Adakah saudara berminat menjadi penerbit karya kreatif?
Sebagai penerbit baru, saudara mempunyai 2 pilihan apabila hendak memulakan bisnes penerbitan karya kreatif:
Strategi 1: Memasuki pasaran dengan ikut menerbitkan buku-buku yang sedang popular dalam pasaran.
Sebagai contoh, pada masa ini novel-novel remaja sedang laku dengan menggebu-gebu, jadi saudara ikut menerbitkan novel-novel remaja.
Strategi ini sesuai apabila modal operasi syarikat saudara adalah kecil, yakni kurang daripada RM100 ribu.
Apabila saudara memasuki pasaran yang sudah sedia terbuka, gunakan saiz buku yang serupa dengan saiz yang digunakan oleh pemain utama, supaya buku-buku saudara diletakkan di rak yang sama dalam kedai buku.
Sebagai contoh, terbitkan novel remaja saudara menggunakan saiz novel-novel remaja PTS ONE kerana PTS ONE adalah pemain utama sektor itu.
Jika saudara hendak menerbitkan novel sejarah, gunakan saiz novel sejarah terbitan PTS FORTUNA kerana PTS FORTUNA adalah pemain utama sektor itu.
Kelemahan strategi memasuki sektor pasaran yang sudah ada 'budak besar'-nya adalah persepsi peminat yang taksub pada kualiti buku-buku terbitan budak-besar.
Bersaing dengan imej budak besar adalah ibarat perjuangan mendaki gunung. Tetapi tidak mustahil saudara boleh berjaya. Caranya adalah dengan memilih sektor di mana di situ hanya ada satu pemain utama.
Sebagai contoh, jangan masuki sektor novel remaja perempuan kerana di situ sudah ada PTS ONE sebagai pemain No. 1 dan KarnaDya sebagai pemain No. 2. Sedangkan bersaing dengan 1 budak besar sudah payah, apatah lagi harus bersaing dengan 2 budak besar.
Sebaliknya, saudara masuki sektor novel fantasi-saifai kerana di situ hanya ada satu pemain utama iaitu PTS FORTUNA. Dengan memilih sektor ini saudara berpeluang menjadi pemain No. 2.
Strategi 2: Memasuki pasaran dengan membuka Laut Biru.
Apabila saudara membuka Laut Biru, saudara akan menjadi pemain utama sektor baru itu. Sebagai contoh, saudara boleh menerbitkan novel-novel thriller peperangan. Sektor ini sama sekali belum ada pemainnya.
Inilah strategi yang dilakukan oleh PTS. Lepas satu, satu, PTS membuka Laut Biru dengan menerbitkan kategori yang belum ada dalam pasaran.
Syarat paling kritikal bagi membuka Laut Biru adalah modal yang besar, yakni tidak kurang daripada RM500 ribu, kerana saudara mesti setiap bulan menerbitkan buku-buku dalam kategori itu, sehingga jumlahnya mendorong pekedai buku memberikan rak khas bagi kategori tersebut.
Selagi sesuatu kategori buku itu belum diberi rak khas dalam kedai buku, selagi itu buku yang ada akan terselit-selit antara buku-buku lain, menyebabkan pengunjung tidak perasan bahawa buku-buku itu sudah ada dalam pasaran.
Itulah sebabnya saudara dapat lihat bagaimana tiap-tiap bulan PTS tidak berhenti-henti menerbitkan novel-novel cinta Islami, novel fantasi-saifai, dan Komik Malaysia. Ini adalah 3 Laut Biru yang sedang diterokai oleh PTS.
PTS komited terus menerbitkan buku-buku dalam 3 kategori baru ini sehingga masing-masing kategori diberikan rak khas dalam kedai buku. Ini bermakna sekurang-kurangnya PTS menerbitkan 50 judul bagi setiap kategori.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o