Asalamualaikum, Puan Sifu.
Moga-moga Puan sentiasa dirahmati Allah.
Di bawah ini saya salinkan sepucuk lagi surat emel yang saya terima dari seorang pembaca blog saya yang menulis berkenaan isu hakcipta. Moga-moga Puan Sifu dapat menjelaskan kedudukan isu hakcipta yang sebenar dalam Islam.
NR
................
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kerana berupaya menulis dan menerbitkan artikel dalam blog saudari dengan baiknya, memaparkan pelbagai pengetahuan dan ilmu. Saya berkesempatan membacanya. Sebenarnya saya sedang membuat quick research di internet tentang sesuatu, dan terserempak dengan blog saudari. Baca punya baca, sehinggalah saya terbaca peringatan di bawah itu:
Hakcipta Terpelihara. Tidak dibenarkan sesiapa menyalin semula ayat-ayat pada karya ini dengan apa cara dan untuk apa juga tujuan, melainkan dengan izin bertulis daripada pengarang.
Mohon maaf, dengan rasa rendah hati izinkan saya menegur. Saya tidak nampak ada sebab mengapa saudari perlu meletakkan syarat begitu ketat (ia ketat walaupun syarat itu begitu longgar dilihat dari mata manusia, tetapi ketat dari sudut pandangan agama, sunnah dan ilmu) untuk orang lain memanjangkan ILMU yang saudari sudah baca di mana-mana, dengar dari mana-mana dan faham, bahkan sudah mengamalkannya, syarat seumpama itu menyekat dan membantutkan perkembangan ilmu dalam umat, dan ini tidak menepati sunnah.
Maka adalah kurang wajar syarat begitu dikenakan. Sekiranya saudari meletakkan syarat berbunyi: Ambillah dan sebar luaskanlah ilmu yang ada dalam blog saya ini untuk manfaat umat secara percuma, dan janganlah berniaga dengannya kerana laba harta, atau seumpamanya, itu saya nampak lebih berhikmah dan sunnah. Guru saya pernah menggunakan ayat itu, dan saya panjangkan ayat itu kepada saudari. Kalau ada manfaatnya, gunakanlah. Beliau mengatakan begitu kerana ilmu yang didapatinya dari memahami dan mengamalkan al-Quran, diberikan kepada seseorang, dan orang itu mengajar orang lain dengan ilmu itu dan mengenakan caj ribuan ringgit.
Saya berkata begitu juga kerana kita perlu mengikut sunnah Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam, saya amat takut jika saya tidak dapat solat dengan betul pada hari ini tanpa Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam membawa solat itu turun dari langit pada malam Isra' Mi'raj untuk umatnya, kemudian para sahabat, taabi' dan taabi'iin seterusnya ulama dan ustaz ustazah membawa ilmu itu kepada kita sampai hari ini, maka saya dapat solat dengan betul insya Allah.
Saya tidak terjumpa di mana-mana Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam berkata dapatkan daripadanya izin bertulis untuk menyebarkannya, melainkan kata Rasulullah sallallaahu alaihi wasallam "Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat."
Nasihat guru saya kepada saya, dan saya terjemahkan dalam konteks ini, usahlah digusarkan tentang pengiktirafan sekiranya izin bertulis itu untuk memperoleh pengiktirafan, cukuplah Allah Subnahu Wa Taala sebagai sebaik2 Pengiktiraf. Usahlah digusarkan kekhilafan yang akan dikaitkan dengan blog saudari sekiranya ada yang mendakwa begitu begini terhadap saudari akibat maklumat di weblog saudari. Cukuplah Allah sebagai sebaik-baik penilai. Jika Allah sayangkan kita, tidak akan diizinkanNya kita diapa-apa, pesan guru saya.
Jika izin bertulis itu untuk membolehkan orang yang meminta izin bertulis 'mengangkat darjat' saudari, cukuplah Allah Taala sahaja sebagai Pengangkat darjat. Rujuk semula kisah teladan 4, surah al-Mujadilah tersebut.
