Friday, January 18, 2008

30 Orang

Semalam buat kali pertama Sifu dapat duduk semeja, sambil makan tengah hari dengan Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim di Fakulti Farmasi UiTM Shah Alam, selepas beliau tamat memberi motivasi kepada sekitar 60 pelajar MA dan PhD yang baru memulakan pengajian mereka.

Sambil makan sambil kami berunding urusan bisnes. Saya setuju ke UiTM Segamat pada 5 Feb 2008 bagi mengendalikan bengkel KJ METHOD & ADAPTASI untuk 30 orang kakitangan akademik yang sedang menulis tesis mereka, dan pada waktu yang sama mahu menulis buku untuk PTS. 

Saya bertanya, "Berapa orang yang akan hadir, Prof?"

"70 orang," jawab Prof. Kamil.

"Sebaiknya 30 orang sahaja, Prof." kata saya.

"Rugi..." sambut Prof. Kamil.

Lalu saya terangkan kepada beliau bahawa ada kajian yang mendapati 30 adalah jumlah yang optimum bagi bengkel. Apabila jumlah peserta melebihi 30 orang, perlahan-lahan nanti gaya si pembimbing bertukar daripada gaya training, kepada gaya berceramah!

"Prof," kata saya, "Nanti saya banyak bercakap, kurang memberi latihan!"

"Ok! Ok! 30 orang," kata Prof. Kamil.

 

Nota buat mentee penulis-trainer PTS:

Salah satu ciri pelanggan training kita adalah mereka mahu berjimat. Mereka berasa, lebih banyak yang hadir kursus, maka itu lebih jimat. Maklumlah kos mengadakan kursus memang tinggi, apatah lagi jika kursus diadakan hi hotel dan resort.

Banyak trainer yang baru memasuki pasaran tidak membantah apabila pelanggan hendak menghantar terlalu banyak peserta. Maklumlah, kita baru mula bisnes, jadi kita perlukan bisnes. 

Kita perlu meyakinkan pelanggan kita supaya alihkan fokus daripada "kos yang tinggi" kepada "harvest yang tinggi".

Apabila jumlah peserta banyak, nanti kita sebagai trainer mula bercakap seperti orang berceramah. Mengapa? Sebab, apabila jumlah peserta banyak, kita diberi dewan, bukan bilik latihan. Kita juga diberi mikrofon!

Maka, dengan mikrofon di tangan, pastilah kita mula berkhutbah, banyak cakap, manakala peserta cuma duduk mendengar.  Akibatnya, mereka tidak mempelajari skill-skill yang kita sudah berjanji akan kita ajarkan kepada mereka.

Nanti pelanggan kita akan komplen, katanya: "Kita sudah panggil Encik Si Fulan datang buat training, habis duit RM12 ribu, tetapi tidak ada perubahan!"

Akibatnya, nama baik kita rosak, dan pelanggan tidak percaya lagi kepada mutu perkhidmatan kita. Kalau pelanggan itu tidak puas hati tetapi dia duduk diam-diam, ertinya kita cuma hilang 1 pelanggan. Kalau dia bercerita kepada orang-orang lain...?

Dalam 1 kajian di Jepun, didapati 1 pelanggan yang tidak puas hati bercakap kepada 29 orang lain! Jadi, bayangkan sahaja multiplier effect-nya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(7) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Balas Dendam dalam Karya Previous entry: Khutbah Jumaat PTS: Mengatasi Tembok Psikologi
sab2  on  01/18  at  02:20 PM

Puan Sifu,
assalamu’alaikum.

Terima kasih kerana terus mengingatkan kami tentang perkara ini…tip-tip kepada trainer.

Petikan:...Kita perlu meyakinkan pelanggan kita supaya alihkan fokus daripada “kos yang tinggi” kepada “harvest yang tinggi”...

Mohon laluan, dan ingin juga berkongsi sedikit… Fokus kepada bilangan yang kecil (25-30 peserta) itu juga perlukan mereka-meraka yang keterlibatannya lebih utama (dalam subjek dan skill yang bakal dikongsi) demi kecemerlangan pembangunan organisasi. Dengan pendekatan sedemikian, pelanggan kita dapat merasakan “keseimbangan” kos dan impak (matlamat).

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/18  at  02:28 PM

sifu,
slmt dtg ke segamat yg ‘segar amat’.

Zamri Mohamad  on  01/18  at  06:05 PM

Entri yang sangat berguna kepada saya.

Terima kasih Puan smile

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/18  at  06:48 PM

Tuan Sabtu,

Saya setuju dengan pendapat Tuan itu. Saya ada juga terangkan begitu kepada Prof. Kamil.

Apabila jumlah peserta kecil, saya dapat berikan training yang lebih baik. Dengan itu mereka dapat menerangkan kepada rakan sekerja aplikasi di tempat kerja masing-masing perkara-perkara yang mereka sudah pelajari. Prof. Kamil bersetuju, dan itulah yang mendorong beliau menghadkan jumlah peserta kepada 30 orang sahaja.

Ini yang berlaku dalam kelas PTS yang saya kendalikan. Para peserta dapat memindahkan kemahiran KJ METHOD dan TEKNIK SURAH YUSUF kepada mentee mereka pula.

Nisah Haron  on  01/18  at  08:05 PM

Salam Puan,

Betullah apa yang saya praktikkan selama ini. Jika ada orang yang memohon saya mengendalikan bengkel, jumlahnya mestilah di bawah 20 orang.

Jika penganjur ‘berkeras’ mahu lebih dari jumlah itu, saya katakan yang saya tidak akan berbengkel, sebaliknya memberi ceramah. Jumlah peserta lebih 20 orang ke atas, pada saya sudah amat besar untuk sebuah bengkel penulisan kreatif.

Kalau bengkel motivasi, saya setuju, 30 ialah angka yang paling sesuai.

Osman Affan  on  01/18  at  11:23 PM

Assalamualaikum.

Puan Ainon yang saya hormati, semoga sihat selalu.

Saya sering terperangkap dalam situasi yang sifu katakan ‘Maklumlah, kita baru mula bisnes, jadi kita perlukan bisnes’.

Saya rasa agak sukar juga untuk berkeras untuk menghadkan peserta kepada 30 ke bawah sahaja. Ini kerana selalunya pelanggan saya ada banyak pilihan. Kalau saya tidak mahu, ramai lagi yang mahu. smile Lainlah kalau satu hari nanti nama saya sudah cukup kukuh dan apa yang saya tawarkan sangat unik hingga tidak boleh ditawarkan oleh orang lain.

Pernah sekali, rekod terbesar saya pernah lakukan ialah jalankan slot teambuilding (yang sepatutnya sangat sesuai untuk 30 orang) untuk 300 orang. Pening kepala juga bila nak kawal masa aktiviti. Namun sebab saya dapat pembantu, mudahlah sikit.

Akhir kata, saya memang setuju kalau mahu hasil yang tertinggi dan terbaik, peserta perlu 30 orang ke bawah. Ini akan memastikan berlakunya interaksi maksimum antara trainer dan peserta.

MdHazali  on  01/19  at  04:40 AM

Assalamualaikum Puan Sifu dan Mentee-mentee semua,

Pengalaman saya dalam bidang latihan juga sependapat dengan Puan Sifu.

Tetapi dalam bidang latihan IT, jumlah optimanya lebih kecil lagi iaitu 15 orang. Jika para peserta tidak begitu celik IT pula, jangan lebih dari 10 orang.

Bayangkan, kita kata tekan kekunci F5 untuk mengeluarkan sesuatu kekotak dialog. Ada 4 - 5 peserta kata tidak dapat. Setelah diteliti mengapa tidak dapat, rupa-rupanya mereka tekan kekunci F dan kekunci 5. Aduh! Gerak kerja yang sepatutnya boleh tamat dalam masa 5 minit menjadi 15 minit.

Dilema yang dihadapi oleh Tuan Osman Affan juga biasa kami hadapi. Hendak meletak syarat dan terlepas business, atau menerima sahaja dan menanggung akibatnya kemudian. Harus pandai mencari jalan tengah, agar benang tidak putus dan tepung tidak berserak.


Wassalam

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: