Tuesday, September 30, 2008

Memilih antara Diri yang Terkenal ataupun Buku yang Terkenal

Bagi penulis muda, lazimnya mereka menyimpan keinginan menjadi orang terkenal dan mempunyai banyak peminat. Dalam sesetengah bidang penulisan penulis dapat menjadikan terkenal, sebagai contoh dalam bidang novel ataupun puisi.

Penulis perlu memilih mahukan keterkenalan yang bagaimana:

(i) Diri penulis yang menjadi terkenal:

Dato' Dr. Mashitah Ibrahim terkenal daripada sudut ini. Beliau terkenal walaupun tidak mempunyai buku. Individu-individu seperti beliau terkenal disebabkan mereka memiliki wajah menarik dan banyak muncul di televisyen. Hasilnya, mereka menerima banyak undangan berceramah ke sana sini.

Kelebihan keterkenalan jenis ini adalah penulis mendapat undangan berceramah yang banyak. Semakin banyak berceramah, semakin penulis terkenal, semakin banyak sumber pendapatannya daripada yuran ceramah.

Kekurangannya adalah, disebabkan penulis mencari rezeki dengan bercakap, dia tidak boleh salah cakap walaupun hanya satu ayat.

(ii) Buku-buku penulis yang menjadi terkenal:

Ada penulis yang banyak menulis buku tetapi tidak muncul di televisyen dan amat memilih-milih majlis di mana dia ke depan dan bercakap. Hasilnya orang tidak kenal wajahnya, mereka hanya kenal tajuk-tajuk bukunya sahaja.

Kelebihannya cara ini adalah, penulis mempunyai banyak masa bagi menulis banyak buku. Walaupun dia tidak mendapat yuran berceramah, tetapi disebabkan bukunya banyak, pendapatan royaltinya tetap banyak.

Kelebihannya adalah, disebabkan penulis kurang bercakap di khalayak, kekerapan berlakunya masalah tersilap cakap juga kurang, dibandingkan dengan penulis yang banyak bercakap.

(iii) Diri dan buku-buku penulis sama-sama terkenal:

Dato' Dr. Fadhilah Kamsah, Dr. Danial Zainal Abidin, Dr. Robiah K. Hamzah, dan YM Dr. Tengku Asmadi terkenal daripada sudut ini.

Orang kenal wajah-wajah mereka dan orang kenal buku-buku mereka. Peminat mereka ramai, dan mereka membeli buku dan juga hadir mendengar mereka berceramah. Tokoh-tokoh seperti mereka menerima pendapatan daripada royalti buku dan yuran ceramah.

Apabila penulis memilih mahu menjadi orang terkenal, sebaik-baiknya dia memiliki ijazah Ph.D. Para penganjur majlis ceramah di Malaysia mementingkan Ph.D.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, September 11, 2008

Nama Samaran

Bagi penulis yang baru cuba-cuba hendak menulis, salah satu perkara yang melintas dalam fikiran mereka adalah sama ada mahu menggunakan nama benar ataupun nama samaran.

Setiap penerbit mempunyai amalan masing-masing dalam isu nama pengarang.

Ada penerbit yang mengambil hak menciptakan nama samaran bagi pengarang-pengarang mereka. Ertinya penulis tidak diberikan hak memutuskan nama yang digunakan pada buku mereka.

Jika saudara masih muda, lazimnya nama saudara tidak ada masalah ejaan. Tetapi bagi penulis tua yang menulis buku-buku untuk remaja dan orang muda, nama mereka mungkin bunyinya tua, jadi pembaca remaja tahu si penulis itu orang tua!

Contoh nama individu yang lahir pada zaman pramerdeka adalah JAAPAR, PATIMAH ataupun LATIPAH.

Sesetengah nama dieja dengan cara yang menampakkan suku keturunan ataupun asal negeri kelahiran seperti NGASRI, ABOO BAKAR, NINGGAL ataupun SETAPA.

Nama pengarang yang tertulis pada kulit buku adalah salah satu daripada komponen yang mencipta persepsi positif mahupun negatif dalam minda bakal pembeli buku saudara. Tidak hairanlah jika ada penerbit menggunakan nama-nama remaja moden pada kulit novel-novel cinta remajanya bagi menggantikan nama-nama sebenar pengarang.

Jika saudara menulis buku fiksyen sai-fai, tetapi nama saudara adalah Muhammad Romji bin Lebai Hasan, dahi bakal pembeli mungkin berkerut. Jika saudara mengubah sedikit nama saudara menjadi Ramzi Hassan, besar kemungkinan kerut itu tidak timbul.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, September 01, 2008

Fokus, Fokus, Fokus

Salah satu syarat kejayaan sebagai penulis adalah menulis buku-buku yang temanya berfokus. Jika penulis mahu mendapat royalti tinggi daripada buku-bukunya, pilih satu tema, dan tulis buku-buku dalam tema itu sahaja.

Apa sekalipun tema yang dipilih, bidang itu ada peminatnya sendiri. Jumlah peminatnya mungkin besar, mungkin kecil. Buku-buku seni pertahanan diri mempunyai peminatnya sendiri. Begitu juga buku-buku sukan ataupun cerita-cerita perang.

Masuklah ke dalam sesuatu bidang itu dan jadilah penulis terkenal dalam bidang itu.

Ambil contoh bagaimana Tuan Samsudin Wahab memfokuskan buku-buku beliau dalam tema pengurusan majlis. Beliau adalah pensyarah di UiTM.

Tuan Ahmad Fadzli Yusof pula menghasilkan buku-buku 'resipi kejayaan'nya. Tuan Ahmad Naim Jaafar menerbitkan buku-buku pembangunan 'karisma'nya. Mereka berdua adalah pemegang ijazah undang-undang.

Dalam waktu yang singkat mereka sudah mempunyai ramai peminat bagi tema yang mereka tekuni.

Jumlah peminat mempunyai kaitan langsung dengan jumlah royalti yang diterima penulis. Lebih ramai peminat, lebih tinggi royalti.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, July 21, 2008

Pesanan dari Chairman PTS: Tangguhkan Kepuasan

Apabila saudara menjadi penulis PTS, apabila buku saudara masih terus dicetak dan dijual, insya Allah, setiap tahun saudara akan menerima royalti dan honorarium.

Bagi penulis yang julung kali menerima cek royalti, saudara perlu belajar cara yang betul mengurus wang saudara, supaya hidup saudara menjadi tambah selesa dengan adanya rezeki tambahan itu.

Pertama-tama jangan gelap mata apabila menerima cek royalti.

Orang yang gelap mata apabila nampak duit tidak bertambah senang hidupnya walaupun pendapatannya bertambah. Malah semakin banyak wang masuk, semakin susah hidupnya, sebab semakin banyak hutangnya.

Banyak artis dunia hiburan menerima nasib di mana semakin mereka tua semakin susah hidup mereka.

Kaum penulis pun ada yang nasibnya begitu. Mereka tua dalam keadaan susah bukan kerana mereka tidak mempunyai wang. Mereka susah disebabkan mereka tidak mempunyai keupayaan menangguhkan kepuasan. Belum dapat wang, sudah ada rancangan apa yang mahu dibeli dengan wang yang belum ada itu!

Serupalah dengan sesetengah orang makan gaji. Bonus belum dapat, mereka sudah siapkan rancangan bagaimana bonus itu mahu dibelanjakan.

Belajar menangguhkan kepuasan. Jangan gelap mata apabila menerima cek royalti.

Keupayaan menangguhkan kepuasan adalah ciri individu yang semakin hari semakin berharta.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, January 21, 2008

Macam-macam Komplen tentang PTS

Kita berkali-kali menerima feedback tentang PTS. Berikut adalah komplen yang Sifu pernah terima dan catatkan seperti di bawah:

(1) Jika penulis baru hendak menerbitkan buku dengan PTS ia adalah sukar, kerana standard buku-buku PTS tinggi, oleh itu sukar bagi penulis baru hendak mencapai standard itu.

