Monday, August 04, 2008

Bahasa Melayu Rendah: ‘ingat’

Bahasa Melayu Rendah (BMT) mempunyai perbezaan dengan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Salah satu perbezaan itu adalah pada leksikon-nya, ataupun pada peringkat perkataannya.

Perkataan yang serupa mempunyai makna yang berbeza dalam BMT dan BMR.

Ambil contoh-contoh berikut:

Saya ingat kamu sudah sarapan. (BMR)

Saya sangka kamu sudah sarapan. (BMT)

Saya ingatkan dia belum kahwin. (BMR)

Saya sangka dia belum berkahwin. (BMT)

Nota: Dalam BMT 'ingat' bermakna 'remember' seperti dalam frasa "Ingat sebelum terkena, jimat sebelum habis." Manakala dalam BMT 'ingatkan' bermakna 'beri peringatan'.

 

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Kesan Negatif Ayat Menyeru-nyeru

Apabila menulis buku-buku motivasi, ada beberapa jenis ayat yang mencipta kesan negatif. Sebagai contoh ayat-ayat exhortative, atau ayat seruan, tidak disukai oleh pembaca buku. Contoh-contoh ayat seruan:

(a) Kita hendaklah meningkatkan ilmu kita.

(b) Bangsa Melayu mestilah berfikiran terbuka.

(c) Sebagai hamba Allah, kita wajiblah menjauhi larangan agama.

(d) Kanak-kanak haruslah dididik dengan kasih sayang. 

(e) Pegawai kerajaan perlulah bekerja dengan jujur dan ikhlas. 

(r) Kita kenalah bertanggungjawab. 

Perkataan hendaklah, mestilah, wajiblah, haruslah, perlulah dan kenalah adalah perkataan exhortative. 

Ayat-ayat exhortative adalah ayat-ayat yang mesejnya adalah hendak menyeru-nyeru, mengajak-ajak, menyuruh-nyuruh, menggesa-gesa, menekan-nekan, merendah-rendahkan, membodoh-bodohkan, mengajar-ajar, dan meng-guru-i pembaca. 

Di sebalik ayat-ayat exhortative itu adalah prasangka buruk, praandaian negatif, dan tuduhan. Sebagai contoh pra-adaian di sebalik ayat "Kita hendaklah meningkatkan ilmu kita." adalah, bahawa orang yang membaca buku kita itu adalah seorang yang tidak mahu meningkatkan ilmunya.

Seseorang yang bercakap ataupun menulis dengan menggunakan ayat-ayat exhortative sebenarnya dia meletakkan dirinya pada posisi ala-ala malaikat, manakala dia meletakkan pembaca ataupun pendengarnya pada posisi orang jahil. 

 

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, August 03, 2008

Hakcipta dan Hakcipta Subsidiari

Banyak penulis tahu apa yang disebut 'hakcipta' tetapi mereka tidak tahu adanya konsep 'hakcipta subsidiari'.

Pada suatu masa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membenarkan sebuah penerbit swasta menerbitkan semula karya-karya beberapa penulis besar abad ke-20 dalam dunia sastera Melayu.

Menurut gosip yang kita dengar, sudah lebih 10 tahun peristiwa itu berlaku, tetapi sampai hari penerbit itu tidak membayar 1 sen pun royalti kepada penulis. 

Mereka yang karya-karyanya diserahkan oleh DBP kepada penerbit swasta itu adalah SN Dato' A. Samad Said, SN Dato' Shahnon Ahmad, SN Arena Wati, SN Dato' Abdullah Husain, SN Dr. S. Othman Kelantan, SN Keris Mas (Allahyarham), Tan Sri Dr. Awang Had Salleh, Baharuddin Kahar, Hassan Ali, Dato' Hassan Ibrahim (Allahyarham), Khadijah Hashim, Dato' Dr. Anwar Rethwan, Ibrahim Omar, Azmah Nordin, Amil Jaya, Shaari Isa, Muhammad Rakawi Yusuf, Datin Rosmini Shaari dan Jong Chia Lai.

Walaupun DBP telah tidak menulis surat kepada para penulis itu bagi mendapatkan persetujuan mereka supaya karya mereka diserahkan kepada penerbit swasta itu, tetapi apa yang dilakukan oleh DBP itu adalah dibenarkan berdasarkan isi kandungan dokumen perjanjian penerbitan yang mereka tandatangani.

Para penulis mesti berhati-hati apabila membaca huruf-huruf halus yang tercetak pada kertas dokumen perjanjian penerbitan.

Apabila dalam dokumen itu terkandung klausa di mana saudara setuju menyerahkan semua hakcipta subsidiari karya saudara kepada penerbit, apa yang dilakukan oleh penerbit itu ke atas karya saudara adalah menjadi hak penerbit itu.

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

AHAD 17 Ogos: Ain Maisarah di MPH Midvalley

Penulis Novel Remaja paling ngetop di tanah air sekarang, Ain Maisarah, akan menemui para peminat di MPH Midvalley Kuala Lumpur.

Tarikh: Ahad 17 Ogos

Masa: 4 - 5 petang 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Pro dan Kon Rak Khas PTS

Dalam banyak kedai, buku-buku PTS diberikan rak-rak khas.

Foto ini adalah rak-rak khas yang mempamerkan buku-buku PTS sahaja dalam kedai buku POPULAR di Tesco Mergong, Alor Setar. Ia terletak betul-betul di depan pintu masuk kedai.

Dari satu sudut, rak khas seperti ini amat membantu peminat buku-buku PTS memeriksa buku-buku terbaru, kerana semua buku berada di satu tempat. Ini memudahkan mereka membuat pilihan dan membeli buku-buku terbaru kegemaran masing-masing.

Rak-rak khas juga amat impresif kepada pengunjung kedai buku yang baru hendak berkenalan dengan brand PTS. Mereka dapat melihat pelbagai kategori buku yang diterbitkan oleh PTS. Jadi, dengan memeriksa buku-buku yang dipamerkan, mereka dapat dengan cepat memahami dasar perniagaan dan penerbitan PTS.

