Thursday, April 05, 2007

Edisi PTS PAPERBACK

PTS sudah 2 tahun menerbitkan buku edisi paperback bagi buku-buku bestseller PTS. Ertinya, judul-judul PTS yang terbukti laku keras selama minimum 3 tahun, barulah diterbitkan sebagai edisi paperback.

Purata harga jualan edisi paperback PTS adalah RM10 lebih murah daripada edisi kulit lembutnya.

Walaupun edisi paperback dijual dalam pasaran terbuka, namun edisi kulit lembutnya tetap ada dijual di kedai-kedai yang sama.

Data jualan kita menunjukkan kemunculan edisi paperback bagi judul-judul bestsellers PTS itu tidak menggugat jualan edisi kulit lembutnya.

Objektif PTS menerbitkan edisi paperback bagi judul-judul bestsellersnya adalah bagi memenuhi tanggungjawab sosial, yakni bagi membolehkan para peminat buku daripada golongan berpendapatan rendah membaca buku-buku bermutu PTS dengan harga murah.

Disebabkan edisi paperback dijual dengan harga murah, margin keuntungannya amat nipis yakni 1% sahaja, manakala penulis berkorban dengan menerima kadar royalti yang lebih rendah, iaitu 5% sahaja.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, March 15, 2007

Perbualan dengan Penulis Skrip Pn. Sujiah Salleh (1)

Puan Sujiah Salleh sekarang adalah penulis skrip profesional, yakni sepenuh masa tidak ada kerja lain, melainkan menulis skrip untuk TV dan radio.

Beliau pernah menjadi pensyarah perfileman di USM sebelum terjun ke dalam dunia pembikinan filem dan drama TV. (Boleh tengok wajah beliau zaman muda-muda dalam filem Ali Setan, di mana beliau berlakon sebagai pensyarah yang sedang berkuliah.)

Karya beliau yang sedang disiarkan sekarang adalah siri drama TV Janji Diana.

Beliau memberitahu, skrip telenovela untuk 1 episod (1 tayangan) dibayar antara RM1000 hingga RM2000. Ertinya jika telenovela itu terdiri daripada 10 siri, yuran penulis skripnya adalah antara RM10,000 - RM20,000.

Buat masa ini Puan Sujiah baru mengikat kontrak menulis skrip sebanyak 40 episod! Tidak hairanlah beliau dan banyak penulis skrip lain dapat menampung penghidupan sebagai penulis skrip profesional.

Melalui saya, Puan Sujiah menasihati para penulis novel supaya belajar teknik menulis skrip bagi karya mereka sendiri.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, March 10, 2007

Ada-ada Sahaja: Yang Paling Banyak Bertanya Tentang Royalti…

Pegawai-pegawai PTS sudah banyak kali mengadakan sesi taklimat dan ceramah tentang penulisan buku di kampus-kampus kolej dan universiti.

Suatu perkara yang diperasani adalah, pensyarah yang banyak bertanya tentang bagaimana PTS membayar royalti, ataupun mempertikai sistem royalti PTS, ataupun yang membandingkan sistem PTS dengan sistem penerbit lain, akhirnya terbukti mereka tidak produktif menulis...

Ini berbeza dengan pensyarah yang akhirnya banyak menulis. Sewaktu dalam majlis taklimat ataupun kursus, mereka langsung tidak bercakap tentang royalti.

Mengapa agaknya, yang banyak cakap fasal royalti akhirnya tidak mendapat cek royalti. Yang langsung tidak mahu bercakap fasal royalti pula yang dapat berkeping-keping cek royalti...

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, March 07, 2007

Dewan Bahasa dan Pustaka dan Huruf ‘C’ di dalam Bulatan ©

Nota: Entri ini ditulis bagi menjawab pertanyaan seorang penulis kertas kerja yang tidak puas hati dengan amalan etika kerja pegawai di DBP.

Pada tahun 2005 Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan seminar bagi mengenang sumbangan seorang tokoh sastera. Kertas kerja seminar itu dicetak dalam bentuk sebuah buku tebal tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan daripada penulis-penulis kertas kerja itu. Pada buku itu dicetak: © Dewan Bahasa dan Pustaka.

Penjelasan: Simbol © adalah lambang hakcipta. Apabila simbol ini digunakan pada buku dengan teraan © Zainal bin Bulat 2005, bermakna pada tahun 2005 hakcipta isi kandungan buku itu adalah kepunyaan Zainal bin Bulat seorang sahaja.


Adakah dengan mencetak tanda © dan meletakkan nama 'Dewan Bahasa dan Pustaka' di situ, maka secara automatik hakcipta kertas-kertas kerja itu sudah menjadi milik DBP?


Menurut penasihat undang-undang kita, jawapannya, tidak. Tanda © yang tercetak pada buku itu tidak mempunyai implikasi undang-undang daripada segi pemilikan hakcipta buku itu. Hakcipta setiap kertas kerja yang dicetak dalam buku itu tetap berada di tangan penulisnya.


Hakcipta sesebuah karya itu terpindah hanya apabila si pengarang menandatangani dokumen pindahmilik dengan pihak kedua.


