Tahun 2007 melihat Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) membuat pembaharuan pada prosedur pembelian buku. Sebelum ini semua buku dipesan daripada kontraktor ataupun penerbit.
Apa yang berlaku, bukan semua penerbit itu jujur dalam urusan perniagaan mereka.
Akibatnya, dulu-dulu, banyak penulis yang tidak dapat apa-apa daripada projek pembelian PNM. Macam-macam nasib malang menimpa kaum penulis.
Ada penerbit yang diam-diam sahaja, langsung tidak memberitahu penulisnya bahawa bukunya dipesan oleh PNM. Jadi, semua keuntungan masuk kantung penerbit.
Bagi membela nasib penulis, mulai 2007, PNM menyediakan peruntukan khas bagi membeli buku terus daripada penulis. PNM mengeluarkan surat pesanan "LO" kepada penulis dan penulis membekalkan bukunya kepada PNM. PNM juga terus menghantar cek bayaran kepada penulis.
Tetapi, bukan semua buku dibeli oleh PNM terus daripada penulis, hanya sejumlah judul sahaja yang terlibat. Dengan cara ini dapatlah penulis merasa duit PNM itu. Pada waktu yang sama, kontraktor buku pun masih dapat bisnes juga macam yang berlaku sebelum ini.
Prosedur baru pembelian PNM ini menyebabkan sesetengah penerbit marah-marah dan pergi ke PNM bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Mereka membantah atas alasan seperti adanya buku yang hakciptanya sudah dibeli oleh si penerbit. Jadi mereka berasa PNM patut membeli buku itu dari penerbit.
Ada pula penulis yang tidak puas hati dan marah-marah, bukan kepada PNM, tetapi kepada penerbit mereka sendiri. Penulis marah-marah sebab penerbitnya cuma memberi 10% komisen kepada penulis.
Mereka mendapat tahu ada penerbit lain, seperti PTS, yang memberi komisen 35% kepada penulis-penulisnya bagi setiap judul yang dipesan terus dari penulis. Kadar 35% itu adalah kadar yang dinikmati oleh pengedar-pengedar PTS.
Walaupun penulis PTS bukan pengedar, tetapi PTS tetap memberikan kadar komisen pengedar kerana mahu menyokong hasrat PNM dalam projek pembelian terus itu, yakni supaya duit PNM dapat dinikmati oleh penulis.
Justeru penulis-penulis PTS yang bukunya dipesan terus daripada penulis, mereka memang mendapat rezeki durian runtuh daripada PNM. Bagi pembelian PNM yang bernilai RM20, penulis menerima komisen RM7 ribu, itu tidak termasuk royalti buku-buku itu yang akan dibayar oleh PTS pada hujung tahun!
Maklumat inilah yang menyebabkan penulis bukan-PTS marah-marah kepada penerbit mereka yang tamak. Dari satu sudut, hasrat PNM hendak memberi rezeki kepada penulis tidak tercapai.
Tetapi, ceritanya tidaklah semudah itu bagi penulis-penulis PTS. Sebagai penerbit, PTS terpaksa mengurus risikonya. Justeru PTS menghendaki supaya penulis membayar harga cetak buku-bukunya, sebelum PTS membekalkan buku-buku itu kepada PNM.
Penulis-penulis PTS terpaksa membayar duit muka antara RM4,500 hingga RM10,00 kepada PTS. Ini terpaksa dilakukan sebab PNM akan menghantar cek bayaran kepada penulis. (Bagaimana andainya selepas penulis menerima cek PNM, beliau kemudian terlupa hendak membayar PTS....)
Bagi penulis-penulis PTS yang sudah mempunyai banyak judul dengan PTS, dan buku mereka sudah banyak terjual, oleh itu akaun royalti mereka besar, maka PTS akan menolak jumlah itu daripada akaun royalti penulis.
Mereka tidak perlu membayar duit muka kepada PTS. Itulah antara banyak kelebihan penulis yang cuma berkahwin dengan PTS sahaja, dan tidak berpoligami.
Bagi penulis yang tidak mempunyai banyak buku dengan PTS, oleh sebab itu akaun royalti mereka kecil, maka mereka terpaksa membayar tunai kepada PTS.
Hmm... kasihan, sampai ada yang terpaksa dibantu oleh orang tersayang....
Nasihat PTS kepada penulis yang baru ada 1 buku dengan PTS, cepat-cepatlah siapkan buku-buku baru itu!
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o