Thursday, June 29, 2006

Dialog yang Indah: Prinsip Surah Yusuf

Dalam tradisi penulisan konvensional, lazimnya ayat-ayat naratif sahaja yang perlu bersifat ayat lengkap, yakni ayat yang terdiri daripada subjek dan predikat, manakala syarat yang sama tidak dikenakan ke atas ayat-ayat dialog. Inilah yang menyebabkan banyak ayat dialog dalam karya sastera konvensional tidak bersifat ayat lengkap.


Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 86 buah ayat mengandungi dialog di dalamnya. Dengan demikian kita perlu mengkaji ciri-ciri struktur dialog dalam surah Yusuf bagi mengetahui pola dialog yang menjadi model keindahan dalam teori sastera Islami.


Dalam surah Yusuf, tanpa satu pun kekecualian, setiap ayat dialog adalah ayat lengkap, yakni ayat yang mengandungi SUBJEK dan PREDIKAT. Dalam istilah lama, subjek adalah 'BENDA' manakala predikat adalah 'CERITA'.


Ini bermakna, dalam surah Yusuf, dialog dalam bentuk ayat lengkap adalah ciri keindahan, manakala dialog yang dituliskan tidak dalam bentuk ayat lengkap adalah ciri kecacatan. Justeru, dalam teori sastera Islami, semua ayat, baik naratif mahupun dialog, perlu ditulis menggunakan ayat-ayat lengkap.


Contoh ayat dialog yang lengkap subjek dan predikatnya dalam surah Yusuf adalah seperti di bawah:


Ayat 4: (Ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayahanda, sesungguhnya saya bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, dan saya melihat mereka tunduk memberi hormat kepada saya.”


Ayat 5: Bapanya berkata, “Wahai anakanda, janganlah kamu ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana ayahanda khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”


Ayat 8: (Kisah itu bermula) tatkala saudara-saudara Yusuf berkata sesama sendiri, “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.”


Bandingkan dengan ayat-ayat di bawah yang tidak lengkap disebabkan dalam ayat-ayat itu tidak ada subjeknya:


“Pagi-pagi sudah naik angin,” kata Leha. (TIADA SUBJEK)

“Pagi-pagi (dia) sudah naik angin,” kata Leha. (BETUL)


“Dia,” jawab Atan. (TIADA PREDIKAT)

“Dialah (orang yang dicari),” jawab Atan. (BETUL)


“Sebuah masjid,” keluh Pak Tam. (TIADA PREDIKAT)

“Sebuah masjid (tua),” keluh Pak Tam. (BETUL)


“Pergi ke masjid!” katanya. (TIADA SUBJEK)

“(dia) Pergi ke masjid!” katanya. (BETUL)


“Menangis macam budak minta susu,” jawab Budin. (TIADA SUBJEK)

“(dia) Menangis macam budak minta susu,” jawab Budin. (BETUL)


“Sudah lama begitu,” keluhnya. (TIADA SUBJEK)

“(dia) Sudah lama begitu,” keluhnya. (BETUL)


“Baiklah. Tetapi jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (TIADA SUBJEK)

“Baiklah. Tetapi (kamu) jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (BETUL)


“Jangan berpura-pura,” pinta Karim. (TIADA SUBJEK)

“Jangan (kamu) berpura-pura,” pinta Karim. (BETUL)


“Tak mungkin hilang,” jawabnya. (TIADA SUBJEK)

“(barang itu) Tak mungkin hilang,” jawabnya. (BETUL)


“Belum diminum sampai sekarang,” Mamat berkata. (TIADA SUBJEK)

“(Kopi itu) Belum diminum sampai sekarang,” Mamat berkata. (BETUL)


“Bercakaplah dahulu sebelum pergi,” Sutini memberi nasihat. (TIADA SUBJEK)

“(Kamu) Bercakaplah dahulu sebelum pergi,” Sutini memberi nasihat. (BETUL)


“Baiklah. Tetapi jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (TIADA SUBJEK)

“Baiklah. Tetapi (kamu) jangan pergi terlalu lama,” pesan Ayong. (BETUL)


Sesetengah frasa klise sememangnya berupa ayat tidak lengkap, seperti “Apa khabar?”, “Apa buat tu?”, “Dah lama tunggu?”, “Sila duduk.” ataupun “Sudah makan?”


Frasa-frasa klise seperti ini tidak terdapat dalam surah Yusuf. Ini bermakna karya yang memasukkan ayat-ayat dialog klise seperti ini akan mencacatkan unsur keindahan karya tersebut.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, June 28, 2006

BTP dan Rempah India



Setiap tahun akan ada sekurang-kurangnya 3 ataupun 4 peraduan dan sayembara penulisan kreatif. Menganjurkan peraduan penulisan kreatif memakan belanja besar, sekurang-kurang RM150 ribu.


Kos paling tinggi adalah belanja mengadakan majlis penyampaian hadiah di hotel dengan mengundang PM, ataupun TPM, sekurang-kurangnya menteri. Apabila majlis itu besar barulah media massa menghantar krew masing-masing bagi membuat liputan, barulah penaja mendapat publisiti dalam media massa, barulah berbaloi wang yang dibelanjakan.


Kos kedua yang tinggi adalah hadiah-hadiah yang ditawarkan. Kalau campak kacang, monyetlah yang datang, kata pepatah. Bagi mengumpan penyertaan daripada kalangan penulis-penulis besar, hadiah yang ditawarkan mesti besar.


Kos ketiga yang besar adalah kos mengendalikan proses penghakiman. Panel hakim mestilah terdiri daripada nama-nama besar, antara barisan panel mesti ada profesor-profesor, jika tidak prestij hadiah itu cacat dan dianggap tidak kredibel. Orang-orang besar hanya layak mengadakan sesi mesyuarat penilaian di resort-resort mahal! Itu belum termasuk honorarium yang dibayar bagi perkhidmatan mereka.


Inilah faktor yang menyebabkan hanya korporat-korporat besar seperti DBP, bank-bank, kerajaan negeri, dan syarikat minyak yang bergabung dengan badan-badan bahasa dan sastera, yang mampu menaja peraduan seperti ini.


Apabila beberapa hari yang lalu ada pertandingan menulis cerita diiklankan dalam sebuah akhbar Melayu oleh penganjur yang tidak mahu pun menyebutkan namanya, para penulis perlu berhati-hati daripada tertipu.


Penganjur itu menghendaki supaya cerita-cerita yang ditulis itu memenuhi kriteria Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP). Cerita-cerita itu pula mesti dihantar ke satu alamat, di mana alamat itu tidak menyatakan siapa yang ada di alamat itu, adakah ia alamat persatuan ataupun syarikat ataupun apa.


Wakil kita sudah membuat siasatan dan didapati alamat itu adalah alamat sebuah syarikat yang antara kegiatannya adalah mengimpot dan mengedar rempah-ratus dari India.


Mengapakah agaknya sebuah syarikat rempah-ratus mengadakan pertandingan menulis cerita yang memenuhi kriteria BTP? Ada sesiapa dapat terangkan?



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(43) Diskusi Kuliah | Permalink

Memilih Hero: Prinsip Surah Yusuf

Teori sastera konvensional tidak menyatakan apakah watak utama dalam cerita itu sebaiknya lelaki ataupun perempuan bagi menciptakan sebuah kisah yang indah. Tanpa panduan ini kita melihat kecenderungan pengarang-pengarang lelaki memilih watak utama lelaki manakala pengarang-pengarang perempuan cenderung memilih watak utama perempuan.


Dalam teori sastera Islami aliran surah Yusuf, watak utama sebaiknya adalah lelaki kerana watak utama dalam kisah Nabi Yusuf adalah seorang lelaki, iaitu Nabi Yusuf, manakala watak utama kedua barulah perempuan, iaitu Zulaikha.


Prinsip ini adalah menyeluruh, maksudnya bagi menghasilkan cerita-cerita untuk pembaca perempuan sekalipun, sebaiknya lelaki dipilih sebagai watak utama.


Kajian pasaran menunjukkan apabila watak utama sesuatu cerita itu perempuan, karya itu dibaca eksklusif oleh perempuan. Sebagai contoh cerita-cerita yang satu kategori dengan Cinderella dan Sleeping Beauty dibaca oleh kanak-kanak perempuan.


Ini berbeza dengan cerita-cerita di mana heronya adalah lelaki. Ia dibaca baik oleh lelaki mahupun perempuan, sebagaimana halnya dengan Harry Potter, dan dengan demikian pasaran bagi cerita-cerita ber-hero-kan lelaki adalah lebih besar daripada pasaran cerita-cerita yang ber-hero-kan perempuan.


(Nota: Bagi mentee-mentee perempuan yang mengikuti program mentoring SifuPTS yang sedang menulis karya jibunsyi mereka, adalah digalakkan mereka menukar nama watak utama dalam jibunsyi mereka menjadi nama lelaki.)



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Bagaimana Buku Saudara Diekspot

Kerja-kerja mengekspot buku saudara ke negara-negara lain adalah urusan penerbit saudara kerana lazimnya dalam perjanjian penerbitan yang saudara tandatangani itu sudah terkandung klausa di mana saudara bersetuju membenarkan penerbit saudara mengambil langkah-langkah mengeksploitasi potensi nilai ekonomi karya saudara itu di luar negara.


Semua penerbit berminat mengekspot lesen buku-buku terbitannya ke negara lain kerana daripada kejayaan setiap buku yang diekspotnya pihak penerbit mendapat perolehan daripada bahagian royalti yang dibayar oleh pelesen.


Dalam amalan perdangangan buku antarabangsa, lazimnya nilai royalti yang dibayar oleh pelesen adalah 7%. Pembahagian antara penerbit dan penulis adalah 40% – 60% daripada jumlah yang diterima daripada pelesen.


Strategi paling popular bagi memasarkan lesen-lesen penerbitan buku adalah dengan membuka booth dalam pesta-pesta buku:


Pesta Buku Sedunia: Contoh pameran seperti ini adalah Pesta Buku Antarabangsa di Frankfurt, Jerman, ataupun Pesta Buku Kanak-Kanak Antarabangsa di Bologna, Itali. Jika penerbit itu yakin dia dapat menjual lesennya kepada penerbit dari berbagai-bagai negara, langkah membuka booth di kedua-dua pesta ini adalah pesta yang paling sesuai tetapi kosnya amat tinggi. Persatuan-persatuan penerbit nasional lazimnya menyewa booth untuk dikongsi oleh ahli-ahlinya.


Pesta Buku Nasional: Setiap negara mengadakan pesta buku masing-masing, jadi sekiranya penerbit mahu mengekspot lesennya ke negara itu ia boleh membuka booth di pesta peringkat lokal. Sebagai contoh, jika penerbit yakin dia dapat menjual lesen buku-bukunya ke Indonesia maka dia membuka booth dalam Pesta Buku Antarabangsa Jakarta yang diadakan 2 kali setiap tahun. Selain daripada itu mereka juga mengadakan Pesta Buku Islam Jakarta sekali setiap tahun.


Kos membuka booth di pesta-pesta buku adalah tinggi dan lazimnya pengarang tidak mampu melakukannya dengan modal sendiri.




.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, June 27, 2006

PTS Litera Utama Sdn. Bhd.

Dimaklumkan PTS dan Mizan Group (Indonesia) telah selamat menubuhkan sebuah anak syarikat penerbitan dengan nama PTS Litera Utama Sdn. Bhd. beribu pejabat di Kuala Lumpur.