Jikalau DBP ada membayar saguhati atau honorarium kepada penulis kertaskerja seminar itu sekalipun, tetapi penulis tidak pernah menandatangani sebarang surat ataupun dokumen pindahmilik hakcipta, maka hakcipta kertaskerja itu masih tetap milik penulisnya, bukan milik DBP.


Jadi ingatlah: Selagi saudara tidak menandatangani apa-apa perjanjian dengan DBP, yang dengan jelas mengatakan saudara sudah memindahkan hakcipta karya saudara kepada DBP, maka hakcipta karya tersebut masih ada pada saudara.


Saudara berhak melakukan apa sahaja kepada kertas kerja saudara. Malah kalau mahu, saudara boleh menarik ke mahkamah mana-mana penerbit yang menerbitkan karya saudara tanpa terlebih dahulu menandatangani izin penerbitan dengan saudara, dan DBP membuat pengakuan palsu kononnya saudara sudah memindahkan hakmilik karya saudara kepadanya.


Bukti bahawa DBP adalah pemilik hakcipta sesuatu karya adalah dokumen perjanjian yang ditandatangani secara sah dengan pemilik asal hakcipta karya itu.


.


.


 


 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, March 06, 2007

Isu Trademark “UJANG” Lagi: Penjelasan daripada Sdr. Ujang

Nota: Ini nota yang kita terima daripada Sdr Ujang. Sangat bermanfaat bagi bacaan Mentee-mentee SifuPTS sekalian.

Puan,

Saya mencipta typo dan mock-up majalah UJANG pada tahun 1993. Menyimpannya selama 2 tahun kerana mencari modal untuk menerbitkannya.

Pada tahun 1995 Kharisma Group OF Company bersetuju mengeluarkan modal, dan sebuah syarikat penerbitan ditubuhkan memakai nama KHARISMA PUBLICATION SDN BHD.

Saya dilantik menjadi PENGARAH PENERBITAN dan tugas saya menjalankan keseluruhan kerja-kerja produksi bermula daripada merekacipta konsep, reka letak, editing dan segala-galanya kerana ketika itu hanya saya seorang di dalam syarikat tersebut.

Terdapat back to back contract antara saya dan Kharisma Group of Company yang menyatakan tentang hak-hak saya ke atas nama UJANG, IDEA, KONSEP DAN KESELURUHAN MAJALAH TERSEBUT dan Kharisma Group of Company hanyalah sebagai back-up financial yang tidak terlibat langsung di dalam kerja-kerja penerbitan.

Terdapat juga di dalam contract tersebut tentang profit sharing sebanyak 30% yang akan dibayar kepada saya setiap bulan untuk setiap keluaran majalah (tidak bayar habis pun - entah berapa ratus ribu lagi dikelepet sehingga sekarang-wallhualam).

Namun 3 tahun kemudiannya kesemua contract-contract tersebut hilang dari syarikat dan saya tidak menerima sebarang salinannya yang sudah di-stamping. Jadi macam mana hendak claim royalty dan profit sharing, sebab contract tidak ada.

Apabila ditanya, Kharisma berdolak-dalik dengan berbagai jawapan di samping menangguhkan kerja-kerja membuat contract baru yang saya usulkan. (Hakikatnya mereka cuma buat draft dan tunjuk kepada saya tetapi tidak buat lansung.)

Kesilapan saya kerana tidak faham undang-undang HAK MILIK KARYA INTELEK dan tidak faham kepentingannya dalam dunia perniagaan (maklum sahaja masih muda dan budak kampung).

Di surau-surau kampung saya guru agama ajar orang Islam ada Tuhan, kita wajib percaya pada Tuhan. Allah melihat semua apa yang kita buat. Begitulah lebih kurang keyakinan saya.

Rupa-rupanya banyak silap mata dalam kehidupan ini di mana dengan proses undang-undang penipu, perompak, penjenayah boleh nampak macam ahli korporat sementara hamba Allah macam kita ini, yang sekadar hendak hidup dan menumpang cari rezeki di bumi tuhan ini nampak macam penjenayah.

Orang salah dan orang bodoh hanya dengan hujjah-hujjah bathil pasal copyright. Pusinglah ikut mana pun, gunalah bahasa perundangan paling tinggi sekalipun di alam ini… letaklah lapan juta dokumen ataupun perjanjian seratus billion tiga puluh lapan lori… hakikatnya saya tahu UJANG itu hak saya dan saya tidak pernah menjual ataupun mensedekahkannya kepada mana-mana makhluk di muka bumi ini.

Tetapi tidak kisahlah… Saya tunggu satu lagi perbicaraan paling panjang di Mahsyar nanti.

Ustaz di surau cakap macam itu dan saya yakin sangat-sangat kerana saya orang Islam.

Demikianlah kisahnya. Tamat."

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, March 03, 2007

Karya Harta Awam

Karya yang ditulis oleh warganegara Amerika menjadi harta awam atau 'public domain' selepas 75 tahun pengarangnya meninggal dunia.

