Ada 2 "perkara baik" yang boleh membantutkan kemajuan bisnes sesebuah penerbit buku:
1. Melantik pengedar buku yang paling besar dalam pasaran sebagai pengedar buku-buku kita.
Dari satu sudut, ini kelihatan seperti langkah yang bijak, kerana disebabkan pengedar itu besar dan menguasai jaringan pasaran yang luas, maka dengan melantiknya buku-buku kita cepat sampai ke pasaran.
Tetapi langkah itu juga menjadi risiko besar kerana disebabkan bisnes kita sangat bergantung kepada pengedar itu, jika ada apa-apa berlaku kepada pengedar tersebut, bisnes kita pasti terpukul teruk.
2. Membekalkan dengan banyaknya buku kepada 1 ataupun 2 buah syarikat kedai buku utama sahaja.
Dari satu sudut, ini pun kelihatan sebagai langkah bijak kerana:
(a) Kedai buku utama mempunyai banyak cawangan, dan
(b) Kedai buku utama tidak menipu daripada sudut membayar hutang.
Tetapi jika porsi bisnes kita dengan kedai-kedai utama itu melebihi 10% daripada seluruh bisnes kita, situasi ini sangat berisiko kerana 2 faktor:
(a) Katakanlah nilai bisnes kita adalah RM30 juta setahun, manakala 10% bisnes kita adalah kepada salah sebuah kedai utama itu, jika berlaku sesuatu kepada kedai itu, ini bermakna RM3 juta bisnes kita mungkin hangus!
(b) Pengedar dan kedai-kedai buku utama itu adalah "Budak Besar" dalam pasaran. Disebabkan mereka itu besar, mereka mempunyai keupayaan memiat telinga dan mengelepet tangan penerbit yang menjadi pembekal kepada mereka.
Sebagai contoh, kedai buku utama berupaya memaksa penerbit memberi diskaun yang 'tidak masuk akal'. Jika penerbit tidak mahu memberikan diskaun harakiri itu, mereka boleh mengugut dengan cara-cara:
(a) Tidak mahu mempromosi buku-buku penerbit itu,
(b) Mengurangkan jumlah pesanan,
(c) Tidak mahu memesan lagi buku-buku penerbit itu.
Penerbit buku adalah rakan niaga pekedai buku. Tetapi perkara seperti kedai buku menekan rakan-niaganya sendiri bukanlah sesuatu yang luar biasa ataupun tidak pernah terjadi.
Kedai buku internet Amazon.com pun pernah melakukan perkara ini kepada penerbit-penerbit yang membekalkan buku mereka kepada Amazon, di mana Amazon telah memadam dari katalognya judul-judul buku daripada penerbit yang enggan memberikan diskaun harakiri.
Di Malaysia pun perkara seperti itu pernah dilakukan oleh pengedar dan kedai buku. Malah sebenarnya pada saat ini pun ada kedai buku yang sedang melakukan perkara begitu kepada pembekal-pembekalnya.
Bagi mengelakkan situasi di mana penerbit mudah ditekan oleh budak-budak besar itu, ada beberapa strategi yang perlu diambil oleh penerbit:
1. Penerbit mesti mengedarkan sendiri buku-bukunya, jangan bergantung kepada mana-mana pengedar besar semata-mata.
2. Penerbit mesti mengedarkan buku-bukunya kepada sebanyak-banyak kedai indie, supaya bisnes kita tidak bergantung kepada kedai-kedai utama sahaja.
3. Penerbit mesti membantu kedai-kedai indie supaya bisnes mereka berkembang, supaya kedai-kedai indie itu dapat menjual lebih banyak buku kita dari masa ke masa. Justeru, penerbit jangan menekan kedai-kedai buku indie.
4. Majoriti kedai-kedai buku indie berada di bandar-bandar sederhana besar (kota madya). Penerbit perlu menerbitkan judul-judul yang sesuai dengan jenis pembaca di bandar-bandar itu. Judul-judul yang laku keras di Kuala Lumpur belum tentu laku di kawasan bandar sederhana.
5. Penerbit-penerbit mesti bersatu, bekerjasama dan saling bantu-membantu sesama penerbit. Sebagai contoh, para salesman penerbit saling berkongsi maklumat tentang kedai-kedai buku indie yang kredibel supaya sama-sama dapat membekalkan buku kepada kedai-kedai itu.
NOTA: Foto di atas menunjukkan kedai buku indie Landmark Books yang terletak di dalam kompleks Landmark Central, Kulim, Kedah. Kedai buku ini mempamerkan semua judul terbitan PTS. Landmark Books adalah anak syarikat Kumpulan Hasani Edar.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006
wah…. ini list 200 besar ya… semoga tambah sukses penjualannya…