Assalamualaikum Sifu,
Saya dapati ramai pelajar sekolah keliru dengan maksud 'Anti-PPSMI'. Rata-rata menganggap 'Anti-PPSMI' sebagai anti belajar bahasa Inggeris. Maka apabila mereka memberi pendapat kenapa mereka tidak menyokong perjuangan 'Anti-PPSMI' maka mereka memberikan pandangan yang memberi maksud yang salah tentang 'Anti-PPSMI'.
Penjelasan tentang maksud 'Anti-PPSMI' bukan bermaksud 'Anti Belajar Bahasa Inggeris' mungkin akan mengubah pandangan ramai pihak yang masih keliru tentang hal ini.
Rata-rata pelajar tidak menyokong perjuangan anti-PPSMI kerana mereka menganggap bahasa Inggeris penting untuk dipelajari. Secara kronologinya, bentuk pemikiran penyokong PPSMI adalah berada dalam kongkongan minda seperti berikut:
- Bahasa Inggeris penting untuk menguasai pelbagai ilmu yang disampaikan dalam Bahasa Inggeris.
- Bahasa Inggeris merupakan salah satu Bahasa Terbesar di dunia dan digunakan dalam pelbagai urusan ilmu.
- Anti PPSMI bermaksud Anti Belajar Bahasa Inggeris maka, Anti PPSMI bermaksud anti perkembangan ilmu.
- Maka, Anti PPSMI menyekat perkembangan kemahiran berbahasa Inggeris.
Dalam kes ini, mereka yang menyokong PPSMI didapati sudah lupa peranan Guru Bahasa Inggeris, subjek Bahasa Inggeris dalam membantu mereka untuk menguasai Bahasa Inggeris.
Ini telah mewujudkan kongkongan minda, di mana mereka yang menyokong PPSMI beranggapan, perjuangan anti PPSMI adalah satu bentuk perjuangan anti bahasa Inggeris. Mind block sebegini perlu dipecahkan.
Saya juga mendapat maklum balas daripada penyokong-penyokong PPSMI. Rata-rata cuma mampu memberi pendapat sahaja dan gagal memberikan fakta-fakta yang menyokong pendapat mereka.
Mereka juga gagal menghayati kesusahan pelajar-pelajar di kawasan pedalaman dalam usaha untuk menguasai subjek Sains dan Matematik.
Berdasarkan pemerhatian saya, rata-rata penyokong PPSMI mempunyai ciri-ciri berikut:
- Mereka tidak dapat menghayati atau menggambarkan kesukaran kehidupan anak-anak pedalaman yang mahu belajar menguasai Matematik dan Sains.
- Mereka tidak peka atau prihatin dengan potensi, cita-cita dan masa depan anak-anak pedalaman untuk berjaya dalam bidang sains dan teknologi.
- Mereka lupa untuk berfikir, bagaimana model pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris boleh disusun dan direkabentuk semula bagi memudahkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan warganegara Malaysia.
- Mereka lupa setiap tahun, tesis-tesis, buku-buku dan hasil kajian berkaitan Matematik dan Sains semakin bertambah di universiti-universiti.
- Mereka lupa pensyarah-pensyarah dalam bidang Matematik dan Sains makin lama makin ramai di negara ini.
- Mereka lupa bilangan pelajar-pelajar asing yang datang ke Malaysia dan boleh berbahasa Melayu semakin bertambah setiap tahun.
- Mereka lupa bahawa Malaysia mampu menjadi pusat atau salah satu institusi pendidikan yang terbesar di rantau Asia atau dunia.
- Mereka lupa bahawa setiap tahun akan ada penemuan-penemuan atau ciptaan-ciptaan baru berasaskan sains dan teknologi dicipta oleh saintis-saintis berbangsa Melayu khususnya dan ada yang mendapat pingat emas, perak atau gangsa di peringkat antarabangsa.
- Mereka seolah-olah terlupa bahawa kanak-kanak genius dalam bidang Matematik di negara kita ini belajar Matematik dalam Bahasa Melayu!
