Malam Jumaat lalu, sebagaimana biasa, sekali sebulan, Ustaz Junaidi datang mengajar agama di surau kampus PTS di Janda Baik.
Beliau menerangkan cara sembahyang bagi individu-individu yang belum pandai sembahyang tapi sudah ingin bersembahyang.
Banyak orang Islam tidak pandai bersembahyang, barangkali disebabkan mereka baru sahaja masuk Islam, ataupun mereka itu Islam keturunan, oleh itu sejak kecil mereka tidak pernah diajar sembahyang.
Banyak orang Islam keturunan tidak pandai sembahyang, ini bukan perkara luar biasa. Sebagai contoh, banyak orang Asli, Iban, Kadazan dan lain-lain kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak, masuk Islam suami isteri.
Jadi anak-anak mereka tidak pandai sembahyang, sebab walaupun ibu bapa mereka sudah Islam, tetapi mereka pun tidak pandai bersembahyang, jadi mereka tidak mengajar anak-anak mereka bersembahyang.
Bagi orang-orang yang tidak pandai bersembahyang macam cara ustaz-ustaz bersembahyang, cara sembahyang bagi mereka amat berbeza daripada cara sembahyang ustaz-ustaz.
Jika saudara tidak pandai membaca ayat-ayat al-Fatihah dan bacaan-bacaan lain, saudara boleh bersembahyang dengan membaca
"Allahu Akbar" sahaja, ataupun
"Lailaha il Allah" sahaja, ataupun perkataan-perkatan lain (disebut 'wirid') seperti itu yang saudara pandai menyebutnya.
Kalau saudara memang tidak tahu wirid lain, kecuali
"Allahu Akbar", baca itu sahaja pun cukup bagi menggantikan bacaan ayat-ayat al-Fatihah. Sembahyang saudara dikira sah.
Berapa kali saudara perlu ulangi bacaan
"Allahu Akbar" itu? Ulanglah supaya lebih kurang sama panjang dengan tempoh orang membaca ayat-ayat al-Fatihah. Barangkali 20 kali sudah cukup.
Baca
"Allahu Akbar" bagi semua bacaan lain sepanjang sembahyang. Sembahyang saudara adalah sah, sebab saudara memang belum pandai membaca bacaan-bacaan lain.
Jadi, sembahyang adalah amat mudah. Jangan tangguhkan hendak bersembahyang atas alasan saudara hendak belajar membaca ayat-ayat Arab yang selalu dibaca orang dalam sembhayang.
Sembahyanglah dengan membaca "Allahu Akbar" sahaja. Sambil-sambil itu, belajar membaca ayat-ayat al-Fatihah, sedikit demi sedikit, sampai saudara akhirnya pandai.
Apabila saudara sudah pandai membaca ayat-ayat al-Fatihah, barulah baca al-Fatihah dalam sembahyang, sebab bacaan itu wajib bagi orang yang pandai membacanya. Kalau belum pandai, belajar sampai pandai.
Bacaan-bacaan lain yang biasa dibaca orang dalam sembahyang adalah serupa juga, yakni saudara boleh pelajari sedikit-demi-sedikit.
Bagi orang yang baru hendak belajar sembahyang, bacaan boleh diganti dengan bacaan ringkas seperti
"Allahu Akbar", tetapi gerak-gerak dalam sembahyang mesti dibuat.
Apabila saudara bersembahyang, yang mesti saudara lakukan adalah gerak-gerak dalam sembahyang, iaitu berdiri tegak sambil menghadap arah matahari terbenam, membungkuk, sujud dan duduk. Ia amat mudah dipelajari.
Banyak orang ingin bersembahyang, tetapi disebabkan mereka tidak pandai membaca doa-doa yang biasanya dibaca oleh ustaz-ustaz dalam sembahyang, maka mereka tidak mula bersembahyang. Ini amat merugikan.
Disebabkan saudara adalah orang Islam, saudara mesti bersembahyang supaya saudara mendapat pahala yang banyak, jiwa saudara tenang, dan dapat masuk syurga.
Walaupun membaca ayat-ayat al-Fatihah adalah wajib dibaca, tetapi jika saudara memang belum pandai membacanya, ia tidak wajib dibaca. Saudara bacalah apa-apa ayat ataupun perkataan yang saudara pandai menyebutnya seperti
"Allahu Akbar".
Tuhanlah yang lebih mengetahui.
Nota: Beginilah contoh menulis buku agama menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh sesiapa sahaja asalkan dia tahu Bahasa Melayu.
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o