profil awak. Cikgu kimia yang lama pun sudah memberitahu saya tentang awak,” kata Cikgu Zaleha sebaik sahaja Ruzaihan menyedut minumannya.


“Hah! Cikgu Kamaluddin cakap apa tentang saya?” Ruzaihan sedikit terkejut.


“Jangan panik. Mereka hanya mengatakan yang baik-baik,” kata cikgu kimia barunya.


“Mereka cakap apa?”


“Mereka kata awak seorang yang bijak, tetapi selalu sangat mengantuk dalam kelas,” kata Cikgu Zaleha. “Saya hendak awak berjaya dalam mata pelajaran yang saya ajar. Boleh awak beri kerjasama kepada saya?”


“Boleh! Boleh!” jawab Ruzaihan.


“Saya harap awak akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM nanti,” Cikgu Zaleha memberinya perangsang.


“Baik, cikgu. Saya tidak akan hampakan harapan cikgu,” Ruzaihan bersungguh-sungguh berjanji pada dirinya.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, October 02, 2005

Nik Faridah: “Ustaz Aziz”

Ustaz Aziz melangkah memasuki kelas Tahun 6 Bestari.


“Bangun! Assalamualaikum, ustaz, ” ketua kelas memberi salam, diikuti oleh semua pelajar, tanda hormat kepada Ustaz Aziz.


“Waalaikumusalam, semua boleh duduk,” jawab Ustaz Aziz.


“Pagi tadi saya solat subuh di surau, bacaan pak imam surau tadi sungguh bagus. Siapa yang solat subuh pagi tadi?” tanya Ustaz Aziz.


Hanya separuh yang mengangkat tangan. Ustaz Aziz tersenyum.


“Baiklah, pelajaran kita hari ini pun mengenai solat subuh juga," kata Ustaz Aziz.


"Dalam solat subuh ada bacaan yang berbeza dengan solat lain. Bacaan yang tidak kita baca dalam solat lain, kecuali solat subuh sahaja.” Ustaz Aziz cuba menarik perhatian murid-muridnya mengenai tajuk hari itu.


“Amir?” Ustaz Aziz sengaja mengejutkan Amir dari lamunannya. Amir hanya tersipu-sipu menampakkan giginya.


“Zulkifli, kamu solat subuh pagi tadi?” tanya Ustaz Aziz.


“Solat, cikgu. Solat dengan ayah saya,” jawab Zulkifli.


“Bacaan apa yang berbeza dengan solat lima waktu yang lain?” tanya Ustaz Aziz lagi.


“Bacaan qunut, cikgu!” jawab Zulkifli.


“Bagus. Bacaan qunut atau doa qunut adalah bacaan yang tidak dibaca pada solat lain,” terang Ustaz Aziz.


“Hari ini saya hendak kamu baca dan hafal doa qunut. Sebelum itu, ada sesiapa yang sudah hafal doa qunut?” tanya Ustaz Aziz.


“Saya, cikgu” Ammar mengangkat tangan.


Ustaz Aziz sedikit mengerutkan dahinya, berfikir, kali ini Ammar bercakap betul ataupun main-main lagi.


“Bagus, cuba kamu baca, Ammar,” suruh Ustaz Aziz.


“Cikgu hendak saya baca doa qunut yang panjang ataupun doa qunut yang pendek sahaja?” tanya Ammar.


Semua mata murid tertumpu pada Ammar. Ustaz Aziz sendiripun agak ragu-ragu sebenarnya.


“Cubalah yang mana yang kamu ingat,” suruh Ustaz Aziz.


“Cikgu cakaplah yang panjang ataupun yang pendek.” Ammar masih dalam keadaan berdiri sambil tangannya melekar sesuatu pada buku di hadapannya.


“Baiklah, kamu cuba doa yang pendek dahulu,” suruh Ustaz Aziz.


“Qunut!” jawab Ammar ringkas.


“Ya, doa qunut, bacalah,” Ustaz Aziz ternanti-nanti.


“Itulah dia doa qunut pendek. QUNUT!” jawab Ammar.


Kelas riuh rendah dengan suara gelak ketawa.


Ustaz Aziz pun tidak terkata, rasa hendak marah dan rasa geli hati bercampur.


Amir mengangkat tangan.


“Cikgu, kalau doa qunut panjang bunyinya, QUNUUUUUT!” katanya.


Kelas 6 Bistari riuh rendah.


Ustaz Aziz tidak dapat menyorokkan giginya lagi.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, September 30, 2005

Nabila: “Cikgu Koh”

“Baik, kamu boleh mula sekarang," kata Cikgu Koh seperti biasa.



“Basri, saya sakit perut,” bisik Yahya di sebelah Basri.



“Tahanlah sedikit. Nanti kamu dimarahi cikgu!”



Yahya mengerutkan keningnya yang lebat sambil menekan-nekan perut.



“Kamu tidak ke tandaskah sebelum masuk tadi?” bisik Basri kepada Yahya, rakan sekelas yang duduk di sebelahnya.



“Tidak sempat. Dua tiga orang sedang beratur. Loceng masuk kelas sudah berbunyi,” keluh Yahya.



“Siapa yang bercakap? Senyap!” marah Cikgu Koh.



Basri tunduk menikus.



Setiap pagi Darjah 5 Merah menerima arahan Cikgu Koh supaya membuat latihan latih-tubi bahasa Inggeris. Basri tidak pernah ingat ajaran Cikgu Koh di papan hitam dalam kelas. Yang diingatnya, dia dan rakan-rakannya hanya disuruh membuat latihan bertubi-tubi. Setiap kali Cikgu Koh masuk kelas, masing-masing sibuk menandakan kertas soalan dengan pensel 2B.



“Baiklah. Berhenti menulis. Masa sudah tamat,” kata Cikgu Koh selepas sejam berlalu.



