Apa Itu ‘Design Thinking’
Pandai berfikir secara analitikal adalah kemahiran yang penting kerana analisis sangat berguna bagi tujuan memahami sesuatu. Meskipun penting, setakat pandai melakukan analisis sahaja tidak cukup, apatah lagi dalam dunia bisnes. Demikian juga, setakat memahami sesuatu itu pun tidak cukup.
Jenis analisis yang majoriti orang pandai lakukan adalah analisis sebab-akibat. Sebagai contoh, apabila berlaku sesuatu maka banyaklah orang akan mengemukakan analisis yang cuba menerangkan punca-punca dan sebab-sebab perkara itu berlaku.
Semakin pandai dan terpelajar seseorang itu semakin dia mampu menghasilkan analisis yang mendalam dan kompleks.
Analisis sebab-akibat dapat menyebabkan berlakunya paralisis mental. Masing-masing penganalisis cuba meyakinkan orang lain bahawa analisisnya betul. Tetapi masing-masing tidak pula dapat mengemukakan penyelesaiannya.
Menurut Edward de Bono analisis bukan jentera mental yang berfungsi mencipta idea-idea. Justeru kita dapat lihat bagaimana para penganalisis yang pintar-pintar tidak mengemukakan idea.
Design-thinking adalah suatu cara berfikir yang membolehkan pelbagai idea dicipta bagi mengatasi sesuatu keadaan meskipun dalam keadaan di mana kita mungkin tidak pasti apa yang menjadi punca sebenar keadaan itu.
Dalam design-thinking kita tidak diwajibkan tahu dengan tepat apa PUNCAnya, kita hanya perlu mencipta JALAN KELUARnya.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Puan Sifu Ainon,
Apakah sistem pendidikan dan berfikir kita banyak bermula daripada masalah? Segala bermula daripada masalah? Maka dengan itu, tujuan berfikir hanyalah menyelesaikan masalah? Tiada masalah, boleh jadi itulah masalah.
Kalau itu benar,kenapa tidak bermula dengan tujuan? Masalah wujud kerana tujuan. Bila bermula dan memfokus kepada tujuan, tidak mengapa jika semakin banyak masalah andainya semakin hampir kepada tujuan.
Apalah makna hilang masalah jika semakin jauh daripada tujuan. Seorang yang mahu ke pusat bandar, semakin dekat dengan bandar, semakin sesak. Apalah makna boleh memecut, jika pecutan mengarah ke hutan simpan.
Tuan Arrantaui,
Design-Thinking mempunyai banyak aplikasinya. Semua profesion yang melibatkan kerja-kerja designing menggunakan design-thinking. Justeru dalam bidang kejuruteraan pun ada profesion design engineer dan industrial design.
Namun, apabila tiba kepada problem-solving yang melibatkan masalah manusia, design-thinking jarang digunakan, sebaliknya analisis yang digunakan. Di kalangan social-scientist (ahli soisologi, ahli sains politik, sejarawan, sasterawan, budayawan dll), mereka tidak mempunyai kemahiran design-thinking.
Design-thinking menggunakan ‘logik-supaya’ (so-that logic), manakala analisis menggunakan ‘logik-sebab-akibat’ ‘cause-and-because logic).
Anak panah logik-analisis sentiasa menghala ke belakang, ke masa lampau, kerana logik itu cuba mencari penyebab-masalah. (Saya dapati logik-analisis ini bukan logik Nabi Muhammad apabila beliau berdepan dengan masalah.) Salah satu risiko apabila kita terlalu pandai menggunakan logik-sebab-akibat adalah kita banyak terlibat dengan konflik tuduh-menuduh dan salah-mempersalah. Justeru, kita menjadi pencipta lebih banyak masalah (suatu perkara yang Nabi Muhammad tidak lakukan).
Anak panah logik-design sentiasa menghala ke hadapan, ke masa akan datang, kerana yang dipentingkan adalah ‘hasil design’, yakni apa ‘outcome’-nya.
