Monday, October 31, 2005

Isu Nama Komersial

Jika saudara seorang novelis, adakah penerbit saudara telah mencipta suatu nama samaran untuk digunakan bagi novel-novel yang saudara terbitkan dengan penerbit itu? Amalan ini bukan perkara baru. JK Rowling, penulis siri Harry Potter, adalah nama samaran.


Jika sekiranya penulis Harry Potter itu menulis buku lain, dan hendak menerbitkan buku barunya dengan penerbit lain, adakah dia berhak menggunakan nama “JK. Rowling” pada kulit buku barunya itu?


Isu nama samaran komersial yang dicipta oleh penerbit mempunyai implikasi undang-undangnya.


Siapakah yang mencipta nama samaran saudara? Di dalam perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani, adakah disebutkan bahawa saudara dibenarkan menggunakan nama samaran saudara tanpa sebarang sekatan?


Bagi sesetengah penerbit, nama-nama samaran yang mereka cipta untuk novel-novel yang mereka terbitkan adalah salah satu strategi perniagaan mereka. Dalam keadaan begini mereka tentu tidak membenarkan penulis mereka menerbitkan buku dengan penerbit lain menggunakan nama komersial yang dicipta oleh penerbit itu, disebabkan perbuatan si penulis boleh menjejaskan posisi penerbit itu dalam persaingan. Si penerbit boleh mengambil langkah undang-undang bagi menjaga kepentingan perniagaannya.


Saudara adalah dinasihatkan, jika saudara hendak menerbitkan karya saudara dengan penerbit lain, dapatkan izin penerbit saudara sekarang seandainya saudara mahu menggunakan nama komersial saudara itu. Ini bagi mengelakkan saudara menerima surat peguam yang menghendaki saudara menarik balik semua buku saudara dari pasaran, ataupun jika saudara enggan berbuat demikian, saudara akan ditarik ke mahkamah. Pastikan izin itu adalah secara bertulis!


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, October 30, 2005

Siapa Penerbit “Kaki Novel”?

Jika saudara peminat dunia bisnes buku, saudara tentu perasan perkembangan-perkembangan terbaru dalam aktiviti penerbitan buku-buku novel Melayu akhir-akhir ini.


Ada sebuah penerbit novel yang memanggil dirinya “Kaki Novel”, dan sedang diam-diam masuk dan memakan pasaran penerbit-penerbit besar, khususnya Creative dan Alaf21.


Sebelum ini Creative dan Alaf diancam oleh Rythm, Times dan Utusan, ketiga-tiganya penerbit bermodal besar. Rythm, Times dan Utusan masuk ke dalam sektor novel cinta, dan mengambil peluang yang dibuka dan diterokai dengan susah payah oleh Creative, diikuti oleh Alaf.


Tanpa modal besar, tanpa tiupan serunai dan pukulan kompang, Kaki Novel muncul senyap-senyap, dengan satu novel, tetapi novelnya terus mendapat sambutan yang sihat dari penggemar novel cinta. Kemudian Kaki Novel muncul lagi dengan satu novel baru, juga mendapat sambutan baik.


Sekarang Creative, Alaf, Rythm, Times dan Utusan bukan lagi bersaing antara sesama mereka. Sebaliknya mereka harus pula bersaing dengan fenomena Kaki Novel, disebabkan Kaki Novel semacam mempunyai formula sukses ala-David melawan Goliath – si Kecil melawan si Besar.


Suatu persoalan yang menarik difikirkan dari sudut bisnesnya adalah, sambutan novel-novel terbitan Kaki Novel membuktikan beberapa fakta:





  1. Pembaca novel cinta Melayu tidak setia kepada penerbit. Mereka tidak setia kepada “Alaf” ataupun “Creative”. Mereka mengutamakan kualiti novel, tanpa mengira siapa penerbitnya.




  2. Berlakunya perpindahan penulis-penulis novel yang baik, daripada Creative dan Alaf kepada penerbit-penerbit alternatif seperti Kaki Novel. Ini membolehkan Kaki Novel mendapat manuskrip yang laku dijual.




  3. Berlakunya petugas dalam penerbit besar yang menceburkan diri dalam bisnes penerbitan novel Melayu. Ini membolehkan pemilik Kaki Novel terus berjaya daripada novelnya yang pertama.




Kaki Novel adalah penerbit yang tergolong dalam kategori “independent publishers” ataupun penerbit bebas. Mereka ditubuhkan oleh individu yang mengeluarkan modal sendiri, dan beroperasi dengan gaya “bisnes studio”. Mereka hanya menerbitkan 7 ataupun 8 buku setahun, tetapi tiap-tiap bukunya mendapat sambutan baik disebabkan bakat dan pengalaman yang dimiliki oleh pengusahanya.


Beberapa ciri penerbit bebas adalah:


1. Mereka memang 'orang buku', yakni mereka pernah bekerja dengan penerbit buku, itulah sebabnya mereka faham bagaimana buku dihasilkan dan dipasarkan.


2. Mereka kenal dan mendapat kepercayaan penulis-penulis yang ada dalam pasaran, itulah sebabnya mereka tahu karya siapa yang mempunyai banyak peminat.


3. Mereka kenal siapa pengedar-pengedar buku yang dapat dipercayai kejujurannya, itulah sebabnya mereka tidak ditipu oleh pengedar dalam isu kutipan hutang. Ini membolehkan mereka meneruskan aktiviti pengeluaran novel seterusnya.


4. Mereka tahu proses pengeluaran buku, itulah sebabnya mereka boleh mendapatkan artis dan pereka layout yang mahir untuk buku yang mereka terbitkan. Ini membolehkan novel terbitan mereka mempunyai wajah yang menarik dan dapat bersaing dengan penerbit yang sudah besar.


5. Mereka mempunyai sokongan daripada pencetak-pencetak yang berpengalaman mencetak novel, itulah sebabnya kualiti cetakan mereka bermutu tinggi.


Jadi siapakah di sebalik Kaki Novel?



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, October 29, 2005

Mengapa Editor Part-time Perlu Laptop

Untuk menjadi editor part-time di PTS, saudara mesti mempunyai laptop atas alasan berikut:




  1. PTS sentiasa berkejar dengan waktu. Waktu adalah modal yang amat penting jika PTS mahu menang dengan persaingan. Dengan memiliki laptop, produktiviti saudara lebih tinggi disebabkan laptop membolehkan saudara bekerja di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Ini membantu PTS menepati jadual penerbitannya.




  2. Sesi-sesi latihan editing memerlukan saudara membawa komputer saudara sebab editing di PTS adalah on-screen, yakni tidak menggunakan kertas sama sekali. Saudara akan dilatih bagaimana melakukan on-screen editing.




  3. Pegawai PTS akan install software-software yang diperlukan untuk kerja-kerja editing dan layout ke dalam komputer saudara, yakni sebelum saudara dapat dilatih melakukan kerja-kerja editing dengan menggunakan software itu.




Bagi saudara yang belum pernah mengikuti kursus penulisan PTS, saudara tidak akan diambil menjadi editor part-time sebelum saudara ikuti kursus-kursus itu.


Bagi saudara yang sudah mengikuti kursus PTS, ia bukan jaminan saudara layak diambil menjadi editor part-time.


Kita akan nilai kemahiran bahasa saudara, apabila kita puas hati, saudara akan ditawarkan kerja-kerja part-time. Kriteria ketat ini adalah bagi memastikan kualiti editorial buku-buku terbitan PTS sentiasa terjaga.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, October 28, 2005

Editor Kreatif Part-time

Perhatian! Perhatian!


Kita masih memerlukan 2 orang lagi editor part-time untuk projek-projek FORTUNA.


Syarat utama adalah mempunyai bakat kreatif. Adakah saudara pernah menghasilkan karya kreatif, kalau tidak terbit pun tidak mengapa.


Syarat kedua adalah penguasaan tatabahasa yang baik. Hantar contoh karya kepada saya, daripada contoh itu kita tahu taraf penguasaan tatabahasa saudara.


Adakah saudara mempunyai lap-top? Sdr. Boleh beli lap-top secara ansuran. Kita boleh beri maklumat siapa boleh dihubungi untuk urusan ini.


Editor kreatif juga diperlukan oleh PTS ONE yang menerbitkan karya-karya kreatif untuk remaja.


Latihan akan dimulakan selepas cuti raya. Bawa laptop sekali.


Daftar nama dalam kotak surat blog ini.


Bagi mentee-mentee yang berminat, tak payah hantar sample karya lagi, sebab saya sudah tahu bakat saudara.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, October 27, 2005

Ashadi: “Ustazah Fatimah”

Kasihan Alif. Disebabkan dia tidak mahu menurut kemahuan Zamri, pipinya menjadi sasaran penampar si Zamri. Semua orang, pelajar dan guru, kenal siapa Zamri.


“Baru tingkatan empat sudah hendak berlagak samseng,” Adi pernah mendengar seorang guru berkata.


Walaupun demikian, tiada tindakan tegas yang diambil terhadap Zamri, paling teruk pun, dia dihantar berjumpa dengan guru besar.


“Mungkin Cikgu Hasan akan hukum dia,” seorang lagi guru pernah membuat andaian.


Andaian tinggal andaian. Cikgu Hasan selaku guru besar pun tidak menghukum Zamri. Sebabnya? Ayah Zamri merupakan penderma terbesar pada tabung PIBG sekolah.


“Takkan awak semua tidak tahu, pagar sekolah kita yang baru diganti itu pun dibiayai sepenuhnya oleh bapa Zamri,” Cikgu Hasan pernah memberitahu dalam mesyuarat guru-guru. Semua guru sudah bosan dengan kerenah Zamri.