Dari sudut lain, rak khas mempunyai kesan sampingan negatif ke atas sesetengah produk PTS.

Sebagai contoh, PTS juga menerbitkan novel cinta, tetapi aliran Islami. Disebabkan novel-novel dewasa PTS berada di rak PTS, yakni tidak diletakkan bersama-sama novel cinta Alaf21 dan lain-lain, peminat-peminat novel cinta tidak tahu bahawa PTS pun sudah banyak menerbitkan novel. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, August 02, 2008

Penulis buku Pantun & Gurindam untuk Majlis Rasmi & Perkahwinan dalam Rancangan Nasi Lemak Kopi TV9

Tarikh: 8 Ogos 2008 (Jumaat)
Rancangan: Nasi Lemak Kopi O, TV9

Temui Aripin Said, penulis buku Pantun dan Gurindam untuk Majlis Rasmi dan Perkahwinan, penyair, komposer, penyajak, penyanyi, pemuzik lagu rakyat seperti lagu Angin, Burung Kenek-kenek, Ya Habibun, Tu Bulan Tu Bintang, Nazam Ya Tuan, Indung-Indung, Tebang Tebu, Galah Mudik, Anak Kambing Cantik-cantik, Alamat Hari Nak Siang terbitan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia mendendangkan gurindam dan lagu rakyat ciptaan beliau sendiri.

Lagu baru Untung-untungan juga akan didendangkan dan 20 lagu lagi dalam urusan penerbitan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang.

Panglipur lara ini juga menerangkan genre sastera rakyat terbahagi kepada dua iaitu prosa dan puisi. Prosa adalah cerita-cerita rakyat disampaikan melalui unsur mitos, legenda, asal-usul, cerita binatang, cerita jenaka dan cerita yang dipengaruhi dari Arab dan Farsi. Hayati setiap lirik yang dihasilkan bagi memperkasa jati diri melayu.

Pastinya Dekat di Hati

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Pesan Dato’ Dr. Hassan Ali Tentang Aktiviti BTN

Pada hari Khamis lalu, Yang Berhormat Dato' Dr. Hassan Ali memberi taklimat kepada para trainers daripada 33 buah syarikat training yang bakal melaksanakan program pembangunan modal insan kerajaan negeri Selangor (diberi nama kod "SPIES").

Sifu dan YM Dr. Tengku Asmadi hadir mewakili konsortium penulis-trainer PTS. 

Salah satu perkara yang dipesankan oleh Dato' Dr. Hassan Ali dalam majlis itu adalah supaya para trainers program SPIES tidak menggunakan aktiviti-aktiviti yang digunakan di Biro Tatanegara (BTN).

Beliau kemudian memberitahu bahawa beliau sendiri pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah BTN semasa zaman pemerintahan Dr. Mahathir. 

Menurut beliau banyak aktiviti di BTN adalah salah dari segi hukum Islam, lalu beliau memberi satu contoh, iaitu aktiviti di mana fasilitator BTN menyuruh para peserta mendedahkan kesalahan yang pernah dilakukannya pada masa lalu. Kata beliau, dalam suatu sesi, ada seorang peserta yang mengaku dia pernah berzina.

Perbuatan mendedahkan aib sendiri adalah berdosa. "Please, do not undress anyboby!" kata beliau kata beliau bersungguh-sungguh kepada semua trainers yang hadir. "Jangan suruh orang mendedahkan aibya sendiri," beliau mengulangi maksud kata-katanya itu.

..........

NOTA: Sifu sangat menyokong pesanan Dato' Dr. Hassan Ali itu. Memang banyak aktiviti yang digunakan di BTN adalah menyalahi hukum agama. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Tabiat Membaca Peminat Novel Remaja PTS ONE

Bagi saudara yang ingin menulis novel-novel remaja, sedikit maklumat berkenaan novel bagaimana yang menjadi pilihan peminat PTS ONE adalah sangat berguna. Baca blog Ain Maisarah yang mengumpulkan maklumat itu.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, August 01, 2008

Bisnes Menjual Buku Surah Yasin dan Doa Tahlil

Bagi kategori buku agama, dari sudut jumlah naskhah terjual, buku yang paling banyak dijual dan dibeli orang adalah buku surah Yasin dan doa tahlil.

Menurut En. Saiful Kamal, pengurus syarikat Al-Risalah, anak syarikat milik penerbit dan pengedar buku agama yang terkenal, Al-Hidayah, margin keuntungan menjual buku surah Yasin adalah antara 30sen - 34 sen bagi setiap naskhah.

Meskipun margin itu sangat kecil, tetapi salah satu tingkah laku pembeli buku surah Yasin adalah banyak orang yang datang membeli buku itu membeli banyak naskhah. Kalau ada yang datang membeli 100 naskhah, itu adalah perkara biasa, begitulah kata En. Saiful kepada En. Zain Aziz, timbalan pengurus di jabatan jualan dan khidmat pelanggan PTS.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Surah Yusuf, MBOOK, Saiz Skrin HP dan Perenggan dalam Buku

Apabila saudara menulis buku untuk oleh PTS, ambil ingatan bahawa pada suatu hari nanti karya saudara itu akan dapat dibaca menggubakan telefon HP dalam projek Mbook PTS-METADOME.

Ini lebih-lebih lagi penting diambil kira apabila saudara menulis novel, kerana karya fiksyen diramalkan akan banyak dibeli sebagai Mbook berbanding kategori buku lain. 

Teknik menulis buku-kertas belum tentu sesuai dengan teknik menulis buku-skrinHP disebabkan saiz kertas dan saiz skrin HP amat jauh bezanya. Namun, sebaliknya akan berlaku, yakni teknik menulis untuk buku-skrinHP adalah sesuai juga untuk buku-kertas.

Membaca buku-kertas membolehkan mata membaca perenggan yang panjang-panjang kerana saiz halaman buku-kertas adalah besar. Perenggan yang panjang tidak sesuai untuk dibaca pada skrin HP yang kecil. 