Kepentingan Mizan diwakili oleh Bapak Dr. Haidar Bagir, pengarah eksekutif Mizan Group, manakala kepentingan PTS diwakili oleh Puan Ainon Mohd., pengerusi PTS Group.


Misi PTS Litera Utama adalah mempercepatkan dan melicinkan proses lintas pelesenan buku-buku PTS dan buku-buku MIZAN antara Jakarta-Kuala Lumpur.


Buat masa ini perdagangan lintas lesen penerbitan antara Jakarta dan Kuala Lumpur jauh lebih menguntungkan Jakarta. Dengan penubuhan PTS Litera Utama, keadaan ini akan dapat diperbaiki apabila lebih banyak judul-judul PTS dapat dilesenkan ke Jakarta.


Dengan penubuhan PTS LU, para penulis PTS digesa supaya mengambil kira peluang buku-bukunya dilesenkan ke Jakarta apabila merancang isi kandungan buku dan gaya bahasa yang digunakan. Adalah matlamat kita membantu menaikkan perolehan royalti para pengarang PTS dengan memasarkan karya mereka ke Indonesia.


Mizan Group menerbitkan antara 80 - 110 judul buku sebulan, dan merupakan penerbit kedua terbesar di Indonesia selepas PT Gramedia. Lembaga pengarah PTS memilih Mizan sebagai partner berdasarkan misi Mizan yang sejalan dengan misi PTS, di mana seperti PTS, Mizan Group hanya menerbitkan buku-buku ilmu sahaja.


Mulai pertengahan Ogos ini Bapak Dr. Haidar Bagir akan berada di ISTACC, UIA selama 2 tahun sebagai penyelidik dan pensyarah. Dalam kesempatan ini beliau akan membantu membangunkan PTS Litera Utama. Beliau yang memegang Ph.D. dari Universiti Havard menubuhkan Mizan di Bandung sewaktu baru berusia 24 tahun. Kini Mizan Group terdiri daripada 17 buah anak syarikat dengan lebih 400 orang staf.



.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Malaysia Edisi Jakarta

Katakanlah, saudara ini pengarang yang bernama Zamri Mohamed, dan buku motivasi cinta saudara yang bertajuk “77 TIP MELEMBUTKAN HATI LELAKI” berjaya menarik minat sebuah penerbit Indonesia yang bersetuju akan menerbitkannya di Jakarta dalam bentuk edisi Indonesia. Apakah maksud 'edisi Indonesia'?


Berikut adalah kemungkinan-kemungkinan yang akan dilakukan oleh penerbit Indonesia itu bagi menerbitkan buku saudara di sana:


1. Buku itu mungkin ditulis semula 100 peratus menggunakan gaya bahasa Indonesia tulen, tidak cukup kalau hanya dengan menggantikan sesetengah istilah dan perkataan yang berbeza maknanya antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Indonesia.


2. Bahagian-bahagian khusus dalam buku itu mungkin dicabut, digabungkan ataupun diganti, supaya isi kandungan buku itu sesuai dengan keperluan pasaran Indonesia.


3. Susunan bab dalam buku asal mungkin diubahsuai.


4. Judul buku itu mungkin dikekalkan ataupun diganti dengan judul lain.


5. Saiz buku, design kulit, layout dan perwajahan interior buku itu mungkin ditukar sama sekali supaya sesuai dengan selera dan citarasa kontemporari Indonesia.


6. Nama saudara mungkin dikekalkan, ataupun diganti dengan pseudonim ala-Indonesia, ataupun dikekalkan dengan menukar ejaannya supaya pasaran Indonesia tidak menyangka buku itu dilesen dari Malaysia.


Pendeknya, proses menerbitkan buku saudara sebagai edisi Indonesia adalah proses yang sama kompleksnya dengan proses menerbitkan manuskrip mentah, dan oleh yang demikian kosnya juga serupa.




.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Surat Terbuka kepada Puan Ainon Mohd (1)

mohd azlan idris wrote:


Assalamualaikum w.b.t.


Puan,


Baru-baru ini saya ada membeli novel Ros Oktober terbitan PTS One (Teen). Antara desakan utama untuk saya mendapatkan novel ini ialah penulisnya ialah rakan seangkatan saya di MPR dan komuniti esastera dot com.


Semalam, usai sudah saya membaca Ros Oktober.


Sejujurnya, sepanjang saya membaca novel ini, dari mula hingga selesai, saya amat terkejut dengan persembahan ceritanya. Saya cuba bersangka baik setiap kali menyelak helaian, bahawa akan ada iktibar besar dalam cerita ini disebalik lapis cinta yang dipaparkan. Tapi saya kecewa.


Dan kekecewaan saya memuncak apabila terjumpa babak Shaira disengajakan ditempatkan sebelah Azman di dalam kereta, di dalam panggung wayang, di dalam pizza hut, kecewa lagi saya apabila mereka berdua-duaan berjalan di kolej, berbual pada malam hari di tangga, makan bersama dan banyak lagi perbuatan-perbuatan yang pada saya amat tidak wajar diperkenalkan kepada pembaca remaja yang baru membesar dan bergolak hati mereka untuk bersama lawan jantina.


Saya sedikit keliru apabila mengingatkan dua sesi Puan Ainon yang pernah saya hadiri, bahawa di PTS, teori Surah Yusuf adalah wajib digunakan oleh penulis PTS di dalam berkarya. Tetapi, berlainan pula di dalam Ros Oktober yang saya baca itu. Adakah puan terlepas pandang, atau PTS One Teen dikecualikan daripada salah satu alternatif teori sastera Islami ini?


Saya harap, kekeliruan saya ini tidaklah keterlaluan. Saya amat menghormati puan, saban hari, saya mencedok setimba ilmu di blog puan. Semoga puan terus diberi kekuatan oleh Allah untuk membimbing kami penulis dan penggiat sastera yang sentiasa dahagakan ilmu-ilmu yang segar dan berkualiti.


Wassalam.


Mohd Azlan Idris (Amir Mukhriz)



.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

(100) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, June 26, 2006

Surat Terbuka untuk Puan Ainon Mohd. (2)

Assalamualaikum, Puan Ainon.


Sebagai seorang Muslim kita wajib menjadikan Al-Quran dan sunnah sebagai asas pegangan kita. Allah menjelaskan dalam surah al-Nisa' ayat 59, "Jika kamu berselisih faham dalam sesuatu perkara, maka rujuklah kepada Allah (Al-Quran) dan rasul (sunnah Nabi Muhammad)."


Dalam perdebatan tentang teori sastera Islam ini, kita juga tidak terkecuali daripada maksud ayat tersebut. Mana-mana hujah yang dikemukakan hendaklah berdasarkan Al-Quran dan sunnah.


Saya bersetuju dengan komentar saudara Mohd Azlan Idris. Adegan-adegan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti budaya 'coupling' dalam salah satu babak buku 'Ros Oktober' itu perlu dielakkan.


Namun jika babak itu dikemukakan sebagai bentuk pengajaran maka ia dibenarkan. Contohnya dalam surah Yusuf, ada adegan percubaan Zulaikha menggoda Nabi Yusuf TETAPI kemudiannya diterangkan pengajaran daripada adegan tersebut iaitu apabila Nabi Yusuf berkata, "Sesungguhnya nafsu itu menyuruh kita melakukan perkara jahat."


Wassalam,


Arieff Salleh Rosman.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Wang Besar!  Wang Besar!

Gosip yang kita dengar mengatakan tahun ini Kementerian Pelajaran, melalui Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) akan membuat pembelian buku yang berjumlah RM17 juta.


RM10 juta adalah bagi membeli buku-buku impot untuk bacaan tambahan mata pelajaran bahasa Inggeris, matematik dan sains. Manakala RM7 juta adalah bagi membeli pelbagai buku terbitan tempatan.


Sewaktu mata pelajaran sains dan matematik diajarkan dalam Bahasa Melayu, jumlah wang yang mengalir keluar negara adalah amat kecil dibandingkan dengan sekarang kerana sebelumnya buku-buku yang dibeli adalah terbitan tempatan dalam Bahasa Melayu.


Sekarang, putihlah mata penerbit-penerbit tempatan memandang sahaja RM10 juta bulat-bulat diserahkan kepada kontraktor-pengimpot buku-buku dari UK dan USA.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(29) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, June 25, 2006

Buku Impian

Bagi saudara yang bercita-cita mengarang buku dalam bahasa Inggeris, dan untuk pasaran global, hantar karya saudara ke agensi sastera antarabangsa yang dapat membantu saudara mencapai impian saudara itu. Klik sini.



.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(22) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, June 20, 2006

Buku Jeritan Batin

Kita menerima banyak sinopsis daripada pengarang yang baru hendak mengarang novel mereka dengan mengemukakan tema "dengarlah jeritan batinku".Dimaklumkan PTS tidak menerbitkan cerita-cerita yang berkisar pada masalah, baik apa pun masalahnya, apatah lagi masalah hubungan lelaki-perempuan.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, June 18, 2006

“Twist and Turn” dalam Plot: Prinsip Surah Yusuf

Konsep 'twist and turn' adalah konsep yang diamalkan oleh para penulis cerita yang mahir. Semua cerita yang indah dan tahan lama mempunyai unsur 'twist and turn'.


Dalam bahasa biasa, unsur twist disebut dengan istilah 'kejutan', yakni sesuatu yang tidak disangka berlaku, tetapi terjadi.


Dalam jalan cerita Nabi Yusuf, berlaku 4 insiden yang dapat dikategorikan sebagai 'twist and turn'.


1. Dalam cerita Nabi Yusuf, sejak awal lagi kita sudah diberitahu bahawa Nabi Yaakub tahu anak-anaknya mempunyai rancangan jahat terhadap adik mereka, yakni Nabi Yusuf. Jadi apabila mereka meminta izin membawa Nabi Yusuf pergi bermain-main jauh dari rumah, pada fikiran kita Nabi Yaakub tidak akan mengizinkannya. Tetapi dia benarkan juga (twist) dan terbukti Nabi Yusuf betul-betul tidak selamat (turn).


2. Kali pertama abang-abang Nabi Yusuf pergi membeli makanan di Mesir, Nabi Yaakub tidak membenarkan mereka membawa bersama Bunyamin. Semasa di Mesir Nabi Yusuf memberi syarat kepada abang-abang, kalau mereka datang lagi hendak membeli makanan mereka mestilah membawa Bunyamin. Apabila pesanan itu mereka sampaikan kepada Nabi Yaakub, beliau berkata beliau sudah tidak percaya lagi anak-anaknya dapat menjaga keselamatan Bunyamin sebab dahulu mereka juga berjanji akan menjaga Nabi Yusuf, dan terbukti janji mereka palsu. Tetapi dia benarkan juga (twist) dan terbukti Bunyamin betul-betul tidak selamat (turn).


3. Pada hari Zulaikha menggoda Nabi Yusuf, pada saat Zulaikha menarik baju Nabi Yusuf, tiba-tiba pintu terbuka dan al-Aziz berdiri di depan pintu. Apabila terbukti al-Aziz nampak baju Nabi Yusuf koyak di belakang, akal logik kita menyangka al-Aziz akan menghukum isterinya yang berlaku serong sewaktu ketiadaannya, tetapi tidak, al-Aziz tidak melakukan apa-apa ke atas iserinya (twist). Kita menyangka perkara itu habis di situ, rupa-rupanya tidak, sebaliknya Nabi Yusuf yang dipenjarakan (turn).