“Biarlah budak itu lingkup. Kalau ditegur, nanti dia mengadu kepada ayahnya. Yang penting, gaji aku jalan,” fikir Cikgu Shamala, salah seorang guru di sekolah itu.


Begitulah juga jalur pemikiran guru-guru yang lain, sudah tidak ‘kuasa’ lagi hendak menasihati Zamri, kecuali Ustazah Fatimah.


Ustazah Fatimah masih lagi menyimpan harapan terhadap Zamri. Dia yakin bahawa Zamri boleh dibentuk.


Pada suatu hari, Ustazah Fatimah seperti biasa masuk ke dalam kelas 4 Sains Kuning untuk mengajar subjek Pendidikan Islam.


“Awak semua pernah dengar tentang konsep wasathiah?” Ustazah Fatimah bertanya.


“Pernah, cikgu. Kami belajar tahun lepas,” jawab salah seorang pelajar 4 Sains Kuning, Amli.


“Jadi, awak semua mesti tahu bahawa kita mesti bersederhana, bukan?” Ustazah Fatimah berjalan ke tengah kelas.


Semua pelajar menganggukkan kepala kecuali Zamri yang sedang tidur... berdengkur pula tu!


“Fairos, tolong kejutkan Zamri,” kata Ustazah Fatimah kepada Fairos yang duduk di sebelah Zamri.


“Mengapa awak kacau saya!” Zamri menepis tangan Fairos.


“Ustazah yang suruh saya kejutkan awak.”


“Kenapa awak tidur dalam kelas saya?” soal Ustazah Fatimah.


Seluruh kelas menantikan jawapan daripada Zamri yang dijangka akan ‘berbau’ kurang ajar.


“Ustazah ni kecohlah! Ikut suka sayalah saya hendak tidurkah, hendak apakah, kenapa awak sibuk!” suara Zamri memenuhi ruang kelas 4 Sains Kuning.


“Apa? Dia panggil Ustazah Fatimah ‘awak’?” Adi terkejut dengan jawapan yang keluar dari mulut Zamri.


Ustazah Fatimah masih cuba berlembut, “Zamri, awak tidak sayang pada ibu bapa awakkah?”


“Ustazah jangan babitkan mak ayah saya!” jawapan Zamri boleh membuatkan sesiapa sahaja naik darah.


“Bukan begitu. Mak dan ayah awak mengharapkan awak menjaga mereka apabila mereka tua nanti. Kalau awak terus bersikap begini, bagaimana awak hendak menjaga mak ayah awak nanti?” nasihat Ustazah Fatimah memang tepat pada masanya.


“Sudahlah! Saya tidak mahu dengar lagi leteran ustazah!” Zamri ingin kembali tidur.


“Kalau awak tidak mahu belajar, tolong keluar dari kelas saya!” Ustazah Fatimah mula berkeras.


“Tidak! Saya tidak akan keluar dari kelas! Siapa ustazah, hendak paksa saya keluar kelas? Sedarlah sedikit, ayah saya yang bayar gaji ustazah!” keceluparan Zamri makin menjadi-jadi.


Ustazah Fatimah terdiam, terkejut, tidak sangka Zamri mengeluarkan kata-kata nista yang sebegitu rupa. Ustazah Fatimah tunduk dan kemudian keluar dari kelas 4 Sains Kuning.


“Padan muka! Dia suruh kita keluar, dia yang keluar dahulu. Sekarang kita tahu siapa yang lagi hebat!” Zamri bermegah.


Seminggu lamanya Ustazah Fatimah tidak masuk mengajar kelas 4 Sains Kuning. Dia kemudiannya diganti oleh Ustaz Mahmud.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Gosip Duit Dunia Buku

Komuniti penerbit-penerbit buku tempatan sekarang sudah sibuk memikirkan bagaimana mereka akan menghadapi pelaksanaan bajet 2005. Ini disebabkan kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi pembelian buku untuk dibekalkan kepada rangkaian perpustakaan awam di seluruh negara tahun depan.


RM30 juta itu akan diuruskan oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Termasuk dalam senarai utama yang akan menerima buku-buku itu adalah rangakaian perpustakaan-perpustakaan desa.


Satu lagi bajet besar untuk pembelian buku adalah perpustakaan sekolah-sekolah menengah dan rendah di seluruh negara juga. Bajet ini diberikan kepada Kementerian Pelajaran, yang akan memberikan peruntukan itu terus kepada sekolah-sekolah bagi melakukan pemilihan buku-buku sendiri. Banyak buku yang dibeli oleh perpustakaan awam juga dibeli oleh perpustakaan sekolah.


Bagi mendapatkan faedah daripada RM30 juta itu, para penerbit mesti bekerja keras tahun ini bagi menghasilkan buku-buku baru yang belum dibeli sebelumnya oleh PNM. Buku-buku yang dibeli pada tahun 2005 tidak akan dibeli pada tahunn 2006.


Ini bermakna, para penulis yang buku mereka terbit tahun ini buku-buku itu berpeluang dibeli oleh PNM pada tahun depan. Buku-buku yang terbit tahun depan dibeli pada tahun 2007.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, October 26, 2005

Teknik Penulisan Kreatif

Bagi peserta yang mengikuti bengkel penulisan kreatif PTS pada 23 Oktober lalu, sesudah saya membaca contoh-contoh kad yang dihantar, ada 2 perkara yang saya perhatikan:

1. Kebanyakan peserta sudah pandai menggunakan dialog sebagai alat menyampaikan cerita. Pada waktu yang sama, berlaku terlalu banyak dialog sehingga dialog yang tidak penting bagi perkembangan cerita pun dimasukkan juga. Apabila ini berlaku, cerita bergerak perlahan dan proses membaca jadi membosankan.

2. Terlalu banyak dialog sehingga lupa untuk menerangkan tingkah laku watak sewaktu mengucapkan dialog. Ini menyebabkan cerita hampir-hampir menjadi skrip drama! Penerangan tingkah laku yang mengiringi dialog adalah amat penting disebabkan tingkah laku itu menjadi bukti kepada emosi yang dialami oleh watak sewaktu dia bercakap.

Ingatlah bahawa 24% teks dalam surah Yusuf adalah ayat-ayat penerangan.

Tidak cukup hanya dengan menulis apa yang dikatakan oleh watak. Terangkan apa yang dilakukan oleh watak itu sewaktu dia berkata-kata, baru watak menjadi hidup, seolah-olah pembaca dapat melihat watak itu di depan matanya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, October 25, 2005

Mas Hasifah: “Cikgu Zuki”



“Murid-murid, kita perlu bertolak sekarang. Sila letak beg masing-masing di dalam bonet kereta saya,” Cikgu Zuki memberi arahan.

“Kamu semua sudah makan?” tanya Cikgu Zuki.

“Sudah,” jawab mereka serentak.


Bala, Kumar, Arun dan Suresh adalah murid tahun 5 yang mewakili sekolah mereka dalam pertandingan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah. Mereka mengambil bahagian dalam acara balapan 100 meter dan 200 meter.


Di padang, masing-masing sudah bersedia untuk memulakan larian. Bala dan Kumar yang menyertai acara larian 100 meter sudah bersedia di garisan permulaan.


“Satu! Dua!!” dengan kuat pegawai pelepas mengira sebelum membuat tembakan ke udara.


“BANG!”


Semua peserta berlari dengan pantas untuk sampai di garisan penamat.


Selepas selesai menamatkan larian, Bala dan Kumar pergi bertemu Cikgu Zuki.


“Tahniah, Bala. Awak mengharumkan nama sekolah,” kata Cikgu Zuki.


“Kumar, awak jangan bersedih. Tahun hadapan awak boleh mencuba lagi,” kata Cikgu Zuki kepada Kumar pula. Kumar hanya menganggukkan kepala.


“Kumar, mengapa seluar awak basah?” tanya Cikgu Zuki apabila terpandang seluar Kumar yang basah.


“Sa… sa… saya terkencing,” jawab Kumar tergagap-gagap. “Saya terkencing sewaktu berlari tadi. Maafkan saya,” sambungnya lagi.


Cikgu Zuki hanya menggeleng-gelengkan kepala.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, October 24, 2005

Mengapa Harus Tulis Cerita?

Cerita-cerita adalah evergreen, ertinya satu kali saudara tulis, buku-buku cerita mempunyai potensi diulang cetak berkali-kali selama bertahun-tahun.


Sebagai pelaburan, cerita-cerita mempunyai nilai masa depan yang tinggi. Sebagai contoh, siri cerita 5 sahabat karangan Enid Blyton sudah 35 tahun diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, dan sehingga hari ini siri itu masih diulang cetak.


Sesetengah siri cerita klasik masih terus menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia walaupun ia sudah berusia ratusan tahun. Siri cerita-cerita perjalanan Sinbad, Aladin dengan lampu ajaibnya, dan Seribu satu Malam adalah contoh yang nyata, di samping cerita-cerita karya Hans Christian Anderson yang tahun 2004 genap 100 tahun usianya.


Cerita-cerita juga dapat diterbitkan semula dalam bentuk komik, animasi dan filem, dengan itu cerita-cerita dapat mempelbagaikan sumber royalti bagi pengarang.


Buku-buku cerita juga dapat diekspot dalam bentuk terjemahannya ke dalam pasaran negara-negara lain. Sebagai contoh, Korea dan Taiwan amat aktif menterjemahkan buku-buku cerita daripada Jepun.