Di sinilah letaknya salah satu kelebihan apabila saudara menuliskan novel saudara menggunakan teknik surah Yusuf

Salah satu gaya penceritaan dalam surah Yusuf adalah daripada seluruh jumlah ayat, 86% adalah terdiri daripada ayat-ayat dialog. Disebabkan ayat-ayat dialog adalah umumnya pendek, maka setiap dialog dapat diterakan pada skrin HP.

Dalam teknik surah Yusuf, peranan dialog adalah sebagai penggerak plot. Di sinilah juga perbezaan ketara antara fungsi dialog dalam teknik penceritaan surah Yusuf dengan fungsi dialog dalam teknik penceritaan ciptaan manusia biasa.  

Dalam teknik konvensional, dialog adalah alat utama yang digunakan bagi mengekspresikan emosi watak-warak, bukan sebagai penggerak plot sebagaimana dalam teknik surah Yusuf. 

Apabila saudara menulis novel menggunakan teknik plot-dalam-dialog, novel saudara sedap dibaca, baik apabila ia dicetak sebagai buku-kertas mahupun apabila ia dibaca dalam skrin HP.

Allah jualah yang maha mencipta teknik penceritaan dalam surah Yusuf yang amat futuristik itu. Teknik itu sudah diajarkan kepada kita 1,500 tahun sebelum manusia mencipta skrin HP. Maha suci Allah yang maha mengetahui masa depan teknologi buatan manusia. 

Nota: Semua nota kuliah tentang surah Yusuf dapat dibaca di situs ini: http://sasteraislami.blogspot.com 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Undang-undang Harta Intelek dan Hakcipta dalam Islam

HAKCIPTA MENURUT PERUNDANGAN ISLAM
Oleh: Dr. Arieff Salleh bin Rosman
(PhD Fiqh dan Usul Fiqh, UIAM; M.A Syariah UKM; B.A Pengajian Islam Universiti Mu’tah, Jordan)
Pusat Pengajian Islam dan Pembangunan Sosial
Universiti Teknologi Malaysia
.(JavaScript must be enabled to view this email address)

1. PENDAHULUAN

Islam merupakan agama yang diturunkan oleh Allah untuk menjadi ikutan seluruh manusia. Teras perundangan Islam adalah wahyu iaitu Al-Quran dan Sunnah. Namun, suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa, wahyu sudah lengkap dan tiada sebarang perubahan atau tambahan. Namun, permasalahan dalam hidup manusia, semakin hari semakin bertambah.

Penerangan wahyu terhadap tindak tanduk manusia mukallaf mempunyai dua bentuk; detil dan umum. Tidak semua tindak tanduk manusia didetilkan hukumnya dalam wahyu. Ada tindak tanduk yang hukumnya dijelaskan secara umum dalam wahyu. Di sinilah peranan para ulama’ untuk menyelesaikan isu-isu baru dalam hidup masyarakat berpandukan panduan umum yang dinyatakan dalam wahyu tersebut.

Antara isu baru yang timbul di zaman ini ialah isu hakcipta. Memang tidak dapat dinafikan di zaman Nabi Muhammad, sahabat, tabi’in dan zaman imam-imam yang muktabar; Imam Malik, Abu Hanifah, Syafii dan Ahmad, serta zaman salafussoleh, tidak dibincangkan isu ini. Istilah hakcipta mula diperkenalkan di Barat, yang berorientasikan pemikiran ekonomi kapitalis.

Secara perundangannya, hakcipta mula dibincangkan dalam Paris Convention yang telah diadakan pada 20 Mac 1883. Manakala dalam sejarah perundangan Islam, isu hakcipta dan secara umumnya isu harta intelek, mula dibincangkan secara serius oleh para ulama’ semasa dalam Majma’ al-Fiqh al-Islami pada tahun 1988 di Jaddah, dan diadakan seminar yang dinamakan ‘Nadwah Huquq al-Mu’allif’ di Mesir dan prosidingnya diterbitkan pada tahun 1996.

Resolusi kedua-dua persidangan tersebut menjelaskan, harta intelek (termasuk di dalamnya hakcipta) diperundangan dalam Islam.

Sebenarnya, idea berkaitan hakcipta sudah mula dibincangkan oleh para ulama’ terdahulu sebelum diperkenalkan oleh Barat. Daripada kajian yang dilakukan, terdapat dua sumber asas dalam sejarah perundangan Islam yang membincangkan isu ‘menjaga idea-idea yang dizahirkan dalam bentuk bahan’.

Dokumen pertama: Imam al-Qarafi yang wafat pada tahun 684Hijrah, dalam bukunya ‘al-Furuq’ sudah mula membincangkan isu: Adakah ijtihad yang dikemukakan oleh para ulama’ itu termasuk dalam maksud harta yang boleh diwarisi selepas kematiannya. Isu ini termasuk dalam maksud hak ekonomi dalam undang-undang hakcipta.

Dokumen kedua: Imam Jalal al-Din al-Suyuti yang wafat pada tahun 911Hijrah, menulis sebuah makalah yang bertajuk ‘al-Fariq bayn al-musannif wa al-sariq’ maksudnya ‘Beza antara penulis dan pencuri’. Makalah tersebut secara jelasnya membincangkan salah satu hak yang dikawal dalam undang-undang hakcipta iaitu hak moral seorang penulis.

Zuhayr Abdul Rahman al-Attasi, dalam tesis sarjananya yang bertajuk, ‘al-Himayah al-sharciyyah wa al-qanuniyyah li huquq a- mu’allif’ (bermaksud: Penjagaan Hakcipta menurut Syariah Islam dan Undang-undang)  berkata, “Topik harta intelek sebagaimana yang dipentingkan oleh undang-undang ciptaan serta penjagaannya di peringkat tempatan dan antarabangsa, tidak diambil hirau oleh para pengkaji dalam bidang perundangan Islam dengan sewajarnya. Mereka tidak memberikan hukumnya dengan jelas, lalu memberi peluang kepada pencabul hak untuk mencuri harta-harta pencipta untuk diniagakan dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas dan tujuan-tujuan yang berdasarkan kepada kejahilan atau ketamakan atau kedua-duanya sekali.

