Tuesday, November 27, 2007

Apabila Buku Meletup: Nota untuk Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim

Selepas tamat acara "Bicara Buku" di Alpha Angle Ahad lalu, seperti biasanya, Sifu minum petang dengan penulis yang diraikan, beserta semua anggota keluarga penulis yang ikut hadir. Sambil minum sambil berbual-bual, sambil menikmati perasaan seronok hasil titik peluh menulis buku dan menyampaikan ceramah. 

Pada petang berbahagia itu, semasa minum-minum itu Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim, profesor perakaunan di UiTM, memberitahu kami semua yang duduk semeja dengan beliau bahawa beliau mengalami suatu perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran beliau, akibat  buku "Travelog Haji" dibaca oleh banyak orang. 

Menurut beliau, ada kawan-kawan dan orang yang membaca buku itu menelefon dan bersungguh-sungguh "minta doa" daripada beliau. Apa yang beliau alami itu memang suatu perkara baru bagi pengetahuan Sifu. Penulis-penulis lain menceritakan bahawa mereka mengalami perkara-perkara lain. 

Iktibar daripada pengalaman beliau itu adalah: Buku yang berkualiti serta berguna kepada pembaca, akan mencipta logiknya sendiri  -  logik yang tidak disangka-sangka oleh penulisnya akan berlaku.

Disebabkan buku "Travelog Haji" itu ditulis dengan gaya yang mengesankan, pembaca menjadi yakin bahawa penulisnya adalah seorang yang hajinya mabrur, orangnya solih, doa-doanya makbul. Maka, amat logiklah, apabila ada orang-orang yang amat terkesan sesudah membaca buku itu kemudian meminta penulis mendoakan mereka.

Demikianlah salah satu implikasi daripada aktiviti menulis buku yang berkualiti. Pembaca mempunyai pengharapan bahawa antara penulis dengan buku yang ditulisnya adalah serupa, saling tak tumpah. Jika tema bukunya adalah bagaimana mencari duit dengan menulis buku, maka mereka percaya sang penulis banyak membuat duit dengan menulis buku. Jika tema bukunya adalah bagaimana hidup bahagia dengan berpoligami, maka pembacanya yakin sang penulis mengamalkan apa yang ditulisnya.

Bagi sang penulis "Travelog Haji", beliau tidak boleh melakukan sesuatu yang tidak selari dengan pengharapan para pembaca bukunya itu, meskipun apa yang dilakukannya itu bukan perkara yang dilarang agama.

Bagi penulis, pengharapan pembaca menjadi beban yang dipikulnya seumur hidup. Dia tidak boleh mengecewakan pembacanya.

Penulis buku bertajuk "Kaya dengan Rumah" terpaksa membuktikan apa yang ditulisnya itu beliau sudah berjaya lakukan, dan akan terus berjaya dilakukannya.

Penulis buku "Disayang Suami Sampai Mati" mesti membuktikan bahawa suaminya tidak akan pernah ada 'affair' sehinggalah selepas dia (si penulis itu) mati!

Beginilah hukuman, yang kita sebagai kaum penulis buat sendiri ke atas diri kita, dengan menghasilkan karya yang sangat mengesankan.

Nota: Foto dari blog Firdaus Ariff

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Buku Agama
(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Catatan Bengkel Penulisan Buku Hantu Islami Previous entry: Sifu Memikirkan Tentang DBP yang "mandul" dan Istilah "roadshow"
Muhd Kamil Ibrahim  on  11/27  at  09:04 PM

SifuPTS - Salam sejahtera,

Saya petik tulisan yang pernah saya ungkapkan di blog saya:

“Di sebalik segala-galanya, saya perlu banyak merenung tentang kebesaran dan kehebatan Allah. Terselit cabaran dan dugaan yang hanya saya sendiri tahu dan tanggung”

Memang benar segala apa yang dikatakan oleh puan. Cuma, saya menerima cabaran ini dengan hati terbuka. Bukankah itu yang saya pohon selama ini? Lalu Allah memberi jalan dengan pelbagai cara.

Terima kasih atas nota yang berkesan dan terkesan!

Web Sutera  on  11/28  at  02:39 PM

Assalamualaikum,

Berkesan sungguh di hati saya bila membaca entri ini. Bila saya boleh menjadi sebegini?

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: