Nabi Muhammad, (salam dan selawat untuk beliau, untuk anggota keluarga beliau, dan sahabat-sahabat beliau), telah meninggalkan sunnah yang jelas, yang tiada kekaburan sama sekali, berkenaan prinsip-prinsip apabila memilih bahasa apa yang sewajibnya digunakan bagi menyampaikan ilmu kepada sesuatu kaum dan bangsa.
(i) Bahasa pengantar bagi mengajar sesama sekaum
Nabi Muhammad, sebagai orang Arab, apabila beliau mengajar orang-orang Arab lain, beliau menggunakan bahasa Arab.
Justeru, apabila guru Melayu mengajar pelajar-pelajar Melayu, maka bahasa pengantarnya wajiblah Bahasa Melayu, bukan bahasa asing, apatah lagi bahasa bekas bangsa penjajah.
(ii) Bahasa pengantar bagi mengajar kaum lain
Semasa Nabi Muhammad masih hidup, banyak kaum-kaum lain non-Arab yang tinggal jauh dari Mekah dan Madinah, memeluk Islam. Bagi mengajar mereka tentang Islam, Nabi Muhammad menghantar guru-guru kepada kaum-kaum itu.
Nabi Muhammad memilih sahabat-sahabatnya yang pandai bercakap dalam bahasa ibunda kaum-kaum tersebut supaya mereka dapat belajar dalam bahasa mereka sendiri.
Justeru, bagi mengajar pelajar-pelajar Melayu, wajib dipilih guru-guru bukan Melayu yang dapat mengajar mereka menggunakan bahasa Melayu.
(iii) Apabila ada minoriti orang asing dalam audiens
Di dalam Masjid Nabi di Madinah, ada kawasan yang dipanggil 'Raudhah'. Di situlah dahulu setiap hari Nabi Muhammad mengadakan kuliah. Semasa Nabi Muhammad hidup, banyak orang non-Arab yang hadir mendengar beliau berkuliah. Dalam kuliah beliau itu jumlah orang asing itu adalah minoriti. Antara mereka itu ada orang Afrika, orang Rome, orang Parsi dan Yahudi.
Meskipun ada minoriti orang asing dalam kuliahnya, Nabi Muhammad tetap mengajar menggunakan bahasa Arab. Golongan minoriti itu terpaksa belajar bahasa Arab bagi menuntut ilmu daripada Nabi Muhammad.
Justeru, di universiti-universiti kita, apabila majoriti pelajarnya adalah pelajar Melayu, wajiblah bahasa pengantar yang digunakan dalam kuliah itu Bahasa Melayu.
(iv) Pelajar asing di tanah asing
Apabila Bilal (bangsa Afrika, dari Ethiopia), Shuraib (bangsa Rome, dari Itali) dan Salman (banga Farsi, dari Iran) datang ke tanah Arab, mereka terpaksa mempelajari bahasa Arab, dan menghadiri kuliah yang disampaikan oleh orang Arab tempatan (Nabi Muhammad) menggunakan bahasa Arab.
Justeru, pelajar-pelajar asing yang datang ke Tanah Melayu mestilah mempelajari Bahasa Melayu bagi mengikuti kuliah yang disampaikan dalam Bahasa Melayu, bukan sebaliknya.
Kita mengajak para cerdik pandai yang mengajar di sekolah-sekolah dan universiti-universiti kita supaya taat dan patuh kepada ajaran Nabi Muhammad sahaja.
Takutlah pada pesanan Nabi Muhammad bahawa jika kita tidak mematuhi sunnahnya beliau tidak mengaku kita sebagai pengikutnya. Dengan itu kita tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang beliau doakan supaya diselamatkan daripada jatuh ke dalam neraka.
Masa Untuk Berubah.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
maaf saya bkn hendak menyertai kursus. cuma saya minta tolong jgn gunakan perkataan gratis. ia merosakkan bhs melayu. tolonglah.