Sunday, January 22, 2006

Pesara Hendak Menjadi Penerbit

Disebabkan usia 56 tahun adalah terlalu muda bagi bersara, majoriti lelaki yang hampir tiba pada tarikh persaraan tergoda dengan idea memulakan bisnes dengan menggunakan wang EPFnya sebagai modal.


Jikalau saudara sekarang bertugas dalam bidang perbukuan, saudara mungkin memikir-mikirkan idea hendak menceburkan diri ke dalam dunia penerbitan buku apabila saudara bersara nanti.


Kita tidak menggalakkan pesara menggunakan wang EPFnya sebagai modal bisnes – apa jua jenis bisnesnya.


Simpan wang EPF saudara itu dalam mana-mana pelaburan amanah saham yang banyak ditawarkan oleh institusi kewangan. Lebih baik simpan dalam LUTH. Jangan sentuh wang itu. Makan dividennya sahaja sebagai tambahan kepada duit pencen bulanan saudara.


Gunakan masa yang banyak selepas bersara untuk menebus hutang-hutang lama kita kepada Tuhan dan kepada masyarakat, maklumlah semasa bekerja semua orang pun amat sibuk dengan urusan dunia.


Orang lain bekerja dan berjimat cermat kerana hendak mempunyai simpanan wang tunai yang banyak apabila sudah tua.


Saudara pula, selepas berpuluh-puluh tahun menyimpan ratusan ribu ringgit dalam tabung EPF, saudara hendak 'perjudikan' wang itu dalam aktiviti yang saudara tidak mempunyai bakat dan kemahiran. Kalau saudara mempunyai bakat dan dorongan dalaman yang kuat mahu menjadi usahawan, saudara takkan makan gaji sampai tempoh persaraan!


Cuba buat sedikit tinjauan rambang di kalangan para pesara: Berapa ramaikah pesara yang menggunakan wang EPFnya sebagai modal bisnes, akhirnya dia berjaya dalam bisnesnya itu. Berapa ramai pula yang semua wang EPFnya yang dijadikan modal bisnes hangus begitu sahaja, satu ringgit pun tak tinggal lagi.


Simpan wang EPF saudara. Menjadi penerbit buku bukan kerja yang sesuai bagi pesara – pesara DBP sekalipun! (Selama saudara bekerja di DBP, apa kemahiran yang DBP telah ajarkan tentang bisnes perbukuan kepada saudara?) Noktah.


Jangan ambil kes blogger ini sebagai mantan DBP yang dapat menjadi penerbit. Si blogger (gila) ini meletakkan jawatan (notis 24 jam) pada usia 38 tahun, sebab dia tidak tahan hendak tunggu sampai 56 tahun baru mula berniaga.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Penerbitan Buku
(2) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, January 21, 2006

Buku-buku Idaman Penerbit

Setiap tahun penerbit buku melakukan 2 jenis penerbitan. Pertama, penerbitan judul-judul baru. Kedua, penerbitan semula judul-judul 'backlist', yakni judul-judul yang sudah pernah diterbitkan.


Judul-judul backlist adalah aset yang sangat berharga bagi penerbit. Apabila seseorang itu hendak membeli sesebuah syarikat penerbitan yang sudah sedia beroperasi, antara perkara yang mula-mula diperiksa adalah berapa jumlah judul backlist yang dimiliki oleh syarikat itu. Daripada senarai backlist itu, berapa pula judul-judul yang dapat diterbitkan semula.


Judul-judul backlist dapat diterbitkan semula dengan beberapa cara:


1. Sebagai buku ulangcetak 100%. Buku itu dicetak semula tanpa sebarang perubahan pada isi, layout ataupun design kulit. Penerbitan secara ulangcetak adalah yang paling menguntungkan, baik kepada penerbit apalagi kepada penulis. Kos menerbitkan ulangcetak adalah paling rendah sebab penerbit tidak menanggung sebarang kos editorial mahupun kos-kos pracetak.


Kos buku ulangcetak hanya 2 jenis, iaitu kos mencetak dan royalti penulis. Dengan menjualnya pada harga yang sama, margin keuntungan buku ulangcetak adalah sekitar 5 – 7%.


Apabila sesuatu judul itu pertama kali diterbitkan, ia membawa risiko kerugian kepada penerbit, manakala margin keuntungannya pula amat nipis, antara 2 – 3% sahaja. Itulah sebabnya editor perolehan di syarikat penerbitan akan membuat ramalan buku-buku yang mempunyai harapan diulangcetak dan akan merancang perolehan manuskrip buku-buku jenis ini.


2. Ulangcetak dengan wajah baru. Ulangcetak jenis ini adalah ulangcetak yang paling banyak dilakukan oleh penerbit. Isi buku itu tidak berubah, oleh itu pengarang tidak terlibat. Hanya layout bahagian dalam buku dan design kulit yang diberi wajah baru. Ini bermakna buku itu tidak memakan kos perolehan dan kos editorial yang banyak. Kos baru yang ditanggung adalah kos ilustrasi baru, kos pracetak, kos cetak dan royalti.


Salah satu mentaliti pengurusan kedai-kedai buku adalah mereka mahukan design-design kulit baru setiap tahun. Mereka akan membuat order baru bagi buku yang sama apabila judul itu diulangcetak dengan wajah baru. Puncanya adalah, mentaliti pembeli buku, yang juga mahukan design-design baru setiap tahun!


Penerbit tidak berapa suka mengulangcetak buku yang sama dengan memberikan wajah baru kerana bukan hanya kos pengeluaran naik, tetapi lebih merugikan adalah apabila buku wajah baru keluar, para pekedai memulangkan semua stok buku wajah lama sebagai buku tak laku!


Namun citarasa pembeli berubah-ubah, dan penerbit perlu memenuhi kehendak citarasa pembeli buku. Pembeli adalah raja....


Termasuk dalam kategori ini adalah penerbitan semula dalam bentuk softcover dan paperback. Sesetengah judul diterbitkan kali pertama dalam bentuk mewah dan mahal, yang lazimnya diberi hardcover dan jaket. Hanya perpustakaan yang mampu membeli buku-buku edisi mewah. Buku itu kemudian dapat diterbitkan semula dengan menurunkan kos supaya dapat dijual untuk pembeli sasaran orang awam. Contoh yang baik adalah buku edisi mewah "Pengembaraan Ibnu Batutah" terbitan IKIM, yang kemudian diterbitkan semula dalam edisi softcover.


3. Penerbitan sebagai buku edisi baru. Menerbitkan buku-buku edisi baru adalah lebih menguntungkan daripada mengambil risiko menerbitkan judul baru. Selain daripada Quran dan buku-buku kreatif seperti novel dan puisi, selepas diulangcetak sekali ataupun dua kali, semua buku lain perlu dibuatkan edisi barunya supaya nyawa buku itu dapat dipanjangkan. Buku-buku edisi baru mengandungi maklumat-maklumat tambahan dan terkini.


Bagi menerbitkan semula buku-buku edisi baru, kos yang dapat dijimatkan adalah kos perolehan dan kos editing. Itulah sebabnya penerbit kecewa apabila penulis enggan melakukan sedikit pembaikan di sana sini pada buku-buku mereka yang sudah pernah terbit. Tanpa pembaikan, buku itu tidak sesuai diterbitkan semula, suatu hal yang merugikan penerbit dan pengarang.


Perpustakaan tidak akan membeli buku yang sama dua kali. Buku-buku ulang cetak tidak dibeli lagi oleh perpustakaan, walaupun sudah diberi wajah baru. Sebaliknya, perpustakaan terpaksa membeli buku-buku edisi baru. Penerbitan edisi baru adalah strategi yang digunakan oleh penerbit bagi menjual judul-judul yang sama berulang kali kepada perpustakaan!


Pengurusan syarikat penerbitan mesti mendapatkan formula yang betul antara nisbah jumlah penerbitan judul-judul baru dengan jumlah judul-judul ulangterbit.


Kalau penerbit terlalu banyak menerbitkan judul baru, cashflow syarikat akan tercekik kerana banyak modal operasi digunakan bagi membiayai kos perolehan, kos editorial dan kos pracetak judul-judul baru itu. Risiko kegagalan judul-judul baru juga naik. Margin keuntungan juga amat nipis. Keadaan ini amat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan syarikat gulung tikar.


Kalau syarikat terlalu bergantung kepada judul-judul ulangcetak, ini bermakna syarikat tidak membuat pelaburan baru bagi menerbitkan judul-judul baru yang mempunyai potensi dapat diulangcetak berkali-kali pada masa depan, dan dengan itu menambahkan aset backlistnya. Keadaan ini tidak sihat untuk kestabilan kewangan dan perkembangan bisnes syarikat.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Penerbitan Buku
(9) Diskusi Kuliah | Permalink

Rancangan Penerbitan PTS 2006 dan 2007

Pada tahun 2005 PTS berjaya menerbitkan 200 judul baru. Ditambah dengan 300 lebih judul backlist, katalog PTS sekarang mengandungi lebih 500 judul.


Bagi tahun 2006 ini PTS akan menerbitkan 300 judul baru, yakni sekitar 25 judul sebulan.


Penulis-penulis baru PTS yang mengikuti kursus mulai tahun 2005 akan dapat melihat karya-karya mereka terbit sepanjang tahun 2006 ini.


