Monday, April 26, 2010

Langkah DBP Menutup Jabatan Sasteranya: Gerakan BUDAYAWAN BERTINDAK akan Bertindak

Seniman dan aktivitis drama Melayu yang terkenal, merangkap pengerusi gerakan Budayawan Bertindak, Sdr. Dinsman, telah menghubungi UNIKA-PTS dan memberitahu bahawa mulai 1 Mei 2010, status Jabatan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan diturunkan apabila jabatan itu digabungkan dengan Jabatan Bahasa menjadi "Jabatan Bahasa dan Sastera". Langkah ini dilakukan dalam rangka penstrukturan semula organisasi agensi itu.

Menurut Sdr. Dinsman, beliau akan memanggil anggota-anggota gerakan Budayawan Bertindak yang dipimpinnya itu bagi merancang tindakan yang akan diambil oleh gerakan itu bagi memprotes apa yang dilakukan oleh pengurusan DBP itu.

Menurut beliau, "Langkah mengecilkan jabatan sastera itu serupa dengan mengembalikan status jabatan sastera kepada zaman sebelum era Kris Mas dan Usman Awang. Allahyarham Dato' Kris Mas adalah orang yang bertanggungjawab menaikkan status unit sastera menjadi Bahagian Sastera. Sebelumnya unit sastera diletakkan di bawah Bahagian Bahasa dan Sastera. Selepas proses evolusi yang begitu lama, daripada unit sastera menjadi bahagian sastera dan akhirnya menjadi "jabatan sastera", kini ia diturunkan semula tarafnya."

Beliau sama sekali tidak yakin bahawa dengan penstrukturan semula itu prestasi kepimpinan sastera DBP akan bertambah baik. 

Menurut beliau lagi, "DBP seharusnya menyelesaikan banyak masalah yang sudah lama gagal diselesaikannya, seperti penerbitan buku yang semakin lesu semenjak penswastaan DBP-DAWAMA, isu pengedaran dan jualan buku-buku DBP yang lemah, isu peminggiran Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan peradaban oleh dasar kerajaan sendiri, isu pendidikan sastera yang amat lesu di sekolah-sekolah dan banyak isu-isu lain yang takkan dapat dijawab dan dibetulkan dengan cara menstrukturkan semula carta organisasi DBP".

Beliau merakamkan rasa kesal dan kecewa terhadap langkah undur ke belakang itu. Menurut beliau lagi, "Idea menurunkan status jabatan sastera itu mencerminkan akal singkat pada pengurusan DBP dalam melaksanakan klausa-klausa dalam akta penubuhan organisasi itu."

"Dahulu DBP melakukan langkah 'bunuh-diri' apabila ia menswastakan aktiviti produksi dan pengedaran buku-bukunya kepada DAWAMA. Kini DBP seperti mahu membunuh sastera pula,"katanya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Jadual Buku Masuk Setor PTS Previous entry: Unit Buku Resipi PTS akan Dinaik-taraf Menjadi Syarikat Sendirian Berhad pada 2011

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: