100 Judul PTS Dilesenkan kepada METADOME bagi Projek 2008
Dengan ini dimaklumkan kepada semua penulis PTS berkenaan hasil perbincangan antara PTS dan METADOME.
PTS dan METADOME bersetuju bahawa:
(1) Bagi projek buku-mobile METADOME tahun 2008, PTS akan melesenkan 100 buah judul. Ini bermakna setiap tahun PTS akan membekalkan judul-judul baru kepada METADOME.
(2) Fokus projek 2008 adalah buku-buku bacaan remaja, seperti novel-novel siri 'teen' PTS dan buku-buku motivasi siri 'remaja reaktif'.
(3) Pihak METADOME akan membayar royalti jualan buku-buku mobile itu kepada PTS, dan pihak PTS akan membayarkannya kepada penulis-penulis PTS.
(4) Pihak METADOME bersetuju ia secara eksklusif akan menjual buku-buku mobile terbitan PTS sahaja.
Nota:
(a) Pengurusan PTS mengambil seorang pegawai editorial baru, khas bagi menjalankan kerja-kerja penyediaan data 100 judul itu dalam format yang dipersetujui oleh METADOME. Kerja-kerja itu akan bermula sebaik-baik selesai musim cuti hari raya. Pegawai itu akan dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas menjaga kejayaan urusan bisnes PTS dengan METADOME.
(b) Semua penulis PTS yang bukunya dipilih bagi projek 2008 akan dimaklumkan apabila senarai yang dicadangkan itu sudah dipersetujui oleh METADOME.
Syukur kerana kita sudah dipertemukan dengan jodoh korporat yang sehaluan. Moga-moga Tuhan memanjangkan jodoh ini dan melimpahi kedua-dua belah pihak dengan rezeki yang baik dan banyak. Amin.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum Puan,
Alhamdulillah dan tahniah atas kerjasama yang dijalinkan antara PTS dan METADOME. Semoga menjadi titik mula bakal membentuk Bangsa menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang melalui bahan bacaan yang baik-baik. Bukan setakat membentuk dan memandaikan bangsa di kalangan rakyat bawahan malahan mampu juga untuk membentuk keperibadian pemimpin-pemimpin kepada bangsa ini.
Keperibadian seseorang itu juga turut dipengaruhi oleh apa yang dibacanya. Semoga usahasama ini juga mampu melahirkan bangsa dan masyarakat yang mempunyai sikap dan pemikiran kelas pertama. Usahasama ini juga diharap turut mampu malahirkan pemimpin-pemimpin politik, pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai nilai, pemikiran dan mutu kepimpinan kelas pertama.
Semoga jodoh ini mendapat berkat daripada Allah S.W.T dan berterusan untuk tempoh masa yang panjang sekurang-kurangnya sepanjang usia satu generasi manusia.
Sekadar untuk direnung dan difikir.
Pada awal usia saya bersekolah rendah, gaya bahasa pertuturan di kalangan guru-guru di sekolah agak sopan dan manis didengar. Mereka membahasakan diri mereka sendiri sebagai saya. Mereka juga menggunakan istilah ‘Cikgu’ sebagai ganti nama kepada rakan cikgu mereka yang diajak bercerita.
Memasuki ke alam persekolahan menengah, guru-guru lama ‘Senior’ masih kekal dengan kesopanan mereka manakala guru-guru yang baru keluar dari Universiti telah mula menggunakan ‘kau’ dan ‘aku’ sebagai ganti nama semasa berinteraksi sesama mereka di hadapan pelajar. Bahasa yang digunakan juga agak tercemar.
Hari ini, hampir tiada lagi ganti nama yang sopan digunakan oleh guru-guru semasa mereka berbicara sesama sendiri. Bahasa mereka juga lebih tercemar mengikut apa yang diajarkan oleh sitcom-sitcom dan majalah-majalah humor.
Begitu besarnya pengaruh bahan bacaan terhadap pembinaan budaya dan tingkahlaku. Hal ini juga berlaku pada diri saya sendiri. Ini adalah satu contoh yang mudah kita jumpa. Keadaan ini juga tidak terkecuali kepada lain-lain profession yang professional termasuk juga pegawai-pegawai tertinggi kerajaan yang berusia di bawah umur 45 tahun.
Ini kesan daripada majalah humor yang mula memperkenalkan bahasa-bahasa yang buruk dan kasar pada penghujung tahun 70 an.
Insya Allah, jika kerjasama murni antara PTS dan METADOME ini berhasil, kita tidak akan dengar lagi perbualan-perbualan dengan menggunakan bahasa pasar yang kasar ini di kalangan bangsa dan pemimpin bangsa kita.
Alhamdulillah,
Moga-moga Allah melimpahkan rezeki yang berkat ini kepada PTS & Metadome.
100 tajuk, jumlah pokok-pokok getah yang banyak.
ZAMRI MOHAMAD
http://www.zamrimohamad.com
Post a comment