Tuesday, August 14, 2007

Al-Kisah Cek Royalti Pertama daripada Buku Pertama

Sifu dan rakan-rakan yang dihormati,

Alhamdulillah, pada Sabtu, 11 Ogos ketika saya sedang sibuk menguruskan persediaan majlis kesyukuran, anak saya menjerit dari luar:

“Mak ada surat!” jerit anak saya dari ruang tamu sambil berlari ke arah saya.

“Bacakan untuk mak,” kata saya bersikap endah tidak endah sahaja sambil tangan mengacau adunan kek di dapur.

“Ee! bestnya…. Mak dapat cek dua ribu, kayalah mak!” sambil menghulurkannya pada saya. (bila dengar saja mak dapat cek, anak yang lain pun turut serbu… isk, isk..)

“Biar betul, siapa yang bermimpi siang hari ni?” saya terus melihat sambil tersenyum simpul (masa buat kek tadi muka serius semacam saja. Siap merungut dalam hati, kalau beli kan senang…)

“Wah! hebat tu PTS. Baguslah PTS ni, tak sangka pulak dapat cek. Ha, ni mak bersemangat nak menulis lagi ni!” terpacul laju kata-kata saya sambil menatap cek berkali-kali.

“Sebenarnya mak dapat RM3,281.76 sen tau! Kenapa dapat RM2,000 sahaja?” kata anak sulong saya sambil membaca surat.

“Tak kisahlah tu… Itu kerja orang PTS,” kata saya lagi.

“Aha! oklah tu, Along ni tamaklah,” kata anak saya yang seorang lagi.

“Itulah, lepas kenduri ini mak kena serius balik menulis,” kata anak sulong saya.

“Betul tu, sekurang-kurangnya lepaslah duit belanja Bib di universiti,” saya menambah.

“Biar kita orang buat kerja rumah, mak tak payah buat. Bolehlah mak menaip,” terpacul kata-kata anak lelaki bongsu saya. (Kata-kata Muhammad mengejutkan kami empat beranak, kerana Muhammad ni liat sikit buat kerja rumah.)

“No hal, tapi kau kenalah ikut jadual betul-betul,” kata anak ketiga saya menyokong.

“Oklah, kita start hari Isnin ni, Along akan tampal jadual di dapur. Semua kena ikut peraturan.”

Begitulah al-kisah sebahagian dari perbualan kami anak beranak ketika menerima cek pertama dari PTS. Penulis sambilan seperti saya ini, hendak capai taraf jutawan, jauh panggang dari api. Tetapi sekurang-kurangnya nilai-nilai murni bermuafakat yang terbentuk ketika mendapat cek menyeronokkan saya.

Oleh itu saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Puan Ainon yang telah membuka peluang kepada saya untuk menulis. Terima kasih, Puan Ainon, kerana bayaran royalti itu. Kepada En. Nazrul, Pengurus PTS yang sentiasa menjawab setiap pertanyaan saya. Semasa berurusan dengan beliau, pening juga kepala dengan soalan-soalan saya, dan Cik Majidah, Editor yang rajin memantau perkembangan buku pertama saya.

Kepada rakan-rakan, jangan bertangguh, mulalah menulis. InsyaAllah tuan-tuan dan puan-puan akan dapat merasai nikmatnya mendapat bayaran royalti buku pertama.

Salam.
Rashidah Mat Nor.

Nota: Ini pula cover buku-buku penulis yang terbit tahun 2007, oleh itu royaltinya akan mula diterima tahun depan.

Puan Rashidah adalah pegawai di Lembaga Kepala Sawit Malaysia (MPOB).

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Royalti
(14) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Tip Survival Penerbit: Gunakan Buku "Biasa-Biasa" sebagai Senjata Menagih Hutang daripada Pengedar d Previous entry: Tulislah Novel "Biasa-Biasa"
MBA  on  08/14  at  08:13 AM

Tahniah Pn. Rashidah;

Wah diversified sungguh pegawai MPOB. Kerjaya Saintis adalah diri sendiri. Kedai jahit dan kraftangan barangkali hobi. Pegawai perubatan pula barangkali suami atau sahabat terdekat?

Nota untuk Sifu: PTS ada mengeluarkan buku kerjaya “pegawai perubatan” dan “doktor”. Kedua-dua kerjaya ini adalah sama. Apa justifikasi penulis yang kedua hingga membolehkan buku beliau diterbitkan?

