Friday, July 25, 2008

Tip Survival Penerbit: Gunakan Sistem Royalti Sebagai Alat Kerja Bisnes

Bagi penulis, bayaran royalti yang diterima adalah pulangan hasil penat lelah menulis bukunya. Bagi penerbit tradisional, wang royalti yang dibayar kepada penulis adalah keuntungan yang terpaksa dikongsi dengan penulis.

Namun, bagi penerbit era baru, sistem royalti adalah alat kerja yang digunapakai bagi mencapai beberapa objektif bisnesnya:

(1) Bagi mendorong penulis menghasilkan manuskrip buku yang baik, yang tahan lama dalam pasaran, dan yang mudah dijual. Apabila jualan buku itu tinggi, maka pendapatan penulis daripada royaltinya juga naik tinggi. Pendapatan penerbit juga naik.

(2) Bagi menggalakkan penulis menyemak isi kandungan bukunya dan mengemaskinikannya sesuai dengan keadaan semasa, supaya buku itu dapat terus diterbitkan berkali-kali sebagai edisi ke-2, ke-3 dan seterusnya.

Apabila hayat buku itu panjang maka penulis dapat memanjangkan tempoh pendapatan royaltinya. Pendapatan penerbit daripada buku itu juga bertambah panjang.

(3) Bagi menggalakkan penulis ikut serta secara aktif dalam program dan aktiviti promosi bukunya, sebab apabila buku itu dipromosi oleh penulisnya sendiri, jualan akan naik, dengan demikian jumlah royalti si penulis juga ikut naik. Pendapatan penerbit juga naik.

Itulah sebabnya penerbit era baru tidak suka membeli hakcipta buku-buku yang diterbitkannya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, July 11, 2008

Membayar Royalti adalah Bisnes Yang Mahal

Apabila saudara hendak menjadi penerbit buku, saudara terpaksa membuat pilihan:

(1) Membeli hakcipta

Apabila saudara membeli hakcipta, saudara perlu membayar tunai harga yang ditawarkan oleh penulis. Saudara hanya membayar sekali sahaja. Sampai bila-bila saudara tidak perlu membayar apa-apa lagi kepada penulis manuskrip yang saudara beli itu.

Para penerbit buku agama (baca, penerbit Mamak) di negara kita mengamalkan cara ini. Cara ini amat popular disebabkan modal berniaga cara ini adalah lebih murah, manakala margin keuntungannya lebih tinggi.

(2) Tidak membeli hakcipta

Apabila saudara tidak membeli hakcipta, saudara perlu membayar royalti buku itu setiap tahun, selama buku itu masih saudara jual.

Cara ini hanya diamalkan oleh penerbit-penerbit besar yang kredibel, yang mengamalkan budaya pengurusan gaya korporat, dan yang menghormati harta intelek para penulisnya.

Bisnes penerbitan dengan cara membayar royalti kepada penulis adalah lebih mahal. Sebagai contoh, bagi tahun 2008, PTS membayar royalti lebih RM1,013,848.43 en kepada penulis-penulisnya.

Bagi tahun yang sama, kita menganggarkan, penerbit agama yang sama besar nilai jualannya dengan PTS membelanjakan tidak sampai RM100 ribu bagi membeli hakcipta.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, July 01, 2008

Tip Survival Penerbit: Mengapa Lebih Banyak Judul Baru Diterbitkan daripada Judul Ulangcetak

Istilah back-title bermakna buku-buku yang SUDAH terbit. Makin banyak judul back-title yang ada, makin stabil syarikat, yakni kemungkinan saudara gulung tikar apabila ekonomi meleset adalah kurang.

Tanpa ribuan back-title, apabila ekonomi meleset, sukar bagi saudara hendak survive sebab back-title yang banyak berfungsi sama seperti wang simpanan dalam tabungan saudara.

Jumlah minimum back-title mestilah 1000 judul, barulah syarikat saudara stabil. Back-title yang banyak memudahkan saudara memilih judul-judul back-title yang saudara dapat luncurkan semula ke dalam pasaran apabila berlaku gawat.

Sebagai contoh, apabila harga minyak naik dan ekonomi meleset seperti sekarang, orang tidak mempunyai banyak wang bagi membeli buku yang tebal dan mahal, tetapi ada kategori buku yang masih dibeli orang. Jangan terbitkan buku-buku tebal dan mahal. Terbitkan semula buku-buku harga rendah yang ada dalam senarai back-title saudara.

Justeru syarikat saudara mesti menerbitkan banyak judul baru, sebab semakin banyak judul baru, maka semakin banyak judul back-title saudara.

Pada peringkat penulis, saudara perlu mempunyai banyak back-title saudara sendiri. Bagi penerbit dan penulis, logik bisnesnya adalah serupa, yakni semakin banyak back-title saudara, semakin kukuh ekonomi saudara.

Jika semua buku saudara mahal-mahal belaka, pada zaman gawat buku mahal sukar dijual.

Apakah implikasi menerbitkan banyak judul baru setiap bulan?

Pertama, margin keuntungan saudara amat tipis, ataupun setakat pulang modal sahaja, disebabkan kos pracetak menerbitkan judul baru adalah tinggi. TETAPI, judul-judul baru laju bergerak!

Ertinya, judul baru lebih mudah dijual, justeru cash-flow syarikat saudara baik, sebab buku judul baru tidak lama berlonggok dalam setor. Cash-flow (duit tunai masuk, duit keluar) adalah nyawa syarikat.

Walaupun keuntungan menerbitkan judul baru adalah kecil, tetapi judul baru mudah dijual, maka duit masuk laju, maka setiap bulan saudara dapat membayar hutang pencetak, hutang bank, sewa pejabat dan gaji (duit keluar laju).

Di PTS, majoriti judul baru dapat dijual dalam tempoh 3 - 6 bulan. Ertinya kita dapat membayar hutang kepada pencetak dengan mematuhi tempoh kredit 90 hari.

Buku-buku ulangcetak laku, tetapi lambat bergerak. Selepas 90 hari, tempoh kredit pencetak sudah tamat, hutang mesti dibayar, tetapi buku ulangcetak masih banyak di dalam setor.

Apabila buku lambat bergerak, ini menyebabkan saudara tidak dapat membayar hutang pencetak. Akibatnya, pencetak tidak mahu mencetak buku-buku saudara selagi saudara tidak membayar hutang yang ada. Itulah sebabnya, tanpa buku baru, penerbit boleh gulung tikar.

Setiap bulan, nisbah buku baru dan buku ulangcetak adalah 7:3 yakni 7 judul baru, 3 judul ulang cetak. Dengan menerbitkan 7 judul baru yang dapat dijual dengan lajunya, saudara dapat membayar hutang mencetak buku-buku ulangcetak yang lambat bergerak itu. 

Apabila syarikat survive, semua pihak yang menanggung risiko akan selamat. Mereka yang menanggung risiko adalah bank-bank, syarikat finance, pencetak, pemilik bangunan yang kita sewa, staf, EPF, SOCSO, orang ahli lembaga pengarah yang menjadi penjamin peribadi liabiliti syarikat kepada bank-bank, syarikat insurans dan takaful, pembekal alat pejabat, dan banyak lagi, (tidak dilupakan senarai penerima-penerima zakat syarikat).

Data inventori PTS menunjukkan, pada mana-mana hari, daripada 1000 lebih judul yang sudah diterbitkan, ada antara 80 - 100 judul buku PTS yang kehabisan stok. Pekedai merungut, penulis merungut, agen merungut.... Erm... Masalah PTS adalah buku-bukunya terlampau laku! (Sifu garu-garu kepala).

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, June 28, 2008

Tip Survival Penerbit: Buku Hanya Habis di Setor Tetapi Masih Banyak Di Kedai

Apabila sesebuah judul sudah habis di dalam setor saudara, ada kalanya ia patut segera diulangcetak, seperti kes buku Prof. Muhd. Kamil Ibrahim, Dato' Dr. Haron Din dan Dato' Seri Hadi Hj. Awang. Buku mereka diulangcetak serta-merta.

Buku yang boleh diulangcetak serta-merta adalah buku yang jualannya meletup-letup sebaik-baik ia terbit.

Ada kalanya, buku itu sudah habis langsung dalam setor saudara, tetapi lebih baik jangan segera diulangcetak. Buku jenis ini adalah buku yang jualannya tidak meletup-letup sebaik-baik ia terbit. Jualannya bergerak normal, mungkin 6 bulan baru habis stoknya di dalam setor.

Walaupun buku itu tidak ada lagi dalam setor, itu bukan bermakna semua buku itu sudah habis terjual. Cuba periksa dahulu apakah masih ada stoknya di dalam kedai-kedai.

