Saturday, August 06, 2005

Maruah Penerbit

Pada suatu masa, petugas jabatan akaun sebuah penerbit melakukan kesilapan teknikal kecil pada cek royalti yang dihantar kepada penulis-penulis.


Akibatnya ada cek-cek penulis yang diterima oleh bank-bank mereka dengan tidak ada apa-apa masalah, tetapi ada 3 bank yang memulangkan cek-cek itu. Biasalah, ada pegawai bank lebih 'cerewet' daripada yang lain.


Salah seorang penulis itu menghantar SMS kepada pengurus kewangan dengan kata-kata, "Hantar cek tendangkah?"


Dalam tempoh beberapa minit sahaja cerita itu tersebar di seluruh bangunan pejabat penerbit itu. Tamat kemarau setahun dek hujan sehari. Masing-masing jabatan berespons secara negatif dengan cara mereka masing-masing kepada penulis itu.


"Tak payah ulangcetaklah buku dia! Kita banyak judul baru nak dicetak." kata orang jabatan editorial.

"Tak diulangcetak lagi bagus, tak banyak kerja aku kena buat kulit baru untuk buku lamanya. Banyak kulit judul baru nak disiapkan cepat!" kata orang jabatan grafik.

"Tak payah push-lah buku dia. Kita push buku orang lain. Tak tahu berterima kasih!" kata orang marketing.

"Lain kali saya simpan ceknya lama-lama. Semua orang dah dapat duit, baru kita hantar ceknya!" kata kerani pos-mengepos di pentadbiran.


Bagi orang-orang dalam dunia bisnes, kata-kata "Hantar cek tendangkah?" tidak sekali-kali dapat dianggap gurauan.


Jangan bergurau dengan orang-orang dunia bisnes berkenaan kedudukan kewangan syarikat mereka. Itu dianggap sama sahaja biadabnya dengan gurauan, "Bini awak tidur dengan lelaki lainkah?"


Bagi lelaki, isterinya bukan bahan gurauan. Bagi orang-orang bisnes buku cek syarikat mereka bukan bahan gurauan.


Tidak ada orang yang bermaruah yang tidak malu bekerja di syarikat yang ada rekod cek tendang. Mereka akan mencari kerja di tempat lain. Apabila kita mengatakan orang itu sanggup menghantar cek tendang, samalah kita mengatakan dia seorang yang tidak bermaruah.


Jadikan kisah ini pelajaran penting apabila saudara melakukan apa juga bentuk komunikasi dengan pegawai-pegawai di syarikat penerbit saudara.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Politik Penulis

Apabila saudara menjadi penulis, saudara sebenarnya sudah jadi orang bisnes. Penerbit saudara sudah menjadi bisnes partner saudara. Kalau penerbit pandai berniaga, saudara tumpang tuahnya, buku saudara laku dan royalti saudara naik. Begitu juga sebaliknya.


Ramai penulis tidak tahu cara-cara yang betul menjaga kepentingan mereka dalam konteks usahasamanya dengan syarikat penerbitnya. Sebagai contoh, mereka tidak pandai mengekalkan hubungan baik dengan editor, umpamanya mereka berselisih faham dengan editor.


Dalam dunia bisnes tentu ada politiknya. Salah satu definisi "politik" yang terkenal adalah "Siapa dapat apa, bila, di mana, dan bagaimana."


Saudara belajar main politik dengan penerbit saudara, sebab penulis-penulis lain main politik. Apa yang mereka dapat mungkin menyebabkan ada yang saudara tidak dapat. Ambil sebagai contoh: Apabila kulit buku saudara cantik, adakah saudara menelefon editor ataupun pengarah kreatif, dan mengucapkan terima kasih serta memuji kulit buku itu? Kalau saudara menelefon, itu adalah politik baik, kalau tidak itu adalah politik buruk.


Ingatlah, syarikat penerbit saudara itu besar, dan ramai petugasnya. Kepentingan saudara bukan diuruskan oleh satu orang sahaja. Mereka yang menguruskan nasib buku saudara adalah, editor, artis kulit buku, artis layout, ilustrator, kakitangan-kakitangan jabatan pemasaran dan jualan.


Kalau kulit buku cantik, tetapi mereka di jabatan pemasaran tidak memberikan bajet untuk promosi, nasib buku saudara akan terjejas. Kalau jualan baik, tetapi pegawai kewangan meletakkan nama saudara di bawah sekali dalam senarai penyediaan cek royalti, nasib saudara pun terjejas juga.