5. Semasa dalam penjara, Nabi Yusuf bersahabat baik dengan dua orang banduan yang satu sel dengan beliau. Salah seorang banduan itu dihukum mati, tetapi yang seorang lagi dibebaskan dan dilantik menjadi penghidang minuman Raja Mesir. Sebelum dibebaskan Nabi Yusuf berpesan kepada banduan itu supaya menerangkan cerita sebenar akan diri Nabi Yusuf yang difitnah oleh Zulaikha sehingga beliau dipenjarakan. Tetapi banduan itu terlupa (twist) sehingga Nabi Yusuf terus merengkok di penjara. Apabila Raja Mesir mencari siapa yang pandai mentafsirkan mimpinya, barulah bekas banduan itu teringat semula kepada Nabi Yusuf dalam penjara (turn).


Ini menunjukkan unsur 'twist and turn' adalah unsur keindahan dalam teori sastera Islami. Jalan cerita yang tidak mengandungi unsur 'twist and turn' adalah kurang indah, apabila diukur dengan menggunakan teknik penceritaan surah Yusuf.


Bagi mencipta unsur 'twist and turn', mula-mula arahkan pemikiran logik pembaca ke satu arah. Kemudian baru cipta unsur 'twist' itu. Sebagai contoh akal logik kita mengatakan Nabi Yaakub tidak akan membenarkan Bunyamin dibawa ke Mesir, tetapi dibenarkan.




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, June 11, 2006

Percakapan Lelaki Perempuan Bukan Muhrim: Prinsip Surah Yusuf

Dalam surah Yusuf, dialog antara lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim terdapat dalam ayat-ayat berikut 23, 31 dan 51:


Ayat 23: Kemudian (Zulaikha) mengajak Yusuf berbuat serong, lalu ditutupnya semua pintu, serta katanya, “Mari ke mari!” Jawab Yusuf, “Aku berlindung kepada Allah, sesungguhnya suami puan adalah tuan saya, dia telah memberi saya kedudukan yang baik. Sungguhnya orang yang menganiaya tidak akan menang.”


Ayat 31: ......masing-masing diberi sebilah pisau, lalu (Zulaikha) berkata, “Keluarlah, dan tunjukkan diri kamu kepada perempuan-perempuan itu.”


Ayat 51: Raja bertanya kepada perempuan-perempuan itu, “Apa pandangan kamu (tentang Yusuf), semasa kamu cuba menggodanya?” Mereka menjawab, “Maha Suci Allah, kami tidak meliha suatu kejahatan pun padanya.” Isteri al-Aziz pun berkata, “Sekarang nyatalah kebenaran, sayalah yang menggoda Yusuf kerana mahukan dia, dan sesungghnya dia orang yang benar.”


Analisis 3 ayat nenunjukkan ciri-ciri berikut:


1. Dalam surah Yusuf, dialog antara lelaki dan perempuan bukan muhrim hanya berlaku 3 kali, dan dalam 3 peristiwa sahaja (ayat 23 & 31). Pertama, apabila Zulaikha mengajak Yusuf berbuat serong, dan kedua apabila Zulaikha menyruh Yusuf keluar menunjukkan dirinya kepada perempuan-perempuan Mesir yang diundangnya dan ketiga apabila Raja Mesir menyoal siasat Zulaikha.


2. Dalam ayat 23 & 31, dialog itu adalah antara seorang perempuan (Zulaikha) yang jatuh cinta kepada seorang lelaki (Yusuf) yang juga hambanya.


3. Dalam kedua-dua dialog ini, pihak yang memulakan dialog ini adalah perempuan (Zulaikha).


4. Dalam kedua-dua dialog yang diucapkannya, si perempuan (Zulaikha, yang juga majikan) memberi arahan kepada lelaki itu (Yusuf, yang juga hambanya).


5. Dalam dialog Zulaikha-Yusuf, Zulaikha bercakap 2 kali, tetapi Yusuf bercakap sekali sahaja.


6. Kedua-dua dialog Zulaikha adalah hanya sepotong ayat sahaja.


7. Dalam ayat 23 & 31, dialog yang diucapkan oleh Yusuf mengandungi (a) doa, (b) mengenang budi dan kebaikan suami Zulaikha dan (c) peringatan kepada Zulaikha.


8. Dalam ayat 51, dialog itu adalah antara Raja Mesir yang bertindak sebagai hakim yang menyiasat kebenaran tuduhan terhadap Nabi Yusuf dengan menyoal Zulaikha dan perempuan-perempuan Mesir itu.


Jelaslah dialog lelaki perempuan dalam surah Yusuf bukan dialog yang melibatkan motif berikut:


a. Berkenalan dengan tujuan mencari pasangan.


b. Mengurat (flirting), usik-mengusik.


c. Berbual-bual, berseronok-seronok, bergurau-senda, bergaul lelaki-perempuan.


d. Bercinta, memadu kasih, memadu asmara.


e. Bertengkar, berselisih faham dalam konteks percintaan.


Surah Yusuf menunjukkan kepada pengarang dan sasterawan Muslim teknik yang betul menyampaikan sebuah kisah percintaan yang indah tanpa menimbulkan kesan-kesan sampingan yang negatif ke atas pemikiran, psikologi dan emosi pembacanya.





.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Penulis Sepenuh Masa adalah Bisnesman

Kini Disambung Semula.....


Saudara mahu menjadi penulis sepenuh masa, ini bermakna saudara perlu belajar pelbagai kemahiran baru, khususnya jenis-jenis kemahiran seperti berikut:



1. Pandai menjalin dan mengekalkan persahabatan. Kemahiran ini adalah asas kejayaan dalam bisnes. Semakin banyak sahabat saudara, semakin murah rezeki saudara. Projek-projek penulisan dipesan menggunakan borang LO local order. Maknanya, si pegawai yang menjaga projek penulisan, dia yang memilih siapa yang akan diberikan projek itu. Tidak ada pegawai yang akan menyerahkan borang LO local order kepada orang yang tidak dikenalinya.




2. Pandai berunding.
Berunding bermakna bertolak ansur. Jangan pandai rebut-merebut. Apabila berunding, jangan tamak. Jangan hendak semua, nanti langsung tidak dapat apa-apa. Belajar rugi sedikit hari ini supaya untung banyak hari esok. Jangan suka berkira-kira dengan orang, nanti orang akan berkira-kira dengan saudara. Jadilah orang yang “senang runding”.


3. Pandai rugi.
Jangan hendak untung dalam semua perkara. Jangan simpan apa yang saudara tidak perlukan, berikan kepada orang yang memerlukannya. Dalam berniaga, kita memerlukan duit, kita tidak memerlukan nama. Kalau membuat projek jabatan kerajaan, ingat, pegawai kerajaan mahukan 'nama', jadi berikan 'nama' kepada mereka, nanti baru mudah kita mendapat duitnya. Jangan nama hendak, duit pun hendak. Kita orang bisnes, rugi nama tidak jadi kudis!


4. Pandai memberi.
Jangan tunggu orang lain yang memulakan pemberian, biar kita yang memberi dahulu. Sebelum dia minta diskaun, kita sudah tawarkan diskaun istimewa kepadanya.


Akan disambung......



5. Pandai bersetuju:
Kemahiran ini bunyinya mudah, tetapi ia susah. Bagi saudara yang baru belajar berfikir macam orang bisnes, pandai bersetuju adalah kemahiran yang sukar dipelajari, ia mengambil masa.

Cuba saudara bercakap dengan orang bisnes yang sudah berjaya, saudara akan dapati, walau apa pun yang saudara katakan, dia akan setuju ataupun DIAM. Dia tidak akan berkata apa-apa yang membawa makna “No, you are wrong.”


Bagi orang bisnes, dia hendak duit. Kalau orang lain hendak tunjuk pandai, dia biarkan sahaja orang itu tunjuk pandai. Bagi orang bisnes, apabila bisnesnya berjaya, itulah buktinya dia seorang yang pandai!


Mengapakah majoriti orang makan gaji dengan kerajaan tidak mempunyai bakat bersetuju yang tinggi? Sebab gaji mereka tidak ada kena mengena dengan perbuatan bersetuju! Dia suka berdebat ataupun tidak suka berdebat, kesannya ke atas kenaikan gajinya serupa.


Oleh itu, orang kerajaan, kalau dia suka berbeza pendapat sekalipun dengan orang-orang di sekelilingnya, gajinya tetap macam itu juga.


(Minta maaf banyak-banyak, kepada tuan-tuan yang terkena....) Cuba baca blog-blog orang makan gaji, kita akan dapati mereka menghasilkan banyak karya-karya kritikan, yang menunjukkan mereka pandai berbeza pendapat.


Di kalangan orang makan gaji, ada semacam keyakinan palsu kononnya apabila dia pandai menghasilkan kritikan yang bernas, pandai membuktikan orang lain salah, maka pandailah dia!



Bagi orang bisnes, bagi penulis sepenuh masa, dia tahu, kalau dia selalu tidak bersetuju, susahlah dia hendak cari makan.


Akan disambung......



6. Pandai diam. Kemahiran ini pun kemahiran yang susah diperoleh. Ia memakan masa yang lama untuk pandai diam.


Perbuatan diam apabila kita bersetuju, itu mudah, malah itulah yang selama ini kita lakukan. Tetapi diam apabila kita tidak bersetuju, inilah yang sukar. Mana boleh kita diam sedangkan kita melihat sesuatu itu tidak betul, alias merugikan kita. Begitulah lazimnya kita berfikir, lalu kita pun bercakap.


Banyak orang pandai bercakap, maka dia bercakap. Makin tinggi pelajaran kita, makin kita pandai bercakap. Orang yang pandai bercakap belum tentu pandai buat duit.


Majoriti orang-orang yang baru belajar bisnes belum menguasai habit pandai diam daripada bercakap, iaitu habit menangguhkan bercakap.


Bila pelanggan saudara bercakap, dan saudara tidak setuju dengan apa yang dikatakannya, belajar DIAM. Angguk-angguk sahaja. Tangguhkan bercakap.


Jangan dibantah cakap pelanggan saudara di situ juga. Balik dulu.... tunggu sehari dua, kemudian pergi jumpa dia semula.... cakap baik-baik. Entah-entah dia pun sudah lupa apa yang dikatakannya dulu!


Kalau pun pelanggan saudara masih ingat, moodnya sudah berubah.... Kalau dulu dia bercakap dalam keadaan dia sedang stress, sehari dua kemudian dia mungkin sudah lebih relaks.... maka lebih mudah baginya untuk menyambung semula perbincangan berkenaan perkara yang saudara kurang setuju....


Akan disambung....


Apabila saudara sudah bulat hati hendak hidup sebagai penulis sepenuh masa, isu bagaimana hendak mencari duit belanja harian akan menjadi fokus fikiran saudara.


Tetapi memikirkan duit adalah salah. Duit adalah hasil perkara-perkara yang saudara lakukan. Apabila kita melakukan perkara-perkara yang betul, barulah duit datang.


Perkara-perkara yang saya sedang terangkan dalam entri ini adalah antara perkara-perkara yang dapat menghasilkan duit, walaupun tip-tip ini tidak ada kena mengena dengan duit.


Apabila kita mencari duit, modal kita yang paling utama adalah mulut dan lidah kita. Apabila kita pandai berkata-kata, barulah orang mahu berurusan dengan kita. Barulah dia mahu memilih kita menjadi pembekalnya. Ini asas orang 'trading'. Trader tidak mempunyai apa-apa, dia hanya mempunyai dirinya. (Nabi Muhammad, salam sejahtera ke atasnya, adalah seorang trader.)


Sebelum menawarkan perkhidmatan penulisan saudara, jual diri saudara dulu. Orang bukan membeli apa yang kita tawarkan, orang membeli siapa kita. Kalau dia suka kita, barulah dia mahu menggunakan perkhidmatan kita.


Kemahiran-kemahiran yang saya terangkan dalam entri ini adalah alat kerja yang dapat menjadikan diri saudara dibeli orang.



Akan disambung....


7. Pandai Memuji.
Kalau saudara mempunyai sahabat orang bisnes, saudara mungkin perasan orang-orang bisnes memang pandai memuji dan murah dengan pujian, manakala orang makan gaji dengan kerajaan tidak pandai memuji.

Teknik memuji dan teknik mengampu amat berbeza. Jangan sekali-kali mengampu. (Kalau saudara mahu, saya boleh terangkan teknik-teknik memuji yang betul.)


Pandai memuji menyebabkan orang yang saudara puji itu lebih ingat nama dan wajah saudara, ini penting bagi menambahkan jumlah pelanggan yang akan ingat kepada saudara apabila mereka mempunyai projek.



Akan disambung....

8. Pandai memberi kerjasama. Apabila kita memberikan kerjasama kepada orang lain, tujuan kita adalah membantu orang itu berjaya mendapatkan apa yang dihajatinya.


Jangan tunggu sehingga orang itu meminta bantuan daripada kita. Sebelum dia meminta, kita sudah tawarkan bantuan kita kepadanya.


Berikan kerjasama saudara kepada sesiapa sahaja. Orang yang pernah saudara tolong akan menolong saudara. Menolong orang adalah insurans sosial yang sangat penting saudara lakukan.


Tolong orang itu, meskipun dia adalah pesaing kita. Pesaing kita adalah bakal penolong kita kerana kita sama-sama bergiat dalam bidang kepakaran yang serupa. Apabila dia memerlukan bantuan, berikan bantuan.


Bayangkan nanti, suatu hari saudara mungkin menerima projek penulisan yang besar, maka kepada siapakah saudara hendak mencari bantuan menyiapkan projek itu kalau bukan kepada pesaing saudara. Jika diserahkan kepada orang baru, saudara menanggung risiko kualiti kerja rendah, akibatnya pelanggan saudara tidak puas hati, dan bisnes saudara rosak.



Akan disambung....

Jika saudara sudah bulat hati mahu hidup merdeka, mahu membayar gaji kepada diri sendiri, tidak mahu lagi menjual waktu saudara kepada majikan saudara, bacalah entri ini seterusnya....




9. Pandai kecewa.
Inilah kemahiran yang menentukan survival saudara sebagai penulis sepenuh masa. Jika saudara sanggup belajar kepandaian menerima kekecewaan, maka ada harapan saudara dapat hidup merdeka sebagai penulis sepenuh masa.

Jika saudara ke pasar malam pada hari hujan, saudara akan nampak penjual makanan siap masak menanggung kerugian yang banyak, tetapi minggu hadapan mereka datang berjual lagi. Ini disebabkan pada malam yang hujan turun lebat, peniaga-peniaga itu pandai menerima kekecewaan. Mereka tidak menyalahkan hujan. Mereka terima kenyataan bahawa memang ada malam-malam yang hujan turun lebat walaupun siangnya langit biru dan matahari terik.


Syarikat Esso melabur dalam usaha mencarigali telaga minyak dengan nisbah 20:1, yakni bagi mendapatkan 1 penggalian yang mengeluarkan minyak, mereka sanggup menggali 20 lokasi.


Apabila sesuatu penggalian itu sia-sia kerana di situ tidak ada punca minyak, mereka tidak menyalahkan sesiapa, mereka beralih ke lokasi lain dan mula menggali lagi, jika di situ pun tidak ada punca minyak, mereka beralih ke lokasi lain lagi, dan mula menggali lagi.


Jurutera-jurutera Esso pandai menerima kekecewaan, walaupun mereka sudah menjalankan kajian saintifik di sesuatu lokasi yang difikirkan ada punca minyak di situ, tetapi mereka menerima kenyataan memang ada kemungkinan punca minyak tidak ada di situ.


Adakah saudara sekarang bekerja dengan kerajaan?


Pegawai kerajaan tidak pandai menerima kekecewaan. Semakin lama mereka bekerja dengan kerajaan, semakin mereka tidak pandai menerima kekecewaan. Jika percubaan mereka kali pertama gagal, mereka cepat patah semangat, marah-marah, merajuk, tarik diri, berhenti daripada terus berdaya usaha, menyalahkan orang lain, defensif, tidak pandai mengaku silap....


Apabila saudara mahu hidup merdeka, ingatlah, hidup merdeka lebih sukar daripada sudut psikologinya. Sebagai seorang yang makan gaji dengan kerajaan, saudara sentiasa ada ramai orang lain yang dapat saudara persalahkan.


Apabila saudara sudah merdeka, saudara kehilangan orang-orang yang dapat saudara persalahkan dan jadikan alasan mengapa saudara susah hendak cari makan. Saudara hanya mempunyai diri sendiri bagi dipersalahkan....


Akan disambung....


10. Pandai Mendorong Diri Sendiri. Kemahiran ini lebih sukar diperoleh, tetapi peranannya dalam kejayaan hidup merdeka sebagai penulis sepenuh masa adalah paling di atas.


Adakah saudara sekarang bekerja dengan kerajaan ataupun majikan swasta? Adakah saudara berhasrat hendak berhenti kerja dan menjadi penulis sepenuh masa disebabkan saudara tidak puas hati dengan majikan saudara, ataupun orang-orang di tempat kerja saudara?


Jika, ya, ini bermakna saudara menyalahkan pihak lain atas rasa tidak puas hati yang saudara alami sekarang. Ini bermakna pihak lainlah yang mendorong saudara hendak menjadi penulis sepenuh masa.


Salah satu ciri individu yang gagal hidup merdeka adalah sifat tidak pandai mendorong dirinya sendiri. Mereka melakukan sesuatu, ataupun tidak melakukan sesuatu, akibat perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Ini bermakna faktor-faktor luaran menjadi pendorong kepada keputusan-keputusan yang mereka ambil.


Jangan berhenti kerja kerana tidak puas hati. Nanti, saudara akan tambah tidak puas hati selepas berhenti kerja.


Berhentilah daripada makan gaji, meskipun saudara amat puas hati dan berjaya dalam pekerjaan sekarang. Berhentilah kerana saudara memang mahu hidup merdeka sebagai penulis sepenuh masa. Biar miskin asal merdeka!



Akan disambung....

11. Pandai Memenuhi Keperluan Orang Lain. Kemahiran ini adalah bonus yang berharga bagi orang bisnes. Ini adalah kepintaran EQ yang memberikan perbatuan jauh kepada saudara. Ia membolehkan ke mana saudara pergi, saudara disukai orang, suatu aset penting bagi sesiapa yang bergiat dalam bidang bisnes perkhidmatan peribadi, seperti perkhidmatan penulisan.


Apabila saudara becakap-cakap dengan sesiapa sahaja, kenal pasti apa keperluan jiwa orang itu, dan penuhi keperluannya itu. Sebagai contoh, pelanggan perempuan mempunyai keperluan psikologis yang berbeda daripada pelanggan lelaki.


Dalam urusan bisnes dengan lelaki, mereka mementingkan hal-hal teknikal, ertinya kualiti produk dan tempoh penyerahan mesti menepati keperluannya. Ini berbeza dengan pelanggan perempuan yang mementingkan hubungan sosial yang baik.


Perempuan mesti suka muka saudara dahulu, kalau tidak dia tidak mahu melantik saudara menjadi pembekalnya. Ertinya saudara perlu melakukan perbuatan-perbuatan yang membolehkan perempuan suka berurusan dengan saudara. Sebagai contoh, perempuan menilai tinggi aktiviti sosial seperti berkenalan dan bercakap-cakap.


Jadi, apabila saudara melayan pelanggan perempuan, ambil sedikit waktu bagi memberi dia peluang memenuhi keperluan psikologisnya. Sebagai contoh, selepas menerima cek, jangan terus mengucapkan terima kasih, pusing belakang dan balik. Ini berbeza dengan pelanggan lelaki yang mementingkan kecekapan, kepantasan dan penjimatan waktu.



Akan disambung....

12. Pandai Mencipta Persepsi Positif


Kemahiran ini membolehkan saudara menikmati 'headstart' atau 'garis mula' yang letaknya jauh di depan orang-orang lain. Ibarat saudara masuk lumba lari, di mana saudara diberikan tempat di depan garis permulaan pelumba-pelumba lain.


Salah satu unsur headstart adalah 'first impression'. First impression berfungsi sebagai asas bagi penilaian-penialaian berikutnya. Maksudnya, first impression yang positif menyebabkan penilaian-penilaian selanjutnya menjadi positif, begitu pula sebaliknya.


Disebabkan first impression kekal lama, maka kemahiran membuat orang-orang lain melihat diri saudara dengan pandangan positif menjadi kemahiran kritikal.


Katakanlah, apabila kali pertama pegawai perhubungan awam Pos Malaysia berkenalan dengan saudara beliau sudah suka saudara, maka apabila dia membaca kertas cadangan saudara untuk menuliskan buku “Pos Malaysia 100 Tahun” maka disebabkan dia suka saudara, dia akan menilai kertas cadangan itu dengan lebih positif. Maka peluang saudara mendapat projek penulisan buku “Pos Malaysia 100 Tahun” adalah lebih tinggi.


First impression dicipta oleh 2 faktor. Pertama penampilan, kedua sikap. Antara kedua-duanya ini, walaupun penampilan penting, tetapi sikap memainkan peranan yang lebih penting. Jadi, walaupun saudara mungkin pendek ataupun berhidung pesek, dengan memiliki sikap-sikap baik, saudara masih dapat mencipta first impression yang efektif.


Dalam bisnes, first impression apakah yang penting dicipta?


1. Semua orang mahu untung. Tidak ada orang yang mahu rugi. Kali pertama saudara menerima projek daripada pelanggan baru, berikan dia keuntungan, dia akan memandang saudara dengan pandangan positif.


Menjadikan seseorang itu berasa dia untung tidak semestinya saudara perlu rugi. Berikan kepada pelanggan baru saudara itu lebih daripada apa yang diharapkannya. Lain kali, disebabkan saudara sudah berjaya mencipta first impression yang baik, apabila dia mempunyai projek baru, dia akan ingat saudara.


2. Semua orang mahu menang. Tidak ada orang yang mahu kalah. Berikan kemenangan kepada pelanggan baru saudara. Ikut apa yang dia mahu. Kalau dia mahu warna hijau, buat warna hijau.


Pelanggan saudara mungkin pelik citarasanya, sedangkan saudara lebih pakar dalam bidang itu, tetapi kali pertama saudara buat projek dengannya, walaupun saudara fikir dia bodoh, objektif saudara adalah mencipta first impression yang baik.


3. Semua orang mahu mulia. Tidak ada orang yang mahu dirinya dilayan sebagai orang rendah statusnya.


Jangan anggap orang lain setaraf. Jangan sekali-kali gunakan 'you', 'I' dan 'awak' apabila bercakap kepada sesiapa dalam urusan cari makan.


