Apa Kata Seorang Peminat Lagu Metal, Speed Metal dan Metal Gothik tentang Novel “Bidadari Paderi”
Usai membaca novel Bidadari Paderi, saya buka pemain MP3 di komputer riba. Sudah agak lama tidak layan lagu-lagu Iron Maiden. Ah! Saudara terkejut? Memang saya meminati lagu-lagu metal, speed metal dan metal gothik sejak dahulu lagi. Lagu pertama yang didengar ialah Only the Good Die Young. Dan novel Bidadari Paderi berkait rapat dengan tajuk lagu ini; hanya yang terbaik meninggal ketika masih muda belia.
Novel sejarah di tanah adat Minangkabau ini menyaksikan banyak kematian. Masing-masing sanggup syahid demi sebuah cinta agung. Kisah berlatarbelakangkan penentangan komuniti Minangkabau terhadap penjajahan Belanda sekitar tahun 1800-an.
Gerakan utama jihad ini diterajui oleh sebuah kumpulan yang bernama Kumpulan Paderi. Kumpulan ini merujuk kepada gerakan pembaharuan Islam yang berlangsung di Minangkabau, Sumatera Barat. Kumpulan pejuang Islam ini terkenal dalam sejarah Indonesia ketika penjajahan Belanda, berkembang sekitar tahun 1800 – 1830an. Kata Paderi bermaksud golongan ulama.
Novel ini memang memuatkan kisah cinta, tetapi bukan cinta biasa-biasa sesama insan. Cinta yang dibawa dan diulit oleh watak-watak merupakan kecintaan kepada agama, iman dan pertiwi. Dalam cubaan mewarnai tanah Minangkabau dengan keindahan cinta Allah itu, golongan Paderi dan pejuang syahidnya terpaksa bertembung dengan kumpulan adat.
Pertembungan antara adat dan agama tidak pula melunturkan semangat pembaharuan dan jihad kumpulan Paderi itu. Akhirnya gerakan mereka direstui oleh kumpulan adat dan para pendekar seni persilatan.
Pastinya di sepanjang sejarah perjuangan ada sahaja pembelot dan pengkhianat di kalangan anak peribumi sendiri. Justeru itu, pengkhianat agama dan bangsa dicemuh.
Dalam novel ini, walaupun sekadar kubur, seorang penghianat dihina orang kampung. Kuburnya sentiasa dilempar batu. “Ya, kubur penghianat. Dia membantu Belanda lolos sampai ke Matur. Orang kampung enggan dia dikuburkan di kampungnya. Kerana itulah dia berkubur di situ.” Kuburnya di dalam semak!
Isi novel yang menggugah kelesuan jiwa, cinta yang mencair hati. Perjuangan suci memerlukan pengorbanan, hatta nyawa sekalipun. Narasi yang bisa memahat kebencian terhadap penjajahan. Bait-bait kata yang meruntun nubari saya, insyaAllah.
Kematian berseni syahid. Hanya yang terbaik dianugerah syahid oleh Allah. Subhanallah!
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Di Malaysia lain pula ceritanya. Dahulu dan sekarang pengkhianat negara disanjung dan dijulang. Di kampung saya pengkhianat zaman british dahulu diberi pangkat dan sampai sekarang potretnya masih tersimpan di dalam muzium Shah Alam. Budaya ini masih berlarutan sampai sekarang. Yang rakus menebang dan melelong knazanah negara diberi macam-macam pangkat dan gelaran. Dan pastinya akan tercatat di dalam buku-buku sejarah sebagai ‘hero’ bangsa.
Sdr Adlie, itulah orang Melayu. Agungkan orang atau entiti yang tidak patut diagungkan. Alahai bangsaku!
Post a comment