Cerita-cerita yang evergreen dan berpotensi dapat diekspot mempunyai ciri-cirinya sendiri. (Kita akan bincangkan perkara ini dalam siri kursus dan bengkel penulisan kreatif selepas hari raya.)


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, October 23, 2005

Nabilah: Petikan dari Buku “Taman Orang Baik-Baik” karya Imam Nawawi

Inilah contoh teks agama yang ditulis semula oleh peserta bengkel agama ISLAMICA yang baru lepas.


19.2 Abu Aswad melaporkan, katanya, “Pada satu ketika saya datang ke kota Madinah. Waktu itu Madinah diserang wabak penyakit. Semasa saya duduk bersama Khalifah Umar bin Khattab, satu jenazah dibawa melalui orang ramai. Mereka memuji-muji jenazah itu.


Umar pun berkata, “Sudah pasti.”


Kemudian jenazah lain pula dibawa. Orang ramai memuji-muji lagi jenazah yang kedua itu.


Umar berkata lagi, “Sudah pasti.”


Selepas itu ada jenazah yang ketiga dibawa melalui mereka. Orang ramai menyebut-nyebut tentang kejahatannya.


Umar berkata, “Sudah pasti.”


Saya pun bertanya kepada Khalifah Umar, ‘Wahai ketua orang-orang yang beriman. Apa maknanya sudah pasti?’


Umar menjawab, ‘Saya sebut apa yang disebut oleh Nabi Muhammad iaitu, ‘Setiap orang Islam yang diakui oleh empat orang bahawa dia adalah orang yang baik, Allah akan masukkan dia ke dalam syurga.’


Umar berkata lagi, ‘Kami sahabat-sahabat beliau pun bertanya kepada beliau, ‘Bagaimana kalau diakui oleh tiga orang sahaja?’


Nabi menjawab, ‘Tiga orang pun begitu juga.’


Kami terus bertanya, ‘Kalau dua orang sahaja?’


Nabi menjawab, ‘Dua orang pun begitu juga.’


Kata Khalifah Umar lagi, ‘Selepas itu kami tidak bertanya lagi bagaimana jika seorang sahaja yang mengakuinya.”


Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, October 22, 2005

Hukum Menulis Cerita Rakyat

Apa itu cerita-cerita rakyat?


Cerita-cerita rakyat adalah cerita-cerita yang kita warisi turun-temurun daripada datuk nenek kita. Semua bangsa mempunyai cerita rakyat masing-masing.


Walaupun pada asalnya cerita rakyat diwariskan dari mulut ke mulut, tetapi banyak cerita rakyat kini sudah dibukukan. Cerita rakyat seperti Si Luncai, Lebai Malang, Pak Pandir, Si Tanggang adalah cerita-cerita rakyat yang menjadi popular kerana dibukukan.


Sesetengah cerita rakyat adalah panjang dan plotnya kompleks, oleh itu dinamakan 'hikayat', seperti Hikayat Malim Deman, Hikayat Panji Semerang dan lain-lain lagi.


Sesetengah cerita rakyat sudah dicipta semenjak pengarang Melayu masih 'jakun' yakni sebelum datuk nenek kita masuk agama Hindu ataupun Islam, umpamanya cerita Si Tanggang. Namun, walaupun kita sekarang sudah Islam, tetapi cerita itu kekal tidak 'diislamkan' sehingga hari ini.


Unsur kejakunan yang paling nyata dalam cerita Si Tanggang adalah perbuatan ibu Si Tanggang yang menyumpah anaknya menjadi batu.


Dalam cerita-cerita rakyat yang panjang-panjang, terdapat unsur dewa-dewa dan pelbagai unsur khurafat. Seperti cerita Si Tanggang yang kekal tidak diislamkan sehingga hari ini, demikian juga halnya dengan cerita-cerita hikayat itu.


Jadi, kita lihat dalam cerita-cerita itu semua tidak ada perbuatan mengucapkan salam, berdoa, bersembahyang, berpuasa, bertaubat dan seumpamanya dilakukan oleh watak-watak dalam cerita-cerita itu.


Apabila kita masuk ke dalam bilik perpustakaan sekolah-sekolah rendah negara kita, hampir 50 peratus buku yang terdapat di dalamnya adalah buku-buku cerita. Buku-buku cerita rakyat, baik cerita tempatan mahupun cerita rakyat yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris, merupakan sekitar 70% daripada kesemua buku-buku cerita itu.


Buku-buku cerita rakyat itu popular di kalangan murid-murid sekolah rendah. Akibatnya, tidak ada kanak-kanak perempuan yang tidak kenal cerita-cerita Sang Kancil ataupun Cinderela.


Sebagai penulis Islami, apakah kita dibolehkan mencipta dan mengarang buku-buku cerita rakyat? Kita akan bincangkan isu ini dalam bengkel penulisan PTS yang bakal diadakan slepasa cuti raya nanti.


Bagi saudara yang berminat, sila mendaftar dalam kotak surat blog ini.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, October 21, 2005

Aminah: “Cikgu Din”


“Kamu semua ingin berkongsi kegembiraan saya pada hari ini? Hari ini saya mahu senyum sehingga habis masa saya dalam kelas ini,” kata Cikgu Din sebaik sahaja dia masuk ke Tingkatan 1 Malinja.


“Maafkan saya, Selamat Petang, semua!” kata Cikgu Din masih tersenyum


“Selamat petang, cikgu.”


“Apabila saya panggil, sila ke depan dan ambil kertas kamu,” Cikgu Din memberi arahan.


“Tahniah kerana berjaya mendapatkan keputusan yang begitu buruk! Tolong beri kepada saya satu alasan mengapa kamu gagal,” sambung Cikgu Din.


Kelas serta-mert sunyi sepi. Cikgu Din terus tersenyum.


“Berdiri di sisi meja kamu. Pelajar perempuan di sebelah kanan. Pelajar lelaki di sebelah kiri,” katanya.


“Pelajar perempuan bergerak ke belakang kelas! Pelajar lelaki ke hadapan kelas!” kata Cikgu Din lagi, sambil terus tersenyum.


“Saya mahu awak ingat saya sampai bila-bila. Saya juga mahu awak lulus sampai bila-bila. Ingat!” sambung Cikgu Din.


“Cikgu mahu rotan kamikah?” tanya Akma.


“Tidaklah, saya tidak mahu tangan saya sakit. Nanti saya tidak boleh menulis, semua orang akan susah,” kata Cikgu Din. Dia terus senyum.


“Kira berapa jumlah kesalahan kamu, kemudian kamu darab dengan sepuluh. Selepas itu cari pasangan masing-masing. Saya beri kamu 1 minit dari sekarang!” Cikgu Din memberi arahan.


“Ingat! Jika kamu salah mengira, kamu akan dikenakan denda yang lain. Kita mulakan sekarang,” kata Cikgu Din lagi.


“Kamu semua lihat ke arah padang. Adakah kamu kasihan dengan Pakcik tukang kebun itu?” tanya Cikgu Din.


“Kasihan, cikgu. Mesin pemotong rumput itu berat,” kedengaran satu suara menyahut.


“Bagus! Kamu memang budak baik. Mari kita bantu Pakcik itu,” kata Cikgu Din. “Beratur seorang demi seorang. Kita bergerak ke padang!” arah Cikgu Din.


Cikgu Din kemudian meminta Pakcik tukang kebun itu berehat di tepi padang.


“Kamu semua masih ingat jumlah kiraan kamu tadi?”


“Ingat!”


“Setiap orang petik daun rumput dan susun. Satu susunan sepuluh helai sehingga cukup jumlah kiraan kamu. Ingat, jika kamu silap, jumlah itu akan menjadi dua kali ganda,” kata Cikgu Din.


Murid-murid Tingkatan 1 Malinja segera mencabut daun rumput di padang sepanjang pagi itu. Cikgu Din terus tersenyum.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Lagi-lagi Nasib Penulis

Seorang penulis novel berasa amat seronok dengan sikap penerbitnya yang dianggapnya sangat baik hati dan bertimbang rasa.


“Awak tulis sahaja. Mana-mana bab yang sudah siap, bolehlah serahkan kepada saya, nanti saya terus bayar, tak payah tunggu lama-lama,” janji penerbit itu kepadanya.


Setiap kali si penulis menghantarkan bab-bab novel cintanya kepada penerbit itu, si penerbit segera membayar RM100 ataupun RM200, terpulang kepada jumlah bab yang diserahkan. Ada masanya dia menerima RM500.


Apabila akhirnya dia mendapat tahu novelnya sudah terbit, didapati namanya tidak tercetak pada novel itu. Yang dicetak adalah nama penulis lain! Maka berguling-guling dia menangis....


Apakan daya, si penulis main percaya sahaja kepada penerbit itu. Tidak ada sebarang dokumen yang membuktikan adanya sebarang persetujuan antara dia dengan penerbitnya.


Cerita seperti ini sentiasa berlaku antara penulis baru (baca 'penulis kecil') dengan penerbit kecil (baca 'penerbit tidak terkenal').


Salah satu tingkah laku penerbit kecil yang menyebabkan mereka tidak dapat membangun menjadi penerbit besar adalah, lazimnya mereka melakukan pelbagai perbuatan tidak beretika terhadap penulis. Akibatnya nama mereka menjadi busuk, dan mereka tidak dapat mengekalkan kesetiaan penulis-penulis yang pernah menerbitkan karya dengan mereka.


Salah satu tingkah laku penulis yang tidak puas hati terhadap penerbit mereka adalah, mereka itu bercakap dengan penulis-penulis lain berkenaan penerbit yang menipu mereka.