Tidak ada orang Melayu yang berasa dirinya dipermulia apabila di-you-you-kan. Biar susah bercakap asal senang cari makan.


Akan disambung....


13 Pandai Kalah Manusia suka menang, tidak suka kalah. Orang-orang yang sudah lama dalam dunia bisnes pandai mengalah. Disebabkan mereka pandai mengalah, itulah sebabnya mereka kekal dalam bisnes.


Beri peluang pelanggan saudara menang selalu, nanti dia suka berurusan dengan saudara. Ini kemahiran yang payah dipelajari, khususnya oleh kaum penulis disebabkan kaum penulis adalah kelompok manusia yang suka menang.


Dua perkara ini amat berbeza, iaitu 'kalah' dan 'salah'. Betul tidak semestinya menang. Orang yang betul pun boleh kalah.


Belajar mengaku kalah walaupun saudara betul. Biarkan orang itu menang walaupun dia salah. Nanti dia suka berurusan dengan saudara.


Lazimnya orang percaya apabila kita betul, kemenangan adalah hak kita. Maka kita pun berbincang, bermesyuarat, berselisih pendapat, berdebat, bertengkar dan berkonflik sebab kita tidak mahu mengalah. Kita yakin kita mesti buktikan kita betul, orang itu salah.


Berikan kemenangan demi kemenangan kepada pelanggan saudara. Belajar berkata, “Baik, encik. Baik, puan. Baik, tuan.”


Jangan tunjuk pandai pada pelanggan. Projek itu dia punya, kalau dia suka kita, baru dia serahkan projek itu kepada kita. Kalau kita berjaya membuktikan hujah kita betul, apa gunanya, jikalau pelanggan kita sudah tidak suka berurusan dengan kita lagi.


Bagi orang bisnes, kita menang apabila pelanggan kita puas hati dan dia bayar kita cepat.



Akan disambung....

14. Pandai Memilih di Mana dan Bila Mahu Menang Orang bisnes tahu dalam isu apa dia mahu menang projek, dan bila dia mahu menang projek itu.


Pertama, kita mahu menang bagi projek yang kita mempunyai kepakaran dan keupayaan melaksanakannya dengan baik supaya pelanggan puas hati dengan kerja-kerja kita. Pelanggan yang puas hati akan rekomen kita kepada rakan-rakan sejawat mereka.


Kedua, apabila kita mahukan projek itu, kita mahu projek yang 'itu', yang lain-lain tidak dapat pun tidak jadi kudis. Jangan tamak, jangan ambil projek yang kita tidak layak menerimanya.


Jangan jadi orang tamak, semua projek dia mahu, akibatnya dia terpaksa menyerahkan projek itu kepada orang lain (sub-con). Apabila ini berlaku mutu kerja akan jatuh, menyebabkan pelanggan tidak puas hati. Kita kehilangan kepercayaan pelanggan. Lain kali dia tidak akan memberi kita projek lagi.


Jangan ambil projek yang kita tidak tidak mempunyai kepakaran dan peralatan melaksanakannya. Pelanggan yang tidak puas hati akan bercakap kepada rakan-rakan sejawatnya dan memberitahu mereka supaya jangan memberi kita sebarang projek. Suatu kajian di Jepun mendapati seorang pelanggan yang tidak puas hati bercakap kepada 19 orang lain.


Ketiga, kita mahu projek itu pada saat kita memerlukan duitnya. Jangan ambil projek yang kita tidak memerlukan duitnya saat ini. Berikan projek itu kepada orang lain yang lebih memerlukan duit itu.


Banyak orang tamak, dia sudah ada projek, tetapi dia masih mahukan projek-projek lain. Akibatnya sumber-sumber yang ada tidak mencukupi bagi melaksanakan beberapa projek serentak, menyebabkan mutu projek-projek itu jatuh, dan pelanggan tidak puas hati.


Jangan tamak, orang tamak selalu rugi.



Akan disambung....

Sudahkah saudara betul-betul tekad dan tawakal hendak hidup merdeka sebagai penulis sepenuh masa? Jika ya, bacalah seterusnya entri ini.


15. Pandai Bodoh Kemahiran sosial menjadi orang bodoh adalah kemahiran yang sukar diperolehi oleh penulis disebabkan penulis adalah orang pandai yang gemar membuktikan dirinya pandai (dengan cara membuktikan orang lain bodoh). Penulis blog adalah golongan penulis. Bacalah dunia blog yang ditulis oleh orang yang makan gaji. Lihat bagaimana para penulis blog memiliki keterujaan yang tinggi menunjukkan dirinya sebagai orang pandai, (dengan membuktikan idea dan pendapat orang-orang lain bodoh).


Dalam bisnes, orang yang paling penting adalah pelanggan kita. Bercakap tentang pelanggan, ada pelanggan yang bijaklaksana, tetapi ramai pelanggan kita adalah 'orang bodoh', yakni bodoh pada mata kita.


Dalam dunia di luar sana, ada banyak orang bodoh yang ditugaskan menjaga banyak projek, oleh itu kemahiran beriteraksi secara produktif dengan pelanggan bodoh adalah penting dalam bisnes.


Apabila berurusan dengan pelanggan yang ideanya ataupun pendapatnya berbunyi bodoh, saudara boleh memilih untuk:


a. Diam. Diam dan angguk-angguk sahaja walaupun apa yang kita dengar itu hujah bodoh, cerita bodoh, ataupun pendapat bodoh, mengikut kayu ukuran kita yang pandai ini.


b. Ikut bercakap. Bercakaplah, tetapi gunakan gaya dan logik orang bodoh itu. Jika lawak itu bodoh, ikutlah sahaja berseronok menikmati lawak bodoh itu, ataupun sumbangkan lawak bodoh kita sendiri supaya interaksi sosial itu lebih menyeronokkan. Teknik ini dipanggil 'mirroring' atau 'bercermin', ada pakar menggunakan istilah 'aligning'. Ada orang Melayu menggunakan istilah 'ikut rentak'.


c. Ketawa. Senyum dan ketawa sahaja, kata orang Melayu 'buat bodoh' sahajalah. Orang bodoh pun suka apabila kata-katanya didengari orang, walaupun orang yang mendengar itu ketawa dibuat oleh kebodohannya.


Saudara boleh lakukan ketiga-tiga strategi di atas. Sekali pandang ketiga-tiganya macam bodoh, tetapi di sebalik tingkah laku kita yang nampaknya macam membodohkan diri sendiri itu adalah strategi pintar.


Dengan melakukan perkara-perara di atas, si bodoh itu akan mempunyai persepsi positif terhadap diri saudara. Dia akan suka kepada saudara. Penjaga-penjaga projek hanya menyerahkan projek-projek yang mereka urus kepada orang-orang yang disukai karektor dan personalitinya.


Manusia lebih mudah mendengar nasihat daripada orang-orang yang disukainya. Selepas saudara diberikan projek itu, perlahan-lahan, dari waktu ke waktu, beritahu si bodoh bagaimana saudara akan melaksanakan projek itu dengan lebih baik lagi!


Kata orang putih, dalam dunia bisnes dan dunia politik pejabat, jangan tunjukkan 'your ability' tetapi tunjukkan 'your acceptability'. Lebih kurang maksudnya, jangan tunjukkan kita ini lebih pandai daripada pelanggan kita, sebaliknya tunjukkan kita ini orang yang mudah diambil bekerja untuk mereka.



Akan disambung....



16. Pandai Mendengar Ini satu lagi kemahiran yang lazimnya sukar dikuasai oleh orang-orang pintar disebabkan orang pintar suka membuktikan kepintarannya.


Banyak kajian sudah membuktikan bahawa orang-orang yang mempunyai kemahiran mendengar lebih popular, lebih berjaya dan hidup lebih bahagia.


Kemahiran mendengar berbeza daripada kemahiran diam, walaupun orang yang tidak pandai diam tidak mungkin pandai mendengar. Orang yang diam mungkin dia diam sebab dia mahu mendengar ataupun mungkin sebab dia tidak mahu mendengar.


Lazimnya kita cuma suka mendengar apa yang kita suka dengar, ataupun apa yang kita hendak dengar, iaitu perkara-perkara yang menyukakan hati kita.


Mendengar bermakna mendengar apa yang kita tidak suka dan apa yang kita suka dengar.




Akan disambung....






 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, June 08, 2006

Plot Dalam Dialog: Prinsip Surah Yusuf

Daripada 111 ayat dalam surah Yusuf, 86 ayat mengandungi dialog, yakni sekitar 74 % daripada seluruh teks. Ini adalah peratusan yang amat tinggi.


Justeru, dalam teori sastera Islami, jumlah dialog yang banyak adalah ciri keindahan. Karya yang tidak menggunakan banyak dialog adalah tidak selaras dengan stail penceritaan surah Yusuf.


Fungsi dialog yang dominan dalam surah Yusuf adalah di mana dialog mengandungi maklumat perkembangan plot cerita. Bagi saudara yang belum biasa dengan istilah 'plot', plot adalah jalan cerita.


Perhatikan bagaimana dialog-dialog di bawah ini menerangkan jalan cerita mengapa dan bagaimana Nabi Yusuf dicampakkan ke dalam telaga oleh abang-abangnya:


Ayat 4. Tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayahanda, sesungguhnya anakanda bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, tunduk memberi hormat kepada anakanda.”


Ayat 5. Bapanya berkata, “Wahai anakanda, jangan engkau ceritakan mimpimu kepada abang-abangmu, kerana ayahanda khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”


Ayat 8 & 9. Tatkala abang-abang Nabi Yusuf berkata sesama sendiri, “Sesungguhnya Yusuf dan (Bunyamin) lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu keturunan. Sesungguhnya bapa kita sangat tidak adil. Bunuhlah Yusuf ataupun buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa tertumpu kepada kita semata-mata, dan supaya kita sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna kepadanya.”


Ayat 10. Salah seorang daripada abang-abangnya berkata, “Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam perigi, supaya dia dipungut oleh musafir, kalau kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu.”


Ayat 11 & 12. Mereka pun (pergi berjumpa bapa mereka lalu) berkata, “Wahai ayahanda! Mengapa ayahanda tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal kami sentiasa ikhlas mengambil berat ke atasnya? Biarkanlah dia pergi bersama-sama kami esok, supaya dia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya, dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya.”


Ayat 13. Bapa mereka menjawab, “Pemergian kamu dengan membawanya sangatlah menyedihkanku, dan aku bimbang dia dimakan oleh serigala ketika kamu lalai menjaganya.”


Ayat 17. Mereka berkata, “Wahai ayahanda! Percayalah, kami pergi berlumba-lumba berburu dan kami tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala, sudah tentu ayah tidak percaya kepada kata-kata kami, sekalipun kami berkata benar.”


Justeru, apabila saudara mengarang cerita ataupun novel Islami, perbanyakkan ayat-ayat yang di dalamnya terkandung dialog. Dan dalam dialog itulah saudara sampaikan maklumat tentang perkembangan cerita.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, June 06, 2006

Kata Gantinama dalam Dialog: Prinsip Surah Yusuf

Apabila saudara mengarang dengan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, salah satu isu yang triki (tricky) adalah isu penggunaan kata gantinama atau 'pronoun'. Contoh kata gantinama adalah saya, aku, engkau, kamu, awak, dia, beliau dan lain-lain.


Salah satu ciri bahasa percakapan seharian adalah penggunaan kata gantinama (pronoun) yang berubah-ubah apabila seseorang itu bercakap dengan orang-orang yang berlainan kedudukan sosialnya.


Ada ahli bahasa Bahasa Melayu berpegang pada prinsip: “Orang yang hina layak dihina.” Justeru, mereka berpendapat orang-orang yang dipandang hina oleh masyarakat layak dibahasakan “kamu”, seperti penjenayah, penagih dadah dan lain-lain.


Mereka berpandangan, pada prinsipnya, “kamu” sesuai digunakan bagi bercakap dengan orang-orang yang statusnya lebih rendah. Ada juga ahli bahasa yang berpendapat “kamu” sesuai digunakan bagi bercakap dengan haiwan.


Status kanak-kanak dan remaja dianggap rendah, maka itulah guru-guru membahasakan pelajar mereka “kamu”, dan sikap ini terbawa-bawa sampai ke dewan kuliah maktab dan universiti. Dalam konteks dunia tentera pula, pelatih-pelatih dibahasakan “kamu” oleh pegawai yang melatih mereka kerana status pelatih dianggap rendah.


Apabila saudara menuliskan cerita ataupun novel, sudah semestinya terdapat banyak dialog di mana watak-watak bercakap.


Para pengarang yang menganuti fahaman realisme Barat cenderung menuliskan dialog dengan menyalin gaya percakapan seharian.


Jikalau dalam kem tentera si sarjan meng-kamu-kamu-kan pelatih-pelatihnya, maka itulah yang dituliskan dalam karangannya.


Jikalau dalam penjara si warden meng-kamu-kamu-kan si banduan, maka itulah yang ditulis oleh pengarang.


Jikalau dalam mahkamah si pendakwaraya meng-kamu-kamu-kan si plaintif dan si defenden, maka itulah juga yang dituliskan oleh si pengarang dalam bukunya.


Begitu pula, jikalau di padang bola si jurulatih meng-engkau-engkau-kan para pemainnya, maka itulah yang dituliskan oleh si pengarang dalam karangannya.


Di sini kita dapati teori dan teknik sastera Islami berpegang pada prinsip yang berbeza.


Ayat 39: (Nabi Yusuf berkata) “Wahai sahabat-sahabatku sepenjara, adakah menyembah Tuhan yang berbilang-bilang banyaknya itu lebih baik daripada menyembah Allah yang maha esa lagi berkuasa?”


Ayat 41: (Nabi Yusuf berkata) “Wahai sahabat-sahabatku sepenjara, salah seorang daripada saudara berdua akan dibebaskan.... manakala seorang lagi akan mati dengan dihukum salib....”


Kedua-dua ayat di atas menunjukkan bagaimana watak utama, seorang nabi, bercakap dengan dua orang banduan di dalam penjara dengan menggunakan panggilan yang memuliakan banduan-banduan itu.




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, June 04, 2006

Menjadi Penulis Sepenuh Masa




Strategi 5: Tiru Otak Orang Bisnes



Sebagai penulis, saudara perlu berfikir sebagai orang bisnes, baru saudara dapat hidup selesa sebagai penulis sepenuh masa.



Saudara boleh meniru model bisnes para pembekal bunga segar ke hotel-hotel. Mereka bukan hanya membekalkan bunga-bunga segar untuk lobi dan kamar hotel sahaja. Mereka juga membekalkan khidmat menjaga pokok bunga dan rumput premis hotel, membekalkan baja dan racun serangga, membekalkan bunga untuk semua majlis dalam hotel, membekalkan buah-buahan untuk bilik VIP dan lain-lain yang berkaitan dengan pokok dan bunga.



Bagaimanakah saudara dapat meninggikan yuran projek buku khas sehingga RM30 ribu untuk satu projek buku? Saudara mungkin hairan bagaimana yuran projek penulisan buku kenang-kenangan korporat boleh jadi setinggi RM20 ribu ataupun RM30 ribu, ataupun lebih.



Ada beberapa strategi yang saudara boleh gunakan bagi mendapatkan yuran yang tinggi apabila saudara menjalankan projek-projek khas.




Strategi 4 dalam 1:
Kemukakan cadangan di mana saudara akan menyediakan bukan 1, tetapi 4 jenis bahan sekaligus. (Hahaha! Minda supplier memang begitu.... sentiasa mencari peluang membekalkan macam-macam komponen berkaitan.)



Saudara cuba yakinkan mengapa adalah lebih baik bagi pelanggan saudara apabila saudara melaksanakan tugas-tugas berikut:



(a) Edisi mewah: Saudara akan menyediakan manuskrip bagi buku khas edisi mewah. Manuskrip edisi mewah lebih tebal, yakni edisi kulit keras yang sesuai dijadikan edisi meja kopi. Lazimnya edisi mewah dicetak dalam jumlah terhad, dan dijadikan cenderamata istimewa dari pihak pengurusan.



(b) Edisi kecil: Saudara akan menyediakan manuskrip bagi edisi kecil buku khas. Edisi kecil ini diedarkan percuma kepada semua tetamu yang hadir dalam majlis pelancaran ataupun perasmian.



(c) Skrip video: Saudara akan menyediakan skrip bagi video projek khas. Skrip video banyak menggunakan bahan-bahan dan maklumat yang sama dengan kandungan buku khas. Ia adalah produk sampingan daripada projek buku khas.



(d) Salinan dokumen: Saudara akan melaksanakan khidmat sampingan iaitu membuat salinan fotokopi, salinan digital, dan lain-lain salinan buku-buku, tesis-tesis, dokumen-dokumen dan gambar-gambar yang ada kait-mengait dengan sejarah pelanggan. Bukankah dokumen-dokumen itu saudara jumpai sepanjang saudara menjalankan kajian. Ia berguna bagi disimpan dalam perpustakaan korporat pelanggan saudara.



Sambil menyelam minumlah air.... dan tangkap ikan duyung sekali......



********



Bahan untuk Menulis Projek Buku Khas



Katakanlah saudara sudah diberi kontrak menuliskan buku “100 Tahun Pos Malaysia”, bagaimanakah caranya saudara dapat mencari bahan-bahan sejarah Pos Malaysia, terutama gambar-gambar lama?



Berikut adalah sumber-sumber maklumat yang saudara dapat gunakan:




Pelanggan:
Pelanggan saudara adalah sumber yang paling penting bagi mendapatkan pelbagai gambar-gambar lama, rekod lama, fail lama dan seumpamanya. Pejabat pegawai perhubungan awam pelanggan saudara memang ada menyimpan bahan-bahan lama sebahagian daripada bahan-bahan itu.





Para Pesara: Bekas pekerja adalah sumber yang sangat penting. Mereka mungkin mempunyai album-album lama di mana di dalamnya terdapat gambar-gambar koleksi peribadi yang ada kaitan dengan majlis-majlis dan tokoh-tokoh lama dalam sejarah pelanggan saudara. Lazimnya para pesara mempunyai anggota keluarga dan kenalan yang masih bertugas dalam organisasi itu. Mereka dapat membanu saudara mencari pesara berkenaan.




Akhbar Lama:
Surat khabar adalah sumber yang penting bagi mendapatkan gambar-gambar dan potongan berita-berita lama tentang pelanggan saudara. Akhbar sentiasa melaporkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di jabatan-jabatan kerajaan.




Arkib:
Arkib negara adalah sumber yang berguna bagi mendapatkan maklumat dalam akhbar dan majalah-majalah lama.




Perpustakaan:
Pelanggan saudara mungkin mempunyai perpustakaan korporatnya sendiri. Perpustakaan Negara mungkin juga berguna.




Muzium:
Sesetengah organisasi besar mempunyai muzium dan arkib korporatnya sendiri.



Filem Negara: Filem Negara Malaysia mungkin ada menyimpan filem-filem lama yang mengandungi rakaman peristiwa-peristiwa penting yang ada kaitan dengan sejarah pelanggan saudara.



Universiti. Pensyarah universiti mungkin berguna bagi mencari maklumat sekiraya sejarah pelanggan saudara pernah dikaji sebagai tesis pelajar. Beliau dapat membantu saudara masuk ke dalam perpustakaan universiti, khususnya perpustakaan fakulti di mana tesis-tesis berkenaan disimpan.



Bagi memudahkan saudara mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak, minta pegawai perhubungan awam pelanggan saudara menulis surat rasmi yang memperkenalkan siapa saudara dan apa tujuan saudara memerlukan bantuan dan kerjasama pihak-pihak yang saudara akan lawati.



*********


Prosedur Menulis Manuskrip Projek Khas



Katakanlah surat dan kertas cadangan saudara bagi menuliskan manuskrip buku kenang-kenangan “100 Tahun Pos Malaysia” dengan yuran RM20 ribu itu sudah diterima dan dipersetujui oleh Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat Pos Malaysia, bagaimanakah tatacara saudara hendak menuliskan manuskrip itu?




Langkah 1:
Sediakan senarai isi kandungan buku itu. Bagi tiap-tiap bab, tuliskan sinopsis isi kandungan bab itu.




Langkah 2:
Serahkan dokumen itu kepada pelanggan saudara dan tunggu sehingga cadangan saudara itu dipersetujui dan diterima.




Langkah 3:
Dapatkan surat persetujuan, ataupun sekurang-kurangnya dapatkan tandatangan dan cop rasmi, pegawai yang menjaga projek saudara itu di atas salinan kertas cadangan saudara. Ini amat penting, sebab ia adalah dokumen legal, yang membuktikan perkara-perkara yang sudah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Dokumen itu juga diperlukan apabila saudara mengemukakan tuntutan bayaran yuran perhidmatan saudara.




Langkah 4:
Apabila manuskrip itu sudah siap draf pertama, hantar kepada pegawai yang menjaga projek saudara. Dapatkan feedback pegawai itu, apakah ada perkara-perkara yang belum memuaskan hatinya.




Langkah 5:
Minta pegawai itu mencatatkan isu-isu yang perlu ditokok-tambah ataupun diperbaiki di atas deraf pertama itu. Ini amat penting dilakukan.




Langkah 6:
Lakukan pembaikan dan tokok-tambah sebagaimana yang dikehendaki. Hantar deraf kedua kepada pegawai berkenaan bagi semakannya. Ulang langkah 5.




Langkah 7:
Ulang langkah 6 dan langkah 5. Hantar deraf ketiga, yakni draf final.




Langkah 8:
Dapatkan surat pengesahan bahawa deraf final sudah diterima dan dipersetujui oleh pegawai itu. Dapatkan tandatangan pegawai itu di atas salinan deraf final untuk simpanan saudara. Itu adalah bukti deraf manuskrip yang itulah yang sudah dipersetujui dan diterima olehnya secara rasmi. Jikalau besok timbul dolak-dalik birokrasi sewaktu saudara menagih bayaran, maka saudara mempunyai bukti sahih bagi membela kedudukan saudara.



********



Strategi 4: Tiru Cara Kerja Kontraktor



Penulis sepenuh masa perlu belajar daripada kontraktor bagaimana mereka mendapatkan projek-projek kerajaan. Ada dua cara mereka mendapatkan projek:



(1) Tender terbuka. Projek itu difikirkan oleh pegawai kerajaan, kemudian tender ditawarkan kepada kontraktor. Projek jenis ini sudah dirancang lama dan mahal-mahal nilainya. Projek penulisan tidak dibuat menggunakan prosedur ini.