(2) PTS hanya mahukan penulis-penulis yang sudah terkenal sahaja. 

(3) PTS mempunyai kumpulan penulisnya sendiri, yang sudah jadi macam kroni PTS, jadi penulis-penulis lain susah hendak masuk.  

(4) PTS ada gayanya sendiri, oleh sebab itu sesiapa yang tidak menulis ikut gaya PTS, maka karyanya tidak berpeluang diterbitkan oleh PTS. 

(5) Editor-editor PTS suka mengedit karya orang sampai 'rosak' bahasanya. 

(6) Editor-editor PTS mengamalkan pilih kasih. Sesiapa yang pandai mengampu editor, buku-bukunya akan dicepatkan penerbitannya.

(7) Editor-editor PTS 'double-standard'. Ada syarat yang dikenakan kepada penulis lain, tetapi syarat itu tidak pula dikenakan kepada penulis lain. 

(8) PTS terlalu mementingkan untung, jadi buku-buku yang bagus tetapi sukar dijual, langsung PTS tidak mahu terbitkan.

(9) PTS tidak mahu bertolak ansur tentang kebebasan penulis menulis apa yang mereka mahu. Terlampau banyak syarat itu-tak-boleh ini-tak-boleh.

(10) PTS menyusahkan penulis dengan pelbagai kerenah kerja seperti penulis dikehendaki menghantar sinopsis lengkap dahulu, dan sinopsis perlu dibaiki sebelum boleh mula menulis.

(11) PTS tidak suka menerbitkan novel-novel remaja yang tidak bersiri.

(12) PTS mengongkong kebebasan penulis menggunakan gaya bahasanya sendiri kerana PTS mewajibkan penulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi sahaja.

(13) PTS terlalu didominasi oleh teori-teori bahasa dan sastera yang dicipta oleh Chairman PTS (Sifu) dan Penasihat PTS (Prof. Abdullah Hassan).

(14) PTS hanya menerbitkan buku-buku karya penulis yang berpendidikan tinggi sahaja, mesti mempunyai segulung ijazah, kalau tidak, PTS tidak pandang sebelah mata.

(15) PTS penerbit yang sombong terhadap golongan penulis underground dan juga penulis generasi lama.

(16) Editor-editor PTS ada yang tidak menjawab emel. 

(17) Editor-editor PTS tidak bergaul dengan komuniti sastera oleh itu sukar hendak menjalin hubungan mesra dengan mereka.

(18) Editor-editor sastera PTS bukan lulusan sastera, mereka tidak faham teori-teori sastera dan teori-teori kritikan sastera.

(19) Semenjak PTS sudah menjadi penerbit "besar", PTS tidak mesra macam mula-mula dulu.

(20) Editor-editor PTS sombong sebab tidak melayan penulis yang tidak menggunakan internet. 

(21) PTS tidak terbuka kepada kritikan. Editor-editor PTS cuma suka dipuji-puji, menyebabkan penulis-penulisnya sendiri takut hendak menyuarakan pendapat, hanya berani bercakap sesama mereka di belakang PTS.

(22) PTS terlalu agresif dalam pasaran sehingga ada kalanya tidak mementingkan mutu ilmu dalam buku-buku terbitannya. 

(23) Buku-buku agama PTS merendahkan martabat bahasa Arab sebagai bahasa wahyu, menghina Nabi Muhammad dan menjatuhkan imej Islam sebagai agama Allah.

(24) Buku-buku PTS hanya gah pada kulitnya sahaja, sedangkan isinya tidak mantap. 

(25) PTS pandai main lobi itulah sebabnya setiap tahun buku-buku PTS sahaja paling banyak dipilih untuk pembelian pelbagai agensi kerajaan.

(26) PTS tidak suka menolong penerbit perseorangan sebab tidak mahu mengedarkan buku-buku mereka.

(27) Buku-buku PTS hanya dapat dibeli di kedai-kedai buku bandar besar sahaja.

(30) Buku PTS asyik out-of-stock sahaja. Ejen dan kedai buku susah hendak mendapatkan bekalan lengkap bagi semua buku yang dipesan.

(31) Harga buku-buku PTS lebih mahal daripada harga buku Melayu terbitan syarikat lain. 

(32) PTS tidak menolong penerbit lain melesenkan buku mereka ke Jakarta. 

(33) PTS lambat mengulang cetak buku-buku yang sudah habis. Cuma buku-buku pengarang tertentu sahaja yang cepat diulang cetak. 

(34) Sangat susah hendak memohon menjadi ejen buku-buku PTS, syarat-syaratnya terlalu menyukarkan pemohon yang baru bertatih.

(35) PTS banyak melesen buku-buku dari Jakarta dan perkara itu merugikan penulis-penulis tempatan. 

(36) PTS tidak patriotik sebab ada design kulit buku pun sudah di-outsource kepada studio-studio di Jakarta, seolah-olah designer Malaysia tidak cukup berbakat.

(37) Banyak buku PTS yang ada dalam katalog tidak ada di kedai-kedai buku.

(38) Susah hendak membeli buku PTS sebab tidak semua kedai buku menjual buku PTS.

(39) PTS 'jahat' sebab PTS merampas rezeki penerbit lain yang selama ini menerbitkan buku-buku ulamak seperti Tuan Guru Hadi Awang tetapi sekarang buku-buku itu hanya dibenarkan PTS sahaja menerbitkannya.

(40) Sesetengah judul buku PTS mengaburi mata pembeli. Judulnya sahaja yang gah tetapi isinya tidak berkualiti. 

(41) PTS pilih kasih apabila memilih penulis mana dan buku mana yang hendak dipromosi habis-habisan.

(42) PTS kerap menukar design kulit bukunya menyebabkan orang keliru dan terbeli buku serupa dua kali.

(43) PTS tidak bersikap terbuka terhadap kebebasan berkarya di kalangan artis komik kerana meletakkan syarat-syarat terlalu ketat. 

(44) Sukar mendapat peluang bertugas di PTS, perlu kenal orang dalam, sebab pegawai-pegawai PTS mengamalkan kronisme dan nepotisme. 

(45) Novel-novel remaja PTS terlalu Melayu, terlalu Islamik dan teralu lokal, tidak sesuai untuk bacaan anak-anak keluarga bukan Melayu dan bukan Islam.

(46) Buku cerita kanak-kanak PTS hanya sesuai untuk kanak-kanak perempuan. Tidak ada buku cerita untuk bacaan kanak-kanak lelaki.

(47) Sekarang PTS tidak berapa baik sebab sudah mula mencuri staf syarikat lain. 

Komplen-komplen seperti di atas itu ada betulnya, dan ada tidaknya. 

Bagi saudara yang ada komplen selain yang tersenarai di atas, tulislah komplen saudara di sini.

Nota Sifu: Apabila menulis komplen, lebih pendek lebih efektif.  

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(14) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, January 14, 2008

“Kalau hendak duit…”

Baru-baru ini Sifu sengaja pergi menemui salah seorang penulis fiksyen yang sudah mempunyai banyak judul dengan PTS.

Tujuan Sifu adalah bagi bertanyakan kepada beliau beberapa pertanyaan tentang apa pandangan dan persepsi rakan-rakan sesama penulis berkenaan PTS.

Macam-macamlah yang saya tanyakan kepada beliau, semuanya dijawab dengan tulus ikhlas, baik yang positif mahupun yang negatif.

Rupa-rupanya PTS memang menjadi topik yang sering kali muncul apabila beliau bertemu rakan-rakannya.