Apabila editor saudara memberitahu buku saudara akan diulangcetak, telefon juga jabatan pemasaran dan ucapkan terima kasih. Apabila menerima cek royalti, lakukan yang serupa.


Dalam dunia hari ini, hantar emel kepada mereka melalui laman web rasmi syarikat penerbit anda. Kulit buku saudara dapat dilihat pada laman itu, katakan "Terima Kasih." Susah sangatkah?


Sedikit politik, tetapi banyak faedahnya bagi keuntungan saudara.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Belajar Jadi Penerbit

Jika saudara berangan-angan hendak menerbitkan buku saudara sendiri, jalan fikir saudara lazimnya begini:


1. Cari orang yang boleh mengedit dan membuat layout buku saudara itu dan bayar dia. Lazimnya saudara mencari kenalan yang bekerja sebagai editor ataupun artis layout di mana-mana syarikat penerbitan untuk membuat layout buku saudara.


2. Cari pelukis kulit buku dan minta dia mencipta kulit buku itu, dan bayar dia. Lazimnya editor itu dapat mencarikan artis tersebut di kalangan rakan sekerjanya. Minta pelukis ataupun editor itu tolong uruskan pembuatan filem buku itu dan bayar pembuat filem.


3. Hantar filem kepada pencetak dan runding harga percetakannya. Arahkan pencetak supaya menghantar buku yang sudah siap dicetak ke pejabat saudara, kalau ada ruang di situ, kalau tidak, hantar ke rumah saudara.


Eureka! Saudara sudah memulakan perniagaan saudara dalam dunia penerbitan buku.



Kemudian apa saudara hendak buat, garaj kereta saudara sudah penuh dengan bungkusan buku? Saudara mencari pengedar buku dengan sangkaan pengedar akan mengambil semua buku itu dan disimpan di stor pengedar sementara menunggu buku-buku itu habis dihantar ke kedai-kedai di seluruh negara.


Saudara pun pergi ke pengedar dengan membawa naskhah contoh bagi ditunjukkan kepadanya.


“You hantarlah 10 naskhah,” kata pengedar.


“Apa?” kata hati saudara, macam tak percaya. “10 naskhah! Aku ada 3 ribu naskhah berlonggok di depan pintu rumah!”


Maka bermulalah pelajaran pertama bagi saudara sebagai seorang yang baru pertama kali menerbitkan buku.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Ustaz Mencuri Hakcipta

Cuba saudara baca buku-buku agama yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit tempatan. Ada dua perkara yang mudah saudara perasan:



1. Buku itu kecil-kecil, isinya berkenaan topik-topik konvensional dalam agama, seperti panduan-panduan beribadat dan cerita-cerita sirah. Ia dijual pada harga yang tidak lebih daripada RM20.


2. Gaya bahasanya ketinggalan zaman, gaya bahasa klasik, berbelit-belit, banyak mengandungi pengaruh bahasa Arab DAN terdapat kosa kata INDONESIA! Tapi nama pengarangnya nama orang Melayu Malaysia.


Penulis-penulis buku agama di Malaysia ini mempunyai beberapa ciri yang unik bagi masyarkat penulis:


1. Penulis buku-buku agama Malaysia adalah suatu komuniti yang paling aktif mencuri hakcipta penulis-penulis lain. Bukan semua mencuri, tetapi nisbah pencuri di kalangan mereka amat tinggi.


3. Sesetengah buku agama itu tidak mencetak nama pengarangnya. Jikalau buku itu sesungguhnya karya asli, sipengarang tentu mahu supaya namanya dicetak pada kulit buku-bukunya. Kesanggupan mengizinkan penerbit tidak mencetak nama pengarang adalah unik di kalangan komuniti penulis buku agama sahaja.


4. Sesetengah buku agama menyebutkan bahawa nama penulis itu adalah sebagai 'penyusun'. Dari mana dia mengumpulkan bahan-bahan yang disusun menjadi bukunya itu, kalau bukan bahan-bahan yang dihasilkan oleh orang lain?


5. Mereka paling suka menjual hakcipta kepada penerbit buku-buku agama. Jangan hairan jikalau ada ustaz pergi berjumpa penerbit dengan membawa 4 atau 5 manuskrip buku agama dengan tujuan menjual hakcipta mereka kepada penerbit itu.


6. Mereka adalah golongan penulis yang paling ramai ditipu penerbit.


Seorang penulis datang membawa 7 manuskrip bukunya kepada sebuah penerbit. "RM2 ribu untuk satu buku pun, cukuplah," katanya kepada editor yang ditemuinya.