Jika buku itu masih ada dalam kedai buku, jangan diulangcetak lagi, apatah lagi jika mahu diulangcetak dengan cover baru.

Jika buku itu masih ada di dalam kedai-kedai buku, apa yang akan berlaku, nanti kedai akan memulangkan semua stok yang ada di tangan mereka, atas alasan cover buku itu cover lama!

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, December 12, 2007

Ke Mana Hilangnya Penerbit yang Dulu Kaya Dengan Cara Rasuah

Usia Sifu sekarang sudah 58 tahun. Sudah banyak melihat zaman bangun-jatuh para kawan dan kenalan yang melibatkan diri dalam dunia bisnes penerbitan.

Ada beberapa rakan dan kenalan yang dahulu begitu cepat naik, dengan sekelip mata menjadi jutawan apabila mereka tiba-tiba menerima kontrak perbekalan buku.  Daripada memandu kereta Fiat kecil, tiba-tiba memandu BMW brand-new!

Di manakah mereka sekarang dalam industri penerbitan? Mereka umpama api: Api yang cepat marak, cepat padam. 

Fenomena seperti itu juga berlaku di kalangan penerbit-penerbit Cina. Menurut kata-kata seorang penerbit terbesar buku bersilabus, juga seorang Cina, pada tahun 70-an dan 80-an, banyak rakan-rakan beliau yang kaya-raya kerana menerima kontrak perbekalan buku. Tetapi sekarang mereka semua 'hilang'. 

Jelaslah, penerbit yang secara rasuah berjaya naik cepat, juga berjaya jatuh cepat.

Isu bangun dan jatuh dalam dunia bisnes adalah natural dan normal. Bezanya adalah, orang bisnes yang rasuah akan bangun-dan-jatuh. Manakala orang bisnes yang tulen akan bangun-jatuh-dan-bangun-semula.

Mengapakah jutawan rasuah, apabila mereka jatuh, tidak dapat bangun semula? Kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang bisnesnya. Mereka cuma tahu strategi dan kaedah merasuah bagi mendapatkan kontrak. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, December 10, 2007

Tip Mengurus Syarikat Penerbitan: Berani Buat Perkara Baru

Jika saudara kini sedang menguruskan syarikat penerbitan kecil, tanggungjawab saudara yang No. 1 adalah membesarkan bisnes yang saudara pimpin. Saudara hanya dapat membesarkan sesuatu apabila saudara berjiwa besar.

Orang yang berjiwa besar suka belajar daripada aktiviti mencuba dan membuat perkara-perkara baru - yakni, konsep baru, cara baru, produk baru, strategi baru.

Orang yang berjiwa kecil takut mencuba perkara-perkara baru. Si Jiwa Kecil hanya mahu mengulang-ulang cara kerja yang dia sudah pandai buat. Ertinya dia cuma berani membuat benda-benda yang serupa sahaja kerana dia takut membuat kesilapan.

Semua perkara baru mengandung risiko yang kita belum tahu. Jangan lari daripada risiko. Dalam semua perkara baru, pasti ada risiko baru.

Apabila kita tidak berani mengambil risiko baru, kita tidak mencipta peluang-peluang baru. Sedangkan peluang yang ada mahu dicuri dan direbut oleh pesaing-pesaing yang ada. 

Pelajari cara-cara mengurus risiko yang betul. Fikirkan worst-case-senario sebelum perkara baru itu dibuat. Sediakan pelan kecemasan dan pelan daruratnya. 

Kalau tidak jadi... apa hendak dibuat? Sediakan Pelan A, Pelan B, Pelan C.

Kalau tidak laku... apa patut dibuat? Sediakan Pelan A, Pelan B, Pelan C.

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Orang Makan Orang: Bagaimana Penerbit Menipu Pemegang Saham

Adakah saudara sedang memikir-mikirkan kemungkinan mahu melabur dalam industri penerbitan memandangkan sektor ini sedang berkembang baik, dan terdapat begitu banyak peluang mendapat keuntungan?

Saudara dapat melabur dengan dua cara:

(1) Tubuhkan syarikat penerbitan sendiri.

Cara ini bermakna saudara mula dari sifar. Perkembangan bisnes cara ini amat lambat. Ini adalah cara PTS memulakan perniagaannya.

(2) Cari syarikat penerbitan yang sedia ada dan beli sahamnya. 

Cara ini membolehkan saudara cepat menjadi 'besar'. Lazimnya cara ini disukai oleh pelabur yang mempunyai banyak duit Cara ini juga disukai oleh  pelabur yang mempunyai kabel besar dengan orang bank, sehingga dia dapat membuat pinjaman besar bagi membeli syarikat sedia ada.

Cara ini juga disukai oleh pelabur muda berduit yang tidak sabar hendak cepat menjadi jutawan segera. Orang muda seperti itu mungkin mempunyai ayah ataupun ibu yang banyak duit.

Namun Sifu hendak beri tip mengapa cara ini belum tentu selamat bagi pelaburan saudara. Jika saudara tidak mempunyai pengalaman dalam dunia bisnes buku, salah satu kelemahan saudara adalah saudara tidak tahu bagaimana tuan punya syarikat penerbitan yang saudara beli itu dapat dengan mudah mengelentong saudara.

Katakalah saudara lihat PTS amat bagus bisnesnya sekarang. Sifu pula mahu cash-out, maksudnya, Sifu hendakkan duit tunai RM5 juta buat membali hartanah di Port Dickson. Jadi Sifu sanggup menjual 60% saham PTS kepada saudara dengan nilai RM5 juta. 

Saudara pun amat tertarik dengan tawaran Sifu itu lalu dengan sukacita bersetuju membeli 60% saham PTS pada harga RM5 juta tunai. Disebabkan Sifu masih memiliki 40% saham PTS, saudara yakin saya akan terus menguruskan PTS dengan jujur.

Apa yang saudara tidak tahu adalah, sebagai orang lama dalam bisnes buku, Sifu tahu bagaimana hendak mengelentong saudara. Cara paling senang adalah diam-siam Sifu tubuhkan syarikat penerbitan baru, dengan nama "TST Sdn. Bhd."

Sekarang, saya boleh pindahkan projek-projek penerbitan yang dulu Sifu buat dalam PTS, ke dalam TST Sdn. Bhd.!

Ingat, selepas mendapat RM5 juta daripada penjualan saham PTS itu, Sifu mempunyai cukup wang bagi melakukan banyak perkara menggunakan duit sebanyak itu. 

Justeru, jangan hairan apabila syarikat yang dulu bukan main ngetop bisnesnya, tetapi apabila saudara take-over, tiba-tiba bisnesnya merosot! 

Ada satu lagi cara bagaimana banyak orang bisnes buku ditipu oleh rakan bisnes mereka sendiri. Mereka yang mudah dapat ditipu itu adalah orang yang cuma ada duit tetapi tidak tahu menahu tentang dunia bisnes buku. 

Siapakah rakan niaga yang lebih cenderung menipu rakan niaga mereka? Lazimnya dia adalah orang yang sahamnya kecil dalam syarikat itu, tetapi dia  diberi kepercayaan menjalankan perniagaan syarikat. 

Sebagai contoh, saudara seorang pencetak dan saudara berminat masuk menjadi penerbit juga. Lalu saudara berkenalan dengan seorang pegawai dalam sebuah syarikat penerbitan, "ABC Sdn. Bhd." yang buku-bukunya saudara banyak cetak dan laku belaka serta banyak mendapat kontrak kerajaan. Nama pegawai itu "Encik Bulat bin Panjang". 

Saudara pun 'offer'  Encik Bulat 30% "saham kosong" dalam syarikat yang saudara hendak tubuhkan, dengan syarat  dia sanggup menjalankan perniagaan ABC S/B dan mendapatkan kontrak kerajaan. Saudara juga menawarkan dia gaji yang lebih tinggi dan kereta syarikat yang lebih besar.

Orang macam Encik Bulat inilah yang berkencederungan mengelentong saudara bagi projek-projek kontrak kerajaan.

Dia mungkin diam-diam membuka syarikatnya sendiri, dan mendapatkan kontrak kerajaan bagi pihak syarikatnya itu. Kontrak kecil-kecil sahaja yang diserahkan untuk syarikat saudara.

Nota: Tidak ada jalan pintas dalam bisnes! 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, October 26, 2007

Mengapa PTS Tidak Masuk Kontrak Kerajaan

Banyak penerbit juga menjadi kontraktor buku kepada kerajaan. Tetapi dalam kes PTS, kita tidak masuk tender kontrak kerajaan walaupun PTS mempunyai sijil kementerian kewangan.

