Langkah 2: NM belajar berniaga dengan cara 'berkuli' yakni menjadi pembantu-cum-perantis.
Prinsip: Ajar anak kita melakukan kerja-kerja sebenar dalam dunia perniagaan.
Cara mempelajari ilmu-ilmu perniagaan adalah dengan proses berguru secara praktikum dengan peniaga yang berpengalaman dalam bidangnya. Tidak ada jalan pintas. Proses ini dimulakan pada usia 12 tahun.
Sebagai contoh, pada musim cuti sekolah, serahkan anak kita kepada peniaga itu. Sebaik-baiknya, peniaga itu adalah anggota keluarga sendiri. NM berguru kepada bapa saudaranya, Abu Talib.
Hanya anggota keluarga sendiri yang dengan suka hati mahu mendidik anak-anak kita belajar berniaga di lokasi bisnes mereka. Dalam bahasa hari ini disebut
on-the-job-training. Orang lain (kawan baik kita sendiri pun) takkan mahu ada budak-budak 'menyibuk' di lokasi bisnes mereka!
Ajar anak kita supaya belajar dengan cara memerhati, mendengar dan melakukan kerja-kerja sebenar orang berniaga. Aspek praktikum ini amat penting kerana ia membantu meruntuhkan benteng-benteng psikologi, seperti segan, rasa rendah diri, takut dan malu hendak berjualan.
Suruh anak kita belajar mencari modal, berunding harga semasa membeli barang yang akan dijual. Suruh dia mengira harga, menerima wang bayaran, mengembalikan baki bayaran, mendengar komplen pelanggan yang tidak puas hati, mengira modal, mengira untung, suruh dia pergi ke bank menyimpan wang hasil jualan harian.
Biarkan anak kita belajar mengalami rasa sedih apabila orang tidak sudi membeli jualannya, sakit hati apabila ditipu, telinganya pedih mendengar orang mengutuk produknya, biarkan dia kecewa dan gagal apabila modalnya hangus.
Ajar anak kita melakukan analisis di mana dia tersilap, dan ajar dia berfikir bagaimana dia dapat memperbaiki kesilapannya.
Bagi kebanyakan ibu bapa Melayu yang terpelajar, mereka tidak mahu anak mereka belajar melakukan kerja-kerja berjualan, yang mereka anggap merendahkan martabat anaknya, maklumlah anak orang terpelajar.
Anak mereka mungkin tidak malu, tetapi si ibu bapalah yang malu jika orang tahu anak mereka berjualan, sebab bagi ibu bapa Melayu yang terpelajar, anak-anak mereka hanya memerlukan ijazah bagi mendapatkan pekerjaan makan gaji besar.
Ibu bapa Melayu yang terpelajar dan berjawatan tinggi sekalipun amat bangga apabila anak mereka ditawarkan biasiswa, tanpa menyangka, sebagai penerima biasiswa, anak mereka dipaksa 'berkuli' selepas menerima ijazah.
Berkuli bagi membayar hutang belajar bukan sunah NM.
Anak-anak Melayu yang datang daripada keluarga miskin selayaknya belajar dengan biayai kerajaan. Tetapi kelas menengah Melayu mesti membiayai sendiri pendidikan anak-anak mereka supaya tamat belajar anak-anak mereka dapat terus memilih bidang keusahawanan masing-masing.
Ibu bapa kelas menengah mempunyai keupayaan mencarikan pemodal ataupun modal anak-anak mereka memulakan bisnes, melalui kekuatan kewangan sendiri ataupun melalui network profesional ibu bapa itu.
Namun disebabkan anak-anak kelas menengah Melayu terpaksa menamatkan kontrak biasiswa mereka, apa yang kita lihat sekarang, majoriti graduan menganggur yang dimasukkan ke dalam skim usahawan adalah mereka yang terdiri daripada anak-anak kelas rendah, yang ibu bapa mereka tidak berupaya mendukung kemasukan anak-anak mereka menceburi bidang perniagaan sektor-sektor moden, seperti sektor teknologi.
