Syukur kepada Tuhan yang maha pemurah lagi maha memberi ganjaran ke atas daya usaha hamba-hambanya.
Laporan kewangan awal yang saya terima daripada En. Zaharin Zain, Pengurus Jabatan Pemasaran PTS, menunjukkan nilai jualan tunai di booth PTS naik lebih daripada 100% berbanding tahun 2006. Saya belum menerima laporan berapa judul PTS yang berjaya dilesenkan kepada penerbit-penerbit Indonesia.
Daripada info lembut yang saya kutip, ada kemungkinan peningkatan peratusan jualan di booth PTS adalah yang paling tinggi antara semua gerai sepanjang pesta.
Salah satu faktor utama kenaikan ini adalah jumlah judul-judul baru yang sempat terbit sempena pesta. Saya dimaklumkan lebih 40 judul baru diterbitkan. Tahniah kepada para editor yang berjaya menerbitkan judul-judul baru itu.
Satu lagi faktor yang saya yakin meningkatkan jumlah jualan adalah konsep booth PTS yang digunakan pada tahun ini, iaitu konsep "booth terbuka" dan "meja pasar malam". Tahniah kepada pencipta konsep booth PTS 2007. Pameran buku gaya pasar malam mencipta kesan 'harga murah' ke atas minda pengunjung, dan ini mendorong mereka menambah jumlah buku yang dibeli.
Faktor ketiga adalah jumlah penulis yang terlibat mempromosi buku masing-masing. Pada tahun ini jumlah penulis yang datang dan melakukan promosi dalam booth PTS adalah paling banyak berbanding tahun-tahun sebelum ini. Apatah lagi apabila penulis-penulis itu memakai apron PTS yang disediakan. Dengan memakai apron itu mereka meningkatkan lagi mood meriah di booth PTS.
Keempat adalah faktor jumlah petugas yang ramai dalam booth PTS juga mempunyai pengaruh ke atas minda pengunjung disebabkan ia mencipta 'kesan sibuk', 'kesan penuh-sesak', 'kesan jualan murah', 'kesan orang berebut-rebut' yang dikaitkan dengan kesan 'ada barang baik'. Kesan ini mencipta apa yang disebut, 'kesan pasar malam'. Makin ramai orang, makin banyak mereka membeli.
Faktor 'orang panggil orang' adalah ciri sosial psikologi yang penting. Kehadiran penulis-penulis PTS dalam booth membantu terciptanya suasana ala-ala mega-sale sedang berlaku dalam booth PTS itu.
Bukankah booth-booth rakan-rakan kita yang buku-bukunya tidak laku keras tidak meletakkan banyak petugas di dalamnya?
Sebagai perbandingan, cuba perhatikan trick 'kesan sibuk' ini dilakukan oleh booth Grolier umpamanya, di mana jumlah petugas mereka lebih banyak daripada produk yang mereka jual.
Kehadiran pegawai-pegawai dan penulis PTS yang ramai, yang datang membantu menjaga booth dengan sukarela, juga membantu terciptanya kesan mega-sale itu.
Pakaian jaket rasmi PTS yang mereka pakai juga mencipta 'kesan korporat' yang menonjol sehingga saya ditanya seorang pengunjung, "Berapa ratus staf PTS?". Kesan korporat ini mencipta keyakinan pengunjung ke atas kualiti buku-buku PTS, kerana ia mencipta logik 'syarikat besar tentu menerbitkan buku-buku bermutu sahaja'.
Faktor 'kesan korporat' ini juga tercipta melalui acara-acara yang menampilkan nama-nama besar PTS di pentas utama. Nama-nama besar berfungsi sebagai duta-duta besar yang mampu mencipta keyakinan orang ramai kepada kualiti PTS.
Kemunculan tokoh-tokoh seperti Dato' Dr. Hassan Ali, Dato' Dr. Fadhilah Kamsah, Dr. Tengku Asmadi, Dr. Danial Zainal Abidin, dan Fadzli Yusof, sebagai pembawa 'bendera' PTS memainkan peranan penting mencipta kredibiliti PTS sebagai penerbit korporat yang dipercayai ramai.
Tidak dilupakan adalah design cover buku-buku PTS juga menyebabkan pengunjung suka memegang dan membelek-belek buku-buku yang dipamerkan. Memang ada kaitan korelasi antara berapa lama seseorang itu memegang-megang buku dengan keputusannya membeli buku yang dipegangnya.
Kejayaan PTS dalam pesta buku yang baru tamat adalah gabungan pelbagai faktor, sumbangan semua pihak yang telah bertungkus lumus menghasilkan produktiviti masing-masing, yang apabila semuanya digabungkan telah mencipta kesan-kesan luar biasa.
Saya gembira dan sukacita melihat Tim PTS tidak putus-putus mencipta perkara-perkara yang mengejutkan!
Oh! Saya lupa... Mengapakah sepanjang masa pesta, sejak pagi sampai jam 10.30 malam tadi, para petugas dalam booth PTS, baik staf mahupun penulis, asyik senyum dan ketawa, walaupun semuanya penat belaka?
AINON MOHD. Pengerusi Kumpulan Syarikat-syarikat PTS.
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o