Salah satu nasihat beliau kepada mereka bunyinya begini: "Kalau hendakkan nama, terbitkanlah karya dengan DBP. Kalau hendakkan duit, terbitkanlah karya dengan PTS...."

Begitulah yang beliau sendiri amalkan. 

Dalam hati, Sifu berkata kepada diri sendiri: "Laa... kalau ada duit, takkan tidak ada nama!" 

Lalu Sifu pun berkata kepada beliau, "Tuan K, berilah tahu kawan-kawan kita itu, dalam fasa pertama, buat duit dahulu dengan PTS, sudah banyak duit, barulah masuk fasa kedua, tulis dan terbitkan dengan DBP. Jangan terbalik!"

Beliau yang serius orangnya, cuma angguk-angguk dan senyum sahaja. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, January 09, 2008

Apa Sebaiknya Dilakukan Apabila Penulis Ditimpakan Musibah Kritikan Pedih

Apabila kita masuk ke dalam kebun ular, tentu ada risiko dipatuk ular. Demikianlah halnya apabila kita memasuki dunia penulisan, baik kreatif mahupun nonkreatif.

Buku-buku kreatif paling terdedah kepada kritikan negatif. Buku-buku sasterawan negara pun teruk dikritik orang, apatah lagi buku-buku penulis yang statusnya tidak setinggi itu.

Antara buku-buku non-kreatif yang paling terdedah kepada kritikan adalah buku-buku yang menjanjikan kebahagiaan, kejayaan dan kekayaan cara mudah dan pantas.

Buku-buku 'quick-fix' seperti itu memberikan gambaran palsu seolah-olah sesiapa sahaja dapat menikmati kebahagiaan, kejayaan dan kekayaan, dengan menelan bulat-bulat apa-apa sahaja yang tertulis dalam buku itu.

Sebagai penulis, apabila buku kita, dan diri kita sendiri sebagai pengarang buku-buku itu, dikritik dengan cara-cara dan kata-kata yang parah, apakah yang paling baik kita lakukan? 

Patutkah kita tarik orang yang mengkritik, dan memfitnah kita itu, ke mahkamah? Apakah pro dan kontra langkah membawa pengkritik kita itu ke mahkamah? 

Sasterawan Fartimah Busu mengambil langkah menarik ke mahkamah seorang penulis artikel yang menghentam beliau, dan akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkannya. Sampai saat ini sudah lebih 10 tahun, kes itu belum sampai ke mana-mana, sedangkan wang yuran peguam sudah dibayar.

Pada pendapat Sifu, kita ikut apa yang Nabi Muhammad (salam dan selawat buat beliau, ahli keluarga beliau dan sabahat-sahabat beliau) lakukan setiap kali beliau difitnah dan dicerca. Beliau diam sahaja seraya mendoakan moga-moga orang yang mencacinya diberi hidayah oleh Tuhan. Beliau tidak menarik pemfitnah dan pencerca beliau ke pengadilan.

Contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad itu diikuti oleh tokoh-tokoh seperti Dato' Seri Nik Aziz, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Dato' Dr. Haron Din, Dato' Dr. Hassan Ali, dan juga Dato' Dr. Fadhilah Kamsah (mereka semua menulis banyak buku) apabila mereka dikritik dengan kritikan yang parah. 

Apabila kita ambil tindakan membalas dendam, Tuhan tidak lagi akan membalas perbuatan orang itu, sebab kita tidak menaruh percaya kepada Tuhan yang maha adil, dan maha pembalas. Dalam erti kata lain, kita sudah melakukan 'vote-of-no-confidence' terhadap Tuhan.

Apabila kita bergaduh 'in-public', banyaklah orang-orang yang sadistik akan bertepuk sorak, mengapi-apikan kita, sebab mereka mempunyai mindset macam kaki tengok orang bertinju. Mereka teruja apabila menonton orang bergaduh. Yang bertinju yang lebam-lebum. Yang menonton seronok. Makin si petinju lebum-lebam, makin mereka seronok.

Kita adalah manusia biasa-biasa, malah ulamak pun bukan. Jadi tentu sekali kita melakukan banyak kesilapan pada apa yang kita lakukan dan tuliskan. Tidak mungkin perbuatan kita betul belaka, dan apa yang kita tulis tidak mungkin betul belaka. Tidak mungkin kritikan orang salah semuanya, tentu ada betulnya, kalau tidak banyak, sedikit tentu ada.

Apabila kita bergaduh sampai naik-naik mahkamah, kita memutuskan tali silaturrahim. Perbuatan itu dibalas dengan rezeki yang dipersempitkan, dan umur yang dipendekkan.

Apabila kita mendoakan kebaikan ke atas orang-orang yang menyakiti kita, kita dibalas dengan rezeki yang lebih banyak, dan umur yang lebih panjang.

Allah jua yang maha mengetahui mengapa kita diuji dengan ditimpakan musibah kritikan pedih.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 04, 2008

Surat Pilihan: Isu Pensyarah Menulis Buku Umum

Situasi di tempat saya (USM, kampus kejuruteraan) agak berbeza. Penulisan atau karya media umum diambilkira sebagai sumbangan kepada masyarakat dalam ruang borang kenaikan pangkat (walaupun sedikit sahaja poinnya… daripada menidakkannya langsung…)

Sudah tentunya sebagai ahli akademik, kita tahu kepentingan mendisiplinkan diri dan menyedari tugas hakiki dalam menjana ilmu baru serta membimbing tenaga baru dalam bidang penyelidikan kita, khususnya para pelajar peringkat pasca siswazah.

Saya mula menulis bahan umum di ruang akhbar sebab ingin menyumbang ide dan sedikit ilmu yang ada kepada masyarakat umum (ruang Jendela Hikmah dan Bicara Kalbu-Berita Harian setiap Jumaat kelolaan Wanita JIM) bersama rakan-rakan dalam takungan Kelab Penulis Islah (Jamaah Islah Malaysia -JIM). Apa yang kita boleh bantu dalam kebaikan maka kita kena bantu…

Saya menulis buku sebab mahu berkongsi pengalaman… terutama buat para remaja yang masih tercari-cari identiti diri. Mereka perlukan bahan bacaan membina dan memotivasikan diri dalam bentuk cerita sebagai alternatif kepada apa yang ada dalam pasaran (khususnya membentuk jati diri remaja Muslim). Saya mahu memperkayakan lagi koleksi yang ada.

Pada saya, sesuatu itu akan lebih manis dan amat bermakna sekiranya dapat dikongsikan bersama. Juga beri peluang kepada otak sebelah kanan ‘daripada terus membeku’. Asyik berfikir perkara teknikal pasti ‘membosankan’…

Alhamdulillah dapat jadi mentee Puan Ainon Mohamad…. (Sifu PTS kita yang sentiasa manis itulah…) Sentiasa dapat suntikan semangat…

Kepada pensyarah muda... tuliskan sahaja apa yang dirasakan dapat dimanfaati semua... supaya saham kita di dunia sana akan bertambah... Insya Allah..

Itu saja seposen daripada saya…

Wasalam,

(Nota oleh Sifu: Prof. Madya Dr.) Umi Kalthum Ngah

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, January 03, 2008

Surat Pilihan: Terkena Batang Hidung

Salam Puan Ainon,

Saya banyak sekali membaca artikel dan komen yang Puan tulis sama ada di blog Prof Dr. Muhd. Kamil Ibrahim, Kassim Selamat dan juga kadang kala bila berkesempatan saya menjengah ke laman web PTS.

Maafkan saya kerana saya ingin mengambil sedikit masa puan berkongsi perasaan saya ketika ini. Artikel puan bertajuk 'Surat Terbuka buat Prof MKI' yang saya baca pagi tadi sangat menarik minat saya kerana ianya sangat tepat mengena atas batang hidung saya.