Maka itulah sebabnya apabila anak-anak kelas rendah daripada luar bandar yang masuk skim usahawan, majoriti memasuki sektor pertanian.
Jika kita mahu membangunkan kelas usahawan Melayu dalam sektor-sektor teknologi yang berpusat di zon duit besar dalam kawasan lembah-lembah industri moden, calon usahawan itu mesti memiliki ijazah bidang sains dan teknikal. Mereka mesti datang daripada latar belakang keluarga kelas menengah, yang ibu bapa mereka terdiri daripada golongan terpelajar dalam bidang-bidang sains dan teknikal.
Selama 50 tahun negara merdeka, kerajaan telah berjaya melahirkan kelas teknokrat Melayu yang besar jumlahnya. Tetapi kelas teknokrat Melayu tidak melahirkan calon-calon usahawan dalam sektor teknologi disebabkan sikap teknokat Melayu yang tidak mahu membiayai pendidikan anak-anak mereka sendiri, sehingga anak-anak mereka, serupa sahaja dengan anak-anak keluarga Melayu miskin, terpaksa makan gaji bagi membayar kontrak biasiswa mereka.
Jadi kita lihat, cara kita mengurus modal mental dan bakat bangsa Melayu memang suatu skim kegagalan. Yang kita masukkan ke dalam skim pembangunan usahawan adalah (a) kelompok paling lemah, yakni mereka yang mencari kerja pun gagal, (b) kelompok yang datang daripada keluarga paling lemah, yakni ibu bapa mereka tidak memiliki pelajaran tinggi dalam bidang moden seperti bidang-bidang sains dan teknikal.
Selagi kelas menengah Melayu tidak sanggup mengeluarkan duit sendiri bagi pendidikan anak-anak mereka, nasib anak-anak mereka akan serupa sahaja dengan nasib ibu bapa mereka, yakni menjadi pekerja makan gaji, bukan menjadi majikan yang membayar gaji.
Majoriti kelas menengah Melayu kita hari ini datang daripada keluarga Melayu pendapatan rendah, maka mereka terpaksa belajar di universiti dengan wang biasiswa. Tetapi mereka terus kekal dengan mentaliti si miskin meskipun mereka sudah menjadi anggota kelas teknokrat Melayu.
Jika ibu bapa mereka yang berpendapatan rendah terpaksa mengharapkan biasiswa, itu patut, tetapi, apabila mereka yang sudah layak naik kapal terbang kelas satu dengan tiket kerajaan, sudah mampu memandu mercedes, tetapi masih mempunyai mentaliti si miskin dalam hal membiayai pendidikan anak-anak mereka, ini tidak patut lagi.
Sebagaimana calon usahawan Melayu hasil latihan MARA dan PUNB yang di
brainwash supaya pandai 'merebut peluang-peluang yang ada', golongan teknokrat Melayu juga mempunyai mentaliti suka 'merebut dan berebut-rebut peluang (baca, merebut biasiswa yang disediakan untuk anak-anak si miskin) yang ada', bukannya pandai 'mencipta peluang-peluang' baru bagi anak-anak mereka.
Kita mesti 'keluar dari kotak si miskin', barulah kita dapat melahirkan anak-anak yang kaya raya, yang berdaya membangunkan korporat-korporat milik Melayu sejati, yang mampu mencipta peluang-peluang pekerjaan dan membayar gaji besar kepada ratusan, malah ribuan, staf dalam syarikatnya.
Ibu bapa kelas teknokrat Melayu jangan lagi bangga menceritakan biasiswa apa yang anak-anak mereka ambil, sebab itu sama sahaja dengan berbangga menceritakan anak mereka akan 'berkuli' dengan ijazah tinggi mereka, di mana nanti anak mereka akan pandai mengira duit berjuta-juta, bukan duitnya sendiri, tetapi duit orang lain....
...akan disambung lagi
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o