"Kami tidak membeli manuskrip, ustaz. Semua penulis kami menerima royalti," editor itu menerangkan dengan rasa bangga akan dasar penerbitan syarikatnya. Muka ustaz itu menunjukkan emosi kecewa.


Dari segi psikologi, seseorang yang sangat tinggi dorongannya hendak menjual hartanya adalah disebabkan dia tidak meletakkan nilai yang tinggi kepada hartanya. Mengapakah penulis-penulis buku agama sangat hendak menjual manuskrip-manuskrip mereka? Sebab, manuskrip-manuskrip mereka itu bukan sebenar-benarnya sesuatu yang mereka hasilkan dengan penat lelah yang lazimnya dilalui oleh penulis-penulis tulen.


Buku-buku agama konvensional yang ditulis oleh penulis-penulis tempatan mengandungi unsur-unsur bahasa Indonesia disebabkan banyak bahagian di dalam buku mereka berasal daripada bahan-bahan yang dicuri daripada buku-buku agama hasil karangan ataupun terjemahan yang dilakukan di Indonesia.


Salah satu faktor yang menyebabkan penulis-penulis agama tidak berasa berdosa melakukan perbuatan mencuri itu datang daripada salah anggapan di kalangan kita yang menyangka buku-buku agama adalah berbeza daripada buku-buku bukan agama.


Kita selalu mendengar ustaz-ustaz bercakap dalam ceramah bahawa segala sesuatu dilakukan oleh orang-orang mukmin dengan tujuan semata-mata kerana Allah. Jadi tidak mengapa jikalau karya-karya orang mukmin itu kita anggap sahaja sudah diwaqafkan kepada semua Islam, oleh itu bolehlah dipergunakan oleh orang-orang lain untuk mengaut keuntungan peribadi.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, August 05, 2005

Seni Mencipta Judul Buku

Apabila saudara sudah siap menuliskan buku saudara, tibalah masanya memilih judul bagi buku saudara itu. Judul yang baik akan diterima oleh editor saudara.


Judul mesti kena terus kepada pembeli sasaran. Mula-mula ingat kepada siapa buku itu ditujukan. Katakanlah buku itu adalah berkenaan komunikasi interpersonal. Tetapi siapakah yang akan menggunakan buku itu: Guru? Ibu bapa? Isteri? Pekerja Pejabat? Ketua? Remaja?



Tajuk “KOMUNIKASI INTERPERSONAL” adalah terlalu am. Tajuk ini sesuai untuk buku teks. Ia tidak sesuai untuk tradebook, yakni buku yang dijual di kedai. Jikalau buku itu ditujukan kepada guru-guru, tajuk “KOMUNIKASI INTERPERSONAL UNTUK GURU” adalah lebih tepat. Jika buku itu ditujukan kepada remaja, tajuk yang sesuai adalah “KOMUNIKASI INTERPERSONAL UNTUK REMAJA”.



Tajuk tidak boleh menggunakan perkataan yang membawa makna negatif. Tajuk yang berbunyi “PANDUAN MENGATASI MASALAH RUMAH TANGGA” menggunakan perkataan negatif iaitu 'masalah'. Tajuk yang positif adalah “PANDUAN MENGEKALKAN KEBAHAGIAAN RUMAH TANGGA”.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Indonesia

Permintaan bagi buku-buku Melayu begitu tinggi sekarang sehinggakan pengedar-pengedar buku kita terpaksa memenuhi permintaan itu dengan meningkatkan lagi aktiviti mengimpot buku-buku dari Jakarta.

Sebuah pengedar besar di Kuala Lumpur baru-baru ini mengimpot sejumlah 400 kotak buku-buku Indonesia yang bernilai berjuta ringgit.

Pada bulan Jun lalu, Pesta Buku Jakarta melihat paling ramai pengunjung dari Malaysia, berganda kali lebih ramai daripada tahun-tahun sebelum ini. Wajah-wajah yang dulu tidak pernah kelihatan dalam pesta itu pun kali ini tiba-tiba muncul. Mereka berebut-rebut cuba membuat temujanji untuk berjumpa dengan wakil-wakil penerbit-penerbit terbesar di Jakarta dan Bandung.

Rata-rata mereka yang pergi buat kali pertama ke pesta buku Jakarta itu terkejut menyaksikan sendiri kesan kemajuan dunia perbukuan di Indonesia. Seorang kontraktor buku dari Kuala Lumpur menyimpulkan apa yang dilihatnya itu dengan kata-kata, “Kita ketinggalan 30 tahun di belakang Indonesia.”