Bagi tahun 2007, PTS akan menerbitkan 400 judul baru. Peningkatan jumlah judul itu bermakna PTS perlu melahirkan sekitar 50 orang penulis baru pada tahun 2006 ini supaya karya-karya mereka dapat diterbitkan mulai 2007.


Tugas melatih dan melahirkan angkatan demi angkatan penulis baru dalam pelbagai sektor pasaran buku-buku Melayu adalah tugas dan tanggungjawab AKADEMI PENERBITAN PTS.


Jikalau saudara berminat menjadi pengarang PTS, sila ikuti notis-notis jadual kursus yang disiarkan dalam laman web rasmi PTS dan blog ini.


Bagi saudara yang pernah menerbitkan karya dengan penerbit lain, sekiranya saudara berminat menjadi pengarang PTS saudara juga diwajibkan menghadiri kursus-kursus PTS.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Penerbitan Buku
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 20, 2006

Surah Yusuf dan “Waiting for Godot”

Barangkali saudara pernah mendengar judul teater yang terkenal “Waiting for Godot” karya Bertolt Brecht dalam kuliah profesor saudara, ataupun saudara membacanya dalam buku-buku teks teori sastera.



Barangkali saudara pernah menonton teater “Kerusi Kencana” oleh WS Rendra dan Ken Faridah di Kuala Lumpur 10 tahun lalu. (Kebetulan Anwar Ibrahim dan Dr. Wan Azizah juga menontonnya, maklumlah mereka berdua adalah penggemar karya-karya Rendra.) “Kerusi Kencana” adalah “Waiting for Godot” versi Indonesia.



Jadi, apa kaitan yang ada antara sastera Islami, surah Yusuf dan “Waiting for Godot”?



“Waiting for Godot” diajarkan dalam kuliah teori teater di universiti kerana drama ini dikatakan drama terpenting abad lalu atas alasan drama ini mengubah sama sekali seni persembahan teater sebagaimana yang diamalkan sebelumnya.



Dalam drama “Waiting for Godot”, yang ada hanya 2 orang pelakon di atas pentas bercakap-cakap dari mula sampai tamat drama. Pentas adalah lantai kosong. Tidak ada prop. Pakaian 2 orang pelakon itu adalah kain selimut yang dibalutkan pada badan, seakan-akan gaya orang memakai kain ihram. Itu sahaja. Dalam teater “Waiting for Godot” yang ada hanya pelakon dan dialog.



Jikalau kita mementaskan drama tentang kisah Nabi Yusuf dengan mematuhi surah Yusuf, beberapa elemen pementasaan drama “Yusuf” itu serupa dengan teater “Waiting for Godot”. Elemen-elemen yang serupa itu adalah (a) pentas yang kosong, (b) pakaian pelakon yang berupa selimut.



Dalam surah Yusuf, ada beberapa maklumat yang tidak diterangkan, dari awal cerita sehingga tamat cerita. Maklumat-maklumat itu adalah:




  1. Maklumat tentang setting alam. Dalam surah Yusuf tidak terdapat sebarang ayat yang memberikan kepada kitaa gambaran tentang keadaan alam di mana peristiwa-peristiwa berlaku. Sebagai contoh, dalam peristiwa Nabi Yusuf dibawa oleh abang-abangnya pergi ke tengah-tengah padang pasir, tidak ada ayat yang menerangkan keadaan alam di sekitar kawasan padang pasir itu. Justeru, apabila babak ini dipentaskan, pentas adalah “kosong” tidak perlu diadakan lukisan backdrop padang pasir di belakang pentas, sebagaimana pentas pada “Waiting for Godot”




  2. Maklumat tentang pakaian: Dalam surah Yusuf tidak terdapat sebarang ayat yang menerangkan kepada kita rupa bentuk pakaian watak-wataknya, baik pakaian Nabi Yusuf ataupun Siti Zulaikha, mahupun raja Mesir. Tanpa maklumat itu, pakaian pelakon-pelakon drama “Yusuf” boleh sahaja mengambil rupa kain selimut, sebagaimana pada teater “Waiting for Godot”.




  3. Maklumat tentang tubuh badan: Dalam surah Yusuf tidak terdapat ayat-ayat yang menerangkan rupa bentuk tubuh badan setiap wataknya. Jadi kita tidak diberitahu apakah warna mata, rambut ataupun kulit Nabi Yusuf dan semua watak lain. Bagaimanakah rupa wajah Nabi Yusuf, ataupun Siti Zulaikha, kita hanya perlu membayangkan wajah-wajah mereka dalam imaginasi kita masing-masing. Jika, dalam teater “Waiting for Godot” aspek rupa wajah pelakon tidak penting, dalam drama “Yusuf” maklumat itu ditiadakan sama sekali. Implikasinya, dalam drama “Yusuf” para pelakon bukan hanya berselimut, malah mereka boleh sahaja tampil dengan memakai maska (topeng). Kalau mahu maska itu boleh sahaja menggunakan teknik catan pada muka pelakon seperti maska Geisha, ataupun maska yang dipakai seperti maska Venice.





Kita menyarankan supaya para ahli teori sastera Islami umumnya, dan ahli teori teater Islami khususnya, membuat kajian lebih mendalam tentang surah Yusuf dan melihat sejauh mana surah ini mengandungi panduan bagi para pengamal teater mencari kreativiti dalam seni pementasan Islami. Akhirulkalam, Tuhanlah yang lebih mengetahui.





 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Notis: Bengkel Bahasa Persuasif

Perhatian! Perhatian!


AKADEMI PENERBITAN PTS akan mengadakan bengkel kemahiran bahasa seperti berikut:


Tarikh: 11 Februari 2006

Tempat: Sekolah al-Ikhlas, Taman Permata, KL.

Waktu: 10 pagi – 5 petang


Siapa patut hadir: Semua editor, penulis buku-buku motivasi, penulis buku-buku agama.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sains Penulisan
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, January 19, 2006

Surah Yusuf Mazhab Rasmi bagi Teori Sastera Islami PTS

Pengumuman Rasmi!



Selepas beberapa lama menjalankan analisis ke atas surah Yusuf dan membincangkan serta melakukan pelbagai ujian aplikasinya dalam aktiviti penulisan karya kreatif, kita berpuas hati surah Yusuf dapat dijadikan asas bagi teori sastera Islami.



Dengan mengangkat surah Yusuf menjadi teori rasmi sastera Islami PTS, ini bermakna PTS hanya menerbitkan karya-karya kreatif yang mematuhi prinsip-prinsip dan teknik-teknik yang terdapat dalam surah Yusuf.



Genre karya-karya kreatif yang tertakluk di bawah dasar ini adalah novel dewasa, novel remaja, novel agama, fiksyen sains, fiksyen sejarah, cerita rakyat, cerita kontot, storyboard, skrip komik, ilustrasi kulit luar, ilustrasi dalam buku, dan lukisan komik.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, January 18, 2006

Novel Cinta 50 Tahun Masih Dibaca

Novel-novel cinta karangan Barbara Cartland mula terbit pada tahun 1960-an dan sehingga kini masih dibaca di seluruh dunia. Barbara Cartland dan Agatha Christie adalah pengarang paling kaya di dunia sebelum munculnya JK Rowling. Nampaknya ketiga-tiga pengarang terkaya di dunia adalah perempuan.



Manakala Barbara Cartland adalah penulis siri novel cinta, Agatha Christie adalah pengarang novel siasatan jenayah. JK Rowling adalah pengarang novel khurafat.



Apakah ciri novel-novel cinta Barbara Cartland yang menjadikan beliau kaya-raya? (Kebetulan, beliau adalah nenek kepada Puteri Diana sebelah ibu.)



1. Tema dalam novel-novel cintanya adalah tema universal. Tema cinta antara dua darjat adalah tema universal. Begitu juga tema kahwin terpaksa. Tetapi, jikalau saudara menulis novel cinta yang bertemakan cinta poligami, isu poligami bukan isu universal. Tema universal membolehkan novel-novelnya diterjemahkan dan dinikmati oleh penggemar novel cinta di seluruh dunia.



2. Setting kisah-kisah cintanya sentiasa setting historis, dengan itu tidak akan berlaku isu cerita menjadi out-of-date. Jikalau saudara menulis kisah cinta yang berlaku dalam Istana Perak pada zaman sebelum Merdeka, setting novel itu akan kekal evergreen. (Ini kisah cinta P.Ramlee-Norizan!) Fakta-fakta sejarah tidak berubah. Ini membolehkan novel cinta saudara menjadi evergreen. Fakta-fakta sejarah dalam novel-novel Barbara Cartland sentiasa betul.



3. Hero dan heroin dalam novel-novel cintanya terdiri daripada gadis dan teruna yang ideal, dan kedua-duanya mempertahankan kesucian mereka sampailah mereka bernikah. Novel-novel cintanya juga sentiasa menampilkan nilai-nilai moral, sosial dan nilai-nilai kekeluargaan yang murni. Ini menyebabkan novel-novel cinta beliau dapat diterima oleh pasaran masyarakat moden mahupun tradisional.



Tentu sekali, isu kesucian teruna-dara adalah isu kultural. Dalam masyarakat Inggeris tradisional, mereka menerima beberapa perlakuan asmara yang tidak diterima oleh masyarakat Timur tradisional, seperti perbuatan hero dan heroin duduk-duduk berdua memadu cinta.