(2) Tender tertutup. Projek jenis ini kecil nilainya dan dapat dibayar menggunakan prosedur L.O. local order sahaja. Kontraktor boleh memikirkan projek yang mungkin diperlukan oleh pegawai kerajaan, kemudian kontraktor mengemukakan projek itu kepada pegawai tersebut, jika disetujui, projek itu diserahkan kepada kontraktor berkenaan. Projek penulisan termasuk dalam prosedur ini.



Sebagai penulis sepenuh masa, semua jabatan dan agensi kerajaan berpontensi menjadi pelanggan saudara bagi projek penulisan. Antara projek yang sesuai saudara fikirkan adalah projek buku kenang-kenangan.



Jenis-jenis buku kenang-kenangan:



1. Buku maklumat korporat. Semua kementerian dan agensi kerajaan menerbitkan buku maklumat masing-masing. Buku-buku itu diedarkan kepada orang awam yang memerlukannya dan juga dibekalkan kepada pejabat kedutaan di luar negara.



2. Buku sempena ulang tahun. Banyak agensi merayakan hari ulangtahun yang ke-10, ke-15, ke-20, ke-60, jubli perak, emas, platinum, ikut suka hati ketua pengarah masing-masing. Mereka memerlukan buku komemoratif yang diterbitkan sempena perayaan itu.



3. Buku sempena pelancaran kempen. Banyak kementerian dan agensi kerajaan melancarkan pelbagai kempen seperti kempen budi bahasa, kempen kitar semula, kempen derma darah, kempen keselamatan di jalanraya dan macam-macam lagi kempen.



4. Buku sempena kenaikan taraf. Banyak agensi dan institusi kerajaan dinaikkan tarafnya, sebagai contoh, daripada maktab menjadi universiti, daripada jabatan menjadi badan berkanun, daripada majlis menjadi lembaga.



5. Buku sempena penubuhan ataupun penswastaan. Dari waktu ke waktu kerajaan menubuhkan badan-badan baru. Apabila badan-badan itu dibuka secara rasmi, lazimnya akan diterbitkan buku kecil yang mengandungi maklumat berkenaan badan itu.



6. Buku korporat edisi baru. Semua kementerian dan agensi kerajaan mengalami perlbagai perkembangan dan perubahan oleh itu mereka perlu menggantikan buku-buku penerangan yang lama dengan yang baru disebabkan banyak maklumat yang sudah tidak betul lagi. Sebagai contoh, apabila menterinya berubah, mereka terpaksa menerbitkan edisi baru dengan gambar dan maklumat menteri baru.



7. Buku sempena pembukaan bangunan baru. Banyak agensi kerajaan berpindah ke kampus, kompleks dan bangunan baru milik agensi sendiri, yang bakal dirasmikan pembukaannya. Mereka memerlukan buku kenang-kenangan bagi majlis itu.



8. Buku persaraan. Sesetengah agensi kerajaan mempunyai dana khas bagi menerbitkan buku kenang-kenangan untuk ketua pengarah yang akan bersara.



Beginilah cara saudara mencari dan melaksanakan penulisan buku-buku kenang-kenangan:



a. Projek buku komemoratif dikendalikan oleh jabatan perhubungan awam perbadanan berkenaan. Berkenalan dan berkawanlah dengan pegawai-pegawai perhubungan awam. Mereka mempunyai banyak maklumat tentang pelbagai jadual perayaan organisasi masing-masing, iaitu (a) perayaan apa, dan (b) tahun bila dan bulan bila perayaaan itu dijalankan.



b. Kemukakan surat dan kertas cadangan projek di mana saudara menawarkan perkhidmatan menuliskan teks bagi buku komemoratif yang mereka mungkin berminat. Belajar teknik menulis surat dan kertas kerja yang betul.



c. Peruntukan kewangan bagi projek-projek perayaan disediakan dan dipohon oleh pegawai jabatan perhubungan awam. Kemukakan surat dan kertas cadangan saudara 2 tahun lebih awal sebab begitulah cara jabatan kerajaan bekerja!



**********
















Strategi 3: Tiru Mamak Kedai Buku



Kedai buku Mamak menjual buku-buku dan gula-gula. Berapa sen sangatlah keuntungan daripada jualan gula-gula, tetapi Mamak tetap menjual gula-gula. Mengapa?



Keuntungan jualan gula-gula memang kecil, tidak cukup bagi membayar sewa kedai, ataupun gaji pembantu kedai. Tetapi keuntungan daripada jualan gula-gula itu sudah cukup bagi membayar bil-bil kecil seperti bil api, bil air dan seumpamanya. Bil-bil api dan bil air mesti dibayar tiap-tiap bulan, tidak boleh ditangguh-tangguh, kalau ditangguh, kena potong, kedai pun tidak dapat dibuka.



Apabila saudara hendak hidup sebagai penulis sepenuh masa, tirulah cara mamak berfikir. Mereka membezakan dua jenis perolehan: (a) untung besar, (b) untung kecil. Untung besar digunakan bagi membayar bil-bil besar, manakala untung kecil digunakan bagi membayar bil-bil kecil.



Saudara juga memerlukan 2 jenis perolehan: (a) cek besar, (b) cek-cek kecil. Cek besar datang setahun sekali, yakni daripada royalti buku, sedangkan sementara menunggu datangnya royalti, setiap bulan saudara memerlukan wang bagi membayar keperluan harian.



Semasa saudara menulis buku, tulislah juga perkara-perkara lain yang mendatangkan wang cepat. Sumber-sumber cek kecil termasuklah:



1. Skrip pelbagai rancangan radio. Berkawanlah dengan penerbit radio bagi mengetahui skrip-skrip yang diperlukan oleh penerbit. Apabila RTM mengadakan rumah terbuka, pergilah, dan berkenalan dengan pegawai-pegawai RTM yang bertugas.



2. Skrip filem, drama TV dan rancangan dokumentari. Banyak video dokumentari diterbitkan oleh penerbit swasta, oleh itu kembangkan network persahabatan saudara supaya termasuk mereka yang bertugas dengan penerbit-penerbit swasta. Masuk pelbagai kursus yang dianjurkan oleh FINAS, dan ambil peluang berkenalan dengan tokoh-tokoh industri itu yang datang memberi ceramah dan bimbingan. Masuk kursus jurukamera filem pun berguna, sebab dengan bersahabat dengan jurukamera yang menjadi pembimbing kursus, saudara berpeluang mendapatkan banyak maklumat.



3. Artikel untuk pelbagai akhbar dan majalah. Beli semua akhbar dan semua majalah yang dijual. Analisis kandungan akhbar-akhbar dan majalah-majalah itu. Dari situ saudara tahu apa jenis-jenis artikel yang diterbitkan dan pilihlah topik-topik yang saudara dapat bekalkan.



4. Skrip buku dan video projek khas. Projek khas memang banyak, saudara perlu mengusulkan projek-projek khas kepada klien berpotensi. Katakanlah, Pos Malaysia akan menyambut hari ulang tahun ke-100 tahun depan. Pos Malaysia mungkin hendak menerbitkan buku kenang-kenangan khas, oleh itu mereka memerlukan penulis yang dapat menuliskan sejarah Pos Malaysia. Projek jenis ini lazimnya menyediakan bayaran honorarium yang lumayan.



5. Jadi stringer akhbar. Saudara boleh menjadi pembekal berita-berita tempatan kepada akhbar-akhbar seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia.



6. Jadi penterjemah kepada syarikat PR (public relations). Syarikat-syarikat PR menyediakan laporan-laporan tahunan korporat yang mesti diterbitkan dalam edisi Bahasa Melayunya juga. Saudara boleh menterjemah untuk mereka.



7. Jadi penterjemah kepada syarikat periklanan. Syarikat-syarikat periklanan menyediakan bahan-bahan seperti brosur, manual produk dan lain-lain yang perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.



***********



Strategi 2: Banyakkan Sumber Cek Kecil



Apabila saudara hendak hidup sebagai penulis sepenuh masa, saudara memerlukan dua jenis pendapatan: (a) honorarium, yakni cek-cek kecil, dan (b) royalti, yakni cek besar.



Honorarium adalah bayaran saguhati yang saudara terima satu kali sahaja bagi penulisan saudara. Saguhati dibayar oleh suratkhabar, majalah, radio dan penganjur seminar.



Bayaran saguhati oleh RTM, DBP, Berita Harian (BH) dan Utusan Malaysia (UM), JAKIM, tidak melibatkan penjualan hakcipta karya saudara. Amalan lazim adalah, akhbar memegang hakcipta artikel saudara selama 1 hari sahaja, iaitu hari artikel saudara diterbitkan, manakala majalah memegang hakcipta saudara selama 1 bulan sahaja.



Ingat, sebelum saudara menghantar artikel kepada akhbar dan majalah terbitan mana-mana syarikat lain, siasat dahulu syarat yang dikenakan oleh syarikat itu. (Nota kepada sahabat saya, En. Norden Mohamed, Pengurus Besar Alaf21, bolehkah kita tahu syarat yang dikenakan oleh akhbar-akhbar dan majalah-majalah terbitan Kumpulan Karangkraf? Terima kasih.)



Walaupun cek honorarium kecil nilainya, saudara memerlukan bayaran pelbagai saguhati kerana ia dibayar cepat, oleh itu saudara dapat menggunakan wang itu untuk menampung belanja hidup harian saudara.



Baca buku “BUAT DUIT DENGAN MENULIS” oleh Jeniri Amir, terbitan PTS. Ini adalah buku terbaik yang memberikan tip-tip praktikal bagaimana cara menulis artikel untuk akhbar dan majalah. Kekuatan buku ini adalah pada banyaknya contoh-contoh yang diberikannya.



Jeniri Amir adalah penulis artikel yang paling berjaya daripada sudut perolehan. Beliau sendiri memperoleh pendapatan bulanan antara RM2 hingga RM3 ribu sebulan daripada pelbagai artikel akhbar dan majalah yang ditulisnya.



Saudara jangan bergantung hidup kepada cek-cek honorarium kerana ia dibayar sekali sahaja. Ini bermakna saudara tidak mempunyai sumber pendapatan ulangan bagi jangka masa panjang.



Artikel dan bahan-bahan yang saudara terbitkan dengan akhbar BH dan UM, JAKIM dan RTM dapat saudara olah semula dan diterbitkan sebagai buku.



Ingat! Jangan tulis artikel dengan harapan artikel-artikel itu dapat dikumpulkan menjadi buku. Penerbit komersial tidak mahu buku jenis ini sebab pembeli buku tidak suka membeli buku jenis ini.



Sebaliknya, fikirkan sebuah buku yang hendak ditulis, kemudian tulis buku itu, di mana bahagian-bahagian buku itu dapat diterbitkan sebagai artikel di akhbar dan majalah.



Blog saya ini adalah contoh bagaimana saya sedang menulis 2 buah buku serentak iaitu (a) buku PANDUAN MENJADI PENGARANG, dan (b) buku PANDUAN MENULIS NOVEL ISLAMI, tetapi sebelum buku-buku ini terbit, bahagian-bahagian yang sudah saya tulis dapat diterbitkan sebagai artikel.



*******




Strategi 1: Tiru Penyanyi



Mungkinkah saudara hidup selesa dengan menjadi penulis sepenuh masa? Ada suatu perkara yang penulis dapat belajar daripada bagaimana para penynanyi hidup dengan menyanyi sepenuh masa.