Rangkaian kedai-kedai buku besar di Kuala Lumpur mula menjual judul-judul dari Indonesia. Di kedai buku koperasi Universiti Malaya sudah terdapat rak-rak yang dikhaskan untuk buku-buku Indonesia.

Sebenarnya trend peningkatan mendadak impot buku Indonesia ke Malaysia ini sudah diketahui oleh masyarakat buku negara ini, tetapi orang awam tidak perasan sebab ia tidak dibincangkan dalam media.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Apa Itu Runner?

Adakah saudara seorang pekerja pejabat? Barangkali di pejabat saudara ada Mamak yang datang naik motor sebulan sekali dengan membawa majalah kegemaran saudara. Saudara melanggan majalah daripada Mamak itu. Mamak itulah yang dipanggil “runner” dalam dunia bisnes.


Runner buku mengambil bekalan buku mereka daripada pengedar. Mereka menerima diskaun 25%. Pembeli menerima diskaun 10% daripada runner.



Sekolah-sekolah amat bergantung kepada runner. Mereka membekalkan macam-macam keperluan pentadbiran sekolah, termasuk pembelian buku-buku untuk perpustakaan, kegunaan murid dan guru.



Jika saudara hendak menjadi runner buku, saudara boleh menghubungi pengedar buku dan membuka akuan dengan mereka. Tiap-tiap pengedar mempunyai syarat-syarat mereka sendiri tentang bagaimana saudara akan berniaga dengan mereka.



Lazimnya penerbit besar tidak mahu membuka akuan dengan runner, kecuali runner yang datang membeli tunai. Risiko berniaga dengan runner adalah jika runner 'lari' penerbit tidak tahu di mana mereka hendak dicari! Maklumlah runner tidak mempunyai kedai ataupun pejabat. Mereka itu amat mobile.



Runner yang mempunyai modal lebih suka membeli tunai disebabkan mereka boleh mendapat diskaun sehingga 45% daripada penerbit, serupa dengan diskaun penerbit. Jika mereka membeli tunai daripada pengedar mereka lazimnya boleh mendapat 35% sahaja.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Melayu Compang-Camping

Sejak penubuhannya, Dewan Bahasa dan Pustaka masih belum berjaya memasarkan buku-buku terbitannya dengan berkesan.


Kata pegawai DBP, “Orang tak beli buku Melayu.” Mereka menyalahkan pembeli.



En. Jaafar Taib pernah berkata, “Bagaimana buku Melayu nak laku, kulit bukunya pun compang-camping.” Itu adalah penilaian seorang pelukis.Beliau berkata begitu di sebuah seminar penerbitan buku di PWTC sempena Pesta Buku Kuala Lumpur 2000.



En. Jaafar Taib adalah pengerusi penerbit Creative Enterprise. Jasa beliau kepada dunia sastera adalah luar biasa.



Beliau secara berseorangan sahaja, telah membuktikan bahawa karya sastera Melayu tidak berdosa, dan pembeli buku-buku Melayu tidak berdosa jika buku-buku Melayu tidak dibeli orang. Yang berdosa adalah penerbit buku-buku Melayu, yang menjalankan tugas-tugas mereka tanpa 'passion', tanpa menggunakan jiwa raga mereka. Kulit buku-buku DBP sehingga hari ini masih compang-camping. Jika gaji pegawai-pegawai DBP tidak dibayar menggunakan dana kerajaan, sebaliknya dibayar dengan wang daripada hasil jualan buku-buku terbitannya, sudah lama mereka tidak menerima gaji.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Tulang Belakang Buku

Tulang belakang buku adalah bahagian di mana kertas buku digamkan dan dijahit. Bahagian ini penting diberi wajah yang menarik.


Di dalam kedai buku, tulang belakang adalah ruang yang memainkan peranan penting bagi mengiklankan buku itu kepada bakal pembeli.Begitu pula di dalam perpustakaan di mana bakal pembaca memilih buku mana yang mahu dicapainya berdasarkan tulisan-tulisan yang dapat diimbas pada tulang-tulang belakang buku.



Apabila buku di susun berdiri tegak di rak pengguna hanya nampak judul buku yang tertulis pada tulang belakang.



Dua maklumat yang mesti ada pada tulang belakang adalah NAMA BUKU dan JUDUL BUKU. Gunakan kontras warna yang terang supaya huruf-huruf itu timbul dan dapat dibaca dari jauh.



