Friday, February 23, 2007

Analisis Trend Permintaan Mutakhir bagi Buku-buku Melayu: Permintaan Tinggi tetapi Judul Kurang

Nota: Berikut adalah informasi yang diberikan oleh Tuan Ibnurabi. Kepada penerbit dan penulis buku Melayu, maklumat yang beliau berikan ini amat relevan. Baca surat beliau di bawah:

"Inilah maklumat lain berkenaan pasaran buku Melayu sekarang ini berdasarkan kepada pasaran kedai buku atau ‘retail’.

Jualan novel popular agak menurun sejak pertengahan tahun 2006. Ini mungkin kerana dalam pasaran sudah ada ‘terlebih banyak’ buku novel popular yang hampir serupa sahaja cerita dan plotnya. Keadaan ini boleh memberi kesan negatif ke atas novel popular yang berkualiti kerana prejudis pembaca terhadap novel popular yang terbanjir di pasaran.

Kalangan yang bertahan adalah penulis-penulis yang sudah mempunyai peminat setia. Tetapi ia tidak sepanas dulu-dulu. Ada juga kalangan penulis ini yang kian hilang peminatnya kerana kualiti cerita.

Yang sedang meningkat sekarang adalah buku cerita remaja dan awal remaja. Dan saya jangkakan trend remaja sekarang mereka mahukan lebih untuk buku kategori mereka. Maknanya, buku lebih tebal, lebih menarik jalan ceritanya, dan lebih banyak pilihannya. Perlu mempelbagaikan genre remaja.

Dua hari lalu saya sempat bercakap-cakap dengan seorang bapa yang mempunyai anak 3 remaja dan seorang ibu yang mempunyai 2 anak remaja. Mereka membeli-belah buku-buku untuk anak-anak, yakni buku-buku cerita Melayu. Setiap bulan mereka datang membeli buku.

Komen dan pandangan mereka hampir sama. Mereka sendiri (si ibu dan si bapa) serta anak-anak mereka suka membaca buku yang bukan dibuat-buat dan dipaksa-paksa ceritanya.

Kemudian seorang kanak-kanak perempuan bertanyakan buku misteri atau thriller dalam Bahasa Melayu. Saya pun menunjukkan beberapa buku yang ada. Menurutnya, semua buku itu sudah ada dalam koleksinya. Apa yang dia mahu, buku yang lebih tebal. Yang nipis, satu dua hari dia sudah habis baca.

Untuk buku umum pula, nampaknya sekarang judul motivasi agak kurang menyengat tetapi pembaca genre ini ramai. Mungkin mereka sekarang mahukan buku motivasi yang lebih menjurus dan lebih berbentuk ‘how to’ atau ’step by step’, kerana semangat mereka sudah terbakar tetapi tidak tahu caranya bagaimana.

Contohnya, sudah banyak di pasaran buku motivasi untuk orang berjaya, tetapi pembaca mahukan yang lebih, bukan yang sama. Kalau hari ini 55 petua, esok ada buku 56.5 petua pula. Pembaca mahukan kelainan.

Selain itu, mereka mahukan buku motivasi yang khusus seperti bisnes, keluarga, ibu bapa, yang senang dibaca dan faham.

Buku kesihatan yang praktikal sama ada senaman, diet, petua. Buku-buku seperti itu memang sudah ada, tetapi dalam Bahasa Inggeris, di mana cuacanya 4 musim.

Bagi buku-buku agama, sekarang ini permintaan semakin naik, malah tidak pernah turun. Untuk buku agama, rukun Islam tetap 5, rukun Iman tetap 6, begitu juga rukun Solat. Cuma cara penyampaian yang akan menarik pembacanya untuk membeli. Seperti buku Panduan Solat Untuk Lelaki, dalam bahasa mudah dan praktikal.

Untuk kanak-kanak 7 tahun ke bawah, lain cara penyampaiannya, 10 tahun ke atas lain, dan untuk remaja pun lain. Apa yang ada sekarang, panduan solat untuk pembaca 7 tahun ke bawah hingga pembaca tua, serupa sahaja cara penyampaiannya.

Buku motivasi agama pun sedang masih hangat sekarang. Contohnya ‘Jangan Bersedih’ tetapi bahayanya semua terbit buku serupa. Mesti ada buku motivasi agama yang lain.

Buku profesional pula, biasalah, lebih kepada pengurusan kewangan peribadi, keluarga.

Dan... buku panduan bagi yang mahu kaya dan bahagia, bagi yang sudah kaya tetapi tidak bahagia."