Terima kasih.

Tuan MBA-san (Wah! Sudah ‘tuan’ ada ‘san’ lagi!),
Menurut yang empunya ilmu, ‘doktor’ dan ‘pegawai perubatan’ ada perbezaannya.

-----

MBA  on  08/14  at  08:39 AM

Puan Sifu-san
(Sudah ada puan, ada san lagi wink)

“Menurut yang empunya ilmu, ‘doktor’ dan ‘pegawai perubatan’ ada perbezaannya.”

Barangkali perbezaan di antara ‘doktor’ dengan ‘pegawai perubatan’ adalah sekadar ‘guru maktab’ dengan ‘guru ijazah’. Mungkin juga seperti ‘pensyarah’ dengan ‘profesor’. Jika begitu, bolehkah kita menulis buku ‘kerjaya sebagai seorang profesor’, sedangkan ‘profesor’ adalah suatu jawatan ‘kenaikan pangkat’ dan bukannya jawatan lantikan (biasanya, tetapi tidak semestinya).

nota: Saya bekerja di kementerian yang menjaga pegawai perubatan yang bergelar doktor dan juga penolong pegawai perubatan serta pembantu pegawai perubatan yang tidak bergelar wink

Wassalam.

.

Tuan al-ustaz MBA-san (wah! ustaz lagi!)

Menurut yang empunya cerita, kelulusan mereka serupa, tetapi tugasnya berbeza… barangkali macam perbezaan antara tugas “doktor” dengan “pengarah perubatan”.

MBA  on  08/14  at  08:40 AM

Sifu-san;

Saya masih belum membaca buku kerjaya ‘doktor’ ataupun ‘pegawai perubatan’. Ulasan saya hanyalah kepada tajuknya sahaja.

 on  08/14  at  08:47 AM

Puan Rashidah,

Tahniah dan syabas di atas cek royalti yang pertama, Insyaa Allah Puan mendapat sekurang-kurangnya 5 kali ganda pada tahun hadapan.

 on  08/14  at  09:34 AM

Assalamualaikum,

Kepada Puan Rashidah

Tahniah kepada Puan Rashidah, bukan sahaja berjaya melahirkan buku yang baik dan telah mendapat royalti pula malah secara tidak langsung turut memotivasikan anak-anaknya sekali.

Saya juga yakin kejayaan ini akan turut menjadi dorongan kepada bakal penulis PTS yang nampak rajin datang berkursus termasuklah saya sendiri.

Kepada sifu,

Entah kenapa sering sangat terjadi tatkala saya memesan kelapa parut di kedai runcit di kediaman saya, beberapa kali saya tersasul menyebut, “Taukeh, kepala parut sebiji”.

Selalunya mereka di kedai itu ketawakan saya namun, kali ini saya turut tersenyum kerana kesilapan sama yang pasti tidak disengajakan itu terjadi juga dalam `Puan Rashidah adalah pegawai di Lembaga Kepala Sawit Malaysia (MPOB)` dalam entri puan kali ini.

.

Adumak oi! Kepala parut… Kah kah kah!… Kik kik kik! Ketawa sampai keluar air mata saya. Bak tisu!

 on  08/14  at  10:00 AM

Terima kasih Tuan MBA-san, Pagi-pagi dapat ucapan tahniah, hati yang walang menjadi girang.

Buku-buku yang ditulis adalah hasil garapan dari sahabat-sahabat yang berjaya tanpa makan gaji. Sesuai dengan peningkatan usia, bilangan kawan-kawan pun bertambah ramai. Indahnya hidup ini.....

Nota: Puan Ainon, terima kasih sekali lagi. Tidak kisah berapa dapat, asalkan semua orang merasa sama.

 on  08/14  at  11:02 AM

Assalamualaikum,

Banyaknya buku terbit tahun ini. Tahniah!

Zamri Mohamad  on  08/14  at  12:07 PM

Saya juga hendak ucapkan tahniah kepada Puan Rashidah. Kita jadi bersemangat dan bersyukur dengan bakat Allah beri ada jalan rezekinya.

Saya juga ucapkan terima kasih kepada kakitangan Jabatan Kewangan PTS khususnya Akauntan cik Norizah Wahid.

Sudah dua kali saya turun ambil sendiri cek royalti di pejabat PTS. Mudah jika ada ada maklumat baru dan soalan saya ajukan terus. Sambil itu bawa seorang kawan, umpan pujuk rakan menulis dengan PTS. Hahahah.

Nota: Kakitangan insuran sudah mula telefon dan tunjuk polisi itu dan ini.

Tuan MBA, doktor dan pegawai perubatan memang ada perbezaan. Tetapi selalunya kalau di hospital pegawai perubatan memang selalu angin dengan doktor. Itu belum ditambah cerita pegawai pembantu perubatan lagi.

Ada kena kaunseling (cara untuk menutup mulut mereka) Arwah ayah saya dahulu kakitangan makmal tabung darah HBKL. Selalu pergi ke hospital, merayau-rayau ke semua jabatan, selalu pula dengar cerita mereka. Hahahaha.

.

cik Norizah (SALAH) = Cik Norizah (BETUL)

xara  on  08/14  at  12:37 PM

Wah.. cerita ini membangkitkan semangat saya untuk mula menulis. Langkah pertama itu sangat susah rupanya.

.

Langkah pertama baca bismillah… bayangkan muka Sifu yang cekak pinggang!

Tengku Asmadi  on  08/14  at  01:02 PM

Syabas dan tahniah kepada Puan Rashidah.  Teruja saya apabila membaca cerita puan. 

Saya percaya kepuasan bukan pada jumlah yang diterima tetapi pada hasrat yang tercapai. 

Cerita ini menaikkan semangat saya untuk menyiapkan buku kedua dan ketiga saya yang akan saya amanahkan kepada PTS juga untuk menerbitkannya. 

Banyak yang mengejar saya sekarang ini tetapi hati telah jatuh cinta dengan PTS.

.

Syukur, ya Allah, syukur! PTS sudah amat lama mengorat Tuan Dr. Tengku! Akhirnya cinta PTS berbalas… Pesta Buku 2008, apa buku baru Tuan Dr.?

Fable Fox  on  08/14  at  01:28 PM

Saya juga teringat cek pertama saya.. he..he.. tetapi lump sum. Tak kisahlah, buku IT memang bersifat begitu, terlalu ‘versionic’ - bila versi baru keluar, buku versi lama tidak boleh dijugal lagi. Bila 3DS max 8.0 keluar, buku-buku 7.0 sudah boleh dihantar pulang…

Tetapi benda ini adalah untuk membantu masyarakat. Baru-baru ini sapa pergi taklimat CIUC, mereka kata 80% pekerja IT di cyberjaya adalah dari India dan Pakistan. Saya sudah agak sejak 1999 dahulu lagi. Hampir hendak bertegang lidah dengan naib kaunselor fakulti.

“saya datang sini hendak jadi programmer, bukan pakar matematik!”

dia juga tunjukkan keratan akhba berita harian baru-baru ini yang kursus akan diubah supaya mengikut keadaan semasa.

Berdoa agar tidak menjadi seperti yang Ungku Aziz katakan “seperti tikus membaiki labu"…

xara  on  08/14  at  02:06 PM

Alamak, takutnya saya apabila Sifu bercekak pinggang. Sinopsis telah saya hantar, tetapi teman-teman minta saya perbaiki. Belum sempat dapat balasan emel, kritikan teman-teman jauh lebih panjang dari halaman sinopsis itu sendiri.

zalisa  on  08/15  at  09:13 AM

Tahniah Puan Rashidah. Sudah lama juga tidak berjumpa puan di bengkel.

Tengku Asmadi  on  08/15  at  11:35 PM

Puan Sifu, ada dua buah buku yang sedang dalam proses penulisan.  Yang pertama adalah susulan daripada buku Motivasi Alihan Pelajar dan yang kedua buku motivasi untuk semua.  Buat masa kebelakangan ini produktiviti menurun sedikit disebabkan kesibukan masa dan keletihan.  InsyaAllah, Ramadan yang bakal tiba ini membuka peluang seluas-luasnya untuk menyiapkan buku-buku tersebut.  InsyaAllah.

.

YM Tengku, hmm… kita yakin begitulah, bulan puasa tiada training, jadi dapat tulis buku....
Semalam saya berjumpa seorang ustaz, beliau memberitahu, isterinya menggunakan buku Tengku, dia puji, bagus! Tahniah. Tuan Fauzul pula memaklumkan buku Tengku sedang ngetop benar saat ini.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: