Sunday, September 19, 2010

Buku Cerita Kanak-Kanak bukan Sastera Kanak-Kanak

Buku cerita kanak-kanak lain. Buku sastera kanak-kanak lain. Ini meskipun kedua-duanya menajalankan fungsi yang sama iaitu menyampaikan cerita kepada kanak-kanak.

Buku-buku cerita kanak-kanak menyampaikan cerita-cerita yang menyebabkan kanak-kanak suka dan seronok membacanya. Manakala cerita-cerita dalam sastera kanak-kanak bukan hanya menyampaikan cerita-cerita yang memukau akal kanak-kanak (dan juga memukau akal orang dewasa), tetapi juga menciptakan makna-makna bagi kanak-kanak yang membacanya.

Dua faktor paling penting dalam proses perkembangan psikologi kanak-kanak adalah (i) pengaruh asuhan dan didikan ibu bapa, dan (ii) pengaruh maklumat khazanah kultural yang disampaikan kepada kanak-kanak. Semasa kanak-kanak, medium yang paling berkesan bagi menyampaikan maklumat kultural adalah sastera.

Peranan yang dimainkan oleh sastera kanak-kanak tidak serupa dengan buku cerita kanak-kanak. Buku-buku cerita kanak-kanak yang sekarang banyak dalam pasaran menjalankan dua fungsi yakni sama ada (i) menghibur sahaja ataupun (ii) memberi maklumat, ataupun kedua-duanya -- bukan memberikan makna, kerana fungsi memberi makna adalah fungsi yang hanya dapat dilakukan oleh sastera.

Buku-buku cerita kanak-kanak yang digunakan dalam bilik-bilik darjah menawarkan cerita-cerita yang cetek, yang tujuan utamanya adalah sebagai alat mengajarkan kemahiran membaca.

Kemahiran membaca adalah amat penting kepada kanak-kanak, tetapi apabila bahan yang disogokkan kepada mereka supaya dibaca adalah cerita-cerita yang cetek, yang tidak membekalkan makna-makna, maka kemahiran membaca yang mereka pelajari itu jatuh nilainya.

Kita selalu menyangka hanya orang dewasa yang mencari makna dan memerlukan makna supaya mereka dapat hidup sebagai manusia yang mempunyai jiwa yang sihat dan normal. Ini tidak benar. Kanak-kanak juga memerlukan makna, dan mereka dapat menimba makna-makna yang banyak dan pelbagai, yang ada terkandung dalam sastera kanak-kanak.

Kemahiran membaca menjanjikan kepada kanak-kanak masa hadapan yang kaya dengan pelbagai pengalaman daripada kegiatan membaca, tetapi janji itu menjadi janji palsu apabila cerita-cerita cetek yang mereka baca tidak membekalkan makna-makna yang mengkayakan pengalaman hidup mereka.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Laut Biru: Cerita Pari-Pari Melayu Previous entry: Istilah-Istilah dan Konsep-Konsep Asas dalam Bidang Penerbitan Buku Kanak-Kanak dan Remaja
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/14  at  07:05 AM

Puan Ainon,

BaGaimanakan untuk memohon katalog buku yang di jual oleh Universiti Terbuka PTS.
Bolehkan pihak perpustakaan memesan terus melalui syarikat anda ?

Sekiranya ada katalog bolehlah di poskan ke alamat berikut :

Perpustakaan dan Pusat Sumber
Malaysian Association for the Blind
Kompleks MAB, Jalan Tebing,
Off Jalan Tun Sambanthan 4,
50470 Kuala Lumpur.


Sekian

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.