Siapakah Ainon Mohd

Ainon Mohd merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang linguistik dari Universiti Malaya dan ijazah sarjana dalam bidang yang sama dari Leeds University. Beliau juga pernah mengikuti kursus kedoktoran dalam bidang psikologi di Universiti Putra Malaysia dan merupakan pemegang Diploma Penterjemahan dan Interpretasi dari Universiti Malaya.

Memulakan kerjaya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan telah berkhidmat di DBP dari tahun 1973 hingga tahun 1988. Sepanjang berkhidmat di DBP, beliau telah memegang pelbagai portfolio termasuk Pegawai Penyelidik Bahasa dan Sastera, Ketua Unit Terjemahan Sastera, Ketua Unit Penyelidikan Bahasa dan terakhir sekali sebagai Ketua Bahagian Terjemahan.

Selain daripada itu, beliau juga pernah menjadi pensyarah sambilan di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pada tahun 1988, beliau telah menubuhkan syarikatnya sendiri, PTS Consultants Sdn Bhd (‘holding company’ kepada PTS Publications & Distributors Sdn Bhd) dan memulakan perkhidmatan konsultansi dan kejurulatihan dalam bidang kreativiti. Antara yang pernah menjadi pelanggan beliau termasuklah Bank Negara Malaysia, Shell, ESSO, BP, Amway, Malayan Banking, Perwira - Habib Bank, Telekom, Kementerian Pertahanan, Badan Pencegah Rasuah dan banyak lagi.

Selain itu, syarikat beliau juga terlibat dalam pembangunan perisian penyemak ejaan dan tatabahasa bersama MIMOS dan Microsoft Corp.

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku di dalam bidang terjemahan, komunikasi, pemikiran lateral dan kreativiti bersama dengan suami beliau, Profesor Abdullah Hassan yang kini merupakan pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan merupakan tokoh yang amat dikenali dalam bidang bahasa melayu dan sering dipanggil membentangkan kertas kerja berkaitan bahasa melayu di serata dunia. Antara buku hasil tulisan beliau sendiri dan juga hasil tulisan bersama suami beliau yang terkenal termasuklah Mendorong Kreativiti Kanak-kanak, Pemikiran Lateral, Teori & Teknik Terjemahan, Psikologi Kejayaan, Belajar Berfikir, Teori Motivasi Di Tempat Kerja, Teori & Teknik Kepimpinan, Komunikasi Di Tempat Kerja, Guru Sebagai Pendorong Dalam Darjah dan pelbagai siri kamus bahasa melayu yang merupakan rujukan utama para pelajar dan guru-guru di sekolah.

Atas keyakinan dan iltizam yang tinggi untuk melihat bahasa melayu berkembang sebagai bahasa ilmu dan bangsa melayu dapat bersaing dalam dunia globalisasi ini, maka pada tahun 2000, beliau telah mengambil keputusan untuk menubuhkan PTS Publications & Distributors yang mengkhusus dalam penerbitan dan pengedaran buku-buku ilmu berbahasa melayu yang ditulis oleh para ilmuwan dan cendiakawan melayu.

Kini, selain menyelia kerja-kerja di bahagian editorial, beliau juga terlibat secara aktif dan proaktif dalam memberi konsultansi, latihan dan bimbingan bagi menjayakan projek PTS dengan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad (ITNMB) bagi menterjemah pelbagai buku bahasa asing yang bermutu tinggi untuk bacaan dan rujukan rakyat Malaysia yang berbahasa Melayu.

Selain menjadi rujukan pelbagai pihak dalam bidang terjemahan, komunikasi, motivasi, kerja-kerja sosial dan kaunseling di mana rumah beliau sendiri dijadikan pusat latihan dan program latihan fasilitator untuk program-program motivasi dan kerja-kerja sosial, beliau juga sering dipanggil untuk memberi ceramah dan bimbingan motivasi di pelbagai jabatan kerajaan dan swasta.

Selain daripada itu, beliau juga terlibat dalam banyak kerja sosial dan kebajikan terutamanya dalam menjaga kebajikan kaum orang Asli di Janda Baik, Pahang di mana beliau sering dijadikan tempat aduan. Rumah beliau kini dijadikan pusat pengumpulan pelbagai sumbangan untuk kaum orang asli Janda Baik.