Mana-mana kontraktor boleh membeli buku-buku PTS dan dibekalkan kepada kerajaan. PTS pula tidak memberi layanan istimewa kepada mana-mana kontraktor. Semua kontraktor mendapat diskaun serupa daripada PTS. 

Apabila tiba musim kerajaan membuka tender pembelian buku, pegawai pemasaran PTS amat sibuk melayan berpuluh-puluh, malah beratus, surat faks dan emel daripada para kontraktor yang meminta senarai harga semua buku-buku terbitan PTS.

Ada kontraktor yang memujuk PTS supaya menaikkan harga buku-bukunya, atas macam-macam alasan dan 'gula-gula' yang mereka kemukakan. Permintaan seperti itu tidak pernah, dan tidak akan dilayan oleh PTS.

Adalah dasar perniagaan PTS bahawa, tanpa kekecualian, harga buku buku-buku PTS adalah berdasarkan harga yang dicetak pada kulit buku PTS. Tidak kiralah, apakah buku itu dijual di kedai, ataupun dibeli oleh kerajaan melalui tender.

Dengan mencetak harga buku-bukunya, PTS memastikan tidak ada kontraktor yang berjaya menipu kerajaan berkenaan harga buku-buku PTS. Dasar perniagaan seperti ini menyebabkan kontraktor yang rasuah tidak mahu mencadangkan buku-buku PTS dalam tender yang mereka masuki.

Dari satu sudut, dasar perniagaan begini amat merugikan PTS. Tetapi dari sudut jangka panjang, dasar bersih PTS ini menguntungkan sebab nama yang baik adalah modal utama kejayaan bisnes.

Disebabkan dasar perniagaan PTS ini amat berisiko, dalam erti kata buku-buku PTS tidak terpilih dalam tender Kementerian Pelajaran,  itulah sebabnya PTS bekerja kuat menerbitkan buku-buku buat jualan dalam pasaran terbuka, yakni buku-buku yang laku keras dalam kedai-kedai buku, dan buku-buku yang dapat diekspot lesennya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, October 08, 2007

Tip Survival Penerbit dan Pengarang: Buku Pelampung Keselamatan

Dalam suatu laporan kajian yang dijalankan di Australia, didapati apabila ekonomi jatuh, angka perceraian naik!

Adalah hukum Tuhan bahawa ekonomi turun naik. Jika saudara mahu tahu tanda-tanda awal ekonomi turun, perhatikan berapa ramai orang masuk restoran-restoran mahal, seperti restoran Cina.

Bisnes yang mula-mula terpukul apabila gawat ekonomi mula menunjukkan kepalanya adalah produk-produk mahal. Manakala produk-produk lain belum terasa, produk mahal terkena paling dahulu. Restoran mahal, kasut mahal, kereta mahal... apa-apa yang mahal terkena paling awal, dan pulih paling lewat.

Dalam sektor bisnes buku, ada buku-buku yang bagus jualannya selagi ekonomi bagus, tetapi apabila ekonomi turun, jualan buku itu ikut turun. Ini amat membahayakan surival penerbit sekaligus penulis. Apabila penerbit bungkus, penulis pun senasib.

Jika saudara seorang penerbit, 70% judul yang saudara diterbitkan hendaklah terdiri daripada judul-judul yang dapat dijual baik dalam keadaan ekonomi bagus mahupun dalam zaman gawat. Manakala 30% lagi adalah buku-buku tebal dan mahal.

Jika saudara seorang penulis, perkara yang serupa perlu saudara lakukan. Jangan hanya menulis buku-buku yang tebal dan mahal-mahal. Saudara perlu mempunyai buku-buku tahan gawat supaya saudara tetap menerima royalti meskipun dalam zaman ekonomi merudum.

Sesetengah kategori buku memang tahan gawat. Buku-buku itu disebut "buku pelampung keselamatan". Sebagai contoh adalah buku-buku agama yang dijual pada harga kurang RM20.

Pengalaman lalu menunjukkan, dalam zaman gawat, buku-buku agama tentang sembahyang, buku taubat, buku doa-doa, buku panduan umrah, tetap laku sebagaimana biasa.

Hmmm.... Barangkali banyak orang yang terpukul oleh gawat, apabila bisnes mereka jatuh, mereka menderita stress dikejar oleh bank dan penagih hutang, diugut oleh pembekal, bergaduh dengan rakan niaga sendiri, konflik rumahtangga, lalu mereka mula kembali kepada Tuhan.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, September 25, 2007

Penulis Menjadi Penerbit

Banyak penulis tergoda dengan idea mahu menjadi penerbit, lalu mereka pun menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri. Majoritinya gagal dengan tangan terbakar. Maksudnya, sudahlah gagal, terpaksa pula menanggung kerugian.

Logik “kalau orang lain boleh buat, saya pun boleh buat” adalah logik yang amat tinggi risikonya. Logik itu mengandungi falasi serius. Kata-kata begitu adalah cakap-cakap yang tidak rasional, dan tidak empirikal.

Kata-kata seperti itu biasa diucapkan oleh individu yang mahu memberi semangat dan “perangsang kosong”. Ertinya, kata-kata individu itu tidak disertai dengan fakta-fakta yang sahih dan relevan dengan daya usaha yang diperlukan bagi berjaya.

Syarat-syarat kejayaan kita semestinya ada pada diri kita, BUKAN ada pada diri orang-orang lain. Kalau orang-orang lain boleh buat sama sekali bukan bukti bahawa kita pun boleh buat sebab kita mungkin tidak memiliki syarat-syarat kejayaan yang dimiliki oleh orang-orang lain itu.

Kita dapat melakukan apa yang orang-orang lain berjaya lakukan apabila kita memiliki semua faktor yang dimiliki oleh orang-orang itu. Jika orang lain tidak malu menagih hutang dari pintu-ke-pintu kedai, apakah kita juga memiliki muka tebal seperti orang itu.

Bagi menjadi penerbit yang berjaya, seseorang itu tidak perlu menjadi penulis yang berjaya. Realitinya, bakat menulis bukan salah satu prasyarat kejayaan sebagai penerbit. Ia serupa dengan membuka restoran. Bagi menjadi pengusaha restoran yang berjaya seseorang itu tidak wajib pandai memasak.

Syarat utama kejayaan dalam bisnes adalah pertama memiliki bakat bisnes (business accumen), kedua adalah memiliki ilmu-ilmu bisnes, dan ketiga adalah mahir dalam selok-belok bisnes. Tiga syarat ini jarang dimiliki oleh individu-individu yang berjiwa seni, seperti penulis.

Apabila seniman mahu menjadi penerbit, nanti yang dikejar belum tentu dapat, yang dikendong terpaksa diletakkan….

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, September 18, 2007

Penulis PTS Paling Setia

Inilah wajah penulis PTS yang paling setia. Beliau bersama PTS sejak tahun pertama PTS ditubuhkan.

Dalam saat belum ada pengedar dan kedai buku yang kenal nama "PTS", beliau adalah nama besar pertama yang tawakal menyerahkan karyanya kepada PTS.

Sebelum berkahwin dengan PTS beliau tidak bahagia dengan penerbit pertamanya. Pada awal perkahwinan dengan PTS, banyak isu-isu teknikal menimbulkan perbezaan pendapat dan cita rasa, tetapi akhirnya terbukti kesetiaan amat membantu mengatasi krisis rumahtangga antara penulis dan penerbit.

Berkat kesetiaan, buku-buku Tuan Dr. Danial Zainal Abidin sudah dilesen oleh Jakarta sejak 2005. Kini beliau dan Tuan Ahmad Fadli Yusof adalah 2 orang top-earners PTS.

Kesetiaan kaum penulis tidak datang menggolek kepada penerbit. Pertama-tama syarat mendapatkan kesetiaan penulis adalah modal karekter dan nilai-nilai peribadi pegawai-pegawai dalam syarikat penerbitan itu. Selagi penulis dapat menaruh kepercayaan kepada etika bisnes yang menjadi pegangan mereka, selagi itu mereka setia.

Bagi saudara yang baru menceburi bisnes penerbitan buku, penulis adalah modal utama sesebuah rumah penerbitan. Disebabkan penulis adalah modal utamanya, rumah-rumah penerbitan menyediakan pelbagai program setia atau loyalty programs, bagi mengurangkan risiko penulis lari kepada penerbit lain. Lebih banyak loyalty programs yang saudara sediakan, lebih baik.