Nah! Jikalau saudara mahu menghasilkan novel-novel cinta yang evergreen, Barbara Cartland sudah menciptakan modelnya. Yang evergreen mungkin juga mengandungi ayat-ayat yang haram diperniagakan. Dalam sesetengah budaya, ayat-ayat yang menerangkan babak-babak asmara tidak diizinkan dijadikan barangan yang diperniagakan.



Bagi saudara yang mahu menghasilkan novel-novel cinta Islami, yang evergreen dan juga menjadi ibadah, modelnya adalah surah Yusuf.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Novel
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Tuesday, January 17, 2006

Ciri-ciri Buku Evergreen

Apabila saudara mengarang buku, karanglah buku yang evergreen dan dapat diekspot ke Indonesia. Karanglah buku yang hayatnya panjang dalam pasaran baik di Kuala Lumpur mahupun di Jakarta, supaya setiap tahun buku itu diulangcetak dan royalti buku itu berpanjangan.

Berikut adalah faktor-faktor yang boleh menyebabkan buku saudara menjadi evergreen dan dapat dipasarkan baik di Malaysia mahupun di Indoesia:

  1. Topik-topik yang saudara bincangkan dalam buku saudara itu bukan topik yang bermusim. Kalau saudara menulis tentang peristiwa 'tsunami 2004', ataupun 'Islam Hadhari' buku-buku saudara tidak dapat hidup lama dalam pasaran. Apabila tamat cerita tsunami, maka hayat buku saudara pun ikut tamat. Begitu juga, apabila Pak Lah sudah tidak menjadi perdana menteri lagi, buku Islam Hadhari tidak laku lagi.

  2. Topik-topik itu bukan topik yang terlalu lokal sehingga hanya rakyat Malaysia sahaja yang faham isu-isu dalam topik itu. Kalau saudara menulis buku panduan menjadi pemimpin, jangan gunakan isu perebutan kuasa di kalangan pemimpin UMNO sebagai contohnya. Masalah UMNO adalah terlalu lokal.

  3. Contoh-contoh yang saudara gunakan dalam buku saudara itu bukan contoh-contoh orang yang masih hidup. Kalau saudara gunakan nama 'Dr. Mahathir' ataupun 'Pak Lah' ataupun 'Bill Gates', buku saudara tidak dapat hidup lama dalam pasaran. Sebaliknya, gunakan sebagai contoh tokoh-tokoh yang sudah meninggal dunia seperti Nabi Muhammad, Khalifah Umar bin Aziz, Abraham Lincoln, Ayatollah Khomeini, Thomas Edison dan lain-lain.

  4. Nama-nama orang dan organisasi yang saudara gunakan itu jangan nama-nama yang relevan kepada rakyat Malaysia sahaja seperti UMNO, PAS, MARA, Tun Teja, Raden Kartini, Najib Razak, Endon Mahmud, dan lain-lain. Nama-nama itu tidak sama-sama relevan kepada kedua-dua pembaca di Malaysia dan Indonesia. Gunakan nama-nama yang relevan baik di Malaysia mahupun di Indonesia.

  5. Menggunakan nama-nama selebriti lokal seperti Siti Norhaliza, M. Nasir, Krisdiyanti, Hetty Koes Endang, Linda Onn ataupun Aznil akan menyebabkan hayat buku saudara amat singkat, lebih singkat daripada menggunakan nama tokoh politik seperti Dr. Mahathir, Amin Raies, Soeharto ataupun Pak Lah.

  6. Bahasa yang saudara gunakan bukan bahasa yang difahami oleh orang Melayu Malaysia sahaja. Jangan gunakan istilah-istilah dan frasa-frasa yang terlalu lokal. Perkataan “sama ada” tidak difahami di Indonesia. Apabila saudara banyak membeli dan membaca buku-buku terbitan Jakarta saudara mendapat maklumat berkenaan perbezaan kosa kata Indonesia-Malaysia. Di kedai buku Universiti Malaya terdapat banyak buku-buku berkualiti dari Jakarta, silalah ke sana.

PTS sudah mula mengekspot judul-judul PTS ke Indonesia. Buku-buku itu di-Indonesia-kan oleh editor-editor di Indonesia. Gunakan Bahasa Melayu Tinggi apabila saudara menulis sebab gaya Bahasa Melayu Tinggi tidak banyak berbeza daripada gaya Bahasa Indonesia Tinggi. Yang dikatakan bahasa tinggi itu disebut juga sebagai 'bahasa buku'.



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sains Penulisan
(4) Diskusi Kuliah | Permalink

Friday, January 13, 2006

Pentingnya Storyboard

Bagi menghasilkan buku-buku grafik yang laris dalam pasaran, ada tiga ciri penting.

  1. Nombor satu paling penting adalah ciri stori yang bagus.

  2. Paling penting kedua adalah ciri storibod yang bagus. Stori asal mungkin bagus, tetapi sampai ke tangan penulis storibod yang tidak pandai memilih dan mencipta babak-babak yang memiliki kesan drama yang dramatik apabila digrafikkan, komik itu jadi lesu.

  3. Terakhir barulah ciri strok pelukis yang bagus. Jika strok kurang bagus senilukisnya, tetapi storinya bagus dan storibodnya cantik, komik itu masih dapat memikat pembaca.


Di Indonesia sekarang, buku-buku yang dipanggil novel adaptasi sedang rancak diterbitkan dan dijual dengan larisnya. Novel-novel itu diadaptasi daripada sinetron (filem) yang mendapat sambutan hangat.


Pada kulit hadapan novel-novel itu, selain gambar poster film, ada tambahan caption "sebuah novel" ataupun "berdasarkan screenplay oleh....".


Proses novel adaptasi di Indonesia terbalik dengan apa yang kita lakukan di Malaysia. Di sini, novel diadaptasikan menjadi filem ataupun drama TV. Di sana filem-filem diadaptasi menjadi buku. Dari tontonan menjadi bacaan.


Filem-filem yang banyak diadaptasikan menjadi novel adalah filem-filem remaja. Judul dan wajah kulit-kulit novel itu menyalin judul dan poster-poster filemnya. Novel-novel itu juga dilancarkan oleh bintang-bintang filem yang berlakon dalam filem-filem itu. Justeru wartawan infotainmen banyak hadir dalam majlis tersebut.


Penulisan novel-novel itu mengikuti storibod yang disediakan bagi pembikinan filemnya, sehingga dialog-dialog dalam novel-novel itu banyak mengulangi dialog-dialog dalam filem. Begitu juga, jalan cerita mempamerkan apa yang dapat dirakam oleh kamera, dan tidak masuk ke dalam jiwa dan fikiran watak-wataknya.


Antara novel adaptasi yang sangat berjaya di sana adalah “Tiga Puluh Hari Mencari Cinta”, “Dara Manisku”, “Brownies”, bahkan drama horor “Tusuk Jelangkung” dan “Bangsal 13”.


Jadi kita lihat pentingnya storibod yang bagus. Ia membolehkan storibod filem digunakan bagi menuliskan edisi novelnya, sebiji macam filemnya. Itu belum lagi dari filem dijadikan komiknya.


Trend novel adaptasi ini bukan hanya memperkenalkan novelis baru muncul seperti Miranda, tetapi novel-novel itu berjaya menarik minat penulis-penulis laris seperti Fira Basuki dan Nova Riyanto Yusuf ikut sama terjun ke dalam genre baru ini.


Filem “Baik Punya Cilok” yang sudah berjaya mengutip lebih RM2 juta dalam masa 3 minggu, jikalau dibuat dengan meniru strategi para penerbit Indonesia di mana filem-filem yang popular diterbitkan serentak dengan edisi novelnya, maka ia dapat menghasilkan lebih banyak pulangan kepada Afdlin Shauki.


Apakah filemnya yang melariskan jualan novelnya. Ataupun jualan novelnya yang melariskan filemnya. Yang jelas, filem-filem remaja yang top dilancarkan serentak dengan novelnya dengan dihadiri oleh bintang-bintang filemnya.




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sains Penulisan
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, January 11, 2006

Tentang Tempe, Sate Kajang dan Jakarta

PTS mentarget Jakarta sebagai gawang yang membolehkan buku-buku PTS menerobosi pasaran Indonesia. Itulah sebanya setiap tahun PTS menghantar pegawai-pegawainya ke Pesta Buku Antarabangsa Jakarta bagi tujuan itu.


Indonesia adalah pasaran besar kita. Mulai 2005 PTS sudah mula mengekspot judul-judul PTS ke Indonesia. (Ingat ya, PTS mengekspot judul, bukan buku!)


Bagi memudahkan PTS mengekspot karya-karya saudara, apabila saudara menulis, masukkan wajah-wajah pembaca Indonesia dalam minda saudara, jangan fikir pembaca Malaysia sahaja yang akan membaca buku-buku saudara. Tanya, “Kalau orang di Bandung membaca bukuku ini, dia fahamkah ayat ini?”


Apabila saudara gunakan metafora TEMPE, ya, itu baik di Malaysia mahupun di Indonesia, istilah itu dapat difahami. Bagaimana apabila saudara menggunakan metafora SATE KAJANG? Gunakanlah sahaja metafora SATE KAMBING yang dapat difahami baik di sini mahupun di sana.


Dua faktor yang menyebabkan sesuatu judul itu mudah diekspot ke Jakarta adalah (a) penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dan (b) setting yang neutral-budaya, maksudnya jangan ada unsur-unsur yang terlalu lokal.


PTS sudah mengadakan persetujuan dengan PT Mizan, iaitu penerbit kedua terbesar di Indonesia selepas PT Gramedia, bahawa jual-beli lesen penerbitan antara Mizan-PTS akan diusahakan dengan formula 1 Mizan 1 PTS. Maksudnya bagi setiap judul Mizan yang dilesen oleh PTS maka Mizan akan cuba melesen 1 judul PTS. Jadi, bayangkan apabila PTS melesen 100 judul Mizan, PTS harus dapat meyakinkan Mizan supaya memilih 100 judul PTS! Nah! Jikalau gaya bahasa dan isi buku-buku PTS terlalu lokal, buku-buku itu tidak dapat dipasarkan di sana, PT Mizan tidak akan mahu melesennya. Ini bererti kita akan mengimpot lebih banyak judul daripada mengekspot. Alangkah ruginya.


Pada tahun 2006, PTS akan menerbitkan 350 judul baru, ditambah 500 judul yang sudah ada, mudah-mudahan daripada jumlah judul itu banyak yang memikat hati Mizan bagi melesennya.


Mizan menerbitkan sekitar 1000 judul baru setiap tahun. Dengan jumlah yang sebegitu banyak, tentulah senang-senang PTS dapat memilih lebih daripada 100 judul, kalau mahu lebih pun boleh, setiap tahun bagi diterbitkan sebagai edisi Malaysia.


Bagi mengimbangi jumlah impot-ekspot judul antara PTS-Mizan, majoriti buku-buku PTS mestilah dapat dilesenkan kepada Mizan supaya diterbitkan semula untuk pasaran Indonesia. Hal ini amat bergantung kepada komitmen dan kreativiti penulis-penulis PTS menghasilkan judul-judul yang dapat dijual baik di Malaysia mahupun di Indonesia.




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sains Penulisan
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Buku untuk Penggemar Kucing

Di Amerika sekarang, sejak 2004, nilai jumlah jualan makanan kucing, buat pertama kali, sudah mengatasi makanan anjing!


Kita berminat menerbitkan buku-buku berkenaan pelbagai hobi dan obsesi. Pasaran buku-buku jenis ini besar dan hayatnya boleh panjang.


Ambil sebagai contoh sektor buku-buku hobi tentang kucing. Ramai orang suka membela kucing. Mereka adalah sektor sasaran buku-buku tentang kucing.


Apabila saudara ke MPH, cuba saudara masuk ke seksyen buku-buku PET BOOKS, buku tentang penjagaan kucing dan anjing adalah paling banyak, dan paling cantik serta mahal-mahal.


Jangan terkejut, kucing juga menjadi salah satu faktor penyebab keharmonian dan konflik dalam keluarga. Sebelum membuat keputusan berkahwin, cuba semak bakal pasangan saudara itu suka kucing ataupun tidak.


Kajian yang dilakukan di Britain mendapati orang-orang tua yang membela kucing mempunyai kandungan gula dalam darah yang lebih rendah, tekanan darah lebih rendah, stress lebih rendah, dan kemurungan lebih rendah, daripada orang-orang tua yang tidak mempunyai binatang kesayangan.


AKADEMI PENERBITAN PTS akan mengadakan bengkel tentang penulisan buku-buku cerita yang berdasarkan pelbagai jenis hobi dan obsesi. Jika saudara berminat, sila daftar dalam kotak chat blog ini. Tarikhnya akan diberitahu kemudian.


Buku cerita-cerita tentang kerenah membela kucing, ada sesiapa yang hendak menulis? Hubungi kami!



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Penerbitan Buku
(1) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, January 09, 2006

Penulis, Penerbit dan Buku: Isu Harta Sepencarian

Pada saat ini para pejuang hak-hak wanita Islam sedang hangat mengadakan pelbagai kempen berkenaan isu pindaan undang-undang keluarga Islam yang dipertikaikan sekarang.



Saudara sebagai penulis buku perlu faham sedikit sebanyak konsep HARTA SEPENCARIAN sebab isu ini ada kaitan lansung kepada saudara, dan isu ini menjadi punca rasa tidak puas hati yang amat sangat di kalangan para pejuang hak-hak wanita itu.



Di bawah undang-undang keluarga Islam Malaysia, harta yang dicipta ataupun perolehi semasa saudara berkahwin dengan isteri ataupun suami saudara, adalah HARTA SEPENCARIAN.



Buku-buku yang saudara tulis adalah harta intelektual. Harta intelektual termasuk dalam HARTA SEPENCARIAN, serupa seperti tanah, rumah, saham, kereta dan lain-lain harta tradisional. Semua HARTA SEPENCARIAN boleh dibahagi-bahagikan antara bekas suami dan bekas isteri apabila berlaku perceraian.



Sebagai penulis, di bawah konsep HARTA SEPENCARIAN, apabila berlaku perceraian, baik bekas suami mahupun bekas isteri saudara, mereka berhak menuntut sebahagian daripada royalti buku-buku karangan saudara. Justeru, jikalau saudara penulis perempuan, suami saudara memiliki sebahagaian daripada royalti buku saudara, sampai tamat tempoh hakcipta karya saudara itu – sebagaimana jika saudara pengarang lelaki, isteri saudara juga memiliki sebahagian daripada royalti buku saudara.



Konsep HARTA SEPENCARIAN tidak ada dalam Quran ataupun sunah. Ia adalah konsep yang diambil daripada adat orang Melayu, khususnya adat masyarakat Melayu di Negeri Sembilan. Aturan adat Melayu Negeri Sembilan itu kemudian dijadikan undang-undang keluarga Islam di negara kita.



Konsep HARTA SEPENCARIAN dianggap dapat menjaga kepentingan pihak bekas-bekas isteri, justeru isu ini diperjuangan oleh golongan pejuang hak-hak wanita. Sekarang pejuang-pejuang itu mahu supaya jikalau suami mahu berpoligami, sebahagian HARTA SEPENCARIAN hendaklah diserahkan lebih dahulu kepada isteri yang sudah ada sebelum dibenarkan bernikah baru.



Isu HARTA SEPENCARIAN ini boleh membabitkan para penerbit sebab penerbit mengeluarkan cek-cek royalti bagi buku-buku saudara. Jikalau bekas suami saudara membawa ke mahkamah judul-judul buku saudara dan beliau berjaya meminta mahkamah mengarahkan sebahagian royalti itu dibayar kepada beliau, isu ini tentu memeningkan penerbit. Begitu juga jikalau bekas isteri saudara berjaya melakukan yang sama.



Jikalau buku-buku saudara tidak laku, bekas suami ataupun bekas isteri saudara mungkin tidak berminat menuntut hak HARTA SEPENCARIAN ke atas buku-buku saudara. Tetapi bagaimana jikalau jumlah jualan buku-buku saudara itu adalah satu kategori dengan novel-novel cinta Norhayati Berahim, Fauziah Ashari, Aina Emir dan lain-lain yang dapat membawa pulangan ratusan ribu ringgit?



Jikalau saudara menjadi penerbit, ataupun saudara memiliki saham dalam syarikat penerbitan, syarikat dan saham saudara itu adalah HARTA SEPENCARIAN, oleh itu bekas suami ataupun bekas isteri saudara berhak ke atas sebahagian saham saudara itu.



Jikalau syarikat penerbitan milik saudara kecil dan menanggung banyak hutang, barangkali bekas suami ataupun bekas isteri saudara tidak berminat menuntut haknya, tetapi bagaimana jikalau syarikat saudara itu besar dan banyak membuat keuntungan?



Di bawah konsep HARTA SEPENCARIAN, baik bekas suami mahupun bekas isteri, kedua-dua pihak berhak membuat tuntutan ke atas apa-apa harta yang diperolehi semasa mereka masih berkahwin, tanpa mengira atas nama siapa harta itu didaftarkan, baik atas nama suami mahupun nama isteri.



Dari satu segi, tujuan asal konsep HARTA SEPENCARIAN ini diperkenalkan adalah bagi menjaga kepentingan pihak bekas isteri, yang lazimnya tidak mempunyai harta sebanyak pihak bekas suami. Tetapi dalam sesetengah situasi, konsep ini boleh mencipta kesan gergagi dua mata, ke kiri makan, ke kanan pun makan, sebab ia boleh lebih menguntungkan bekas isteri, ia juga boleh lebih menguntungkan bekas suami.



Kesan gergaji dua mata ini dapat berlaku apabila ditinjau dari sudut perebutan harta benda. Konsep HARTA SEPENCARIAN ini boleh lebih merugikan mana-mana pihak yang lebih kaya daripada bekas suami ataupun bekas isterinya.



Peraturan adat HARTA SEPENCARIAN ini boleh menguntungkan segolongan bekas isteri sahaja, iaitu mereka yang tidak banyak harta. Bagi golongan bekas isteri yang lebih kaya daripada bekas suami mereka, adat ini lebih menguntungkan bekas suami mereka.