2. MAKSUD HAKCIPTA

Hakcipta merupakan salah satu daripada jenis harta intelek. Berikut adalah beberapa penjelasan yang diberikan oleh para ulama semasa berkaitan maksud harta intelek:

1. Dr. Mustafa Ahmad al-Zarqa’, mengatakan bahawa: “Istilah harta intelek merangkumi hak cipta seperti hak penulis untuk mengambil manfaat daripada bukunya, wartawan dalam keistimewaan surat khabarnya dan seniman dalam kesan seni yang indah. Ia juga merangkumi hak industri seperti hak pencipta alatan, penggubah paten niaga yang berbeza untuk mendapatkan kepercayaan dan pencipta tanda niaga untuk mendapatkan kemasyhuran”. 

2. Al-Shaykh Ali al-Khafif pula mendefinisikan harta intelek sebagai sesuatu “Yang disandarkan kepada barang-barang tak ketara (ma'nawiyyah); yang tidak dapat dikesan dengan pancaindera, tetapi ia dapat dikesan dengan akal dan fikiran seperti idea dan ciptaan”.

3. Dr. Ajil al-Nashami mendefinisikan harta intelek sebagai “Hak yang disandarkan kepada barang tak ketara; sama ada produk akal seperti hak penulis dalam penulisan-penulisan ilmiyyah atau sastera, atau dalam ciptaan perindustrian. Atau hasil kepada kesungguhan yang didapati oleh para pekerja, seperti hak penjual dalam sesuatu paten dan tanda niaga. Kesannya, pemilik mempunyai hak monopoli dan menggunakan hasil kesungguhan atau keluaran tersebut”.  

4. Dr. Muhammad Uthman Shibir mendefinisikan harta intelek sebagai “kuasa untuk seseorang atas barang tak ketara; sama ada produk akal - seperti hak penulis dalam penulisan-penulisan ilmiah dan sastera, atau paten dalam ciptaan-ciptaan perindustrian - atau hasil untuk kesungguhan perniagaan yang dilakukan oleh peniaga untuk mencari pekerja, seperti pada tanda niaga”.

5. Dr. Reda Abdul Rahman Wahdan menjelaskan, “Harta intelek ialah sesuatu yang merujuk kepada barang-barang tak ketara dan hak-hak yang wujud daripadanya tidak boleh dikesan dengan pancaindera, tetapi ia dikesan dengan fikiran; kerana ia adalah semata-mata produk akal contohnya hak penulis”.

6. Prof. Dr. Fathi al-Durayni mengatakan harta intelektual ialah “Gambaran-gambaran pemikiran yang terbit daripada bakat pada diri seseorang ilmuwan, seniman dan sebagainya, dari apa yang telah dia cipta dan orang lain belum pernah menciptanya”.

7.Al-Shaykh Muhammad Taqi al-Uthmani pula mengatakan bahawa harta intelektual ialah “Hak yang didapati dengan ketentuan adat dan undang-undang untuk siapa yang mencipta ciptaan baru atau bentuk baru bagi sesuatu barang”.

Manakala maksud hakcipta pula ialah, “Hak penguasaan yang dilindungi undang-undang atas seluruh atau sebahagian daripada hasil ciptaan seseorang pengarang (pencipta, penggubah dll.)”

Definisi lain juga telah diberikan iaitu: “Hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pencipta atau penerima haknya untuk mengawal pengeluaran semula atau berbagai-bagai bentuk penggunaan karya berkenaan bagi sesuatu tempoh".

3. LEGALITI HAKCIPTA MENURUT PERUNDANGAN ISLAM

Hak yang dikawal dalam hakcipta terdiri daripada dua hak; pertama hak moral dan kedua hak ekonomi.

3.1 Hak Moral

Definisi hak moral menurut ulama’ semasa adalah seperti berikut:

1. Dr. Abdullah al-Najjar mendefinisikan hak moral sebagai, “Apa yang berkaitan dengan usaha seorang ilmuwan dalam karangannya mengenai bidang kuasa moral yang mewajibkan karangan itu dinisbahkan ke atasnya dan menghormati apa yang ditulis , dengan menjaga haknya ketika melakukan sebarang perubahan.”

2. Dr. Muhammad al-Shahhat al-Jundi menjelaskan, “Manakala tentang hak moral, ia dikenali dengan sesuatu yang amat rapat dengan personaliti penulis yang tidak boleh diasingkan daripadanya. Ia adalah khusus untuk penulis itu sama ada ketika hidupnya atau selepas kematiannya , kerana penulis umpama bapa, di mana anaknya dinasabkan kepadanya. Ia tidak boleh ditarik balik atau digugurkan kerana nas telah menetapkannya sebagai hak anak. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 5, yang bermaksud, ‘Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah’. Sesebuah buku atau hasil ciptaan itu umpama anak kepada penciptanya kerana bidang kuasa yang ada pada kedua-duanya.”

3. Dr. Abdul Salam al-Abbadi mendefinisikan hak moral sebagai, “Hak menjaga dengan menisbahkan tempat hak ini untuk tuannya.”

Berdasarkan definisi tersebut, jelasnya hak moral seorang pemilik hakcipta merujuk kepada dua hak iaitu hak ‘paternity’ dan hak ‘integrity’.  Hak ‘paternity’ merupakan hak untuk menuntut penciptaan sesuatu karya, untuk dikenal pasti sebagai seorang pengarang atau pengarah. Iaitu hak menisbahkan hasil ciptaan kepada diri pencipta. Kedua, hak ‘integrity’ iaitu hak pencipta untuk membantah sebarang perubahan yang dilakukan oleh orang lain ke atas hasil ciptaannya yang dengannya boleh memudaratkan kehormatan dan reputasinya.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, tiada di kalangan ulama’ semasa yang menafikan legaliti hak moral menurut perundangan Islam. Berikut adalah hujah yang mereka kemukakan:

(1) Ayat al-Quran. Allah menjelaskan dalam surah Surah al Ahqaf , ayat 4, bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik yang menentangmu), ‘Sudahkah kamu mengetahui kekuasaan dan kelayakan makhluk-makhluk yang kamu seru dan sembah yang lain dari Allah? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang mereka ciptakan dari bahagian bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian (dengan Allah) dalam mencipta dan menguruskan langit? Bawalah kamu kepadaku sebuah Kitab (dari Allah) yang lain dari al Qur’an ini, atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang yang telah lalu) kalau betul kamu orang-orang yang benar (tentang da’waan kamu itu).”

Ayat ini menunjukkan bahawa sesuatu kitab itu mesti disandarkan kepada penulisnya atau sesuatu ilmu kepada tuannya. Bertitik tolak dari sini, timbul kesan yang penting dalam penerimaan pendapat yang diutarakan oleh penulis atau menolaknya. Ini diterangkan dalam firmanNya, “atau sebarang keterangan yang berdasarkan ilmu (peninggalan orang-orang yang telah lalu)”  iaitu apa yang disampaikan oleh Rasul atau orang alim tentang agama Alla.

Di samping itu, ia juga bermaksud apa yang ditulis oleh seorang alim atau faqih. Pengiktibaran syarak tentang keperluan menyandarkan sesebuah kitab kepada tuannya menunjukkan kepentingannya dan legalitinya. Penyandaran sesebuah kitab kepada penulisnya atau sesuatu ilmu kepada tuannya merupakan salah satu unsur hak moral (iaitu hak ‘paternity’ atau ‘ubuwwah’). Dengan itu hak moral diperundangkan di dalam Islam.

(2) Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad berkata, “Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka untuknya pahala seperti pahala-pahala orang yang mengikutnya, tidak kurang daripada pahala-pahala mereka sedikitpun. Dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka ke atasnya dosa seperti dosa-dosa orang yang mengikutnya, tidak kurang daripada dosa-dosa mereka sedikitpun.” Hadis sahih direkodkan oleh Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, dan Ibnu Majah.

Hadis ini menunjukkan, sesiapa yang mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sama seperti pahala-pahala orang yang mengikutnya. Antara cara mengajak kepada kebaikan ialah dengan mengarang buku. Dan pensabitan pahala kepada pengarang buku itu sebahagian daripada menisbahkan karangan itu kepada tuannya, ia dengan jelas menunjukkan akan kepentingan isnad dalam ilmu.

(3) Mugirah bin Syu’bah melaporkan, Rasulullah berkata, “Sesungguhnya pembohongan ke atas diriku tidak sama seperti pembohongan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat pembohongan ke atas diriku dengan sengaja, maka akan kekal tempat duduknya di dalam neraka.” Hadis sahih direkodkan oleh Imam al-Bukhari.

Hadis ini menerangkan, menisbahkan sesuatu perkataan kepada orang yang tidak mengatakannya merupakan salah satu daripada pembohongan. Perkara ini amat tegas pengharamannya jika ia berlaku dalam hadis Nabi Muhammad. Hukum ini juga dipraktikkan dalam pembohongan atas ulama’ dengan menisbahkan sesuatu yang tidak dikatakan olehnya, kerana seperti yang terdapat dalam hadis ulama’ adalah pewaris ilmu para Nabi". Maka pembohongan ke atas mereka juga diharamkan dengan tegas.

Oleh itu, dengan mengambil roh pensharicatan hukum ini – pengharaman menisbahkan sesuatu perkara kepada orang yang tidak melakukannya -  maka hak moral diperundangkan dalam Islam.

(4) Abdullah bin Mubarak pernah berkata, “Isnad itu sebahagian daripada agama, jika tiada isnad maka orang akan berkata tentang agama daripada siapa yang dia suka dengan apa yang dia suka.” Isnad merupakan satu proses rujukan yang dilakukan untuk memastikan orang yang mengatakan sesuatu perkataan atau memastikan tuan empunya sesuatu ilmu itu. Ini merupakan salah satu daripada unsur hak moral.

(5) Hak moral menurut perundangan Islam boleh diadaptasi melalui beberapa perkara yang terdapat  dalam perundangan Islam, antaranya: Menjaga amanah ilmu, cara mengambil sesuatu riwayat serta cara dan adab meriwayatkannya (turuq al-ada’ wa al-tahammul), pengharaman penipuan dan pengharaman plagiat (ciplak).

3.2 Hak Ekonomi

Hak kedua yang diberikan kepada pemilik hakcipta ialah hak ekonomi. Berikut adalah definisi hak ekonomi menurut ulama’ semasa:

1. Dr. Abdul Salam al-Abbadi mendefiniskan hak ekonomi sebagai, “Hak dalam bidang kuasa dengan manfaat kewangan yang dikembalikan kepada tuannya; sama ada mengguna atau menerbitkannya dalam ruang lingkup apa yang ditetapkan oleh syarak dan undang-undang.”

2. Zuhayr al-Attasi menerangkan, “Yang dimaksudkan dengan hak ekonomi dalam penulisan ialah gambaran-gambaran pemikiran – yang berpunca daripada kepakaran yang ada pada seseorang ilmuwan – untuknya nilai kewangan yang diperundangkan, dengan melihat kepada manfaatnya yang dianggap sebagai harta dan bernilai menurut syarak. Sifat kewangan di sisi orang yang mengatakannya ialah untuk produk akal setelah terpisah daripada penulisnya dan ia berada di dalam buku atau sebagainya daripada barang berjasad yang tergambar padanya gambaran-gambaran pemikiran.

Tujuan diperundangkan hak ekonomi ialah untuk memberi semangat dalam bidang rekaan dan ciptaan agar individu yang telah berusaha dalam kedua-dua bidang ini mengetahui bahawa beliau mempunyai bidang kuasa dalam hasil ciptaannya dan hasil ciptaan itu akan dikawal daripada orang yang cuba untuk mengambilnya tanpa kebenaran.