Program setia untuk penulis di PTS termasuklah:

(1) Mengadakan pelbagai program promosi:

a. Promosi buku dengan menerbitkan kit pemasaran seperti katalog buku, poster dan bunting.

b. Promosi buku dalam media TV, radio, akhbar dan majalah.

c. Promosi buku dalam internet.

d. Promosi buku dalam pesta-pesta buku di luar negara bagi tujuan pelesenan, dan dalam negara pada peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

e. Promosi buku dengan mengadakan majlis pelancaran buku dan majlis diskusi buku.

f. Promosi pengarang dalam media Internet, TV, radio, akhbar dan majalah.

g. Promosi pengarang dalam majlis-majlis pengarang-bertemu-peminat.

(2) Memberikan diskaun istimewa kepada pengarang. Dalam kes PTS semua pengarang PTS boleh membeli semua judul terbitan PTS pada diskaun pengedar!

(3) Memberikan kursus penulisan percuma kepada pengarang dan bakal pengarang PTS.

(4) Menawarkan skim perkongsian keuntungan melalui kadar royalti progresif kepada pengarang. Dalam kes PTS, semakin banyak buku pengarang terjual, semakin tinggi kadar royalti yang diterima.

(5) Menawarkan potensi buku pengarang diterbitkan dalam lebih daripada 1 edisi, yakni sesebuah judul mungkin diterbitkan dalam bentuk kulit lembut, paperback, dan kulit keras.

(6) Meneroka pasaran ekspot pelesenan judul-judul PTS ke negara lain seperti sekarang ke Indonesia, pada masa hadapan ke Vietnam, Thailand, Filipina, seterusnya ke Cina, Iran, Timur Tengah, dan lain-lain.

(7) Merancang supaya karya yang ditulis pengarang dijamin terbit dengan meluluskan projek penulisan itu sebelum buku ditulis.

(8) Menggalakkan pengarang PTS supaya menulis dan menerbitkan banyak judul dengan PTS.

(9) Mengadakan sistem mentor-mentee antara editor PTS dengan calon penulis baru.

(10) Menggalakkan penulis menulis pelbagai genre untuk penerbitan PTS.

(11) Menggalakkan penulis menulis untuk penerbitan semua anak-anak syarikat PTS.

(12) Memupuk bakat-bakat yang dimiliki penulis, selain bakat mengarang, supaya para penulis PTS dapat mencipta lebih banyak harta intelek.

(13) Menggalakkan penulis-penulis PTS bergerak sebagai suatu komuniti dan tim supaya mereka saling berkenalan dan saling dorong-mendorong.

(14) Melesenkan karya penulis kepada syarikat-syarikat media alternatif supaya dapat dipasarkan melalui pelbagai saluran media seperti konten mobile, buku elektronik dan lain-lain, dengan demikian mempelbagaikan sumber royalti penulis.

(15) Melesenkan karya penulis supaya dapat diterbitkan sebagai filem, siri animasi dan drama TV, dengan demikian mempelbagaikan sumber royalti penulis.

(16) Mengadakan skim latihan percuma bagi memupuk bakat penulis menjadi penceramah dan trainer.

(17) Menjaga hak moral para penulis dengan memastikan mereka dapat membaca dan menyemak pruf terakhir buku mereka, dan diberi peluang melihat cover terakhir buku mereka sebelum dihantar ke pencetak.

(17) Mengadakan program "Penulis Masuk Studio". Saat ini PTS sedang melabur dan menggerakkan kerja-kerja tapak bagi menerbitkan WEB-TV PTS, di mana "wartawan-wartawan" PTS akan mempunyai studio yang membolehkan mereka menerbitkan program TV dengan para penulis PTS. Tiga orang kuat WEB-TV PTS adalah En. Hisham Salmin (Pengarah Kreatif PTS), Rn. Wan Zu dan En. Mat Jan.

Ada apa-apa lagi saudara mahu dari PTS?

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, September 10, 2007

Tuan MBA Dihantar ke Amerika Bagi Mempelajari Teori “The Long Tail”

Inilah Chris Anderson, pengarang buku panas terbaru dalam pasaran saat ini, "The Long Tail".

Sahabat baik dan pendukung PTS yang tidak asing lagi, Tuan MBA, baru balik dari Amerika sebab beliau dihantar oleh pejabatnya pergi ke Boston, antara tujuannya adalah menghadiri seminar yang diadakan oleh Chris Anderson berkenaan teori Long Tail.

Chris terkenal sebab dia mencipta nama komersial "Long Tail" itu, selama ini teori itu dikenal dengan nama-nama yang sudah lusuh seperti "niche marketing".

Orang-orang penting PTS sudah membaca buku Chris sebelum Tuan MBA mengambil tempat duduk beliau dalam pesawat MAS dalam kabin kelas satunya menuju negara Pak Tua Uncle Sam itu!

Malah PTS sudah mengamalkan teori dan strategi Long Tail semenjak syarikat ini ditubuhkan 7 tahun lalu. Teori Long Tail amat rapat aplikasinya dengan industri penerbitan buku dan CD-VCD.

Seperti biasa, buku-buku bisnes adalah lebih lambat masuk pasaran dibandingkan dengan jurnal bisnes, baik jurnal on-line mahupun yang bercetak. Jadi, isi kandungan buku-buku bisnes sentiasa sudah out-of-date berbanding isi kandungan jurnal.

Disebabkan orang-orang penting PTS membaca jurnal-jurnal bisnes, fenomena Long Tail itu sudah lama difahami dan dijadikan asas strategi bisnes PTS.

Chris membezakan antara produk "superstar" dengan produk "long tail". Justeru ada buku superstar dan ada buku long-tail. Mengikut Chris zaman produk superstar berakhir dengan terciptanya internet.

Isi kandungan buku Chris Anderson ini amat relevan bagi pengurus-pengurus syarikat penerbitan buku. Justeru ia juga amat relevan bagi penulis yang mahu hidup dengan wang royalti.

Ringkasnya, Chris Anderson berpesan: Lupakan buku superstar. Era itu sudah hampir sampai ke titik hujungnya.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, September 05, 2007

Apabila Puan Khalilah Cuti Sakit

Puan Khalilah Mad dan Puan Halimahton Ab. Rahman adalah 2 orang pegawai credit-controller PTS. PTS mempunyai lebih 400 buah pengedar, ejen, kontraktor dan kedai buku yang menerima supply buku-buku PTS.

Tugas pegawai credit-controller yang paling penting adalah menagih hutang. Tiap seorang, Puan Khalilah dan Puan Halimahton masing-masing meng-control credit 200 buah pengedar dan ejen PTS.

Sudah 6 hari Puan Khalilah cuti sakit disebabkan pembedahan batu dalam hempedu. Kutipan hutang bulan ini jatuh teruk!

Demikianlah pentingnya tugas menagih hutang.

Banyak orang yang tidak tahu bisnes buku menyangka paling susah adalah menjual buku. Bukan!

Menjual buku amat mudah. Mengutip hasil jualan buku adalah amat payah!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, September 02, 2007

Mengapa Jadual Penerbitan Lari…

Nota: Entri ini ditulis bagi menerangkan kepada penulis yang tidak puas hati disebabkan jadual penerbitan bukunya lari....

Jadual penerbitan karya saudara digubal oleh jabatan editorial. Ini membolehkan penulis-penulis PTS diberitahu lebih awal tarikh karya mereka akan dihantar ke kilang cetak. Ini juga membolehkan para pengedar dan kedai buku membuat pesanan lebih awal bagi judul-judul yang bakal terbit.

Walau bagaimanapun, jadual itu mungkin berubah. Apabila ini berlaku memang penulis kecewa!

Ada beberapa faktor yang menyebabkan pengurusan PTS tiba-tiba memaksa jabatan editorial meng-adjust jadual penerbitan buku yang sudah digubal lebih awal.

Berikut adalah punca-punca perubahan jadual penerbitan:

(1) Apabila tiba-tiba berpuluh-puluh judul PTS yang sudah 'out-of-stock' dipilih oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Judul-judul itu terpaksa dicetak semula dengan serta-merta. Ini menyebabkan jabatan kewangan PTS memaksa semua bajet yang sudah diperuntukkan bagi mencetak judul-judul baru digunakan bagi mencetak judul-judul kontrak PNM.

(2) Apabila jabatan pemasaran PTS menerima pesanan besar bagi judul 'out-of-stock' yang digunakan oleh IPT sebagai buku bacaan wajib pelajar, manakala semester baru sudah amat hampir dibuka.

(3) Apabila ada judul yang tidak disangka-sangka meletup, yakni baru terbit 2 ataupun 3 minggu, sudah kosong dalam setor, dan pengedar-pengedar besar PTS 'menjerit-jerit' mahukan bekalan baru segera dihantar sebab pekedai 'menjerit-jerit' kepada pengedar.

(4) Apabila berlaku perubahan suasana dalam pasaran yang menyebabkan bahagian pengurusan mengeluarkan arahan supaya "pelampung keselamatan" dipakai.