Asalnya saya semasa di Sekolah Menengah Agama Ampangan, Seremban, amat berminat menulis dan membaca novel.  Di MRSM Jasin juga begitu. Dipendekkan cerita, semasa di USM dan menuntut dalam bidang sains farmasi, saya selalu keputusan wang kerana buku dan peralatan yang mahal menuntut hampir semua wang biasiswa saya digunakan ke arah itu. Tambahan pula ibu bapa saya bukanlah orang berada.

Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk mula menaip cerpen-cerpen yang pernah saya tulis secara main-main untuk dihantar ke majalah Remaja dan Muslimah. Saya tidak tahu prosedurnya. Saya cuma mengikut apa yang dilakukan oleh salah satu watak dalam novel kanak-kanak yang dibaca suatu ketika dahulu. Hantarkan cerpen yang saya tulis beserta surat iringan. Kemudian sertakan sekali sampul surat berstem dan beralamat sendiri. Saya nyatakan juga di dalam surat tersebut, jika pihak editor tidak berminat menerbitkan cerpen saya di dalam majalah mereka, sila kembalikan cerpen saya menggunakan sampul surat yang saya sertakan. Haaa... naif sungguh saya ketika itu.

Dengan izin Allah, Alhamdulillah kedua-dua cerpen yang saya dihantar diterima dan diterbitkan. Saya menerima bayaran pertama berjumlah RM100 dan yang kedua bernilai RM150. Saya sangat gembira kerana dapat menampung perbelanjaan saya di kampus.

Selepas bekerja sebagai pegawai farmasi pelatih, saya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dengan biasiswa dari UiTM, dan sejak itulah saya tidak menulis lagi. Saya tidak tahu kenapa.

Sekarang saya sedang melanjutkan pengajian saya di peringkat PhD di UiTM. Betullah kata puan, sudahlah saya tidak mampu hendak menulis artikel dalam bidang-bidang lain, dalam bidang saya sendiri juga saya masih merangkak-rangkak.

Saya sendiri tidak tahu apa yang perlu saya lakukan ketika ini. Cuma saya rasa sedikit bersemangat selepas membaca balasan surat terbuka dari Prof MKI. Benar, ianya memerlukan semangat yang kuat untuk menulis sesuatu di luar bidang akademik dan melihat ianya diterbitkan. Perasaan malukah ataupun tidak cukup keyakinan yang membuatkan saya tidak mahu menulis lagi?

Selalu saya mendengar rakan-rakan sekerja berkata, "Menulis untuk jurnal saintifik ataupun lebih baik jangan menulis langsung!" Ermm...pilihan yang sangat terhad, bukan?

Moga saya dapat memberikan sumbangan dalam bidang saya pula sedikit hari lagi. Remaja kita memang perlu didedahkan dengan Sains dan Teknologi, jika tidak mereka akan takut... seperti mana saya yang satu masa dahulu sangat takut kerana terpaksa menukar aliran pendidikan dari aliran syariah ke aliran sains tulen.

Jemputlah melayari blog saya: www.epelijau06.blogspot.com. Saya menulis apa yang saya ingin tulis. Catatan yang saya lakukan ketika saya ingin meluah rasa. Segan juga kerana bahasa yang saya gunakan tunggang-langgang.

Terima kasih atas kesudian puan membaca surat saya ini. Moga PTS lebih maju di tahun mendatang.

Salam hormat,
Nor Amlizan Ramli
Pensyarah
Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi MARA,
Shah Alam 40450, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Jawapan Terbuka dari Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim

UiTM Johor Kampus Segamat
85200 Jementah
Segamat, Johor

Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Puan Pengerusi a.k.a SifuPTS,

Saya mohon Allah berikan kerahmatan, keselamatan, taufik-hidayahNya kepada Puan sekeluarga dan staf PTS. Moga-moga Allah memudahkan usaha-usaha puan untuk memandaikan bangsa.

Saya berterima kasih atas tulisan puan. Izinkan saya berkongsi pengalaman sendiri selama hampir 20 tahun berkhidmat di UiTM.

1. Perasaan takut untuk menulis bukan kepakaran bidang.

Memang benar, ada di antara rakan sejawat, ketua jabatan hatta Dekan yang tidak memandang langsung karya-karya luar bidang. Bukan setakat itu sahaja, ia mungkin diperleceh pula. Saya mengalami peristiwa yang sama. Dalam satu temuduga kenaikan pangkat, seorang panel bertanya: Tulisan you yang beratus-ratus di Utusan Sarawak tidak boleh dinilai, ia tidak relevan dan tidak menggambarkan kepakaran bidang.

Lalu dengan tersenyum saya menjawab: Tidak mengapa, cuma saya ingin nyatakan bahawa saya dijemput untuk menulis di Utusan Sarawak ketika pejuang-pejuang bangsa mahu mewujudkan satu akhbar Melayu di bumi Kenyalang. Tidak ada cendiakawan Melayu, terutamanya pensyarah universiti yang sanggup menghinakan diri turun membantu. Saya fikir saya berdiri di atas kemuliaan mereka yang menulis di dalam kepakaran bidang. Kedua, saya menulis hampir 10 artikel sebulan dalam pelbagai bidang. Tidakkah tuan terkesan betapa tuan mempunyai seorang staf yang berbakat besar, multidisiplin, berdisiplin dan mempunyai pengetahuan yang tidak terkepung dalam lingkaran yang sempit?

Masa telah beredar, khas untuk pensyarah-pensyarah muda, penulisan dalam bukan kepakaran bidang juga mempunyai segmen penting dalam proses kenaikan pangkat di UiTM. Dan inilah yang sedang saya usahakan di UiTM Johor. Mereka perlu belajar KJ Method supaya mampu menulis penulisan bidang, kreatif dan apa-apa yang mereka minati serentak.

2. Penulisan Kreatif atau bukan bidang sangat membantu.

Saya sangat-sangat menggalakkan pensyarah saya menulis dalam pelbagai bidang kerana ia bakal membantu mereka menulis bahan-bahan akademik dengan cara yang lebih mesra pembaca. Di sekitar 1993-1996, saya gemar menulis di Berita Harian. Siapa sangka topik-topik seperti Politik dalam Perakaunan, Perakaunan Alam Sekitar, Perakaunan Islam diterima dan diterbitkan di bawah ruangan editorial.

Puan jangan risau. Perjuangan saya senada dengan puan, apatah lagi saya sendiri telah melalui saat-saat sukar dengan minat dan keinginan lampau yang tidak dilihat penting oleh warga Universiti.

Akhirnya, siapa yang tersenyum dan ketawa?

Muhd Kamil Ibrahim

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, December 18, 2007

Surat Pilihan: Tentang Siapa “penulis bebas”

(Respons kepada pertanyaan Tuan April)

Saya kira mana-mana penerbitan tidak boleh menyebut bahawa adanya jawatan penulis bebas. Secara peribadi, penulis bebas adalah ruang kerjaya yang dibentuk oleh individu itu sendiri. Bukan mana-mana organisasi suka hati membuka tawaran jawatan kosong, “Penulis Bebas bagi agensi B&B;.”

Beliau bebas berkarya dengan persetujuan tidak ada bahan penulisan yang dikirim akan menyebabkan kerugian kedua-dua pihak.

Kalau sudah hantar artikel ke majalah A, tunggulah sebulan dan kitar semula dengan wajah dan susunan baru sebelum hantar ke majalah B.

Di Barat penulis bebas ada kategorinya. Mereka meletakkan diri mereka sebagai Penulis Komersial atau Penulis Profesional juga.

Ia fokus kepada penulisan bahan-bahan bisnes seperti risalah, ayat poster, laman web dan artikel yang menguntungkan satu pihak.