Jikalau saudara seorang penulis wanita, dan jualan buku-buku saudara menjadikan saudara lebih kaya daripada bekas suami saudara, undang-undang HARTA SEPENCARIAN ini lebih menguntungkan bekas suami saudara. Begitu juga jikalau saudara seorang penerbit wanita yang kaya-raya, konsep HARTA SEPENCARIAN ini juga lebih menguntungkan bekas suami saudara.



Lazimnya lelaki mempunyai pendapatan yang lebih banyak daripada perempuan, oleh itu banyak harta didaftarkan di bawah nama mereka. Undang-undang HARTA SEPENCARIAN memberi hak yang sama kepada lelaki dan perempuan ke atas harta yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan.



Disebabkan undang-undang HARTA SEPENCARIAN mengizinkan bekas isteri menuntut sebahagian daripada harta yang didaftarkan di bawah nama suami, maka itulah sebabnya para pejuang hak-hak wanita melihat undang-undang ini selaras dengan matlamat melindungi kepentingan bekas-bekas isteri.



Quran dan sunah mengizinkan baik penulis perempuan, mahupun penerbit perempuan, menulis dan membuat sebanyak-banyak harta, dan menyimpan hartanya itu bagi dirinya, baik sebelum mahupun selepas berlaku perceraian. Suami ataupun bekas suami tidak boleh menuntut isteri ataupun bekas isteri menyerahkan apa yang menjadi hartanya kepada suami ataupun bekas suaminya.



Sekarang di Malaysia, ada undang-undang lain, yang berasal daripada amalan adat HARTA SEPENCARIAN masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, yang mengizinkan bekas-bekas suami menuntut sebahagian daripada royalti buku-buku, ataupun saham syarikat penerbitan milik bekas isteri mereka, yang diperolehi dalam tempoh perkahwinannya.



Bagaimana jikalau saudara seorang penulis perempuan, ataupun penerbit perempuan, dan saudara lebih kuat berkerja daripada bekas suami saudara, dan saudara juga lebih pandai mencipta harta kekayaan daripada bekas suami saudara, pelaksanaan undang-undang HARTA SEPENCARIAN ini, yang tidak ada dalam Quran dan sunah, yang memberi hak kepada bekas suami saudara menuntut sebahagian royalti buku-buku saudara, ataupun sebahagian saham syarikat penerbitan saudara, adakah saudara akan menerima konsep ini dengan dada lapang?



Mengapakah barangkali, baik Quran mahupun sunah, kedua-duanya tidak memperkenalkan hukum yang menyerupai konsep adat HARTA SEPENCARIAN bagi melindungi kebajikan bekas-bekas isteri - masakan Allah dan Nabi Muhammad SAW terlupa. Allah-lah yang lebih tahu.




 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(7) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, January 08, 2006

Mencari Judul Evergreen

Apabila saudara mahu menikmati royalti yang berpanjangan daripada buku-buku yang saudara tulis, saudara perlu memilih kategori buku yang memiliki ciri-ciri evergreen.


Quran bukan buku paling tua dalam sejarah manusia. Ada pendapat mengatakan Bhagavadgita adalah buku paling tua. Banyak buku sudah ditulis lebih awal sebelum Quran. Tetapi Quran adalah buku paling evergreen dan paling popular.


Quran mula-mula 'dituliskan' lebih 1400 tahun dahulu, sewaktu Nabi Muhammad masih hidup oleh jurutulis-jurutulis rasmi beliau. Sampai hari ini buku itu masih dicetak, dijual, dibaca, dihafal dan dikaji, dalam edisi originalnya, tanpa pernah mengalami perubahan walaupun satu huruf.


Menurut Guniness Book of World Records, Quran adalah buku yang paling banyak dibaca orang di dunia, mengalahkan mana-mana edisi Bible yang ada.


Seorang pengedar Quran di Malaysia memberitahu, buku paling laku di negara ini adalah Quran. Di negeri Kelantan sahaja, sekitar 5000 naskhah terjual setiap tahun.


Fakta-fakta ini memberi petunjuk bahawa sebarang buku yang dikaitkan dengan isi kandungan Quran dan Nabi Muhammad, mempunyai peluang baik menjadi buku evergreen. Ini terbukti dengan usia evergreen pelbagai kitab yang dikarang oleh pengarang-pengarang terkenal seperti Syafie, Maliki, Hambali, Nawawi, Muslim, Bukhari, Tabari, Hisyam, sekadar menyebut segelintir nama. Sudah beratus-ratus tahun, namun buku-buku karangan mereka bukan semakin kurang dijual, malah semakin banyak terjual.


Sungguh luar biasa, buku-buku yang dikaitkan dengan isi Quran dan Nabi Muhammad, sekalipun yang ditulis oleh pengarang-pengarang bukan Islam, tetap menikmati jualan dan royalti berpanjangan!


Ada sebuah buku, judulnya “Islam For Idiots” (Islam untuk Si Dungu), buku seperti itu pun amat popular di Amerika. Buku “100 Most Influential Person” sudah hampir 40 tahun diterbitkan, sehingga hari ini ia masih terjual di seluruh dunia, dalam lebih 30 bahasa. Pengarang buku itu, seorang Yahudi, meletakkan Nabi Muhammad sebagai manusia paling berpengaruh di dunia, mengalahkan Jesus dan Einstein.


AKADEMI PENERBITAN PTS melatih pengarang-pengarang bukan ustaz dan ustazah teknik-teknik menulis buku-buku yang ada kaitan dengan isi Quran dan hadis bagi bacaan bukan orang agama, sebaliknya untuk pembaca yang sekadar ingin tahu hal-hal biasa berkenaan apa itu Islam.


Kita mangajak sesiapa sahaja hadir ke bengkel penulisan buku-buku berkenaan Islam yang akan diadakan pada 14 dan 15 Januari 2006. Gratis!



 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Saturday, January 07, 2006

Royalti daripada Novel dan Komik Evergreen

Novel Hamka “Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick” sudah hampir 50 tahun usianya dalam pasaran. Hari ini, apabila saudara ke kedai buku, saudara masih dapat membeli novel itu, sebab ia terus diulangcetak dan dijual.



Novel-novel yang indah seperti “Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick” termasuk dalam kategori karya evergreen. Ia dikatakan mempunyai 'shelf-life' (tarikh luput) yang panjang. “Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick” sudah 50 tahun, tetapi ia masih berada di rak kedai-kedai buku.



Karya-karya evergreen menjadi idaman para penerbit, sebab ia membawa keuntungan yang berpanjangan. Tentu sekali para pengarang karya-karya evergreen juga menikmati royalti yang berpanjangan.



Jika saudara seorang pekomik, saudara patut berfikir dengan serius mencari formula kerja yang membolehkan saudara menikmati royalti berpanjangan daripada komik-komik yang saudara hasilkan itu.



Beberapa faktor yang mempengaruhi 'shelf-life' sesebuah buku komik adalah:




  1. Cerita dalam buku asalnya memiliki ciri-ciri evergreen. Jadi, apabila saudara melukis komik, pilih cerita-cerita yang sudah terbukti evergreen. Jika saudara mencipta cerita baru saudara sendiri, cerita ciptaan saudara itu belum terbukti evergreen.




  2. Gaya bahasa dalam karya asalnya memiliki ciri-ciri evergreen. Gaya bahasa standard adalah stabil, oleh itu ia dapat difahami bagi tempoh waktu yang panjang. Gaya bahasa Hamka dalam “Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick” masih dapat difahami sehingga hari ini. Sebagai pelukis komik, gunakan bahasa standard.




  3. Stroke dan gaya lukisan komik saudara itu memiliki ciri-ciri yang evergreen. Sebagaimana dengan penggunaan gaya bahasa yang evergreen, saudara pilihlah gaya stroke yang dapat bertahan lama, yakni stroke saudara itu bukan stroke yang 'trendy'.





Para pekomik perlu mengambil kira faktor-faktor bisnes dan pasaran sebelum menentukan konsep komik yang saudara akan hasilkan. Dengan cara itu karya saudara itu nanti dapat menjadi harta intelek yang berharga dan membawa pulangan yang berpanjangan.



Cara kerja para pekomik tanah air kita boleh meniru strategi dan cara kerja rakan-rakan mereka di luar negara. Jika di sana para pekomik menikmati royalti yang berpanjangan, tentu sekali di sini para pekomik Malaysia juga seharusnya sudah dapat menikmati hal yang serupa.



Saudara-saudara para pekomik tanah air sekalian, kita mengajak saudara menukar strategi dan cara kerja saudara. Sebagai penerbit dan pekomik, secara bersatu dan bersama, kita dapat mengubah dunia komik Melayu.



MAJULAH KOMIK MELAYU!


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Royalti
(3) Diskusi Kuliah | Permalink

Thursday, January 05, 2006

Iklan: Peluang Kartunis dan Pekomik Menjadi Novelis

Kejayaan Sdr Alif Firdaus Azis menghasilkan 2 buah nomik “Untuk Syampoo” dan “Bergaduh dan Menari” dalam tempoh sebulan satu, adalah bukti bahawa dengan sedikit latihan teknik penulisan kreatif, para kartunis dan pelukis komik dapat menjadi pengarang novel. Nomik ketiga beliau sedang dalam proses penerbitan!


AKADEMI PENERBITAN PTS akan mengadakan bengkel khas bagi melatih golongan kartunis dan pelukis komik bagaimana cara menggunakan teknik-teknik penulisan yang mudah dan betul bagi menghasilkan novel demi novel. Tarikh akan diberitahu kemudian. Bengkel ini gratis.