Apabila sesebuah karya itu menjadi public domain, ini bermakna tidak ada sesiapa yang memiliki hakcipta ke atas karya itu. Ini juga bermakna sesiapa sahaja boleh menerbitkan semua karya edisi asli itu dan mengedarkannya tanpa mendapatkan izin dan tanpa membayar royalti.

Di Britain, tempoh itu adalah 50 tahun. Di Malaysia juga tempohnya adalah 50 tahun.

Jadi, selagi buku saudara diterbitkan dan dijual, selagi itu saudara dan waris saudara dapat menikmati royaltinya. Tetapi apabila saudara sudah menjual hakcipta karya saudara, katakanlah kepada PTS, maka para pemegang saham PTSlah yang menikmati royalti itu sehingga selepas 50 tahun saudara wafat.

Fikir habis-habis sebelum saudara menjual hakcipta karya saudara....

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, March 02, 2007

Tip Survival Penerbit: Isu Harta Intelek dan Sikap Ikhsan Penerbit

Penerbit perlu mempunyai sikap ikhsan kepada penulis, lebih-lebih lagi kepada penulis-penulis baru, yang masih belum faham tendang-terajang dan tipu-muslihat otak orang bisnes totok.

Istilah 'totok' bermakna 'pure', jadi orang bisnes totok adalah orang bisnes yang semata-mata berjuang demi mengisi kantungnya seorang.

Pada jangka masa panjang, sikap totokisme tidak dapat menjamin kelestarian bisnes. Sikap totokisme begitu tidak dapat memikat hati para karyawan supaya setia bersama penerbitnya tahun demi tahun.

Pada waktu yang sama, penulis perlu faham bahawa orang bisnes perlu mengurus risiko bisnesnya, jika tidak, bisnesnya pun akan gulung tikar.

Penulis baru adalah risiko bagi penerbit. Tetapi jika penerbit tidak mahu mengambil risiko dengan menerbitkan karya penulis-penulis baru, sikap begitu adanya risikonya juga.

Ada penerbit yang mengurus risiko penulis baru dengan memaksakan syarat di mana karya pertama penulis itu mesti dijual hakciptanya kepada si penerbit dengan harga yang amat murah. Sikap ini tidak mengambil kira unsur ikhsan.

Penerbit boleh memaksa penulis baru menjualkan hakciptanya kepada penerbit, tetapi tidaklah patut penjualan hakcipta itu atas dasar 'sekali dan buat selama-lamanya'.

Kita menyeru kepada rakan-rakan penerbit supaya mengamalkan dasar-dasar perniagaan yang adil bagi kedua-dua belah pihak, di mana 'pembelian hakcipta' itu dibatasi tempohnya. Dalam bahasa orang bisnes disebut 'put a cap' ataupun 'pasang tutup botol'.

Sebagai contoh, penerbit membayar RM1 ribu kepada penulis baru. Dalam tempoh 3 tahun, itulah sahaja bayaran untuk penulis. Tidak ada royalti bagi tempoh 3 tahun itu sahaja.

Selepas 3 tahun, jika karya itu terbukti laku dan dapat diulangcetak, maka setiap kali karya itu diulangcetak, penerbit bersetuju membayar royalti, sebab pada waktu itu sudah terbukti bahawa penerbit tidak menanggung risiko buku tidak laku dijual.

Nota: Adalah menjadi dasar perniagaan PTS tidak membeli hakcipta penulis, biar pun penulis itu penulis baru. Bagi mengurangkan risiko buku tidak laku, maka itulah sebabnya (a) semua penulis PTS wajib hadir kursus (b) sinopsis diluluskan sebelum boleh mula ditulis (c) strategi buku kuih tempah.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Apa itu ‘authorship’ pada Ilustrasi Buku

Kebanyakan penerbit tidak suka membayar royalti kepada pelukis ilustrasi buku sebab ia adalah cara berniaga yang 'leceh'. Mereka lebih suka membeli sahaja hakcipta bahan-bahan ilustrasi itu.

Ada buku-buku PTS di mana pelukis ilustrasinya berkongsi royalti dengan pengarang buku itu. Mereka berdua bekerjasama menghasilkan buku-buku itu.

Dari sudut pandangan penerbit, tidak semua hasil lukisan layak dibayar royalti. Lukisan yang layak dibayar royalti adalah lukisan yang mempunyai unsur 'authorship' ataupun 'ke-pengarang-an'.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, February 27, 2007

Komen Menarik dan Informatif

Baca di sini komen menarik dan maklumat tambahan tentang nilai wang hadiah dalam dunia sastera tanah air.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 12, 2007

Ada-ada Saja: Editor Universiti Minta Royalti

Dalam Persidangan Penerbitan Ilmiah di Johor Bharu, seorang pembentang kertas kerja yang pernah mengedit buku rakan sejawatnya di sebuah universiti mengemukakan idea supaya:

(a) Nama editor dicetak pada kulit buku.

(b) Supaya penulis berkongsi royalti dengan editor bukunya.