Sebagai contoh, jika Tuan April diminta oleh satu pihak jualan langsung menulis mengenai produk mereka dalam bentuk rencana pendidikan (tanpa menyebut syarikat itu) maka saudara juga dikira penulis komersial/profesional.

Salah seorang yang saya tulis dalam buku Cari Duit Cara Mudah Sebagai Penulis Bebas ialah cerita Lee Beadling, beliau bukan pakar perubatan, tetapi menulis di majalah bagi tujuan survival isteri dan anak).

Hanya melalui bahan bacaan peribadi dan di perpustakaan, beliau banyak menulis bagi majalah perubatan Orthopedic Today, sedangkan beliau bukan doktor atau lulusan bidang itu.

Kekuatan penulisan beliau menjadikan para doktor meminta beliau menyemak bahan teks kertas kerja mereka dan teks ucapan yang disediakan. Saya kira, Lee Beadling juga dianggap penulis komersial.

Penulis bebas, penulis komersial, penulis profesional adalah kelompok yang sama tetapi fokus kategori penulisan yang berbeza mengikut kecenderungan masing-masing. Meskipun kita ada jawatan tetap, ‘jawatan’ penulis bebas masih boleh dijawat sendiri pada bila-bila masa.

Cuma ‘jawatan’ ini memang perlukan orang seronok dengan menulis, tidak mudah kata “Ah! bosanlah” apabila berhadapan dengan cabaran. Paling mencabar sedia berhadapan dengan persepsi masyarakat, “Jadi penulis? Boleh hidupkah?”

Penulis bebas ini dilihat sebagai kuasa neutral yang boleh memujuk pembaca. Ia menjadi orang tengah bercerita bagi satu pihak kepada pihak lain.

ZAMRI MOHAMED 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, December 07, 2007

Menjadi Pengarang Selebriti: Pro dan Kontra

Peluang menjadi pengarang selebriti adalah amat istimewa, apatah lagi bagi pengarang non-fiksyen, seperti yang sedang dialami oleh pengarang buku "Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman". Sebagai pengarang berstatus selebriti, beliau banyak ditemui wartawan majalah, akhbar, radio dan televisyen, dan ini amat bagus bagi mempromosi karya itu.

Sebagai pengarang, saudara dapat memilih antara:

(1) Diri pengarang itu lebih terkenal daripada karyanya.

Nama dan wajah pengarang selalu muncul dalam media, khususnya TV, sebagai panel forum dan lain-lain, oleh itu dia terkenal. Contoh personaliti kategori ini adalah Dato' Johan Jaafar. 

Walaupun dia sudah menulis buku, tetapi orang tidak kenal bukunya, kerana apabila dia muncul dalam media, bukunya tidak dipercakapkan, sebaliknya dia bercakap hal-hal lain yang tiada kait mengait dengan bukunya. Malah bukunya mungkin tidak dapat dibeli di kedai-kedai buku ternama.

Bagi penerbit buku, pengarang selebriti jenis ini tidak membawa keuntungan, sebab jualan bukunya tidak ikut naik dengan naiknya nama si pengarang. Pengarang juga rugi sebab dia tidak menerima royalti yang lebih tinggi sekiranya jualan bukunya naik. 

Menjadi pengarang kategori ini mempunyai risiko sosialnya sendiri, bukan hanya bagi dirinya, tetapi juga bagi diri pasangannya, anak-anaknya, dan kaum kerabatnya. Semua gerak-geri dan tingkah laku mereka diperhatikan orang.

(2) Karyanya terkenal, tetapi diri si pengarang tidak dikenali orang.

Sebagai contoh buku "Jangan Bersedih" amat terkenal, tetapi bagaimana rupa wajah pengarangnya, tidak ada orang di Malaysia yang tahu. Begitu juga buku "Bercakap dengan Jin" amat terkenal, tetapi hampir tidak ada sesiapa yang tahu siapa Tamar Jalis. Sehingga hari ini identiti beliau masih misteri.

Dalam kes ini, bukunya yang berjaya berstatus ala-selebriti, pengarangnya tidak. Penerbit suka pengarang kategori ini, sebab yang penting jualan buku-bukunya bagus.

Jika saudara memilih menjadi pengarang kategori ini, ia banyak manfaatnya. Pertama-tama kehidupan privat saudara tersimpan kemas. Saudara dapat hidup normal, macam orang lain. Pasangan dan anak-anak serta kaum kerabat saudara juga dapat hidup normal, macam orang lain.

Menjadi pengarang jenis ini adalah paling sukar dicapai. Bukan senang hendak melariskan jualan buku manakala pada waktu yang sama, pengarang tidak mahu berkenalan langsung dengan orang media. 

Pengarang yang bagaimanakah yang sesuai menjadi pengarang kategori ini? Jika saudara mempunyai "kecacatan sosial" maka saudara sebaiknya menjadi pengarang kategori ini.

Sebagai contoh, saudara mahu menulis buku bertemakan "keluarga bahagia" manakala saudara sendiri pernah bercerai, ataupun berkahwin dengan duda, ataupun saudara mempunyai lebih daripada seorang isteri. Ataupun saudara sendiri masih belum berkahwin walaupun usia sudah lebih 30 tahun. Apabila kecacatan sosial seperti itu diketahui umum, ia menjatuhkan kredibiliti saudara mahupun kredibiliti buku saudara.

Justeru, saudara boleh menulis buku-buku bertemakan "keluarga bahagia" tetapi gunakan nama samaran, dan hindari media. Pilih nama samaran manusia biasa seperti "Normin Abdullah" ataupun "Herman Abdullah". Jangan gunakan nama samaran bukan manusia seperti "Jiwa Romantis" ataupun "Melor Di Rimba". 

(3) Pengarangnya terkenal dan buku-bukunya juga terkenal.

Contoh pengarang kategori ini adalah Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Dato' Dr. Harun Din. Jika saudara menulis buku-buku yang temanya tidak dapat dikaitkan dengan diri saudara ataupun alam kehidupan peribadi, saudara patut menjadi pengarang kategori ini.

Apabila saudara memilih mahu menjadi pengarang terkenal, jangan bercakap dengan media tentang kehidupan peribadi saudara. Jangan pamerkan siapa pasangan hidup saudara, ataupun siapa anak-anak saudara.

Saudara satu orang sahaja yang ke hadapan. Yang lain jangan, supaya orang tidak tahu mereka, dan dengan itu mereka dilindungi daripada risiko sosial akibat mempunyai suami, ataupun isteri, ataupun ayah, ataupun ibu yang menjadi selebriti.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, October 26, 2007

Aduhai Kassim Selamat, Apa Khabarmu

Sudah lama Kassim Selamat tidak menghantar kad-kadnya. Mari kita masuk blog DARI KATIL KEKASIHKU dan tinggalkan doa-doa supaya beliau rasa ringan badan, dan dapat menyambung karyanya.

Sewaktu saya mengadakan bengkel di Akademi Aidit, saya berkenalan dengan seorang kaunselor OKU yang biasa menziarahi Kassim Selamat. 

Aduhai Kassim, kita merinduimu... 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, September 12, 2007

Tulis Buku Sambil Berpuasa

Sepanjang bulan puasa ini para penulis mendapat peluang banyak membaca buku dan menulis buku.

Waktu baik bagi menulis adalah selepas bangun sahur sehingga sekitar jam 10 pagi.

Bagi sesetengah orang, jam 6 petang sehingga masuk waktu berbuka adalah masa yang produktif menulis.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, September 06, 2007

PTS Tempat OKU Berkarya

Puan Siti Rafidah Hassan Basri adalah seorang yang layak menggunakan label "OKU" bagi dirinya kerana disebabkan oleh penyakit saraf yang dihidapinya beliau bergerak dengan menggunakan kerusi roda ataupun dipapah.