Itulah 4 faktor yang memaksa jabatan editorial menunda tarikh terbit judul baru sebulan ataupun dua bulan lebih lewat.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, August 28, 2007

PTS Melantik Pegawai Promosi Media

Dengan ini dimaklumkan PTS sudah melantik seorang Pegawai Promosi Media. Beliau adalah Puan Azharisyam Abu Hassan.

Beliau bertanggungjawab mempromosi PTS sebagai brand, buku-buku, para penulis serta aktiviti PTS dalam media TV, radio, akhbar, majalah dan internet.

Sebelum berkhidmat dengan PTS, Puan Azha bertugas di Prudential.

Ini adalah langkah agresif PTS bagi meningkatkan kuantiti jualan judul-judul terbitannya.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, August 23, 2007

Mengurus Risiko Bisnes: Apabila 10% adalah Sihat, Manakala 20% adalah Tidak Sihat

Bagi orang yang baru masuk bisnes, mereka mempunyai angan-angan yang berbunyi lebih kurang begini: "Kalau dapat satu klien besar, sudah cukup!"

Memang sekali fikir angan-angan begitu adalah amat bagus. Kata orang putih, dream-come-true. Maklumlah, menjaga 1 klien besar bermakna tidak banyak pening kepala.

Jika kita boleh dapat bisnes RM10 juta dari 1 klien, buat apa mahu pening-pening kepala hendak berniaga dengan lebih 400 buah klien?

Lagipun, bukankah berniaga dengan kerajaan amat selamat disebabkan kerajaan tidak menipu dalam erti kata kerajaan sentiasa membayar hutangnya?

Namun angan-angan beginilah yang menjadi salah satu faktor kelemahan struktural pada bisnes orang-orang Melayu di mana mereka hanya mahu berniaga dengan 1 klien besar @ kerajaan. Cukup itu sahaja.

Pada realitinya, ditinjau dari sudut strategi mengurus risiko, angan-angan mahu berniaga dengan 1 klien besar adalah amat tidak sihat.

Sebagai penerbit, apabila daripada RM10 juta nilai jualan buku-buku saudara, 20% (RM2 juta) datang daripada sebuah rangkaian kedai buku, bagi orang biasa, ini angka yang bagus, maka patut bersyukur.

Fenomena ini sedang berlaku pada PTS. Statistik jualan PTS menunjukkan sebuah rangkaian kedai buku begitu berjaya mempromosi judul-judul PTS sehingga peratusan jualan PTS kepada rangkaian itu semakin naik setiap bulan, daripada 5% naik 10%, naik 15% dan sekarang sudah 20%.

Bagi orang bisnes yang rasional, angka ini tidak sihat kerana jika ada apa-apa berlaku kepada rangkaian kedai buku itu, bermakna ikan akan tarik pengail masuk ke dalam sungai!

Dalam pengurusan risikonya, PTS mahukan rangkaian itu semakin hari semakin meningkatkan jualan judul-judul PTS, daripada RM0.5 juta, ke RM1 juta, ke RM1.5 juta dan sekarang RM2 juta, ke RM3 juta. Tetapi kita tidak mahu peratusannya naik lebih tinggi daripada 10% daripada jumlah seluruh jualan PTS.

Ini dapat dielakkan apabila kedai-kedai buku lain juga berjaya meningkatkan jualan judul-judul PTS. Justeru PTS perlu membantu kedai-kedai lain meningkatkan jualan judul-judul PTS.

Pada saat ini pengurusan PTS sedang mengkaji kedai-kedai buku mana yang patut dibantu supaya ia dapat berkembang, dengan itu dapat dikurangi risiko adanya seekor ikan besar yang dapat menarik pengail masuk ke dalam sungai.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, August 22, 2007

Mudahnya Berniaga dengan Rangkaian Kedai Buku Elit

Apabila saudara membekalkan buku ke kedai-kedai buku chainstores, seperti MPH, POPULAR, KINOKUNIYA, BORDERS, TIMES dan lain-lain, mereka sentiasa meminta diskuan yang lebih tinggi, sehingga boleh naik sampai 45%, berdasarkan volume bisnes.

Diskaun yang tinggi menyebabkan margin saudara menjadi amat tipis, sampai boleh turun serendah 3% sahaja. Ia boleh dikatakan tidak masuk akal. Carilah mana industri lain yang sanggup hidup dengan margin 3%. Memang tidak ada!

Diskaun yang begitu tinggi amat menekan pihak penerbit. Namun mengapakah penerbit sanggup ditekan oleh chainstores?

(a) Walaupun chainstores meminta diskaun tinggi, tetapi mereka menepati jadual membayar hutang.

(b) Mereka membuat pesanan yang besar.

Baru-baru ini kita bertanya kepada MIZAN Jakarta akan perkembangan mutakhir kedai buku chainstores di Indonesia.

Menurut wakil MIZAN, pada saat ini 70% jualan buku-buku MIZAN sudah terjual dalam kedai-kedai buku chainstores.

Peningkatan ini disebabkan oleh 3 faktor:

(a) Jumlah kedai buku chainstores yang semakin banyak dibuka.

(b) Jumlah kedai buku indie yang tutup akibat tidak dapat bersaing dengan chainstores.

(c) Sikap penerbit yang lebih suka berniaga dengan chainstores, disebabkan kurangnya risiko chainstores tidak membayar hutang.

Trend yang berlaku di Indonesia itu sudah mula berlaku di negara kita. Data jualan PTS juga menunjukkan trend yang serupa.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, August 15, 2007

Tip Survival Penerbit: Jangan Keliru antara “Promosi Buku” dan “Event-Buku”

Ada sebuah penerbit sudah 2 kali mengadakan majlis besar-besaran di tempat mahal, atas nama mempromosi buku pertama yang diterbitkannya.

Melakukan promosi buku amat penting supaya angka jualan buku itu naik. Semasa jumlah judul masih sedikit, baru 1 ataupun 2, kos promosi akan ditanggung oleh 1 ataupun 2 buku itu sahaja. Ini tidak ekonomikal. Apatah lagi jikalau promosi itu melibatkan kos yang tinggi.

Mengadakan majlis-majlis pelancaran buku, majlis baca buku, baca puisi, pameran mengenang pengarang, dan seumpamanya adalah aktiviti event-management.

Penerbit buku jangan sampai keliru antara "promosi buku" dan "event-managemet".

Majlis-majlis "event" yang gilang-gemilang belum tentu berjaya meningkatkan jualan buku, malah data yang ada menunjukkan kos event itu tidak dapat dibayar daripada hasil jualan bukunya.

Apabila saudara mahu hidup sebagai penerbit buku, fokuskan perbelanjaan saudara pada penerbitan buku. Terbitkan sekurang-kurangnya 2 judul sebulan, baru saudara dapat survive dan berdaya maju sebagai penerbit buku.

Mengapa 2 judul sebulan?

Dengan menerbitkan minimum 2 judul sebulan, pada tahun pertama saudara sudah mempunyai 24 back-title. Pada tahun berikutnya saudara sudah mempunyai judul-judul yang dapat diulangcetak. Margin judul ulangcetak adalah lebih besar daripada margin judul baru.

Dengan jumlah 2 judul sebulan itu saudara dapat pusingkan duit saudara cukup-cukup bagi membayar kos operasi syarikat saudara yang masih kecil itu, pada waktu yang sama, jumlah itu membolehkan bisnes saudara berkembang.

Jika duit modal bisnes yang ada digunakan bagi mempromosi 1 judul, nanti cash-flow saudara tercekik. Hendak membayar pencetak pun duit sudah tidak ada lagi. Mengadakan event-buku tidak wajib diadakan, manakala membayar hutang pencetak wajib.

Semua pencetak berkawan sesama mereka dan mereka saling bertukar-tukaran maklumat berkenaan penerbit mana yang membayar hutang dan yang tidak membayar hutang. Itulah cara mereka menjaga risiko ditipu penerbit.

Apabila saudara tidak membayar pencetak ikut tempoh kredit yang diberikan, dalam masa sekejap sahaja pencetak-pencetak lain sudah tercium bau saudara. Tidak ada lagi pencetak yang berani beri kredit kepada saudara.

Tanpa kepercayaan pencetak, saudara takkan dapat survive sebagai penerbit.

Promosi buku yang paling efektif adalah:

(1) Menghadiahkan buku itu kepada orang yang banyak menulis dan menerbitkan ulasan-ulasan buku dalam media seperti akhbar dan majalah. Mudah-mudahan beliau suka buku itu dan menuliskan ulasannya lalu ulasan itu terbit.