Dengan membaca blog-blog kelompok social-scientist, kita dapat melakukan hitung-kata (word count) ke atas kekerapan penggunaan perkataan ‘sebab’ dan ‘kerana’ dalam tulisan mereka, dan bandingkan dengan kekerapan penggunaan perkataan ‘supaya’. (Kekerapan penggunaan perkataan ‘supaya’ adalah tinggi dalam teks-teks hadith.)
Justeru kita dapat melihat bagaimana kerapnya kelompok blogger social-scientist terlibat dengan wacana konflik sesama mereka.
Puan Ainon, adakah wujud penjelasan terhadap kedua-dua pendekatan tadi dalam hal aplikasi dan popularitinya di kalangan bangsa-bangsa di dunia? Misalnya ‘orang putih’ mereka cenderung kepada ‘cause and because logik’ atau Yahudi cenderung kepada yang lagi satu.
Tuan Arrantaui,
Saya tidaklah pula membuat kajian berkenaan bangsa-bangsa apa yang paling aktif menggunakan logik-sebab-akibat apabila berdepan dengan masalah.
Tetapi, menurut Edward de Bono, pendidikan Barat sangat mementingkan logik-sebab-akibat dan akibat daripada itu bangsa-bangsa Barat membuang banyak masa dengan debat tuduh-menuduh dan salah-mempersalahkan sesama sendiri.
Saya dapati dalam masyarakat kita, golongan bijak pandai kita juga kerap terperosok ke dalam jalan pikir logik-sebab-akibat dan aktif saling tuduh-menuduh dan salah-mempersalahkan satu sama lain.
Dalam pergaulan saya dengan kaum Cina dan India, saya dapati orang Melayu dan India cenderung menggunakan logik sebab-akibat apabila berdepan dengan masalah.
Kaum yang paling kurang menggunakan logik-sebab-akibat adalah kaum Cina.
Puan Ainon, saya ada andaian dan syak yang lama bahawa bangsa Barat cenderong dengan sebab-akibat. Saya mendapati mereka suka berfikir dengan cara memecah masalah (analysis) kemudian terlupa bahawa memecahkan masalah hanyalah di atas kertas (virtual sahaja).
Mereka mudah terleka dalam satu skop kecil. Mereka melupai hubungan skop kecil itu dengan bahagian lain kehidupan. Misalnya, mereka sangat mementing hak individu lalu lupa hak majoriti. Mereka terpaksa memendam rasa melihat kerosakan anak-anak dan masyarakat mereka tetapi apakan daya ‘itu hak individu’. Atas nama seni mereka membuat filem dan cerita yang hebat nilai seninya tetapi kosong daripada nilai kemanusiaan dan ketamadunan. Cara berfikir mereka tidak melayakan mereka menjadi pemimpin besar dunia yang baik. Berapakah daripada kalangan mereka yang dipilih Tuhan yang Bijaksana menjadi Nabi sungguhpun mereka banyak kali mendominasi dunia? Mereka adalah bangsa yang telah lama mencorakkan dunia.
Puan Ainon, jadi mereka membuang masa menyalahkan orang lain, terlupa pula sebab-akibat akan perbuatan mereka menyalahkan orang lain itu.
Kalau dalam sejarah, yang mula-mula mengambil pendekatan menyalahkan orang lain bukanlah manusia, dia adalah Iblis. Yang dahsyatnya, dia tidak menyalahkan orang, dia menyalahkan Tuhan. Bila dia gagal ikut sujud bersama malaikat (kerana sifat sombong dalam diri), dia mempertikaikan kewajaran perintah Allah. “Aku lebih baik daripada dia (Adam)”. “Aku, Engkau ciptakan daripada api, dia engkau ciptakan daripada tanah.” Dia tidak mengaku salah sebaliknya menyalahkan Allah.