Disebabkan beliau tidak dapat memanjat tangga bagi menghadiri kursus PTS di sekolah al-Ikhlas, beliau mengikuti program khas distance-tutoring SifuPTS yang hanya ditawarkan kepada para OKU sahaja.

Beliau yang memegang ijazah UKM kini mengajar anak-anak jiran tetangganya membaca Quran di rumahnya.

Puan Siti Rafidah amat produktif. Ini adalah bukunya yang pertama terbit. Tujuh buah judul lain sudah siap ditulis dan sedang menunggu giliran diterbitkan lepas satu, satu. Salah satu daripada karyanya adalah jibunsyi.

Sebelum ini PTS menerbitkan 3 buah karya Hamedah Wok Awang yang lumpuh parah dari paras dada ke bawah. Beliau bekas Pengetua Cemerlang dan pensyarah maktab perguruan. Karya beliau setiap tahun diulangcetak.

Kita menunggu karya Kassim Selamat pula!

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(13) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, September 05, 2007

Buku Inggeris: Duit Besar dan Kejayaan

Siapakah yang lebih cenderung berjaya dalam apa yang dimahukannya - individu yang angan-angannya besar ataupun individu yang angan-angannya sederhana?

Contoh angan-angan besar adalah seseorang itu mahu menulis bukunya dalam bahasa Inggeris sebab dengan demikian, dia yakin bukunya akan laku di seluruh dunia, dengan demikian dia berpeluang menerima royalti besar, berjumlah berjuta-juta ringgit... ala-ala JK Rowling.

Contoh angan-angan sederhana adalah seseorang itu mahu menulis 10 buah buku cerita rakyat yang evergreen dalam Bahasa Melayu, sebab jika 1 buku dapat menghasilkan RM3 ribu royalti setahun, dia boleh mendapat RM30 ribu setahun selama berpuluh-puluh tahun.

Kajian dan eksperimen yang dilakukan oleh Prof McClelland, Bapa "psikologi kejayaan" moden mendapati salah satu ciri individu pegagal adalah "angan-angan besar" manakala salah satu ciri individu pejaya adalah "angan-angan sederhana".

Buku 55 Petua ini ditulis sewaktu penulisnya baru bersuia 24 tahun, baru tamat menduduki peperiksaan tahun akhir di universiti.

Buku ini diulangcetak setiap tahun dan sudah terjual lebih 30 ribu naskhah di Malaysia, dan merupakan judul pertama PTS yang berjaya dilesenkan ke Jakarta sebagai edisi Bahasa Indonesia.

Jika 1 naskhah buku ini menghasilkan royalti RM1.50sen, buku ini sudah menghasilkan sekitar RM50k royalti.

Disebabkan buku ini amat popular, penulisnya juga banyak menerima undangan menyampaikan ceramah dan training berdasarkan buku ini dengan menerima yuran ceramah yang bagus.

Kita menganggarkan buku ini sudah menghasilkan sekitar RM80 - RM100k kepada penulisnya semenjak ia diterbitkan, dan ia akan terus menghasilkan lebih banyak royalti dan yuran ceramah bagi beliau.

Buku 55 Petua ini berpotensi menjadi karya berstatus "modern classsic" sebagaimana buku How To Win Friends and Influence People oleh Dale Carnegie dan Management by Objective oleh Peter Drucker dan banyak lagi.

Bagaimanakah angan-angan besar menghasilkan kegagalan, bukan kejayaan?

Menurut McClelland, angan-angan besar cenderung menghasilkan kegagalan disebabkan individu yang berangan-angan besar mempunyai ciri-ciri:

(a) Tidak berfikiran realistik

(b) Tidak berminat dengan fakta, statistik dan maklumat

(c) Tidak mengutamakan perancangan kerja yang teliti

Yang dinamakan "kejayaan" adalah hasil daripada adanya "daya usaha". Matlamat dan angan-angan tidak manjamin kejayaan.

Justeru, daya usaha dengan sendirinya menghasilkan kejayaan. Lebih besar daya usaha seseorang itu, maka lebih besar kejayaan yang terhasil.

Tuhan menjanjikan kepada manusia "Kamu mendapat apa yang kamu usahakan" bukan "apa yang kamu angan-angankan". Malah manusia ditegah daripada mempunyai "angan-angan yang panjang".

Apabila seseorang itu medefinisikan dirinya sebagai seorang "pemburu kejayaan" maka dia telah menjadikan "kejayaan" sebagai matlamat. Ini adalah ciri-ciri psyche pegagal.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, August 10, 2007

Tahniah! Nenek Ini Penulis Kebanggaan PTS

Pada 15 Ogos nanti, penulis novel ini, Puan Umi Kalthum Ngah akan menerima ijazah Ph.D. beliau dalam bidang kejuruteraan daripada Universiti Sains Malaysia.

Beliau kini seorang profesor madya di fakulti kejuruteraan USM dan sedang bercuti sabatikal di Manchester bagi menjalankan kajian beliau di sebuah hospital di sana selama 9 bulan, dalam bidang kejuruteraan perubatan.

Beliau mula belajar menulis novel dengan menghadiri kelas tatabahasa, teknik surah Yusuf dan teknik KJ Method di PTS. Waktu itu beliau sudah mempunyai cucu. Insyirah adalah nama cucu beliau.

Sebelum subuh beliau akan turun dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, dengan dihantar oleh suami beliau yang juga bertugas di USM, khusus bagi menghadiri kelas-kelas PTS.

Prof. Madya Dr. Umi Kalthum kini sudah menyiapkan novel ketiganya, dan sedang menuliskan novel keempatnya. Atas nasihat Sifu, beliau bersetuju menjadikan tema belajar di luar negara sebagai tema dalam novel-novel beliau bagi mencetuskan inspirasi kepada pembacanya supaya belajar kuat-kuat sehingga dapat melanjutkan pengajian ke seberang laut.

Tahniah kepada Prof. Madya Dr. Umi Kalthum, seorang jurutera, seorang ahli akademik, seorang isteri, ibu dan nenek yang berjaya menjadi penulis kreatif. Ia adalah pencapaian luar biasa!

Bak kata Tuan jOnOs... Tabik!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Novel
(11) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, August 05, 2007

Mengurus Kejayaan

Banyak buku menunjukkan jalan menuju kejayaan. Selepas berjaya, banyak orang yang mengalami pelbagai kegagalan.

Kita diajar macam-macam cara bagaimana hendak berjaya. Kita tidak diberitahu perkara-perkara yang mesti dilakukan, dan yang tidak boleh dilakukan, supaya tidak menjadi mangsa kejayaan kita sendiri.

Kepada penulis buku-buku motivasi PTS, tulis buku itu!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Strategi Mencipta Harta Intelek

Jika Ali Baba masuk ke dalam gua dan terjumpa sebiji berlian, Ali Baba berjumpa sebiji berlian, dia tidak terjumpa harta karun. Harta karun bermakna harta itu banyak jumlahnya, bukan setakat sebiji ataupun dua biji berlian.

Kata pepatah Tamil, “Satu batang pokok getah tidak menjadi satu estet.” Begitulah ibaratnya.

Jikalau saudara hanya menulis sebuah buku, yang terbit sekali cetak sahaja, buku yang saudara tulis itu adalah buku, bukan harta karun, bukan "harta" intelek.

Apabila saudara menulis 10 buah buku, setiap buku diulangcetak setiap tahun, tahun demi tahun, selama bertahun-tahun, barulah semua 10 buah buku itu menjadi harta karun saudara.

