Semalam saya menerima panggilan telefon yang menyampaikan berita duka ini semasa berada di Kamunting, Perak atas urusan pertunangan En. Izwan Arif, pegawai di Jabatan Grafik PTS dengan Cik Faraliza Zainal Abidin, pegawai di Jabatan Kewangan PTS. Maka saya tidak dapat menziarahi jenazah beliau.
Pagi ini, Isnin 4hb, insyaAllah saya bersama En. Zaharin Zain, Pengurus Jabatan Jualan dan Khidmat Pelanggan PTS, Puan Norhazizam, Pengurus Pemasaran PTS, dan Prof. Abdullah Hassan, Penasihat PTS, akan menziarahi ibunya.
Allahyarham Ahmad Zafran Abd. Mutalib, lebih dikenali dengan nama penanya "Panaharjuna".
Beliau memang menghidap penyakit jantung dan selalu kurang sihat.
Beliau berhenti kerja supaya dapat tinggal bersama ibunya dan menjaga ibunya. Dengan itu beliau mengambil keputusan menjadi penulis sepenuh masa.
Sangat besar jasanya kepada PTS kerana beliau banyak memperkenalkan penulis dan pelukis yang berbakat kepada PTS. Walau ke mana beliau pergi, beliau sentiasa membawa bendera PTS dan sentiasa menyebut yang baik-baik tentang PTS sehingga nama PTS menjadi wangi di kalangan penulis dan pekomik seangkatannya.
Allahyarham tidak mendirikan rumahtangga disebabkan beliau menyedari keadaan kesihatan beliau itu, begitulah yang beliau pernah beritahu saya.
Beliau adalah batch pertama dalam generasi Program Mentee SisuPTS. Antara penulis yang seangkatan dengan beliau adalah Chef Zulkifli Dewa, Dr. Haslisa Ramli, Puan Ida Rizyani Tahir, Puan Faridah Mohamad, dan Cik Ashikin Wahid.
Waktu itu kursus KJ Method saya kendalikan di pejabat lama PTS di Bukit Tinggi. Beliau dan ibunya yang tinggal di Negeri Sembilan terpaksa pergi ke Shah Alam, ke rumah adik perempuan ibunya, dan tidur di sana semalam.
Besoknya beliau datang kursus pertama kali diringi oleh ibunya, ibu saudaranya dan sekaligus suaminya yang menghantarnya ke Bukit Tinggi. Mereka semua ikut masuk kursus!
Atas dorongan Sifu supaya beliau membeli laptop, dengan izin ibunya beliau menjualkan motosikal tua yang dibelikan oleh arwah ayahnya sewaktu beliau masih menuntut, buat modal membeli laptop terpakai dengan harga RM800. Menggunakan laptop itulah beliau mula bersungguh-sungguh menghasilkan karya untuk PTS.
Buah hati saya ini seorang yang kuat membaca, baik budi bahasanya, sopan santun orangnya, mulia hatinya, baik pula agamanya, sentiasa mendirikan sembahyang waktunya.
Beliau telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya, sedangkan kita akan menyusul beliau dari belakang.
Moga-moga di syurga nanti kita semua, penulis dan Tim PTS, dapat berjumpa, saling ziarah menziarahi, berkat pahala yang terhimpun hasil titik peluh kita menghasilkan karya-karya yang memandaikan bangsa. Amin, ya Allah, Amin!


-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o