Ini bukan kali pertama kita menerima laporan bahawa ada golongan yang mendoakan supaya "PTS masuk neraka". Isu ini sudah berlaku semenjak 5 tahun yang lalu, yakni semenjak 2002, tetapi sehingga hari ini masih berterusan.
Mereka yang tidak setuju dengan dasar bahasa PTS pernah menghantar kritikan mereka ke akhbar, dan mengatakan PTS patut dilaporkan ke JAKIM supaya tindakan dikenakan ke atas PTS "kerana menghina Nabi Muhammad". Malah di sebuah daerah di Johor, fotokopi keratan akhbar itu ditampalkan di papan-papan notis masjid-masjid daerah itu.
Faktor yang menyebabkan timbul kemarahan di kalangan sesetengah pihak terhadap PTS adalah isu dasar editorial bahasa di jabatan editorial PTS, khususnya bagi buku-buku agama.
Bagi saudara yang belum membaca buku-buku agama PTS, dimaklumkan bahawa gaya bahasa buku-buku itu adalah berbeza sedikit daripada gaya bahasa buku-buku agama konvensional. Ini dilakukan kerana buku-buku agama PTS bukan ditargetkan bagi bacaan ustaz-ustaz, sebaliknya ia ditargetkan kepada 2 kelompok pembaca, iaitu:
(a) Golongan bukan Islam: Banyak orang bukan Islam berminat hendak mengetahui tentang agama Islam. Mereka langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang agama Islam, dan
(b) Golongan Islam pada nama sahaja: Mereka adalah orang Islam, tetapi status agama Islam mereka adalah agama keturunan sahaja. Mereka tidak mempunyai pengetahuan agama, meskipun yang paling asas. Mereka tidak pandai sembahyang, tidak tahu mandi wajib, tidak pandai membaca Fatihah, dan yang seumpamanya.
Ciri-ciri utama 2 golongan di atas itu adalah:
(a) Mereka itu buta huruf Arab.
Faktor ini menyebabkan teks Quran dan hadis dalam buku-buku PTS hanya diberikan maknanya sahaja. Sebagai contoh, pembaca Cina dan India memang tidak tahu membaca tulisan Arab, oleh itu teks Arab tidak ada dalam buku-buku agama yang diterbitkan buat bacaan mereka.
(b) Mereka tidak faham perkataan-perkataan pinjaman daripada Arab.
Dalam Bahasa Melayu terdapat amat banyak perkataan pinjaman Arab yang dijadikan istilah agama dalam Bahasa Melayu, seperti solat, soleh, sohih, syirik, jahiliah, Rasulullah, fardu, sunat, dan beratus-ratus yang lain. Pembaca bukan Islam tidak tahu makna kata pinjaman itu. Dalam buku-buku PTS, perkataan-perkataan jenis ini digantikan dengan perkataan Melayu, supaya mereka faham.
(c) Mereka juga tidak faham sesetengah perkataan dan frasa Melayu yang digunakan sebagai istilah agama.
Bukan semua istilah agama dipinjam daripada bahasa Arab. Sesetengah istilah agama adalah perkataan Melayu, sebagai contoh mereka tidak faham makna menyekutukan Allah, mendustakan Allah, mensucikan Allah, membenarkan Rasulnya, meriwayatkan dan dari (contoh: Dari Abu Hurairah...)
Disebabkan buku-buku agama PTS ditargetkan kepada golongan bukan Islam yang tidak tahu makna istilah-istilah agama, maka PTS mengedit buku-buku agamanya supaya orang bukan Islam sekalipun faham isi buku yang dibacanya.
Sebagai contoh, dalam buku-buku agama PTS, tidak dituliskan "SAW" selepas nama Nabi Muhammad, manakala perkataan bersabda dan berfirman digantikan dengan 'berkata'. Inilah antara ciri yang menyebabkan timbul kemarahan di kalangan agamawan tradisional yang menganggap dasar bahasa PTS itu menghina Nabi Muhammad dan Allah.
Nota 1: Pada halaman imprint semua buku agama PTS ada dicetak nota yang menganjurkan supaya pembaca Islam yang kebetulan membaca mana-mana buku PTS, supaya membaca selawat dan salam setiap kali selepas terjumpa nama Nabi Muhammad. Ini dilakukan atas nasihat panel penasihat hal-ehwal agama PTS yang memberitahu bahawa Sheikh al-Azhar melakukan itu pada buku beliau tentang Islam yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris di London, khusus bagi menerangkan Islam kepada masyarakat Inggeris bukan Islam di negara itu.
Nota 2: Gaya editorial PTS itu dipersetujui oleh ulama-ulama seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Dr. Harun Din, dan Prof. Dr. Zulkifli Mohd. Yusuf, (bekas Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya) di mana buku-buku mereka sendiri pun diedit supaya orang bukan Islam dapat memahami isi kandungannya.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o