Justeru, tulislah banyak buku.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, July 23, 2007

Pokok yang Lebih Tinggi Lebih Banyak Mendapat Angin

Adat hutan, pokok yang lebih tinggi daripada pokok-pokok lain lebih banyak mendapat angin. Begitulah hukum alam.

Saudara mahu menjadi penulis yang lebih glamour daripada penulis-penulis lain, mahu banyak masuk media, mahu banyak muncul di atas pentas, mahu menerima tepukan daripada hadirin, tetapi saudara tidak sanggup dikritik dan dikutuk... saudara menentang hukum alam.

Sebagai penulis berstatus selebriti, saudara menjadi hak masyarakat. Apa yang saudara buat, apa yang saudara tidak buat, diperkatakan orang.

Di kawasan perumahan mana saudara tinggal, kereta apa yang saudara pandu, semuanya diperkatakan orang.

Siapa isteri saudara, apa taraf pendidikan dan profesion isteri saudara, itu pun orang ramai hendak tahu.

Bagi yang tidak sanggup banyak ditiup angin, duduklah sama tinggi dengan pokok-pokok lain.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, July 22, 2007

Penulis Banyak Bakat

Adakah saudara seorang yang mempunyai pelbagai bakat? Sebagai contoh saudara mungkin seorang yang mempunyai bakat menulis buku pengetahuan, tetapi saudara juga boleh novel, puisi, bermain alat muzik, menyanyi ataupun bakat-bakat lain.

Apabila saudara seorang yang 'multi-talented', saudara perlu memilih bakat mana yang saudara hendak jadikan modal utama bagi membina hidup selesa dalam dunia penulisan. Jikalau tidak, saudara akan hilang fokus.

Jangan tulis satu buku pengetahuan, satu buku novel, satu buku puisi dan seterusnya. Cara ini tidak membantu saudara menjadi penulis pakar dalam satu-satu bidang, akibatnya saudara tidak terkenal dalam mana-mana bidang, dan saudara tidak dapat membina kelompok peminat bagi karya-karya saudara.

Disebabkan buku-buku saudara itu amat berlainan bidang, buku-buku itu akan diletakkan di rak-rak yang berbeza di kedai buku. Akibatnya pengunjung tidak tahu bahawa saudara mempunyai lebih daripada satu buku. Ia juga menyebabkan nama saudara tidak tertonjol pada mana-mana rak.

Bagi tujuan mencari penerbit pula, saudara mungkin terpaksa mencari lebih daripada satu penerbit disebabkan penerbit yang menerbitkan buku-buku pengetahuan am mungkin tidak menerbitkan novel, manakala penerbit novel pula tidak menerbitkan buku puisi.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, July 20, 2007

Apabila Penulis Selebriti Naik Mahkamah

Memang ada penulis yang mahu menjadi selebriti. Buktinya, sejak buku pertamanya dia sudah tampalkan mukanya pada kulit buku. Bukan penerbitnya yang tampal, dia yang tampal. Perangai suka tengok gambar sendiri adalah tingkah laku selebriti.

Siapakah selebriti di sebelah ini? Klik di sini. (Jangan marah, Prof! Nanti kena jual!)

Di kalangan penulis PTS, ada beberapa nama yang sudah lama menjadi selebriti. Ada pula beberapa nama yang sedang mula menaiki anak tangga menuju status penulis selebriti.

Bagi saudara yang berhasrat mahu menjadi selebriti, ada beberapa perkara yang saudara perlu terima sebagai risiko menjadi selebriti.

1. Sebagaimana kita menilai orang lain, orang-orang lain pun menilai kita. Ini sering kali kita lupa.

Sebagai selebriti, apa yang kita buat sudahlah tentu dinilai orang akan buruk baiknya. Yang kita tidak buat pun dinilai orang! Kata mereka, "Mengapa dia tidak buat itu? Mengapa dia tidak buat ini?" Namanya pun "selebriti".

Kalau saudara tidak sanggup berdepan dengan risiko peribadi dan karya saudara dinilai orang secara negatif, cukup dengan menjadi penulis sahaja, jangan jadi selebriti.

2. Sebagai selebriti, apabila saudara dijadikan bahan tulisan negatif, diam sahaja.


Jangan ambil pusing, apatah lagi jika tulisan itu cuma dalam blog. Bersabar, jangan buat apa-apa, jangan cakap apa-apa.

Jangan tumbuk orang yang mengutuk kita. Kalau orang kecil menumbuk orang kecil, itu bukan berita. Kalau selebriti menumbuk orang kecil, itu berita! Kalau suami selebriti menumbuk entah siapa pun masuk berita utama TV!

Jangan tarik orang kecil itu ke mahkamah. Sebagai selebriti, perbuatan menyaman malu sesiapa sahaja, adalah perbuatan memberi bahan berita sensasi kepada media yang memang hauskan berita-berita sensasi. Saudara habis duit, media buat duit!

Elok-elok tidak berapa orang yang tahu, apabila gambar saudara masuk muka depan akhbar, habis satu Malaysia tahu saudara dikutuk orang dalam blog!

Sudah menjadi psikologi manusia biasa-biasa, kalau ada berita buruk tentang selebriti, orang lebih percaya berita itu tentu ada asasnya. Semakin saudara nafikan, semakin orang percaya berita itu, tidak banyak sedikit, tentu ada benarnya.

Apabila saudara masuk mahkamah, peguambela defendan akan "telanjangkan" saudara dan akan dedahkan pekung-pekung saudara, bagi membuktikan apa yang ditulis oleh anak guamnya itu memang ada asasnya.

Peguam saudara takkan memberitahu bahawa dalam mahkamah nanti saudara akan ditelanjangkan habis-habisan oleh peguam defendan. Kalau dia terangkan, habislah bisnesnya!

Peguam saudara baru memfailkan saman saudara, wartawan sudah terhidu berita itu, besok pagi keluar cerita dalam surat khabar. Perbicaraan belum bermula, belum apa-apa, saudara sudah mendapat malu. Ingatkah lagi kisah selebriti dengan rumputnya?

Wartawan juga yang senyum-senyum, maklumlah dia mendapat berita bagi melariskan jualan surat khabarnya yang semakin merudum....

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, July 19, 2007

Siapa Menumbuk, Siapa Penumbuk

Wahai mentee-menteeku,

Orang baik-baik tidak akan menghayunkan penumbuk pertama. Sesiapa yang mula-mula mengeluarkan buku limanya, dia merosakkan nama baiknya sendiri.

Dalam dunia bisnes buku, nama baik adalah modal utama kita. Orang membeli buku kita selagi mereka yakin kita penulis yang berperibadi baik.

Justeru, apabila peribadi dan buku saudara dikritik dan dikutuk orang, ikut sunnah Nabi Muhammad. Jangan buat apa-apa, bersabar sahaja. Selepas 100 hari, orang lupa.

Apabila kita diam, orang yakin kita orang baik-baik, manakala cakap-cakap orang yang mengutuk kita itu tidak betul, itu sebab kita tidak ambil pusing. Begitulah cara orang Melayu menilai tingkah laku kita.

Apabila kita saman-menyaman, orang akan berkata dalam hati, "Kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang."

Di kalangan orang Melayu, membuktikan kita betul, orang lain salah - itu bukan misi penting. Sama sekali tidak penting. Membuktikan kita adalah orang baik-baik - inilah yang paling penting.

Kekalkan nama baik kita. Jangan jadi pihak yang mula-mula menghayunkan penumbuk!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Risiko Sosial Menjadi Penulis

Sesiapa yang mempunyai urusan dan bisnes dengan orang ramai perlu menerima hakikat bahawa diri kita dan produk kita akan dinilai oleh orang ramai.

Tidak mungkin kita dapat menjadi penulis terkenal yang hanya dipuji-puji, yang tidak pernah dikritik oleh pihak lain, baik kritikan itu ditujukan kepada peribadi kita mahupun buku-buku kita.