Nota: Adalah menjadi amalan biasa bagi penulis yang benar-benar menghargai sumbangan editornya menuliskan penghargaannya itu dalam ruang 'Daripada Pengarang' bukunya.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 05, 2007

‘Printed Price’ dan Penipuan Penerbit

Istilah 'printed price' atau 'harga tercetak' adalah harga buku yang tercetak pada buku itu. Bukan harga yang ditulis tangan pada buku ataupun ditulis atas stiker dan ditampalkan pada buku.

Sebagai penulis saudara harus tahu implikasi sistem harga tercetak sebab ia ada kaitan dengan bagaimana royalti saudara dikira.

Semua harga buku PTS dicetak pada kulit belakang buku. Royalti saudara mungkin 7% daripada harga cetak. Jika harga cetak buku saudara adalah RM20, maka royalti saudara adalah RM1.40 setiap naskhah terjual.

Ada penerbit tidak mahu menggunakan sistem harga tercetak. Jadi saudara takkan tahu berapa harga buku saudara yang sebenar. Penerbit seperti itu boleh berdusta tentang kiraan royalti saudara.

Dia boleh kata royalti saudara 10%. Tetapi 10% daripada berapa RM? Bagaimana saudara hendak tahu berapa harga buku saudara dijualnya?

Kedai-kedai buku indie tidak suka apabila PTS mencetak harga buku terbitannya, sebab mereka tidak dapat hendak 'mark-up' atau naikkan harga buku itu kepada pembeli.

Kontraktor yang membekalkan buku kepada kerajaan pun tidak suka penerbit menggunakan sistem printed price sebab dia pun tidak dapat hendak mark-up harga buku-buku yang dibekalkan kepada kerajaan.

Yang paling suka dengan sistem harga tercetak adalah penulis!

Sistem harga tercetak boleh 'merugikan' penerbit dalam kes kontrak kerajaan. Buku yang dipilih mungkin terbitan 2005 (biasalah kerajaan lambat membuat keputusan). Buku itu edisi pertama, harganya RM20. Kontrak keluar pada tahun 2007. Buku itu sudah diulangcetak, edisi kedua, lebih tebal, oleh itu harga barunya RM22.

Tapi kontrak kerajaan hendak membeli edisi pertama. Buku itu sudah tidak ada dalam setor lagi! PTS terpaksa bekalkan buku edisi kedua dengan harga RM20 juga! Rugi RM2 setiap naskhah. Royalti penulis tetap dikira berdasarkan harga RM22! Dua kali rugi.

Meskipun banyak pihak tidak suka sistem harga tercetak, mengapakah PTS tetap memilih sistem itu?

Sebab PTS mahu mengamalkan amalan-amalan bisnes penerbitan buku yang digunapakai pada peringkat antarabangsa supaya para penulis berasa selamat menyerahkan karya mereka kepada PTS.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(8) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, December 23, 2006

Mencari Formula Buku Evergreen

Ada buku yang meletup-letup jualannya, sampai laku berpuluh ribu, tetapi 5 tahun kemudian judul itu hilang dari pasaran.

Ada buku yang 'steady' sahaja jualannya selama berbelas-belas tahun, walaupun ia tidak pernah meletup-letup.

Dari sudut nilai pulangan pelaburan, buku yang bagaimanakah yang lebih baik saudara tulis?

Buku jenis pertama membolehkan saudara menerima berpuluh ribu ringgit dalam masa singkat. Ini membolehkan saudara membeli kereta baru ataupun rumah baru.

Buku jenis kedua membolehkan saudara menerima royalti setiap tahun selama berbelas tahun. Ini cuma membolehkan saudara pergi umrah setiap tahun.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, December 02, 2006

Apa Itu ‘Firm Order’?

Salah satu istilah bisnes yang elok diketahui maknanya oleh penulis, pengedar dan pekedai adalah FIRM ORDER, sebab ia ada kaitannya dengan royalti yang diterima oleh penulis, dan risiko bisnes yang mesti dihadapi oleh pengedar dan pekedai.


Firm-Oder adalah pesanan pembelian buku yang dibayar tunai dan tidak boleh dikembalikan kepada penerbit walaupun buku itu tidak laku.


Sesetengah penerbit mengamalkan polisi firm-order. Sebagai contoh, ALAF21 dan CREATIVE mengamalkan firm-order ke atas agen-agennya.


Polisi firm-order sangat menguntungkan penerbit kerana polisi ini menyebabkan tidak berlaku langsung masalah kronik 'hutang lapuk' sebagaimana yang dihadapi oleh penerbit-penerbit yang tidak mengamalkan dasar firm-order.


Polisi firm-order juga sangat menguntungkan penulis, sebab walaupun buku tidak laku di kedai ataupun berlonggok dalam setor pengedar, buku itu sudah dikira 'laku', cek sudah dibayar kepada penerbit, oleh itu penulis menerima royalti penuh.


Jadi, dari sudut penulis, menghantar buku kepada penerbit yang mengamalkan dasar firm-order adalah amat menarik.


Polisi firm-order tidak disukai oleh pengedar dan peruncit, sebab ia meningkatkan risiko bisnes mereka disebabkan buku-buku yang tidak laku tidak dapat dipulangkan kepada penerbit.