Berdasarkan kajian yang dilakukan, para ulama’ semasa tidak berbeza pendapat dalam legaliti hak ekonomi dalam harta intelek yang berkaitan dengan harta industri; seperti paten, cap dagangan dan sebagainya. Mereka hanya berselisih pendapat dalam legaliti hak ekonomi dalam harta intelek yang berkaitan dengan hakcipta, khususnya penulisan yang berkaitan dengan ilmu-ilmu agama. Perbezaan pendapat ini sebahagian besarnya kembali kepada perbezaan pendapat para fuqaha’ dalam menetapkan hukum mengambil upah daripada mengajar al-Qur’an dan ilmu-ilmu syarak yang lain.

Terdapat dua pendapat berkaitan legaliti hak ekonomi menurut perundangan Islam:

Pendapat pertama: Hak ekonomi diperundangkan dalam Islam untuk pemilik harta intelek, ini adalah pendapat majoriti ulama’ semasa.

Pendapat kedua: Hak ekonomi dalam harta intelek terutamanya yang berkaitan dengan penulisan tidak diperundangkan dalam Islam. Antara ulama’ yang berpendapat sedemikian ialah al-Shaykh Muhammad Shafi’, Dr. Ahmad al-Haji al-Kurdi  dan al-Shaykh Abdullah bin Bih.

Dalil pendapat yang mengatakan hak ekonomi diperundangkan dalam Islam untuk pemilik harta intelek.

(1) al-Qiyas

Legaliti hak ekonomi dalam harta intelek boleh diqiyaskan dengan legaliti hak ekonomi pembuat barang dan seseorang yang mengajar al-Qur’an. Islam tidak melarang mana-mana pembuat sesuatu barang daripada mendapat keuntungan kebendaan daripada barang tersebut, maka pencipta atau pemilik harta intelek adalah lebih utama untuk mendapat pulangan dalam bentuk kebendaan. Ini disebabkan hasil yang dibuat oleh seseorang pencipta akan terus berkekalan walaupun selepas kewafatannya.

Legaliti hak ekonomi dalam harta intelek juga boleh diqiyaskan dengan legaliti mengambil upah daripada mengajar al-Qur’an dan dengan melakukan perbuatan-perbuatan taat. Majoriti ulama’ berpendapat, seseorang yang mengajar al-Qur’an boleh menerima upah daripada kerjanya itu. Oleh itu, jika mengajar al-Qur’an boleh mendapat upah, maka usaha para pencipta dalam sesuatu harta intelek juga boleh dinilaikan dengan wang; kerana kedua-duanya merupakan perbuatan taat.

(2) al-Masolih al-Mursalah

Harta intelek termasuk dalam konsep harta menurut majoriti fuqaha’, dan menjaga harta merupakan salah satu daripada al-daruriyyat al-khamsah yang diberi perlindungan dalam perundangan Islam. Dengan itu, ia menjadi tempat pemilikan dan boleh ditukar ganti dengan wang menurut syarak. Antara cara untuk menjaga sifat kehartaan sesuatu harta intelek ialah dengan mengiktiraf hak ekonomi padanya.

(3) al-‘Urf / Adat

Adat semasa telah mengiktiraf hak ekonomi pemilik harta intelek dan sebagaimana yang sedia maklum, adat yang bersifat umum (‘urf ‘am) merupakan salah satu daripada sumber perundangan Islam jika ia tidak bercanggah dengan mana-mana teks syarak. Dan menurut kaedah fiqh: “Apa yang ditentukan dengan adat atau 'urf itu adalah seperti yang ditentukan dengan teks wahyu.”

(4) Sad al-dhara’i

Harta intelek mempunyai manfaat yang besar untuk memajukan masyarakat. Sekiranya hak ekonomi tidak diberikan kepada pencipta harta intelek, maka sudah tentu usaha ke arah memajukan masyarakat akan terjejas. Ini disebabkan seseorang pencipta tidak akan mampu memikul beban ekonomi untuk menghasilkan sesuatu ciptaan. Jika ini berlaku, maka kepentingan manusia secara umumnya dan masyarakat Islam khususnya akan terjejas. Untuk menutup pintu (dhari’ah) yang menyebabkan perkara ini, maka pencipta sepatutnya diberi hak untuk mendapat pulangan dalam bentuk kebendaan untuk hasil ciptaannya.

(5) Kaedah-kaedah fiqh

Beberapa kaedah fiqh boleh dijadikan hujah legaliti hak ekonomi pada harta intelek, antaranya:

(a) Menghindari kerosakan lebih utama daripada mendapatkan manfaat.

Kerosakan berlaku apabila buku-buku berkaitan ilmu agama dibiarkan tanpa pengawasan penerbitannya. Kerana kekurangan iman dan tiada perasaan pengawasan (muraqabah) Allah s.w.t., maka penerbit-penerbit akan melakukan perkara–perkara yang boleh merosakkan buku-buku tersebut. Oleh itu, legaliti hak ekonomi pada harta intelek adalah penting untuk memberi kuasa kepada pencipta untuk menolak kerosakan tersebut.

(b) Kerugian merupakan pulangan kepada keuntungan.

Seseorang pencipta bertanggungjawab dalam urusan keagamaan dan keduniaan daripada apa yang dicipta. Pertanggungjawaban ini boleh diiktibarkan sebagai suatu kerugian yang wajib digantikan dengan keuntungan. Pensabitan hak ekonomi untuk pencipta merupakan suatu keuntungan.

(c) Apa yang tidak melengkapkan sesuatu yang wajib kecuali dengannya, maka ia adalah wajib.

Jika kita mengatakan bahawa penulisan dalam ilmu-ilmu agama daripada perkara-perkara yang diwajibkan, maka ini membolehkan penulis mengambil manfaat daripada usahanya. Jika dia tidak menulis kecuali dengan mengambil manfaat daripada usahanya di mana penulisan tidak boleh dilakukan kecuali dengannya, maka hukum memberi manfaat kepada penulis itu adalah mengikut hukum penulisan tersebut.

(d) Asal pada sesuatu dibenarkan (al-ibahah).