Sebenarnya Basri sudah lupa nama penuh gurunya. Dia cuma ingat mereka semua memanggil guru Cina itu sebagai Cikgu Koh. Dalam kelas Basri pada tahun lima dahulu, hanya ada dua orang guru sahaja yang mengajar mereka. Cikgu Koh mengajar bahasa Inggeris. Cikgu Salleh mengajar semua mata pelajaran selebihnya untuk menduduki Peperiksaan Penilaian Darjah Lima (PMR).



“Baik, sekarang saya bacakan jawapannya. Tandakan kertas jawapan kamu sendiri,” Cikgu Koh memberi arahan.



Bermulalah debaran jantung semua murid darjah 5M.



“Nombor satu, A. Nombor dua, C. Nombor tiga, D,” Cikgu Koh mula membaca jawapan.



Pelajar sibuk menanda jawapan masing-masing.



“Kalau salah, tandakan salah. Jangan tipu diri kamu sendiri !” Suara garau Cikgu Koh mengejutkan mereka. “ Kalau tipu, saya denda kamu!”



Basri menjeling ke sekeliling tanpa mengangkat kepala. Wah, semua pelajar tunduk kerana takut!



“Sekarang kira berapa kesalahan kamu. Per lima puluh.”



“Nombor satu. Siapa salah soalan nombor satu, sila berdiri,” kata Cikgu Koh seperti biasa.



Beberapa orang pelajar bangun. Cikgu Koh mula mendekati mereka seorang demi seorang sambil memberi ‘habuan’ dengan rotan tebal di tangannya.



“Nombor dua. Siapa salah, bangun.”



Kali ini, Yahya dan Basri bangun.



Yahya mengepalkan tangannya sejurus sebelum menerima hadiah dari Cikgu Koh.



Yahya dan Basri duduk kembali. Berdesis mulut Basri ketika punggungnya mencecah kerusi papan yang keras.



Diam-diam di bawah meja, Basri menghulurkan tangan kepada Yahya.



Yahya menyambut tangan Basri lalu berkata, “Kita senasib.”



Sebaik sahaja Cikgu Koh keluar melalui pintu hadapan, Yahya berlari keluar ke tandas melalui pintu belakang. Basri tahu, tidak seperti dirinya, Yahya mengalami dua kesakitan pagi itu. Sakit perut yang memulas dan sakit dirotan oleh Cikgu Koh.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, September 21, 2005

Dr. Haslisa Ramli: “Jin Mandi Sungai”


Malam itu selepas kami makan malam, datuk mula bercerita.


Kata datuk, “Dalam hutan ini, macam-macam makhluk ada, bukan hanya binatang, jin dan syaitan pun ada.”


“Betulkah, tok?” kata saya.


“Pernah suatu masa dahulu, semasa datuk membawa pisang-pisang ke hilir menggunakan rakit selama dua hari dan dua malam, datuk melihat jin sedang mandi di tepi sungai bersama anaknya. Jin itu melaung dan memanggil nama datuk sambil berpesan,” datuk memulakan ceritanya.


“'Che Mamat!' kata jin itu. 'Kalau kamu sampai ke majlis kenduri di hilir nanti, tolong beritahu mak jin, anak jin menangis laparkan susu. Pesan suruh dia balik cepat', jin itu berpesan kepada datuk sambil dia terus mendodoikan anaknya,'” datuk meneruskan ceritanya lagi.


“Bagaimana saya hendak kenal rupa emak jin?” jawab datuk.


“Kamu tengoklah baik-baik, yang bergayut di atas kawah gulai, emak jinlah itu,” sambung bapa jin lagi.


“Bagaimana aku dapat nampak?” tanya atuk pula.


“Kamu pakai celak kening ini, nanti kamu pasti dapat melihat emak jin,” kata bapa jin.


“Baiklah,” jawab datuk lagi lalu datuk pun meneruskan perjalanannya.


Sesampainya datuk di hilir, datuk melihat suatu majlis kenduri kahwin sedang diadakan, seperti yang diberitahu oleh bapa jin.


Menurut datuk lagi, dia lalu memakai celak kening yang diberikan oleh jin tadi dan dengan serta-merta dia dapat melihat beberapa ekor jin sedang duduk terkangkang di atas kawah gulai yang tidak bertutup.


“Mak jin! Bapa jin berpesan suruh kamu balik, anak jin menangis laparkan susu,” datuk berkata kepada mak jin.


Menurut datuk lagi, sebelum mak jin menghilangkan diri, dia meminta semula celak kening yang tadi diberikan oleh bapa jin kepada datuk.


“Mengapa datuk pulangkan celak kening itu? Kalau tidak adik mesti dapat tengok hantu juga,” Adik Hisham menyampuk.


“Sebenarnya memang datuk hendak simpan, tetapi emak jin paksa datuk supaya mengembalikannya,” datuk menjelaskannya.


“Begitukah?” Abang Zura menjawab.


“Jadi, sebab itulah kita mesti tutup makanan kita yang terdedah dan kita mestilah sembahyang lima waktu dengan khusyuk,” datuk menasihati kami.


“Bagaimana caranya hendak sembahyang dengan khusyuk, tok?” Abang Hasram bertanya pula.


“Apabila kita membaca ayat pertama, kita mesti ingat ayat kedua ataupun perbuatan seterusnya di dalam hati, dan begitulah seterunya sehingga selesai ke ayat yang terakhir,” datuk mengajar kami.


(Nota: Dr. Haslisa adalah lulusan Fakulti Perubatan UKM)


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, September 20, 2005

Ab Latip Talib: “Cikgu Zaki”

“Bangun! Sekejap lagi matahari terbit!” ibu Arif mengejutkannya daripada tidur.

Arif berharap matahari tidak akan terbit supaya dia dapat terus tidur, tetapi matahari terbit juga.

Dengan marah Arif berteriak. “Wahai matahari. Apabila aku besar nanti, aku bunuh kamu!”