Walaupun dasar firm-order amat menguntungkan penerbit, tetapi PTS tidak mengamalkan syarat firm-order kepada agen-agen PTS. Ertinya, semua buku PTS yang tidak laku boleh dikembalikan kepada PTS sebagai buku 'return'. Ini menyebabkan royalti buku return ditolak apabila kiraan royalti dibuat. Ini adalah faktor yang kurang menarik bagi penulis.


Tetapi, dasar PTS yang membenarkan 'returnables' menyebabkan agen-agen PTS puas hati dengan dasar bisnes PTS itu. Ini amat penting bagi menjaga hubungan baik dengan agen-agen.


Dalam jangka masa panjang, agen-agen yang puas hati akan memberikan layanan baik kepada buku-buku penerbit yang mengamalkan dasar returnable.


Jika saudara sedang merancang hendak menjadi penerbit, fikir baik-baik sebelum memilih antara polisi firm-order ataupun returnable.


.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(9) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, September 10, 2006

Merancang Pendapatan daripada Buku


Kebanyakan penulis tidak mengambil kira pendapatan daripada bukunya apabila menulis buku mereka. Ini lebih-lebih lagi benar di kalangan penulis kreatif. Oleh itu mereka bersikap 'main untung-untungan'. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Ikut nasiblah.


Sikap main untung-untungan tidak baik bagi kedudukan ekonomi penulis sendiri. Itulah sebabnya majoriti penulis tidak menikmati gaya hidup di mana semakin dia tua semakin banyak pendapatannya.


Seorang penulis mengadu, katanya dia sudah menulis 22 buah buku, tetapi pada masa ini dia tidak tidak menerima walau seringgit pun royalti daripada buku-bukunya.


Daripada sudut royalti, ada beberapa kategori buku:



1. Buku yang laku dijual banyak, tetapi hayat pasaran buku itu amat pendek.
Contoh buku seperti itu adalah buku ulasan politik semasa. Jika saudara menulis tentang skandal tokoh politik yang 'hot' ataupun buku skandal artis yang 'top', buku saudara itu mungkin meletup tetapi hayat buku itu amat pendek.

2. Buku yang laku beberapa tahun sahaja.
Contoh buku jenis ini adalah buku-buku yang ada kaitan dengan silabus sekolah ataupun maktab. Apabila silabus itu berubah sedikit sahaja pun, tamatlah hayat buku itu. Silabus sekolah disemak dan dikemaskini maksimum 5 tahun sekali, maka selama 5 tahunlah sahaja saudara mendapat royalti daripada buku itu.

3. Buku yang laku banyak pada mulanya, tetapi kemudian makin lama makin kurang laku, sehingga akhirnya tidak laku lagi.
Contoh buku-buku jenis ini adalah novel popular. Novel cinta, novel chicklit, dan teenlit, termasuk dalam kategori ini. Buku-buku novel seram pun termasuk dalam kategori ini.

Pada tahun 60-an, siapa yang tidak membaca novel-novel popular Yahya Samah? Beliau adalah penulis novel popular paling banyak wang waktu itu. Lewat 90-an, siapa yang tidak membaca novel-novel popular Ahadiat Akasyah? Beliau penulis yang hidup paling mewah waktu itu. Baik Yahya Samah mahupun Ahadiat Akasyah, mereka mengalami fenomena 'api yang cepat marak, cepat padam'.


Faktor utama yang menyebabkan novel-novel popular tidak laku berpuluh-puluh tahun adalah disebabkan tema, persoalan dan setting cerita-cerita itu amat kontemporari.


Faktor kedua adalah gaya bahasa dalam novel-novel itu yang juga menggunakan gaya bahasa kontemporari dan parokial, oleh itu ia cepat menjadi out-of-taste dan out-of-date.



4. Buku yang laku sederhana dari mula sampailah berpuluh-puluh tahun masih laku.
Buku jenis ini mungkin laku 3 ribu naskhah setahun tetapi ia terus laku begitu selama berpuluh-puluh tahun. Buku-buku jenis ini termasuklah:

(a) Buku sejarah.
(b) Novel bertaraf sastera.
(c) Buku biografi tokoh-tokoh yang sudah meninggal dunia.
(d) Buku-buku agama.
(e) Buku falsafah.
(f) Buku motivasi yang berdasarkan nilai-nilai agama.
(g) Buku cerita bacaan kanak-kanak dan remaja yang temanya evergreen.

Apabila saudara menulis buku, fikirkan bahawa saudara mencipta harta, yakni harta intelek. Banyak orang menulis buku, tetapi bukunya tidak menjadi harta intelek.


Banyak buku habis sebagai buku. Ada buku menjadi harta intelek, maka buku yang beginilah yang menjadikan saudara makin tua semakin banyak pendapatan, walaupun saudara waktu itu hanya duduk di masjid sahaja!

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, July 28, 2006

Terjemahan: PTS Menawarkan Sistem Royalti

Royalti adalah bayaran yang saudara terima apabila saudara memegang hakcipta sesuatu karya. PTS FORTUNA menawarkan bayaran royalti bagi setiap judul karya terjemahan dalam projek siri sastera dunia.Apabila karya terjemahan saudara diterbitkan oleh PTS FORTUNA, saudara akan menerima royalti, serupa sebagaimana yang diterima oleh penulis buku-buku karya original terbitan PTS yang lain.Royalti dibayar selepas dikira jumlah naskhah yang terjual bagi sesuatu tahun itu. Apabila karya saudara laku banyak, maka banyaklah royalti yang saudara terima.