Para kartunis dan pekomik mempunyai kelebihan istimewa yang jarang ada pada pengarang biasa, iaitu mereka pandai memandang dunia dengan cara-cara yang 'terbalik-terbalik'. Benda-benda biasa menjadi luar biasa apabila ia sudah diberi makna-makna baru dari sudut pandang mata kartunis dan pekomik.


Wahai kartunis-kartunis dan pelukis komik Malaysia, kami di PTS ONE dan PTS FORTUNA mahu berjumpa saudara-saudara!


MAJULAH KARTUN DAN KOMIK UNTUK NEGARA.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Komik & Ilustrasi
(13) Diskusi Kuliah | Permalink

Wednesday, January 04, 2006

Struktur Plot dalam Novel Islami

Salah satu isu yang lazimnya menjadi kesukaran bagi penulis-penulis baru adalah bagaimana hendak menyusun plot cerita. Dalam erti kata lain, apakah episod yang hendak digunakan bagi membuka cerita?



Dalam model novel Islami yang didasarkan pada surah Yusuf, susunan plot adalah mudah, iaitu berdasarkan kronologi kejadian. Kejadian yang awal diletakkan di depan, dan kejadian terakhir diletakkan di hujung novel.



Dalam surah Yusuf, urutan peristiwa berkembang selari dengan peningkatan usia Nabi Yusuf. Peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa Nabi Yusuf masih kecil diceritakan lebih dahulu, diikuti oleh peristiwa-peristiwa apabila beliau menjadi pemuda dewasa, dan akhirnya peristiwa-peristiwa semasa beliau menjadi menteri perbendaharaan Mesir.



Plot cerita dalam surah Yusuf tidak disusun culang-caling, sebentar melompat ke hadapan, sebentar melompat undur ke belakang, ke kiri dan ke kanan. Tidak ada penggunaan teknik flashback ataupun flash-forward ataupun parallel plot.



Berikut adalah urutan peristiwa dalam kisah Nabi Yusuf.




  1. Si kecil Yusuf memberitahu ayahnya, Nabi Yaakub, dia bermimpi 11 bintang, matahari dan bulan tunduk kepadanya.




  2. Ayahnya memberitahu Yusuf supaya merahsiakan mimpinya itu daripada pengetahuan abang-abangnya.




  3. Abang-abang Yusuf berpakat hendak membunuh Yusuf.




  4. Abang-abang Yusuf memujuk ayah mereka supaya membenarkan Yusuf ikut pergi bermain2.




  5. Abang-abang Yusuf mencampakkan Yusuf ke dalam perigi.




  6. Abang-abang Yusuf pulang dengan membawa baju Yusuf yang dilumuri darah palsu.




  7. Sekumpulan pengembara lalu dan menghulurkan timba ke dalam perigi. Yusuf bergantung pada tali timba.




  8. Yusuf dijual di pasar sebagai hamba.




  9. Yusuf dibeli oleh al-Aziz dan dibawa pulang lalu diserahkan kepada isterinya, Zulaikha, supaya dijaga.




  10. Yusuf dewasa dan isteri majikannya jatuh cinta kepadanya.




  11. Nabi Yusuf diperangkap oleh Zulaikha supaya masuk kamarnya.




  12. Zulaikha menarik baju Nabi Yusuf sehingga terkoyak.




  13. A-Aziz tiba-tiba muncul di depan pintu.




  14. Zulaikha berdusta kepada al-Aziz.




  15. Saksi memberitahu al-Aziz tentang di mana koyaknya baju Nabi Yusuf.




  16. Zulaikha mengadakan jamuan untuk wanita-wanita Mesir.




  17. Wanita-wanita Mesir terpotong jari mereka sendiri apabila terpandang Nabi Yusuf.




  18. Al-Aziz berjaya memenjarakan Nabi Yusuf.




  19. Di dalam penjara, Nabi Yusuf berkenalan dengan 2 orang rakan banduan.




  20. Nabi Yusuf mentakbirkan mimpi 2 orang banduan itu.




  21. Banduan pertama dihukum salib. Banduan kedua dibebaskan. Nabi Yusuf meminta banduan kedua menceritakan nasibnya tetapi banduan itu terlupa.




  22. Raja Mesir bermimpi.




  23. Banduan kedua teringat kpd Nabi Yusuf lalu pergi menemuinya lalu meminta Nabi Yusuf mentakbirkan mimpi Raja.




  24. Nabi Yusuf menerangkan makna mimpi Raja kepada bekas banduan itu.




  25. Banduan menerangkan takbir mimpi yang diberi oleh Nabi Yususf kepada Raja.




  26. Raja Mesir menyuruh Nabi Yusuf dibawa ke hadapannya.




  27. Nabi Yusuf bertanya apa khabar perempuan2 yang tangannya luka.




  28. Raja Mesir menyiasat apa yang sebenarnya terjadi.




  29. Zulaikha mengaku dia bersalah dan Nabi Yusuf tidak berdosa.




  30. Nabi Yusuf memaafkan Zulaikha dan al-Aziz.




  31. Raja Mesir melantik Nabi Yusuf menjadi penasihat.




  32. Nabi Yusuf meminta dia dilantik menjadi penjaga Perbendaharaan negeri Mesir.




  33. Kemarau panjang berlaku sebagaimana yang ditakbirkan dalam mimpi Raja Mesir.




  34. Abang-abang Nabi Yusuf datang ke Mesir menemuinya dengan tujuan hendak membeli makanan. Ayah mereka tidak membenarkan Bunyamin ikut pergi.




  35. Nabi Yusuf meminta abang-abangnya datang lagi dengan membawa Bunyamin, kalau tidak mereka tidak boleh membeli makanan lagi.




  36. Nabi Yusuf menyuruh pembantu memasukkan barang tukaran makanan ke dalam buntil makanan abang-abangnya.




  37. Abang-abang Nabi Yusuf memujuk ayahnya supaya membenarkan Bunyamin ikut mereka ke Mesir pada masa akan datang.




  38. Mereka membuka buntil makanan dan mendapati barang tukaran mereka dikembalikan oleh Nabi Yusuf.




  39. Abang-abang Nabi Yusuf bersumpah akan menjaga Nabi Bunyamin.




  40. Abang-abang Nabi Yusuf pergi ke Mesir membawa Nabi Bunyamin.




  41. Nabi Yusuf memperkenalkan dirinya kepada Nabi Bunyamin sahaja.




  42. Nabi Yusuf menyuruh dimasukkan piala minum raja dalam buntil unta Nabi Bunyamin.




  43. Nabi Yusuf memeriksa buntil Nabi Bunyamin dan menjumpai piala itu.




  44. Nabi Yusuf menghukum Nabi Bunyamin ditinggalkan di Mesir.




  45. Abang-abang Nabi Yusuf merayu salah seorang daripada mereka mengambil tempat Nabi Bunyamin tetapi ditolak oleh Nabi Yusuf.




  46. Abang sulung Nabi Yusuf tidak mahu pulang dan menyuruh yang lain sahaja pulang.




  47. Abang-abang Nabi Yusuf yang lain pulang dan melaporkan apa yang berlaku kepada ayah mereka.




  48. Ayah Nabi Yusuf menjadi buta disebabkan banyak menangis.




  49. Ayah Nabi Yusuf menyuruh anak-anaknya pergi semula ke Mesir dan mengintip apa cerita Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin.




  50. Abang-abang Nabi Yusuf pergi menemuinya bagi membeli makanan lagi.




  51. Nabi Yusuf memperkenalkan siapa dirinya kepada abang-abangnya.




  52. Abang-abang Nabi Yusuf mengaku mereka berdosa.




  53. Nabi Yusuf memaafkan abang-abangnya.




  54. Nabi Yusuf menyuruh mereka pulang dengan membawa pakaiannya dan menyuruh supaya pakaiannya itu disapukan pada muka ayahnya.




  55. Abang-abang Nabi Yusuf belum tiba tetapi ayahnya sudah tercium bau Nabi Yusuf.




  56. Baju Nabi Yusuf disapukan pada muka ayahnya dan dia dapat melihat semula.




  57. Abang-abang Nabi Yusuf meminta ampun dariada ayahnya.




  58. Ayah Nabi Yusuf mengampunkan anak-anaknya.




  59. Abang-abang Nabi Yusuf membawa ayah dan ibu mereka ke Mesir berjumpa Nabi Yusuf.




  60. Nabi Yusuf mengajak ayah dan ibunya duduk di sisinya. Mereka semua tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf. (Inilah takbir mimpi Nabi Yusuf pada pembukaan cerita, yakni 11 bintang adalah 11 orang adik beradiknya, matahari adalah ayahnya dan bulan adalah ibunya.)





Dalam surah Yusuf, penutup cerita mempunyai kaitan langsung dengan pembukaan cerita. Cerita dibuka dengan mimpi dan diakhiri dengan mimpi itu menjadi realiti.



Plot surah Yusuf disusun umpama kaitan mata-mata rantai pada seutas kalung, ataupun ia bulat umpama ular yang menggigit ekornya.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Konflik dan Keganasan dalam Surah Yusuf

Salah satu ciri dalam karya-karya yang diterbitkan bagi bacaan remaja lelaki masa ini adalah banyaknya unsur konflik fizikal seperti perkelahian, pembunuhan dan peperangan, yang semuanya melibatkan keganasan fizikal. Ciri ini amat dominan dalam buku-buku komik, baik yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu mahupun yang dikarang oleh karyawan tempatan.