Sambil ketawa ibunya berkata, “Arif! Pergi ke bilik air, gosok gigi dan mandi.”

“Air paip tersumbat. Ubat gigi sudah habis. Cuaca sejuk. Saya tidak mahu mandi,” jawabnya.

“Kalau tidak mandi nanti kamu berbau busuk. Kalau tidak gosok gigi, mulut kamu berbau. Bagaimana mahu belajar?” tanya ibunya.

“Hari ini cuti. Saya tidak mahu pergi sekolah,” jawab Arif.

Tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta.

“Cikgu Zaki sudah sampai. Cepat pakai baju. Jangan biarkan cikgu lama menunggu,” kata ibunya.

Tetapi dia bertekad tidak mahu pergi ke sekolah hari itu dan berharap cikgu Zaki tidak akan datang menjemputnya seperti biasa. Tetapi Cikgu Zaki datang juga.

“Kalau kamu pergi ke sekolah hari ini, cikgu akan beri duit satu ringgit,” pujuk Cikgu Zaki.

Dengan cepat dia memakai baju sekolah dan berlari turun dari rumah lalu masuk ke dalam kereta Cikgu Zaki.

Ketika dalam kelas, Arif berasa mengantuk yang amat sangat, lalu dia pun terlelap. Tiba-tiba Arif disergah oleh guru kelasnya.

“Kamu berdiri!” teriak guru itu.

Arif enggan menurut perintahnya. Arif merenung guru matematik itu. Mukanya nampak merah menahan marah.

“Sapu hingus kamu!” teriak cikgu itu lagi.

Tetapi Arif enggan. Sengaja dia membiarkan hingusnya meleleh keluar dari lubang hidungnya.

“Mengapa awak pengotor sangat?” suara guru perempuan itu semakin keras.

Arif tetap membisu. Kini hingus itu terasa meleleh hingga ke bibirnya. Arif hendak menghisap sahaja hingus itu.

Tiba-tiba Cikgu Zaki datang, lalu dia membisikkan sesuatu kepada gurunya itu. Arif melihat guru matematiknya tiba-tiba bersikap lembut terhadapnya.

“Saya baru sahaja berpindah ke sekolah ini. Sebab itu saya tidak kenal lagi siapa kamu,” kata gurunya.

Kemudian dengan suara yang lembut gurunya berkata, “Mungkin kamu tidak sihat hari ini. Saya benarkan kamu balik rumah, tetapi jawab dulu soalan saya.”

“Baiklah,” jawab Arif gembira.

“Dua tolak dua, berapa?” tanya guru matematik itu.

Dengan pantas dia menjawab, “EMPAT!”

Kelas peralihan itu riuh dengan gelak ketawa. Semua kawan-kawan mengejek namun Arif tidak mempedulikannya.

“Kamu memang budak yang pandai. Apabila sudah besar nanti, kamu mahu jadi apa?” tanya guru matematik itu lagi.

“Ahli tinju!” jawab Arif sambil mengepal penumbuknya.

Dia mahu menghayunkan penumbuknya itu ke muka cikgu perempuan itu, tetapi tiba-tiba Cikgu Zaki datang lalu memegang tangannya.

“Cikgu baru ini namanya Cikgu Zubaidah. Dia tunang saya. Tidak lama lagi kami akan berkahwin. Jangan melawan dia,” kata Cikgu Zaki.

Tiba-tiba Arif berasa malu kepada Cikgu Zubaidah.

“Cikgu Zubaidah, adik saudara saya ini murid istimewa. Maafkanlah dia,” Cikgu Zaki bersuara lembut.

Cikgu Zubaidah merenung muka Cikgu Zaki, kemudian dia menoleh dan senyum kepada Arif.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, September 17, 2005

Norasyikin: “Cikgu Norman”

“Siapa-siapa yang saya sebutkan namanya sebentar lagi, sila ke hadapan kelas dan buat satu barisan lurus,” arah Cikgu Norman sambil memusing-musingkan rotan di tangannya.


“Sazali, Salina, Rashid, Rafeah, Zaidi dan Zubaidah, sila beratur secara berpasangan,” arah Cikgu Norman lagi.


Cikgu Norman adalah guru sementara yang baru selesai menduduki peperiksaan S.T.P.M. Walaupun dia belum ditauliahkan menjadi seorang guru sama ada daripada pihak universiti mahupun maktab, namun lagaknya mengatasi guru yang sudah ditauliahkan. Dia yang ditugaskan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu kepada pelajar tingkatan tiga gemar mendenda para pelajarnya dengan pelbagai denda yang jarang sekali dilakukan oleh guru-guru lain.


“Nampaknya pasangan yang akan mencium tiang bendera pada hari ini sungguh padan sekali,” usik Cikgu Norman sambil mengerling sekilas pandang pada keenam-enam pelajarnya yang sudah bersiap sedia membuat barisan.


“Kamu tahu kesalahan yang telah kamu lakukan?” tanya Cikgu Norman sambil membetul-betulkan rambutnya yang terjurai di dahi.


Keenam-enam pelajar itu hanya menggeleng-gelengkan kepala.


“Karangan yang kamu hantar kepada saya semalam tidak mengikut kriteria yang saya tetapkan,” terang Cikgu Norman sambil telinganya mulai kemerah-merahan.


“Tidak mengikut kriteria?” Zubaidah yang sedang mengomel perlahan tidak sedar akan nada suaranya dapat didengari oleh Cikgu Norman yang kebetulan sedang berdiri bersebelahan dengannya.


“Benar, tuan puteri. Karangan kamu tidak mengikut kriteria yang saya tetapkan,” perli Cikgu Norman sambil menjeling ke arah Zubaidah dengan ekor matanya.


Zubaidah hanya tunduk ke lantai menahan perasan malu yang sedang bersarang di hatinya. Manakala rakan-rakannya yang lain masing-masing menutup mulut menahan gelak.