 

Apabila karya saudara laku dijual selama 20 tahun, maka tiap-tiap tahun selama 20 tahun saudara akan menerima royalti saudara.

Ini bermakna, PTS FORTUNA tidak mengamalkan sistem bayaran sebagaimana yang diamalkan oleh penerbit lain seperti DBP ataupun ITNM. Maka tidak timbul isu berapa sen upah terjemahan bagi setiap perkataan.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, May 08, 2006

Lantai T. Pinkie

Dalam ceramahnya yang bertajuk "Nilai Ekonomi Bakat Sastera" pada 10 Julai 1994, Sasterawan Negara Dato' A. Samad Said memberitahu hadirin, jumlah royalti dan honorarium daripada karya dramanya Lantai. T. Pinkie yang telah diterimanya sudah melebihi RM100 ribu.Setiap kali dramanya dipentaskan oleh mana-mana pihak, beliau menerima honorarium. Pada suatu masa dramanya itu pernah dipentaskan oleh 5 pihak dalam musim yang sama.

Jumlah honorarium yang diterimanya bergantung kepada dana pihak penerbit. Ada penerbit yang membayar RM15 ribu, ada yang membayar RM 2 ribu, manakala ada yang membayar RM500 sahaja.

Baru-baru ini beliau mendapat tawaran daripada penerbit drama TV supaya menulis 13 sinopsis siri sambungan kisah hidup T. Pinkie dengan bayaran RM5 ribu bagi setiap sinopsis, tidak termasuk bayaran untuk menuliskan skripnya.

Beliau juga memberitahu pada masa ini pendapatan tahunannya dari royalti dan honorarium adalah antara berpuluh-puluh ribu dan lebih RM100 ribu setahun, dengan honorarium kemunculan di khalayak dalam majlis baca puisi, ceramah dan tetamu undangan khas menjadi sumber pendapatan yang lumayan.

Pendapatannya daripada royalti dan honorarium membolehkan beliau membeli 3 buah rumah, di Subang Jaya, di Ampang dan di Bangsar, menyara 2 orang isteri dan menyekolahkan anak-anaknya tanpa biasiswa.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, February 03, 2006

Strategi Menjadi Penulis Profesional: Cari Cek Kecil, Buat Cek Besar

Apabila saudara hendak mencari penghidupan yang selesa dengan menggunakan bakat saudara sebagai penulis, ada beberapa strategi kerja yang berguna kepada saudara.1. Stategi Jangkamasa Pendek: Saudara perlu ada sumber pendapatan kecil-kecil setiap bulan. Tulis artikel untuk dapat duit cepat dan dapat tiap-tiap bulan. Tulis artikel-artikel untuk pelbagai majalah dan akhbar. Walaupun bayarannya kecil tetapi bayaran itu cepat, jadi saudara dapat gunakan untuk perbelanjaan bulanan saudara.

Untuk tahu lebih lanjut, bacaan wajib adalah buku "BUAT DUIT DENGAN MENULIS" (Jeniri Amir, PTS). Baca juga blog mentee kita, ZAMRI Muhamad atau telefon beliau dan berguru dengannya, hp 0192880451. Beliau sentiasa hadir bengkel PTS, ambil kesempatan bersahabat dengannya.

2. Strategi Jangka Masa Sederhana: Tulis buku-buku kecil yang cepat siap. PTS mempunyai banyak program menerbitkan buku-buku kecil. Walaupun harga jualan buku kecil rendah, oleh itu royaltinya kecil, tetapi buku-buku jenis ini dapat disiapkan, sebulan satu buku pun dapat disiapkan.

Hubungi Puan Nor (PTS One), En. Fauzul (PTS Millenia) En. Nazrul (PTS Profesional) En. Faris (PTS Islamica) untuk mengetahui jenis-jenis buku kategori ini yang sudah dikenalpasti dalam rancangan tahunan mereka. Mereka masing-masing akan menerbitkan 150 judul baru pada tahun 2007. Baca laman PTS Millenia jika saudara hendak menulis buku-buku popular.

3. Strategi Jangka Masa Panjang: Tulis buku-buku evergreen. Buku jenis ini mengambil masa lebih lama disiapkan, tetapi hayatnya panjang, oleh itu buku jenis ini adalah harta karun. Tulis satu buku setahun bagi kategori ini.

4. Jikalau saudara mempunyai bakat ilustrasi, PTS memerlukan banyak ilustrasi. Buat baik dengan para pengurus PTS. Kerja-kerja ilustrasi adalah sumber cek-cek kecil tetapi cepat dapat. Jika saudara pandai membuat design cover buku, itu lebih baik. Tahun ini sahaja PTS memerlukan 350 cover buku!