Dalam suatu kajian di Jepun, didapati seseorang yang tidak puas hati bercakap kepada 29 orang lain. Itu di Jepun, barangkali di Malaysia, lebih lagi!


Apabila saudara mahu menjadi penerbit berjaya, jaga etika perniagaan saudara sebagaimana saudara menjaga nyawa saudara.


Apabila saudara mahu menjadi penulis yang berjaya, jaga-jaga semasa memilih penerbit, sebagaimana saudara memilih bakal pasangan hidup saudara.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, October 20, 2005

PTS FORTUNA: Ciri-ciri Wajib pada Novel Islami

Kita banyak menerima manuskrip daripada penulis-penulis novel tetapi selepas dibaca didapati tidak dapat diterima. Manuskrip-manuskrip itu dihantar oleh mereka yang belum pernah mengikuti kursus penulisan PTS.


Untuk maklumat saudara yang belum pernah hadir dalam kursus penulisan kreatif PTS, berikut adalah kriteria yang menyebabkan manuskrip novel ditolak:





  1. Watak utama novel itu bukan watak ideal menurut pandangan Islam, umpamanya watak itu seorang yang pendendam, ataupun watak itu mempunyai nilai-nilai yang tidak selaras dengan Islam, umpamanya watak itu tidak taat kepada suami.




  2. Cerita utama dalam novel itu bukan berdasarkan kisah sebenar, tetapi direka-reka semata-mata berdasarkan khayalan penulis. Umpamanya penulis tidak pernah kenal mana-mana penyanyi kelab malam tetapi cerita itu adalah berkenaan kehidupan seorang penyanyi kelab malam yang akhirnya bertaubat. Ataupun cerita itu berdasarkan kisah pasangan kahwin campur sedangkan penulis tidak pernah pengalaman ataupun melakukan penyelidikan ataupun kajian berkenaan gaya hidup pasangan kahwin campur.




  3. Dalam novel itu terdapat babak-babak pergaulan asmara lelaki perempuan yang tidak dibenarkan dalam Islam, sebagai contoh babak di mana pasangan bertunang yang berpegang-pegang tangan ataupun pasangan kekasih bersiar-siar bersama.




Tiga kriteria di atas adalah ujian asid bagi menilai manuskrip yang diterima. Ertinya, jika didapati ada salah satu unsur itu, maka manuskrip itu ditolak.


Ini bukan bermakna kita tidak mencari kisah-kisah cinta. Kita mencari kisah-kisah cinta yang ditulis dengan menggunakan tekni-teknik penulisan Islami. Inilah sebabnya saudara wajib hadir kursus penulisan PTS sebelum saudara menuliskan novel saudara.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Siti Norida: “Cikgu Kalsom”


“Syyy! Cikgu datang! Cikgu datang!” suara ketua kelas memberi amaran.

Semua pelajar meluru ke tempat duduk masing-masing. Tiada suara yang kedengaran lagi.



“Berdiri kelas, Assalamualaikum Puan Kalsom,” suara Amran ketua kelas 4 Tekun lantang kedengaran. Kemudian diikuti oleh rakan sekelasnya.



“Walaikum salam,” jawab Cikgu Kalsom ringkas.



Seperti biasa setiap kali masuk ke kelas Cikgu Kalsom memastikan kelas tersusun rapi dan tiada sampah bertaburan.



“Yam, cuba kamu tengok baju Puan Kalsom, saya rasa macam ada yang tidak kena sahaja,” Rosmah mencuit bahu kawan di sebelahnya, Mariam.



“Eh! Betullah, saya rasa pun macam itu juga,” jawab Mariam.



Puan Kalsom menghadap ke papan hitam sambil menulis tajuk karangan hari itu. Telinganya masih kedengaran beberapa suara di belakang. Suara itu hilang bila beliau memalingkan mukanya ke belakang. Bukan Rosmah dan Mariam sahaja yang perasan perkara itu, ada beberapa pelajar lain juga. Terutamanya pelajar perempuan.



“Rosmah, mengapa kamu tersenyum-senyum?” sergah Cikgu Klasom.



“Tidak… tidak ada apa-apa, cikgu,” jawab Rosmah agak gugup.



“Apa yang tidak kena agaknya, hari ini lain macam betul budak-budak ini,” bisik hati kecil Cikgu Kalsom. Berkerut dahi Cikgu Kalsom berfikir.



“Semua berdiri!” kata Cikgu Kalsum dengan suara yang agak tinggi.



Pelajar-pelajar lelaki saling pandang memandang antara satu sama lain. Hakim, Idris dan Hisyam terpinga-pinga tidak tahu apa-apa.



“Mengapa awak tersengih-sengih?” Cikgu Kalsom mendekati Nabila.



Nabila tidak bersuara. Lidahnya agak kelu untuk berkata-kata. Cikgu Kalsom terus mendesak. Nabila terpaksa cakap walaupun dia takut, dia tidak suka Cikgu Kalsom memaksanya begitu.



“Itu! Itu! Baju!...” jawab Nabila dengan suara yang agak perlahan, jarinya menuding ke arah baju Cikgu Kalsom.



“Mengapa dengan baju aku?” bisik hati kecil Cikgu Kalsom.



Cikgu Kalsom tunduk memerhatikan baju yang dipakainya. Baju batik lukis kurung Johor yang dipakainya terlupa hendak diterbalikkan. Pelajar-pelajar melindung senyuman mereka dengan menutup mulut.



Merah padam muka Cikgu Kalsom.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, October 15, 2005

Satu Pokok Getah

Satu pokok getah tidak jadi satu estet. Itu adalah pepatah Tamil. Makna pepatah ini adalah, barang berharga tidak dapat menghasilkan kekayaan jikalau jumlahnya sedikit.


Sebagai pengarang, saudara tidak dapat hidup selesa jikalau saudara hanya mempunyai satu ataupun dua karya yang baik. Saudara perlu menghasilkan banyak karya.


Cuba saudara berfikir begini: Sebuah buku menghasilkan RM5 ribu royalti setahun. Ini bermakna untuk mendapat RM100 ribu royalti setahun, saudara perlu mempunyai 20 buah karya.


Jika saudara menulis 2 buah buku setahun, dalam masa 10 tahun baru saudara mempunyai 20 buah buku.


Tulis buku-buku evergreen. Royalti saudara dapat meningkat: Tahun 1 tulis 2 buku (royalti RM10k), Tahun 2 tulis 2 buku lagi, jadi saudara ada 4 buku (royalti RM20k), Tahun 3 – 6 buku (royalti RM30k), Tahun 4 – 8 buku (royalti RM40k) dan begitulah seterusnya.


Bagi mengetahui jenis-jenis buku yang dapat menjadi evergreen dalam pasaran, saudara perlu menghadiri kursus PTS di mana dalam kursus itu saudara akan diberi maklumat tentang industri dan pasaran buku di negara ini.


Saudara juga akan dilatih bagaimana cara menulis 2 ataupun 3 buku setahun. Lagipun, jika saudara berminat menerbitkan karya saudara dengan PTS, saudara diwajibkan menghadiri kursus PTS.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Lama Wajah Lama

Salah satu perkembangan terbaru dalam dunia perbukuan di Indonesia adalah penerbitan semula karya-karya klasik moden dan sambutan hangat yang diterima oleh karya-karya itu.


Karya "Salah Asuhan" oleh Abdoel Muis, "Siti Norbaya" oleh Marah Roesli, "Tenggelamnya Kapal Van der Wjick" oleh Hamka, "Layar Terkembang" oleh Sutan Takdir Alisjahbana, "Kerikil Tadjam" oleh Chairil Anwar dan lain-lain semuanya tiba-tiba muncul semula sebiji-sebiji macam rupa asal kali pertama karya-karya itu diterbitkan dahulu. Semuanya terjual laris.


Memang para penerbit di Indonesia lebih kreatif berbanding kita kita di sini dalam banyak hal, dan banyak perkara dapat dipelajari daripada mereka.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, October 14, 2005

Razali Samad: “Cikgu Sharif”

“Apa kamu berdua buat di sini?” sergah Cikgu Sharif.


Kepala Hassan dan Hasnah terpaling ke kiri dan mata masing-masing memandang ke arah orang yang menyergah mereka.


“Ohh…. Cikgu!” Hassan dan Hasnah serentak bersuara.


“Sudah lama saya perhatikan kamu berdua,” sambung Cikgu Sharif. “Semasa rehat, kamu selalu menuju ke rimbunan pokok pisang di hujung padang ini,” kata Cikgu Sharif sambil memandang Hassan dan Hasnah. “Mengapa kamu berdua makan dicelah-celah pokok pisang ini?” tanya Cikgu Sharif. “Mengapa kamu berdua tidak makan di kantin?” tanya Cikgu Sharif lagi tanpa menunggu jawapan daripada Hassan dan Hasnah.


“Kami…. Kami…,” kata Hassan dan Hasnah serentak tanpa dirancang.


“Apa yang kamu makan?” Cikgu Sharif terus mendesak.


“Beri saya lihat,” tambah Cikgu Sharif sambil tangannya mencapai bungkusan daun pisang di hadapan Hassan dan Hasnah.


“Jangan, cikgu! Nanti emak marah,” Hassan terus bersuara.


“Apa makanan yang kamu bungkus dalam daun pisang ini?” suara Cikgu Sharif terus meninggi.


“Jangan! Jangan!” jerit Hassan dan Hasnah serentak sambil tangan mereka menekap makanan berbungkus daun pisang.


“Alihkan tangan kamu,” arah Cikgu Sharif.


“Tolonglah, cikgu. Nanti emak saya marah,” suara Hassan terketar-ketar. Air matanya mula bergenangan.


“Kalau kamu berdua tidak benarkan saya tengok, saya bawa kamu berdua jumpa guru besar,” gertak Cikgu Sharif


Mendengar ugutan itu, tengan Hassan dan Hasnah terlerai daripada menekap bungkusan makanan daun pisang.


“Apa ini?” suara Cikgu Sharif agak terkejut apabila membuka bungkusan daun pisang di hadapan Hassan dan Hasnah. “Ini makanan jenis apa?” Soal Cikgu Sharif.


“Em.. Emak bekalkan kami nasi putih sahaja, kemudian kami campurkan dengan minyak masak dan garam, cikgu,” kata Hassan.


Hasnah masih tunduk malu.


“Kamu makan makanan begini setiap harikah?” tanya Cikgu Sharif lagi.


“Itu sahaja yang emak kami mampu bekalkan,” Hasnah mula bersuara.


“Kami berdua makan jauh-jauh di celah pokok pisang ini kerana kami malu rakan-rakan kami nampak makanan yang kami bawa,” kata Hasnah sambil tersedu.


“Kami malu makan di kantin, sebab itu kami tidak pernah membeli makanan di kantin. Kami pun hanya meminum air paip di tandas,” sambung Hassan.


“Petang ini cikgu akan ke rumah kamu, beritahu ibu bapa kamu,” pesan Cikgu Sharif.


“Jangan, cikgu. Cikgu jangan datang ke rumah saya, nanti ayah saya marah dan akan memukul saya,” kata Hassan sambil menangis.


“Ayah saya berpesan, saya tidak boleh meminta pertolongan orang lain walaupun kami sangat susah,” sambung Hassan.


“Kamu berdua jangan risau, nanti cikgu uruskannya,” tegas Cikgu Sharif.


Petang itu Cikgu Sharif ke rumah Hassan dan Hasnah dengan membawa pelbagai keperluan dapur dan persekolahan.


“Terima kasih, cikgu. Inilah kali pertama kami dapat memakai kasut dan pakaian sekolah yang baru,” kata Hassan.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, October 11, 2005

Teks Agama: Isu Budaya


Para pelajar teori terjemahan belajar tentang (a) teori terjemahan linguistik dan (b) teori terjemahan budaya.


Pakar-pakar teori terjemahan di Barat mengatakan terjemahan budaya tidak boleh dilakukan. Sebagai contoh seseorang itu melakukan terjemahan budaya apabila ayat "They held a party to celebrate their victory." menjadi "Mereka mengadakan kenduri bagi meraikan kemenangan mereka." Mereka sudah mengemukakan teknik-teknik memindahkan unsur budaya ke dalam bahasa sasaran. Adakah teknik-teknik yang mereka cipta itu dapat digunakan bagi menterjemahkan teks agama Islam?


Teks-teks tentang agama Islam terdiri daripada 5 kategori:


1. Teks Quran

2. Teks hadith

3. Teks yang diucapkan oleh sahabat-sahabat Nabi Muhammad, yang lazimnya mengiringi teks hadith.

5. Teks yang diucapkan oleh perawi hadith.

4. Teks yang ditulis oleh pengarang kitab-kitab agama.


Teks agama tidak terlepas daripada mengandungi banyak unsur-unsur budaya. Teks Quran, hadith dan tulisan pengarang kitab-kitab agama mengandungi unsur budaya yang banyak. Bagaimanakah caranya menterjemahkan unsur-unsur budaya yang terdapat dalam teks Arab ke dalam bahasa Melayu?


Isu unsur budaya muncul dalam teori terjemahan Barat disebabkan pengalaman mereka cuba menterjemahkan Bible ke dalam bahasa-bahasa dunia. Perlu disebut di sini para pelopor teori terjemahan moden sebagaimana yang diketahui hari ini adalah para mubaligh Kristian.


(Kita akan membincangkan isu ini apabila saya pulang dari bertugas outstation.)



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, October 10, 2005

Bahasa Moden untuk Teks agama

Hadith ke-2 dalam Koleksi Hadith 40 Imam Nawawi



Khalifah Umar bin Khatab melaporkan, katanya, “Pada suatu hari semasa kami sedang duduk dengan Nabi Muhammad, tiba-tiba muncul seorang lelaki yang memakai pakaian sangat putih bersih dan rambutnya hitam berkilat. Tidak ada tanda-tanda dia baru datang dari jauh. Tidak seorang pun antara kami yang mengenali siapa orang itu.


Lelaki itu datang lalu duduk betul-betul di depan Nabi Muhammad, sehingga kedua-dua buku lalinya bersentuhan dengan buku lali beliau.


Kemudian lelaki itu meletakkan kedua-dua belah tapak tangannya di atas paha Nabi Muhammad, lalu dia bertanya, 'Terangkan apa itu Islam?'


Jawab Nabi Muhammad, 'Islam adalah kita mengakui bahawa tiada tuhan lain kecuali Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah, kita bersembahyang, kita membayar zakat, kita berpuasa sepanjang bulan Ramadhan, dan kita naik haji apabila mampu.'


'Betul,' kata lelaki itu.



Kami semua berasa hairan, bagaimana pula dia yang bertanya kemudian dia pula yang mengatakan jawapan itu betul.


Kemudian lelaki itu bertanya lagi, 'Terangkan apa itu iman?'


Jawab Nabi Muhammad, 'Kita percaya kepada Allah, kita percaya kepada malaikat-malaikatnya, kita percaya kepada kitab-kitab suci yang diterima oleh para pesuruh Allah, kita percaya adanya alam akhirat, dan kita percaya kepada takdir Allah, sama ada yang baik mahupun yang buruk.'


'Betul,' kata lelaki itu.


Kemudian dia bertanya lagi, 'Terangkan apa itu ihsan?'


Jawab Nabi Muhammad, 'Kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu nampak dia, dan apabila kamu tidak nampak dia, kamu yakin dia nampak kamu.'


Kemudian lelaki itu bertanya lagi, 'Terangkan bilakah kiamat akan terjadi?'


Nabi Muhammad menjawab, 'Yang ditanya dan yang bertanya sama-sama tidak tahu.'


Kemudian lelaki itu bertanya lagi, 'Terangkan apa tanda-tanda dunia akan kiamat?'


Jawab Nabi Muhammad, 'Apabila perempuan-perempuan hamba melahirkan majikan mereka sendiri, apabila orang-orang yang tidak berkasut, orang-orang yang telanjang, orang-orang miskin dan para penternak kambing sudah berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi-tinggi.'


Selepas mendengar jawapan Nabi Muhammad itu, lelaki tersebut pun pergi.


Saya terdiam beberapa waktu sehingga Nabi Muhammad berkata, 'Umar, tahukah saudara siapa lelaki itu tadi?'


Saya menjawab, 'Allah dan Pesuruhnya yang lebih tahu.'


Kata Nabi Muhammad, 'Lelaki itu tadi adalah malaikat Jibril. Dia datang bagi menerangkan kepada saudara-saudara sekalian tentang agama saudara-saudara.'”


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Apa Itu Certot?

Certot berasal daripada gabungan dua perkataan CERITA dan KONTOT, sebagaimana 'cerpen' adalah gabungan CERITA dan PENDEK. Istilah certot mula-mula dicipta dan digunakan oleh Hishamuddin Rais.


Pada masa ini buku-buku antologi cerpen sudah tidak laku lagi dalam pasaran. Itulah sebabnya penerbit swasta tidak berminat menerbitkan antologi cerpen, tinggal DBP sahaja yang diharapkan dapat terus berjuang mempertahankan cerpen.


Walaupun cerpen masih diterbitkan, tetapi trend penerbitan cerpen dalam akhbar mingguan dan majalah menunjukkan suatu fenomena yang merisaukan para sasterawan, di mana cerpen-cerpen itu semakin hari semakin pendek! Trend ini tidak sihat untuk karya sastera genre cerpen.


Pada suatu masa dahulu, cerpen yang disiarkan oleh akhbar lebih panjang daripada satu halaman. Sekarang cerpen cukup-cukup satu halaman sahaja. Bersama dengan trend cerpen pendek ini adalah trend turunnya mutu cerpen-cerpen itu.


Sekarang sudah muncul trend baru menggantikan trend membaca cerpen, iaitu trend membaca certot yang betul-betul kontot. Pembaca mulai menerima certot-certot yang baik sekali, meskipun antologi itu dijual dengan harga yang komparitif tinggi.


Certot yang digemari ditulis antara 100 perkataan hingga 500 perkataan sahaja.


Nah! Timbul keperluan bagi mencari penulis-penulis yang memiliki suatu seni baru yang sedang laku sekarang, yakni seni menulis certot.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, October 09, 2005

Halilah: “Cikgu Yusof”

“Tiada seorang pun yang dapat menjawab soalan ini!” jerkah Cikgu Yusof.


Murid-murid di Tahun 4 Usaha yang terletak di tingkat dua itu, semuanya menundukkan muka masing-masing.


“Semua berdiri di atas kerusi!” jerkah Cikgu Yusof lagi.


Murid-murid itu semuanya menurut. Seorang demi seorang naik ke atas kerusi.


“Siapa yang dapat jawab soalan seterusnya, barulah boleh duduk,” kata Cikgu Yusof sambil menulis soalan lain yang lebih mudah di papan hitam.