Zubaidah dapat merasakan banyak mata yang memandang ke arah mereka sewaktu berjalan berdua-dua menuju ke tiang bendera yang terletak betul-betul di hadapan bilik guru.


Cikgu Norman melangkah penuh bergaya dengan kasut kulitnya yang boleh dibuat cermin itu mengiringi mereka sambil mengangkat kening kepada guru-guru yang menjengah daripada tingkap bilik guru.


“Cium lama sedikit tiang bendera itu. Andaikan ianya buah hati kamu,” Cikgu Norman sengaja mengusik mereka sambil diiringi deraian tawanya.


Para pelajar yang berada dalam kelas berhampiran turut serta menjadi penonton dan tidak kurang pula yang bersorak sambil bertepuk tangan.


“Jikalau wangi tidak mengapa, ini bau karat sahaja,” Rafeah mula bersuara.


Selama beberapa bulan belajar dengan Cikgu Norman, Zubaidah sudah didenda sebanyak tiga kali dengan denda yang berlainan.


Salah satu denda yang membuatkan Zubaidah menjerit di dalam kelas ialah sewaktu Cikgu Norman menarik tali anak bajunya apabila dia gagal menjawab soalan yang diajukan oleh cikgu bujang itu. Manakala pelajar lelaki pula akan ditarik anak rambut sehingga terangkat mereka dengan sendirinya akibat menahan keperitan.


“Saya mahu kamu hiasi topi ijazah yang saya suruh kamu buat itu dengan kertas yang berwarna-warni. Jangan lupa sertakan corak mengikut kreativiti masing-masing,” Cikgu Norman memberi peringatan.


Sebenarnya mereka semua sudah diarahkan membuat topi ijazah masing-masing pada hari pertama Cikgu Norman masuk ke kelas lagi. Namun, tujuannya mereka sendiri tidak tahu. Pernah suatu hari Shahrul, selaku ketua kelas Tiga Bestari bertanya kepada Cikgu Norman akan objektif topi ijazah itu, namun jawapan yang diberikan sungguh menghampakan seisi kelas.


“Apa tujuan topi ijazah itu?” tanya Shahrul sambil berkerut kening.


“Itu adalah rahsia kerajaan Malaysia,” jawab Cikgu Norman sambil tersengih-sengih memandang para pelajarnya yang kelihatan terpinga-pinga.


Akhirnya pada suatu pagi yang dingin, mereka mengetahui kegunaan topi ijazah itu.


“Disebabkan kamu semua melakukan kesalahan yang sama, iaitu salah ejaan, maka kamu semua akan berkonvo secara beramai-ramai mengelilingi sekolah,” terang Cikgu Rosman.


Masing-masing mengeluarkan topi ijazah yang dihiasi dengan pelbagai corak daripada bawah meja sambil meletakkannya betul-betul di atas kepala.


“Tahniah daripada saya secara peribadinya kerana berjaya melalui konvokesyen pada usia yang muda,” usik Cikgu Norman sambil mukanya merah padam menahan gelak.


Semua pelajarnya beratur berdua-dua dengan memakai topi ijazah masing-masing sambil berjalan mengelilingi sekolah. Kasut yang selama ini ringan tiba-tiba menjadi berat apabila terpaksa melalui kelas demi kelas termasuk bilik guru. Ada sahaja sorakan dan gelak tawa daripada pelajar-pelajar dari kelas yang lain. Mereka semua hanya mampu menelan air liur sahaja melihatkan adegan dan gelagat yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar lain.


“Inilah cikgu yang saya akan kenang seumur hidup saya,” Zubaidah membuat pengakuan di hadapan Noraisyah, rakan sebiliknya sewaktu menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Sofia yang sedang menyisir rambut turut sama mendengar imbauan kisah silam di sekolah daripada Zubaidah sampai berair matanya dan tertunduk-tunduk sambil menekan-nekan perut kerana geli hati.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, August 22, 2005

Perkahwinan Pertama

Selalunya apabila kanak-kanak kampung itu bermain kahwin-kahwin, Sazalilah yang menjadi Tok Kadi. Hampir semua budak-budak kampung itu pernah dikahwinkannya.

“Kamu sudah bersedia hendak berkahwin?” tanya Sazali kepada Zaini, yang baru berusia tujuh tahun.

“Sudah, Tok Kadi,” jawab Zaini sambil tersenyum lebar menampakkan gigi susunya yang tidak cukup dua batang, gara-gara terjatuh dari pokok rambutan.

“Siapa pengantin perempuan?” tanya Sazali lagi sambil matanya ligat memandang semua 'tetamu' yang hadir pada majlis 'pernikahan' itu.

“Tuu!!” Zaini memuncungkan bibirnya ke arah Rosnah yang selalu berseluar panjang dengan rambutnya paras bahu, yang dari tadi asyik bermain-main dengan rambut Sanisah yang panjangnya hingga ke pinggang.

“Saya tidak mahu! Saya tidak mahu kahwin dengan dia, Tok Kadi,” Rosnah merengek-rengek kepada Sazali sambil menarik baju Sazali dan menggeleng-gelengkan kepalanya.

Sazali menolak tangan Rosnah dan injak jauh sikit darinya.

“Kalau kahwin dengan Khairul, saya mahulah,” Rosnah menuding jari sambil menjeling kepada Khairul dan segera merapati Khairul dengan harapan Khairul juga bersetuju berkahwin dengannya.

“Saya tidak mahu kahwin dengan Rosnah, saya mahu kahwin dengan Sarina,” kata Khairul sambil mencebik dan memusingkan kepalanya mencari Sarina yang sedang berpaut pada bahu Sanisah.


“Sekiranya awak mahukan saya, awak mesti belikan saya kereta, saya hendak rumah saya...” Sarina memberi syarat kepada Khairul.