(2) Menghadiahkan buku itu kepada penerbit rancangan radio dan TV, mudah-mudahan mereka suka dengan buku itu lalu mengundang pengarangnya muncul di radio dan di TV sebagai tetamu dan buku itu diperkenalkan kepada pendengar dan penonton.

(3) Menghadiahkan buku itu kepada editor majalah dan kolum sastera dalam akhbar, mudah-mudahan buku itu dijadikan bahan artikel dan berita. Ini adalah cara yang amat berkesan sebab gambar pengarang dan kulit buku dapat dijadikan hiasan pada artikel itu. Lazimnya gambar itu disiarkan 4-warna!

Tiga cara promosi di atas adalah berkesan dan amat murah.

Bagi mendapatkan kerjasama pengulas buku, penerbit rancangan radio, TV, editor kolum sastera, dan editor majalah, yang diperlukan adalah kemahiran menjalin dan mengekalkan persahabatan.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, August 14, 2007

Tip Survival Penerbit: Gunakan Buku “Biasa-Biasa” sebagai Senjata Menagih Hutang daripada Pengedar d

Bisnes buku, sebagaimana bisnes-bisnes lain, adalah bisnes yang hidup dengan hutang, hutang, hutang.

Pada bila-bila masa, sesebuah penerbit yang nilai jualan bukunya sekitar RM7 juta setahun, sekurang-kurang dia berhutang RM700 ribu kepada pencetak-pencetaknya, manakala agen-agen buku berhutang kepadanya sekitar RM2.5 juta!

Berhutang dalam bisnes adalah normal. Nabi Muhammad pun berhutang dan membayar hutang.

Kecekapan mengurus risiko hutang dan disiplin membayar hutang adalah antara syarat-syarat kejayaan bisnes. Maksudnya, jika penerbit itu pandai mengurus hutangnya, lazimnya, dia pandai mengurus bisnesnya.

Penerbit berhutang kepada bank-bank yang memberi pelbagai fasiliti.

Penerbit berhutang kepada pencetak. Dalam tempoh 3 bulan saudara mesti bayar pencetak, kalau tidak dia tidak mahu mencetak buku saudara lagi.


Penerbit juga berhutang kepada penulis, yang bukunya sudah dijual tetapi royaltinya belum dibayarkan. Kalau penerbit tidak membayar royalti, penulis tidak mahu menghantar manuskripnya lagi.


Pencetak berhutang kepada pembekal kertas. Kalau dalam tempoh 3 bulan tidak dibayar, dia tidak dapat bekalan kertas.


Pengedar berhutang kepada penerbit. Kalau dia tidak bayar hutang, penerbit tahan bekalan buku-buku yang dipesannya.


Kedai buku berhutang kepada pengedar. Kalau dia tidak bayar hutang, pengedar tidak akan menghantar bekalan buku baru.


'Runner buku' berhutang kepada kedai buku. Kalau dia tidak bayar hutang, kedai buku tidak benarkan dia ambil buku lagi.


Jadi, setiap bulan saudara mesti menerbitkan buku-buku baru yang laris dalam kedai buku. Buku-buku laris adalah senjata penerbit menagih hutang.

Apabila pengedar dan kedai buku hendakkan bekalan buku-buku baru saudara, minta dia membayar dahulu hutangnya yang ada. Mereka mesti hantar cek dahulu, tidak ada cek, tidak ada buku baru!

Pencetak pun menggunakan cara yang sama bagi menagih hutang daripada penerbit. Dia tunggu cek penerbit, tidak ada cek, dia tidak mahu cetak buku baru.

Sebagai penerbit, apa yang saudara lakukan adalah: Tarik hutang sini. Bayar hutang sana. Jika ada lebihan, itulah margin saudara. Syukur.

Banyak penerbit baru muncul terkial-kial bisnesnya disebabkan: (i) Dia tidak membayar hutangnya kepada pencetak dengan berdisiplin, (ii) Dia tidak dapat menagih hutang daripada pengedar dan kedai buku dengan berkesan.

Jika saudara baru hendak jadi penerbit, terbitkan buku "biasa-biasa" sebab buku jenis biasa mudah dijual. Pengedar dan kedai buku suka buku "biasa-biasa".

Jangan mulakan bisnes dengan menerbitkan buku kulit tebal dan edisi mewah. Buku "luar biasa" sukar dijual, oleh itu tidak dapat digunakan sebagai senjata berkesan bagi menagih hutang dari pengedar dan kedai buku.

Saudara tidak dapat berkata kepada Mamak kedai buku itu, "Kalau awak mahu buku ini, bayar hutang saya dulu." sebab si Mamak memang tidak mahu buku "luar biasa" macam itu.

Peranan buku "biasa-biasa" adalah luar biasa.

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, August 11, 2007

Tip Survival Penerbit: Jaga Disiplin Kewangan - Jangan Merompak Syarikat Sendiri

Apabila saudara membuka perniagaan, jangan sekali-kali menggunakan duit syarikat bagi urusan peribadi, walau apa sekalipun alasannya. Ia adalah ibarat merompak syarikat sendiri. Ia perbuatan harakiri!

Saat entri ini ditulis, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sedang bersiap-sedia dengan kerja-kerja pengurusan projek pembelian buku bagi tahun 2007.

Sebuah penerbit yang sepatutnya sudah menerbitkan 5 judul novel remaja 3 bulan lalu, masih belum dapat mencetak judul-judul itu. Ertinya, mungkin akan terhilanglah peluang 5 judul itu dipilih oleh PNM pada tahun ini.

Gosip-gosip yang kita dengar mengatakan, penerbit itu menggunakan wang syarikat yang sepatutnya digunakan bagi mencetak novel-novel itu bagi menolong seorang sahabat baiknya membayar hutang.

Menolong sahabat yang sedang kesempitan wang adalah perbuatan amat mulia, namun itu adalah urusan peribadi, oleh itu gunakan wang peribadi, jangan gunakan wang syarikat.

Banyak bisnes gagal, ataupun bertahun-tahun hidup terkial-kial, semata-mata disebabkan pemiliknya tidak mempunyai disiplin membezakan mana satu duit syarikat dan mana satu duit peribadi.

Jikalau sahabat baik si penerbit itu tidak dapat membayar hutangnya... nanti duit syarikat entah ke mana, sahabat pun entah ke mana.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, August 05, 2007

Lagi Cara Penerbit Menipu Kerajaan

Bagi saudara yang belum lama menceburkan diri dalam dunia penerbitan, barangkali saudara ingin belajar bagaimana penerbit boleh buat duit atas angin dengan menipu kerajaan.

Setiap tahun kerajaan mengeluarkan berjuta-juta ringgit bagi membeli buku. Dua buah kementerian yang paling banyak menerima bajet membeli buku adalah kementerian pendidikan, kementerian pelajaran dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Selain itu semua perbadanan perpustakaan negeri dan Jabatan Kamajuan Masyarakat (KEMAS) juga membeli buku yang bernilai berjuta ringgit.

Ada gosip tentang penerbit yang dapat kontrak membekalkan beribu naskhah buku bahasa Inggeris terbitan luar negeri, dengan nilai puluhan juta ringgit. Harga yang dikenakan kepada kementerian adalah harga buku impot, tetapi buku itu dicetak semula dalam negeri sahaja, dengan kualiti yang lebih rendah.

Ada penerbit yang menipu kerajaan dengan cara menukar sahaja judul buku dan kulit buku. Isi buku itu adalah isi lama. Ini terutamanya dilakukan oleh penerbit buku-buku cerita yang ditargetkan bagi projek perbelakan ke sekolah-sekolah. Justeru berjuta-juta wang rakyat dibelanjakan bagi membeli buku-buku lama yang kualitinya pun rendah.

Apabila penipuan itu terbongkar, nama penerbit itu disenaraikan-hitamkan. Tetapi penerbit itu membuka syarikat baru dengan nama baru!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, July 23, 2007

Tip Survival Penerbit: Bos Sudah Tua Tetapi Masih Menentukan Manuskrip yang Terbit

Entri ini ditulis bagi bacaan saudara yang memiliki syarikat penerbitan.

Banyak syarikat penerbitan tidak dapat berkembang dan membesar dengan sepatutnya disebabkan pemilik syarikat bertahun-tahun terus terlibat memilih manuskrip mana yang akan diterbitkan.

Ada syarikat yang sampai pemiliknya daripada 'muda' sampai sudah 'tua', tetapi dia masih melakukan tugas menilai dan memilih manuskrip buku yang akan diterbitkan oleh syarikatnya. Ini bermakna tidak ada penurunan kuasa daripada pemilik syarikat kepada staf syarikat.