- Mereka lupa bahawa sudah ada universiti-universiti di luar negara yang menawarkan subjek Bahasa Melayu sebagai subjek bahasa asing pilihan untuk dipelajari.
- Mereka lupa bahawa kita boleh melatih pakar-pakar penterjemah ilmu untuk menterjemah buku-buku dari negara asing ke dalam bahasa ibunda sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Jepun pada masa dahulu.
- Mereka lupa betapa besarnya peranan pakar-pakar bahasa asing di negara kita untuk membantu mempelbagaikan lagi sumber-sumber bacaan ilmu dalam pelbagai bahasa.
- Mereka lupa bahawa pihak pendidik pada masa kini semakin kreatif dan inovatif dalam merekacipta model dan kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris yang boleh membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
- Mereka lupa bahawa rata-rata pelajar di negara ini begitu ghairah untuk mengambil bilangan subjek yang banyak untuk memecahkan rekod-rekod cemerlang PMR, dan SPM sedia ada. Maka kenapa tidak ditambah saja satu subjek baru, iaitu Matematik versi English dan subjek-subjek Sains versi English.
Dalam erti kata lain, rata-rata penyokong PPSMI mempunyai pemikiran harus bergantung kepada Bahasa Inggeris untuk maju. Mereka takut dan tidak yakin terhadap potensi diri mereka sendiri untuk terus menggunakan Bahasa Melayu. Mereka tidak nampak kehebatan dan kedudukan sebenar Bahasa Melayu dalam konteks dunia. Kita sudah memiliki ramai saintis-saintis yang boleh menyampaikan ilmu dalam Bahasa Melayu dan saya rasa sekiranya dalam tempoh enam tahun lepas subjek Sains dan Matematik maka sudah tentu lebih banyak sumber-sumber ilmu berkaitan bidang Sains dan Matematik dapat dihasilkan di negara ini.
Saya berpendapat, kementerian pelajaran patut mengadakan subjek Matematik dan Sains dalam dua versi untuk melihat suara rakyat. Rakyat tentu gembira kerana sistem kurikulum yang dibuat di bawah ini akan lebih demokratik. Malah pelajar-pelajar di pedalaman tidak perlu susah hati lagi.
- Matematik (BM)
- Matematik (English)
- Matematik Tambahan (BM)
- Additional Math (BI)
- Sains (BM)
- Science (BI)
- Fizik(BM)
- Physic (BI)
- Kimia (BM)
- Chemical (BI)
- Biologi (BM)
- Biology (BI)
- Sains Tambahan (BM)
- Additional Science (BI)
Jadi, dari sini para pelajar boleh mengambil kedua-dua versi iatu Matematik dan Mathematics secara serentak tetapi kelas yang berbeza. Katakan Hisham mendaftar subjek Sains dan Science. Dia perlu masuk ke dua kelas yang berbeza, iaitu kelas Sains dan kelas Science. Untuk kelas Sains, guru dan pelajar akan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya. Untuk kelas Science, guru dan pelajar akan menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya.
Dan tidak mustahil keghairahan pelajar untuk mencatat lebih daripada 30A dalam SPM akan tercapai. Cadangan di atas walau bagaimana pun terhad untuk di peringkat sekolah sahaja.
Bagi sekolah-sekolah di pedalaman pula, mereka boleh mengambil subjek Matematik, Biologi, Sains, Kimia, Fizik dan seumpamanya dalam versi bahasa Melayu. Malah, sekiranya mereka yakin untuk mengambil subjek Mathematics dan Science dalam Bahasa Inggeris, mereka boleh mendaftar subjek versi Inggeris.
Saya berharap dengan adanya penawaran subjek-subjek dalam dua versi bahasa, maka kemelut PPSMI akan berakhir dan nasib pelajar-pelajar di pedalaman akan terbela. Saya akan terus mendoakan keselamatan dan kejayaan perjuangan Sifu.
Salam hormat.
Yang benar,
Amiene Rev
http://dukeamienerev.blogspot.com
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o