Sarina pernah mendengar makcik-makcik di kampung itu bersembang mengatakan yang mereka hanya akan mengahwinkan anak-anak gadis mereka dengan orang yang mampu memberi kesenangan kepada anak-anak mereka. Apabila dapat menantu kaya, semua penduduk kampung akan pandang mereka tinggi.


“Baiklah, nanti saya ambil duit ayah saya dan belikan kamu rumah, kereta dan apa saja yang kamu mahu, janji saya dapat kamu!” ujar Khairul memintas percakapan Sarina sambil meninggikan kolar bajunya.


“Kami mahu kereta yang besar dan cantik,” kata Sarina lagi seperti tidak yakin dengan Khairul yang bersetuju dengan syaratnya tadi.


“Alah, ayah saya banyak duit,” Khairul meninggi diri.


Kebetulan Khairul pernah melihat ayahnya mengira-ngira hasil jualan pisang yang tidak seberapa. Namun, pada tanggapan Khairul beberapa keping duit kertas berwarna merah yang dikira ayahnya amat banyak.


“Sudah, sudah, sudah jangan mengada-ngada!” bentak Sazali. Dia mengerutkan dahi sambil mencampakkan batu kelikir kecil yang digenggamnya.


Bosan Sazali melihat sandiwara antara Khairul dan Sarina kerana Sazali juga ada hati dengan Sarina tetapi Sazali tidak berani mengajak Sarina berkahwin. Siapa pula yang akan menikahkan dirinya?


Semua terdiam dan keadaan tiba-tiba menjadi sunyi.


“Habis siapa mahu kahwin dengan siapa?” tanya Sazali memecah kesunyian sambil menolak Khairul supaya menjauhi Sarina.


Lantas Sazali berdiri di antara Sarina dan Khairul.


“Saya dengan Sanisah,” cadang Zain sambil dia mendapatkan Sanisah dan menarik tangan Sanisah untuk berdiri di sebelahnya.


“Saya tak hendak kahwin dengan kamulah! Lepaskan tangan saya!” herdik Sanisah sambil meronta-ronta minta tangannya dilepaskan.


“Alah, kita main-main sahaja,” pujuk Rosnah tersenyum menampakkan lesung pipitnya sambil mengusap rambut Sanisah.


“Dengar sini semua,” kata Sazali untuk meraih perhatian dari atas busut.


Semua mata tertumpu ke arahku, menanti pengumuman penting yang akan kubuat.


“Kamu Sanisah akan jadi pengantin perempuan,” kata Sazali sambil menuding ke arah Sanisah.


Semua para 'hadirin' bersorak meraikan pengantin perempuan. Kedengaran juga lagu “Bunga Rampai' dilaungkan.


“Tetapi olok-olok sahaja, ya Tok Kadi?” Sanisah mengemukakan syarat kepada Sazali, sambil matanya menjeling Zaini. Meluat dia melihat Zaini yang rompong dan berhingus.


“Kalau betul-betul pun apa salahnya?” celah Suhaili yang dari tadi diam sahaja, asyik memerhatikan gelagat rakan-rakannya yang asyik memilih pasangan. Dia memandang Zaini yang tidak henti-henti tersengih kerana suka hendak berkahwin dengan Sanisah.


Sazali terdengar ketawa-ketawa kecil dari arah Khairul, Sarina, Rosnah dan Hamidon.


“Mengikut adat kampung ini, saya yang akan menetapkan siapa berkahwin dengan siapa, faham?” Sazali berlagak seperti Tok Ketua pula.


“Pada hari ini Zaini akan berkahwin dengan Sanisah,” arah Sazali.


“Kahwin olok-olok sahaja, ya Tok Kadi!” Sanisah ingin mendapatkan kepastian lagi.


Sazali mengangguk untuk meyakinkan Sanisah.


“Kaum perempuan duduk hujung sana, dan pengantin perempuan duduk tempat khas. Kamu pengantin lelaki, duduk sini,” arah Sazali kepada mereka sambil memastikan semua mengambil tempat masing-masing.


“Mana ibu bapa pengantin perempuan?” tanya Sazali tercari-cari siapa yang layak memegang peranan ibu bapa pengantin perempuan.


“Pengantin perempuan anak yatim piatu,” celah Hamidon, sekaligus mereka semua ketawa terbahak-bahak.


“Saya tidak mahu kahwinlah kalau macam ini. Emak saya ada di rumah, tahu? Ayah saya ada di kebun,” Sanisah merajuk memuncungkan mulutnya.


“Macam mulut itik,” bisik hati Sazali lalu terukir senyuman mengejek.


“Kami pun tak mahu kahwinlah kalau macam ini,” sampuk Sarina, menyebelahi Sanisah, walaupun tadi kulihat Sarina pun ketawa menyeringai.


“Kamu ini, kami baru melawak sedikit, sudah hendak merajuk, macam budak perempuan!” celah Khairul kepada Sanisah.


Mereka ketawa lagi.


“Engkau pun satu! Sanisah memang budak perempuan,” kata Sazali seolah-olah menyebelahi Sanisah pula. Kini giliran Kahirul pula ditertawakan.


“Sudah, sudah. Mari kita mulakan sekarang acara kahwin-kahwin,” Sazali cuba mengawal keadaan.


“Mana wali pengantin lelaki?” tanya Sazali kepada pengantin lelaki.


“Saya jadi ayahnya,” kata Hamidon memberi persetujuan.


“Mana wali pengantin perempuan?” tanya Sazali lagi.


“Saya,” kata Azam, mengangkat tangan.


“Siapa jadi saksi?” Sazali meneruskan pertanyaannya.


“Saya dan Rahim,” ujar Suhairi sambil menepuk-nepuk bahu Rahim.


“Pengantin lelaki duduk depan saya,” arah Sazali kepada Zaini.


“Baik, Tok Kadi,” Zaini menuruti, menundukkan bandannya untuk ke tempat duduk khasnya di hadapan Sazali.