Tidak mungkin kita dapat menjadi wira tinju jika tidak sanggup menahan sakit dan muka kita lebam-lebum.

Sebagai penulis, jika kita tidak mahu dikritik, malah mungkin dikutuk, jangan jadi penulis. Cukup dengan menjadi pembaca buku-buku orang lain sahaja.

Kritikan dan kutukan bukan semestinya bukti kita penulis yang bodoh, pendusta, penipu. Nabi Muhammad pun dikutuk orang. Sampai saat ini beliau masih dikutuk, sedangkan beliau adalah sebaik-baik manusia, terpelihara daripada melakukan kesilapan.

Jika kita sudah menerbitkan buku, tetapi tidak pernah dipuji dan dikritik, itu bermakna buku kita tidak dibaca orang.

Wahai mentee-menteeku, bersedialah menerima pujian, kritikan, dan mungkin juga kutukan....

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, July 18, 2007

Cobaan Kejayaan

Apabila karya saudara terbit, maka saudara berpeluang menjadi terkenal oleh kebagusan karya saudara itu. Ini lebih-lebih lagi benar bagi saudara yang menghasilkan novel dan antologi puisi.

Maka saudara akan mendapat peminat daripada kalangan strangers yakni individu-individu yang tidak saudara kenali sebelum saudara menjadi pengarang terkenal.

Saudara mudah tergoda oleh kata-kata puja-puji dari mulut para strangers yang memberikan gambaran seolah-olah apa juga yang saudara ucapkan dan tuliskan betul dan bijak belaka. Apatah lagi apabila strangers itu adalah perempuan-perempuan muda dan cantik pula.

Isteri saudara tidak dapat bertanding dengan puja-puji para strangers itu. Tidak dapat! Isteri saudara sangat kenal akan siapa saudara yang sebenar.

Puja-puji daripada strangers yang muda dan cantik mudah menyebabkan pengarang lupa akan siapa dirinya yang sebenar, lalu dia terjatuh ke dalam perangkap di mana dia mula berlakon menjadi apa yang strangers itu mahukan daripada pengarang yang diminatinya.

Ini biasa berlaku kepada pengarang yang lemah peribadinya dan kurang berhati-hati apabila menerima puja-puji daripada peminat @ penggoda.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, July 03, 2007

Profesor Madya Seronok Menjadi Pelajar Semula

Antara berpuluh-puluh mentee Sifu, ada 4 orang yang memiliki ijazah PhD dan bergelar profesor madya.

Yang terbaru adalah Profesor Madya Dr. Ariff Osman, pakar bius di Fakulti Perubatan Universiti Islam Antarabangsa. Sebelumnya beliau pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau sedang belajar menulis 2 buah novel serentak, iaitu novel profesional dan novel jibunsyi.

Dr. Ariff mencetuskan idea dan mengusahakan pembukaan pusat hemodialisis Islam pertama yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan. Pusat ini memberi perkhidmatan kepada semua golongan pesakit.

Beliau adalah ayah kepada Sdr. Firdaus Ariff. Mereka berdua mengikuti bengkel-bengkel PTS bersama-sama.

Dalam emelnya yang terbaru, Dr. Ariff memberitahu beliau amat seronok menjadi pelajar semula.

Alangkah seronoknya menjadi Sifu kepada tokoh seperti beliau... Wahai Tuhan, hantarkan kepadaku lebih ramai doktor yang mahu belajar menjadi novelis. Amin.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Novel
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, June 09, 2007

Penulis Belajar

Kalau pemuzik dan penyanyi dapat hidup sepenuh masa menggunakan bakat mereka, mengapakah penulis tidak dapat hidup selesa dengan pendapatan daripada tulisan mereka.

Ada beberapa perkara penulis dapat belajar daripada mereka dalam industri muzik.

Pertama-tama adalah: Mereka belajar secara formal.

Para penyanyi memang belajar teknik-teknik menyanyi yang betul. Mereka pergi kelas menyanyi. Mereka berguru. Mereka tidak mengharapkan bakat semula jadi sahaja.

Seperti penyanyi, pemain alat-alat muzik memang belajar membaca nota muzik. Mereka belajar teknik-teknik bermain alat-alat muzik. Mereka juga pergi ke kelas muzik. Dan mereka juga berguru.

Mereka sanggup ditunjuk, diajar, dikritik, malah dimarahi oleh guru dan penasihat mereka. Mereka tidak membela diri, tidak defensif.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, June 01, 2007

Mahu Biasiswa Belajar di Jepun?

Bagi mentee-mentee SifuPTS yang berminat belajar di Jepun, baca blog ini bagi mendapatkan maklumat.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, May 21, 2007

Penulis Tanpa Ijazah

Sifu menerima sepucuk emel daripada seorang yang tidak memiliki ijazah tetapi amat berminat menjadi penulis. Beliau berasa ragu apakah mungkin beliau menjadi penulis.

Tidak semua buku perlu ditulis oleh mereka yang memiliki ijazah. SN Dato A Samad Said tidak memiliki ijazah, tetapi perpustakaan peribadi beliau amat besar sehingga beliau menggunakan sebuah rumah teres 2 tingkat khusus bagi menyimpan buku-bukunya sahaja.

Jika saudara tidak memiliki ijazah, faktor itu tidak menghalang saudara menjadi penulis. Yang penting adalah ilmu pengetahuan saudara dalam bidang yang saudara mahu menulis.

Sebanyak manakah ilmu yang saudara miliki, ia tergambar dengan mengira sebanyak mana saudara membaca, dan sebesar mana koleksi buku dalam perpustakaan peribadi saudara.

Kata pepatah Tamil, "Apa yang ada dalam senduk, itulah yang ada dalam periuk...."

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, May 11, 2007

Buku Agama: Ustaz Cemuh Buku Ustaz

Adakah saudara pensyarah di mana-mana fakulti Islam? Dengarlah curahan hati SifuPTS ini....

Bukan sekali dua editor PTS Islamika mendengar kata-kata daripada pensyarah muda di fakulti Islam yang, apabila diajak menulis buku-buku asas tentang Islam bagi bacaan pembaca beginner, mereka tidak mahu, disebabkan 2 faktor:

(1) Buku-buku asas tentang Islam tidak membolehkan mereka naik pangkat.

(2) Mereka takut buku mereka dicemuh oleh rakan-rakan sejawat.

Kalau bukan saudara-saudara di fakulti Islam yang mendukung usaha PTS menyampaikan Islam kepada bukan Islam, siapa lagi?

Tulislah buku-buku yang saudara yakin boleh menaikkan pangkat saudara.

Tulislah juga buku-buku yang menyampaikan Islam kepada bukan Islam, kepada kanak-kanak, kepada remaja, kepada saudara-saudara baru, kepada Islam keturunan yang baru hendak belajar kenal Islam.

Kalau saudara hanya mahu menulis buku untuk naik pangkat, tidak mengapa. Tetapi jangan patahkan semangat rakan-rakan sesama ustaz yang bersusah-payah menulis buku-buku bacaan untuk pembaca beginner, meskipun buku-buku itu tidak diambil kira bagi tujuan kenaikan pangkat mereka, sebab sememangnya mereka itu tidak menulis untuk penerbitan PTS demi mahu naik pangkat.

Kepada pensyarah-pensyarah muda di fakulti Islam, apa Tuhan kata tentang buku saudara, itulah yang penting.

Fatwa Sifu: Menulis buku adalah kerja manusia. Menaikkan pangkat adalah kerja Tuhan.

Tuhan jualah yang lebih mengetahui.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Motivasi Penulis
(27) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 1 of 5 pages  1 2 3 >  Last »