Sebagai penerbit buku, kita berhadapan dengan banyak dilema. Salah satu dilema itu adalah berkaitan dengan kedai-kedai buku kecil.
Kita mempunyai 2 pilihan:
(i) Pilihan 1: Kita boleh membekalkan buku-buku kita terus kepada kedai-kedai buku kecil.
Adalah dianggarkan terdapat sekitar 10 ribu buah kedai-kedai buku kecil di seluruh negara. Semuanya dimiliki dan diuruskan oleh pemilik individu. Jumlah jualan mereka kecil, oleh itu pesanan mereka juga kecil.
Dari sudut positif, apabila kita membekalkan buku terus kepada kedai kecil, buku yang tidak laku cepat dipulangkan kepada kita, dan buku itu dapat dibekalkan kepada kedai lain. Kita juga mengetahui dengan lebih tepat jualan sebenar buku-buku kita. Maklumat ini penting apabila kita hendak mengulang cetak buku-buku kita.
Dari sudut negatif, pertama, pemilik kedai-kedai kecil tidak mempunyai disiplin membayar hutang yang tinggi, oleh itu masalah kutipan hutang menjadi masalah utama berniaga dengan mereka.
Kedua, kita terpaksa mengambil banyak salesman bagi menguruskan servis kerpada kedai-kedai kecil itu. Kita juga terpaksa mengambil lebih banyak kerani bagi memproses dokumen invois dan memasukkan data ke dalam sistem komputer. Kita terpaksa mengambil lebih banyak pekerja gudang bagi menjalankan kerja-kerja packing dan penghantaran buku-buku.
Kita juga memerlukan lebih banyak kotak dan pita pengikat kotak.
Apabila kita mengambil lebih banyak salesman, kerani dan pekerja gudang, kita juga menanggung kos tambahan bagi gaji, elaun perjalanan, elaun kerja overtime, EPF, SOCSO, insurans kesihatan, bil api dan air dll.
(ii) Pilihan 2: Kita hanya membekalkan buku-buku kita kepada pengedar besar, dan biarkan pengedar yang membekalkan buku-buku itu kepada kedai-kedai kecil.
Dari sudut positif, sistem ini kelihatan kemas dan mudah diurus, kerana pengedar yang menjalankan kerja-kerja membekalkan buku dan mengutip hutang daripada kedai-kedai kecil itu. Kita juga tidak memerlukan banyak salesman, kerani dan pekerja gudang.
Dari sudut negatif, kita mungkin ditekan oleh pengedar yang mementingkan bisnes mereka sahaja. Disebabkan kita sangat bergantung kepada mereka, jadi mereka berkuasa menekan supaya diberikan diskaun yang lebih tinggi, yang tidak masuk akal.
Jika kita tidak mahu mengalah, mereka boleh memulas telinga kita dengan melambat-lambatkan bayaran hutang ataupun sengaja tidak mahu membuat pesanan yang banyak, menyebabkan buku kita tersadai dalam setor kita. Semakin banyak pengedar itu mengedarkan buku-buku kita, semakin mudah mereka memulas telinga kita.
Pengedar juga boleh mencetak-rompak buku kita yang laku keras, dan membekalkan buku cetak rompak itu kepada kedai-kedai kecil di bawah sistem pengedaran mereka di luar pengetahuan kita.
Sistem ini juga menyebabkan buku yang tidak laku lambat pulang ke setor kita, kerana kedai kecil akan memulangkan buku-buku itu kepada pengedar, kemudian barulah pengedar memulangkan ke setor kita. Ini menyebabkan kita tidak tahu jualan sebenar buku-buku kita. Dalam setor kita buku itu sudah habis, tetapi mungkin buku itu masih ada di kedai-kedai kecil ataupun masih ada dalam setor pengedar. Akibatnya kita mungkin tersalah apabila mengulang cetak buku itu.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
salam sume…..
cuber korang beli buku novel AKU MAHU SAIZ S best tau sumer .....:o