“Tok Kadi tak pakai songkok, mana boleh kahwinkan Zaini! Kan? Kan?” kata Azam yang muda setahun daripada Sazali, meminta persetujuan dari rakan-rakan yang lain.


“Alah, kita main kahwin-kahwin sahaja” celah Sazali mempertahankan kedudukannya sebagai Tok Kadi.


“Minta kad pengenalan?” lagak Sazali seperti kadi yang pernah menikahkan anak jirannya. Tidak tahu pula Sazali apa gunanya kad pengenalan itu. Hendak dikatakan sebagai barang hantaran, tidak pula, sebab dilihatnya pengantin lelaki menyimpan semula kad pengenalannya.


“Kad pengenalan tak ada,” jawab Zaini jujur.


“Kamu hendak kahwin macam mana? Kad penganalan pun kamu tidak ada,” Sazali lihat Zaini sudah mula cuak dan keadaan pula mula menjadi hingar-bingar. Geli hati Sazali melihat Zaini.


“Tetapi disebabkan kamu orang kampung kita, saya akan kahwinkan kamu juga,” Sazali cuba mententeramkan keadaan dan dilihatnya Zaini kembali tenang.


“Kamu sudah sunat?” tanya Sazali selepas keadaan kembali normal.


“Emak saya kata, nanti apabila umur saya sudah 8 tahun baru saya boleh sunat,” Zaini kembali yakin menjawab soalan-soalan Sazali.


“Cuba kamu mengucap.” Inilah soalan yang pernah ditanya oleh kadi semasa Sazali ikut ayahnya ke majlis pernikahan orang kampung mereka beberapa minggu yang lepas.


“Aastapillah al azimmmm....” Zaini mengucap dengan yakin.


Serentak mereka ketawa, tetapi sebenarnya mereka pun kurang pasti 'mengucap' itu macam mana bunyinya.


“Baca alham,” suruh Sazali lagi.


“Alif Ba Ta,” Zaini membaca 'alham'.


Mereka ketawa lagi. Zaini hanya mampu tersengih-sengih.


“Aku angkat nikah kamu dengan anak Abidin dengan mas kahwin 20 sen tunai.”


Baru sahaja Sazali hendak menghenjut tangan Zaini, tiba-tiba semua ketawa. Sazali terpinga-pinga.


“Aku kahwinkan kamu dengan Sanisah dengan mas kahwin 20 sen tunai,” Khairul membetulkan kesilapan Sazali.


Merah padam muka Sazali, malu tersilap cakap tadi.


“Aku nikahkan kamu Zaini bin Masdar dengan Sanisah binti Abidin dengan mas kahwin 20 sen hutanggg....” lantas Sazali menghenjut tangan Zaini, yakin dia tidak tersilap lagi.


“Aku nikahkan aku dengan Sanisah binti Adidin dengan mas kahwin 20 sen tunai....” Zaini mengulangi ayat Sazali tadi, tetapi agak berlainan.


Mereka ketawa lagi.


“Sah?” tanya Sazali kepada kedua-dua saksi.


“Sah!” kedua-dua saksi menganggukkan kepala tanda setuju.


Kedua-dua mempelai diarak dan disandingkan di atas pelamin. Berseri-seri Zaini di atas pelamin sambil dikipas oleh Hamidon dengan pelepah kelapa. Manakala Sanisah tersenyum-senyum menunduk malu diapit oleh Sarina.


Di kiri dan kanan pelamin, sibuklah Sazali, Khairul dan Suhaili mengetuk tin menggantikan kompang sambil mendendangkan lagu untuk pengantin. Sedang asyik mereka menepung tawar pengantin, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Bertempiaran mereka berlari menuju ke rumah masing-masing.


Habis musnah pelamin mereka ditimpa hujan. Bunga-bunga raya di hadapan pelamin dihanyutkan air, manakala pelepah kelapa yang digunakan untuk dijadikan kipas rosak. Terpaksalah mereka membina semula pelamin yang baru.


Namun akhirnya, sesudah masing-masing dewasa, tiada seorang pun yang jadi berkahwin dengan isteri pertama mereka.


(Petikan dari novel jibunsyi karya Chef Zul yang bakal terbit.)


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, August 14, 2005

Cinta Pandang Pertama


“Bosannya…” Shamsuri berbisik kepada dirinya sendiri.


Mata pelajaran sejarah tentang kejatuhan Empayar Majapahit yang sedang diajarkan oleh Cikgu Hasnizan tidak diambil perhatian sepenuhnya. Dia sudah kepenatan. Otaknya sudah penuh disumbat dengan pelbagai maklumat sejak pagi tadi.


“Assalamualaikum!”


Semua mata dalam bilik darjah Tingkatan Satu Ibnu Sina itu tertumpu kepada empunya suara.


Ustaz Razali yang garang itu berdiri di muka pintu.


“Wa’alaikumussalam,” Cikgu Hasnizan menjawab. Murid-murid turut sama menjawab, cuma bunyinya sekadar berbisik.


Shamsuri terjenguk-jenguk kerana pandangannya dihalang oleh beberapa kepala di sebelahnya. Lehernya dipanjangkan sedikit. Barulah kelihatan wajah Ustaz Razali.


Cikgu Hasnizan mendekati muka pintu. Ustaz Razali berbicara sesuatu dengan Cikgu Hasnizan yang tidak dapat Shamsuri tangkap isinya. Sesekali Cikgu Hasnizan mangangguk-angguk.


Kemudian, Si Dia muncul. Cikgu Hasnizan menjemput Si Dia masuk ke kelas.


“Minta maaf kerana mengganggu. Andai tiada apa-apa, saya minta diri dahulu,” ujar Ustaz Razali sebelum menghilangkan diri. Cikgu Hasnizan sekadar mengangguk.


