Nabi Muhammad adalah seorang yang melakukan pelbagai macam fungsi, tugas dan tanggungjawab. Salah satu daripadanya adalah sebagai trainer.
Dalam bidang training, salah satu pakej yang pelanggan korporat sanggup membayar yuran premium baginya adalah modul Membuat Keputusan.
Pada masa ini modul-modul membuat keputusan yang ditawarkan dalam pasaran adalah tiruan modul-modul ciptaan pakar-pakar Barat. Sebagai contoh, alat membuat keputusan yang sangat popular dalam pasaran adalah analisis SWOT (strength, weaknesses, opportunities & threats).
Pada prinsipnya, teori dan teknik membuat keputusan aliran sekolah Islami tentulah lebih baik daripada teori dan teknik ciptaan manusia Barat. Tetapi jika trainer bukan Islam mengajarkan SWOT, dan trainer Islam pun mengajarkan SWOT, maka tidak ada perbezaan antara input modul yang ditawarkan oleh trainer bukan Islam dan trainer Islam.
Pelanggan yang beragama Islam mahukan modul training yang mengandungi unsur-unsur Islami. Ini memerlukan trainer Islam melakukan kajian ke atas perbuatan-perbuatan dan kata-kata Nabi Muhammad dalam peristiwa di mana beliau membuat bermacam-macam jenis keputusan. Tujuan kajian itu adalah bagi menggali prinsip-prinsip dan prioriti yang beliau gunakan apabila membuat sesuatu keputusan.
Ada trainer Islam yang memasukkan unsur Islami dengan menyebut bahawa apabila seseorang itu tidak tahu keputusan mana yang harus diambil, dia hendaklah melakukan sembahyang istikharah. Tetapi, bagi peserta bukan Islam, mereka tidak dapat menggunakan kaedah sembahyang istikharah.
Islam adalah universal. Justeru, modul training sekolah Islami menerangkan prinsip-prinsip dan teknik-teknik membuat keputusan yang universal, oleh itu dapat digunakan oleh semua orang, baik Islam mahupun bukan Islam.
Meminta pertolongan Allah, bukan teknik. Bersembahyang istikharah juga, bukan teknik.
Objektif aktiviti training adalah memberikan kemahiran. Justeru, dalam bidang training, yang penting adalah memberikan teknik-teknik kepada peserta, sebab teknik yang betul adalah tool bagi meningkatkan kemahiran.
Dalam Islam, teknik ada pada sunnah, iaitu tingkah laku dan perbuatan-perbuatan Nabi Muhammad.
Ambil peristiwa bagaimana Nabi Muhammad membuat keputusan di mana dalam kes itu si pesalah adalah seorang yang pernah berjasa. Dalam kes ini, sebelum beliau membuat keputusan, beliau meminta si pesalah supaya menerangkan mengapa dia melakukan kesalahannya itu.
Peristiwa ini berlaku di bandar Madinah. Pada suatu masa, Nabi Muhammad mendapat tahu Hatib bin Abu Baltaah telah menulis surat kepada penduduk Mekah dan memberitahu mereka bahawa orang-orang Islam di Madinah meracang mahu menyerang Mekah.
Hatib adalah antara orang-orang yang paling awal masuk Islam dan beliau ikut serta dalam Perang Badar, iaitu peperangan yang pertama kali dilancarkan oleh penduduk Mekah yang masih menyembah berhala terhadap orang-orang Islam di Madinah. Status veteran Perang Badar adalah amat tinggi.
Perbuatan Hatib itu telah dilaporkan kepada Nabi Muhammad, lalu beliau mengarahkan supaya Hatib dipanggil. Lalu di hadapan sahabat-sahabatnya yang lain, Nabi Muhammad bertanya kepada Hatib, “Mengapakah saudara lakukan itu?”
Hatib berkata, “Saya masih beriman kepada Allah dan Pesuruhnya. Saya tidak sekali-kali mengubah pendirian dan keyakinan saya. Tetapi saya masih mempunyai harta dan kaum keluarga di sana. Sahabat-sahabat tuan juga masih mempunyai harta dan kaum keluarga di sana.”