Renungkanlah, jika sekiranya semua ilmu yang terdapat di weblog saudari ini (tentunya ia sampai dari seseorang kepada saudari sama ada melalui buku, atau cerita) dan setiap mereka memerlukan keizinan bertulis dari saudari untuk saudari 'menerbitkan' pelbagai maklumat ini semual ke dalam blog, maka sudah tentulah tidak banyak ilmu yang ada pada saudari untuk saudari tuliskan di sini.
Kita sendiri masing-masing bukan lahir dan terus berilmu, kita belajar dan mengutip ilmu dari mereka yang pernah bersama kita, sama ibu bapa, guru, sahabat handai dan seterusnya, bahkan kadang2 haiwan pun mengajar kita ilmu tanpa kita sedari. Hanya golongan ulul albab yang mengambil iktibar dari dunia sekelilingnya.
Maka atas sebab itu, jika kita belajar dari haiwan itu, alangkah malang nasib kita untuk menggunakan ilmu yang ditunjukkan haiwan itu jika haiwan itu mahukan kita membuat permohonan izin bertulis atau seumpamanya. Kisah haiwan yang mengajar ilmu antara lain dalam kisah pembunuhan Habil oleh Qabil, bagaimana burung 'mengajar' Qabil bagaimana mengkebumikan Habil yang telah mati.
Semoga iilmu yang dipaparkan akan membuka dna menerangi hati pembacanya, dan seterusnya mereka menyampaikan ilmu itu dengan amanah dan tanggungjawab. Allah sahajalah pemelihara ilmu itu kerana Dialah sebaik-baik Pemelihara.
Maka atas sebab itu saya menegur. Teguran ini juga saya kemukakan kepada diri sendiri.
Maka dengan itu saya memohon maaf kerana terbaca weblog saudari dan mohon halalkan apa yang saya baca itu. Mengambil kira kisah dalam blog saudari tentang wanita dan Imam Ahmad bin Hanbal {Hanbal = ha nun ba lam (bukan Hambal = ha mim ba lam) - sebutan Hambal kerana nun mati bertemu dengan ba, maka diiqlabkan (digantikan) bunyi nun kepada mim, menggunakan sebutan yang diajar dalam tajwid. Sebutan tidak membenarkan ejaan diubah} maka wanita itu bertanyakan halal atau tidak hasil jahitannya yang dijahit menggunakan cahaya lampu kabilah peniaga yang singgah berhampiran rumahnya. Begitu juga yang saya terbaca tanpa mendapat keizinan.
Saya panjangkan kata-kata Imam Syafi'i untuk renungan bersama: Aku amat mengharapkan orang ramai dapat mengambil manfaat dari ilmuku tanpa mengaitkan ianya kepadaku – Muhammad bin Idris al-Syafi'i (Imam Syafi'i).
Belajarlah kerana tidak ada seorang pun yang dilahirkan dalam keadaan berilmu, dan tidaklah orang yang berilmu seperti orang yang bodoh. Sesungguhnya suatu kaum yang besar tetapi tidak memiliki ilmu maka sebenarnya kaum itu adalah kecil apabila terluput darinya keagungan (ilmu). Dan sesungguhnya kaum yang kecil jika memiliki ilmu maka pada hakikatnya mereka adalah kaum yang besar apabila perkumpulan mereka selalu dengan ilmu – Muhammad bin Idris al-Syafi'i (Imam Syafi'i).
Jika pertemuan saya dengan weblog saudari, dan menghasilkan email ini, maka ia dapat memanfaatkan saudari, maka gunakanlah dan sebarkanlah. Jika tidak, maka hindarilah darinya. Wallahu a'lam. Wassalam.
Dari,
Hamba Allah yang hina.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
wah…. ini list 200 besar ya… semoga tambah sukses penjualannya…