Si Dia mula melangkah masuk ke kelas. Mata Shamsuri terpaku kepada wajah itu. Entah mengapa, jantungnya tiba-tiba berdegup pantas. Matanya terus mengekori langkah insan tersebut. Mulutnya sedikit terlopong.


“Alangkah cantiknya gadis itu,” Shamsuri bercakap separuh berbisik. Dia menelan air liurnya.


Fahmi mengangguk-angguk walaupun sebenarnya kenyataan tadi hanya ditujukan kepada diri Shamsuri sahaja. Dia tidak sangka Fahmi terdengar akan kata-katanya. Dia tidak sangka yang Fahmi berkongsi kekaguman yang sama dengannya.


“Ada meja kosong?” tanya Cikgu Hasnizan.


“Shamsuri...” panggil Cikgu Hasnizan tiba-tiba selepas mendapati bahawa meja yang dimaksudkan tiada.


“Saya!” Pantas Shamsuri menjawab panggilan Cikgu Hasnizan. Sudah terbayang-bayang di mindanya arahan yang bakal keluar daripada mulut gurunya itu.


“Apakah kamu mahu membiarkan pelajar baru ini berdiri di sini?”


Shamsuri faham soalan itu. Tersembunyi arahan di sebalik soalan itu. Pantas sahaja Shamsuri menyusun langkah menurut arahan tersebut.


Jantungnya makin berdegup kencang. Tiba-tiba wajahnya terasa panas. Meja dan kerusi lebihan yang tersusun di belakang kelas diangkat satu persatu. Shamsuri merasakan semua mata di dalam kelas itu sedang memandangnya tetapi dia tidak berani berpaling untuk memastikan kebenaran tanggapannya.


“Mahu letak di mana?” tanya Shamsuri.


“Di sini,” ujar Cikgu Hasnizan sambil jemarinya menunjukkan posisi dan kedudukan yang dikehendaki.


Shamsuri mengangguk. Cepat-cepat dia menyusun kerusi dan meja di tempat yang dimaksudkan. Dia sudah tidak tahan lagi dibogelkan oleh mata-mata yang memandangnya sejak tadi.


“Sudah?” tanya Cikgu Hsnizan sekadar mahu memastikan bahawa kerusi dan meja itu sudah sedia untuk diduduki oleh pelajar baru itu.


Shamsuri mengangguk.


“Terima kasih.” Suara lembut itu berdesup-desup menggegarkan gegendang telinganya. Cepat pula isyarat itu sampai ke ruang hatinya. Ada sesuatu yang memenuhi ruang udara jantungnya tiba-tiba.


Shamsuri sesak nafas. Tubuhnya tiba-tiba menggeletar tetapi tidak terlihat di mata orang lain. Hanya dia yang dapat merasakannya.


Shamsuri mengangguk. Tidak dipandang langsung kepada gadis itu.


Lidahnya keras. Tiada kata-kata yang dapat dilafazkan. Suaranya seolah-olah silu untuk keluar dari ruang halqumnya.


Tergopoh-gapah dia pulang ke tempatnya. Kakinya tidak mahu menurut arahan, bahkan bagai dipaksa-paksa menyusun langkah sumbang tatkala Shamsuri kembali ke tempat duduknya.


“Siapakah Si Dia?” hati Shamsuri melonjak-lonjak ingin tahu siapakah insan yang telah menegurnya tadi.


Inilah kali pertama dia melihat wajah itu. Inilah juga kali pertama hatinya terusik sejak menempuhi alam persekolahan peringkat menengah. Shamsuri mengharap-harap agar Cikgu Hasnizan akan meminta gadis itu memperkenalkan dirinya di hadapan. Nanti tidaklah dia perlu menebal muka untuk bertanyakan nama gadis itu.


Namun, harapan tinggal harapan. Si Dia terus mengambil tempat duduknya. Sempat Si Dia bersalam dengan teman-teman baru di sekelilingnya.


Gadis Si Dia itu terus mengukir senyuman. Pandangan Shamsuri bertembung dengan senyuman itu. Tidak berkelip matanya. Pada lesung pipit yang terukir di pipinya menambahkan seri senyumannya.


“Tetapi, siapakah Si Dia itu?” Makin galak hatinya memaksa ingin tahunya supaya mencari nama gadis tersebut.


“Apa nama saudari?”


Pucuk dicita, pucuk juga yang mendatang. Soalan Cikgu Hasnizan benar-benar membuka ruang kelegaan di hati Shamsuri. Shamsuri pasang telinga.


“Maryam Razali,” gadis itu menjawab sepatah.


“Maryam Razali!” bisik Shamsuri mengulang kembali nama tersebut. Cepat-cepat nama itu disematkan di dalam kotak memorinya.


“Maryam...” sekali lagi dia menyebut nama itu.


“Razali?” Shamsuri tersentak. Matanya sedikit terbeliak.


“Ustaz Razali?” Wajah Ustaz Razali mula muncul di benak pemikirannya. Barulah dia tahu kenapa Ustaz Razali yang mengiringi gadis itu ke mari.


“Sebelum ini bersekolah di mana?” Cikgu Hasnizan masih meneruskan sesi perkenalan.


“Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tok Jiring.”


Shamsuri mengangguk-angguk. Seingatnya sebelum Ustaz Razali mengajar di sini, dia pernah menjadu guru di sekolah yang disebutkan oleh Maryam. Barulah Shamsuri menemui titik-titik yang mempertemukan antara Maryam dengan Ustaz Razali.


Cikgu Hasnizan masih meneruskan perbualan dengan Maryam. Shamsuri tidak ambil peduli semua itu.


Cukuplah. Dia sudah mengetahui nama gadis tersebut.


Barangkali gadis itu juga sudah mengetahui namanya. Bahkan namanya adalah yang pertama di dalam kelas ini yang diperkenalkan kepada Maryam apabila Cikgu Hasnizan memintanya menyediakan meja dan kerusi untuk Maryam. Terasa ada sesuatu yang mengembang di sebalik tulang rusuknya.


