Surat Pilihan: Tidakkah Puan Ainon Kasihan?
Assalamualaikum, semoga Puan Ainon sentiasa dalam rahmat-Nya.
Saya ingin berkongsi cerita dengan Puan Ainon:
Dahulu, apabila saya membawa anak-anak ke mana-mana kedai buku, saya akan membaca dan meneliti setiap buku yang menjadi pilihan anak-anak saya. Saya sedaya upaya memastikan yang buku-buku yang akan didampingi oleh anak-anak saya nanti ialah buku-buku yang berkuailti yang bukan sahaja menjadikan Islam sebagai asasnya, malahan juga menjunjung tinggi bahasa Melayu.
Tetapi kini saya tidaklah berasa gusar lagi. Kalau anak-anak merengek inginkan buku-buku baharu untuk dibaca, saya akan terus membawa mereka ke kedai-kedai buku. Saya akan menunjukkan rak yang mempamerkan buku-buku remaja dan kanak-kanak PTS. Nah, mereka akan bersila sambil memilih buku-buku yang diingini.
Sungguh, sebagai bapa saya tidak perlu lagi melakukan pemeriksaan “quality control” yang ketat terhadap buku-buku PTS. Walaupun tidak dinafikan terdapat juga serba sedikit kesalahan bahasa, tetapi itu semua tidaklah sampai menjejaskan penguasaan bahasa ibunda anak-anak saya.
Betapa beruntungnya anak-anak saya.
Zaman saya dahulu, saya tidak berkesempatan untuk merasai seperti yang dirasai oleh anak-anak saya sekarang. Lantaran itu, dek minat yang suka membaca, saya sering berkunjung ke rumah seorang saudara saya yang menyimpan pelbagai buku yang bergenrekan sastera Melayu lama. Semasa darjah empat saya sudah membaca Hikayat Panji Semirang dan Hikayat Merong Mahawangsa.
Semasa di darjah enam pula saya membaca buku Hikayat Hang Tuah yang begitu tebal untuk seorang kanak-kanak lelaki yang baru menginjak ke usia akil baligh. Selepas itu satu demi satu karya-karya yang dihasilkan oleh sasterawan tanah air saya baca.
Salina yang dihasilkan oleh A Samad Said juga saya baca semasa berusia 12 tahun.
Kebanyakan karya-karya yang saya baca ketika itu ialah teks-teks yang dijadikan sebagai teks kajian peperiksaan SPM dan STP. Hikayat Inderaputra, Tulang-Tulang Berserakan, Sejarah Melayu, Patah Sayap Terbang Jua, Badai Semalam, dan beberapa buah buku lain yang saya sudah lupa judulnya telahpun saya baca walaupun usia belumpun menginjak ke angka 15.
Itu kisah 20 tahun yang lampau, zaman kanak-kanak saya. Zaman saya tidak mempunyai kekuatan ekonomi untuk membeli buku. Dan apabila saya berkunjung ke kedai-kedai buku sekarang ini, setiap buah buku (karya kreatif) yang saya pegang dan cuba baca tidak pernah menambat hati.
Saya membeli beberapa buah novel yang diterbitkan oleh PTS yang tidak menggunakan tajuk yang terlalu berbunga-bunga. Saya baca dan cuba mencari “kenikmatan” membaca. Tetapi agak sukar untuk merasai kenikmatan tersebut. Mungkin ini “salah” saya kerana saya sudah terbiasa dengan karya-karya yang agak berat sifatnya.
Jadi, tidakkah Puan Ainon berasa kasihan kepada orang-orang seperti saya ini yang sarat dengan keiginan untuk membaca karya-karya yang sarat dengan nilai-nilai sasteranya tanpa merendahkan mutu bahasanya dan masih lagi berlandaskan al-Quran dan Sunnah?
Sesungguhnya saya begitu cemburu dengan anak-anak saya yang begitu mudah mendapat buku idaman mereka, sedangkan bapa mereka ini masih lagi terkial-kial di dalam kedai buku mencari buku-buku idamannya.
Ahmad Zamani Ishak
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Asalamualainkum, Puan Ainon.








salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o