Apabila buku nipis, tulang belakang menjadi terlalu sempit dan padanya tidak dapat dituliskan maklumat tentang nama pengarang dan judul buku. Jadi tulang belakang buku itu kosong.



Setiap ruang pada kulit buku hendaklah digunakan secara optimum bagi mengiklankan buku itu. Ada buku yang tebal, oleh itu tulang belakangnya luas, tetapi huruf-huruf yang dicetak padanya bersaiz kecil oleh itu sukar dibaca dari jauh. Di sini berlaku pembaziran ruang yang amat berharga.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Buka Akaun

Para penerbit menggunakan istilah 'membuka akaun' dengan maksud 'mempunyai urusan perniagaan'.


Kalau saudara seorang penerbit, saudara perlu dapat membuka akaun dengan kedai-kedai buku. Kedai buku setuju menerima buku-buku terbitan saudara bagi dijual di dalam kedainya.


Selama berpuluh-puluh tahun kedai-kedai buku besar tidak mahu membuka akaun dengan penerbit-penerbit buku Melayu, itulah sebabnya buku-buku Melayu hanya dijual oleh kedai-kedai yang menjadi agen Dewan Bahasa dan Pustaka dan kedai-kedai Mamak.


Sekarang zaman sudah berubah. Rangkaian kedai-kedai buku besar sudah mempamerkan bukan hanya buku-buku Melayu terbitan Malaysia, malah terbitan Indonesia juga, disebabkan permintaan bagi buku-buku Melayu amat tinggi.


Adakah saudara terfikir hendak menerbitkan buku saudara sendiri?


Rangkaian kedai-kedai besar tidak berminat berurusan dengan penerbit-penerbit kecil. Sebelum saudara dapat membuka akaun dengan rangkaian-rangkaian itu, mereka akan meminta saudara menunjukkan katalog buku-buku saudara, suatu item yang tentu penerbit kecil tidak punya.


Rangkaian kedai besar tidak mahu berurusan dengan penerbit kecil disebabkan faktor-faktor berikut:



  1. Penerbit kecil tidak berupaya memberikan khidmat pelanggan yang berkualiti. Sebagai penerbit kecil saudara tidak mampu menyediakan pasukan jurujual yang dapat menservis kedai-kedai buku dengan cepat.






  1. Penerbit kecil tidak mampu memberikan diskaun sehingga 45% kepada rangkaian kedai-kedai besar.






  1. Mutu buku-buku yang lazimnya diterbitkan oleh penerbit kecil tidak mencapai tahap yang dikehendaki oleh rangkaian itu.




Faktor-faktor di atas menyebabkan penulis-penulis yang menerbitkan karya mereka dengan penerbit-penerbit kecil menghadapi risiko jualan buku-buku mereka tidak laris.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Nasib Penerbit Kecil

Menjadi penulis baru adalah pengalaman yang penuh dengan cerita duka! Punca paling utama kedukaan itu adalah disebabkan buku-buku penulis baru banyak yang gagal diterima oleh penerbit-penerbit besar. Akibatnya mereka terpaksa menyerahkan manuskrip mereka kepada penerbit kecil. Sembilan puluh tiga peratus (93%) penerbit kecil tutup dalam tempoh 3 tahun selepas memulakan operasinya. Kata pepatah Melayu, “Mati ayam, matilah kutu.”


Jika begitu banyak penerbit kecil mati, mengapakah ada segelintir yang hidup? Faktor-faktor yang membolehkan beberapa penerbit buku-buku Melayu terus aktif dalam pasaran adalah:



  1. Mamak yang mula sebagai pengedar buku menjadi penerbit buku: Penerbit Al- Hidayah bermula sebagai pengedar buku-buku agama. Kini ia sudah mula menceburi bidang penerbitan buku agama. Jadi Al-Hidayah mengedarkan sendiri buku-bukunya.






  1. Penerbit anak syarikat besar: Penerbit Utusan Publications adalah milik penuh syarikat Kumpulan Utusan. Penerbit Alaf 21 adalah anak syarikat milik penuh Kumpulan Karangkraf.






  1. Penerbit kecil yang dapat 'rezeki terduduk': Penerbit Cerdik mendapat lesen menerbitkan kertas soalan peperiksaan dari Kementerian Pelajaran selama 10 tahun. Keuntungan projek itu membolehkan Cerdik membina kekuatan kewangan bagi aktiviti penerbitan buku-bukunya. Penerbit Arus Intelek pula menerima kontrak membekalkan buku-buku teks Kementerian Pendidikan.