Bagaimanakah sastera Islami melihat konflik dan keganasan fizikal? Apakah kita dibenarkan menulis buku-buku yang mengandungi babak-babak ganas yang melibatkan perkelahian dan pertumpahan darah?



Untuk menjawab pertanyaan ini, dengan mengambil surah Yusuf sebagai model karya yang indah, kita cuba mengemukakan teori yang dapat menentukan hukum dan kedudukan konflik fizikal dalam novel Islami.



Konflik dan keganasan fizikal adalah realiti kehidupan. Dalam Quran terdapat cerita-cerita berkenaan pelbagai jenis konflik dan keganasan fizikal. Nabi Muhammad sendiri pergi berperang dan sahabat-sahabat beliau banyak membunuh musuh dan dibunuh oleh musuh.



Suatu ciri yang menarik dikaji pada surah Yusuf adalah aspek konflik dan keganasan fizikal. Dalam surah Yusuf terdapat banyak konflik, dan ini menunjukkan konflik adalah unsur yang wajib ada dalam karya kreatif, barulah cerita itu menjadi indah, tetapi tidak semua konflik dalam surah Yusuf itu bersifat konflik fizikal yang ganas.



Dalam suruh Yusuf, Nabi Yusuf sebagai watak utama, tidak melakukan sebarang bentuk keganasan kepada sesiapa pun. Beliau tidak berkelahi secara fizikal, tidak memiliki senjata, tidak bermain dengan senjata, tidak membunuh, dan tidak berperang.



Keganasan fizikal yang dialami oleh Nabi Yusuf berlaku 3 kali. Pertama apabila abang-abangnya mencampakkan beliau ke dalam perigi buta. Kedua, apabila Raja memenjarakan beliau selama 7 tahun atas tuduhan fitnah kononnya beliau cuba melakukan perbuatan sumbang dengan isteri majikannya sendiri. Ketiga apabila Zulaikha menarik Nabi Yusuf dari belakang sehingga bajunya terkoyak. Ketiga-tiga keganasan ini tidak melibatkan kecederaan fizikal ataupun darah beliau.



Unsur darah dalam surah Yusuf berlaku 2 kali. Pertama, pada perbuatan abang-abang Nabi Yusuf menyapukan darah binatang pada pakaian Nabi Yusuf. Kedua, pada peristiwa kawan-kawan perempuan Zulaikha terpotong jari mereka sendiri dengan pisau buah yang mereka pegang apabila mereka terpandang Nabi Yusuf.



Unsur bunuh berlaku satu kali dalam surah Yusuf, iaitu apabila salah seorang daripada dua orang banduan yang dikenali oleh Nabi Yusuf dalam penjara dihukum bunuh oleh raja.



Mengapakah dalam model satera Islami yang berdasarkan surah Yusuf keganasan fizikal dibataskan kepada 6 jenis yang di atas, ini adalah isu yang menarik dibincangkan oleh ahli-ahli teori sastera.


 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Fakulti Sastera Islami
(0) Diskusi Kuliah | Permalink

Monday, January 02, 2006

Dicari: Pelukis Komik

Adakah saudara pelukis komik?



PTS FORTUNA mencari pelukis komik bagi menerbitkan edisi komik tiga buah novel pahlawan Islam iaitu Tariq bin Ziyad, Khalid al Walid dan Salahuddin Ayubi.



Komik-komik itu disasarkan kepada remaja lelaki. Sesuai dengan citasa remaja lelaki, komik-komik itu nanti banyak menampilkan babak-babak perang.



Storyboardnya sedang mula disediakan.



Saudara perlu melukis wajah-wajah orang Arab, Iran, Sepanyol, Kristian Rumawi, aksi perang berkuda dan latar belakang pandangan alam Sepanyol, Iraq, Iran dan Jerusalem.



Projek ini memberi peluang nama saudara dicetak pada kulit buku. Saudara akan berkongsi hakcipta dan royalti dengan penulis karya asal dan penulis storyboard.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Fakulti / Kategori : • Komik & Ilustrasi
(21) Diskusi Kuliah | Permalink

Sunday, January 01, 2006

Terjemahan Surah Yusuf

Terjemahan ini dipetik daripada kitab “Tafsir Pimpinan Ar-Rahman”, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Dengan nama Allah, yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.

  1. Alif, Laam, Raa'. Ini adalah ayat-ayat kitab al-Quran yang menyatakan kebenaran.

  2. Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab ini sebagai Quran yang dibaca dalam bahasa Arab, supaya kamu memahaminya.

  3. Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan kami wahyukan kepadamu al-Quran ini, padahal engkau sebelum datangnya wahyu ini, adalah daripada orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.

  4. (Ingatlah peristiwa) tatkala Nabi Yusuf berkata kepada bapanya, “Wahai ayahku, sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan, aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku.”

  5. Bapanya berkata, “Wahai anakku, janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

  6. “Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu taabir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatnya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub, sebagaimana Dia telah menyempurnakannya kepada dauk nenekmu dahulu, Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu maha mengetahui, lagi maha bijaksana.”

  7. Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka bagi mengambil iktibar).

  8. (Kisah itu bermula) tatkala saudara-saudara Yusuf berkata sesama sendiri, “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.”

  9. (Ramai antara mereka berkata), “Bunuhlah Yusuf ataupun buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna.”

  10. Salah seorang daripada mereka berkata, “Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam perigi, supaya dia dipungut oleh sebahagian daripada orang-orang musafir (yang lalu di situ) kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu.”

  11. Mereka pun (pergi berjumpa bapa mereka lalu) berkata, “Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat ke atasnya?”

  12. Biarkanlah dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya, dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya.”

  13. Bapa mereka menjawab, “Pemergian kamu dengan membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang dia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai daripada mengawalnya.”

  14. Mereka berkata, “Kalau dia dimakan oleh serigala, sedangkan kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadi orang yang rugi.”

  15. Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama, dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan Kami ilhamkan kepadanya, “Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf) akan terselamat, dan) akan memberitahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak teringat lagi kepadanya).”

  16. Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (pura-pura) menangis.

  17. Mereka berkata, “Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu dia dimakan oleh serigala, dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar.”

  18. Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka melumuri baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata, “Tidak! bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohon pertolongannya, mengenai apa yang kamu katakan itu.”

  19. Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu suatu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan, lalu mereka menghantar seorang pencari air bagi mereka, (setelah sampai dia ke perigi itu) dia pun menghulurkan timbanya (dan manakala dia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) dia berseru, katanya, “Hai! (Ini) sungguh menggembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya).” Lalu mereka sembunyikan Yusuf (untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah maha mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

  20. Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja, dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.

  21. Dan (setelah Yusuf dijual di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya, “Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya, semoga dia berguna kepada kita, ataupun kita jadikan dia anak.” Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian daripada ilmu takbir mimpi. Dan Allah maha kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkannya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

  22. Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan, dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

  23. Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya, dan perempuan itu menutup pintu-pintu serta berkata, “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu.” Yusuf menjawab, “Aku berlindung kepada Allah (daripada perbuatan yang keji itu), sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya, sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.”

  24. Dan sesungguhnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) bagi menjauhkan Yusuf daripada perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya dia daripada hamba-hamba kami yang dibersihkan daripada segala dosa.

  25. Dan mereka berdua berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang, lalu terserempaklah kedua-duanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya), “Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia ataupun dikenakan azab yang menyiksanya.”

  26. Yusuf pula berkata, “Dialah yang memujukku berkehendakkan diriku.” (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata, “Jika baju Yusuf koyak di depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta. (ayat 26)

  27. “Dan jika bajunya koyak di belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar.” (ayat 27)

  28. Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak di belakang, berkatalah dia, “Sesungguhnya ini adalah tipu daya kamu orang-orang perempuan, sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.” (ayat 28)

  29. “Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah daripada orang-orang yang bersalah.” (ayat 29)

  30. Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata, “Isteri al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya, sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.”

  31. Maka apabila dia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun mengundang mereka dan menyediakan jamuan untuk mereka, serta memberikan kepada tiap-tiap orang antara mereka itu sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah dia (kepada Yusuf), “Keluarlah di hadapan mereka.” Maka tatkala mereka melihatnya, mereka tercengang melihat paras kecantikannya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata, “Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah manusia, ini tidak lain, melainkan malaikat yang mulia!”

  32. (Zulaikha) berkata, “inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh pada kesuciannya, dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina.”

  33. Yusuf (merayu ke hadrat Allah taala dengan) berkata, “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya.”

  34. Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka, sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar, lagi maha mengetahui.”

  35. Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa.

  36. Dan masuklah bersama-samanya dua orang khadam raja. Salah seorang antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata, “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur.” Dan berkata pula yang seorang lagi, “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti di atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung.” (Kemudian kedua-duanya berkata), “Terangkanlah kepada kami akan taabirnya. Sesungguhnya kami memandangmu, dari rang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum).”

  37. Yusuf menjawab, “(Aku bukan sahaja dapat menerangkan taabir mimpimu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percaya akan hari akhirat.”

  38. “Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku, Ibrahim, dan Ishaq serta Ya'qub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah. Mentauhidkan – mengesakan Allah adalah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”

  39. “Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik ataupun menyembah Allah Tuhan yang maha esa, lagi maha kuasa?”

  40. “Apa yang kamu sembah, yang lain daripada Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, – kamu dan datuk nenek kamu, – Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”

  41. “Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Taabir mimpi kamu itu adalah), adapun salah seorang daripada kami, maka dia akan memberi minum arak kepada tuannya. Adapun yang seorang lagi, maka dia akan dipalang, serta burung pula akan makan dari kepalanya. Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu.”

  42. Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang dia percaya akan terselamat antara mereka berdua, “Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu.” (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka dia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggallah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.

  43. Dan (pada suatu hari) Raja Mesir berkata, “Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir), terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang-orang yang pandai mentaabirkan mimpi.”

  44. Mereka menjawab, “Yang demikian itu adalah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi yang sedemikian itu.”

  45. Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu teringat (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut, “Aku akan memberitahu kepada kamu taabirnya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui taabirnya)”

  46. (Setelah dia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah dia), “Yusuf, wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Taabirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat) tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering, (taabirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui taabirnya.”

  47. Yusuf menjawab, “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya, kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.”

  48. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun yang bersangatan kemaraunya, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya, kecuali sedikit daripada apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)”

  49. “Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya).”

  50. Dan (apabila mendengar taabir itu) berkatalah Raja Mesir, “Bawalah dia kepadaku!” Maka tatkala utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya menghadap raja), Yusuf berkata kepadanya, “Kembalilah kepada tuanmu, kemudian bertanyalah kepadanya: Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka? Sesungguhnya Tuhanku maha mengetahui akan tipu daya mereka.”

  51. (Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka, “Apa halnya kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?” Mereka menjawab, “Jauhnya Allah daripada segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf.” Isteri al-Aziz pun berkata, “Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi dia telah menolak), dan sesungguhnya adalah dia daripada orang-orang yang benar.”

  52. “(Pengakuanku) yang demikian, supaya dia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa dia tidak hadir (bersama di sini), dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.”

  53. “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku maha pengampun, lagi maha mengasihani.”

  54. Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata, “Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa menghadap, dan raja) berkata-kata dengannya, (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya, “Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami.”

  55. Yusuf berkata, “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir), sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.”

  56. Dan demikian caranya Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir, dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat kami kepada sesiapa yang kami kehendaki, dan kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.

  57. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih bak bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

  58. Dan (setelah tiba musim kemarau) datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka mendapatkan dia, Yusuf dengan serta-merta kenal mereka, sedang mereka tidak mengenalinya.

  59. Dan tatkala Yusuf menyediakan untuk mereka bekalan mereka, berkatalah dia, “(Pada kali yang lain) bawalah kepadaku saudara kamu yang sebapa. Tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima tetamu?”

  60. “Oleh itu, kalau kamu tidak membawa dia kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku, dan janganlah kamu menghampiriku lagi.”

  61. Mereka menjawab, “Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan sesungguhnya kami akan melakukannya.”

  62. Dan (selepas itu) berkatalah Yusuf kepada orang-orang suruhannya, “Masukkanlah barang-barang dagangan mereka pada tempat simpanan barang di kenderaan mereka, supaya mereka mengetahuinya kelak ketika mereka kembali kepada keluarga mereka, dan supaya mereka datang lagi (ke negeri ini)”.

  63. Maka tatkala mereka kembali kepada bapa mereka, berkatalah mereka, “Wahai ayah kami! Kami (telah diberi amaran bahawa kami tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (sekiranya Bunyamin tidak pergi bersama). Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi bekalan makanan, dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya.”

  64. Bapa mereka berkata, “(Jika aku lepaskan mereka pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah penjaga yang sebaik-baiknya, dan dialah jua yang maha mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan.”

  65. Dan semasa mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang dagangan mereka telah dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata dengan gembiranya, “Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita. Dan (dengan kemurahan hati menteri yang berbudi itu) akan dapatlah kami membawa lagi bekalan makanan kepada keluarga kami, dan kami pula akan dapat menjaga saudara kami, serta akan dapat tambahan bekalan benda-benda makanan sebanyak muatan seekor unta lagi. Pemberian tambahan yang sebanyak itu mudah sekali ditunaikan.”

  66. Bapa mereka berkata, “Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kami memberi kepadaku suatu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepung dan dikalahkan oleh musuh.” Maka tatkala mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah dia, “Allah jualah yang menjadi saksi dan pengawas atas apa yang kita semua katakan itu.”

  67. Dan dia berkata lagi, “Wahai anak-anakku! Jangan kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlain-lainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu daripada sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. Kepadanyalah aku berserah diri, dan kepadanyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri.”

  68. Dan tatkala mereka masuk menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikit pun, tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Ya'qub. Dan sesungguhnya dia orang yang berilmu, kerana kami telah mengajarnya (dengan perantaraan wahyu), tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (akan rahsia takdir Tuhan).

  69. Dan semasa mereka masuk mendapatkan Yusuf, dia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya, sambil berkata kepadanya, “Akulah saudaramu (Yusuf), oleh itu janganlah engkau berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan.”

  70. Manakala tatkala dia membekalkan mereka dengan bekalan manakan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu dia meletakkan bejana minuman raja di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian menyeru seorang penyeru, “Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri!”

  71. Mereka bertanya sambil menghadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu, “Apakah benda kamu yang kehilangan?”

  72. Orang-orang menteri menjawab, “Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu.”

  73. Mereka berkata, “demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah pencuri.”

  74. (Orang-orang menteri) bertanya, “Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?”

  75. Mereka menjawab, “Balasannya, sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dialah sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim.”

  76. Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin). Kemudian dia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat barang saudara kandungnya. Demikianlah kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah dia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan itu pengetahuan), kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi yang di atasnya yang ;lebih mengetahui.”

  77. Mereka berkata, “Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu.” (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakan kepada mereka, sambil berkata (dalam hati), Kamulah yang lebih buruk keadaannya, dan Allah maha mengetahui akan apa yang kamu katakan itu.”

  78. Mereka pun merayu dengan berkata, “Wahai datuk menteri! Sesungguhnya dia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambillah salah seorang daripada kami sebagai gantinya, sesungguhnya kami memandangmu daripada orang-orang yang sentiasa berbudi.”

  79. Yusuf berkata, “Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapa pun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim.”

  80. Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, mereka pun mengasingkan diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung), “Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji dari kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak akan sekali-kali meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku mengizinkan aku (kembali), ataupun sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan dialah hakim yang seadil-adilnya.”

  81. “Kembalilah kami kepada bapa kamu, dan katakanlah 'Wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan dengan apa yang kami ketahui, dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib.”

  82. “'Dan bertanyalah kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang kami balik besertanya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar.'”

  83. (Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah dia, “(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dialah jua yang maha mengetahui, lagi maha bijaksana.”

  84. Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata, “Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf,” dan putihlah kedua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya, kerana dia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.

  85. Mereka berkata, “Demi Allah, ayah tidak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa.”

  86. (Nabi Yaakub) menjawab, “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah, dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu)dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

  87. Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

  88. Maka (bertolaklah mereka ke Mesir, dan) setelah mereka masuk menghadap Yusuf, berkatalah mereka, “Wahai datuk menteri! Kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga, (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan berdermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma.”

  89. Yusuf berkata, “Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?”

  90. Mereka bertanya (dengan hairan), “Engkau ini Yusufkah?” Dia menjawab, “Akulah Yusuf, dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan ni'matnya kepada kami. Sebenarnya, sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.”

  91. Mereka berkata, “Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu), dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah.”

  92. Yusuf berkata, “Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak ataupun dipersalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah telanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan dialah jua yang maha mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.”

  93. “Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya dia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya.”

  94. Dan semasa kafilah mereka (meninggalkan Mesir menuju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya), “Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya).”

  95. Mereka berkata, “Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama.”

  96. Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang menggembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah dia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata, “Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?”

  97. Mereka berkata, “Wahai ayah kami! Mintakanlah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah.”

  98. Nabi Yaakub berkata, “Aku akan memintakan ampun bagi kamu daripada Tuhanku, sesungguhnya Dialah jua yang maha pengampun, lagi maha mengasihani.”

  99. Maka tatkala mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata, “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insyaAllah kamu berada dalam aman.”

  100. Dan dia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf, “Wahai ayahku! Inilah dia taabir mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Dia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Dia mengeluarkan daku dari penjara, dan Dia membawa kamu ke mari dari desa sesudah syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirnya bagi apa yang dikehendakinya, sesungguhnya Dialah yang maha mengetahui, lagi maha bijaksana.”

  101. “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya engkau telah mengurniakan daku sebahagian daripada kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian daripada ilmu taabir mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, engkau penguasa dan pelindungku di dunia dan di akhirat, sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang salih.”

  102. (Kisah Nabi Yusuf) yang demikian adalah daripada berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi), dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).

  103. Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau sangat-sangat ingin (supaya mereka beriman).

  104. Padahal engkau tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran al-Quran, sedang al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya.

  105. Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pergi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.

  106. Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.

  107. (Mengapa mereka bersikap de