Dalam al-Qur’an dan sunnah terdapat banyak nas yang menggalakkan menuntut ilmu serta menyampaikannya kepada manusia dengan apa cara sekalipun. Dan tiada nas yang melarang seseorang yang menyampaikan ilmu daripada menerima upah. Oleh itu, hak ekonomi dalam harta intelek adalah kekal pada hukum asalnya iaitu dibenarkan (al-ibahah) kerana tiada nas yang melarangnya.

Dalil pendapat yang mengatakan hak ekonomi di dalam harta intelektual terutamanya yang berkaitan dengan penulisan tidak diperundangkan di dalam Islam.

(1) Pensabitan hak ekonomi akan menyebabkan penulis melarang karangan ilmiahnya daripada diterbitkan kecuali dengan pertukaran wang sebagai ganjaran. Ini diiktibarkan sebagai menyorokkan ilmu (kitman al-‘ilm) yang dilarang oleh syarak. Ini adalah berdasarkan dalil-dalil berikut:

(a) Allah menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 159, yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh sekalian makhluk.”

(b) Abdullah bin Abbas melaporkan, Rasulullah pernah berkata, “Sesiapa yang menyembunyikan ilmu yang diketahuinya, dia akan dikekang pada hari qiamat dengan kekangan daripada api neraka.”  Hadis direkodkan oleh at-Tabarani.

Hujah ini terdapat kekurangan dalam dua aspek:

(a) Pendalilan ke atas nas-nas tersebut bukan pada tempatnya. Terdapat dua makna daripada nas-nas tersebut:

(i) Yang dimaksudkan dengan menyembunyikan ilmu ialah menzahirkan kebatilan dan menyembunyikan kebenaran; sama ada kerana untuk mentaati para pemerintah atau takut kepada thoghut  atau untuk mendekati individu-individu yang mempunyai kuasa dan pangkat.

Jika ini dalil yang dimaksudkan daripada nas-nas tersebut , maka ia bukanlah tempat pertikaian. Pengharaman menyembunyikan ilmu ini tidak bermaksud menafikan hak penulis dalam hasil usaha akalnya.

(ii) Yang dimaksudkan dengan menyembunyikan ilmu ialah monopoli orang yang mempunyai ilmu itu daripada orang lain. Ini adalah sama hukumnya dengan monopoli manfaat atau barang-barang dengan tujuan mendapatkan harga yang tinggi di pasaran dalam masa yang sama masyarakat memerlukannya.

Walaupun dalam perundangan Islam, hukum ini disepakati oleh ulamak, namun tiada ulamak yang mengatakan barang yang dimonopoli itu hendaklah diberikan secara percuma kepada pengguna. Tetapi apa yang diwajibkan – berdasarkan dalil-dalil syarak– ialah menjualnya dengan harga yang munasabah agar semua hak – penjual dan pengguna – dipenuhi. Dengan maksud ini pun, nas-nas tersebut tidak menunjukkan pengharaman hak ekonomi seseorang pencipta.

(b) Sebab pengharaman yang dinaskan dalam hadis tersebut ialah menyembunyikan (al-kitman) bukannya pertukaran (al-mu’awadah).

Perbahasan tentang hak ekonomi tidak bermaksud menyembunyikan ilmu, malahan penerbitan sesuatu penulisan itu merupakan salah satu cara untuk menyebarkan ilmu. Tambahan pula nas hadis tersebut mengharamkan penyembunyian ilmu bukan mengharamkan pertukaran antara hasil penulisan dengan wang. Oleh itu, penggunaan hadis tersebut sebagai hujah tidak kena pada tempatnya.

(2) Ilmu di sisi ulamak salaf soleh ialah ibadah bukannya industri atau perniagaan. Sepatutnya seseorang ilmuwan hendaklah menyampaikan ilmunya; sama ada dengan pembelajaran atau penulisan tanpa menerima sebarang upah. Dan tanggungjawab ummah pula ialah memenuhi keperluan hidup ilmuan tersebut seperti yang berlaku pada zaman salaf soleh.

Hujah ini mempunyai kekurangan daripada empat aspek:

(a) Para ulamak berpendapat, dibenarkan untuk mengambil upah daripada perbuatan taat seperti menjadi imam, menjadi juru azan, mengajar al-Qur’an dan sebagainya. Jika tidak diberi upah, dikhuatiri kerja-kerja tersebut akan terhenti. Begitu juga dengan penshari’atan (legaliti) hak ekonomi untuk seseorang penulis, ia antara lain bertujuan agar bidang tersebut tidak terhenti. 

(b) Maksud keagamaan dalam Islam tidak terpisah daripada kerja keduniaan yang dilakukan oleh seseorang Muslim; sama ada pekerjaan itu berkaitan dengan akal atau benda. Oleh itu, mana-mana perbuatan dalam Islam, di mana pelakunya melakukannya semata-mata kerana Allah, maka ia diiktibarkan sebagai ketaatan dan ibadah. Sekiranya perbuatan ibadah yang dilakukan oleh seseorang itu seperti mengarang, menjadi sebab pengharaman hak ekonominya, maka ia suatu kezaliman ke atas penulis tersebut dan kemungkinan bidang penulisan akan terhenti dan kepentingan manusia akan terjejas; dan ini terkeluar daripada maksud syarak. Menurut Islam, mana-mana usaha yang dilakukan boleh diterima ganjaran daripadanya untuk kehidupan di dunia. 

(c) Hujah yang mengatakan, jika disabitkan hak ekonomi kepada penulis, maka bidang itu akan menjadi perniagaan dan terkeluar daripada maksud ibadah; adalah tertolak kerana ia tiada sangkut paut dengan mana-mana bentuk perniagaan; sama ada dalam fiqh Islam atau undang-undang ciptaan. Perniagaan; sama ada dalam perundangan Islam atau perundangan ciptaan manusia ialah untuk ‘mendapatkan harta melalui pertukaran dengan maksud menjualnya dengan pertukaran, dan penulis tidak membeli fikiran orang lain untuk diniagakan dan tidak bertujuan menukar fikirannya dengan wang.’