Sebaik-baik saudara sudah mengambil staf, mulakan proses melatih staf saudara cara-cara mengenal ciri-ciri manuskrip bagaimana yang berpotensi laku dan yang tidak laku dalam pasaran.

Selepas itu mulakan proses menurunkan kuasa membuat keputusan kepada staf saudara.

Langkah pertama, kenal pasti keputusan-keputusan apa yang saudara mahu mereka buat sendiri, dan yang mana yang saudara sendiri akan ambil. Contoh: Staf pilih manuskrip tetapi saudara pilih jumlah cetak dan pencetak.

Langkah kedua, kenal pasti target pencapaian. Contoh target: Dalam masa 6 bulan, dia mesti membawa masuk 10 orang penulis baru.

Langkah ketiga, monitor pencapaian staf saudara, supaya semakin hari saudara dapat turunkan lebih banyak kuasa kepadanya.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, July 16, 2007

Konflik Nilai: Dilema Petugas Jabatan Editorial

Berniaga bahan bacaan dengan orang Melayu menghendaki produk saudara selaras dengan nilai-nilai murni masyarakat Melayu.

Produk-produk bernilai murni seperti itu memberikan 2 kekuatan survival kepada bisnes saudara:

(1) Saudara dapat mengekalkan kepakaran, kesetiaan dan perkhidmatan staf saudara sehingga hari mereka bersara wajib. Ini bermakna saudara dapat menyimpan kepakaran mereka daripada dicuri oleh syarikat lain.

(2) Produk saudara dapat dibeli bagi bacaan seisi keluarga, sesuai dibekalkan ke perpustakaan awam, dan dapat dijual ke sekolah-sekolah.

Ambil contoh kes ini: Sebuah penerbit besar menerbitkan majalah dan buku-buku yang sangat digemari oleh pembeli muda, khususnya pembeli perempuan muda.

Selepas beberapa belas tahun dalam pasaran, staf jabatan editorialnya yang senior sudah mencapai usia matang, sudah berkeluarga, sudah mempunyai anak-anak belasan tahun, malah ada yang sudah pergi menunaikan ibadah haji.

Dalam fasa hidup matang, mereka mula menilai semula gaya hidup dan punca rezeki mereka, lalu dalam diam mengalami konflik jiwa.

Dari satu sudut mereka bekerja menerbitkan bahan-bahan yang tidak seluruhnya selaras dengan agama, yang mereka sendiri tidak mahu anak-anak mereka membacanya, justeru mereka tahu setiap hari mereka berdosa.

Dari sudut lain mereka mula malu kepada anak-anak mereka sendiri, sebab ada anak-anak mereka yang belajar di sekolah agama berasrama, justeru mereka pulang ke rumah dan mempersoalkan produk yang ibu bapa mereka hasilkan setiap bulan.

Dari satu sudut yang lain, mereka sudah sedar kesilapan itu dan mahu mencari punca rezeki yang lebih baik, tetapi di mana, dan bagaimana.

Imej mereka sebagai editor yang pakar dalam menerbitkan majalah dan buku-buku yang tidak seluruhnya selaras dengan agama menyebabkan mereka tidak dianggap sesuai diambil bekerja oleh rumah-rumah penerbitan buku-buku konvensional.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, July 09, 2007

Strategi Bisnes: Apabila Jerung Terjun Masuk Kolam Keli

Kemahiran berfikir secara strategis adalah amat penting dalam survival dunia bisnes.

Bagi memahami apa yang dikatakan pemikiran strategik dalam bisnes, ambil contoh ini:

Katakanlah syarikat saudara adalah penerbit fiksyen novel cinta yang nilai jualannya sudah RM20 juta setahun. Sekarang saudara hendak membesarkan lagi bisnes saudara supaya jumlah perolehan boleh naik RM2 juta lagi setiap tahun, menjadi RM22 juta, RM24 juta, RM26 juta tahun demi tahun.

Lalu saudara tengok, nun di sana... ada sebuah penerbit lain yang terkenal dengan buku-buku motivasi, dengan nilai bisnesnya baru RM5 juta setahun. Lalu saudara pun berfikir hendak menerbitkan buku-buku motivasi juga.

Adakah strategi ini bijaksana?

Sektor buku motivasi adalah amat kecil dibandingkan dengan sektor fiksyen.

Baik dalam apa jua bahasa, di mana jua negara, sektor buku fiksyen adalah paling besar. Lapan puluh peratus (80%) pasaran buku adalah pasaran fiksyen.

Jika bisnes fiksyen novel cinta saudara sekarang sudah RM20 juta setahun, langkah saudara hendak masuk sektor buku motivasi adalah umpama seekor jerung mengambil keputusan mahu melompat keluar daripada laut besarnya, lalu terjun masuk ke dalam tasik si ikan keli!

Sedangkan, pada waktu yang sama, si penerbit buku-buku motivasi itu sendiri sedang berusaha keras melaksanakan strateginya bagi melompat keluar dari kolam buku-buku motivasi yang kecil, dan hendak terjun masuk ke dalam lautan buku-buku fiksyen yang jauh lebih besar.

Apabila saudara sudah besar dalam sektor fiksyen, adalah lebih baik saudara kekal dalam sektor itu, dan terus mencari strategi baru bagi menerbitkan lebih banyak judul fiksyen.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Tip Survival Penerbit: Berfikir Sebagai Pakar Strategi

Apabila saudara bergiat dalam bisnes penerbitan buku, malah apa jua bidang bisnes, pelajari kemahiran berfikir sebagai pakar startegi.

Jikalau tidak, sukar bagi saudara mahu mencari sektor fokus bisnes saudara, manakala fokus adalah salah satu syarat utama kejayaan bisnes. Tanpa fokus, nanti saudara masuk pasaran dengan judul penerbitan yang rencam.

Memasuki dunia bisnes bermakna berdepan dengan persaingan dalam pasaran.

Sebagai ahli strategi, pertama-tama kenal pasti sektor yang sudah ada budak-budak besarnya. Jangan saudara masuki sektor itu semasa otot syarikat saudara belum cukup kuat. Masuki padang permainan budak-budak besar hanya apabila syarikat saudara mempunyai modal yang besar.

Sebagai contoh, sebagai orang baru dalam bisnes penerbitan, jangan masuk sektor novel popular perempuan, sebab dalam sektor itu sudah ada budak besarnya, yakni ALAF21. Tidak ada pembaca novel perempuan yang tidak kenal brand ALAF21.

Sebagai pemain baru, tanpa modal besar, saudara tidak dapat bersaing dengan ALAF21 melainkan saudara bersaing dengan sokongan pemodal di balik tabir @ alibaba.

Hampir semua pemain baru dalam sektor novel cinta didukung oleh pemodal yang memodali kos mencetak novel-novel yang mereka terbitkan. Di depan sahaja nama Melayu, di belakang adalah pemodal Mamak ataupun Cina.

Ada dua jenis pemodal alibaba yang popular: (a) Tuan punya syarikat pengedar, dan (b) Tuan punya kilang cetak. Merekalah yang bersedia mengeluarkan modal kos mencetak novel-novel yang saudara terbitkan.

Sudah ramai orang Melayu yang main game menjadi orang depan kepada pemodal, tetapi sampai saat ini, strategi begini belum menghasilkan penerbit Melayu yang berjaya.

Jika saudara mahu masuk padang di mana budak-budak besar bermain, jangan masuk menggunakan strategi bersaing. Gunakan strategi lain.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, July 04, 2007

Tip Survival Penerbit: Gubal Dasar Penerbitan

Apabila saudara mahu menjadi penerbit, sebelum memulakan operasi syarikat saudara, gubal dahulu dengan jelas dasar-dasar penerbitan saudara.

Dasar penerbitan adalah alat penurunan kuasa dan tugas daripada lembaga pengarah syarikat kepada seluruh anggota staf.

Apakah yang dikatakan 'dasar penerbitan'? Berikut adalah contoh dasar penerbitan PTS:

1. PTS hanya menerbitkan buku ilmu.

2. PTS hanya menerbitkan buku dalam Bahasa Melayu.

3. PTS hanya menerbitkan buku yang syariah-compliant.

Dasar penerbitan adalah sangat penting kerana:

1. Dasar Penerbitan membolehkan staf tahu dengan tepat apa judul yang mereka boleh terbitkan dan apa yang tidak boleh mereka terbitkan. Justeru mereka tahu pengarang yang bagaimana mereka perlu dekati ataupun jauhi.

2. Dasar penerbitan membolehkan saudara melaksanakan 'delegasi' membuat keputusan kepada staf saudara. Tanpa adanya dasar penerbitan yang jelas, semua keputusan terpaksa dirujukkan kepada saudara.

