Tidak ada penerbit yang tidak suka membekalkan buku-buku terbitannya kepada kedai buku elit seperti Kinokuniya, MPH, Popular, Times, dan Borders.
Pertama-tama, jumlah outlet kedai-kedai buku elit ini semakin hari semakin banyak, kini lebih 100 oulet di seluruh negara.
Kedua, risiko hutang lapuk adalah minimum kerana budaya pengurusan korporat menyebabkan mereka tidak lari daripada membayar hutang.
Ketiga, dengan membekalkan buku ke kedai-kedai buku elit, ia memudahkan proses mendapatkan penulis-penulis yang berkualiti, maklumlah semua penulis mahukan buku-buku mereka dipamerkan di kedai-kedai buku elit.
Namun, itu bukan bermakna berniaga dengan kedai buku elit kita tidak ada risikonya.
Disebabkan kedai-kedai buku elit mempunyai banyak cawangan, mereka membuat pesanan yang banyak bagi setiap judul yang dipilih. Jika sesuatu rangkaian itu mempunyai 100 outlet, jika ia memesan 10 naskhah bagi 1 judul, bermakna ia memasan 1000 naskhah.
Jika kita menerbitkan 5 judul sebulan, itu bermakna kita membekalkan 5000 naskhah. Jika macam PTS, yang menerbitkan antara 20 - 30 judul baru sebulan, tentulah besar nilai bisnesnya, sampai jutaan ringgit setiap tahun. Itu baru judul baru, belum termasuk judul ulang cetak.
Dari satu segi, dapat menjadi pembekal kepada rangkaian kedai buku elit adalah amat bagus, sebab angka jualan kita naik. Semakin banyak kita bekalkan buku, semakin bagus.
Tetapi dari satu segi lain, kedudukan kita vis-a-vis rangkaian itu, menjadi amat lemah. Kita boleh ditekan supaya memberikan diskaun yang tinggi, yang tidak munasabah, yang tidak mampu kita berikan.
Semakin banyak kita membekalkan buku kepada sesebuah rangkaian itu, semakin besar kuasa rangkaian itu menekan kita supaya menaikkan diskaun. Ia adalah kerja yang amat mudah dilakukan oleh rangkaian kedai buku elit.
Pertama, mereka cuma perlu memulangkan buku-buku kita walaupun belum sampai 2 bulan dipamerkan. Kedua, mereka cuma perlu mengurangkan pesanan.
Katakanlah, selama ini kita membekalkan buku pada nilai RM1 juta setahun kepada sebuah rangkaian kedai buku elit. Tiba-tiba, dia menulis surat meminta supaya kita naikkan diskaun daripada 35% kepada 50%. Disebabkan diskaun yang dimintanya itu tidak munasabah, maka kita tolak.
Dua minggu kemudian dia pulangkan buku-buku kita yang belum terjual yang bernilai RM300 ribu. Bukan itu sahaja, pesanan bulanan dikurangkan daripada RM150 ribu sebulan kepada RM30 ribu sahaja.
Jadi, selama mana kita dapat bertahan dengan tekanan seperti itu sebelum akhirnya kita mengalah? - 6 bulan? 1 tahun?
Apakah ertinya apabila kita mengalah? Kita siang malam berhempas pulas bekerja, kita sebagai penerbit semakin hari semakin kurus manakala towkay kedai rangkaian semakin hari semakin gemuk.
Itulah sebabnya, demi survival sebagai penerbit, kita perlu menguruskan risiko bisnes kita dengan hati-hati dan teliti. (bersambung)
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o