Tuan Adnan M amat berminat mahu menerbitkan buku-buku berset untuk dijual ke sekolah-sekolah. Beliau kenal penerbit Cina yang berjaya menjadi jutawan dengan menerbitkan buku-buku berset.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diambil kira semasa merancang buku-buku yang hendak diterbitkan:
1. Jumlah sekolah rendah adalah lebih banyak daripada sekolah menengah, oleh itu lebih baik menerbitkan buku berset untuk pusat-pusat sumber sekolah rendah.
2. Jual sendiri buku-buku itu, jangan serahkan kepada pengedar sebab pengedar besar boleh minta sampai 60-70% diskaun, dengan tempoh kredit 6 bulan!
3. Jangan terbitkan 1 set sahaja. Terbitkan paling kurang 3 set. Ini kerana buku-buku yang dibawa oleh salesman paling kurang mesti bernilai RM350. Kalau kurang daripada itu, tidak berbaloi bagi salesman pergi dengan memandu kereta ke sekolah, sebab diskaun yang terimanya tidak cukup untuk membayar minyak, tol, ansuran kereta dan macam-macam lagi kos yang ditanggungnya.
4. Ambil kira bahawa guru akan minta diskaun dari salesman.
5. Risiko salesman ambil stok buku, kemudian kutip duit tunai dari guru, tetapi tidak membayar hutang kepada penerbit adalah AMAT TINGGI!
6. Jangan terbitkan buku terlalu awal sebelum tarikh sekolah menerima duit peruntukan, nanti tempoh kredit pencetak sudah matang tetapi sekolah belum ada duit hendak membayar hutang penerbit.
7. Timing adalah amat penting. Kalau salesman kita lambat pergi ke sekolah, salesman penerbit lain sudah pergi lebih awal, oleh itu sekolah sudah ambil buku-buku salesman lain. Bila salesman kita sampai ke sekolah, duit peruntukan membeli buku sudah habis. Buku kita tidak laku.
8. Risiko sekolah (amat) lambat membayar hutang adalah (AMAT) TINGGI. Akibatnya, buku kita habis laku tetapi duit kita dalam bank 'kosong'. Hendak bayar hutang pencetak pun tidak ada duit.
9. Kos pergi ke sekolah-sekolah luar bandar adalah amat tinggi bagi salesman. Jarak dari satu kampung ke satu kampung lain adalah jauh, jadi dalam 1 hari salesman cuma dapat pergi ke 2 ataupun 3 sekolah sahaja, dia tidak sempat minum kopi dengan guru, dan itu mengurangkan peluang dia dapat buat sale.
10. Banyak sekolah sudah 'dibela' oleh salesman. Buku yang salesman kita bawa, tidak mahu dibeli oleh sekolah itu. Buku yang sama tetapi kalau dibawa oleh salesman lain, sekolah itu mahu beli pula.
11. Salesman kita mesti ada kereta sendiri, baru dia boleh bawa banyak set buku, dan dia dapat pergi ke 3 buah sekolah dalam 1 hari. Kalau dia naik motor, dia tidak dapat bawa banyak set buku. Kalau hari hujan, buku kita basah! Itu sebab penerbit perlu menyediakan kereta (atau van) untuk salesmannya.
12. Mesti masukkan buku berset dalam projek perbekalan buku kerajaan, walau dengan apa cara sekalipun. Tetapi ini tidak mudah sebab pertarungan dengan pemain lama dalam negeri Al Capone itu adalah amat sengit.
Berdasarkan faktor-faktor itulah PTS tidak berani memasuki negeri Al Capone itu.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
Sebenarnya sih ada niat jadi penulis. Namun kayaknya lebih seneng baca aja deh. Dipersilahkan yang berbakat menulis untuk memberikan karya terbaiknya