Barangkali saudara fikir saudara hendak menubuhkan syarikat penerbitan dengan harapan saudara boleh masuk tender skim pinjaman buku teks. Salah satu syarat mendaftar dengan kementerian adalah modal berbayar saudara hendaklah minimum RM100 ribu.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, August 04, 2005

Buku Melayu Masuk Superstore

Empat tahun lalu, kalau saudara masuk superstore buku di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, saudara takkan nampak rak buku-buku Melayu.


Pada waktu itu pengurusan superstore-superstore itu memandang hina pada buku-buku Melayu. Waktu pegawai PTS mula-mula pergi berjumpa mereka dengan harapan mereka mahu meletakkan buku-buku terbitan PTS, apa kata mereka? "We don't carry Malay books!"


Superstore yang mula-mula mencuba mempamerkan buku-buku Melayu adalah Kinokuniya. Barangkali syarikat Jepun tidak ada masalah dasar bahasa.


Selepas Kinokuniya mendapati buku-buku Melayu laku, pegawai PTS mempunyai modal untuk pergi sekali lagi dan cuba meyakinkan superstore lain dengan alasan, "Kinokuniya terima buku-buku Melayu. Kalau encik tak jual buku Melayu, nanti pelanggan Melayu encik akan lari ke Kinokuniya!"

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, August 03, 2005

Mahu Jadi Penerbit Buku?

Adakah saudara dapat mencari modal sekitar RM250 ribu. Itulah jumlah paling kecil yang saudara perlukan bagi memulakan sebuah syarikat penerbitan.


Jika modal saudara kurang daripada itu 'nafas' saudara tidak cukup panjang dan perniagaan saudara akan tercekik selepas menerbitkan buku ke-5.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, August 02, 2005

Penulis Bangkit!

Pernahkah saudara mengikuti kursus berkenaan harta intelek yang disampaikan oleh peguam yang pakar dalam bidang itu?

Ada beberapa perkara di mana kita semua sebagai penulis mesti bangkit dan berjuang bagi mempertahan hak-hak kita.

Cuba saudara baca hati-hati setiap klausa yang tercetak dalam dokumen perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani dengan penerbit saudara. Semak perkara-perkara di bawah:

1. Adakah hakcipta karya saudara dipindahkan kepada penerbit, ertinya bukan saudara punya lagi? Kalau ya, adakah saudara menyetujui perkara itu sejak awal lagi? Ertinya saudara hanya dibayar sekali sahaja.

2. Jika hakcipta masih milik saudara, itu bermakna saudara hanya menyerahkan HAK MENERBITKAN karya saudara sahaja yang saudara berikan kepada penerbit. Ertinya saudara dibayar royalti. Tiba di sini saudara mesti baca dokumen itu dengan hati-hati! Berapa lama tempoh penyerahan hak menerbitkan itu yang disebutkan dalam perjanjian saudara? 3 tahun? 5 tahun? selama-lamanya?

Sepanjang yang saya tahu, adalah menjadi kelaziman di kalangan penerbit Malaysia mengambil hak menerbitkan karya penulis buat selama-lamanya, termasuk penerbit-penerbit yang besar-besar. Saya mungkin salah, tetapi saudara periksalah sendiri apakah maklumat saya ini betul.

Ertinya kalau penerbit itu tidak pandai menjual buku saudara sekalipun, ataupun dia tidak mahu mengulangcetak buku saudara, saudara tidak boleh menyerahkan buku saudara kepada penerbit lain, meskipun hakcipta karya itu adalah milik saudara.

Kita para penulis mesti bangkit dan mempertahankan hak-hak kita. Kita mesti meletakkan syarat bahawa tempoh hak penerbitan itu adalah 3 tahun sahaja. Selepas tamat tempoh 3 tahun, jikalau kita berpuas hati dengan prestasi jualan buku kita, tempoh itu secara automatik disambung 3 tahun lagi. Jika kita tidak puas hati, kita boleh menulis surat mengatakan kita tidak mahu menyambung tempoh itu, dan secara automatik tempoh itu tamat di situ dan kita boleh mencari penerbit lain.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Soft Cover

Orang buku kerap menggunakan istilah-istilah berikut:


1. Buku 'hard cover' atau buku kulit keras.

Penulis yang mempunyai buku kulit keras dianggap mempunyai martabat kecendekiaan lebih tinggi daripada mereka yang tidak.


2. Buku 'soft cover' atau buku kulit lembut.

Buku-buku 'trade books' iaitu buku-buku yang dijual di kedai-kedai buku dan memenuhi kriteria buku perpustakaan sentiasa terbit sekurang-kurangnya dalam edisi kulit lembut.


3. Buku 'paperback'.

Buku-buku kulit lembut yang laris di kedai, selepas beberapa tahun, sudah boleh diterbitkan dalam edisi 'paperback' atau edisi murah. Edisi paperback diterbitkan dengan margin keuntungan yang amat tipis bagi membolehkan buku-buku itu dijual murah supaya golongan pendapatan rendah mampu membelinya.


Data jualan di PTS mendapati edisi hardcover paling maksimum 400 naskhah sahaja yang dapat dijual dengan harga RM15 - RM25 lebih mahal daripada edisi kulit lembut. Golongan yang membeli edisi hard cover adalah perpustakaan.


Di Amerika dan Eropah, penulis lazimnya melesenkan hak menerbitkan edisi kulit keras kepada satu penerbit, manakala hak menerbitkan edisi kulit lembut kepada penerbit lain, dan hak menerbitkan edisi paperback kepada penerbit lain lagi.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

‘Penulis Pandai’

Penulis-penulis yang pandai banyak menghasilkan buku-buku yang penerbit tidak berani hendak menerbitkannya disebabkan dua perkara:

1. Buku yang mereka tulis itu tidak mempunyai pasaran. Ini disebabkan penulis-penulis pandai secara bawah sedar mereka menulis atas dorongan hendak membuktikan dirinya seorang yang mempunyai kepandaian, bukan bagi memandaikan pembaca. Maka sibuklah dia menunjukkan kepandaiannya di dalam bukunya itu.

2. Ramai 'penulis pandai' susah dibawa berunding berkenaan buku yang mereka tulis. Salah satu sifat yang kerap ditemui ada pada penulis pandai yang baru sekali hendak menerbitkan bukunya adalah dia tidak membenarkan bukunya diedit, kecuali bagi membetulkan ejaan sahaja.

Jika bukunya setebal 400 halaman dia mahu buku itu kekal 400 halaman, dia tidak benarkan mana-mana bab ataupun bahagian pada buku itu dicabut ataupun dibuang supaya kurang tebal. Jika bibliografinya sepanjang 30 halaman, dia mahu bibliografi itu kekal begitu. Macam-macam bantahan dikemukakannya, maklumlah orang pandai memang pandai mengemukakan pelbagai rasional bantahan.

Buku setebal 400 halaman hanya dapat dijual pada harga RM38 ataupun lebih. Penerbit manakah yang berani menerbitkan buku yang semahal itu? Kalau nak cepat tutup perniagaan, bolehlah!

Ada penulis pandai yang menghantar manuskrip bukunya dalam bentuk yang dia sudah siap buat layoutnya.

"Tak payah buat apa-apa lagi, print saja!" si penulis pandai memberitahu penerbit.

Ada penulis pandai yang mahu supaya penerbit membayar kepadanya kos layout yang sudah dibuatnya itu jikalau hendak menerbitkan bukunya. Harganya dia sendiri yang tentukan pula!

Penerbit yang kredibel tidak mahu menerbitkan buku yang layoutnya dibuat oleh orang luar. Setiap penerbit mempunyai spesifikasi khusus bagi setiap kategori buku yang mereka terbitkan. Buku-buku dalam kategori yang sama mestilah terbit dalam ukuran saiz yang sama. Jika buku-buku dalam sesuatu set itu berlainan saiz, apabila dibungkus, bungkusan mudah pecah!

Perwajahan buku adalah amat mustahak. Buku-buku dalam kategori yang sama diterbitkan dengan perwajahan khusus. Sebagai contoh, buku-buku profesional untuk bacaan orang sibuk lain spesifikasi teknikal perwajahannya daripada buku-buku teks pengajian tinggi.

Kalau saudara seorang penulis baru, jangan termasuk perangkap 'penulis pandai'.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Persandingan Siti Nurhaliza

Sesetengah buku dapat dijual secara besar-besaran. Jualannya boleh melebihi 100 ribu naskhah! Bayangkan jikalau royaltinya RM1 senaskhah, berapa ratus ribu ringgit si penulis akan terima daripada penerbit?