Abu Samah mengangkat tangan. Dia mara ke hadapan untuk menyelesaikan soalan matematik itu. Cikgu Yusof sedia memerhati jawapan yang ditulis oleh Abu Samah.


“Betul. Kamu boleh duduk,” kata Cikgu Yusof kepada Abu Samah.


Dengan dada yang sengaja dikembangkan, Abu Samah duduk di tempatnya. Sengaja dia mendongak memandang teman-temannya yang masih berdiri, sambil mempamerkan giginya yang tidak cukup sebatang.


“Siapa pula yang boleh selesaikan soalan ini?” Cikgu Yusof bersuara sambil menulis beberapa soalan lain.


Kali ini Rashidah, Asiah, Alif dan Adam pula yang mengangkat tangan. Seorang demi seorang berjaya menyelesaikan soalan-soalan yang ditulis di papan hitam


Lama-kelamaan, hanya tinggal Sarip seorang sahaja yang masih berdiri di atas kerusi. Terkebil-kebil matanya memandang ke kiri dan ke kanan. Teman-teman yang lain semuanya tersengih-sengih memandangnya.


“Sarip!” Cikgu Yusof sengaja menjerkah Sarip yang sedang mengelamun walaupun sedang berdiri di atas kerusi.


Sarip, murid ‘teristimewa’ di kelas itu. Di kala usianya menjangkau sepuluh tahun pun, Sarip masih belum dapat menghafal ABC. Inikan pula hendak membaca....


“Kalau kamu tidak dapat menyelesaikan soalan ini, terjun bangunan sahajalah!” jerkah Cikgu Yusof.


Sarip cuma tersengih-sengih. Dia memang biasa dijerkah begitu. Tiada satu hari pun yang mengecualikannya daripada tidak dijerkah oleh Cikgu Yusof.


“Selesaikan soalan ini!” laung Cikgu Yusof walaupun Sarip berada hanya beberapa inci sahaja di hadapannya.


Sarip mara ke hadapan. Selpas beberapa lama, dia masih juga terkial-kial di hadapan papan hitam. Soalan tiga perpuluhan kosong-kosong darab kosong, terlalu sukar dirasakannya. Soalan itu memang khas untuk Sarip.


“Soalan begini pun kamu tidak dapat jawab!” jerkah Cikgu Yusof sekali lagi. Sarip cuma tersengih-sengih seperti selalu.


“Pergi keluar! Terjun ke bawah!” sekali lagi Cikgu Yusof menjerkah.


Air mata Sarip tiba-tiba sahaja bergenang.


“Terjun bangunan lagi bagus!” tengking Cikgu Yusof lagi. Sebenarnya, bukanlah niatnya hendak menyuruh Sarip terjun bangunan. Cikgu Yusof sekadar menggertaknya sahaja.


Tanpa diduga, Sarip meluru keluar sambil membawa bersama kerusinya. Cikgu Yusof terpaku seketika melihat perlakuan Sarip. Murid-murid lain juga begitu.


Sarip menangis teresak-esak sambil berusaha memanjat tembok. Dia benar-benar hendak terjun!


“Sarip! Sarip! Jangan terjun!” Cikgu Yusof meluru keluar mendapatkan Sarip.


“Sarip hendak bunuh diri! Sarip hendak bunuh diri!” Kelas Tahun 4 Usaha gempar.


“Jangan terjun, Sarip!” Cikgu Yusof menarik tangan Sarip yang masih berpaut pada tembok.


“Saya mahu terjun juga,” kata Sarip sambil teresak-esak. Barangkali dia kesal kerana dilahirkan dengan otak yang bebal. Barangkali benar juga kata-kata Cikgu Yusof, lebih baik dia terjun bangunan sahaja.


“Janganlah, Sarip...,” pujuk Cikgu Yusof. Dia tidak lagi menengking Sarip seperti sebelumnya.


“Sudah... sudah... mari masuk,” Cikgu Yusof menarik tangan Sarip masuk ke dalam kelas. Sarip kembali duduk di tempatnya. Cikgu Yusof menurut dada sambil menarik nafas kelegaan.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Teori Penghasilan Novel Islami yang Indah

Artikel ini diulangsiar disebabkan yang original terbuang gara-gara hendak membuang spam honar.


Apabila saudara menulis novel Islami, berikut adalah formula bagi menghasilkan kisah yang indah. Ciri-ciri keindahan pada Kisah Yusuf adalah seperti berikut:




  1. Jalan cerita Nabi Yusuf adalah panjang. Tempoh waktu kisah Nabi Yusuf adalah semenjak dia masih kecil sehingga dia dewasa, iaitu sehingga dia menjadi menteri di Mesir. Cuba lihat tempoh kisah Hang Tuah, ia serupa dengan ciri kepanjangan kisah Nabi Yusuf.




  2. Watak utama dalam surah Yusuf adalah manusia yang ideal. Nabi Yusuf amat tampan dan baik. Bandingkan ini dengan Hang Tuah, manusia Melayu ideal bagi zamannya, dan dengan Superman yang juga watak ideal. Berdasarkan surah Yusuf sebagai model kisah indah yang dianjurkan dalam Islam, ini bermakna dalam novel Islami, orang jahat, seperti perompak, penjudi, pemabuk, pelacur, isteri nusyuz, lelaki dayus, penzina, ateis, pemimpin zalim, pembunuh diri, hipokrit, anak derhaka, pemalas, orang jahil, dan yang seumpama itu, termasuk simbol-simbol jahat seperti 'shit' tidak boleh dijadikan watak utama. Mereka hanya boleh dijadikan watak-watak pembantu yang berfungsi sebagai antitesis kepada watak utama.




  3. Bahasa yang digunakan adalah bahasa Tinggi, meskipun bagi dialog anak bayi. Seluruh surah Yusuf adalah dalam bahasa Arab Tinggi. Hikayat Hang Tuah menggunakan bahasa standard seluruhnya. Juga menarik adalah filem-filem tahun 60an yang menggunakan bahasa standard. Penggunaan bahasa standard dalam dialog mencipta kesan surrealisme. Afiks 'sur' dalam bahasa Perancis bermakna 'lebih tinggi dari yang real'. Daripada sudut ini, novel Islami tidak dapat dikategorikan sebagai tergolong dalam aliran 'realisme'. (Kita akan bincangkan aspek teoretis ini dalam artikel lain, sila tunggu).




  4. Banyak watak. Dalam kiah Nabi Yusuf terdapat banyak watak sampingan dan banyak jenis-jenis watak, daripada raja sampai kepada hamba, daripada bayi sampai kepada orang tua, daripada watak baik sampai kepada watak jahat. Dalam Hikayat Hang Tuah, jumlah dan jenis watak juga banyak.




  5. Jalan cerita adalah kompleks. Banyak sub-plot (cerita-cerita kecil dalam cerita besar), sekurang-kuranya terdapat lima sub-plot besar dalam kisah Nabi Yusuf. Dalam Hikayat Hang Tuah, jumlah sub-plot adalah banyak, malah lebih banyak daripada jumlah sub-plot dalam kisah Nabi Yusuf.




  6. Banyak jenis pengajaran. Pengajaran yang jelas dalam kisah Nabi Yusuf adalah yang baik dibalas baik, tetapi watak yang jahat tidak dihukum. Keinsafan datang dari dalam diri watak jahat itu sendiri. (Sila baca perbincangan kita tentang Hukum Karma dalam novel Islami dalam blog ini).




Enam ciri di atas kebetulan semuanya terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, maka tidak hairanlah mengapa karya itu berjaya mencapai taraf karya agung dalam sastera Melayu sehingga hari ini.


Nota: Kita tidak mengatakan semua unsur dalam Hikayat Hang Tuah dapat diterima oleh teori novel Islami, sebagai contoh, apakah episod pembunuhan Hang Jebat itu selari dengan teori novel Islami tidak kita bincangkan dalam konteks artikel ini. Tanpa mengatakan apakah Hikayat Hang Tuah itu contoh karya Islam ataupun tidak, kita tidak dapat menolak bahawa karya itu memiliki ciri-ciri keindahan selaras dengan yang terdapat dalam surah Yusuf.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, October 08, 2005

Curi Mencuri Penulis

Kita mula menerima manuskrip daripada pengarang yang sebelum ini menerbitkan karya-karya mereka dengan penerbit-penerbit lain, seperti DBP, Alaf21, Creative, dan Utusan.


Situasi ini amat sensitif di kalangan komuniti penerbit, mungkin tidak pada penulis.


Bagi penulis, menukar penerbit adalah isu mencari peluang menerbitkan lebih banyak karya, ataupun mencari penerbit yang lebih baik tawaran royaltinya, ataupun lebih cepat tempoh penerbitannya, ataupun lebih mudah berunding dengannya.


Bagi penerbit pula, ini adalah isu sikap perniagaan dan nilai persahabatan.


Dato' Dr. Firdaus Abdullah, En. Nordin Mohamed, En. Jaafar Taib dan Cik Roselina adalah rakan-rakan baik kita dan kami sudah kenal lama, malah budi mereka sudah pernah dimakan!


Kita sangat menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan yang sebenarnya adalah sahabat seperjuangan dalam memartabatkan karya-karya Melayu. Oleh itu kita tidak mengamalkan perbuatan curi-mencuri penulis.


Inilah fakor yang mendorong kita melabur banyak dalam aktiviti melatih penulis-penulis baru, supaya kita tidak perlu mencuri penulis penerbit lain.


Kita juga menggubal strategi dan program penerbitan produk-produk yang tidak bersaing dengan produk rakan-rakan penerbit lain.