Kemudian Nabi Muhammad berkata yang bermaksud, “Dia benar. Jangan ada sesiapa di kalangan saudara-saudara yang berkata tidak baik tentang dirinya.”
Konteks di mana keputusan itu digunakan adalah:
(i) Kesalahan ini berlaku dalam suasana peperangan dan konflik besar antara 2 kumpulan.
(ii) Si pesalah adalah seorang yang kuat agamanya dan pernah melakukan jasa besar.
(iii) Kesalahan itu berpunca daripada sifat lemah pada naluri manusia, dalam kes ini kasih sayang kepada keluarga dan harta.
Keterangan kes: Dalam kes ini, kesalahan itu dilakukan dalam suasana perang, oleh itu kelasahan itu adalah amat serius dan berat implikasinya ke atas hasil peperangan itu. Pada waktu yang sama si pesalah adalah seorang yang pernah berjasa kepada kumpulannya, dan jasanya itu amat besar.
Teknik Nabi Muhammad: Dalam kes ini Nabi Muhammad bertanya kepada si pesalah apa yang mendorong dia melakukan kesalahan itu. Meskipun kesalahan yang dilakukannya amat serius, tetapi memandangkan si pesalah adalah seorang yang berjasa besar sedangkan niatnya adalah mahu menyelamatkan kaum keluarganya yang dikasihi dan hartanya, maka Nabi Muhammad memaafkan kesalahannya.
Dalam kes ini tujuan utama teknik beliau bertanya dan memaafkan adalah bagi menjaga supaya si pesalah itu tidak menjauhkan dirinya, malah sebaliknya dia menjadi semakin dekat.
Aplikasi: Dalam kes ini ia melibatkan apa yang disebut perkara-perkara “prinsip”, dan apa yang disebut “kebijaksanaan” dan “budi bicara”. Pada prinsipnya kesalahan seperti yang dilakukan oleh Hatib itu tidak boleh dimaafkan dan hukumannya adalah amat berat. Tetapi jika fakta bahawa si pesalah itu pernah berjasa besar tidak diambil kira dalam menjatuhkan hukuman, mungkin hal itu menyebabkan timbulnya banyak akibat negatif lain.
Justeru ada dua isu di sini, yakni:
(i) Menjatuhkan hukuman.
(ii) Mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang lebih buruk daripada langkah menjatuhkan hukuman itu.
Implikasi: Sering kali berlaku, orang yang berkuasa membuat keputusan tidak menggunakan “kebijaksanaan” dan “budi bicara” apabila membuat keputusan, sebaliknya dia ikut sahaja apa yang ada dalam buku peraturan. Cara dia membuat keputusan ke atas semua individu adalah serupa sahaja dengan tidak mengambil kira banyak faktor di sebalik kes itu. Sebagai contoh, cara dia menegur orang tua serupa sahaja dengan cara dia menegur kanak-kanak. Ataupun cara dia menegur orang mulia serupa sahaja dengan cara dia menegur orang biasa. Ataupun cara dia mendenda orang kaya serupa sahaja dengan cara dia mendenda orang miskin.
Nota tambahan: Dalam kes ini si pesalah itu berdepan dengan dua pertimbangan yang saling bertentangan. Di satu sudut dia wajib menjaga kepentingan kumpulan di mana dia menjadi salah seorang anggotanya. Di sudut lain, apa yang akan dilakukan oleh kumpulannya akan menyebabkan dirinya menanggung kerugian peribadi dan kedukaan yang berat.
Inilah jenis input-input Islami, yang apabila diberikan oleh trainer Islam dalam modulnya, maka beliau dapat menaikkan yuran profesionalnya.
Nota: Bagi pembaca blog ini yang beragama Islam, setiap kali terbaca nama 'Nabi Muhammad' bacalah doa buat beliau, anggota keluarga beliau dan sahabat-sahabat beliau.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006