Nabi Adam pula tidak mengikut rentak Iblis. Apabila Nabi Adam bersalah kerana merasa buah larangan, dia mengakui kesalahan dirinya. Kalau dia meneladani Iblis dia akan mempertikaikan Allah juga, “Kenapa Engkau letakkan pokok itu dalam syurga? Kenapa Engkau membenarkan Iblis menggoda aku, sedang engkau berkuasa menghalangnya?”
Nabi Adam berbuat salah dan dia menyalahkan diri sendiri. Iblis berbuat salah, dia menyalahkan Tuhan. Ketika Adam mengaku dan menyalahkan diri sendiri, Iblis bertekad menyambung kesalahannya. “Oleh kerana Engkau telah menghukum aku sesat, benar-benar aku akan menghalang mereka dari jalan Engkau yang lurus.”
Untuk Adam, keampunan. Ke atas Iblis, kutukan Tuhan.
Kata Dr. Mufti Perlis; “Kita zuriat Adam, bukan zuriat Iblis.”
Tuan Arrantaui,
Sungguh! Sekali lagi saya mendapat pencerahan selepas membaca tulisan Tuan berkenaan perbedaan sikap antara Nabi Adam dan Iblis.
Menurut pakar-pakar psikologi Barat, sikap suka menyalahkan orang lain (dan faktor-faktor lain) disebut dengan istilah “external locus”.
Ciri psikologi lokus-eksternal adalah ciri individu-individu yang banyak mengalami kegagalan. (Maka iblis adalah makhluk yang gagal.)
Manakala ciri lokus-internal (menerima kesalahan diri sendiri) adalah ciri individu-individu yang berjaya. (Maka Nabi Adam adalah manusia yang berjaya.)
Selain Iblis, Firaun yang dicerita Allah dalam AlQuran mewarisi sikap yang serupa. Bila ahli-ahli sihir tewas dan mengakui kebenaran seruan Nabi Musa (as, Firaun tetap engkar. Sebaliknya dia menuduh ahli sihir berkonspirasi dengan Nabi Musa. Padahal sebelumnya dia mengatakan “Akulah tuhan yang paling tinggi”. “Bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku”. Dia juga merendahkan Nabi Musa sebagai “orang yang hina”. Juga dia melekehkan Nabi Musa sebagai “orang yang tidak dimengerti percakapannya”. Bagaimana orang yang diperlekehkannya boleh mempengaruhi ahli sihir yang beribu jumlahnya. Sebelumnya Firaun sendiri telah menjanjikan kekayaan dan kedudukan tinggi dalam hairaki pentadbirannya jika ahli sihir menang menentang NabiMusa. Mana mungkin ‘orang yang hina’ mampu mengatasi janji Firaun yang menguasai negeri Mesir. Kemungkinan yang ada hanyalah kerana kebenaran terserlah berpihak kepada seruan Nabi Musa.
Setelah gagal, Firaun, juga seperti Iblis bertekad meneruskan kejahatan. Jika Iblis mahu meneruskan kejahatan hingga dunia kiamat, Firaun mengambil tindakan lamanya iaitu sekali lagi mahu membunuh anak-anak lelaki bani israel dan membiarkan anak-anak perempuan hidup.
Puan Ainon, yang lebih menyedihkan bila kita melihat sebahagian ‘golongan agama’ juga terperangkap dalam sikap menyalahkan orang lain. Bila sebahagian mereka bercakap kita nampak sasaran perbincangan mereka ialah siapa yang buat salah, bukannya apa yang salah. Sasaran panah adalah orangnya bukan isunya.
Menjadi sikap semua Nabi-nabi, merendah diri dan mengakui kesalahan diri di depan Zat yang Maha Tinggi. Menjadi sikap musuh-musuh Nabi; mengaku tinggi di depan manusia yang dipandangnya rendah.
Iblis pula sampai ke hari ini, masih memburu manusia kerana manusia dianggap menjadi punca dirinya mendapat kehinaan. Dia hanya akan berhenti bila nyawanya dihentikan.
Post a comment