Tetapi buku-buku seperti itu mempunyai hayat pasaran yang sangat pendek. Contoh buku jenis ini adalah buku yang mengandungi gambar-gambar perkahwinan tokoh-tokoh selebriti yang amat popular, umpamanya buku-buku dan majalah-majalah yang menyiarkan gambar-gambar perkahwinan Siti Nurhaliza satu hari nanti dijangka dapat dijual melebihi 200 ribu naskhah. Namun buku-buku seperti itu hanya laku paling lama dalam tempoh 3 bulan sahaja. Selepas itu permintaannya jatuh mendadak.

Buku-buku yang ditulis berkenaan isu-isu semasa juga termasuk dalam kategori yang serupa, umpamanya buku-buku politik semasa. Termasuk dalam kategori ini adalah buku-buku berkenaan tokoh politik yang masih berkuasa, apabila tokoh itu jatuh, maka jatuh jugalah jualan buku-buku mengenai dirinya.

Ramai guru berminat menulis buku-buku yang berkaitan dengan mata pelajaran sekolah disebabkan jumlah murid sekolah adalah amat besar. Tetapi disebabkan buku-buku seperti itu bergantung kepada kurikulum, apabila kurikulum berubah sedikit sahaja pun, hayat pasaran buku-buku itu mati serta-merta.

Saudara lebih baik menulis buku-buku yang hayat pasarannya 'evergreen'. Ia laku bertahun-tahun, malah berpuluh-puluh tahun. Saudara hanya penat menulis sekali, tetapi buku itu akan diulangcetak berkali-kali, dengan itu pendapatan royalti saudara tidak putus-putus.

Tulislah buku yang membolehkan saudara menerima royalti RM10 ribu setahun bagi satu judul. Jika saudara mempunyai 10 judul buku jenis evergreen, saudara boleh mengutip royalti RM100 ribu setahun. Ingat! Buku evergreen laku bertahun-tahun....

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, August 01, 2005

Wajib Hadir Kursus PTS

Jikalau saudara berminat menerbitkan karya saudara dengan PTS, saudara wajib menghadiri kursus penulisan yang diadakan oleh PTS. Syarat ini dikenakan walaupun saudara sudah mempunyai pengalaman menerbitkan buku dengan penerbit-penerbit lain.

Setiap penerbit mempunyai prosedur dan tatakerja masing-masing. Sdr. perlu memahami tatakerja PTS supaya buku yang saudara akan tulis itu menepati syarat-syarat penerbitan yang diamalkan di PTS. Sebagai contoh buat masa sekarang PTS tidak menerbitkan buku kanak-kanak, oleh itu jika saudara mempunyai cadangan hendak menulis buku cerita untuk bacaan kanak-kanak, karya saudara akan ditolak. Begitu juga, walaupun mulai hujung 2005 PTS akan mula menerbitkan karya kreatif, PTS tidak akan menerbitkan novel-novel cinta.

Dengan menghadiri kursus PTS saudara dapat memastikan buku yang saudara tulis itu akan diterima dan diterbitkan oleh PTS.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Program Mentor-Mentee di PTS

Mulai tahun 2004 PTS memulakan program mentor-mentee dalam usaha melahirkan angkatan penulis-penulis muda PTS. Calon-calon penulis muda PTS mula-mula dikehendaki mengikuti latihan kemahiran menulis karya-karya kreatif ataupun deskriptif di bawah bimbingan Puan Ainon Mohd. Selepas itu mereka yang bercita-cita menjadi penceramah profesional diberi pilihan untuk memilih mentor tambahan seperti menjadi mentee kepada Dato' Dr. Mohd. Fadhilah Kamsah. Program ini sudah menghasilkan penulis-penulis muda yang prolifik seperti Sdr. Ahmad Fadzli Yusuf, Sdr. Ahmad Naim Jaafar, Sdr. Ashadi Zain, Sdr. Samsudin Wahab, Sdr. Syed Yusainee, Sdri. Salhah Mohamed dan ramai lagi.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Buat Duit dengan Menulis

"Buat Duit dengan Menulis" adalah judul buku Sdr. Jeniri Amir yang patut dibaca oleh sesiapa yang mahu hidup selesa dengan menjadi penulis sepenuh masa. Beliau sendiri seorang yang hidup selesa hasil daripada pendapatannya sebagai penulis sambilan yang menyiarkan hasil tulisannya dalam pelbagai media masa. Sdr. Jeniri pernah menjadi wartawan dan kini beliau adalah pensyarah di UNIMAS, Sarawak.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 2 of 2 pages  <  1 2