Pada suatu masa dahulu, tidak ada penyanyi yang dapat hidup selesa dengan menyanyi sepenuh masa. Hari ini keadaan itu sudah berubah. Industri hiburan sudah membolehkan ramai penyanyi hidup dengan bakatnya.



Ramai orang yang bukan penyanyi tidak mempunyai maklumat bagaimana para penyanyi hidup dan dari mana mereka mendapat sumber-sumber pendapatan. Berikut adalah sumber pendapatan penyanyi:




  1. Royalti daripada lagu-lagu yang mereka rakamkan.




  2. Honororium daripada pelbagai show pentas di mana mereka tampil menyanyi.




  3. Royalti daripada penampilan wajah mereka dalam pelbagai media iklan dan pelaris produk.




  4. Honorarium di mana mereka menjadi duta promosi pelbagai produk.




  5. Honorarium daripada kontrak menyanyi di kelab-kelab.




  6. Honorarium daripada majlis di mana mereka tampil sebagai crowd-puller dan penyeri majlis.




  7. Honorarium berlakon dalam teater, filem ataupun siri TV.




  8. Honorarium daripada pelbagai ceramah yang mereka sampaikan.




  9. Royalti daripada nama yang dilesenkan kepada buku-buku yang ditulis oleh orang lain.




  10. Honorarium daripada pelbagai endorsement yang mereka berikan kepada pelbagai produk.




  11. Royalti daripada senikata lagu yang mereka cipta.




  12. Royalti daripada lagu-lagu yang mereka cipta.




  13. Honorarium daripada memainkan alat muzik dalam lagu yang dirakamkan.




  14. Honorarium daripada menyanyikan lagu-lagu tema iklan, tema kempen dan seumpamanya.




  15. Honorarium daripada menjadi juruacara majlis.




  16. Honorarium daripada menjadi penyampai program TV.




  17. Honorarium daripada menulis skrip pelbagai program TV.




  18. Pendapatan daripada pelaburan dan bisnes sampingan.





Apabila saudara merancang menjadi penulis sepenuh masa, rancang supaya saudara mempunyai banyak sumber pendapatan. Banyak peluang pendapatan datang daripada aktiviti yang memerlukan bakat menulis.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(14) Diskusi Kuliah | Permalink

Fungsi Novel Islami

Sejarah sastera Melayu moden menyaksikan perpecahan pendapat dalam ASAS 50, di mana satu kem berpendapat sastera mestilah bertanggungjawab terhadap kepentingan masyarakat, manakala satu kem lagi mengatakan sastera adalah untuk sastera.


Polemik apakah sastera harus mengabdi kepada masyarakat ataupun mengabdi kepada sastera itu sendiri, hal ini tidak berlaku dalam teori sastera Islami.


Dalam Quran terkandung banyak cerita. Dalam sejarah hidup Nabi Muhammad, salam sejahtera ke atas beliau, beliau banyak menyampaikan cerita.


Menyampaikan mesej-mesej Islam dengan menggunakan cerita itu ada presedennya dalam Quran dan dalam hadith. Maka hukum menulis cerita itu adalah sunnah Quran dan sunah Nabi Muhammad dan ia adalah ibadah.


Teori sastera Islami aliran surah Yusuf mengenal pasti 3 fungsi sastera, sebagai berikut:


1. Mengajak pembaca berfikir.
Ayat 3 bermaksud, “Sesungguhnya kami turunkan Quran ini dalam bahasa Arab (sebab Nabi Muhammad adalah orang Arab – pen.), mudah-mudahan kamu memikirkannya. Ayat 4 bermaksud, “Kami sampaikan kepadamu sebuah kisah yang paling indah, melalui Quran yang kami wahyukan kepadamu, sedangkan sebelumnya kamu adalah antara orang-orang yang tidak mengetahuinya.”


2. Menyampaikan peringatan Tuhan kepada pembaca. Ayat 104 bermaksud, “....sedangkan Quran itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah peringatan kepada semua manusia.” Ayat 109 bermaksud, “....Sesungguhnya, kampung akhirat itu adalah lebih baik bagi sesiapa yang bertaqwa. Tidakkah kamu memikirkannya?” Ayat 110 bermaksud, “....Ingatlah, tiada kaum yang berdosa yang berdaya menolak balasan azab Kami.”


3. Menyampaikan pelajaran.
Ayat 111 bermaksud, “Sesungguhnya, dalam kisah nabi-nabi itu terkandung pelajaran bagi orang-orang yang berfikir....”


Justeru teori sastera Islami aliran surah Yusuf menolak karya yang tidak ditulis bagi memenuhi ketiga-tiga fungsi di atas. Kisah Nabi Yusuf memenuhi ketiga-tiga fungsi itu.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, June 02, 2006

Spellchecker (sambung)

Pada masa ini ada 2 sofwer spellchecker, atau penyemak ejaan Bahasa Melayu. Yang sudah lama berada dalam pasaran adalah Dewan EJA. Harganya RM50 senaskhah.



Spellchecker yang lebih baru, saudara boleh download PERCUMA daripada web MIMOS ataupun web www.pts.com.my. Ia sedia siap dikepilkan dalam wordprocessor OpenOffice.



Spellchecker ini dibangunkan secara usahasama antara MIMOS Bhd dan makmal linguistik PTS Consultants Sdn. Bhd. PTS menanggung semua kos penyelidikan linguistik bagi pembangunan spellchecker ini kerana ia adalah sebahagian daripada perjuangan PTS memajukan teknologi Bahasa Melayu.



Supaya pengorbanan PTS tidak sia-sia, gunakan OpenOffice. PTS mewajibkan semua penulisnya belajar menggunakan sofwer OpenOffice bagi menyemak ejaan manuskrip masing-masing sebelum dihantar ke PTS.




Kebodohan spellchecker



Hubaya-hubaya!



Namanya pun 'spellchecker', yakni ia cuma menyemak ejaan. Kalau ejaan itu betul, maka spellchecker itu tidak akan mengatakan ia salah, meskipun dalam konteksnya ejaan itu SALAH.



Ayat-ayat di bawah akan dikatakan ejaannya betul:



a. Saya ditinggalkan seorang diri. (Ini memang BETUL)


b. Saya di tinggalkan seorang diri. (Ini sebenarnya SALAH tetapi dikatakan BETUL)



Alasan: Spellchecker tidak kenal “di” yang mesti dijarakkan dan “di” yang dirapatkan. Kedua-duanya dikatakan BETUL.



Begitu juga ayat-ayat di bawah akan dikatakan betul ejaannya:



a. Dia mendapat tempat kedua. (Ini memang BETUL)


b. Dia mendapat tempat ke dua. (Ini sebenarnya SALAH tetapi dikatakan BETUL)



Alasan: Spellchecker tidak kenal “ke” yang mesti dijarakkan dan “ke” yang dirapatkan. Kedua-duanya dikatakan BETUL.



Begitu juga ayat-ayat di bawah akan dikatakan betul ejaannya:



a. Masakan saya sedap. (Ini memang BETUL)


b. Masakkan saya sedap. (Ini sebenarnya SALAH tetapi dikatakan BETUL)



Alasan: Spellchecker tidak kenal perbezaan penambahan “an” dan “kan”. Kedua-duanya dikatakan BETUL.



Begitu juga ayat-ayat di bawah akan dikatakan betul ejaannya:



a. Suaranya lembut. (Ini memang BETUL)


b. Suaranya lembu. (Ini sebenarnya SALAH tetapi dikatakan BETUL)



Alasan: Spellchecker tidak kenal perbezaan makna “lembut” dan “lembu”. Kedua-duanya dikatakan BETUL meskipun makna ayat itu salah.



Jika saudara menggunakan perkhidmatan editor part-time, berhati-hatilah, ada kecenderungan editor part-time hendak menyiapkan kerja mereka cepat-cepat, oleh itu mereka tidak membaca semua perkataan kata-demi-kata. Akibatnya, mereka tidak membetulkan kesilapan jenis yang diterangkan di atas.




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(6) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, June 01, 2006

Memilih Watak Utama: Prinsip Surah Yusuf

Dalam teori klasik novel, watak putih adalah watak utama, watak hero, watak baik, watak yang ideal. Watak hitam adalah watak yang memiliki sifat-sifat negatif, yang berfungsi sebagai watak anti-hero.


Dalam novel 'Siti Noerbaya' karya Marah Roesli, Siti Noerbaya adalah watak putih, manakala Datuk Maringgih adalah watak hitam. Dalam novel 'Salah Asoehan' karya Abdoel Moeis, Corrie dan Rapiah adalah watak putih manakala Hanafi adalah watak hitam.


Dalam arus perkembangan teori novel Barat, pandangan yang mengatakan watak utama seharusnya watak putih itu kemudian dianggap tidak sesuai lagi. Justeru watak-watak yang tidak ideal boleh dijadikan watak utama. Pandangan ini kemudian turut dianuti oleh karyawan tempatan.


Dalam novel 'Salina' karya A Samad Said, Salina adalah seorang peremuan 'P'. Para pengkritik sastera mengatakan Salina adalah watak putih, meskipun kerjayanya adalah sebagai seorang 'P', sejak mula sehingga akhir novel itu, Salina tidak pernah berhenti daripada kerjayanya sebagai perempuan 'P' itu.


Pengkritik mengatakan Salina adalah watak putih kerana dia terpaksa, disebabkan dia adalah mangsa Perang Dunia II, dan dia adalah mangsa kepada kejahatan Abdul Fakar, manakala pada waktu yang sama dia banyak membantu persekolahan Helmy.


Dalam surah Yusuf, Nabi Yusuf adalah seorang watak putih. Beliau adalah watak utama, watak hero, watak manusia ideal yang sempurna. Justeru, teori sastera Islami tidak menerima watak hitam dijadikan sebagai watak utama dalam novel.


Berdasarkan kedudukan Siti Zulaikha, abang-abang Nabi Yusuf dan al-Aziz, kedudukan watak hitam adalah amat jelas dalam teori sastera Islami, iaitu sebagai watak-watak pembantu.


Jadi, teori sastera Islami tidak menerima pezalim, penyamun, perasuah, pezina, pemurtad, pejudi, penipu, pemabuk, penghibur, periba', dan lain-lain watak yang hidupnya bergelumang dalam dosa-dosa besar, yang tidak balik ke pangkal jalan sehingga tamat cerita, yang diangkat menjadi watak utama.


Sastera Islami menolak karya-karya yang memberikan kemenangan moral kepada para pedosa besar.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku Haram

Berikut adalah senarai terbaru buku-buku yang diharamkan oleh JAKIM. Baca dalam komen.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

(5) Diskusi Kuliah | Permalink

Ejaan

ke” yang SALAH dan “ke” yang BETUL


ke” yang SALAH


Orang Melayu bercakap mulut menggunakan “ke” ataupun “ker” apabila bertanya. Apabila menulis buku, “ke” dan “ker” jenis ini mesti ditulis sebagai “kah”.



Sebagai contoh:



“Awak dah kahwin ke?” (SALAH)


“Awak sudah berkahwinkah?” (BETUL)


“Betul ke dia kata begitu?” (SALAH)


“Betulkah dia berkata begitu?” (BETUL)


“Dia suka ke?” (SALAH)


“Dia sukakah?” (BETUL)



“ke” yang BETUL


“ke” yang betul adalah SENDI NAMA


Contoh:


ke Kuala Lumpur (BETUL)


ke dalam botol (BETUL)


ke atas meja (BETUL)


ke rumah saya (BETUL)


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(4) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 1 of 1 pages