5. Jika saudara mempunyai pengetahuan dan kemahiran lain, saudara bekerja part-time sahaja, jadi freelance, asal ada duit untuk belanja harian. Menulis mesti menjadi pekerjaan fulltime saudara. Jangan terbalik, cari makan jadi kerja fulltime, menulis pula yang jadi pekerjaan part-time.

Untuk mengetahui apa yang sedang dirancang dalam dapur PTS, saudara jalinlah hubungan baik dengan pegawai-pegawai PTS. Hadiri kursus-kursus dan bengkel-bengkel PTS, kerana banyak maklumat hanya didedahkan antara muka dengan muka. Ini namanya memperkenalkan bakat dan perkhidmatan saudara kepada mereka.

Ingat, berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak. Jagung mesti tanam, padi pun mesti tanam! Cek honorarium yang kecil-kecil mesti dicari, cek royalti yang besar-besar pun mesti dicari.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, January 08, 2006

Mencari Judul Evergreen

Apabila saudara mahu menikmati royalti yang berpanjangan daripada buku-buku yang saudara tulis, saudara perlu memilih kategori buku yang memiliki ciri-ciri evergreen.


Quran bukan buku paling tua dalam sejarah manusia. Ada pendapat mengatakan Bhagavadgita adalah buku paling tua. Banyak buku sudah ditulis lebih awal sebelum Quran. Tetapi Quran adalah buku paling evergreen dan paling popular.


Quran mula-mula 'dituliskan' lebih 1400 tahun dahulu, sewaktu Nabi Muhammad masih hidup oleh jurutulis-jurutulis rasmi beliau. Sampai hari ini buku itu masih dicetak, dijual, dibaca, dihafal dan dikaji, dalam edisi originalnya, tanpa pernah mengalami perubahan walaupun satu huruf.


Menurut Guniness Book of World Records, Quran adalah buku yang paling banyak dibaca orang di dunia, mengalahkan mana-mana edisi Bible yang ada.


Seorang pengedar Quran di Malaysia memberitahu, buku paling laku di negara ini adalah Quran. Di negeri Kelantan sahaja, sekitar 5000 naskhah terjual setiap tahun.


Fakta-fakta ini memberi petunjuk bahawa sebarang buku yang dikaitkan dengan isi kandungan Quran dan Nabi Muhammad, mempunyai peluang baik menjadi buku evergreen. Ini terbukti dengan usia evergreen pelbagai kitab yang dikarang oleh pengarang-pengarang terkenal seperti Syafie, Maliki, Hambali, Nawawi, Muslim, Bukhari, Tabari, Hisyam, sekadar menyebut segelintir nama. Sudah beratus-ratus tahun, namun buku-buku karangan mereka bukan semakin kurang dijual, malah semakin banyak terjual.


Sungguh luar biasa, buku-buku yang dikaitkan dengan isi Quran dan Nabi Muhammad, sekalipun yang ditulis oleh pengarang-pengarang bukan Islam, tetap menikmati jualan dan royalti berpanjangan!


Ada sebuah buku, judulnya “Islam For Idiots” (Islam untuk Si Dungu), buku seperti itu pun amat popular di Amerika. Buku “100 Most Influential Person” sudah hampir 40 tahun diterbitkan, sehingga hari ini ia masih terjual di seluruh dunia, dalam lebih 30 bahasa. Pengarang buku itu, seorang Yahudi, meletakkan Nabi Muhammad sebagai manusia paling berpengaruh di dunia, mengalahkan Jesus dan Einstein.


AKADEMI PENERBITAN PTS melatih pengarang-pengarang bukan ustaz dan ustazah teknik-teknik menulis buku-buku yang ada kaitan dengan isi Quran dan hadis bagi bacaan bukan orang agama, sebaliknya untuk pembaca yang sekadar ingin tahu hal-hal biasa berkenaan apa itu Islam.


Kita mangajak sesiapa sahaja hadir ke bengkel penulisan buku-buku berkenaan Islam yang akan diadakan pada 14 dan 15 Januari 2006. Gratis!



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, January 07, 2006

Royalti daripada Novel dan Komik Evergreen

Novel Hamka “Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick” sudah hampir 50 tahun usianya dalam pasaran. Hari ini, apabila saudara ke kedai buku, saudara masih dapat membeli novel itu, sebab ia terus diulangcetak dan dijual.



Novel-novel yang indah seperti “Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick” termasuk dalam kategori karya evergreen. Ia dikatakan mempunyai 'shelf-life' (tarikh luput) yang panjang. “Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick” sudah 50 tahun, tetapi ia masih berada di rak kedai-kedai buku.



Karya-karya evergreen menjadi idaman para penerbit, sebab ia membawa keuntungan yang berpanjangan. Tentu sekali para pengarang karya-karya evergreen juga menikmati royalti yang berpanjangan.



Jika saudara seorang pekomik, saudara patut berfikir dengan serius mencari formula kerja yang membolehkan saudara menikmati royalti berpanjangan daripada komik-komik yang saudara hasilkan itu.