3. Dasar penerbitan yang jelas membolehkan staf saudara berfikir secara kreatif bagaimana mereka dapat melaksanakan dasar-dasar itu dengan jayanya.

4. Dasar itu dapat dijadikan asas bagi setiap program dan projek penerbitan yang dirancang oleh staf saudara.

5. Dasar itu membolehkan mereka menyampaikan taklimat dan menjawab pertanyaan dengan yakin bahawa isi taklimat itu adalah betul.

6. Penulis-penulis yang menyokong dasar penerbitan syarikat saudara akan terus setia kepada syarikat saudara.

Sebagai penerbit, apabila saudara tidak menentukan dasar-dasar penerbitan saudara, nanti staf saudara tidak tahu apa kuasa yang ada pada mereka. Ini menyebabkan staf saudara bekerja dengan 'jiwa kecil'.

Jiwa staf menjadi kecil apabila mereka tidak berani berfikir dan membuat keputusan tanpa bertanya kepada saudara terlebih dahulu akan segala sesuatu, termasuk perkara-perkara yang titik-bengik sekalipun.

Staf yang berjiwa kecil tidak dapat membangunkan syarikat penerbitan yang besar. Kata pepatah, kayu-kayu besar menghasilkan api besar.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, June 29, 2007

Khutbah Jumaat PTS: Falsafah ‘Tangan Kapitalis’ Membantu ‘Misi Sosialis’

Pada suatu masa dahulu, ketua editor sebuah akhbar arus perdana yang besar pernah ditanya, mengapakah syarikatnya itu menerbitkan majalah-majalah yang membekalkan sampah-sarap ke dalam minda pembaca Melayu.

Dalam jawapannya, beliau menerangkan, majalah-majalah itu amat laku, dan wang daripada jualan itu digunakan bagi membiayai penerbitan akhbar jawi dan majalah agama yang tidak laku. Tanpa adanya 'tangan kapitalis' itu, syarikat tidak dapat menjalankan 'misi sosialis'nya.

Prinsip 'jahat-baik boleh seiring' begini amat popular, dan sampai hari ini masih banyak penerbit Melayu-Islam yakin bahawa inilah sahaja jalan yang ada jikalau penerbit mahu menerbitkan bahan-bahan ilmu dalam Bahasa Melayu.

Bukan seorang dua orang penerbitan, malah rata-rata, yang yakin penerbit mesti mencari wang dengan menjual sampah-sarap dan benda-benda terlarang supaya wang daripada jualan itu dapat digunakan bagi menerbitkan bahan-bahan baik.

Prinsip 'tujuan menghalalkan cara' adalah tidak dibenarkan dalam agama Islam.

Apabila kita yakin tidak ada cara lain, maka kita sudah berputus harap akan bantuan Tuhan, dan hukum berputus harap amat serius.

Tuhan jualah yang lebih mengetahui.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Pengurusan Syarikat
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, June 17, 2007

Tarikh Kiraan Royalti

Masing-masing syarikat penerbitan mempunyai tarikh 'tahun royalti' masing-masing. Faktor ini selalunya tidak diketahui oleh penulis baru.

Tahun kiraan royalti tidak serupa dengan tahun kalendar biasa.

Tahun kiraan royalti PTS adalah pada bulan 1hb Jun setiap tahun. Jabatan Kewangan PTS mula mengira angka jualan buku-buku PTS antara 1hb Januari 2006 - 31 Disember 2006. Cek bayaran royalti mula dihantar berfasa-fasa mulai 1hb Jun 2007. (Chairman PTS dijamin sentiasa menjadi penulis terakhir menerima cek royaltinya.)

Kerja mengira royalti amat leceh sehingga PTS mengambil seorang akauntan kontrak khusus bagi menjalankan beban kerja ini.

Sistem SAP versi 'baby' yang digunakan di PTS belum dapat mengautomatikkan sepenuhnya proses mengira pembahagian royalti antara penulis-penulis bersama sesuatu judul.

Adakah buku saudara terbit antara 1hb Januari 2006 - 31 Disember 2006? Jika ya, maka saudara akan mula menerima royalti pada musim ini.

Jika buku saudara terbit mulai 1 Januari 2007, itu bermakna saudara akan menerima royalti saudara mulai Jun 2008.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, June 16, 2007

Penulis PTS Berkongsi RM780,831.90 sen Royalti Tahun 2006

Sebagai Chairman PTS, di sini kita dengan telus memaklumkan prestasi jualan buku karya penulis-penulis PTS bagi tahun 2006.

Hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah.

Inilah berkat apabila para penulis dan penerbit bekerja sebagai satu pasukan pejuang bahasa dan buku Melayu, dengan misi memandaikan bangsa.

Mulai 1hb Jun 2007 sehingga 31hb Disember 2007, Jabatan Kewangan PTS sudah mula mengeluarkan cek secara berfasa-fasa kepada semua penulis PTS.

Setiap penulis akan menerima kenyataan kira-kira royalti masing-masing secara detail bagi setiap tajuk buku mereka.

Akuantan Puan Adilah Mistar yang bertanggungjawab menguruskan royalti penulis akan mula bercuti materniti anak sulung dalam seminggu dua ini. Beliau sudah menetapkan jadual pengiriman cek bagi setiap penulis.

Sepanjang tempoh beliau bercuti, sebarang pertanyaan dan kemusykilan akan dilayan oleh Akauntan Junior Norizah Wahid.

Adalah dianggarkan, berdasarkan trend jualan buku-buku PTS sekarang, royalti tahun 2007 boleh meningkat sehingga RM1 juta.

Hidup penulis buku Melayu!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, June 14, 2007

Bisnes Buku adalah Kebun Ular

Bisnes buku adalah kebun ular. Jika takut dipatuk ular, jangan masuk kebun ular.

Membuka bisnes penerbitan buku bukan mainan modal kecil. Apabila pengedar tidak mahu membayar hutang RM75 ribu, kerugian saudara bukan RM75 ribu tetapi lebih, sebab royalti buku-buku yang saudara sudah jual kepada pengedar itu, saudara wajib bayar juga!

Apabila pengedar tidak bayar hutang, itu bukan masalah pengarang. Saudara tidak boleh berkata kepada pengarang, "Minta maaf, Tuan Sheikh. Pengedar tidak bayar hutang, jadi kami tidak dapat bayar royalti tuan."

Isunya di sini, buku Sheikh itu sudah saudara jual kepada pengedar itu. Soal saudara gagal mengutip hutang, itu soal lain, itu masalah saudara, itu bukan masalah pengarang. Bayar royalti, mesti bayar!

Begitu juga, saudara tidak boleh berkata kepada pencetak, "Minta maaf, En. Pencetak. Pengedar tidak bayar hutang kami, jadi saya tidak dapat bayar hutang encik."

Si pencetak sudah cetakkan buku itu untuk saudara. Saudara mesti bayar hutangnya. Kalau tidak, lain kali dia tidak mahu mencetak buku-buku saudara lagi.

Kalau saudara fikir saudara boleh minta pencetak lain mencetak buku saudara, minta maaf, para pencetak itu semuanya saling rujuk-merujuk antara satu sama lain. Mereka saling bertukar-tukar maklumat tentang rekod putih-hitam penerbit.

Sudahlah saudara rugi RM75 ribu, saudara tetap kena bayar royalti buku-buku itu (kalau 10% = RM7,500.00), dan saudara mesti bayar hutang pencetak (kredit 3 bulan sahaja).

Kalau syarikat saudara kecil, hutang RM75 ribu itu memang boleh membuat saudara tersungkur. Duit itulah yang saudara perlu roll - pusingkan - bagi membayar gaji, sewa, hutang pencetak, utiliti dan lain-lain.

Apabila duit RM75 ribu itu tidak masuk, saudara tidak dapat membayar gaji, sewa, utiliti, pencetak... bisnes saudara tercekik. Habis cerita.

Melainkan modal saudara besar, jadi saudara dapat serap kerugian RM75 ribu itu.

Dunia bisnes adalah kebun ular yang di dalamnya ada batu geliga sakti. Untuk survive dalam kebun ini, saudara bukan setakat pandai menulis buku yang laku, saudara memerlukan ilmu yang banyak, dan saudara juga mesti mempunyai modal yang banyak.

Kita sangat menasihati saudara, fikir masak-masak sebelum hendak menjadi pengarang self-published. Nasib tak baik, kata orang, saudara yang 'miskin' jadi makanan pengedar kaya.

Kalau modal saudara tidak sampai minimum RM500 ribu, lebih baik saudara kekal menjadi penulis, serahkan manuskrip saudara kepada penerbit profesional, yang tahu bagaimana hendak ketuk ular-ular itu.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 1 of 3 pages  1 2 3 >