Sebagai contoh, dalam penerbitan karya kreatif yang akan diselenggarakan oleh FORTUNA mulai Januari 2006, kita mempunyai aktiviti R&D sendiri bagi membangunkan karya-karya yang ditulis dengan mematuhi prinsip-prinsip dan teknik-teknik dalam surah Yusuf. Dengan demikian kita tidak akan masuk bersaing dalam pasaran novel cinta remaja.


Tidak dinafikan kita ada menerbitkan karya penulis yang pernah menerbitkan karya mereka dengan DBP seperti Dr. Robiah K. Hamzah, Rejab FI dan AJIKIK, tetapi penulis-penulis itu tidak kita curi. Kita secara terbuka memaklumkan hal itu kepada DBP dan DBP mengambil sikap amat terbuka, malah membantu kita bagi membolehkan karya-karya itu kita terbitkan.


Jika saudara sudah menerbitkan karya saudara dengan rakan penerbit kita, dan bercadang menghantar manuskrip baru saudara kepada kita, sekiranya kami terima, kita akan maklumkan kepada rakan penerbit itu supaya semua perkara adalah telus, demi menjaga hubungan baik sesama rakan seperjuangan.


Sebagai penulis, saudara dinasihati supaya memberitahu penerbit saudara niat saudara hendak menghantar manuskrip baru saudara kepada mana-mana penerbit lain. Dengan cara itu hubungan baik saudara dengan penerbit saudara dapat dijaga.


Masa depan saudara masih panjang. Saudara tidak tahu, besok lusa jangan-jangan saudara perlu menerbitkan karya saudara dengan mereka lagi.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Nura: “Cikgu Zaleha”

“Cikgu sudah sampai?” tanya Ruzaihan kepada rakan sekelasnya, suaranya antara dengar dengan tidak.


“Belum,” balas Khairul Anuar.


Ruzaihan mencari sesuatu di dalam begnya. Sebuah buku diletakkan di atas meja. Nanti apabila masuk sahaja cikgu yang mengajar mata pelajaran kimia itu dia mahu menggunakan buku itu sebagai perisai.


“Hari ini kita dapat cikgu kimia baru,” bisik Khairul Anuar.


“Ya? Walau siapa pun cikgu itu, saya tetap benci dengan pelajaran kimia!” Ruzaihan menceceh sambil menggosok-gosok matanya yang berair kerana baharu lepas menguap. Kimia, adalah satu-satunya mata pelajaran yang paling dimusuhinya.


“Jangan hendak berlagak. Awak belum pernah melihat dia,” giat Khairul Anuar sambil tersengih. “Sekali awak sudah lihat dia...” sengaja Khairul Anuar tidak menghabiskan ayatnya. Biar kawannya itu tertanya-tanya. Hakikat yang sebenarnya dia sendiri pun belum pernah melihat wajah guru barunya itu.


“Apa yang istimewa sangat?” malas sahaja nada suara Ruzaihan. Kepalanya telah lama terlentok di atas meja. Hanya kelopak mata sahaja yang belum terkatup.


“Nanti awak tengoklah sendiri.”


Ruzaihan memanjangkan leher ke luar kelas apabila telinganya menangkap bunyi keletup, keletap sepatu Cikgu Kamaluddin yang terkenal itu.


“Bangun!” ketua kelas memberi arahan agar warga kelas tingkatan 5 itu memberi penghormatan kepada Cikgu Kamaluddin yang baru masuk. “Selamat tengah hari, cikgu.”


“Selamat tengah hari, cikgu,” serentak semua pelajar-pelajar tingkatan 5 itu menyambut.


“Tengah hari,” balas Cikgu Kamaluddin ringkas. “Hari ini saya tidak mengajar, saya hanya mahu memperkenalkan kamu dengan cikgu baru. Sebentar lagi dia akan sampai,” tokoknya lagi.


Kepala Ruzaihan tegak. Kebiasaannya sebaik sahaja cikgu yang terkenal dengan gelaran Kamaluddin Tomoi itu mula membuka mulut dia pasti akan menegakkan bukunya di betul-betul di depan mukanya sebagai perisai bagi menyembunyikan kepalanya yang sedang terjelepak di atas meja!


“Assalamualaikum,” satu suara halus memberi salam di muka pintu. Serentak dengan itu sebuah wajah tersembul bersama sebuah senyuman.


“Waalaikummussalam,” semua yang berada di dalam kelas itu membalas salam itu. Setiap biji mata merenung yang empunya suara.


“Hmm...” gumam Ruzaihan. Bulat matanya merenung wajah tinggi lampai itu.


“Sudahlah!” Khairul Anuar menyiku rakannya itu. “Macam hendak terkeluar biji mata awak!” dia menyakat sambil mengulum senyum.


Mata yang tadi hampir terkatup serta-merta terbuka luas. Ruzaihan terpaku seketika menikmati wajah putih bersih itu. “Cantiknya!” kalbunya berbisik.


“Cikgu Zaleha adalah guru baru kamu dalam mata pelajaran kimia. Saya harap kamu semua memberikan kerjasama kepada beliau,” kata Cikgu Kamaluddin.


“Sekarang saya serahkan kelas ini kepada cikgu,” kata Cikgu Kamaluddin kepada guru baru itu lalu melangkah keluar.


“Saya fikir, lebih baik dalam kelas pertama saya ini, saya mulakan dengan sesi berkenalan terlebih dahulu. Saya mulakan dengan diri saya. Nama saya Zaleha binti Jamal. Saya baru keluar maktab, oleh kerana saya baru dan banyak yang saya tidak tahu, saya harap kamu semua tidak keberatan membantu saya. Sama-sama kita belajar, boleh?” kata Cikgu Zaleha.


“Boleh,” sahut pelajar-pelajarnya.


“Baiklah, saya mahu awak kenalkan diri awak,” Cikgu Zaleha tersenyum memandang Ruzaihan.


“N... n... nama saya Ruzaihan. Pelajaran yang paling saya minat adalah... k... k... kimia!” tergagap-gagap Ruzaihan bercakap.


Mendengar apa ayang dikatakan oleh Ruhaizan, tiba-tiba kelas itu menjadi riuh-rendah.


“Bagus! Saya harap awak akan berjaya dalam pelajaran kimia,” puji Cikgu Zaleha dan menyuruhnya duduk.


Sesi berkenalan terus berjalan dengan lancar. Dalam pada itu Khairul Anuar tersenyum-senyum melihat Ruzaihan yang tidak jemu-jemu memandang wajah Cikgu Zaleha.


“Bila pula awak menjadi peminat pelajaran kimia? Markah awak yang paling tinggi pun cuma 25%,” Khairul Anuar mencebik.


“Saya memang minat dengan pelajaran kimialah,” kata Ruzaihan. Walaupun dia bercakap kepada Khairul Anuar, tetapi muka dan matanya terus memandang cikgu barunya itu. “Aduhai! Cantiknya!” hatinya berkata.


“Ehem!” kata Khairul Anuar.


“Syyy! Cikgu nampak kita bercakaplah,” kara Ruzaihan. Jari telunjuknya ditegakkan di bibirnya, dia cuma memperdayakan rakannya itu supaya berhentii mengusiknya.


“Saya hendak lihat awak dapat ‘A’ periksa hujung bulan ini nanti,” cabar Khairul Anuar sambil tersengih-sengih.


Ruzaihan senyap sahaja.


“Ruzaihan!” Cikgu Zaleha tiba-tiba memanggil.


“Ya, cikgu!” cepat Ruzaihan bangkit.


Cikgu Zaleha tersenyum. “Saya hendak berjumpa dengan awak waktu rehat nanti. Boleh kita berjumpa di kantin?”


“Boleh, cikgu,” berdebar-debar jantung Ruzaihan. “Uh! seronoknya. Cikgu hendak berjumpa dengan aku!” hatinya berkata.


Ruzaihan berasa seolah waktu berjalan terlalu lambat. “Cepatlah wahai masa! Aku hendak berjumpa dengan cikgu!”


“Saya sudah baca semua profil awak. Cikgu kimia yang lama pun sudah memberitahu saya tentang awak,” kata Cikgu Zaleha sebaik sahaja Ruzaihan menyedut minumannya.


“Hah! Cikgu Kamaluddin cakap apa tentang saya?” Ruzaihan sedikit terkejut.


“Jangan panik. Mereka hanya mengatakan yang baik-baik,” kata cikgu kimia barunya.


“Mereka cakap apa?”


“Mereka kata awak seorang yang bijak, tetapi selalu sangat mengantuk dalam kelas,” kata Cikgu Zaleha. “Saya hendak awak berjaya dalam mata pelajaran yang saya ajar. Boleh awak beri kerjasama kepada saya?”


“Boleh! Boleh!” jawab Ruzaihan.


“Saya harap awak akan berjaya dengan cemerlang dalam SPM nanti,” Cikgu Zaleha memberinya perangsang.


“Baik, cikgu. Saya tidak akan hampakan harapan cikgu,” Ruzaihan bersungguh-sungguh berjanji pada dirinya.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, October 07, 2005

Editor Part-time dan Laptop

Pengumuman!


FORTUNA mencari editor part-time.