Shamsuri menarik nafas panjang. Dibuang segala angan-angan yang berebut-rebut mahu masuk ke dalam otaknya. Layangan mindanya dipusatkan kembali ke alam realiti.


“Saya lihat saudara gembira sahaja,” Fahmi tiba-tiba bersuara apabila melihat senyuman Shamsuri yang tidak mahu lekang itu.


Cepat-cepat Shamsuri buang senyuman itu. Dia tidak mahu sesiapa pun, termasuk Fahmi, mengetahui akan perasaannya sekarang. Takut nanti ditertawakan teman-temannya. Namun, jauh di sudut hatinya, lafaz-lafaz kegembiraan jelas kedengaran. Pertama kali dia berasa sebegini. Tidak dapat dipastikan perasaan itu, namun dia benar-benar teruja dengan pengalaman baru ini.


Tiba-tiba tengah hari yang membosankan itu berubah wajah. Setiap tutur kata yang keluar dari mulut Cikgu Hasnizan ibarat melodi indah yang mendamaikan jiwa.


Shamsuri tidak lagi merasa mengantuk. Dia berjanji tidak akan mengantuk lagi dalam bilik darjah.


(Petikan daripada novel jibunsyi karya Imad yang bakal terbit)


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, August 12, 2005

Cinta Pertama

“Apa yang kamu tulis di belakang saya ini?” Noraisyah bertanya kepada Anuar.

“Rahsia,” jawab Anuar.


Anuar yang sebenarnya sedang melakar nama buah hatinya di belakang badan Noraisyah masih teragak-agak untuk memberitahu isi hatinya yang sebenar.


“Saya rasa seperti ejaan nama saya sahaja. Kamu tulis 'Noraisyah' bukan, di belakang saya?” tanya Noraisyah lagi.


Anuar sememangnya menulis nama Noraisyah, di belakang badan gadis kecil itu dengan menggunakan jari telunjuknya.


“Siapa pula nama teman lelaki kamu?” tanya Anuar kepada Noraisyah.


“Baik, sekarang kamu pusing ke belakang.”


Anuar terus mengesot sedikit dan memusingkan badannya membelakangkan Noraisyah.


“Saya akan tulis nama lelaki idaman saya di belakang badan kamu pula,” terang Noraisyah.


Anuar yang tidak membantah hanya menurut sahaja arahan Noraisyah.


“Kamu jangan tulis laju sangat. Bagaimana saya hendak menangkap apa yang kamu tulis,” kata Anuar sambil mengerutkan keningnya.


“Kamu tulis nama Terry, bukan?” teka Anuar.


“Betul,” jawab Noraisyah.


“Jikalau begitu, kamu tidak cintakan saya?” duga Anuar.


“Sebenarnya saya telah menipu perasaan saya sendiri,” akhirnya Noraisyah mengaku. “Baik, sekarang kamu pusing ke belakang sekali lagi dan saya akan tulis semula,” Noraisyah memberikan arahan.


“Sekarang cuba kamu teka saya tulis nama siapa,” kata Noraisyah.


Anuar senyum simpul apabila namanya dilakar oleh Noraisyah di belakang badannya.


“Nampaknya saya tidak bertepuk sebelah tangan,” kata Anuar.


Noraisyah dan Anuar senyum malu selepas membuat pengakuan cinta masing-masing pada usia lapan tahun.


(Petikan dari novel jibunsyi Norasyikin yang bakal terbit.)



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, August 11, 2005

TV Pertama dalam Hidup Saya

Pada suatu petang sedang saya bermain-main dengan abang saya di halaman rumah saya, kawan saya Khalid menjerit.


“Mari kita pergi tengok TV.”


“TV? Apa itu TV?”


“Marilah tengok, ada macam-macam dalam TV itu,” tambahnya lagi.


“Di mana?”


“Tu, di rumah kedai di hadapan rumah awak.”



Lebih kurang 200 meter di hadapan rumah saya memang terletak satu deret bangunan rumah kedai. Rumah kedai itu satu-satunya yang diperbuat daripada batu di Bukit Tengah pada masa itu.



Pada masa itu saya hanya berusia 8 tahun dan sedang belajar dalam Darjah dua.



“Mari kita pergi tengok,” saya mengajak Khalid.


“Saya nak balik ke rumah, saya dah tengok. Awak pergilah tengok,” kata Khalid.


“Abang, mari kita pergi tengok TV,” saya mengajak abang saya.


“TV! Apa itu TV?” tanya abang saya.


“Saya pun tak tahu, mari kita pergi tengok dulu.”



Kami berdua pun lari menuju ke arah rumah kedai di hadapan rumah saya. Apabila sampai di kedai itu, saya lihat sebuah kotak di atas sebuah almari di kedai itu. Tercengang-cengang saya dan abang saya.



“Apa benda itu?” saya berfikir.



Gambar saya lihat ialah seorang lelaki berpakaian kot bercakap di dalam kotak itu. Sekejap kemudian terdapat gambar-gambar lain disiarkan. Kemudian gambar orang bercakap itu kembali lagi.



Ramai kanak-kanak dari kampung saya berkumpul berdiri di luar kedai itu memerhatikan kotak ajaib itu.



Saya juga nampak gambar sungai mengalir ditunjukkan dalam TV itu. Lama kemudian baru saya tahu bahawa program TV pertama yang saya menonton ialah program Warta Berita.



TV menjadi begitu ajaib kepada saya sebab saya tidak lahir di zaman yang ada TV. TV datang selepas saya. Ini mungkin berbeza dengan kanak-kanak zaman ini yang sudah biasa dengan TV sejak kelahirannya lagi. Ada bayi yang dibaringkan di hadapan TV sejak dari kecil lagi.



(Petikan dari novel jibunsyi karya Dr. Balakrishnan yang bakal terbit.)




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 1 of 1 pages