Friday, December 24, 2010

Kejayaan Kolektif Kini Trend Terbaru dalam Dunia Penulisan

Pada masa ini, imej bidang penulisan sudah menjadi semakin positif apabila kedudukan ekonomi para penulis menjadi semakin baik. Hasilnya, semakin banyak yang ingin menceburi bidang penulisan sebagai kerjaya sepenuh masa. Perkembangan ini sangat baik bagi industri penerbitan.

Dalam dunia penulisan hari ini, terdapat dua golongan penulis yang berkarya dengan motivasi-diri yang sangat berbeza.

Di satu pihak adalah penulisan generasi baru yang menulis dengan bisnes dalam otak mereka. Golongan ini sangat mementingkan aspek pasaran buku-buku yang mereka hasilkan.

Mereka tidak ambil pusing tentang pengiktirafan dalam bentuk-bentuk simbolik seperti hadiah-hadiah dan anugerah-anugerah. Bagi mereka, pengiktirafan yang sebenar adalah permintaan tinggi dari pembeli dan pembaca buku-buku yang mereka hasilkan.

Demi meningkatkan jualan karya mereka, penulis generasi baru ini mengamalkan cara kerja yang mempunyai nilai strategik. Mereka membina kumpulan sesama mereka.

Dalam tingkah laku berkumpulan, penulis generasi baru mengamalkan budaya 'sukses kolektif' (collective succes), di mana mereka mencipta kejayaan bersama, bukan kejayaan bagi diri sendiri sahaja. Bagi tujuan itu mereka menggunakan strategi kejayaan secara berkumpulan. 

1. Mereka berkongsi sumber-sumber kejayaan yang ada pada diri mereka, seperti idea dan informasi.

2. Mereka bekerjasama, tolong menolong, dan saling dorong mendorong.

3. Mereka menjalin hubungan profesional yang efektif dengan editor-editor mereka.

4. Mereka menjadikan diri mereka sistem sokongan (support system) yang penting kepada kejayaan bisnes penerbit.

Disebabkan penulis generasi ini mementingkan sukses kolektif, mereka tidak terdorong oleh prinsip-prinsip persaingan. Justeru tenaga intelek, tenaga psikologis dan tenaga emosi mereka tidak terganggu dan tidak terbazir oleh unsur-unsur persaingan. Dengan demikian tenaga-tenaga itu dapat terus disalurkan kepada kreativiti dan produktiviti mereka.

Di satu pihak lagi adalah penulis generasi lama, yang menulis dengan motivasi ekspresi-diri dalam otak mereka. Golongan ini sangat mementingkan kepuasan berkreasi. Mereka sangat menghargai pengiktirafan daripada rakan sebaya dan autoriti sebidang, oleh yang demikian mereka amat terkesan oleh politik dunia penulisan.

NOTA: Siri Chronicle 301 adalah contoh karya yang dihasilkan secara kolektif oleh 4 orang penulis.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Iklan! Blog Teori dan Teknik Mencipta Kisah Superhero Islamik Previous entry: Definisi Sastera Islam
NazriKadir  on  12/28  at  02:55 AM

Saya seorang penulis baru yang berhenti kerja untuk menjadi seorang penulis sepenuh masa…

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.