Beberapa faktor yang mempengaruhi 'shelf-life' sesebuah buku komik adalah:




  1. Cerita dalam buku asalnya memiliki ciri-ciri evergreen. Jadi, apabila saudara melukis komik, pilih cerita-cerita yang sudah terbukti evergreen. Jika saudara mencipta cerita baru saudara sendiri, cerita ciptaan saudara itu belum terbukti evergreen.




  2. Gaya bahasa dalam karya asalnya memiliki ciri-ciri evergreen. Gaya bahasa standard adalah stabil, oleh itu ia dapat difahami bagi tempoh waktu yang panjang. Gaya bahasa Hamka dalam “Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick” masih dapat difahami sehingga hari ini. Sebagai pelukis komik, gunakan bahasa standard.




  3. Stroke dan gaya lukisan komik saudara itu memiliki ciri-ciri yang evergreen. Sebagaimana dengan penggunaan gaya bahasa yang evergreen, saudara pilihlah gaya stroke yang dapat bertahan lama, yakni stroke saudara itu bukan stroke yang 'trendy'.





Para pekomik perlu mengambil kira faktor-faktor bisnes dan pasaran sebelum menentukan konsep komik yang saudara akan hasilkan. Dengan cara itu karya saudara itu nanti dapat menjadi harta intelek yang berharga dan membawa pulangan yang berpanjangan.



Cara kerja para pekomik tanah air kita boleh meniru strategi dan cara kerja rakan-rakan mereka di luar negara. Jika di sana para pekomik menikmati royalti yang berpanjangan, tentu sekali di sini para pekomik Malaysia juga seharusnya sudah dapat menikmati hal yang serupa.



Saudara-saudara para pekomik tanah air sekalian, kita mengajak saudara menukar strategi dan cara kerja saudara. Sebagai penerbit dan pekomik, secara bersatu dan bersama, kita dapat mengubah dunia komik Melayu.



MAJULAH KOMIK MELAYU!


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, August 27, 2005

Pendapatan Penulis Buku

Dulu-dulu, pengarang yang bukunya dijadikan buku teks sahaja yang berpeluang merasa menerima royalti puluhan ribu setahun, seperti Shahnon Ahmad, Kris Mas, Usman Awang dan banyak lagi.

Penerbit Creative Enterprise mencipta sejarah apabila mulai tahun 90'an ia berjaya membolehkan beberapa orang pengarangnya menerima royalti melebihi angka RM100 hasil daripada jualan dalam pasaran terbuka.

Sekarang penulis-penulis novel remaja dan novel cinta popular adalah penulis yang menerima royalti paling tinggi.

Sebuah penerbit novel cinta mencetak 50 ribu naskhah pada cetakan pertama dan semuanya habis diambil oleh pengedar. Sebelum tragedi tersungkurnya Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam arena politik UMNO, di kalangan penulis buku Melayu, penulis-penulis buku politik menerima pendapatan paling tinggi hasil daripada jualan karya mereka.

Penulis buku politik yang paling kaya adalah Syed Husin Al-Attas. Beliau mempunyai taman eksotik paling cantik di Lembah Janda Baik.

Dulu, penerbit-penerbit kecil berebut-rebut hendak mendapatkan karya penulis-penulis politik disebabkan buku-buku gosip politik yang mereka tulis amat laris jualannya. Buku-buku gosip politik dibeli oleh semua golongan.

Pendapatan lumayan penulis politik datang daripada 2 sumber. Ada penulis politik yang mengharapkan pulangan daripada jualan buku mereka. Ada pula yang mendapat bayaran daripada tokoh-tokoh politik yang mengupah mereka supaya menulis gosip-gosip tentang musuh politik mereka. Penulis jenis ini amat digeruni orang politik. Berbagai-bagai cara dilakukan oleh orang-orang politik supaya skandal mereka tidak masuk dalam buku akan datang penulis jenis ini. Penulis politik yang menerima bayaran paling besar bagi menghasilkan sebuah buku adalah Khalid Jeffry dengan menuliskan buku “50 DALIL MENGAPA ANWAR TIDAK BOLEH MENJADI PERDANA MENTERI”. Ada gosip mengatakan pendapatan beliau daripada tugasnya itu adalah RM500 ribu, ada yang mengatakan RM250 ribu. Rekod yang beliau pegang ini sampai hari ini masih kekal berada dalam di tangannya. Khalid Jeffry memegang satu lagi rekod dalam sejarah perbukuan di Malaysia. Beliau berjaya menghancurkan pasaran buku-buku politik di negara dengan terbitnya buku “50 Dalil” itu. Semenjak kesan pukulan maut daripada bukunya itu, pasaran buku-buku gosip politik masih tidak pulih sampai sekarang. Tidak ada buku lain yang pengaruhnya ke atas sejarah politik Malaysia dapat mengatasi kesan ciptaan buku “50 Dalil”. Karya itu menyebabkan tercetusnya kemelut politik sebagaimana yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini. Karya itu juga menyebabkan pengarang buku-buku gosip politik sudah 7 tahun melepek. Jika saudara hendak menjadi penulis buku-buku politik, tunggu sampai pasaran pulih, diramalkan itu akan berlaku dengan terbitnya buku politik karya Dato' Seri Anwar Ibrahim nanti.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 2 of 2 pages  <  1 2