Nota kaki: UNIKAPTS mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Tuan Ibnurabi kerana sudi memberikan maklmuat penting di atas.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Pemasaran Buku
(8) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Mengapa Buku Saudara Wajib Diulangcetak Previous entry: Trend Mutakhir Pasaran Buku Inggeris
omecool20  on  02/23  at  07:21 AM

Puan, pandangan Tuan Ibnu agak ‘spot on’. grin

Saya sendiri ada membeli beberapa novel cinta Melayu, tetapi telah berhenti apabila kualitinya menurun, walaupun penulis yang saya minati itu telah menulis beberapa novel yang bagus pada awalnya.

Tentang buku-buku motivasi, memang buku-buku nasihat yang am untuk membakar semangat bagus, tetapi ia adalah spark. Memang betul kata Tuan Ibnu, perlu ada step-by-step book.

Satu contoh baik, buku terbitan PTS sendiri, Rahsia Buat Duit Di Internet, di mana saya sendiri telah membelinya apabila berminat dengan perniagaan internet. Mungkin buku RBDDI ini boleh diadakan acuan buku step-by-step yang boleh diterbitkan oleh penerbit khususnya PTS. grin

Tentang remaja dan kanak-kanak saya kurang arif wink .. tetapi saya masih ingat, masa zaman kanak-kanak dan remaja dahulu, saya minat dengan buku-buku terbitan DBP pada masa itu, contohnya karya Nazel Hashim Muhamad, buku Anak Din Biola, Terima Kasih Nudra Syafini, contohnya.

Kata-kata budak remaja yang puan sebutkan tidak menghairankan kerana Harry Potter sendiri bukan nipis, tetapi menjadi idola kanak-kanak remaja dan dewasa! wink

Maaf kerana panjang menulis kali ini. grin
——-

Kang  on  02/23  at  01:22 PM

Semalam, Khamis, saya ke BC. Tujuannya hendak mengambil laporan jualan buku MLM saya. Laporan sangat penting sekali untuk perancangan penulisan seterusnya. Alhamdulillah, buku-buku MLM tersebut menunjukkan tanda-tanda akan menjadi evergreen.

Kesempatan diambil untuk berbincang dengan Presiden Arief (mewakili penerbit), Zaharin (mewakili pemasaran) dan saya (mewakili penulis dan pembaca). Perbincangan 2 jam itu menghasilkan penyelesaian yang 95% sama dengan apa yang disebut oleh Tuan Ibnurabi hari ini (bagi buku Bisnes dan Umum sahaja).

1. Pembaca berasa tertipu dengan kandungan buku Bisnes dan Umum yang sebahagian besarnya tidak berdasarkan kajian, sebaliknya hanya rekaan sendiri.

2. Hanya di permukaan sahaja. Pembaca membeli buku kerana hendakkan ilmu, bukan sekadar pengetahuan am sahaja. Contoh: Positif boleh memanjat pokok (itu motivasi abad 20), perlu diganti dengan cara-cara selamat memanjat pokok, selangkah demi selangkah (motivasi abad 21).

3. Sekali lagi pembaca tertipu, sama seperti apa yang dikatakan oleh Tuan Ibnurabi—harapan menggunung, tetapi hanya mendapat harapan palsu dan angin sahaja. Contoh: Impian manusia waras memang hendak menjadi jutawan tetapi menjadi jutawan bukan diasaskan dengan penglipur lara, berfikir positif dan usaha yang mustahil seperti berjualan di pasar malam dan sebagainya. Ia mesti fakta—inflasi, nilai mata wang, iklim ekonomi, pelaburan, volume, margin, penggandaan dan lain-lain. Dan juga, langkah demi langkah keluar daripada kemiskinan sehingga sampai ke tahap jutawan. 

4. Realiti. Pembaca mahukan “kisah benar” dalam bisnes dan motivasi. Nama Ramly Burger, Haji Nasuha (Mak Siti) dan Mbakyu disebut, tetapi Presiden Arief tidak setuju nama emaknya dicalonkan. Alasannya, “Mana ada Wiley menerbitkan kisah hidup Wiley dan anaknya?”

5. Negatif atau Reverse. Ini pernah disyorkan oleh Mbakyu sendiri. “No news is good news”—pembaca lebih suka yang negatif. Antara judul laris yang disebut oleh Presiden Arief ialah, “Bagaimana Mengelakkan Bangkrap.” Saya menambah, “Kenapa Gagal Bisnes”. Tetapi mestilah fakta dan “how-to”, jika tidak, akan mengalami nasib seperti buku yang juga berjudul negatif “Berani Gagal” tetapi isinya “angin”.