KRITERIA:


1. Mempunyai bakat kreatif. Adakah sdr pernah berjaya menerbitkan karya saudara di mana-mana?


2. Memiliki lap-top.


3. Memiliki ijazah jurusan sains sosial, kalau dalam bidang kreatif ataupun linguistik, lebih baik.


4. Sanggup mengikuti program latihan PTS.


5. Tinggal di Kuala Lumpur.


6. Mempunyai kenderaan sendiri.


7. Mempunyai bakat melatih editor-mentee sendiri.


8. Memiliki personaliti yang suka belajar daripada orang lain dan suka bekerja dalam kumpulan.


9. Mempunyai disiplin mengurus kerja sendiri tanpa pengawasan orang lain.


10. Suka kepada kerja-kerja detail dan cerewet tentang kualiti kerja peribadi.


Isi kandungan latihan adalah seperti berikut:


1. Menguasai manual editor PTS.


2. Mengusai teknik-teknik on-screen editing.


3. Menguasai Spellchecker PTS-MIMOS.


4. Menguasai perisian OpenOffice MIMOS.


5. Meguasai perisian Frame-maker untuk kerja-kerja layout.


6. Menggunakan mesin film untuk membuat output filem.


7. Membaca pruf filem.


8. Mencipta judul.


9. Menyediakan blurp kulit depan dan belakang.


10. Menyediakan edisi abridged.


Sila tulis nama sdr dalam kotak KOMEN di bawah teks ini. Hantar nombor hp, alamat emel, alamat tetap, dan nombor cukai pendapatan jika sudah ada.


Tulis sedikit tentang bakat kreatif sdr.


Kalau sdr mempunyai contoh cerpen yang sdr pernah tulis, emelkan kpd .(JavaScript must be enabled to view this email address). Kalau cerpen itu belum pernah diterbitkan pun tidak mengapa.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, October 06, 2005

Nama Lelaki Tidak Laku

Seorang sahabat kita, nama besar dalam dunia sastera sekarang, memberitahu baru-baru ini beliau dihubungi oleh editor sebuah penerbit novel cinta yang top."Tulislah novel untuk kami terbitkan," kata editor itu. "Tetapi boleh ataupun tidak, kalau kami minta saudara gunakan nama samaran perempuan?"

"Mengapa?" tanya penulis yang sedang 'ngetop' (dalam loghat Jakarta) itu.

Dia hairan mengapa namanya yang sedang 'ngetop' itu harus disorokkan di sebalik nama samaran perempuan.

"Nama lelaki tidak laku!" jawab editor novel-novel cinta itu.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, October 05, 2005

Bahasa Moden untuk Buku Agama

Hadith ke-25 dalam Antologi "Hadith 40" Imam Nawawi





Abu Dzar melaporkan, pada suatu hari beberapa orang sahabat Nabi Muhammad berkata kepada beliau, “Wahai Rasul Allah, orang-orang kaya berpeluang mendapat semua pahala. Mereka sembahyang macam kami sembahyang. Mereka berpuasa macam kami berpuasa. Mereka juga dapat bersedekah dengan harta mereka yang banyak.




Nabi Muhammad menjawab, “Bukankah Allah sudah menyediakan untuk saudara-saudara sesuatu yang dapat saudara sedekahkan? Dalam setiap tasbih ada sedekah. Dalam setiap takbir ada sedekah. Dalam setiap tahmid ada sedekah. Dalam setiap tahlil ada sedekah. Mengajak orang melakukan kebaikan adalah sedekah. Mencegah orang daripada melakukan kejahatan adalah sedekah. Menggauli isteri adalah sedekah.”




Sahabat-sahabat Nabi Muhammad bertanya, “Wahai Rasul Allah, adakah kami diberi pahala apabila menggauli isteri kami?”




Dijawab oleh Nabi Muhammad, “Cuba saudara katakan kepada saya, tidakkah jikalau saudara menggauli perempuan secara haram, saudara-saudara mendapat dosa? Dengan demikian, apabila saudara menggauli isteri saudara, saudara mendapat pahala.”


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, October 04, 2005

15 Novel Tiap Bulan

Salah sebuah pengedar terbesar novel-novel Melayu memberitahu bahawa setiap bulan penerbit-penerbit tempatan menerbitkan sekurang-kurangnya antara 13 hingga 15 judul baru.


Daripada jumlah itu 2 judul diterbitkan oleh Alaf21, 3 judul oleh penerbit Creative, 5 oleh Rhythm dan selebihnya oleh penerbit Utusan, Times dan penerbit-penerbit baru muncul seperti penerbit Kaki Novel, penerbit NZ dan penerbit NB.


Jumlah ini menunjukkan persaingan antara penerbit-penerbit novel sudah sampai ke titik sengit.


Menurut pengedar itu lagi, keadaan sengit ini menyebabkan novel-novel terbitan syarikat-syarikat gergasi sekalipun mula mengalami situasi di mana sesetengah judul yang mereka terbitkan tidak lagi bergerak selaju yang diharapkan.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, October 02, 2005

Nik Faridah: “Ustaz Aziz”

Ustaz Aziz melangkah memasuki kelas Tahun 6 Bestari.


“Bangun! Assalamualaikum, ustaz, ” ketua kelas memberi salam, diikuti oleh semua pelajar, tanda hormat kepada Ustaz Aziz.


“Waalaikumusalam, semua boleh duduk,” jawab Ustaz Aziz.


“Pagi tadi saya solat subuh di surau, bacaan pak imam surau tadi sungguh bagus. Siapa yang solat subuh pagi tadi?” tanya Ustaz Aziz.


Hanya separuh yang mengangkat tangan. Ustaz Aziz tersenyum.


“Baiklah, pelajaran kita hari ini pun mengenai solat subuh juga," kata Ustaz Aziz.


"Dalam solat subuh ada bacaan yang berbeza dengan solat lain. Bacaan yang tidak kita baca dalam solat lain, kecuali solat subuh sahaja.” Ustaz Aziz cuba menarik perhatian murid-muridnya mengenai tajuk hari itu.


“Amir?” Ustaz Aziz sengaja mengejutkan Amir dari lamunannya. Amir hanya tersipu-sipu menampakkan giginya.


“Zulkifli, kamu solat subuh pagi tadi?” tanya Ustaz Aziz.


“Solat, cikgu. Solat dengan ayah saya,” jawab Zulkifli.


“Bacaan apa yang berbeza dengan solat lima waktu yang lain?” tanya Ustaz Aziz lagi.


“Bacaan qunut, cikgu!” jawab Zulkifli.


“Bagus. Bacaan qunut atau doa qunut adalah bacaan yang tidak dibaca pada solat lain,” terang Ustaz Aziz.


“Hari ini saya hendak kamu baca dan hafal doa qunut. Sebelum itu, ada sesiapa yang sudah hafal doa qunut?” tanya Ustaz Aziz.


“Saya, cikgu” Ammar mengangkat tangan.


Ustaz Aziz sedikit mengerutkan dahinya, berfikir, kali ini Ammar bercakap betul ataupun main-main lagi.


“Bagus, cuba kamu baca, Ammar,” suruh Ustaz Aziz.


“Cikgu hendak saya baca doa qunut yang panjang ataupun doa qunut yang pendek sahaja?” tanya Ammar.


Semua mata murid tertumpu pada Ammar. Ustaz Aziz sendiripun agak ragu-ragu sebenarnya.


“Cubalah yang mana yang kamu ingat,” suruh Ustaz Aziz.


“Cikgu cakaplah yang panjang ataupun yang pendek.” Ammar masih dalam keadaan berdiri sambil tangannya melekar sesuatu pada buku di hadapannya.


“Baiklah, kamu cuba doa yang pendek dahulu,” suruh Ustaz Aziz.


“Qunut!” jawab Ammar ringkas.


“Ya, doa qunut, bacalah,” Ustaz Aziz ternanti-nanti.


“Itulah dia doa qunut pendek. QUNUT!” jawab Ammar.


Kelas riuh rendah dengan suara gelak ketawa.


Ustaz Aziz pun tidak terkata, rasa hendak marah dan rasa geli hati bercampur.


Amir mengangkat tangan.


“Cikgu, kalau doa qunut panjang bunyinya, QUNUUUUUT!” katanya.


Kelas 6 Bistari riuh rendah.


Ustaz Aziz tidak dapat menyorokkan giginya lagi.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

5% Lelaki

Tinjauan yang kita buat di 8 buah pusat sumber sekolah (PSS) rendah dan menengah negeri Selangor mendapati perkara-perkara berikut:1. Daripada jumlah semua pelajar yang masuk ke PSS hanya 5% sahaja lelaki.

2. Buku-buku dan majalah sains terbitan dalam negeri tidak menjadi pilihan popular di PSS sekolah luar bandar.

3. Buku cerita siri penyiasatan juga tidak menjadi pilihan popular di PSS sekolah luar bandar.

4. Ensiklopedia Melayu banyak dibuka oleh pelajar dan mereka suka membaca gambar-gambar yang terdapat dalam ensiklopedia.

5. Buku-buku bacaan sains dalam bahasa Inggeris langsung tidak disentuh di PSS luar bandar, baik di sekolah menengah mahupun sekolah rendah.

6. Guru-guru masuk PSS untuk membaca surat khabar, majalah, berehat ataupun tidur sebentar sebab PSS mempunyai pendingin udara!

7. Buku cerita sangat popular dan selalu hilang dari PSS.

8. Sebarang jenis buku bacaan tambahan yang mengandungi gambar-gambar yang berkualiti adalah popular, yakni selalu dibuka dan dibelek-belek oleh pelajar.

Isu pelajar lelaki tidak masuk PSS adalah gambaran betapa kurangnya bahan-bahan bacaan yang diterbitkan khusus untuk bacaan pelajar lelaki.

Isu mengapa siri penyiasatan tidak popular di PSS luar bandar amat menarik bagi dibincangkan lebih mendalam.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 1 of 1 pages