(d) Harapan ulamak – yang mengatakan bahawa hak ekonomi untuk penulis tidak diperundangkan dalam Islam – ialah agar umat Islam bertanggungjawab untuk membantu para penulis tersebut berkaitan keperluan-keperluan hidup mereka, sama seperti yang berlaku pada zaman salaf soleh. Harapan ini berlawan arus dengan realiti ummah sekarang ini. Umat Islam sekarang ini tidak mementingkan ulamak dan tidak mengambil hirau tentang bidang penulisan, khususnya yang berkaitan dengan Islam. Oleh itu, jika hak ekonomi untuk penulis tidak diperundangkan, bagaimana penulis itu mendapatkan keperluan hidupnya.

(3) Hak penulis ialah hak mujarrad, dan hak-hak mujarrad – menurut ulamak bermazhab Hanafi iaitu yang ditarjihkan di sini – tidak dinilaikan dengan harta. Oleh itu, ia tidak boleh dijual atau menggugurkan hak dengan digantikan harta. Contohnya seperti hak al-shuf'ah. Imam al-Haskafi berkata dalam bukunya ‘al-Dur al-mukhtar’, “Hak-hak mujarrad tidak boleh digantikan dengan wang seperti hak al-shuf'ah". Oleh itu penulis tidak boleh menerima imbalan dalam bentuk kebendaan untuk produk akalnya.

Hujah ini terdapat kekurangan daripada dua aspek:

(a) Hak penulis adalah hak muqarrar bukannya hak mujarrad.

Hujahnya ialah:

(i) Hak mujarrad ialah apa yang disabitkan untuk menghapuskan kemudaratan daripada orang yang dikurniakan hak untuknya, bukan dikurniakan semenjak asal; seperti hak shuf'ah. Ia disabitkan untuk jiran dan orang yang berkongsi agar kemudaratan dihapuskan daripada mereka. Apabila sebab pensabitan hak ini ialah menghapuskan kemudaratan, maka ia tidak boleh ditukar dengan harta. Manakala hak penulis pula, ia disabitkan semenjak asal , kerana sebab pensabitannya bukanlah untuk menghapuskan kemudaratan. Oleh itu hak penulis adalah hak muqarrar yang boleh ditukar dengan harta.

(ii) Hak mujarrad ialah apa yang terdapat pada tempat yang tidak boleh ditanggap oleh pancaindera seperti hak shufcah, pekerjaan dan wilayah umum. Dari sini, hak mujarrad bukanlah hak kewangan walaupun ia berkaitan dengan tempat seperti hak shufcah sebelum ia dituntut; kerana ia tidak dikira sebagai hak keutamaan untuk memiliki harta tak alih tersebut. Oleh itu, hak ini tidak boleh digugurkan kerana ia tidak memberi apa-apa kesan daripada keizinan syarak secara umum. Dengan itu, ia terkandung dalam maksud perkara-perkara yang dibenarkan secara umum (al-mubahat al-‘ammah) yang tidak boleh dilakukan pertukaran; kerana ia tidak bermaksud pemilikan tetapi sekadar hak dalam pemilikan. Perkara ini berbeza dengan hak ekonomi seseorang penulis. Ia berdiri pada tempat yang boleh ditanggap oleh pancaindera selepas ia disediakan di dalam bentuknya seperti buku. Dan ini tidak termasuk dalam perkara-perkara yang dibenarkan secara umum (al-mubahat al-‘ammah). Oleh itu, ia adalah hak muqarrar yang boleh ditukar dengan harta.

(iii) Hak mujarrad ialah hak yang tidak berubah hukum tempatnya dengan pengguguran atau penarikan balik. Manakala hak ekonomi seseorang penulis adalah hak yang boleh digugurkan atau ditarik balik. Ini berdasarkan hujah bahawa seseorang penulis boleh menggugurkan hak ekonominya dalam produk akalnya untuk penerbit atau selainnya. Ini adalah bukti bahawa hak ekonomi seseorang penulis ialah hak muqarrar bukan mujarrad.

(iv) Hak mujarrad tidak diiktibarkan sebagai hak kewangan atau yang boleh diterima sebagai mempunyai nilai kewangan. Manakala hak penulis merupakan hak kewangan kerana ia mengandungi manfaat yang boleh dinilaikan dengan wang dan ia diiktibarkan sebagai harta menurut adat semasa.

(b) Jika kita menerima kebenaran qiyas hak penulis dengan hak shufcah dan hak penulis daripada hak-hak mujarrad , maka ijma' ulamak menyatakan,  qiyas ditinggalkan apabila bertembung dengan adat umum (‘urf ‘am). Adat umum menyaksikan, seseorang penulis berhak menerima ganjaran dalam bentuk kebendaan kerana usaha akalnya. Adat ini diterima oleh syarak kerana ia tidak bercanggah dengan mana-mana nas atau usul syarak; sama ada secara qat’i atau zanni.

Berdasarkan hujah kedua-dua pendapat, didapati pendapat pertama adalah lebih tepat, iaitu hak ekonomi pada harta intelek; termasuklah hakcipta, diperundangkan dan diiktiraf dalam Islam. Ini adalah berdasarkan beberapa hujah:

(1) Dalil pendapat pertama adalah lebih kuat. Berbanding dengan dalil pendapat kedua yang mempunyai banyak ketidaktepatan dalam bentuk pendalilan.

(2) Kesepakatan para Muslimin dalam mengatakan bahawa antara kewajipan pemerintah ialah menggubal undang-undang untuk memelihara kepentingan-kepentingan (masolih) rakyat dan hak-hak mereka daripada menjadi sia-sia. Ia bertujuan untuk mengelakkan pembohongan dan ciplakan, serta untuk menjaga harta ummah.

Namun begitu, walaupun pemilik harta intelek mempunyai hak ekonomi ke atasnya, kepentingan (maslahah) umum perlu dijaga. Pemilik tidak dibenarkan mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan berlipat kali ganda yang melampaui had yang munasabah.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Page 4 of 4 pages « First  <  2 3 4