Maaf, panjang pula posting saya ini. Sesungguhnya yang berkuasa di dalam industri ini adalah PEMBACA.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/23  at  01:53 PM

Selain itu, kalau digilap bakat penulisan selebriti-selebriti yang sedang meletup-letup di pasaran mungkin membantu meningkatkan permintaan buku-buku.

Al-maklum sahajalah. Budak-budak masih tercari-cari idola mereka!.

Idola saya ... Puan Sifu dan Prof. (dalam memperkayakan ilmu).

Puan Ainon Mohd.  on  02/23  at  02:32 PM

Tun Dr. Kang, (khabarnya Kamal Effendy - pakar jenayah selebriti itu - sedang menyiasat Dr-Dr Palsu, dan akan didedahkannya skandal mereka di TV. Jangan-jangan nama sdr termasuk yang sedang beliau siasat…)

Saya ingin tahu juga, apakah ada kesan ke atas jualan buku-buku MLM, pada saat banyaknya skim cepat kaya yang semacam dengan skim SWISS CASH dan lain-lain yang banyak dalam internet hari ini.

Pada pendapat saya, mereka yang hendak buat duit cepat tetapi tidak sanggup bekerja keras, pastilah mereka mudah tergoda lalu melaburkan duit mereka sebagai modal masuk skim cepat kaya itu. Apakah ini ada kesannya ke atas jualan buku-buku MLM?

Puan Ainon Mohd.  on  02/23  at  02:35 PM

Sdr Idrus,

Terima kasih kerana menganggap saya idola saudara dalam perjuangan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Mana buku ilmu saudara, mari, biarkan PTS terbitkan!

Kang  on  02/23  at  03:40 PM

Mbakyu…. hehehe, Presiden Arief ada beritahu mengenai siasatan Dr. Ayam itu apabila saya bergurau supaya tahun ini pada pesta buku 2007, kakitangan PTS memakai jaket baru berwarna kuning. Alhamdulillah jika Kamal Affendy menyiasat kerana makin melampau-lampau dan menjadi-jadi, beranak-pinak Dr. Ayam ini.

Terlupa: Turut dibincangkan adalah bagaimana supaya pengunjung mengunjungi gerai PTS selepas mengunjungi gerai Karangkraf yang menjadikan gerainya pesta dalam pesta. Ratusan pemamer di tingkat atas memang sedang risau seandainya selepas berkunjung ke gerai Karangkraf, mereka patah balik, tidak naik tangga ke tingkat atas.

Mengenai MLM—skim cepat kaya (4 nombor ekor pun skim cepat kaya juga) sudah mengiringi MLM sejak MLM bertapak di Malaysia, 30 tahun dahulu. Ia sedikit pun tidak mengganggu industri MLM yang sebenar. Jika industri MLM tidak terganggu, InsyaAllah, buku MLM tidak akan terjejas.

Lagipun, yang mengejar skim cepat kaya tidak ramai. Maksudnya, lebih ramai yang ‘terbakar’ berbanding yang ‘senyum’. Atau, sesungguhnya jauh lebih ramai yang mengusahakan MLM sebenar berbanding yang mengusahakan MLM picisan begitu. Pemimpin-pemimpin MLM sebenar tidak pernah duduk diam untuk menarik orang ramai supaya menyertai MLM sebenar.

Rasanya dalam penjualan buku MLM tidak terjejas. Selepas bangkit dari ‘fenomena perlahan’ (bulan November hingga Februari—trend standard untuk industri buku selain sektor buku wajib), buku MLM Cikgu Rozani dan saya tidak menunjukkan penurunan atau mendatar, sebaliknya ada peningkatan.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  05/14  at  05:23 PM

Assalamualaikum.

Ya, benar. Saya telah pun siasat doktor-doktor palsu dalam Malaysia dan saya harap mereka menyaman saya.

1. HM Tuah Iskandar.. ‘anugerah belia world’ beli sendiri dari company internet, sesiapa pun boleh..  dan universiti tempat dia belajar tidak wujud.

2. Prof Dr Ibrahim terapi aura.. prof dari internet.. MD, AM (Alternative Medicine). ‘Sir’ itu pun tidak betul.

4. Datuk Dr Jacob George, CASSA.. ‘Dato’ palsu ‘Dr’-nya pun palsu..

5. Ramai lagi….

Ini bukan fitnah.. Ini fakta.

Saya harap saya disaman kerana mereka kemudiannya perlu membuktikan “kebenaran mereka” di mahkamah.

Baru pecah tembelang, bukan?

Kamal Affandi Hashim.

Zayu Hisham  on  09/02  at  11:03 AM

betul ka ada doktor2 palsu kat Malaysia ni…tak nampak apa2 pun sampai sekarang tindakan.atau saya ketinggalan.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.