Laut Merah dan Laut Biru Pasaran Buku-Buku Agama
Apabila kita menulis buku agama Islam, tentukan dahulu buku yang akan ditulis itu untuk dijual kepada siapa.
Kita perlu memilih kepada siapa buku itu mahu dijual:
(i) Dijual kepada kelompok 'ustaz-ustaz'.
Pasaran ini terdiri daripada orang-orang yang sudah tebal ilmu dan imannya.
Mereka ini lulus sekolah agama, lulus pengajian Islam, tahu istilah-istilah dalam bahasa Arab, dan sudah membaca ratusan kitab-kitab Islam. Mereka banyak menyampaikan kuliah dan ceramah di surau-surau dan masjid-masjid. Mereka dipanggil 'ustaz' oleh yang mengenali mereka. Mereka sering kali diminta membaca doa dalam majlis.
Pasaran kelompok ini ada, tetapi saiznya tidak besar dibandingkan dengan saiz pasaran kelompok 'bukan ustaz'.
Grup ustaz-ustaz membeli buku dari kedai-kedai buku agama tradisional, yang dijaga oleh pak-pak haji berkopiah putih dan tidak berhawa dingin. Mereka tidak pergi ke kedai-kedai buku elitis seperti Kinokuniya, MPH, Borders, ataupun Popular.
99% buku agama Islam yang ada dalam pasaran sangat sesuai untuk bacaan mereka kerana dalam buku-buku itu banyak tulisan Arab, istilah Arab dan bahasa Melayunya berbelit-belit akibat terpengaruh oleh nahu Arab.
Meskipun buku-buku itu berbelit-belit, tetapi disebabkan ustaz-ustaz itu mempunyai banyak ilmu agama, mereka faham juga apa yang ditulis dalam buku-buku itu.
Pasaran ini sudah ada budak-budak besarnya, justeru pasaran ini sudah menjadi Laut Merah.
(ii) Dijual kepada orang Melayu yang lulus aliran profesional dan sekular.
Inilah pasaran buku Islam yang paling besar saiznya! Pasaran ini adalah Laut Biru yang sangat luas. Ini 'lubuk duit' yang sedang diterokai oleh PTS. Dalam sektor ini belum ada 'budak besar'nya.
Grup ini mempunyai daya-beli yang paling tinggi. Mereka bekerja dengan kerajaan dan korporat besar. Mereka memiliki kad kredit, dan hanya membeli buku-buku agama di kedai-kedai buku elitis yang berhawa dingin.
Mereka mempunyai sikap anglofili (suka apa-apa yang Inggeris). Mereka lebih selesa dengan pengaruh bahasa Inggeris daripada pengaruh bahasa Arab.
Golongan inilah yang paling kuat mengkritik gaya bahasa dalam kitab-kitab agama yang berbelit-belit dan susah difahami.
Menerbitkan buku untuk pasaran ini adalah kerja susah dan cerewet, tetapi sangat berbaloi.
Jabatan editorial PTS sudah dan sedang terus membina kepakaran editorial bagi menerbitkan buku-buku untuk dijual kepada kumpulan ini.
(iii) Dijual kepada kanak-kanak dan remaja kelas menengah Melayu.
Ini satu lagi Laut Biru bagi buku agama. Saiz pasaran ini juga besar.
Remaja dalam kategori ini adalah anak-anak kepada ibu bapa dalam kumpulan profesional, oleh itu daya beli mereka juga tinggi kerana ibu bapa mereka sangat mementingkan tabiat membaca bagi anak-anak mereka.
Menulis buku agama untuk kanak-kanak dan remaja tidak boleh menggunakan gaya buku kitab, sebaliknya perlu menggunakan gaya kreatif.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

-320x488.jpg)

Post a comment