Analisis Korpus Hadis
Menterjemah teks agama adalah serupa sahaja dengan menterjemah teks bukan agama.Pertama-tama tentukan kepada siapa terjemahan buku agama itu ditujukan.
Apakah buku itu ditujukan kepada pembaca pakar ataupun kepada pembaca "idiot" ataupun "dummy"?
Langkah pertama menterjemah adalah melakukan analisis ke atas teks agama.
Bagi saudara yang menterjemah hadis, korpus hadis terdiri daripada 3 bahagian:
Ambil contoh korpus di bawah:
Dari Sahal bin Saad, katanya: Rasulullah bersabda, "Saya dan orang yang menjaga anak yatim nanti di dalam syurga seperti ini." Baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengahnya dan merenggangkan antara keduanya. (Riwayat Bukhari)
(1) Kata-kata si perekod hadis: Dalam contoh di atas, kata-kata Imam Bukhari: Dari Sahal bin Saad, katanya:
(2) Kata-kata si pelapor hadis: Dalam contoh di atas, kata-kata Sahal bin Saad: Rasulullah bersabda, .......... Dia mengisyaratkan dengan jari telunjuk dan jari tengahnya dan merengangkan antara keduanya.
(3) Kata-kata Nabi Muhammad: Yakni korpus ataupun matan hadis itu sendiri. "Saya dan orang yang menjaga anak yatim, nanti di dalam syurga seperti ini."
Justeru, hanya bahagian kata-kata Nabi Muhammad sahaja yang bersatus teks suci agama. Manakala, kata-kata Imam Bukhari dan Sahal bin Saad adalah kata-kata manusia biasa.
Justeru teks di atas dapat diterjemahkan semula seperti berikut:
Nabi Muhammad pernah berkata, "Saya dan orang yang menjaga anak yatim, nanti di dalam syurga seperti ini." Orang yang melaporkan kata-kata Nabi Muhammad itu adalah sahabat beliau yang bernama Sahal bin Saad, manakala apa yang diucapkan oleh Sahal itu direkodkan verbatim, yakni kata-demi-kata, secara bertulis oleh pakar hadis yang bernama Bukhari. (Nota: Terjemahan seperti ini dapat difahami oleh pembaca bukan Islam)
Allah jua yang lebih mengetahui.
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment