Thursday, January 27, 2011

Tip Survival Penerbit: Pasaran Novel Cinta Islami Mula Mendatar

Pada masa ini banyak penerbit menerbitkan novel-novel cinta Islami.

Risikan pasaran yang dilakukan oleh eksekutif PTS mendapati, setiap bulan sekitar 10 buah judul baru novel Islami diterbitkan dan bersaing di atas rak di dalam kedai buku. Jumlah 10 judul sebulan itu adalah jumlah yang jauh melebihi daya beli pembaca. Ini kerana purata, pembeli novel hanya membeli sebuah ataupun paling-paling 2 buah novel sebulan.

Novel cinta dibeli oleh golongan muda yang pendapatan mereka terbatas, manakala harga sebuah novel cinta adalah antara RM17 - RM22. Inilah faktor yang menyebabkan jika pembeli sanggup membaca 5 buah novel sebulan tetapi dia hanya mampu membeli sebuah sahaja sebulan.

Risikan pasaran oleh PTS juga mendapati, pada masa ini, umumnya jualan novel-novel cinta, baik novel cinta popular mahupun novel cinta Islami, kedua-duanya sedang sama-sama mendatar, kecuali bagi nama-nama pengarang yang sudah terkenal dan mempunyai jumlah peminat yang banyak.

Pada suatu masa yang lalu pasaran novel cinta popular sangat laku keras, kemudian angka jualannya jatuh, lalu mendatar. Ia berlaku apabila terlalu banyak judul diterbitkan, sehingga mencapai 25 judul setiap bulan, menyebabkan pembaca mula muak dengan fenomena 'balik-balik cerita yang serupa'.

Kemudian muncul pula novel-novel cinta Islami memberi nafas baru kepada sektor pasaran novel cinta. Maka berlakulah apa yang disebut dalam dunia penerbitan sebagai 'fenomena Ayat-Ayat Cinta' (AAC). Selepas munculnya novel itu, pasaran mula dibekalkan dengan lambakan novel ala-ala AAC.

Selepas hanya 4 tahun kemunculan novel-novel cinta Islami, kini nampaknya fenomena yang melanda jualan novel cinta popular sedang melanda jualan novel cinta Islami pula.

Pasaran novel cinta popular mengambil masa lama sebelum ia mendatar, iaitu hampir 20 tahun. Sebaliknya pasaran novel cinta Islami hanya mengambil masa 4 tahun sahaja, dan ia sudah mendatar!

Isu yang menyebabkan pasaran novel cinta Islami cepat mendatar adalah kerana novel-novel itu tidak menghidangkan kelainan dari segi (i) tema dan (ii) jalan cerita, apabila dibandingkan dengan novel-novel cinta popular. 

Jika novel cinta tidak habis-habisnya menghidangkan tema 'perebutan cinta', tema itulah juga yang dihidangkan dalam novel-novel cinta Islami. Yang berbeza adalah beberapa pantang-larang pada gaya penceritaannya sahaja. Sebagai contoh novel cinta Islami tidak menceritakan babak-babak asmara. Namun, dalam isu tema berebut cinta, watak-wataknya tetap berebut cinta. Pembaca hanya perlu membaca bahagian awal novel, pertengahan novel, dan dari situ sudah tahu apa kesudahan ceritanya.

Baik pasaran novel cinta popular mahupun novel cinta Islami, kedua-duanya sama-sama memerlukan nafas baru, di luar tema perebutan cinta yang sudah klise.

Dari sudut penerbit, wang adalah sumber yang amat terhad. Apabila jualan mendatar, jika penulis novel cinta Islami masih terus tidak menghasilkan produk-produk baru yang laku keras, maka tindakan yang logik bagi penerbit adalah keluar dari pasaran yang ada, dan membuka pasaran baru dengan memperkenalkan produk-produk yang mengemukakan tema-tema baru dan cerita-cerita baru.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: AHAD 13 Feb 2011: Kursus Penulisan Fiksyen: Teknik Surah Yusuf Previous entry: Tip Survival Penulis Novel: Elakkan Tema Basi Isu Semasa dalam Media

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.